Ahad, 26 April 2015

DR RUSLAN AMIN, DOKTOR YANG PANDAI MENYANYI

Tags

DR RUSLAN AMIN, DOKTOR YANG PANDAI MENYANYI

KASIH ibu dan ayah memberikan inspirasi yang luar biasa kepada Datuk Dr Mohamad Ruslan bin Mohamad Amin, seorang pengamal perubatan terkenal di negeri ini. Beliau bukan saja seorang doktor yang boleh mengubati pesakit, tetapi seorang doktor yang mampu menghibur masyarakat melalui nyanyian dan lagu-lagu ciptaannya. Dr Ruslan mencipta lagu untuk ibu dan ayahnya, untuk guru-guru, pasukan keselamatan, dan masyarakat yang menjadi penggemarnya. Pernah satu ketika, lagu ciptaannya tersenarai dalam anugerah lagu-lagu popular . Doktor perubatan yang memiliki lesen juruterbang ini juga adalah seorang aktivis masyarakat dan sukarelawan yang pernah menyumbang bakti merawat mangsa tsunami di Aceh.

Datuk Dr Mohamad Ruslan bin Mohamad Amin dilahirkan di Lahad Datu pada 6 Ogos 1959. Ayahnya Haji Mohamad Amin Haji Abd Latif manakala ibunya Hajah Rahmah Mastan. Anak sulung daripada empat adik beradik ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kerajaan Pekan Lahad Datu (1966-1971)dan Sekolah Rendah Agama Kampung Tabanak Lahad Datu (1966-1971). Kemudian beliau meneruskan pendidikan menengah di Sekolah Menengah St Dominic Lahad Datu pada tahun 1972 sebelum bersekolah di Sekolah Menengah Dato'Bentara Luar Batu Pahat Johor (1972-1974) kerana mendapat tawaran biasiswa Yayasan Sabah untuk menuntut di Semenanjung Malaysia.Selepas itu, beliau berpindah ke Sekolah Alam Shah, Cheras Kuala Lumpur (1975-1976). Beliau kemudian melanjutkan pengajian di Asasi Sains Universiti Malaya (1977-1978) sebelum diterima masuk di Fakulti Perubatan Universiti Malaya pada 1979 hingga lulus MBBS pada tahun 1984. Beliau juga memiliki DFM (Malaysia), Cert.Occ.Med (Malaysia), Cert. Dermatology (Malaysia). Selain itu, beliau juga mendapat ijazah MBA dari Southern Cross University, New South Wales Austraia pada tahun 2003. Dr Roslan juga memiliki lesen juru terbang PPL (Private Pilot License).

Sebelum menjadi pengamal perubatan, beliau pernah menjadi Pegawai Perubatan di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu dan Hospital Umum Tawau dari tahun 1984 hingga 1988,

Selepas itu, beliau membuka Klinik RuslanAmin di Wisma RuslanAmin Sabindo pada 8 Ogos 1988. Sepuluh tahun kemudian beliau membuka Klinik RuslanAmin di Jalan Teratai Lahad Datu.

Dr Ruslan adalah seorang yang aktif dalam kegiatan-kegiatan persatuan, kemasyarakatan dan badan profesional.

Beliau adalah ahli seumur hidup Malaysian Medical Association (MMA), Primary Care Doctor's Organisation Malaysia dan The National Autistic Society of Malaysia. Beliau juga adalah seorang doktor kesihatan pekerjaan (Occupational Health Doctor),. Selain itu, Dr Ruslan adalah ahli Koperasi Doktor Malaysia Berhad dan menjadi ahli pertamanya di Sabah, Ahli profesional Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Kuala Lumpur, Ahli Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Sabah. Beliau juga adalah ahli Alumni Sekolah Alam Shah Kuala Lumpur, AJK Masjid Arraudah Lahad Datu.

Dalam bidang kesenian, kebudayaan bahasa, , beliau adalah Ahli MACP Musicians's Authors Copyright Protection dengan nama MorusMaal.

Beliau juga mengasaskan Persatuan Kebajikan Islam Perubatan Sabah pada 1988 dan menjadi presidennya yang pertama, menubuhkan Persatuan Rumpun Melayu Lahad Datu pada 1998 dan menjadi pengerusinya hingga kini.

Dr Ruslan juga berpengalaman sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Lahad Datu selama tiga penggal dari 2004 hingga 2009, Ahli Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah dari tahun 2004 hingga 2010.

Sebagai seorang sukarelawan MERCY, Dr Ruslan pernah menjadi Team Leader Mission 6 Acheh Tsunami pada Februari 2005, Ketua pasukan perubatan Miri-Penan, dan mengadakan klinik bergerak untuk pelarian di Kampung Hidayat Tawau pada mei 2006. Beliau juga pernah menjadi Doktor Pelawat Rumah Warga Tua Air Panas Tawau.

Bersama Task Force, beliau membantu menyelaras misi seumpama itu di Semporna Mabul dan Tanjung Labian Lahad Datu. Dr Ruslan juga adalah penasihat Hospital Tawau Paliative Care.

Dalam bidang politik, Dr Ruslan adalah antara yang terawal menjadi ahli UMNO di Sabah sejak parti itu mengembangkan sayapnya di negeri ini pada 1991. Beliau adalah Ketua Cawangan Kampung Panji baru 2, Lahad Datu Silam dan menjadi Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan UMNO Sabah.

Beliau juga adalah seorang yang aktif dalam kegiatan riadah seperti badminton, golf, menulis, membaca, muzik, penerbangan dan minat mengembara. Beliau adalah Ahli Royal Selangor Flying Club Sungai Besi Kuala Lumpur dan Sabah Flying Club.

Di atas jasa-jasa baktinya, Dr Ruslan dianugerahkan Pingat Ahli Setia Negeri Sembilan (A.N.S) pada 2004, Ahli Setia Darjah Kinabalu (A.S.D.K) pada 2011 dan Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (P.G.D.K) yang membawa gelaran datuk pada tahun 2014. Beliau mendirikan rumah tangga dengan Hajah Siti Saffur @ Maslina Salleh, berasal dari Negeri Sembilan dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ili Shahirah, Amalina Zafirah, Mohamad Ruszan dan Mohamad Rszaini.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang bersembang-sembang dengan beliau di ruang kerjanya di Wisma RuslanAmin, Sabindo Tawau untuk berkongsi sedikit pengalaman yang beliau lalui. Selain buku-buku perubatan dan kesihatan, rak bukunya juga dipenuhi dengan kamus, kitab tafsir, bahasa dan sebagainya.Ikuti petikan temubual bersama beliau:

UTUSAN BORNEO: Ramai orang mengenali datuk sebagai seorang doktor perubatan. Tidak ramai yang tahu bahawa doktor juga seorang penyanyi dan sudah menghasilkan album. Boleh ceritakan sedikit mengenai album-album itu?

UB: Saya menyanyi secara suka-suka sahaja. Sehingga kini saya sudah menghasillkan dua album. Album pertama berjudul Oh Ibu & Ayah, yang mengandungi lagu-lagu iaitu Oh Ibu & Ayah, Pelangi Indah, Cahaya Kasihku, Jasa Guru, biarkanlah aku sendiri, Wajah Ayu, Berikanlah Kasih, Rindu di Perantauan, Turun Padang, Salam Sayang Malaysia dan Menitis Air Mata. Manakala album kedua Anugerah di Bawah Bayu berisi lagu-lagu antaranya, Jantung Hati, Jasa Utama, Jiwa Murni, Bidadariku, Nasi Kuning Tawau, Anugerah Di Bawah Bayu, Muliakanlah Ya Latif, Cinta .

UB: : Boleh ceritakan sedikit bagaimana mula timbul minat dalam bidang nyanyian?

DATUK DR RUSLAN: Sebenarnya saya menyanyi sekadar suka suka. Saya anggap ini secara kebetulan saja.Saya menyanyi sekadar untuk memberikan penghargaan terhadap kasih sayang yang diberikan oleh ibu dan ayah saya.

UB: Bagaimana mulanya timbul minat menyanyi?

DR RUSLAN: Minat menyanyi timbul sejak zaman persekolahan lagi. Sewaktu saya dihantar untuk bersekolah di Semenanjung, di Sekolah Dato Bentara, saya selalu teringatkan ibu saya. Saya menangismahu pulang tetapi kemudian saya ditenangkan oleh guru-guru dan rakan saya.Waktu itu usia saya 12 tahun. Masih kanak-kanak lagi. Sesampainya di sana, saya menangis dua minggu . Dia orang pujuk pakai keropok. Dari situlah mula timbul minat saya menyanyi. Menyanyi lagu untuk saya dedikasikan buat ibu dan ayah yang dikasihi.

UB: Siapa rakan pelajar dari Sabah yang dihantar belajar ke Semenanjung ketika itu?

DR RUSLAN: Antara pelajar dari Sabah yang dihantar belajar ke Semenanjung ketika itu ialah Datuk Dr Amin Senin tapi beliau belajar di Pahang jika tidak silap saya.

UB: Kalau di Johor berapa ramai pelajar masa tu?

DR RUSLAN: Di Batu Pahat itu, pelajar dari Sabah seramai 15 orang. Antaranya Rahim Karim, ASP Ghani Ajirul, Haji Tawakal Sipaan@ Abu Bakar, Mohd Noor Lajabangsa, arwah Arifin, dari Sandakan, Harun Mursali, Mat Mat Muidin, Tipon Masalin, Saprin Majanggil, dari Papar, dari Weston: Yunus Langgu, Abdul Ghani Badri, dari Mesapol Mahali Aris, dari Linkungan, Garai Arsad Yahya Yusop dari Sipitang.

Selepas tamat tingkatan tiga, saya belajar pula di Sekolah Alam Shah. Antara rakan saya di sana ialah Pengiran Lalung, Abdul Rahman salleh, Mohd Noor Bidin.

UB: Selepas itu, datuk sekolah di mana?

DR RUSLAN: Saya terpilih untuk memasuki Asasi Sains di Universiti Malaya.

UB: Siapa antara rakan datuk pada masa itu?

DR RUSLAN: Antara first badge Asasi Sains Universiti Malaya 1977-1978 dari Sabah ialah Abirin Lapongan, Arifin Anuar Tan,Robert Tobasian,Kennedy Aralas, Tunga Surat, Datuk Harun Ismail,Rujinah Miki, Elizabeth Mikil, Lee Kui Lin, Tajul Arifin,Agustine Tien, Gelawis Mudin, arwah Zulkifli Sulaiman.

Antara senior kami di UM ketika itu ialah Datu Nasrun Datuk Mansur, kini Ahli Parlimen Silam, Dr Teo, Lim Pan Kan, Datuk Dr Ewon Ebin, Sangau Gunting, Tan Sri Gani Patail, Datuk Gulam Jelani, Salleh Lamsin.

UB:Sebagai pelajar yang jauh di rantauan , apa perasaan doktor ketika itu?

DR RUSLAN: Setiap kali tiba musim raya, perasaan amat sayu sekali. Tetapi itu sudah menjadi resam di rantauan.

UB: Kalau dari segi makanan?

DR RUSLAN: Waktu kami mendapat biasiswa yang mencukupi. Kira-kira RM25 sebulan. Duit sebanyak itu ,cukup untuk beli bajubeli seluar. Apabila tiba hari raya, orang semua balik kampung asing-masing. budak Sabah tak balik kerana jauh dan tambang kapal terbang pada ketika itu, boleh dikatakan mahal. Musim hari raya, kamiterpaksa cari makan sendiri., gerai-gerai pula tutup, akhirnya makan maggi, rendam dalam air, tengah hari makan dua, malam dua,

UB: Oh ya. Kami difahamkan Datuk juga aktif dalam kegiatan NGO? Apa NGO Yang disertai?

DR RUSLAN: Sebenarnya saya banyak terlibat dalam kegiatan-kegiatan persatuan, kemasyarakatan dan badan profesional.

Saya adalah ahli seumur hidup Malaysian Medical Association (MMA), Primary Care Doctor's Organisation Malaysia dan The National Autistic Society of Malaysia. Saya juga adalah ahli Koperasi Doktor Malaysia Berhad dan menjadi ahli pertamanya di Sabah, Ahli profesional Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Kuala Lumpur, Ahli Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Sabah. Selain itu, saya juga adalah ahli Alumni Sekolah Alam Shah Kuala Lumpur, AJK Masjid Arraudah Lahad Datu.

Dalam bidang kesenian, kebydayaan bahasa, , saya adalah Ahli MACP Musicians's Authors Copyright Protection dengan nama MorusMaal.

UB: Saya difahamkan datukjuga adalah pengasas PERKIPS?

DR RUSLAN: Kami mengasaskan Persatuan Kebajikan Islam Perubatan Sabah pada 1988 dan menjadi saya menjadi presidennya yang pertama,. Selain itu saya menubuhkan Persatuan Rumpun Melayu Lahad Datu pada 1998 dan menjadi pengerusinya hingga kini.

UB: Kegiatan lain?

DR RUSLAN: Saya juga adalah Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Lahad Datu selama tiga penggal dari 2004 hingga 2009, Ahli Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah dari tahun 2004 hingga 2010.

UB: Khabarnya datuk juga pernah ke Aceh selepas peristiwa tsunami?

DRRUSAN: Saya ke Aceh sebagau salah seorang sukarelawanMERCY. Saya menjadi Team Leader Mission 6 Acheh Tsunami pada Februari 2005, Ketua pasukan perubatan Miri-Penan, dan mengadakan klinik bergerak untuk pelarian di Kampung Hidayat Tawau pada mei 2006.

Selain itu, saya juga pernah menjadi Doktor Pelawat Rumah Warga Tua Air Panas Tawau.

Bersama Task Force, Saya pernah membantu menyelaras misi kemanusiaan di Semporna Mabul dan Tanjung Labian Lahad Datu. Saya juga adalah penasihat Hospital Tawau Paliative Care.

UB: Penglibatan dalam politik?

DR RUSLAN: Dalam bidang politik, saya adalah antara yang terawal menjadi ahli UMNO di Sabah sejak parti itu mengembangkan sayapnya di negeri ini pada 1991. Saya menjadi Ketua Cawangan Kampung Panji baru 2, Lahad Datu Silam dan menjadi Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan UMNO Sabah.

UB: Apa kegiatan datuk di masa lapang?

DR RUSLAN: Saya aktif dalam sukan seperti badminton, golf, menulis, membaca, muzik dan minat mengembara. Selain itu, saya juga minat dalam bidang penerbangan Saya adalah Ahli Royal Selangor Flying Club Sungai Besi Kuala Lumpur dan Sabah Flying Club.

UB: Apa pesanan ibu bapa yang selalu menjadi pedoman datuk?

DR RUSLAN: Ibu bapa saya berpesan agar jangan sombong,selalu membantu orang bila ada peluang untuk membantu.