Sunday, April 26, 2015

SASTERA UKHUWAH DAN SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-25 IPS



SASTERA UKHUWAH DAN SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-25 IPS

Oleh ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN
Ikatan Penulis Sabah (IPS) menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke 25 tahun di Dewan Amil Jaya, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah pada malam 14 April lepas. Tentu banyak yang dapat dicatatkan sempena acara sambutan ulang tahun selain memotong kek sebagai tanda meraikan usia IPS yang sedikit sebanyak mewarnai dunia persuratan dan kesusasteraan di Sabah sejak 25 tahun yang lalu.

IPS ditubuhkan pada 24 Mac 1990. Ketua Satu IPS, Sukor Haji Usin yang lebih dikenali dengan nama Hasyuda Abadi dalam ucapannya menceritakan mengenai perjalanan IPS dalam mengharungi arus deras yang sentiasa berliku untuk sampai ke destinasi yang diharapkan. Sudah pasti selama kehadiran IPS di persada sastera, sudah banyak sumbangan yang diberikan dan mengimarah dan menyemarakkan sastera di Sabah.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Haji Arifin Arif ketika merasmikan sambutan ulang tahun itu menggesa penulis agar mempromosi sastera ukhuwah.

Sastera Ukhuwah yang mengedepankan persaudaraan, persahabatan dan silaturrahim adalah sesuai dengan motto IPS yang mengamalkan wasatiyah dalam segala tindakan dan pelaksanaannya. Beliau menyarankan agar golongan penulis sentiasa mengutamakan ukhuwah insaniah, ukhuwah basyariah dalam memajukan sastera Sabah.

"Biasa kalau kita berkayuh, air terpercik ke tempat kawan kita tetapi jangan pula kita pukul kawan kita pakai pendayung," kata Arifin yang juga seorang penyair terkenal tanahair.

Dalam majlis yang dihadiri penulis, seniman di sekitar ibu negeri, juga tetamu dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), IPS turut melancarkan semula penerbitan Majalah Sasteranya Komposisi. Komposisi akan diterbitkan semula sebagai sebuah majalah sastera berwibawa.

"Saya sempat menyaksikan penerbitan majalah komposisi ini ketika ia masih diterbitkan secara stensilan," kata Arifin. Malah saya mengikuti perkembangan IPS sejak ia mula ditubuhkan, ketika ia berusia lima tahun, 10 tahun, 15 tahun, 20 tahun sehinggalah sekarang," katanya. IPS adalah sebuah persatuan yang berwibawa dan banyak menyumbang dalam sastera Sabah selain Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA).

Majlis yang diadakan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah itu turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah DBP Sabah, Tengku Fauziah Ku Mat, Profesor Madya Dr Baharuddin Md Arus, Profesor Dr Siti Zainon Ismail, Penyair seniman Raja Ahmad Aminullah, Ahli Kehormat IPS, Muhammad Haji Salleh dan Ali Amat Anas, mantan Timbalan Pengarah DBP Sabah, Nadin Haji Salleh dan kenamaan lain berlangsung dengan jayanya. Ia turut diserikan dengan persembahan pembacaan puisi oleh Mohd Fuad Bebit dan Ramli AR serta persembahan Randai oleh grup Creative Stage pimpinan Alloy Azali Mohd Taib.

IPS akan mengadakan pelbagai aktiviti dan program sebagai pengisian sambutan ulang tahun ke-25 IPS sepanjang tahun ini.


No comments: