Sunday, April 26, 2015

NOURMAN RAYN, PRESIDEN MBS, MEMBESAR DALAM GERAKAN BELIA



 

NOURMAN RAYN, PRESIDEN MBS, MEMBESAR DALAM GERAKAN BELIA

 

JIKA ditanya bagaimana mulanya beliau tertarik dalam gerakan belia, Nourman @ Rayn bin Datuk Ag Zaini mungkin sukar baginya memberikan jawapan tepat. "Bukan soal bagaimana saya tertarik dalam gerakan belia, tapi saya dibesarkan dalam suasana gerakan belia," kata anak sulung kepada Datuk Dr Awang Zaini Haji Suntim, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara dan pasangannya Datin Siti Rokiah Haji Mohd Amin. Nourman sendiri mula terlibat dalam persatuan apabila menyertai Pengakap secara rasmi sebagai Pengakap Kanak-Kanak pada tahun 1983 ketika berada dalam darjah 1. Sebelum itupun, ketika pra-sekolah, Nourman sudahpun menyertai pengakap sebagai pengakap kancil pada tahun 1978. Pada tahun 1990, beliau terpilih menjadi Ketua Kumpulan Pengakap Remaja seterusnya menjadi Ahli Pengakap Kelana dan Penolong Pemimpin Pengakap pada tahun 1996, dilantik sebagai Pesuruhjaya Ibu pejabat Negeri pada tahun 2004, Penolong Pesuruhjaya Negeri (Perhubungan & Multimedia) 2007, Setiausaha Latihan Negeri Pengakap Sabah tahun 2007 dan dilantik sebagai Penolong Ketua Pesuruhjaya Negeri (Pentadbiran) pada tahun 2009. Sejak dilantik Setiausaha Eksekutif Majlis Pengakap Negeri Sabah pada tahun 2007, Nourman sudah menjalankan lebih 700 kali tugas kesetiausahaan. Pada tahun 2015, beliau menerima Anugerah Ketua Pengakap Negeri Sabah (Anugerah Tertinggi Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Sabah) dan penerima Medalion 'Certified Professional Scout Executive' (World Organization of Scout Movement). Beliau adalah penerima ke-473 pengakap profesional di Asia Pasifik semenjak 1960 dan satu-satunya penerima dari Sabah. Sebelum itu, beliau menerima Tauliah 'Jurulatih Antarabangsa" Pergerakan Pertubuhan Pengakap Sedunia sebagai Penerima termuda dalam sejarah Pengakap Sabah pada tahun 2013 dan penerima Anugerah Belia Negara 2011. Kini Nourman terpilih untuk menerima amanah sebagai Presiden Majlis Belia Sabah (MBS) 2014-2016, dan Dewan Tertinggi Majlis Belia Malaysia (MBM) 2014-2016 serta sejumlah jawatan lain sebagai komitmen terhadap pergerakan belia.

Nourman @ Rayn bin Datuk Ag Zaini lahir pada 18 Januari 1976 di Kota Kinabalu, Sabah. Anak sulung daripada enam adik beradik ini mendapat pendidikan awal di SRJK St Agnes Kota Kinabalu (1981-1988). Kemudian melanjutkan pelajaran menengah di Sekolah Berasrama Penuh Sabah (1989-1993). Sebagai salah seorang pelajar cemerlang, Nourman terpilih meneruskan pengajian Sains Kemanusiaan di Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Lembah Pantai (1994-1996) dan kemudian melanjutkan pengajian peringkat ijazah dengan pengkhususan Sains Kemanusiaan/Sains Politik di kampus utama UIAM Petaling Jaya dan kemudian di Gombak dari tahun 1996 hingga 2000.

Sepanjang penglibatannnya dalam gerakan pengakap dan belia, Nourman berpengalaman mewakili negara sama ada sebagai ketua urusetia, pengerusi, setiausaha, timbalan ketua kontinjen atau peserta ke serata dunia seperti New York, Bangladesh, Negara Brunei Darussalam, Sweden, Taiwan, Kalimantan Barat, Jakarta, Australia, Korea Selatan,Hong Kong, England

"Menyertai kegiatan berpengakap bukan setakat berseronok atau melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan , malah segala ilmu yang diperolehi dalam kegiatan itu dikongsikan bersama pengakap lain sebagai amal jariah dan sumbangan positif kepada masyarakat.

Kini Nourman berkhidmat sepenuh masa sebagai Setiausaha Eksekutif, Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Sabah. Beliau juga adalah ahli tetap Pasukan Latihan Pengakap Negara dan menjadi Setiausaha Latihan Pengakap Negeri Sabah sebagai wakil negeri ke peringkat Ibu Pejabat Pengakap Malaysia. Kini beliau memegang satu lagi amanah sebagai Presiden Majlis Belia Sabah (MBS) yang dianggotai 13 badan gabungan merangkumi kira-kira 400,000 belia di negeri Sabah.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN sempat menemubual Nourman@ Rayn mengenai misi dan visinya sebagai Presiden MBS dalam menjadikan belia Sabah sebagai Belia Berwibawa. Ikuti petikan temubual bersama beliau yang diadakan pada satu petang di salah sebuah restoran terkemuka di Jalan Gaya.

UTUSAN BORNEO: Bagaimana saudara tertarik dalam pergerakan belia?

NOURMAN: Bukan soal bagaimana saya tertarik dalam gerakan belia, tapi saya dibesarkan dalam suasana gerakan belia. Ketika berada dalam tahun 1, pada tahun 1983, saya sudah menyertai Pengakap secara rasmi pengakap kanak-kanak. Sebelum itupun, ketika berada di sekolah tadika, saya sudah dipakaikan uniform pengakap. Boleh dikatakan sejak zaman kanak-kanak, remaja hingga kini, saya membesar bersama pengakap dan gerakan belia. Ibu bapa saya sentiasa memberi galakan.

UB: Di mana saudara bertugas sekarang?

NOURMAN: Saya bertugas sepenuh masa sebagai seorang pengakap profesional. Sekarang saya adalah Setiausaha Eksekutif Majlis Pengakap Negeri Sabah sejak 2007.

UB: Tentu banyak pengalaman? Boleh ceritakan?

NOURMAN: Sejak dilantik sebagai Setiausaha Eksekutif pada tahun 2007, saya sudah menjalankan lebih 700 kali tugas kesetiausahaan dalam menjalankan program-program pengakap di negeri dan juga peringkat kebangsaan. Pergerakan pengakap mempunyai kira-kira seramai 70,000 keahlian. Saya bertuah kerana dilantik sebagai Pengakap Profesional, satu-satunya pengakap profesional dari Sabah. Di Malaysia, jika tidak silap saya hanya terdapat tujuh orang pengakap profesioanl. Saya adalah penerima ke-473Certified Professional Scout Executive dari kawasan Asia Pasifik sejak tahun 1960.

UB: Sekarang saudara terpilih sebagai Presiden Majlis Belia Sabah (MBS) bagi tempoh 2014 hingga 2016. Boleh beritahu sedikit mengenai MBS?

NOURMAN: Majlis Belia Sabah (MBS) dianggotai sebanyak 13 badan gabungan.Jika dikumpulkan ia merangkumi kira-kira 400,000 belia di Sabah. Jumlah belia di Sabah adalah kira-kira 1.2 juta orang.Apa yang menjadi keprihatinan kami ialah 800,000 belia di negeri ini yang masih belum dapat dijangkau dan tidak menyertai persatuan-persatuan belia.

UB: Apakah objektif atau Falsafah Penubuhan Majlis Belia Sabah (MBS)

NOURMAN: Objektif/Falsafah Penubuhan Majlis Belia Sabah, antaranya ialah Menegakkan dan mengukuhkan prinsip-prinsip sukarela dan demokrasi di dalam

pergerakan belia, Menyemarakkan potensi diri dan jasmani, melalui pendidikan belia di dalam negeri ke arah mencapai kebahagiaan diri melalui kegiatan berpersatuan.

Selain itu, Meningkatkan semangat kesetiaan kepada Negara dalam kalangan belia dengan menyebarkan prinsip-prinsip Rukun Negara,Mewujudkan dan menggalakkan minat menyertai persatuan belia,Mewujudkan kerjasama dan persefahaman dikalangan belia melalui aktiviti bersama.,Menyebarkan penerangan dan maklumat mengenai teknik dan kegiatan persatuan belia dengan cara berunding, membantu menubuhkan persatuan-persatuan atau pertubuhan belia baru untuk kemajuan belia,Mengemukakan pendapat dan perakuan kepada kerajaan, badan-badan berkanun atau badan-badan lain mengenai perkara-perkara kebajikan belia, sesuai dengan prinsip-prinsip keadilan, kebenaran dan kemanusiaan.

UB: Bagaimana peranan MBS sebagai Pusat Informasi dan Interaksi Belia?

NOURMAN: Sebagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang ditubuhkan di bawah Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) yang digelar Majlis Belia Sabah dengan singkatan (MBS) dan kini berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY),

MBS berperanan penting kepada semua belia yang berumur dari 15 hingga 40 tahun di mana MBS adalah payung dan badan yang memperjuangkan nasib belia dalam negeri Sabah.



MBS berfungsi dalam gerak kerja belia terutamanya dalam membantu belia menubuhkan persatuan,memberi nasihat dan panduan dalam penubuhan persatuan serta sebagai perunding dalam kebajikan & kemajuan belia.MBS juga berperanan penting sebagai penyalur maklumat dan bekerjasama dengan Agensi Kerajaan dan Swasta dalam dan luar negeri.



MBS juga membantu belia dalam proses peluang kerjaya, peluang melanjutkan pelajaran, peluang belia dalam memperolehi kemahiran dan juga dalam aktiviti kesukanan dan riadah.



UB: Apa hala tuju MBS dalam membentuk belia Sabah yang berwibawa?

NOURMAN: Fokus paling utama adalah untuk sesi ini ialah menguatkan sistem pentadbiran dan pengurusan MBS. Memahami kehendak Perlembagaan Majlis dan serta merencanakan agenda bertindak selaras dengan perlembagaan MBS

Kita juga merancang untuk menubuhkan Majlis Belia Daerah di setiap daerah di Sabah. Ini bertujuan untuk memberi peluang yang lebih adil kepada belia di peringkat daerah untuk bersama dalam kepimpinan belia.



Selain itu, MBS juga akan meneruskan usaha-usaha untuk menjaga kebajikan golongan belia di negeri ini dan juga yang berada di luar negeri Sabah (Semenanjung, Singapura dan Brunei). Di samping itu, MBS juga akan mendaftarkan golongan belia ini menjadi pengundi berdaftar yang dapat bersama-sama untuk mencorak kepimpinan di negeri dan Negara ini. Selain daripada itu, MBS juga akan meneruskan usaha untuk menggerakkan Jawatankuasa jawatankuasa Tetap selaras dengan Perlembagaan MBS.



Kita juga merancang agat MBS juga akan menjadi pusat rujukan kepada golongan belia dalam menghadapi cabaran kehidupan seharian melalui Pusat Info Belia dan Pusat Interaksi Belia.



UB: Apa kendala utama yang dihadapi dalam melahirkan belia berwibawa?

NOURMAN: Halangan utama yang kita hadapi adalah kekurangan dana dalam menjalankan program. Bagaimanapun, kita amat berterima kasih kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri, Datuk Musa Haji Aman atas keprihatinan yang tinggi terhadap belia.Saban tahun peruntukan terhadap pembangunan belia sentiasa meningkat . Kita berharap lebih banyak peruntukan disalurkan untuk pelaksanaan program belia selain untuk pembangunan sukan dan prasarana. Kalau boleh lebih banyak peruntukan disalurkan untuk program.



UB: Boleh jelaskan sedikit?



Semasa Ahli Jawatankuasa Kerja MBS kini mengambil alih teraju kepimpinan pada tahun 2010, MBS masih merupakan satu badan gabungan belia yang masih dikira kerdil, dengan pejabat yang ditumpang dan seharian bergelumang dengan isu ketidak cukupan dana. Tidak siapa mengambil endah dan masyarakat juga tidak begitu menyedari kewujudannya. Malah Ahli Jawatankuasa Kerjanya juga berkhidmat mengikut kesenggangan masa sesuai layaknya sebuah pertubuhan sukarela seperti lainnya. Disebalik segala tohmahan dan tanggapan negatif, MBS sedikit demi sedikit berusaha mendapatkan keyakinan pihak kerajaan dan masyarakat tentang peranan dan fungsinya dalam menjadi pelantar agenda pembangunan belia utama di negeri ini. Kita bersama berusaha menanam keyakinan masyarakat terhadap kebolehan kita, membina kehormatan diri (self respect) sebagai manusia seperti orang lain dan membina kepercayaan kepada diri sendiri (self confidence) akan kemampuan kita.



.

Dalam tempoh 3 hingga 4 tahun ini, kita telah dikejutkan dengan beberapa insiden bunuh diri yang kesemuanya melibatkan golongan belia. Insiden-insiden ini seolah menempelak kita semua selaku pimpinan pertubuhan belia kerana di dalam beberapa kes ini, media juga telah memuatkan mesej peribadi individu terlibat dan sebab berlakunya insiden tersebut yang memberi cerminan bahawa belia di Sabah sanggup bertindak nekad mengambil nyawa sendiri hanya kerana masalah cinta, emosi dan keinginan yang tidak tercapai. Seharusnya kita selaku pimpinan belia berfikir sejenak adakah kurangnya integriti dan jatidiri di kalangan belia di negeri ini dan apakah peranan kita dalam perkara ini?

MBS dan pimpinan belia di negeri ini perlu diberi lebih kepercayaan dan tanggungjawab oleh pihak kerajaan dengan lebih banyak pengiktirafan dan hakupaya bagi membolehkan kita menyumbang dengan lebih mantap lagi dalam mengelakkan masalah sebegini daripada berulang.

 

Generasi muda dan kepimpinan belia tidak terlepas daripada memikul amanah menjadi penyelesai masalah yang dihadapi oleh masyarakat kita. Anak muda yang mampu memberi sumbangan walaupun sedikit akan sentiasa dilihat sebagai asset. Manakala anak muda yang hanya meminta-minta dan berkeluh kesah tanpa sebarang usaha pasti akan dianggap liabiliti yang merugikan.



UB: Boleh komen sedikit mengenai pelantikan 11 Ahli Parlimen Belia Malaysia dari Sabah?

NOURMAN: Perlantikan 11 orang Ahli Parlimen Belia Malaysia di bawah program Kementerian Belia dan Sukan Malaysia merupakan cerminan positif latihan kepimpinan peringkat tertinggi yang bakal diterima oleh golongan belia di Sabah. Syabas dan tahniah kepada semua Ahli Parlimen Belia Sabah yang telah terpilih. Diharap Ahli Parlimen Belia ini dapat membawa suara majoriti belia yang mereka wakili ke peringkat kebangsaan. Adalah juga diharapkan dengan pendedahan ini, golongan belia dapat memahami bahawa kerajaan memandang serius keperluan mempersiapkan golongan belia untuk mengambil alih tampuk pimpinan negara pada masa akan datang. Semoga Ahli Parlimen Belia Malaysia akan dapat bergerak seiring dengan MBS dalam memperjuangkan agenda belia Sabah.

.

UB: Apa matlamat peribadi saudara sebagai Presiden MBS bagi tempoh 2014-2016?

NOURMAN: Antara matlamat saya ialah Pengembangan skop Jentera Pentadbiran MBS;Utilisasi 10 Jawatankuasa Tetap MBS dan memberi Penekanan kepada 'signature programmes' MBS dan Badan Gabungannya.

Saya juga berhasrat Meng'arus perdana'kan lebih ramai golongan belia di peringkat daerah melalui Penubuhan Majlis Belia Daerah di seluruh negeri Sabah. dan mengadakan Program signature MBS di peringkat Bahagian/Daerah.(Program Belia Sayang Kampung, Kursus Pimpinan Muda dan Pro8) Ini ditambah lagi dengan pengukuhan Majlis Peundingan Belia Negeri Sabah melalui penglibatan lebih ramai belia di peringkat akar umbi dengan lebih sistematik dan telus. Adalah diharapkan, dengan penubuhan Majlis Belia Daerah kelak, lebih banyak hasrat dan aspirasi belia dapat disalurkan ke pengetahuan kerajaan melalui pelantar yang tepat

Bagi Memupuk budaya kecemerlangan melalui pengiktirafan kepada lebih ramai golongan belia, kami juga akan memperluaskan skop Anugerah Majlis Belia Sabah

dan Mewujudkan sebuah galeri ataupun dokumentasi khas pencapaian belia Sabah.

Selain itu, MBS juga mahu menggalakkan lebih ramai belia menceburi bidang perniagaaan dan keusahawanan. Kita akan mewujudkan Kerjasama dengan pihak-pihak berkaitan seperti KPDNKK dan SKM melalui penggalakkan belia menceburi bidang koperasi dan Menjadi pusat info kepada peluang-peluang mendapatkan dana bagi usahawan belia



 

No comments: