Sunday, April 26, 2015

TERILHAM DARI LAWATAN PA'MIN KE KEBUN BUNGA

 

TERILHAM DARI LAWATAN PA'MIN KE KEBUN BUNGA

 


DI sebalik personalitinya yang tegas, kebijaksanaan dan keluasan fikiran dan wawasannya,keterbukaan dan keprihatinannya, selera humornya , di sebalik ketokohan dan kewibawaanya sebagai Speaker Parlimen Malaysia, sesungguhnya Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia seorang yang sensitif terhadap tumbuh-tumbuhan dan bunga-bunga.

Di celah-celah kesibukannya, beliau suka melihat bunga-bunga. Kerana minatnya yang mendalam terhadap pokok bunga, beliau sering menyempatkan diri untuk singgah di nursery untuk membeli bunga. Menurut pembantunya, Tan Sri Pandikar Amin yang lebih mesra dengan panggilan Pa'Min itu boleh membicarakan mengenai hampir 200 spesies bunga beserta khasiat dan kelebihan setiap pokok bunga. Beliau sering bercerita mengenai ilmu yang dimiliki orang tua dan nenek moyang kita mengenia khasiat tertentu setiap pokok bunga.

Keahliannya bercerita mengenai alam flora, mengenali alam semula jadi, bukan saja menjadi makanan jiwanya tetapi memberikan kelebihan kepada beliau untuk mengenal sikap manusia.

Setiap bunga boleh mewakili makna tersendiri. Sejambak bunga mawar mempunyai makna sendiri, berbeza dengan makna sejambak bunga carnation misalnya. Mawar putih tidaklah sama makna dengan mawar merah. Bunga kekwa tidak sama dengan bunga daisi. Orkid tidak sama dengan bunga matahari. Bunga tulip tidak sama dengan bunga raya. bunga kertas tidak sama dengan kembang dipun, (kembang jepun), kasbang tidak sama dengan kamadu-madu, dan sebagainya. Dua jenis yang baru disebut ini, saya tidak tahu padanannya dalam bahasa Melayu tetapi masyarakat Iranun menyebutnya sebagai kasbang dan kamadu-madu. Ada juga mengenai bunga semalu, tetapi semua mungkin sudah tahu.

Pa'min mempunyai banyak pengetahuan mengenai alam flora. Beliau boleh bercakap mengenai sesuatu jenis bunga dan menerangkan mengenai khasiatnya.Inilah kelebihan tokoh negara yang rupanya halus jiwanya.

Kita harus menguasai semua bidang ilmu. Masyarakat kita seharusnya mempunyai ketrampilan dalam segala bidang, bukan setakat politik, projek tetapi juga mereka haruslah melibatkan diri dalam kegiatan sosial, pendidikan, kebudayaan, ekonomi dan kemasyarakatan.

Masyarakat kita dahulu mahir dalam pelbagai bidang kehidupan. Di samping mereka menguasai ilmu tumbuh-tumbuhan, yang sekarang disebut ilmu botani, mereka juga mahir ilmu mengenai bintang-bintang atau ilmu astronomi.Masyarakat ita juga menguasai ilmu pertanian, perikanan malah menguasai ilmu pelayaran. Jika direnung-renungkan, masyarakat tradisi kita mempunyai banyak kelebihan, banyak pengetahuan, kearifan lokal yang sepatutnya diketengahkan, tetapi sekarang, banyakdi antara ilmu-ilmu nenek moyang kita itu tidak lagi kita pelajari dan dengan itu tidak lagikita kuasai.

Sebab apa? Mungkin kerana kita sibuk bertelingkah atau berbalah sesama sendiri. Mungkin kerana kita kehilangan tumpuan dan perhatian.Mungkin kerana banyak sebab yang mungkin kita sama-sama sedari tetapi tidak segera memperbaikinya.

Berbicara mengenai bunga ini, saya terbaca satu artikel mengenai warna bunga. Jika bunga merah warnanya, ia bermakna perasaan yang berkobar-kobar dalam melakukan sesuatu. Jika bunga warna ungu membawa semangat yang diperlukan untuk melakukan sesuatu yang diinginkan, bunga kuning maknanya peluang yang bakal hadir dalam diri seseorang dan warna putih melambangkan semangat yang mementingkan kebenaran.

Saya teringat penyair Umar khayyam. Jika masih ada bunga, maka hargailah sebaik-baiknya. Kerana, kata Umar Khayyam, bunga hanya mekar sekali sebelum mati selama-lama.

No comments: