Sunday, April 26, 2015

PENGALAMAN SEJENAK DI KOWLOON



PENGALAMAN SEJENAK DI KOWLOON

KALAU sekarang saya berada di Kowloon, bukan kerana soal budaya atau sejarah yang selalu memotivasi saya untuk melakukan perjalanan demi perjalanan, dari satu tempat ke tempat yang lain, dari satu kota ke kota yang lain, atau dari satu pulau ke pulau yang lain.

Kali ini saya berada di Kowloon adalah kerana dipelawa untuk membuat liputan mengenai sukan Ragbi. Pasukan Maktab Sabah menyertai Standard Chartered International Youth Seven di King Park , dan akhirnya berjaya mencatat kejayaan yang membanggakan. Sekolah Menengah Maktab Sabah muncul naib johan Bawah 19 dan hanya tewas kepada pasukan Kanada juara bertahan dan pernah merangkul piala itu sebanyak tiga kali. Pasukan Bawah16 pula berjaya mendapat Anugerah Khas sebagai pasukan yang pertama kali mengambil bahagian dan berjaya menunjukkan permainan yang baik.

Sebenarnya banyak pengalaman yang dapat dikutip di Hong Kong. Sebaik tiba di Lapangan Terbang Hong Kong, kami terus dibawa ke Yau Ma Tei, menginap di beberapa apartmen. Cuaca agak dingin. Suhu di bawah 17*C.

Segalanya serba mahal di sini. Sebotol air mineral berharga kira-kira RM6. Sekotak rokok Dunhill berharga HK60 atau RM30.00 sekotak. Sepinggan nasi beriyani ayam berharga HK52 atau kira-kira RM26.00. Kami terpaksa makan nasi beriyani kerana itulah sat-satunya restoran halal milik orang Pakistan di Jalan Yau Ma Tei.

Harga sewa apartmen juga amat mahal di sini. Di Apartmen kami , di Jalan Waterloo, sewanya kira-kira $2,000 pound sterling selama lima hari atau kira RM12,000 . Terdapat tiga bilik dan kami tinggal di tingkat 16. Kalau menginap di hotel bertaraf empat bintang, sewanya boleh mencecah RM2,000 untuk satu malam.

Saya juga memerhatikan orang-orang yang berjalan tergesa-gesa, kadang seperti berlari mengejar masa. Saya melihat betapa mereka amat menepati waktu. Sistem pengangkutan di sini juga amat mengagumkan.Ada bas, ada trem,ada keretapi bawah tanah, ada teksi dengan pemandu yang berdisiplin dan banyak lagi. Tetapi saya selalu memilih untuk berjalan kaki sambil melihat-lihat langit Hong Kong.

Bangunan-bangunan berpuluh-puluh tingkat. Dimana pun mata kita tertancap, di sana ada bangunan-bangunan mencakar langit Tetapi anehnya untuk pembinaan bangunan baru, mereka masih menggunakan buluh sebagai salah satu alat pembinaan.

Setiap pagi saya tida lupa membeli akhbar South China Morning Post dengan harga HK7 untuk mengetahui berita-berita semasa. Halaman sukan dipenuhi oleh acara sukan Ragbi Hong Kong Seven yang bertaraf dunia dan disertai negara Afrika, Asia, Amerika dan Eropah.

Setiap pagi pula saya melihat orang-orang menyapu sampah. Hampir setiap ketika saya melihat bretapa pekerja-pekerja bandaraya ini amat mementingkan kebersihan.

Saya terfikir bagaimana orang-orang menjalani kehidupan di sini. Penuh persaingan, penuh perlumbaan. Saya tidak pernah melihat orang berjalan sambil lewa. Saya menerhati mereka bergerak dengan pantas. Apa yang terfikir di minda saya ialah tiada tempat bagi orang-orang yang sambil lewa di Hong Kong. Bukan saja di Hong Kong, malah untuk hidup yang lebih baik, tiada masa untuk kita sambil lewa.

 

No comments: