Saturday, March 21, 2015

CATATAN PERJALANAN DI PATTANI



CATATAN PERJALANAN DI PATTANI

KALAU sampai di Pattani, jangan sesekali minta air suam!

Jadi kalau kami kehausan, bagaimana kami mahu minum? Di sini, orang tidak minum air sebaliknya hanya makan air!.

Akhirnya Prof Nik Rakib Nik Hassan, pensyarah pengajian Melayu di Prince of Songkla University, Pattani menjelaskan sambil berjenaka, Orang Melayu di Selatan Thailand menyebut makan atau `make aie' untuk minum air. Inilah salah satu keunikan orang Melayu di Pattani, Haadyai, Yala dan Narathiwat yang hanya pandai makan air tetapi tidak pandai minum air.

Saya tersengih mendengarnya. Jadi kenapa pula tidak boldeh minta air suam Prof? Beliau memberitahu air suam di Pattani bermaksd air dalam tandas.

Itulah sebahagian pengalaman lucu ketika kami berkunjung ke Haadyai, Pattani, Yala, Narathiwat dan Dhanok pada 9 hingga 12 Mac lepas. Sebaik tiba di Haadyai dari Kuala Lumpur kira-kira jam 10.00 pagi, kami terus mencari bas ke Pattani. Di Stesen Bas, kami sempat berkenalan dengan saudara Harun, orang Melayu dari Satun yang fasih berbahasa Melayu dengan baik. Katanya, perjalanan ke pattani memakan masa kira-kira satu jam setengah dengan tambang 100 bhat seorang iaitu kira-kira RM10.00.

Ramaikah orang Melayu yang bawa bas ke Pattani. Katanya, daripada 100 buah bas yang berulang alik dari Haadyai ke Pattani, hanya empat orang yang bukan Melayu.

Masalah utama di kalangan generasi baru Melayu di Thailand adalah masalah identiti. Kini ada yang mahu dikenali sebagai Thai Muslim, ada pula yang mahu bertahan dengan identiti kemelayuannya. Ramai di kalangan orang Melayu Thai yang sudah berjaya, lebih suka dikenali sebagai Thai Muslim lantaran mereka tidak lagi mampu berbahasa Melayu dengan baik. Jadi di Thailand, jangan terkejut kerana ada orang Thai Muslim, yang asalnya Melayu dan ada juga Melayu.

Tetapi yang paling menarik sekali ialah ketika menyusuri bandar-bandar seperti Yala dan Narathiwat dan Pattani, menyaksikan hampir semua gadis Melayu memakai tudung. Pada hari pertama selepas kami ke Prince of Songkhla Universiti,dan berkeliling di bandar Pattani, kami di bawa melawat ke kawasan candi Langkasuka, yang terletak di Yarang. Selepas itu, kami ke Masjid Kerisek, sebelum berkunjung ke perigi Sheikh Daud Al Fatoni dan sempat juga melihat perigi Hang Tuah ketika beliau berkunjung ke Pattani.

Petangnya, kami iaitu Akiah Haji Barabag, Mabulmaddin Haji Shaiddin, Imam Masdin Saibin, dan saya sendiri, di bawa oleh Acharn Nik Rakib ke sebuah restoran berdekatan hotel My Garden untuk merasai tomyam yang enak di tempatnya sendiri.

Pada hari kedua, kami menaiki bas untuk ke Narathiwat. Walaupun tidak dapat singgah di salah satu masjid tertua, di Teluk Manok, kami sempat berkeliling Narathiwat sama ada dengan berjalan kaki atau naik motosikal. Kami melawat kedai-kedai milik Melayu dan sempat singgah di Nunuh International, sebuah kedai tudung yang mempunyai cawangan di bandar-bandar di selatan Thai, malah mempunyai cawangan di negara China, dan Kota Bharu Kelantan dan akan membuka cawangan di Kuala Lumpur. Kedai yang menjual tudung dari RM20 sehelai hingga RM2,000 sehelai. Kemudian kami ke Yala, menikamati makanan di sebuah lorong jalan berdepan stesen keretapi, bergambar di Yala Rajabath University, menikmati makanan di gerai berdekatan Masjid Yala tapi tak sempat berjumpa Dr Phaosan.

Pada hari ketiga sebelum pulang ke Kuala Lumpur melalui Dhanok, kami sempat berkunjung ke Rumah Tuan Guru Haji Sulong, sempat dijamu ubi rebus oleh Tuan Azman haji Mohamad Amin, mantan waki Rakyat di Pattani.

Selepas itu, kami bergegas ke Prince of Songkla University kerana diminta berkongsi pengalaman mengenai masyarakat etnik Sabah bersama mahasiswa-mahasiswa universiti.

Perjalanan ke Pattani adalah satu pengalaman yang amat berharga dan tidak dapat dilupakan. Sambutan yang diberikan oleh Acharn Nik Rakib, Sawawee Padameen dari Nusantara Studies Center PSU, beserta pelajar mereka, Al Amin Sufri, Noraini Ibrahim,Tayibah Adam,Fadilah Fithya,Roslin Samsing, Aridah Abdul Kadir, Wahidah Awang , Najwa ,dan ramai lagi yang tak dapat disebut namanya, sesungguhnya jadi kenangan sepanjang hayat.



No comments: