Thursday, December 31, 2015

CATATAN MENGENAI KERLIPAN KUNANG-KUNANG

CATATAN MENGENAI KERLIPAN KUNANG-KUNANG


Saya tidak ingat orang Arab itu datang dari mana. Jordan atau Syria.Tetapi mereka tidak percaya apabila diberitahu oleh pemandu pelancong bahawa apa yang mereka saksikan itu ialah kunang-kunang.
Ketika itu kami menyusuri Sungai Klias bersama pelancong Eropah, Jepun dan pelancong Arab.Hari sudah malam dan kelam. Mereka menyangka bahawa syarikat pelancong atau orang-orang di sekitar sana sengaja memasang lampu krismas. Pelancong itu menyangka mereka hanya dikelentong.

Kerana itu, pemandu pelancong mengarahkan pemandu bot kami untuk mendekati pokok yang dipenuhi ribuan atau jutaan kunang-kunang itu.
Setelah mereka melihat dari dekat kunang-kunang itu, barulah mereka percaya mengenai kewujudan kunang-kunang itu.
Keindahan kerlipan kunang-kunang itu juga membawa ribuan pelancong ke kampung kami, di Kampung Tamau, Kota Belud. Juga di kampung-kampung sekitarnya seperti Kampung Rampayan Laut.
Saya teringat ketika kecil, kami suka menangkap kunang-kunang selepas balik dari rumah pakcik untuk mengaji Quran. Kerlipan cahaya kunang-kunang itu menarik. Tetapi mengapa cahaya yang indah boleh keluar dari buntut kunang-kunang itu.


Pernah satu ketika, saya mendengar dari seorang rakan yang bekerja di sebuah jabatan kerajaan bahawa pokok yang dihuni kunang-kunang itu tidak boleh ditebang kerana dikhuatiri haiwan itu akan pupus. Khabarnya, pembinaan jalan raya juga dilarang di tempat yang mempunyai kunang-kunang.
Oleh itu, apabila Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekutar, Datuk Seri Masidi Manjun bercakap mengenai kunang-kunang, dalam satu seminar mengenai Kunag-Kunang dan Kelestarian Pelancongan di UMS, perkara itu segera mengingatkan saya kepada pelancong dari Arab yang tidak percaya mengenai kewujudan kunang-kunang itu.
Masidi mengarahkan agar jumlah pelancong yang melihat kunang-kunang pada satu-satu masa dihadkan agar ekosistem kunang-kunang tidak terganggu aktiviti manusia. Beliau juga mahu agar pengusaha pelancongan di Sabah menggunakan penggunakan pengangkutan yang mesra alam ketika membawa pelancong menyusuri sungai untuk menyaksikan keindahan kunang-kunang.
Beliau bimbang pengangkutan yang menggunakan petrol atau diesel boleh mengganggu ekosistem kunang-kunang.Sebaliknya penggunaan pengangkutan kuasa bateri mungkin boleh mengurangkan gangguan kepada kelestarian prooduk pelancongan itu daripada pupus.
Bilangan kunang-kunang di Klias Beaufort sudah berkurangan, kata Masidi, mungkin kderana ia tidak dimanfaatkan secara sistematik dan terkawal.
Dalam seminar itu juga, Masidi meminta saintis menjalankan kajian terperinci berhubung ekosistem kunang-kunang itu untuk dijadikan panduan dan rujukan bagi memelihara serangga yang dapat mengeluarkan cahaya yang jelas pada waktu malam itu daripada pupus.

Kita mahu mengenali kunang-kunang ini dari segi saintifiknya, kata Masidi. Apa yang patut dan tidak patut dibuat oleh manusia untuk mengekalkan habitat dan pembiakan kunang-kunang ini.

"Bayangkan, kalau habitat semulajadinya tidak dijaga, sudah tentu bilangan kunang-kunang akan terus berkurangan," kata Masidi.
Persoalan mengenai kunang-kunang ini menarik kerana ia adalah salah satu haiwan yang diancam kepupusan. Jika dahulu, amat mudah kita melihat kunang-kunang berkelipan di waktu malam, tetapi kini ia semakin tempatnya semakin jarang.


Jika tidak dijaga, kemungkinan sepuluh tahun akan datang, kunang-kunang hanya tertinggal dalam kamus perbendaharaan kata, anak-anak cucu kita tidak dapat lagi menyaksikannya.

MENCATAT SEMULA UCAPAN ARIFIN ARIF DI PERKAMPUNGAN SASTERAWAN


MENCATAT SEMULA UCAPAN ARIFIN ARIF DI PERKAMPUNGAN SASTERAWAN


Perkampungan Sasterawan kesembilan yang diadakan di Intan Kampus Sabah pada 13 hingga 15 November, bagi saya adalah satu peristiwa yang besar dan penting bagi golongan penulis dan sasterawan di negeri ini.
Lebih 120 penulis tanahair menghadiri Perkampungan Sasterawan kali ini yang bukan sahaja menjadi wadah mempertemukan penulis Malaysia dari pelbagai pelosok negeri, sama ada dari Sabah, Sarawak dan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia tetapi juga satu program yang bermakna dan menyerlahkan dan memberikan sumbangan besar terhadap peningkatan profesionalisme dalam bidang penulisan.
Saya tertarik dengan ucapan perasmian yang disampaikan oleh Datuk Haji Mohd Arifin Arif, Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa san Pustaka (DBP) Malaysia merangkap Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah.
Beliau yang juga seorang cendikiawan Islam dan penyair terkemuka di nusantara berkata bahawa sejarah membuktikan bahawa dunia persuratan adalah wadah yang berkesan untuk melontarkan idea yang bernas demi kepentingan rakyat.
Malah, dunia persuratan pernah memberikan sumbangan yang besar dalam memerdekakan pemikiran rakyat daripada belenggu anasir luar yang menjajah sewaktu zaman prakemerdekaan negara.
Katanya, tokoh pejuang kemerdekaan memanfaatkan media bercetak yang berasaskan penulisan seperti akhbar dan majalah untuk membangkitkan kesedaran rakyat terhadap nilai kemerdekaan.
“Kini dalam era teknologi maklumat. Dunia persuratan tetap terus relevan biarpun peranan bahan bercetak semakiin berkurangan setelah kemunculan buku berbentuk digital,” katanya.
Hal ini demikian kerana pelbagai media sosial yang menjadi kegilaan masyarakat waktu ini seperti facebook, laman sesawang, dan blog pada dasarnya masih berteraskan persuratan.
Bahkan, kata Arifin lagi, kuasa persuratan itu kian membesar apabila khalayaknya bukan lagi terhad semata-mata kepada pembaca yang membaca sesebuah karya bercetak tetapi menjangkaui seantero dunia apabila sesebuah karya itu disiarkan di alam maya.
Justeru itu, Arifin menyarankan agar bakat seni persuratan yang dimiliki oleh insan seni sewajarnya diiktiraf. Bakat ini adalah salah satu daripada elemen kesedaran pelbagai (multiple intelligence) yang perlu dipupuk dan digilap dsecara berterusan terutamanya dalam kalangan golongan muda kini.
Beliau mengingatkan agar penulis seharusnya memanfaatkan bakat kurniaan Allah yang istimewa itu ke arah kebaikan. Bahkan beliau sempat mengulangi bahawa bakat kurniaan Allah itu seharusnya dimanfaatkan dan disalurkan ke arah kebaikan.
Karya hasil cetusan rasa yang lahir daripada jiwa yang murni bukan hanya dapat memberikan manfaat kepada diri penulis secara khusus malah mampu menyumbang ke arah pembentukan generasi yang kreatif dan bertamadun.


Golongan penulis mesti meletakkan objektif yang betul sewaktu berkarya. Beliau mengakui bahawa dunia persuratan juga mampu menjana pendapatan yang lumayan sekiranya diceburi secara serius, namun yang lebih penting ialah peranan penulis sebagai individu yang merakam latar kehidupan sesebuah masyarakat dan mampu membentuk persepsi masyarakat terhadap sesuatu perkara.

Dalam hal ini, Arifin berkata, penulis perlu bersifat amanah dan bertanggungjawab terhadap setiap maklumat yang dikemukakan supaya tidak berlaku sebarang penyelewengan maklumat yang boleh mengelirukan masyarakat. Sebaliknya, penulis yang tidak amanah akan terdorong untuk mengeksploitasi maklumat sebenar demi kepentingan agenda peribadi sesetengah pihak.
Sikap sebegini, katanya, bukan sahaja mampu mengundang fitnah yang besar dalam masyarakat bahkan boleh menggugat keharmonian hubungan kaum yang terjalin sekian lama.
Itulah antara pesan yang disampaikan Arifin ketika merasmikan perkampungan sasterawan itu. Perkampungan itu sendiri memberikan nilai sentimental kepada saya kerana ia adalah program terawal yang saya sertai ketika mula berjinak-jinak dalam dunia kesusateraan iaitu ketika menjadi peserta program itu kira-kira 29 tahun lalu sewaktu ia diadakan di Sandakan.
Namun saya teringat pesanan cendikiawan dan penyair Arifin Arif agar bakat kurniaan Allah itu seharusnya dimanfaatkan dan disalurkan ke arah kebaikan.

SAYA TIDAK MENYESAL,KATA SAIDON

SAYA TIDAK MENYESAL,KATA SAIDON


SATU ketika di tahun 1986, beliau pernah dihalau dituduh penderhaka dan pengkhianat.Malah selepas itu beliau dihalau dari dewan persidangan dan dipecat daripada parti USNO. Sebabnya kerana dalam Perhimpunan Agung USNO, beliau mengemukakan usul untuk membawa UMNO ke Sabah. Usulnya tidak diterima pada waktu itu malahan dikenakan tindakan disiplin. “Saya tidak menyesal,” kata Saidon Haji Kadis kerana mencadangkan UMNO mengembangkan sayap ke Sabah. Kini semuanya adalah sejarah. Selepas sekian lama menjarakkan diri dari kegiatan politik praktis, beliau kembali aktif dalam parti UMNO selepas dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian Sepanggar pada Ogos lepas.


SAIDON HAJI KADIS dilahirkan di Kampung Likas, Kota Kinabalu pada tahun 1954. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Likas dari tahun 1963 hingga 1968 sebelum melanjutkan pendidikan menengah di SM All Saints hingga tahun 1973. Selepas itu beliau bekerja di Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) sebelum meneruskan pengajian di peringkat diploma di YS-ITM dalam bidang Pentadbiran dan Undang-Undang pada tahun 1977 hingga 1980. Sebaik tamat pengajian, beliau menceburkan diri dalam politik seawal tahun 1981. Beliau pernah menjadi Ketua Bahagian USNO Likas dan pernah bertanding pada tahun 1985.Ketika itu beliau berusia 29 tahun tetapi kurang bernasib baik. Sementara itu, beliau menyaksikan perpecahan di kalangan pemimpin bumiputera Islam hingga menyebabkan beliau mengusulkan agar UMNO mengembangkan sayapnya ke Sabah. Usul itu mendapat tentangan di peringkat awal dan melalui proses yang tidak mudah.Namun kemudian, setelah melalui pelbagai peristiwa politik, akhirnya UMNO menngembangkan sayapnya ke Sabah pada tahun 1991 dan selebihnya adalah sejarah.


Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berkesempatan menemuramah beliau di ibu negeri baru-baru ini untuk berkongsi pengalaman beliau sewaktu mula terlibat dalam politik. Ikuti petikan temuramah bersama beliau:


UTUSAN BORNEO: Sebagai antara orang yang pertama mengusulkan agar UMNO mengembangkan sayapnya ke Sabah, bolehkah tuan menceritakan sedikit mengenai latar peristiwa itu supaya dapat difahami generasi kini?


SAIDON HAJI KADIS: Terlalu banyak perpecahan di kalangan pemimpin khususnya di kalangan orang Islam pada masa itu. Ketika itu USNO baru saja mengalami kekalahan dalam pilihanraya. Bagaimana menyatukan mereka. Itu adalah antara yang terfikir di di benak saya selepas tewas dalam pilihanraya sebagai calon USNO N.28 Likas. Waktu itu umur saya 29 tahun, boleh dikira sebagai calon yang termuda.


Sebagai Ketua Bahagian USNO Likas pada masa itu, saya fikir kenapa kita tidak jemput UMNO Ke Sabah untuk menyatukan pemimpin yang bertentangan ideologi pada waktu itu. Terlalu banyak perpecahan. Terlalu banyak parti yang diketuai orang Islam. Soalnya, bagaimana cara menyatukan tenaga dan fikiran mereka. Saya fikir, hanya melalui UMNO, Kita boleh satukan pemimpin Islam dalam Berjaya, dalam USNO dan sebagainya.


Kemudian saya kemukakan usul dalam Perhimpunan Agung USNO 1986. Akibatnya saya kena pecat dan dihalau dari Dewan Persidangan dan dituduh sebagai penderhaka dan pengkhianat pada waktu itu. Walaupun menerima tuduhan seperti itu, saya tidak menyesal.


UB: Selepas itu, apa tindakan yang tuan lakukan?


SAIDON: Kami meneruskan usaha untuk membawa UMNO ke Sabah. Pada waktu itu kami berjumpa dengan YAB Tun Dr Mahathir Mohammad, Presiden UMNO ketika itu, beberapa kali dalam 1986 untuk mengemukakan pandangan mengenai bagaimana caranya kita memasukkan UMNO ke Sabah.


Untuk membolehkan kita bergerak, kita bentuk satu jawatankuasa penaja UMNO Negeri yang diketuai Datuk Seri Mohd Dun Banir, Datu Nasrun Datu Mansur Ketua Penerangan, Azizah Mohd Dun (Kini Datuk) sebagaui Ketua Wanita, Saya Saidon Kadis dilantik sebagai Ketua Penaja Pemuda UMNO Negeri.


Saya fikir pada masa itu, Tun Dr Mahathir mahu UMNO bertapak di Sabah mungkin kerana masa itu ada ura-ura beliau mahu ditentang oleh Tengku Razaliegh Hamzah dalam pemilhan pucuk pimpinan UMNO 1987.


Kemudian apabila berlaku pertandingan antara Tun Dr Mahathir dan Tengku Razaliegh, Tun Mahathir menang dengan 42 undi. Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Pelajaran waktu itu, datang ke Sabah memaklumkan kepada kami bahawa belum sampai masanya untuk UMNO ke Sabah iaitu setelah Tun Dr Mahathir menang dalam pemilihan itu.


Kes itu kemudian di bawa ke Mahkamah dan UMNO diharamkan pada 1988. Waktu itu kami sudah slow down sehinggalah satu peristiwa politik berlaku apabila Parti Bersatu Sabah, komponen BN mengambil keputusan keluar dari Barisan Nasional pada 15 Oktober 1990.


Pucuk pimpinan UMNO dengan serta merta buat keputusan UMNO perlu bertapak di Sabah setelah PBS umum keluar BN di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu iaitu menjelang pilihanraya umum. Sehinggakan USNO tidak sempat meletakkan calon kerana keesokan harinya pilihanraya. Pada hari penamaan calon, kita terpaksa sokong calon Bebas.


UB: Bila UMNO bertapak di Sabah?


SAIDON: Apabila UMNO mahu bertapak di Sabah, ia tidak boleh sewenang-wenang masuk ke Sabah kerana waktu itu masih ada USNO.Kemudian berlaku perundingan antara USNO dan UMNO.


Antara persetujuan yang dicapai ialah semua ahli USNO automatik jadi ahli UMNO. Kedua semua cawangan USNO secara automatik menjadi cawangan UMNO.


Sebagai makluman , Bahagian-bahagian UMNO dibentuk berdasarkan Kawasan Parlimen manakala bahagian-bahagian USNO berdasarkan DUN. Jadi apabila UMNO mengembangkan sayapnya ke Sabah, sebanyak 20 Bahagian UMNO dibentuk di Sabah. Seramai 16 Ketua Bahagian USNO dilantik sebagai Ketua Penaja UMNO manakala empat orang lagi dilantik dari kalangan pemimpin di luar USNO.


Empat pemimpin ialah ialah Datuk Mohd Dun Banir, Datuk Zulkifli Abdul Hamid,Datuk Karim Ghani, Datuk Kasitah Gaddam (kini Tan Sri) dan Datuk Abdul Rahim Ismail.


Saya pula dilantik sebagai Setiausaha UMNO Bahagian Gaya (kini kawasan itu dikenali sebagai Sepanggar) yang diketuai Datuk Haji Dzulkifli Abdul Hamid sebagai ketua penaja bahagian.


Pada 21 Februari 1991, Tun Datu Haji Mustapha Datu Harun menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Tun Ghafar Baba, yang dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah pada masa itu.


Kemudian selepas itu, diadakan pemilihan UMNO dan saya menawarkan diri untuk bertanding dan menang sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gaya.


Bagaimanapun, pada 1996 saya kalah sebanyak enam undi kepada Datuk Hussin Wahid Dally untuk jawatan Ketua Bahagian UMNO. Saya kemudian mengambil keputusan untuk berehat, malah jawatan Ketua Cawangan UMNO Likas Lama saya serahkan kepada adik saya.


Kemudian pada Ogos lepas, setelah berlaku sedikit rombakan di Bahagian Sepanggar selepas Ketua Bahagian digantung keahlian, saya diminta oleh Pemangku Ketua Bahagian, Datuk Yakub Khan untuk menjadi Ketua Penerangan UMNO Sepanggar.


Sebenarnya saya tidak mahu lagi terlibat dalam politik, sudah cukup.Kita beri laluan kepada pemimpin muda tetapi Datuk Yakub yang dilantik sebagai Pemangku ketua Bahagian meyakinkan saya supaya ikut menyumbang dan memainkan peranan mengukuhkan parti.


UB: Apa beza politik dulu dengan sekarang, menurut pandangan tuan?


SAIDON: Dulu orang sanggup berkorban apa saja demi perjuangan membela rakyat. Jika kita menjemput orang dalam apa saja majlis, orang tidak terlalu mengambil kira kepentingan material. Orang datang secara sukarela, dengan hati yang ikhlas. Semasa saya menjadi Ketua Bahagian USNO, tidak ramai yang mahu jadi pemimpin. Mahu pilih ketua cawangan pun susah kerana tiada yang mahu. Tapi sekarang keadaan agak berbeza.


Selain itu, perkembangan teknologi maklumat tidaklah seperti sekarang. Rakyat terutamanya generasi muda kini mempunyai akses terhadap apa saja maklumat melalui internet. Masa dulu tak ada sosial media. Orang masih mahu dengar ceramah-ceramah sebagai wadah menyampaikan maklumat. Bila kita adakan akitiviti,, ramai yang datang.


Saya perhatikan, dulu orang khususnya dalam parti saling hormat menghormati sampai perkara yang mahu dilakukan atau dilontarkan tidak sanpai menyinggung perasaan pemimpin, tidak seperti sekarang. Teknologi maklumat berkembang seiring dengan pembangunan negara kita. Oleh sebab itu, apa yang berlaku sekarang, kita kena ikuti.Perkembangan semasa kita kena ikuti. Apa juga tohmahan pembangkang terhadap kerajaan dan UMNO perlu kita tangani dan hadapi. Masalahnya sekarang ramai orang yang lebih percaya kepada persepsi daripada fakta. Orang selalu melihat persepsi dan menyangka itulah realiti. Sebenarnya apa yang mereka baca dalam media sosial adalah persepsi yang sengaja direka untuk meracun fikiran rakyat supaya menentang kerajaan.


UB: Bagaimana cara tuan untuk menangani masalah persepsi ini?


SAIDON: Sejak mengambil alih tugas sebagai Ketua Penerangan, saya sudah bersiap sedia untuk memperbetulkan persepsi yang salah yang dilemparkan oleh media sosial melalui program yang kita aturkan. Setiap bulan kita mengadakan tiga program yang dinamakan Program Membara di setiap kawasan Pusat Daerah Mengundi. Dengan adanya program itu, kita boleh jelaskan kepada rakyat, fakta yang sebenar, fakta yang sengaja diputarbelit oleh golongan pembangkang di media sosial.


UB: Bagaimana sambutan masyarakat?


SAIDON: Sambutan menggalakkan kerana cara pendekatan kita. Kita berkumpul, kita fokus masalah rakyat, kita buat program dalam skala kecil-kecilan untuk lebih dekat dan memahami setiap permasalahan rakyat.
Selain itu, kita anjur seminar keusahawanan wanita, kita anjur pertandingan pidato peringkat kampung, kita adakan karnival dan sebagainya.


UB: Oh ya, pernahkah tuan terfikir menjadi ahli politik?
SAIDON: Sebenarnya saya tidak pernah memikirkan pada waktu dulu. Cuma dulu saya suka melihat tayangan gambar oleh jabatan penerangan yang selalu diadakan di Padang Likas. Waktu itu, Mendiang Datuk Pang Tet Chung selalu berucap di kawasan Likas. Masa itu saya fikir alangkah baiknya jika ada orang kita yang berucap mewakili suara masyarakatnya. Mungkin kesedaran berpolitik itu bermula dari sana kerana melihat keadaan masyarakat kita yang masih jauh ketinggalan. Kita terpanggil untuk berjuang untuk membela kepentingan rakyat agar turut sama menikmati kemajuan dan pembangunan negara.

ORANG BILANG SAYA GILA, KATA DATO FREDIE SUA


ORANG BILANG SAYA GILA, KATA DATO’ FREDIE SUA
Orang bilang saya gila, kata Dato’ Fredie Sua. “Apabila saya mempunyai sesuatu idea, biasanya saya simpan dahulu untuk diri sendiri. Saya buat perancangan dengan teliti. Bila masanya sudah sampai, barulah laksanakan” kata Pengerusi penganjur Tour of Borneo yang baru saja dilaksanakan awal bulan ini. Tour of Borneo atau Jelajah Borneo itu berjaya menempatkan Sabah di pentas dunia dalam sukan lumba basikal. Kejohanan itu mendapat pengiktirafan daripada Union Cycliste Internationale (UCI), Asian Cycling Confederation (ACC), Malaysian National Cycling Federation (MNCF).


Kini Jelajah Borneo, perlumbaan sejauh 646.4 kilometer itu sudahpun berlangsung dengan jayanya. Kejayaan kejohanan lumba basikal itu tidak lepas daripada sentuhan orang kuat yang menjadi tulang belakang Tour of Borneo, Dato’ Fredie Sua.


Dato’ Fredie Sua dilahirkan di Kota Kinabalu pada tahun 1964. Ayahnya Benedict Sua dari Penampang manakala ibunya Nining Balit dari suku Lotud Tuaran. Anak kedua dari enam adik beradik ini mendapat pendidikan awal di SJK (C) Chi Hwa di Sandakan dari tahun 1969 hingga 1970 sebelum melanjutkan pelajaran di SRJK St Aloysius Limbanak dalam darjah tiga hingga darjah enam. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran menengah di SM La Salle pada tahun 1977 dari tingkatan satu hingga tingkatan tiga. Kemudian beliau bersekolah di SM Datuk Peter Mojuntin dari tingkatan empat hingga tingkatan lima. Tidak lama kemudian, beliau terbang ke Kanada pada tahun 1981 untuk mengikuti pengajian di Universiti Gualph Ontario hingga tamat tahun 1985 dalam bidang pengurusan ekonomi agri bisnis. Dato’ Fredie menceburi arena politik pada tahun 1991 melalui parti UMNO di Penampang. Beliau pernah menjadi Timbalan Ketua UMNO Bahagian Penampang dari tahun 2000 hingga 2008. Dari tahun 2008 hingga 2013, beliau menjadi Ketua Cawangan dan kini beliau menumpukan banyak masanya sebagai Ketua Eksekutif Kumpulan Total Megalink Sdn Bhd. Selain itu, beliau juga adalah Presiden Persatuan Suang Lotud sejak 2009 dan Pengerusi Kerjasama Perniagaan Sabah- Filipina.
Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemubual DATO’ FREDIE CHUA di pejabatnya di Menara MAA baru-baru ini. Ikuti petikan temubual bersama beliau mengenai Tour of Borneo, minatnya dalam sukan lumba basikal dan sebagainya.


UTUSAN BORNEO: Sukan lumba basikal semakin menarik perhatian masyarakat sejak Tour of Borneo atau Jelajah Borneo diadakan. Bolehkah Dato ceritakan serba sedikit mengenai Tour of Borneo (TOB) itu?
DATO’ FREDIE SUA: Tour of Borneo mula diadakan pada tahun 2012. Edisi kedua TOB diadakan pada tahun 2013 manakala edisi ketiga baru saja selesai iaitu pada 31 Oktober hingga 4 November yang diadakan dalam lima peringkat merangkumi laluan sejauh 646.4 km. Perlumbaan Jelajah Borneo atau TOB ini berjaya mengangkat nama Sabah ke sukan lumba basikal di peringkat antarabangsa. TOB yang dianjurkan oleh Borneo International Cycling (BIC) dan Cycling Association Tuaran (CAT) adalah satu perlumbaan yang mendapat pengiktirafan daripada Union Cycliste Internationale, Asian Cycling Confederation (ACC),Malaysian National Cycling Federation (MNCF). Sejak diadakan, TOB mendapat tumpuan pelumba-pelumba basikal dari banyak negara di seluruh dunia.


UB: Siapa antara peserta yang menyertai TOB 2015?


FREDIE: Antara peserta antarabangsa yang mengikuti TOB ini ialah Mark John Lexer Galedo dari Team 7-Eleven Road Bike Filipina yang diketuai Mark John Lexer Galedo, Pasukan Retumu-Delfin dari Latvia, Data # 3 Symantec dari Australia, Al Marakeb dari Morocco, Team Soigneur dari Denmark, Team CCN dari Laos, Pasukan Kebangsaan Brunei dan Pegasus Continental Cycling Team dari Indonesia disamping Pasukan Kebangsaan Indonesia. Pasukan Malaysia diwakili pasukan berbasikal Terengganu (TSG) yang disertai mantan juara kebangsaan, Adiq Husaine Othman. Itu adalah antara pasukan yang mengambil bahagian dalam perlumbaan yang diadakan dalam lima peringkat. Peringkat pertama sejauh 27.2 km di WP Labuan, peringkat kedua sejauh 138.9 mengelilingi pulau itu sebelum peringkat ketiga yang merangkumi kawasan sejauh 149.7 km dari Menumbok ke Kuala Penyu. Peringkat keempat diadakan dari Tuaran ke Kudat meliputi laluan sedjauh 149.5 km dan manakala peringlat terakhir, yang paling mencabar ialah dari Kudat ke Kundasang, mengayuh ke kaki gunung Kinabalu sejauh 181.1 km. Itulah secara ringkas mengenai TOB 2015.

UB: Sebelum pergi jauh, saya ingin bertanya bagaimana Dato’ mendapat idea untuk menganjurkan TOB di Sabah?


FREDIE: Saya mendapat idea untuk menganjurkan Tour of Borneo (TOB) setelah menyaksikan Le Tour de Langkawi (LTdL). Jelajah itu diadakan di Langkawi dan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia. Pernah satu ketika, satu `stage’ LTdL diadakan di Sarawak. Tetapi selepas itu tidak lagi mungkin kerana kos pengangkutan.


Saya terfikir untuk mengadakan Jelajah Borneo yang diadakan di Sabah untuk memperkenalkan tempat-tempat yang menarik di Sabah. Edidsi pertama kita akan pada tahun 2012 iaitu dari Semporna ke Tawau, kemudian peringkat kedua dari Tawau ke Lahad Datu. Peringkat ketiga dari Lahad Datu ke Sandakan manakala peringkat keempat dari Sepilok dan peringkat kelima dari Kundasang ke Kota Kinabalu.


Kita dapati pengalaman edisi pertama TOB itu adalah masalah sedikit kerana laluan yang kita pilih itu tidak mempunyai laluan kedua atau lauan alternatif. Oleh sebab itu, ia kadang-kadang mengganggu ketenteraman lalu lintas dan pengguna. Dulu kita terpaksa tutup jalan buat seketika untuk membolehkan peserta TOB melaluinya tetapi dalam TOB, kebanyakan jalanraya yang kita pilih mempunyai laluan alternatif.


Edisi kedua TOB kita dapat kurangkan masalah. Ia diadakan di pantai Barat bermula dari I Borneo ke Tuaran, Dari Tuaran Ke Kota Belud selepas itu dari Tanjung Aru ke Papar hingga Beaufort, kemudian dari Tuaran ke Penampang dan seterusnya KK dimana semua laluan itu mempunyai laluan alternatif.


Kita memilih laluan ini, salah satu sebabnya adalah untuk memperkenalkan tempat-tempat ini sebagai tempat menarik yang boleh menarik pelancong. Laluan kita pilih meliputi kawasan Pantai Timur Sabah, kawasan yang memang sudah popular. Begitu juga Kundasang yang memang sudah popular di kalangan pelancong.

UB: Bagaimana TOB boleh membantu meningkatkan ekonomi kita?


FREDIE:TOB kini sudah masuk dalam kalendar Asean dan sudah tentu akan menarik lebih ramai pelumba untuk datang ke negeri ini. Selain perlumbaan ,peminat sukan lumba basikal melihat ini sebagai satu bentuk rekreasi.


Apa bila ramai peserta atau pelumba basikal menyertai TOB,dengan sendirinya kawasan yang dilalui akan dapat dipromosi melalui media-media tempatan dan luar negeri. Ia juga dapat dipromosi melalui rangkaian tv melalui program dokumentari. Dengan sendirinya, ia menarik lebih ramai pelancong.


Kita juga melihat semenjak sukan berbasikal ini dipopularkan, semakin ramai yang mula menceburi sukan beerbasikal. Beberapa kedai basikal yang menjual pelbagai jenis basikal, semi pro hingga basikal berjenama mula menjadi tumpuan ramai. Peningkatan minat orang ramai menyebabkan industri ini turut meningkat. Bukan saja jualan basikal, tetapi peralatan lain seperti kasut, baju, topi dan sebagainya, jualannya turut meningkat. Ini adalah satu industri yang berpotensi di Sabah. Pasaran basikal kini meningkat.


Melalui TOB kita dapat menarik 1.5 juta nilai liputan media tidak termasuk liputan berita, Edisi kedua hampir RM2 juta nilai liputan tidak termasuk liputan berita.Edisi ketuga lebih banyak daripada ini , kerana kebih banyak media tempatan dan luar yang membuat liputan.


UB: Bagaimana pula mengenai kualiti pelumba yang menyertai perlumbaan pada edisi kali ini?
FREDIE: Pada keseluruhannya mutu semakin meningkat. Daripada 69 pelumba yang menyertai TOB kali ini, 57 daripada dapat meneruskan perlumbaan ke peringkat akhir. Tidak ramai yang terkeluar.Mereka cukup bersedia untuk mengikuti TOB. Sebelum ini,dalam edisi pertama, daripada 120 penyertaan, hanya 41 dapat berjaya menghabiskan perlumbaan. Ada banyak sebab mengapa mereka tidak dapat meneruskan perlumbaan. Ada yang cedera dan ada pula kerana dinasihatkan tidak meneruskan perlumbaan.


UB: Bagaimana mengenai mutu jalan raya?
FREDIE:Standard jalanraya kita memang tidak sebaik kualiti lebuh raya di Semenanjung yang mempunyai tol. Kita masih ketinggalan dari segi kualiti jalan raya. Kualiti jalan raya walaupun berkeadaan baik taoi tidak seberapa rata. Sebelum perlumbaan, kita memastikan tiada ketulan batu, tiada ranting kecil atau lubang kecil yang terdapat di laluan perlumbaan kerana ia membahayakan pelumba. Setiap kali sebelum memulakan perlumbaan, kita selalu mengingatkan pelumba dan memberikan taklimat kepada mereka mengenai bentuk mukabumi dan bentuk jalan yang mereka lalui.

UB: Sebelum ini, pernahkah Dato melihat kejohanan di luar negara?
FREDIE: Saya pernah melihat Tour de France pada ediusi ke 103. Saya juga pernah berada di Switzerland dan secara kebetulan berkesempatan melihat kejohanan lumba basikal di Switzerland.


UB: Oh ya. Kalau boleh berkongsi, bagaimana reaksi orang ramai sebaik-baik Dato menimbulkan idea mengadakan kejohanan lumba basikal Tour de Borneo?
FREDIE: Orang bilang saya gila. Apabila saya mempunyai sesuatu idea, biasanya saya simpan dahulu untuk diri sendiri. Saya buat perancangan dengan teliti. Bila masanya sudah sampai, barulah laksanakan. Saya bukan cari nama, bukan cari untung tapi saya lakukan semua ini demi negeri dan negara, kita berusaha untuk menempatkan negeri dan negara kita di peta dunia dalam lumba basikal.

KEJAYAAN FELICIA DAPAT PERHATIAN KAPSA


KEJAYAAN FELICIA DAPAT PERHATIAN KAPSA


TAMBUNAN: Kejayaan Felicia binti Mikat memenangi tiga pingat emas bagi acara 100 meter, 200 meter dan 400 meter dalam Sukan Para Asean Singapura 2015 sekalipun diluar dugaan tetapi bukanlah sesuatu yang datang secara tiba-tiba.
Sebelum ini, Felicia yang lebih dikenali sebagai Lincia di kalangan keluarga di kampungnya, Kampung Kipaku Tambunan, pernah menorehkan beberapa kejayaan cemerlang.
adis berusia 16 tahun itu pernah terpilih sebagai Olahragawati Keseluruhan Balapan dan Padang Pendidikan Khas 1 Malaysia Peringkat Kebangsaan pada tahun ini.
“Saya mula serius berkecimpung dalam sukan sejak berumur 13 tahun,” kata pelajar yang kini menuntut dalam tingkatan empat di SMK Badin Tuaran.
Ketika mewakili sekolahnya, Felicia terpilih memenangi Olahragawati SPK Pekan Tuaran, Olahragawati Sukan Tahunan Sekolah Pendidikan Khas Tuaran
Felicia juga memenangi pingat emas 100 m, 200 m dan lompat jauh Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) sejak berusia 13 tahun, Memenangi Pingat emas acara 100 meter, 200 meter, 400 meter dan Lompat Jauh Sukan Sekolah Peringkat Negeri Sabah sejak 13 tahun.
Bukan saja dalam sukan, dalam bidang akademik pun Felicia mencatatkan kecemerlangan.
Felicia pernah terpilih memenangi tempat pertama dalam pencapaian akademik 2007, Anugerah Murid Inovatif 2006, Anugerah Mata Pelajaran Terbaik Tahap 1 2007, Tempat Pertama SMK badin, Peserta Terbaik Perempuan Perkhemahan Bersepadu Pengakap.
“Saya selalu beri besan kepada Lincia agar utamakan dua perkara, belajar dan sukan,” kata ayahnya Mikat bin Yamun.
“Saya tidak sangka-sangka dia menang,” kata Mikat yang juga Ketua Kampung Kipaku.
Di kampungnya, Felicia tidak menjalani apa-apa latihan khusus. Felicia hanya suka mengikut bapanya untuk menoreh getah.

Felicia, anak ketiga dari empat adik beradik ini hanya berlatih tiga kali seminggu bila ada kejohanan. Jurulatih yang pernah melatihnya ialah Tony Sawan, jurulatih paralimpik, dan Brayan Bonny, Jurulatih MSSM dan lain-lain.
Dalam keluarganya, hanya Felicia dan abangnya yang aktif dalam sukan. Abangnya pernah jadi wakil dealam acara bolasepak.
“Saya gembira kerana beliau berjaya mengharumkan nama Malaysia,”. Tidak semua orang mampu mencatat kejayaan seperti itu kata Ibunya Nimah binti Botingan.
Saya terkejut kerana dia menang, katanya ibunya lagi.
Bagi Felicia sendiri, kejayaan itu adalah yang pertama dicipta di luar negara.
“Saya gembira kerana dapat menyumbangkan pingat emas untuk negara,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada keluarga, rakan-rakan dan jurulatih yang menyumbang hingga beliau berjaya.
Matlamat seterusnya ialah kejohanan Sukan Para Asean 2017 dan berazam untuk mempertahankan pingat emas yang dimenanginya walaupun dijangka menerima tentangan sengit dari peserta lain.
Di Singapura, kontinjen Malaysia yang terdiri daripada 314 atlet dan pegawai menduduki tempat ketiga keseluruhan di belakang Thailand dan Indonesia dengan 52 emas, 58 perak dan 37 gangsa.
Thailand muncul juara keseluruhan dengan 94 emas, 76 perak, 79 gangsa diikuti Indonesia 81 emas, 74 perak 63 gangsa.
Selain menjadi seorang guru yang menjadi cita-citanya,, Felicia juga menyimpan tekad dan impian untuk menjadi pelari bertaraf dunia.
Kejayaan Felicia mengharumkan nama negara itu turut menarik perhatian banyak pihak termasuk Kelab Kakitangan Jabatan Penerangan (KAPSA) untuk turut menyumbang memberikan galakan.
“Tujuan kami adalah untuk menyampaikan penghargaan kepada adik Felicia kerana kejayaannya menang pingat emas di Singapura.Kami tumpang berbangga,” kata Timbalan Pengerusi Kapsa, Yunus Haji Saprin yang juga Timbalan Pengarah Penerangan Sabah.
“Kejayaan itu amatlah membanggakan kita,” katanya dalam satu majlis ringkas penyampaian insentif sebanyak RM1,500 daripada Penasihat Kapsa di kediaman Felicia di Kampung Kipaku, Tambunan Sabah
Penasihat Kapsa., Dato Mohd Saidi Haji Sariah itu berkata, insentif itu adalah sebagai penghargaan kepada adik Felicia kerana menang tiga pingat emas dalam Sukan Paralimpik di Singapura.
Beliau memberikan insentif sebanyak RM500 bagi setiap pingat emas yang dimenangi, menjadi jumlah keseluruhannya RM1,500.
Katanya, dengan galakan keluarga, pihak sekolah, MSSS dan KBS, beliau menyatakan keyakinannya bahawa Felicia akan terus maju dan mampu memenangi pingat emas dalam kejohanan yang akan datang.
“Kita juga berharap lebih ramai lagi Felicia yang lahir pada masa hadapan,” katanya sambil menyatakan rasa kagum dengan cara dan gaya Felicia memecut seperti Usayn Bolt.
Beliau juga menyampaikan sumbangan sempena Krismas kepada keluarga Felicia untuk menyambut krismas.
Katanya, sumbangan itu adalah sumbangan korporat yang disampaikan melalui syarikatnya, Empayar Emas Industries Sdn.Bhd.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Penolong Pengarah Penerangan Sabah,Iskandar Ismail, Ibubapa Felicia dan media.


UTUSAN BORNEO 26 DIS 2015


















HAJI MASRAN OMAR, PERNAH KERJA MENGUKUR LIMA GUNUNG

HAJI MASRAN OMAR, PERNAH KERJA MENGUKUR LIMA GUNUNG


BIARPUN diterpa angin dingin pergunungan, tetapi beliau tidak mengalah.Sebaliknya bersama empat lagi rakannya, mereka berlima meneruskan misi untuk membuat kerja-kerja mengukur tanah hingga ke Puncak Kinabalu, gunung yang tertinggi di Asia Tenggara. Selepas menyempurnakan kerja-kerja mengukur gunung Kinabalu, pada 1956, beliau juga pernah terlibat dalam kerja-kerja mengukur gunung di beberapa puncak gunung lain di negeri ini. Sayangnya, pengalaman beliau tidak mencatatkan rekod ekspedisi itu itu. Dokumentasi gambar sewaktu berada di gunung juga tidak tersimpan rapi. Mujurlah, bekas KAN, Haji Masran Omar sedia menceritakan sedikit pengalamannya ketika membuat kerja-kerja pengukuran gunung kepada Utusan Borneo walaupun banyak yang sudah luput dari ingatannya.
Haji Masran Haji Omar dilahirkan di Kota Belud pada 13 Jun 1940. Beliau mendapat pendidikan awal di GPS Kota Belud pada tahun 1947 sebelum berpindah ke GPS Pandasan hingga lulus darjah enam. Selepas itu beliau bekerja secara kontrak di North Borneo Land and Survey Department untuk membantu kerja-kerja mengukur tanah. Selepas itu, beloiau berkhidmat di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu pada tahun 1957. Pada tahun 1963, beliau bertugas di bahian Perubatan di Batalion 16, Pasukan Polis Hutan hingga tahun 1976. Kemudian beliau menceburi bidang perniagaan dan pernah menjadi pengedar tunggal baja urea di Sabah. Bagaimanapun, pada tahun 1986, beliau dilantik sebagai Ketua Anak Negeri (KAN) Kota Kinabalu selama 18 tahun hingga tahun 2000. Beliau pernah aktif dalam Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dan pernah dipilih sebagai Timbalan Ketua Bahagian USIA Kota Kinabalu. Selain itu, Haji Masran juga pernah menjadi Pengerusi Persatuan Sabah Bajau Bersatu (PSBB) Bahagian Tanjung Aru ketika persatuan itu dipimpin oleh Mashar Maidan. Beliau juga pernah aktif dalam Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Sabah.Kini walaupun sudah berusia 75 tahun,beliau masih aktif dalam kegiatan kemasyarakatan
Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN BIN SHAIDDIN sempat menemubual Haji Masran Omar sambil minum kopi di salah sebuah restoran popular di Jalan Pantai untuk berkongsi pelbagai pengalaman menarik yang pernah dilaluinya. Ikuti petikan temubual bersama beliau pada satu petang di ibu negeri;


UTUSAN BORNEO: Terima kasih kami ucapkan kepada tuan haji kerana sudi ditemuramah untuk ruangan Sembang Sabtu pada petang ini. Bolehkan tuan haji ceritakan sedikit mengenai latar belakang tuan haji?
HAJI MASRAN OMAR: Saya dilahirkan pada 13 Jun 1940 di Kota Belud. Sekolah pertama saya ialah GPS Kota Belud. Kemudian berpindah pula ke GPS Pandasan hinggalah tamat darjah Enam. Guru besar kami pada masa itu ialah arwah Cikgu Fadzilali. Setiap hari saya berjalan kaki dari rumah nenek saya Haji Dahlan,di Kampung Kaguraan ke Pandasan sebelum saya memiliki basikal raleigh, yang menjadi satu kebanggaan pada ketika itu.

UB: Tuan haji anak keberapa dalam keluarga?
HMO: Saya anak keempat dari lapan adik beradik. Angka lapan ini membawa tuah kepada saya walaupun sebenarnya terjadi secara kebetulan. Kebetulan ayah saya memiliki lapan adik beradik. Kami juga lapan adik beradik. Anak saya pun semuanya lapan adik beradik.


UB: Oh ya, syukurlah. Siapa adik beradik tuan haji?
HMO: Kita mulakan dengan ayah saya. Ayah saya , Haji Omar Keruak mempunyai lapan adik beradik. Adik beradik bapa saya ialah Dusin , Haji Omar,Ludin,Sindah.,Bu’ Ma,Sidum,Sintam atau lebih dikenali sebagai Tun Datuk Seri Panglima Haji Mohd Said Keruak. Beliau pernah menjadi Ketua Menteri Sabah dan pernah menjadi Yang Di Pertua Negeri Sabah.
Haji Omar berkahwin dengan Hajah Nusiah Datu Juan. Kami juga lapan adik beradik iaitu Simah Haji Omar, Kibah Haji Omar, saya Haji Masran Omar, Sarijemah Haji Omar, Gulungan Haji Omar, Jurupakal Haji Omar, Hajah Mastata Haji Omar, Lemabi Haji Omar.
Anak saya juga ada lapan orang dengan isteri saya, Juyah binti Hashim. iaitu Sadiah, Roslan, Asmawati, Fauziah, Sarimah, Azman,Mohd Nizam, dan seorang lagi meninggal dunia, dayang Melati, meninggal di Semenanjung.


UB: Selepas tamat sekolah, tuan haji kerja dimana?
HMO: Saya mendapat kerja ,kontrak di North Borneo Land and Survey Department .Jika tidak silap saya tahun 1956. Antara pengalaman yang saya tidak dapat lupakan ialah ketika kami ditugaskan untuk membuat kerja kerja menyukat gunung Kinabalu.


UB: Siapa rakan-rakan tuan haji?
HMO: Kami lima orang semuanya.Antara rakan saya ialah Mr Sowdos, Pegawai Jabatan Tanah dan Ukur,yang menjadi ketua, Wong orang Bajau Pirasan tukan pancang, saya Haji Masran Omar tukang rantai, Gagah orang bajau dari Pirasan juga dan satu orang Dusun dari Tamparuli kerja tukang rantis.


UB: Boleh ceritakan mengenai pengalaman kerja sukat tanah itu?
HMO: Dari Jesselton, kami ke Tamparuli.Dari Tamparuli kami ke Kampung Dalas. Dari Kampung Dalas kami berjalan lagi ke Tinampok. Dari sana kami mula mendaki.Kami bekerja mengukur jarak Puncak Low (Low Peak) bermula dari Tinompok ke Randagong di atas paras 8,000 kaki . Dari sana kami ke Paka, kami tidur di gua batu sebelum pergi ke Sayap. Di sana kami dirikan khemah. Sukat tanah. Semuanya mengambil masa selama 22 hari. Kami banyak dibantu oleh orang tua Gunting yang menyediakan porter.


UB: Bagaimana keadaan cuaca pada masa itu?
HMO: Keadaan di atas ketinggian gunung itu memang lah sejuk. Kami terpaksa panaskan air untuk mandi. Masa itu, jalan atau laluannya bukan bagus. Agak berbahaya jika dibandingkan dengan keadaan sekarang.Selama 22 hari di sana, ulang alik turun naik ke atas gunung untuk membuat kerja-kerja pengukuran bukanlah tugas yang mudah. Tapi kami berbangga, kerana kamilah orang yang pertama membuat kerja-kerja pengukuran hingga ke Puncak Low, puncak tertinggi Gunung Kinabalu.


UB: Berapa elaun sehari?
HMO: Kami diberikan elaun sebanyak 6.00 ringgit sehari. Jumlah ini agak lumayan pada masa itu.


UB: Selain gunung Kinabalu, ada gunung lain yang pernah disukat?
HMO: Selain gunung Kinabalu, beliau juga pernah terlibat ukur tanah di Gunung Trus Madi, Gunung Lembakau, Gunung nanukan dan Gunung Tambiyokan. Itu nama yang masih saya ingat.


UB: Mengapa puncak gunung itu dinamakan Puncak Low? Mungkin ada informasi untuk generasi muda kita yang ingin tahu?
HMO: Sepanjang yang saya tahu, Sir Hugh Low adalah orang pertama yang mengadakan ekspedisi ke gunung Kinabalu pada 1851. Ketika itu, beliau adalah Colonial Secretary di British Colony di Labuan. Beliau mengambil masa sembilan hari untuk sampai di kawasan kemuncak gunung ditemani seorang zoologist bernama John Whitehead dan Gunting Lagadan yang menjadi malim gunung dan beberapa orang Dusun di beberapa kampung berdekatan. Mereka memulakan pendakian itu dari Kampung Kiau berdekatan air terjun Kadamaian di sebelah selatan Gunung Kinabalu. Pada bulan April dan Julai 1858, Low dalam dua lagi misi pendakian ditemani Spencer St Jon, Konsul British di Brunei. Sebenarnya John Whitehead adalah orang pertama sampai ke puncak gunung itru pada 1888, walaupun ia dinamakan puncak Low tetapi Sir Hugh Low tidak sampai ke puncak gunung tertinggi itu. Ini menurut yang diberitahu kepada saya.

UB: Selepas itu, tuan haji kerja apa pula?
HMO: Lepas itu, kira-kira pada tahun 1957 saya bekerja di Hospital Queen Elizabeth sebagai Hospital Attendant, masa itu dikenali juga sebagai male assistant. Saya bekerja di bahagian X-ray. Saya yang jadi tukang gambar x-ray.Selepas itu, cuci gambar x-ray. Boleh dikatakan saya yang mengawal bahagian x-ray ketika itu sebelum dilihat oleh Dr Mita, Dr Sita.


UB: Kemudian dimana tuan berpindah?
HMO: Pada tahun 1963, saya berpindah di Batalion 16, Pasukan Polis Hutan. Saya ditempatkan di bahagian perubatan dibawah Haji Yusuf Samsudin. Saya yang jadi pembantunya. Tahun 1976, saya berhenti jadi polis. Kemudian beralih ke bidang perniagaan sebagai pembekal tunggal baja urea di Sabah. Syarikat kami dilantik membekalkan baja urea ke seluruh Sabah di Tawau, Sandakan dan sebagainya. Saya berterima kasih kepada Datuk Haji Yahya Lampong yang banyak membuka peluang pada masa itu. Selepas kekalahan Berjaya, pada 1986, saya dilantik pula sebagai KetuaAnak Negeri.


UB: Berapa lama bertugas sebagai Ketua Anak Negeri?
HMO: Saya berkhidmat sebagai Ketua Anak Negeri (KAN) dari tahun 1986 hingga tahun 2000. Ketua Daerah Kota Kinabalu pada masa itu ialah OKK Datuk Haji Murshidi Nambi dan OKK Eric Majimbun.


UB: Mungkin ada pengalaman menarik sewaktu menjadi KAN?
HMO: Kebanyakan kes yang saya bicarakan adalah berkaitan adat istiadat dan anak negeri. Saya pernah membicarakan seorang wanita yang tidak mahu meneruskan perkahwinan di Pulau Gaya. Apabila ditanya apa alasannya, dia berikan alasan datang bulan. Jika tidak silap saya mengenakan denda seekor kambing mengikut adat. Selain itu, saya juga pernah membicarakan kes dimana seorang wanita anak orang kenamaan kerana melemparkan kata-kata kesat. Saya kenakan denda seekor kambing juga mengikut adat istiadat anak negeri. Sebenarnya banyak yang boleh diceritakan tetapi itulah antara kes yang saya ingat.

UB: Terlibat dalam kegiatan NGO?
HMO: Saya banyak melibatkan diri dalam NGO. Antaranya saya pernah menjadi Timbalan Ketua USIA Bahagian Kota Kinabalu, Persatuan Sabah Bajau Bersatu (PSBB) Bahagian Tanjung Aru dimana ketika itu PSBB dipimpin arwah Mashar Maidan.


UB: Akhir sekali, bolehkah tuan haji tinggalkan sedikit kata-kata pesanan atau nasihat untuk pembaca?
HMO: Dalam apapun tugas dan kerja yang saya lakukan, saya tidak pernah lupakan tanggungjawab saya kepada keluarga. Keutamaan saya adalah kepada keluarga.Kehidupan saya adalah untuk keluarga. I Love My Family. Saya cintakan keluarga saya.

UTUSAN BORNEO 26 DIS 2015

Tuesday, September 8, 2015

DR JAMES ALIN BICARA MENGENAI KESAN KEJATUHAN RINGGIT TERHADAP EKONOMI NEGERI



DR JAMES ALIN BICARA MENGENAI KESAN KEJATUHAN RINGGIT TERHADAP EKONOMI NEGERI



Apakah pencapaian terbaik ekonomi Sabah dari 1997 sehingga 2015? Sejauhmanakah kejatuhan Nilai Ringgit telah mengugat pencapaian itu.
Apakah kesan kesan buruk akibat kejatuhan Nilai Ringgit kepada rakyat Sabah berpendapatan rendah, pengguna, pengeluar (atau pengeksport) dan kerajaan. Penganilisis ekonomi dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr James Alin menjawab persoalan ini.



DR JAMES ALIN, pensyarah di Fakulti Perniagaan,Ekonomi dan Perakaunan Universiti Malaysia Sabah (UMS) .Beliau yang juga Felo Kanan, Center for Strategic Policy and Governance, Palawan State University, Philippines, Dilahirkan di WP Labuan, Dr James mendapat pendidikan awal di Kuala Penyu ketika tinggal bersama neneknya. Selepas itu, beliau menduduki bangku sekolah menengah di Maktab Sabah sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Malaysia dalam bidang sejarah dan ekonomi. Setelah lulus pengajian, beliau bekerja sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) di salah satu jabatan di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Dr.James kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Yokohama Jepun sehingga lulus MA dan PhD dalam bidang ekonomi.

Ikuti petikan wawancara Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN bersama Dr.James Alin (DJA) mengenai isu-su berkaitan soal ekonomi di ibu negeri baru-baru ini..Pembaca yang memerlukan penjelasan lanjut berkaitan isu ekonomi yang dimuatkan dalam wawancara ini boleh menghantar email kepada Dr. James Ajames2000@hotmail.com,manis2001us@yahoo.com



UTUSAN BORNEO: Kejatuhan Nilai Ringgit yang sedang berlaku sekarang ini mengingatkan kita kepada krisis Matawang Asian 1997…

DJA: Saudara Naddin masih ingat 1997, "KrisMon" (Krisis Monetari) bilang orang Indonesia. Nilai Ringgit jatuh teruk telah memaksa Bank Negara Malaysia melaksanakan Dasar Kawalan Dana (Capital Controls) dan Kawalan Nilai Tukaran Asing Ringgit (fixed exchange rate). Hari ini (24 Ogos 2014) nilai Ringgit jatuh menjunam …ke aras RM4.2465 untuk 1 USD. Paling rendah dalam sejarah Ringgit setakat ini, sangat memeranjatkan …dan parah …jatuh sebanyak 30% dalam tempoh yang singkat. Money changers jadi mangsa, terpaksa menggunakan Price on Application (POA), ternyata jual-beli matawang Ringgit merugikan mereka!


UB: Price on Application …boleh jelaskan doc? ...

DJA: POA merujuk kepada harga Ringgit dalam pasaran matawang berubah setiap detik. Peniaga-peniaga di Bangkok dan di Jakarta tahun 1997 meletak papan tanda di luar kedai mereka…memaparkan senarai harga yang ditulis semula setiap jam kerana Nilai matawang Bhat dan Rupiah jatuh mendadak dan berterusan serupa dengan apa yang terjadi dengan Ringgit sekarang ini..


UB: Maksudnya Matawang ni…macam barangan biasa, dijual-beli dalam pasaran bebas? Kalau begitu doc..BNM patut menyekat nilai Ringgit daripada jatuh berterusan…kenapa tidak bertindak seperti masa KrisMon 1997?
DJA: Perlaksanaan Capital Controls dan fixed exchange rate dalam kegawatan ekonomi…mempunyai kos dan faedahnya…saya cadang sesi temubual yang berasingan untuk membincangkan topik yang sangat menarik ini…


UB: Saya setuju Doc… saya rasa kesan kejatuhan Nilai Ringgit sekarang hampir sama dengan kesan KrisMon 1997…bukan begitu doc? Yang berbeza tahap keparahannya sahaja?


DJA: Ya tepat sekali…kesan yang akan berlaku kepada ekonomi Sabah dari sekarang sehingga 2-3 tahun akan datang diramalkan lebih parah berbanding dengan kesan yang terjadi pada tahun-tahun pasca KrisMon. Baik kita bincang dengan melihat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah …


UB: Untuk manfaat pembaca , mohon DJ jelaskan apa itu KDNK?
DJA: KDNK adalah jumlah Penggunaan + Pelaburan + Perbelanjaan Kerajaan + Export tolak Import bagi negeri Sabah. Apabila KDNK dibahagi dengan jumlah penduduk Sabah, kita perolehi KDNK per kapita yang biasanya digunapakai sebagai pengukur Am tahap pendapatan penduduk di Sabah.


UB: Saya cadang kita focus kepada Penggunaan, Export dan Import sahaja lah doc… Komponen Pelaburan and Perbelanjaan Kerajaan kita simpan untuk kesempatan lain…
DJA: Apabila nilai Ringgit jatuh menjunam…ekonomi Sabah akan kerugian…akibatnya …Export dan Penggunaan jatuh, Import bertambah mahal.


UB: Sempena merayakan hari Merdeka dan Hari Malaysia akan datang, baik rasanya kita mengimbas kembali pencapaian terbaik ekonomi Sabah sejak 14 tahun yang lalu…rakyat Sabah menjadi mangsa kejatuhan Ringgit…fenomena yang bukan kita penyebabnya..bukan salah orang Sabah nilai Ringgit jatuh…betulkan doc?


DJA: …Realiti yang pahit untuk ditelan adalah..Kemerosotan Nilai Ringgit yang berlarutan mengurangkan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Perkapita Sabah. Menjelang hari Malaysia…orang kita patut berasa bangga yang kita telah bekerja keras …buktinya…Tahun 2005, KDNK Sabah adalah RM32, 427 juta, lapan tahun kemudian ianya meningkat kepada 64,096 juta. Maka, KDNK perkapita Sabah, berjumlah RM11, 134.


UB: Pencapaian terbaik..,saya ingat lagi semasa temubual kita yang lalu, DJ ada sebut sejak tahun 2000…Sabah negeri ketiga termiskin di Malaysia.
DJA: Ya betul..walaupun begitu…ekonomi Sabah telah tumbuh dengan pesatnya. Setahun sebelum KrisMon 1997, Sabah merekodkan Budget surplus (Pendapatan Negeri > Perbelanjaan), Imbangan Dagang surplus (Export > Import) dan Hutang di antara yang terendah di Malaysia…petanda pengurusan ekonomi yang terbaik…


UB: Apakah yang berlaku setahun selepas KrisMon?

DJA: Pada Julai 1997, krisis ekonomi Thai merebak ke seluruh asia tenggara, Malaysia tidak terkecuali…September sehingga penghujung tahun 1997…kita dilanda kegawatan ekonomi yang tidak kurang dahsyatnya...dulu gerakan civil society atau demo jalanan dipanggil Reformasi…sekarang Bersih …Yang berbeza…krisis sekarang berpunca dari rasuah mega, pecah amanah terang terangan dan penyalahgunaan kuasa yang berleluasa…Krismon akibat Jangkitan dari luar…KrisMon mengakibatkan Imbangan Dagang Sabah tahun 1997 buat pertama kali menjadi Deficit RM 622,735 (000). Walau bagaimanapun, Budget Deficit (Pendapatan=1,422,848 RM 000 tolak Perbelanjaan= 1,533,660 RM000) dan Hutang Negeri masa itu tidak lah besar sangat.



UB: Sejarah yang kita tidak harus lupa…mungkin pengalaman KrisMon memberikan panduan kepada kita untuk memahami keadaan sekarang…
DJA: Seperti saudara Naddin sebut tadi…orang Sabah menjadi mangsa fenomena yang bukan kita -orang biasa yang menyebabkannya… bayangkan.. KDNK per kapita orang Sabah yang pada tahun 1963… RM770 (nilai wang masa itu) tetapi berkat kerja keras…tahun 1996 KDNK per kapita kita telah berlipat ganda…tiba-tiba Nilai Ringgit jatuh…jumlah pengurangan pendapatan akibat KrisMon jauh lebih banyak dari jumlah pendapatan per kapita terkumpul sejak 1963.


UB: Sekarang ini doc?
DJA: Saya ada angka setakat 2012. Tahun itu KDNK per kapita Malaysia mencecah RM32, 084 9 semakin menghampiri Benchmark Bank Dunia RM40, 841 (atau USD 12,467 berdasarkan RM3.27 per USD) untuk layak menjadi Negara Berpendapatan Tinggi. Pada tahun yang sama Sabah menjadi negeri keempat miskin di Malaysia dengan KDNK perkapita RM19, 010.


UB: Berapa nilai KDNK per kapita tahun 2012 yang berkurang akibat kemerosotan Nilai Ringgit yang sedang berlaku ini?

DJA: Berkurang sebanyak RM13, 307. Orang Sabah semakin miskin manakala Visi 2020 Malaysia untuk menyertai kelab negara negara kaya OECD hancur berkecai.



UB: Pencapaian terbaik Sabah yang lain?
DJA: Surplus Imbangan Pembayaran sejak 1998 sehingga 2012 …Export melebihi Import selama 14 tahun berturut-turut. Export Sabah pada tahun 2012 bernilai Ringgit 47,684,774 juta atau 70% daripada KDNK Sabah. Lebihan Dagangan RM10, 257,661 juta. …mengkagumkan bukan kah?


UB: Jadi…Export menjadi penjana utama pertumbuhan ekonomi Sabah? Apa bah…yang Sabah export ni?
DJA: 38.8% Petroleum Mentah, 35% Minyak Kelapa Sawit Mentah dan Diproses; 15.4% Barangan Lain (Hasil Pertanian/perikanan); 3.8% Minyak Isirung (Kernel) Kelapa Sawit Mentah/Diproses; 3.2% Metanol (gas asli); 2.1% papan lapis dan 1.8% Besi Brikuet Panas.


UB: Ekonomi kita masih bergantung kepada komoditi utama /bahan mentah? Kalau kita kira cara yang sama…andaikata export 2015 tidak banyak berubah sejak 2012 …
DJA: Kemerosotan 30% nilai Ringgit akan mengurangkan Nilai Export 2012 dalam sebanyak RM14.305 billion. Atau sama dengan Imbangan Pembayaran Defisit RM 4 billion. Nilai hasil cukai export yang dikutip oleh Kerajaan ke atas export komoditi mentah juga akan berkurangan.


UB-: Minta DJ terangkan bagaimana reaksi firma-firma pengeksport…
DJA: Pengeksport yang tidak Berhedging Tukaran Matawang Asing akan kerugian.


UB: Nanti dulu doc…Berhedging tu apa maksudnya tu?

DJA: Firma firma import -export yang besar lazimnya menggunakan Currency Hedging iaitu insuran melindungi transaksi dari risiko turun-naik nilai matawang yang drastik. Jual beli antarabangsa biasanya dikendalikan dalam USD atau matawang negara pengimport dan pengeksport. Seperti yang saudara faham, harga matawang ditentukan oleh mekanisme pasaran bebas, melainkan Matawang Yuan yang harganya dikawal oleh Kerajaan Negara China. Turun naik harga matawang amat sukar diramalkan. Risiko dan ketidakpastian kerugian akibat Harga Matawang turun naik boleh dikurangkan melalui hedging.



UB: Selepas Nilai ringgit jatuh, bukankah harga domestik bahan mentah juga menjadi murah berbanding harga export (harga luar)? Kalau firma bimbang kerugian matawang asing…justeru mengurangkan exports…ianya boleh diproses oleh industri hiliran berNilai Tambah tinggi tempatan . Itu teori…realitinya macam mana?
DJA: Realitinya…Industri Hiliran tempatan sangat sedikit dan keupayaan teknologi mereka terhad. …topic ini sangat luas, kita boleh bincang dalam sesi yang lain…


UB: Bahan mentah murah yang kita export juga akan bertambah murah kerana harga komoditi dunia sudah lama merosot. Kalau begitu…adakah permintaan dari negara rakan Dagang akan bertambah?
DJA: Ya, Permintaan dari Negara China yang mengimport 18.2% daripada export bahan mentah Sabah akan bertambah khasnya selepas devaluation -Nilai matawang Yuan. Cuma firma-firma mengeksport ke China akan mengalami kerugian, pertama akibat kejatuhan Nilai Ringgit dan kedua, kerugian berikutan devaluasi Yuan.


UB: Devaluation itu apa?
DJA- Matawang Yuan harganya dikawal. Devaluation berlaku apabila Bank Pusat China mengurangkan nilai matawang Yuan secara paksa. Sebab apa? cerita panjang ini memerlukan ruang yang berasingan.


UB: Bagaimana dengan exports ke rakan dagang yang lain?
DJA: Export Sabah 14.6% ke Australia, 10% ke India, 5.6% ke Jepun, 4.6% ke Thailand, 3.8% ke Korea , 2.7% ke United States, 2.5 ke Singapore dijangka tidak akan banyak berubah kuantitinya. Saya rasa…firma-firma pengeksport Sabah dan firma-firma pengimport di Negara Rakan Dagang akan membincangkan semula terma-terma kontrak jangka panjang mereka. Kesan kejatuhan nilai Ringgit ke atas 12.6% bahan mentah yang dieksport ke Semenanjung Malaysia (akibat Dasar Kabotaj) and 4.4% ke Sarawak (pemprosesan hiliran) tidak begitu ketara.


UB: Penderitaan yang dibawa oleh kegawatan ekonomi akibat nilai ringgit jatuh tidak memilih warna kulit, umur atau darjat, saya rasa orang berpendapatan rendah adalah golongan yang paling terjejas…
DJA: Saya sangat bersetuju dengan pemerhatian saudara Naddin. Berapa ramai kah di antara penduduk Sabah yang dikategorikan sebagai Orang Miskin? Kalau dalam dialek Dusun- "Mosikin". Dalam Bahasa Irranun disebut apa? kiamimiskinan. Pada tahun 2007, Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) adalah RM960 dan Insiden Kemiskinan (IK) 16.4%. Lima tahun kemudian, PGK adalah RM1090 manakala IK tinggal 8.1% saja. Ini bermaksud pada tahun 2012, masih ada seramai 187, 674 Warga Malaysia di Sabah masih Miskin. Atau seramai 259,746 penduduk di Sabah Miskin termasuklah Bukan Warga Malaysia.


UB:Jumlah Orang Miskin Tegar?
DJA: Pada tahun 2007, Pendapatan Garis Kemiskinan Tegar (PGKT) adalah RM540 dengan Insiden Kemiskinan Tegar (IKT) 3.8% berbanding dengan pada tahun 2012, PGKT adalah RM660 dengan IKT berkurang ke 1.6%. Dengan kata lain dalam tahun 2012 ada seramai 37,071 Warga Negara Malaysia di Sabah masih Miskin Tegar. Atau seramai 51,307 penduduk Sabah Miskin Tegar termasuk Bukan Warga Malaysia. Orang Miskin Tegar dipanggil "Kunsikang" dalam dialek Dusun.


UB: Dalam tempoh 5 tahun, IK dan IKT telah berjaya dikurangkan separuh…boleh tahan juga lah..
DJA: Saudara perasaan tidak? Pendapatan Garis Kemiskinan (RM1090) lebih tinggi daripada Upah Minimum RM800 untuk Sabah…ganjil bukan?


UB: Upah Minimum yang dilaksanakan pada September 2012 oleh Kementerian Sumber Manusia Persekutuan telah "underestimate" kos sara hidup yang tinggi di Sabah….
DJA: mungkin…jugalah…Upah Minimum patutnya jadi benchmark kepada majikan, anggaran paras gaji yang membolehkan pekerja membayar keperluan asas. Ternyata Kementerian Sumber Manusia tidak merujuk kepada PGK yang dirumus oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan PM…


UB: Ok, sekarang kita tahu jumlah Orang Miskin dan Miskin Tegar yang akan menderita akibat kejatuhan Nilai Ringgit yang berterusan…
DJA: Nilai ringgit jatuh akan mewujudkan "Orang Miskin Baru".


UB: Berapa ramaikah daripada orang Sabah berpendapatan Menengah bakal menjadi Orang Miskin Baru akibat kejatuhan nilai Ringgit?
DJA- Individu dianggap berpendapatan Menengah sekiranya mempunyai Pendapatan Bulanan Isi-Rumah Purata (PBIRP) di antara RM1090 -4,013. PBIRP Sabah tahun 2007 hanya RM2, 837. Pada tahun 2012 ianya menjadi RM4, 013.


UB- Adakah cara lain untuk menganggar Jumlah Orang Berpendapatan rendah ?
DJA: Ada…Laporan Penyertaan Buruh. Tenaga Buruh seramai Sabah tahun 2012 adalah 1.579 juta orang tetapi hanya 1.494 juta Bekerja. Kadar Pengangguran 5.4% atau 85.3 ribu orang Sabah penganggur.


UB: Jumlah orang Bekerja di Sabah adalah 12% daripada jumlah orang bekerja di Malaysia. Siapa bilang orang Sabah malas?
DJA: Penyertaan Buruh di Sabah cukup kuantiti tetapi kurang kualiti. Hanya 15% daripada orang bekerja di Sabah berkelulusan Tertiari (universiti/kolej) , 46.2% tamat sekolah menengah, 29.9% tamat sekolah rendah dan 8.7% tidak berpendidikan formal. Tahap pendidikan yang rendah menyebabkan lebih separuh daripada orang Sabah bekerja dalam industri bergaji rendah. Ini adalah punca utama kenapa 26% bekerja dalam sektor Pertanian, perhutanan dan perikanan; 18.2% dalam sektor Perdagangan borong dan runcit, pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal dan 10.6% dalam sektor Pembinaan.


UB: Orang yang bergaji tinggi tidak ramai?
DJA: Tidak ramai dalam sektor bergaji tinggi…10.6% dalam sektor Pembuatan; 7% dalam penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman; 5.3% dalam pendidikan dan 4.9% dalam pentadbiran awam dan pertahanan.


UB: mungkin kerana KDNK Sabah berasaskan komoditi bahan mentah yang berNilai Tambah Rendah, tidak memerlukan ramai tenaga buruh mahir? Sektor produktiviti tinggi (gaji tinggi) seperti perindustrian teknologi tinggi tidak ada, penciptaan kerja bergaji tinggi yang baru sangat sedikit…
DJA: Saya rasa apa yang saudara Naddin katakan itu memang betul. Orang Sabah yang berpendidikan tinggi dan berkemahiran professional terpaksa berhijrah ke negeri lain atau luar negara kerana pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran mereka tidak banyak atau belum wujud di sini…

UB: Orang berpendapatan tetap dari pengajian, wang kebajikan, pencen dan Tabungan lain tidak perlu risau sebab barangan dan perkhidmatan tidak dijual-beli dalam Dollar.

DJA: Barangan dan perkhidmatan Perlu memang tidak "disebut" dalam Dollar dan harganya tidak berubah selepas nilai Ringgit jatuh. Yang berkurangan adalah Kuasa Membeli setiap Ringgit. Pengeluaran Barangan Perlu seperti bahan makanan biasanya menggunakan input diimport yang harganya melambung akibat kejatuhan nilai Ringgit. Orang Miskin yang bergaji Tetap terpaksa membelanjakan lebih banyak Ringgit untuk membeli jumlah barangan dan perkhidmatan yang sama. Kekangan bajet (budget constraint) akan memaksa mereka mengorbankan perubatan atau persekolahan anak-anak untuk membeli Makanan.


UB: Orang Sabah yang berpendapatan rendah sangat "vulnerable" kepada kejatuhan nilai Ringgit. ..

DJA: Ya, kejatuhan nilai Ringgit memberatkan lagi kos sara hidup orang kita yang rata-rata tinggal di bandar. Inflasi Merayap (Creeping Inflation) satu hal…sebenarnya 80% Perbelanjaan Isirumah orang kita adalah untuk membayar empat keperluan asas. (1) 38% untuk Makanan dan Minuman bukan alkohol; (2) 29% Perumahan, air, eletrik, gas dan bahan api ; (3) 8% Pengangkutan ; (4) 5% Komunikasi. Hanya 2% untuk kesihatan dan 1% persekolahan anak-anak. Kadar inflasi (Indek Harga Pengguna) Keperluan asas kategori (1) 7.5% diikuti oleh kategori (3) pada aras 4. % dan kategori (2) sebanyak 3%.



UB: Dulu DJA bilang, "inflasi itu seperti anai-anai memakan nilai Ringgit secara perlahan-lahan". Apa beza Inflasi dengan kejatuhan Nilai Tukaran Asing Ringgit?
DJA: Inflasi merujuk kepada kenaikan harga purata barangan dan perkhidmatan yang dibeli oleh pengguna untuk keperluan harian. Nilai Tukaran Asing Ringgit adalah harga Ringgit yang ditentukan oleh pasaran matawang antarabangsa. Kadar inflasi yang tinggi dan nilai ringgit yang rendah dari nilai sepatutnya akan mengurangkan kuasa beli Ringgit.


UB: Sangat jelas…ok… bagaimana dengan cukai GST? Propaganda parti yang memerintah selalu melaung-laungkan bahawa GST tidak membebankan rakyat kerana hampir semua Keperluan asas dikecualikan GST.
DJA: Malangnya, rata-rata supermarket mengenakan GST ke atas setiap pembelian. Cukai GST tidak adil kerana ianya membebankan orang Miskin lebih dari Orang Kaya. Para pengguna tidak atau belum tahu proses "rebate". Lagipun jumlah cukai dikenakan untuk setiap resit itu terlalu kecil berbanding dengan kos Meminta diBayar Balik. Kalau dikumpul sekalipun, mungkin tidak berbaloi lebih-lebih lagi kalau kita terpaksa berhadapan dengan kerenah birokrasi agensi pencukaian. Pengguna yang diBayar Balik sebenarnya masih dicukai secara tersirat. Ini kerana GST adalah Cukai Nilai Tambah Ad Volerem, 6% dikenakan atas jumlah pembelian input di setiap peringkat pengeluaran dan jual-beli di sepanjang Rangkaian Penawaran Barangan sehinggalah Barang Siap tersebut dibeli oleh pengguna. Orang kampong bilang..GST maksudnya "Gigit Sampai Tulang".


UB: Saya tertarik dengan apa yang DJ sebut mengenai barangan import tadi...apa contohnya..
DJA: Kuantiti Barang Perlu seperti beras yang dibeli oleh Orang Miskin tidak berubah walaupun harganya telah naik dengan mendadak. Kecuali kalau mereka sanggup membeli beras murah rendah kualiti, kurang khasiat atau kandungan kalori …rasanya kurang enak. Itupun ada 6% GST. Pengguna miskin membelanjakan sekurang-kurang 9% pendapatan untuk membeli beras.


UB: Apa kaitannya dengan kemerosotan nilai Ringgit?
DJA: Harga barangan keperluan seperti beras yang "terpaksa" diimport menjadi mahal. Yang kedua, apabila input pengeluaran padi tempatan seperti baja, jentera atau racun rumpai yang diimport menjadi mahal. Kenaikan harga barangan import ini sepatutnya dikongsi bersama oleh pengimport (atau pengeluar) dan pengguna.


UB: Tetapi bukankah pengeluaran bahan makanan menerima subsidi dari kerajaan? Kos pengeluaran termasuk kos import input-input pertanian tidak ditanggung 100% oleh petani penanam padi.

DJA: Subsidi pertanian bukan dari Kerajaan tetapi dari Pembayar Pembayar Cukai. Kos pengimportan input pengeluaran dibebankan kepada orang kita yang juga pembayar cukai. Pengeluaran beras di Sabah boleh menampung 60% keperluan tempatan tetapi separuh daripada input pengeluarannya adalah diimport. Keperluan beras yang selebihnya di import melalui BERNAS. Syarikat swasta yang mengimport sendiri tidak akan dapat bersaing dengan syarikat (seperti SAZARICE) yang memborong dari BERNAS yang didanai oleh wang pembayar cukai.



UB: Berapa banyak import beras Sabah?
DJA: Pada tahun 2012, Sabah mengimport 243.1 (000’ tan metrik) beras bernilai sebanyak RM425,792 (000’) dari Vietnam, Thailand, Pakistan, Semenanjung Malaysia (6.5%) ,Myanmar, Cambodia dan India. Sekiranya kuantiti Import beras pasca kejatuhan Nilai Ringgit sama dengan kuantiti Import tahun 2012, maka Nilai import beras akan meningkat kepada RM553, 529 (000’). Walaupun kos freight (pengangkutan) tidak berubah, harga beras yang diimport akan meningkat selagi nilai Ringgit jatuh berterusan.


UB: Apakah Barangan Perlu lain yang kita Import?

DJA: Ubat-ubatan dan peralatan rawatan penyakit penyakit kronik….Kejatuhan Nilai Ringgit menyebabkan perbelanjaan ke atas kesihatan yang sebelum ini hanya 2% akan melonjak ke 32%. Pengguna berpendapatan menengah yang sebelum ini mampu membiayai sendiri separuh daripada kos perubatan akan bersaing dengan pesakit pesakit Miskin untuk mendapatkan perubatan dari hospital awam yang dibiayai oleh pembayar cukai.



UB: Import Sabah keseluruhannya akan menjadi mahal berikutan kejatuhan Nilai Ringgit?
DJA: Berdasarkan jumlah import Sabah sebanyak RM37.4 billion tahun 2012, berikut adalah barangan Import yang akan bertambah mahal; 31.4% nilai import Jentera (untuk pertanian dan pembinaan) & Kelengkapan Pengangkutan, 17.9% Bahan Api, Galian, Pelincir dan lain-lain, 17.3% Barang-barang Keluaran Kilang, 10% Makanan,9.7% Bahan Kimia (Baja dan input pertanian lain) and selebihnya 13.7% yang Lain-lain.


UB: Kita sudah sampai dipenghujung temubual …saya ingin simpulkan bahawa kejatuhan mendadak Nilai Ringgit menyebabkan kemerosotan nilai Export, justeru nilai dan jumlah KDNK menguncup. KDNK per kapita jatuh, maksudnya Orang Miskin bertambah miskin. Kehidupan ekonomi para pengguna di Sabah semakin mendesak akibat peningkatan kos penggunaan dan barangan import.
DJA: Tepat sekali. Terima kasih atas peluang yang diberikan.

UB: Terima Kasih Doc, kerana sudi meluangkan masa.




 
 

Tuesday, August 25, 2015

Dari soal bob yang suka puisi Sapardi hingga soal Arnab menang karangan Fawzan



1.  Bob peminat puisi
Mungkin secara kebetulan saya ketemu Bob dalam perut City Bus.Saya sudah lama mengenalnya iaitu sejak UMNO mula-mula masuk ke Sabah. Saya mengenalnya sebagai seorang aktivis politik.Biasanya percakapan  dengan orang politik hanya berkisar isu-isu politik dengan segala titik bengiknya yang sudah lama diperkatakan orang.
Tetapi percakapan dengan Bob kali ini ialah mengenai puisi.
Katanya, dia sering membaca puisi-puisi karya penyair-penyair Sabah. "Saya suka baca antologi puisi Stensil Pari-pari, karya adikmu ka atau abangmu ka itu.Saya sangat minat dengan puisi yang ditulisnya. Dia menulis puisi-puisi yang mendalam dari segi bahasanya,"katanya.
Dalam hati saya,bob sekadar basa basi, mungkin kerana lama tak jumpa,maka dia menyatakan pula dia minat puisi.
Saya agak teruja kerana Bob memberitahu, buku puisi Sapardi Djoko Damono, Sihir Hujan- yang menjadi santapan malamnya sebelum tidur. Dia biasa meletak antologi puisi itu di bawah  bantal.
Selain Sapardi, Bob menyebut nama-nama seperti Rendra, Taufiq Ismail, Emha Ainun Najib sebagai antara penyair yang pernah dibacanya.Saya tabik kepada Bob kerana dicelah-celah kesibukannya beliau masih boleh bercerita mengenai puisi.


2. Terpaksa bergegas ke terminal walaupun karangan belum ada intro.




Saya memang agak terburu-buru menyiapkan artikel wawancara untuk ruangan Sembang Sabtu. Artikel harus siap sebelum saya berangkat ke Keningau menghadiri Sambutan Minggu Perpaduan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang JPNIN peringkat negeri. Mujurlah jam 4.30 petang, artikel sudah siap kecuali bahagian intro. Saya terus saja ke terminal bas kerana bas Tung Ma berangkat jam 5.00 petang. Ketika bas bergerak itu, saya masih menulis lagi bahagian intro dan menyunting mana yang perlu. Nasib baik jalan agak sesak. Bas bergerak agak perlahan dan saya dapat menaip dengan selesa dan menghantar emel sebelum hilang isyarat talian.


Setibanya di KM 40 Jalan Kimanis-Keningau  saya sempat menyaksikan  kereta yang terbabas menyebabkan lima sekeluarga maut manakala seorang kanak-kanak dua tahun dihantar ke hospital Queen Elizabeth untuk menerima rawatan lanjut.




3.  Tiba di terminal Tung Ma dan makan bersama Amran dan Dalan
Kira-kira 15 minit sebelum jam 8.00 saya tiba di bandar terbesar di pedalaman Sabah itu. Saya tidak terus ke Anggerik Boutique Hotel sebaliknya mencari tempat makan. Kebetulan pula terjumpa Saudara Amran Sopoh dan seorang kawan, namanya D, Pengerusi RT di Bariawa, orang dusun KB, berasal dari Kelawat, yang menjadi Timbalan Pengerusi Persatuan Sama Sabah di Keningau. Beliau mampu bercakap bahasa Bajau dengan baik kerana kebanyakan orang Kota Belud boleh  bercakap bajau. Dalan, sudah `duai sama' atau memeluk Islam sudah sejak lama. Beliau sudah berpindah ke Keningau sejak 1978 lagi, dan bekerja sebagai kakitangan safoda.
Pada tahun 1983, menurut ceritanya, beliau membeli tanah seluas enam ekar dengan harga RM1,500 dan satu ekor sapi.
Tanah itu diusahakannya, ditanam dengan pokok buah-buahan dan beratus pokok gaharu. Sekarang Tanah itu dijual dengan harga yang lumayan juga, dengan harga hampir setengah juta.Saya kagum dengan caranya memberikan nilai tambah kepada tanah miliknya.












4. Arnab menang dan Fawzan dipanggil guru


Dalam kisah yang ditulis Ahmad Fawzan, anak saya yang belajar tahun tiga, di sebuah sekolah luar Bandar, Arnab menang dan bukan kura-kura. Biasanya Kura-kura menang kerana Arnab leka. Tapi kali ini, dalam perlumbaan  itu, arnab menang kerana tidak tidur. Arnab yang menyedari kesilapannya tidak lagi leka sebaliknya terus berlari dengan pantas hingga ke garis penamat dan akhirnya diumumkan sebagai pemenang.


Selepas membaca karangan itu, Fawzan dipanggil ke bilik guru. Nazir yang melawat sekolah itu mengatakan sepanjang pengalamannya sebagai nazir,beliau belum pernah lagi membaca karangan serupa itu, yang memberikan kemenangan kepada arnab. Kerana itu, guru itu menilai karangan Fawzan itu sebagai sebuah karangan terbaik.


5. Farhan pakai kopiah
Saya sangat seronok melihat Farhan, anak saya yang belajar di tahun dua itu, tiba-tiba memakai kopiah di rumah. Sesuatu yang menyeronokkan kerana dia suka memakai kopiah. Saya teringat dulu, ketika saya kecil, belajar dalam darjah enam, saya juga suka bersongkok.


         

Tuesday, August 18, 2015

Iranun dari Tempasuk, pernah bertanam padi di pulau Bintan Riau

 

Iranun dari Tempasuk, pernah bertanam padi di pulau Bintan Riau

SELEPAS orang Iranun dari Tempasuk berjaya mengusir Belanda dari Tanjung Pinang pada Mei 1787 seperti yang dikisahkan Raja Ali Haji dalam Tuhfat Al Nafis, rasanya tidak ada catatan lain yang dapat ditemukan mengenai kehadiran orang Iranun di kepulauan Riau.

Tetapi seorang Leftenan Angkatan Laut Belanda, GF de Bryuns Kops dalam sebuah laporannya mengenai kepulauan Riau mencatatkan bahawa orang Iranun Tempasuk pernah menanam padi di Pulau Bintan, dan menghasilkan pula tanaman yang baik.

Menurut GF de Bryuns Kops dalam sebuah artikel bertajuk "Sketch of The Rhio-Lingga Arcipelago" dalam jurnal JIAEA yang diterbitkan pada 1854, orang Iranun masih terdapat di Pulau Bintan sekitar tahun 1818.

Artikel itu, pada asalnya adalah sebuah laporan ilmiah sepanjang 180 halaman dalam bahasa Belanda berjudul Schets van den Riouw-Lingga Archipel yang diterbitkan dalam Natuurkundig Tijdschrift voor Nederlandsch Indie, sebuah jurnal berbahasa Belanda di Batavia pada 1853.

Dalam laporannya itu, beliau memberikan informasi mengenai sejarah, potensi maritim dan sumber alam yang terdapat di laut dan pulau-pulau di kepulauan Riau pada abad ke-19.

Maklumat mengenai tulisan GF de Bryuns Kops ini diterjemahkan Aswandi Syahri untuk Tanjung Pinang Pos pada 15 November 2014.Bryuns dalam catatannya melukiskan mengenai situasi Pulau Bintan, Tanjung Pinang, Pulau Senggarang dan pulau Karas pada abad ke-19.

Pulau Bintan, kata Bryuns, seperti pulau-pulau di sekitarnya memiliki tanah berpasir bercampur dengan batu besi (iron stone) berasal dari abrasi yang membentuk tanah liat yang sangat keras.

"Pada titik-titik yang berbeda tanah liat yang baik untuk membuat tembikar (good potters-clay), tanah lempung dan tanah liat abu-abu juga ditemukan, yang, sangat sedikit dimanfaatkan. Bagaimanapun, ada bagian-bagian tanah yang luas yang tidak cocok untuk suatu bentuk pertanian, seperti banyak tanah rawa yang ditemukan di sana-sini di Tanjong Pinang (Tannjungpinang).

Tanah rendah dan berlumpur terdapat di kaki Saddle Mountain (Gunung Pelana, sebutan orang Inggris untuk Gunung Bintan yang tampak seperti pelana kuda bila dilihat dari laut. Dengan pengertian yang sama, orang Cina menyebutnya Bei Uwa-Sua dalam dialek Tio-Chhiu) yang sebelumnya telah ditanami padi oleh orang-orang Illanun (orang Ilanun atau Lanun dari Tempasok) dan menghasilkan tanaman yang baik. Sejak mereka diusir oleh orang-orang kita (orang Belanda) yang mendiami daerah itu dalam tahun 1818, orang-orang Melayu meninggalkan sama sekali kebudayaan ini."

Tulisan GF de Bryuns Kops ini menunjukkan bahawa tidak semua angkatan perang Tempasuk pulang ke Borneo selepas kejayaan mengusir Belanda dari Tanjung Pinang atas permintaan Sultan Mahmud pada Mei 1787, sebaliknya ada di antara mereka menetap di Pulau Bintan dan menjadi penanam padi di pulau itu. Mereka bercucuk tanam di pulau Bintan sehinggalah mereka diusir oleh orang Belanda pada tahun 1818.

Persoalannya ke mana destinasi mereka selepas itu? Apakah mereka ke Reteh di Sumatera? James F Warren mengatakan generasi ketiga orang Iranun di Reteh berasimilasi dengan orang tempatan dan menjadi orang Lingga atau Lingganese, sesuatu yang menarik masih perlu diselidiki.

 

Dalam surat-surat Raja Ali Haji kepada Von de Wall pada November/Disember 1858 ada menyebut mengenai Maimunah, isteri Panglima Besar Reteh yang bertanyakan Raja Ali Haji mengenai iddah orang yang kematian suami. . Isteri-isteri panglima besar ini dibawa ke Riau sebagai tawanan iaitu selepas Panglima Besar Reteh bernama Raja Lung gugur dalam serangan pada 7 Novemer 1858. Raja Lung dikatakan adalah pemimpin kelompok Iranun di Reteh sebuah daerah yang terletak di Pantai Timur Sumatera.

Jejak-jejak orang Iranun di kepulauan Riau menarik untuk dikaji dan ditelusuri.

SEKADAR CATATAN PERTEMUAN DENGAN IBNU DIN ASSINGKIRI

SEKADAR CATATAN PERTEMUAN DENGAN IBNU DIN ASSINGKIRI

Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN

 

SAMBIL menikmati kopi, percakapan kami pada petang itu berkisar mengenai puisi, sastera maya dan mee segera, program-program sastera yang sepatutnya dibuat untuk memantapkan sastera nasional dan soal-soal sini sana yang berkaitan dunia kepenulisan. Meskipun singkat, pertemuan dengan penulis dari Kedah, Ibnu Din Assingkiri amatah bermakna.

Kami bertiga dalam sembang kopi kapucino pada petang itu. Ketua Satu Ikatan Penulis Sabah (IPS) Hasyuda Abadi menyempatkan diri untuk bertemu dengan Saudara Ibnu Din yang berkunjung ke Sabah, merasai dingin Kundasang dalam rangka cuti bersama keluarga.

Sebelum ini, pertemuan kami dengan Ibnu Din Assingkiri yang menekuni pengajian bahasa Inggeris tetapi pencinta bahasa dan sastera Melayu ini berlaku di Jitra sewaktu Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM).

Di mana puncak atau kemuncak pertemuan yang berlaku kira-kira setahun lalu itu? Tiba-tiba muncul pertanyaan itu, sekadar untuk mengabsahkan makna sidang kemuncak yang menghimpunkan penulis di seluruh negara. Puncaknya ialah berkarya dan terus berkarya.

Ibnu Din Assingkiri atau nama sebenarnya Sanusi bin Din dilahirkan di Singkir Laut, Kedah pada 1970. Beliau adalah ahli Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI). Beliau bertugas sebagai Eksekutif Kanan Latihan dan Perkembangan Sumber Manusia di syarikat multinasional di Pulau Pinang. Selain menjadi aktivis eSastera, beliau juga adalah ahli Persatuan Karyawan Pulau Pinang. Menulis sejak berada di sekolah menengah, Ibnu Din berkarya dalam genre puisi, cerpen dan apresiasi puisi. Beliau juga bergabung dengan penulis se Nusantara dan menerbitkan beberapa antologi bersama.

Kini beliau sedang menuntut di tahun akhir, Sarjana Muda Pengajian Bahasa Inggeris di UNITEM (OUM).
Kumpulan puisinya Hingga Ke Negeri Abadi (2012), Jejak-Jejak Di Pantai (2015). Kumpulan cerpennya Fragmen Senja (2014). Antologi puisi bersamanya Senyawa Kata Kita (2012), Jejak Sajak: Sehimpun Puisi Generasi Terkini (2012), Ana - Antologi Puisi eSastera Mengenang Brirasa (2012), E-LOKA: Antologi Penyair eSastera (2012), Lentera Sastra (2013), Januari Catur Tunggal Tanpa Pandang (2014), E-LOKA II: Antologi Penyair eSastera 2014, Segugus Pasrah Buatmu MH370 (2014), Sirah Rasulullah Dalam Puisi Siber (2014) dan MH370 Masih Hilang: Antologi Puisi Telegram (2014). Kumpulan esei bersamanya Bunga Rampai Apresiasi Puisi (2014).

Sebenarnya banyak juga yang dapat dipetik dalam pertemuan singkat itu.Paling utama ialah mengukuhkan ikatan persahabatan dan persaudaraan di kalangan penulis tanahair. Bagaimanapun, sebaik matahari masuk ke dalam lautan dan dapat dilihat dengan indahnya dari jendela Nandos Oceanus, kami bersalaman menanti pertemuan yang lain.

SIMPANG SIUR PENGALAMAN HARI TERAKHIR DI SURABAYA

SIMPANG SIUR PENGALAMAN HARI TERAKHIR DI SURABAYA

Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN

PAHLAWAN sejati tidak minta dipuji jasanya. Bunga mawar tidak mempropagandakan harumnya, tetapi harumnya dengan sendiri semerbak ke kanan kiri. Tetapi, hanya bangsa yang tahu menghargai pahlawan-pahlawannya, dapat menjadi bangsa yang besar. Kerana itu, hargailah pahlawan-pahlawan kita. Merdeka!

Kata-kata Bung Karno itu terngiang-ngiang dalam fikiran saya ketika berkunjung ke Monumen Tugu Pahlawan, Surabaya.

Monumen Tugu Pahlawan setinggi 41.15 meter itu didirikan pada 10 November 1951 dan dirasmikan pada 10 November 1952 oleh Presiden Sukarno, Presiden Pertama Indonesia.

Monumen itu didirikan untuk mengenang jasa para pahlawan, pahlawan yang terdiri `arek-arek Surabaya' yang bangkit menentang Belanda yang berusaha kembali menjajah Indonesia selepas perang dunia kedua.

Saya juga berkunjung ke Museum 10 Nopember tidak jauh dari monumen itu. Di sana, saya berpeluang mendengar rakaman Pidato Bung Tomo yang penuh semangat meminta rakyat Indonesia bersatu dan jangan mudah menyerah kalah.
Ketika Tentera Inggeris datang dan menyebarkan risalah untuk meminta rakyat Indonesia menyerah kepada tentera sekutu, Bung Tomo dalam ucapannya yang penuh semangat itu mengatakan:

"Selama banteng-banteng Indonesia masih mempunyai darah merah
yang dapat membikin secarik kain putih merah dan putih
maka selama itu tidak akan kita akan mau menyerah kepada siapapun juga,".

Akhirnya, terjadilah petempuran 10 November 1945, yang kini diperingati sebagai Hari Pahlawan.

Sutomo lahir di Surabaya pada 3 Oktober 1920 tapi beliau lebih dikenali dengan panggilan akrabnya Bung Tomo. Beliau terkenal kerana perjuangannya membangkitan semangat rakyat untuk bangkit menentang Belanda yang mahu kembali menjajah Indonesia selepas Perang Dunia Kedua.

Bung Tomo, menggerakkan semangat rakyat Surabaya yang diserang oleh pasukan Inggeris selepas General Malaby tertembak di Hotel Oranje. Inggeris datang menyerang Surabaya untuk melucutkan senjata tentera Jepun dan membebaskan tawanan Eropah.

Peristiwa 10 November itu tetap dikenang sebagai Hari Pahlawan dan menjadi satu peristiwa penting dalam sejarah kemerdekaan Indonesia.

"Saudara-saudara rakyat Surabaya, siaplah! keadaan genting!
tetapi saya peringatkan sekali lagi
jangan mulai menembak
baru kalau kita ditembak
maka kita akan ganti menyerang mereka itu kita tunjukkan bahwa kita ini adalah benar-benar orang yang ingin merdeka

Dan untuk kita saudara-saudara
lebih baik kita hancur lebur daripada tidak merdeka
semboyan kita tetap: merdeka atau mati!".

Ketia berada di Surabaya, saya mengunjungi Hotel Oranje, tempat terjadinya insiden perebutan bendera. Saya menyusuri semula tempat-tempat bersejarah sambil membayangkan betapa rakyat Surabaya bersatu menentang Inggeris meskipun hanya menggunakan bambu runcing.

Selepas kemerdekaan, Bung Tomo pernah terjun dalam politik. Pernah menjadi menteri dalam kabinet Burhanudin Harahap tahun 1955-1956 dan pernah pula menjadi anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dari tahun 1956-1959.

Pada tahun 1950an itu, Bung Tomo membantu tukang beca dengan mendirikan kilang sabun hasil yuran daripada tukang beca tetapi tidak berhasil. Namun beliau tetap dikenang sebagai seorang pahlawan yang bangkit menentang kembalinya Belanda menjajah semula Indonesia. Sungguhpun, mereka kalah dalam pertempuran 10 November itu, tetapi peristiwa itu tetap tercatat sebagai satu peristiwa penting dalam sejarah perjuangan kemerdekaan di Indonesia.

Bersama anak-anak sekolah rendah yang sedang melawat muzium itu, saya melihat filem ditayangkan. Saya mendengar bagaimana Bung Tomo membangkitkan semangat rakyat untuk memperjuangkan kemerdekaan dari tangan penjajah.

Lebih baik kita hancur lebur daripada tidak merdeka, kata Bung Tomo. Di Muzium itu juga menyimpan bukti-bukti sejarah pertempuran 10 Nopember 1945. Selain itu, terdapat juga tulisan tangan Mayor Jenderal Soengkono, Naskah "Sumpah Kebulatan Tekad. Ada juga benda-benda peninggalan Tokoh Pahlawan Mayor Jenderal Soengkono, senjata-senjata hasil rampasan perang dan foto-foto pertempuran 10 November, bukti-bukti perjuangan Laskar Rakyat Surabaya dalam Pertempuran 10 November dan Diorama statis perundingan politik Ir Soekarno dan Howtorn.

Dari Monumen Tugu Pahlawan dan Museum 10 Nopember itu, Pak Robert Siregar, pegawai dari Dinas Kebudayaan dan Pariwisata Provinsi Jawa Timur , membawa saya ke Makam Sunan Ampel.
Sunan Ampel atau nama sebenarnya Raden Rahmat adalah satu wali songo yang terkenal dalam sejarah penyebaran Islam di Pulau Jawa. Beliau adalah seorang ulama yang terkenal dan orang yang merancang penubuhan kerajaan Islam yang pertama di Bintaro Demak. Beliau juga ikut mendirikan masjid Demak pada tahun 1479.

Di kawasan makamnya itu, orang ramai berdatangan untuk berziarah ke makam wali yang berjasa terhadap pengembangan Islam di Jawa. Melalui Wali Songo, agama Islam disebarkan ke seluruh pelusuk pulau Jawa.

Tapi apa pesanan Sunan Ampel yang masih melekat di kalangan masyarakat di sana. Ada. Namanya Mo Limo atau Falsafah Perkara Lima.

Sunan Ampel mengajarkan agar kita Emoh Main (tidak mahu main judi), Emoh Ngumbih (tidak mahu minum yang memabukkan), Emoh Mandat (tidak mahu merokok atau menghisap madat), Emoh Maling (tidak mahu mencuri atau korupsi) dan Emoh Madon (tidak mahu main perempuan yang bukan isterinya.

Dikisahkan bahawa Sunan Ampel meneruskan cita-cita dan perjuangan Maulana Malik Ibrahim. Beliau dikatakan mendirikan pesantren i Ampel Denta Surabaya sehingga beliau dikenali sebagai orang yang mendirikan pondok pesantren yang pertama di Jawa Timur. Hasil dari produk pondok inilah, tenaga dai dikeluarkan dan mentebarkan Islam di seluruh pulau Jawa.

Selain itu, Sunan Ampel juga adalah ulama yang mendirikan kerajaan Islam pertama di Pulau Jawa itu dengan ibu kotanya Bintoro Demak. Sunan Ampel menabalkan Raden Fatah sebagau sultan Demak yang pertama. Beliau dikatakan dekat dengan Istana Majapahit, yang digunakannya untuk mengembangkan Islam di Pantai Utara Pulau Jawa yang dikuasai oleh kerajaan Majapahit.

Betapa besar jasanya terhadap pengembangan Islam di Pulau Jawa. Betapa kuatnya pengaruh yang dimiliki ulama ini. Betapa kuatnya wibawa yang dimiliki. Kebesarannya dan kemashyurannya dapat dirasai. Hampir setiap hari, makamnya yang terletak di Surabaya itu tidak pernah sepi dengan pengunjung.

Padahal makamnya seperti biasa saja. Tidak ada hiasan yang berlebih-lebihan. Seperti makam yang lain juga. Bezanya, cuma betapa ramainya orang yang datang untuk mendoakan.Mungkin ramai juga yang datang sekadar untuk berziarah.

Sayang sekali, saya tidak dibenarkan mengambil gambar dalam kompleks makam. Sepanjang berada di makam itu, saya berdoa semoga semua hasil perjuangan ulama terdahulu untuk menyebarkan Islam sebagai rahmat seluruh alam dapat diteruskan.

Destinasi terakhir sebelum pulang, ialah singgah di Pusat Batik dan Kerajinan Khas Jawa Timur di Jalan Kedungdori no 86-90 Surabaya. Hampir semua produk yang dikeluarkan di provinsi Jawa Timur dijual di pusat itu dengan harga yang murah dan berpatutan. Hampir semua produk boleh didapati di pusat itu.

Menurut Asrori, salah seorang pekerja di pusat, setiap pengunjung atau pelancong yang datang ke Surabaya, biasanya tidak melepaskan peluang untuk berkunjung untuk membeli cenderamata untuk dibawa pulang.

Sepanjang perjalanan ke Lapangan Terbang Juanda, kata-kata Bung Karno terngiang-ngiang di telinga saya. "Hanya bangsa yang tahu menghargai pahlawan-pahlawannya, dapat menjadi bangsa yang besar." Ingatan ini berselang seli dengan kata-kata Bung Tomo "Lebih baik kita hancur lebur daripada tidak merdeka"

Emoh Maling, kata Sunan Ampel. Terlalu banyak yang bersimpang siur dalam fikiran ketika itu. Emoh pulang? Saya terpaksa pulang kerana perjalanan perlu diteruskan

RAKAMAN KUNJUNGAN KE SURABAYA, KOTA BERSEJARAH

RAKAMAN KUNJUNGAN KE SURABAYA, KOTA BERSEJARAH

Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN

KALAU ada orang yang berjaya mengubah wajah Surabaya, dia adalah ibu Risma. "Beliau sendiri yang turun ke lapangan untuk memastikan Surabaya bersih. Setiap kilometer ada yang membersihkan, sepanjang waktu ada pembersihnya," kata Robert Siregar ketika membawa saya berkeliling melihat bandaraya kedua terbesar di Indonesia itu.

Ibu Risma atau nama sebenarnya Ir Tri Rismaharini menjadi Wali Kota (Datuk Bandar) Surabaya sejak 2010. Tempohnya berakhir penghujung tahun ini tetapi beliau berjaya membawa perubahan signifikan bagi masyarakatnya. Di bawah kepimpinannya, Surabaya terpilih sebagai Kota Sihat 2013 sempena Hari Kesihatan Nasional,menang Piala Adipura untuk kategori Kota Metropolitan bagi tahun 2011, 2012,2013 dan 2015. Pada tahun 2012, Surabaya terpilih sebagai Kota Terbaik Seluruh Asia Pasifik Versi Citynes mengalahkan 800 kota di Asia Pasifik. Ibu Risma juga terpilih sebagai Wali Kota Terbaik 2104 atas kejayaannnya memimpin Surabaya sebagai Kota Metropolitan yang paling baik penataannya. Wanita yang dijuluki `Wagiman' atau `wali kota gila taman' ini juga berjaya menjadikan Taman Bungkul Surabaya terpilih menerima penghargaan "The 2013 Asian Townscape Award"sebagai Taman Terbaik seluruh Asia dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Tanggungjawab saya tidak hanya kepada rakyat Surabaya tetapi juga kepada Tuhan," adalah kata-kata Ibu Risma yang terkenal. "Membangun itu untuk menyejahterakan Masyarakat. Kalau tidak sejahtera , apa itu masih disebut membangun?".

Surabaya berpenduduk sekitar 3.1 juta orang. Kota ini juga disebut Kota Pahlawan kerana kedudukannya yang penting dalam sejarah perjuangan kemerdekaan Indonesia. Di zaman Hindia Belanda, Surabaya adalah sebuah kota yang terkenal di Asia Timur selain Hong Kong dan Singapura.

" Paling utama dalam senarai keutamaan dalam kunjungan saya kali ini ialah berkunjung ke Soerabaja 45," saya memberitahu Pak Robert. Saya ingin melihat Hotel Oranje, Jembatan Merah, saya ingin bertemu Bung Tomo, biarpun dalam imaginasi," .

Kalau ada masa barulah kita ke Gunung Bromo, saya memberitahu Pak Robert, dari Dinas Kebudayaan dan Pariwisata Jawa Timur yang menemani saya dalam kunjungan kali ini.

Katanya, kalau orang Malaysia, mereka biasanya memilih pakej empat hari tiga malam." Hari pertama dari Surabaya terus ke Batu kemudian ke Gunung Bromo, dan hari terakhir berkeliling Surabaya" katanya.

"Tapi paling penting ialah saya ingin melihat kembali tempat dimana insiden perebutan bendera itu terjadi, bagaimana arek-arek suroboyo (pemuda Surabaya) terlibat dalam pertempuran dengan hanya bersenjatakan bambu runcing melawan tentera sekutu yang lengkap dengan senjata".

"Dalam kunjungan pertama kali ke Surabaya ini, saya ingin melawat tempat-tempat bersejarah dan tempat menarik di Surabaya," saya menjelaskan kepada Pak Robert yang baik dan peramah itu.

"Terus saja check in di Hotel Bisanta di Jalan Tegalsari ya," katanya melalui sms ketika saya masih dalam perjalanan dari Malang kelmarin. Bisanta Bidakara Hotel yang terletak di Jalan Tegalsari 77-85 Surabaya itu menaja penginapan selama dua malam tanpa bayaran di hotel itu. Hotel Bisanta yang memiliki 105 kamar ini adalah sebuah hotel yang selalu menjadi tumpuan pengunjung dan pelancong dari Malaysia. Pengurusnya, Pak Muhammad Soleh adalah Presiden Persatuan Hotel Surabaya bermurah hati untuk memberikan penginapan secara gratis atau dalam bahasa Melayu, secara percuma. Saya sengaja tidak menggunakan perkataan percuma, kerana dalam bahasa Indonesia, percuma ertinya sia-sia. Bantuan itu sangat bermakna bagi saya kerana peruntukan yang ada saya gunakan untuk membeli buku di Surabaya.

Kami kemudian ke House of Sampoerna, yang terletak di Surabaya Lama di Kompleks bangunan bergaya Belanda yang dibangun tahun 1862. Tapak bersejarah ini mulanya adalah sebuah panti asuhan putera yang dikelola pemerintah Belanda.

"Kompleks ini dibeli oleh pendiri (pengasas) Sampoerna, Liem Seeng Tee pada tahun 1932 untuk dijadikan pabrik (kilang) rokok Sampoerna yang pertama," kata Mbak Eindri, 24, lulusan sastera Inggeris yang menjadi karyawan di kompleks itu.

"Sampai saat ini, kompleks ini masih berfungsi sebagai pabrik(kilang) untuk memproduksi rokok kretek khas Indonesia," katanya sambil membawa kami melawat kilang rokok itu.

Dari kilang rokok itu, Pak Robert membawa saya ke Jambatan Suramadu, jambatan terpanjang d Indonesia yang menghubungkan Surabaya dan Pulau Madura. Jambatan Suramadu dari perkataan Surabaya Madura sepanjang 16 km itu menghubungkan Surabaya dengan Bandar Pelabuhan Antarabangsa Madura di Pernajuh, Daerah Kocah Bangkalan

Pulau Madura terkenal dengan Kerapan Sapi, kata Pak Robert sambil memberitahu mengenai acara perlumbaan sapi yang menarik perhatian pelancong. Di pulau Madura juga kita boleh tinggal di penginapan sambil tidur berlantaikan pasir.

Sebenarnya Madura terletak tidak jauh dari Pulau Bali. Tempat paling dekat sebelum menyeberang ke Bali dari Surabaya ialah Banyuwangi.

"Kalau dari Bali jam 7.00 pagi, tiba di surabaya jam 7.00 pagi juga," kata Pak Robert. "Tapi kalau pesawat dari surabaya jam 7 pagi , tiba di bali jam 8.00" Katanya. Bali dan Pulau Jawa selisih satu jam..

Dari Suramadu itu, kami terus ke Masjid Muhammad Cheng Ho, sebuah masjid berarsitektur Cina, untuk menunaikan solat Jumaat. Pak Robert, walaupun beragama Kristian tetapi beliau sangat prihatin terhadap keperluan tamunya. Jika ke Masjid Al Akbar Surabaya, masjid terbesar di Jawa Timur, tempatnya masih jauh.

Pak Robert seorang yang banyak pengalaman. Beliau pernah membawa wartawan dari Hong Kong, Mexico, China, Arab Saudi, Singapura,Malaysia, Peranchis,Jerman,Kazakhstan, India.Bahkan beliau penah mengiringi Menteri Pelancongan Filipina ketika berkunjung ke Surabaya.

Beliau dilahirkan di Medan tahun 20 April 1961. "Tahun 80 hingga 86 kerja di Bandung.Tahun 86 pindah ke Surabaya. Tahun 89 bekerja di Bahagian Promosi Luar Negeri, Dinas Kebudayaan dan Pariwisata sampai kini," katanya. Beliau mendirikan rumah tangga dengan isterinya, orang Medan juga, dan dikurniakan tiga cahaya mata.

Selepas menunaikan solat Jumaat, kami makan di tempat kedai Soto Ambengan, Pak Sadi Asli soto yang terkenal.

Destinasi selanjutnya ialah melawat Monumen Kapal Selam di Bantaran Sungai Kalimas, di Jalan Pemuda. KRI Pasopati 410 sepanjang 76.6 meter dengan lebar 6.30 meter seberat 1,300 tan itu dipotong-potong menjadi 16 blok untuk dinaikkan ke darat di lokasinya yang ada sekarang. Surabaya adalah pengkalan Armada Timur Indonesia. Kapal buatan Vladiwostok Rusia tahun 1952 ini digunakan untuk menegakkan kedaulatan Indonesia antaranya dalam operasi Trikora di Papua.
"Lebih cantik kalau malam kita ke sana," kata Pak Robert. Katanya, Hotel Oranje, tempat berlakunya insiden perebutan bendera itu.Saya mengamati sejenak hotel bersejarah itu. Hotel Oranje kini dikenali Hotel Majapahit. Sebelumnya, di Zaman Jepun, hotel itu dikenali sebagai Hotel Yamato.Pertempuran Surabaya adalah satu peristiwa penting dalam Revolusi Indonesia. Ia bermula apabila Brigadier Mallaby terkena peluru sesat pada 30 Oktober 1945 berdekatan Jembatan Merah. Pihak Sekutu memberi amaran agar pejuang Republik menyerah kalah. Tetapi Bung Tomo memperingatkan bahawa tentera Republik tidak akan sekali kali menyerah kerana bagi mereka hanya ada dua pilihan, iaitu merdeka atau mati. Ribuan orang mati dalam pertempuran yang bermula pada 10 November 1945.
"Selain sejarah, saya juga meminati bidang budaya dan sastera," saya memberitahu bidang yang saya minati kepada Pak Robert. "Tentu asyik sekali kalau dapat berbicara dengan Pak Dr Jarianto, M Si, Kepala Dinas Kebudayaan dan Pariwisata Provinsi Jawa Timur.

Beliau seorang budayawan, kata Pak Robert. Nanti kita ke Program Malam Kesenian Tulungagung, beliau pasti ada di sana., katanya

Apa asal kata Surabaya pak? Sura atau suro bermakna Jerung manakala baya atau boyo bermakna buaya. Menurut mitos yang berkembang di kalangan rakyat tempatan,kononnya jerung dan buaya ini berkelahi untuk memilih siapa haiwan paling perkasa dan paling berkuasa di kawasan itu. Kononnya jerung dan buaya itu membuat perjanjian bahawa wilayah jerung adalah di laut dan wilayah buaya adalah di darat. Satu hari, perkelahian berlaku semula apabila jerung memasuki sungai untuk memburu mangsa . Kata Jerung, sungai adalah air, kerana itu ia menjadi wilayahnya, Tetapi Buaya berkata, sungai itu mengalir jauh di daratan yang maksudnya di bawah wilayah kuasanya. Di pendekkan cerita, dalam pertarungan itu, jerung kalah dan kembali ke laut dan tempat tinggal buaya itu sekarang terletaknya Kota Surabaya.

Sura dan baya itu kini adalah lambang serta simbol Kota Surabaya. Satu versi lain menyebut Surabaya berasal dari bahasa Jawa, Sura ing Baya yang bermaksud berani menghadapi bahaya.

Pertunjukan Malam Kesenian Tulungagung, yang kebetulan dilangsungkan pada malam itu amat meriah. Saya sempat melihat beberapa persembahan tarian, dan sempat juga mendengar ucapan Pak Jarianto. Tetapi saya terpaksa bergegas ke Balai Pemuda untuk bertemu dengan Pak Aming Aminoedhin, dikenali sebagai Presiden Penyair Surabaya yang sedang menganjurkan Malam Sastera Surabaya di Balai Pemuda.

Sebenarnya program hampir berakhir ketika kami tiba di sana. Pak Aming sedang memberikan sedikit ucapan penutup. Tapi saya sangat terkesan dengan puisinya.

"Surabaya ajari aku bicara apa adanya, jangan ajari aku gampang lupa gampang berdusta. Surabaya ajari aku tentang benar.Tentang Benar".