Monday, May 4, 2015



SJN (B) ALI AMAT ANAS, BEKAS PENINJU TAPI BERBAKAT DALAM SENI

"Habis semua orang terjun ke sungai. Serangan itu begitu tiba-tiba. Entah dari mana arahnya.Tapi saya tidak lari. Sebaliknya hanya berdiam.Sejurus kemudian saya mendapati diri saya sudah dikerumuni dan tidak dapat melepaskan diri," kata Sarjan (B) Ali Amat Anas melukiskan detik-detik mencemaskan sewaktu bertugas di perbatasan Sarawak.

"Kira-kira setengah jam kemudian, barulah lebah yang jumlahnya mungkin ribuan ekor itu terbang entah kemana dan lesap dalam senja. Mendapat firasat yang tidak bagus itu, maka pada malam itu juga,pasukan berpindah tempat mendaki bukit untuk menghindar dari serangan anasir komunis.

Itu adalah salah satu daripada banyak kenangan pahit manis, Ali Amat Anas sepanjang 37 tahun berkhidmat sebagai anggota polis dari tahun 1969 sehingga bersara kira-kira sembilan tahun lalu.

Sjn (B) Ali Amat bin Anas dilahirkan di Kampung Berhala Darat Sandakan pada 23 Mei 1951. Ayahnya, Anas bin Otoh orang Bajau Papar manakala ibunya, Khatijah binti Osman, orang Sungai dari Pinangah, Kinabatangan. Beliau mendapat pendidikan awal di Government Primary School (GPS) Berhala Darat Sandakan hingga pada tahun 1959. Beliau meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah Sung Siew pada tahun 1965 tetapi tidak lama kemudian beliau berpindah ke Goverment Junior Secondary School (GJSS) Sandakan hingga lulus LCE pada tahun 1968. Apabila berlaku kekacauan pada 13 Mei 1969, beliau menyertai Pasukan Polis Di Raja Malaysia dan ditempatkan dalam Pasukan Polis Hutan yang kini dikenali Pasukan Gerakan Am (PGA). Tugasan pertama beliau ialah terlibat dalam Operasi Lada Pedas di Rasscom Sarawak menentang ancaman Komunis dan Tentera Nasional Kalimantan Utara sekitar tahun 1970 hingga 1971. Beliau turut aktif dalam sukan tinju dari tahun 1973 hingga 1985 dan pernah mewakili PDRM dalam kategori lightfly weight di peringkat negeri dan kebangsaan. Selepas berhenti bertinju, Ali Amat meneruskan minatnya dalam bidang seni budaya dan aktif bergiat dalam bidang seni hinggalah sekarang.

Beliau juga adalah Pengerusi Rukun Tetangga Taman Pantai Lok Kawi sejak 2006, yang diiktiraf sebagai RT Teraktif di daerah Papar dari tahun 2008 hingga 2013. Selain itu beliau juga Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Tadika Perpaduan sejak 2009, Pengerusi Pertubuhan Artis Kreatif Kota Kinabalu (ARTIS) sejak 1992, dan Ahli Kehormat Ikatan Penulis Sabah (IPS).

Sebagai penghargaan dan pengiktirafan terhadap jasa-jasanya, Sjn (B) Ali Amat Anas dikurniakan Pingat Kepahlawanan Pasukan Polis iaitu Bentara Pasukan Polis (BPP) oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong, Tuanku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman pada 28 Mac 1996,Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) oleh TYT Yang Di Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin pada 3 Julai 2014, Pingat Perkhidmatan Am dan Pingat Perkhidmatan Setia oleh Pegawai Pemerintah BN 16, Supt Andrew Abie pada tahun 1995 dan diiktiraf sebagai Jurulatih Seni Budaya Negara pada 22 Disember 2005. Beliau mendirikan rumah tangga dengan Dayang Sofiah Haji Ahmad , bekas kerani d Jabatan Penjara dan dikurniakan empat cahaya mata, dua lelaki dua perempuan.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemubual beliau untuk berkongsi pengalamannya sepanjang berkhidmat dalam perkhidmatan polis, penglibatannya dalam dunia tinju dan kemudiannya aktif dalam bidang seni dan budaya. Ikuti petikan temubual bersama beliau yang diadakan pada satu petang sambil menikmati teh di salah sebuah restoran di Jalan Pantai.

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang tuan?

SJN (B) ALI AMAT ANAS: Saya lahir di Sandakan pada 23 Mei 1951. Di Kampung Berhala Darat Sandakan. Saya anak kedua dari lapan orang adik beradik.Kalau dikira anak ketiga setelah anak sulung meninggal dunia.Kami semua empat lelaki empat perempuan.

UB: Sekolah dimana?

ALI AMAT: Saya bersekolah di Government Primary School (GPS) Berhala Darat dari tahun 1959 hingga 1964. Kemudian saya bersekolah di Sung Siew Secondary School pada 1965 namun demikian pada tahun 1966, saya berpindah di GJSS Sandakan. Pada tauhun 1968, saya lulus LCE, Lower Certificate of Education tapi saya tidak menyambung persekolahan.

UB: Apa yang tuan buat selepas tidak lagi bersekolah?

ALI AMAT: Saya ikut dengan kawan. Kami ikut pengambilan polis. Waktu itu ada Emergency (Darurat) selepas peristiwa 13 Mei 1969.

UB: Siapa antara kawan tuan yang masuk polis pada masa itu?

ALI AMAT: Antara kawan saya ialah Aim Nordin, dulu kerja di Jabatan Marin Polis, Hassan Sulit, peninju, Mamut-lupa nama bapanya, tapi dia kahwin orang Sarawak, menetap di sana dan pencen pun di sana.

UB: Latihan di mana masa itu? Di Semenanjung?

ALI AMAT: Kami mengikuti latihan polis di Sabah. Kami memulakan latihan di Pusat Latihan Polis Kepayan bermula 11 Jun 1969 selama 15 bulan.

UB: Selepas itu, tuan ditempatkan dimana?

ALI AMAT: Saya mula ditempatkan di Kepayan. Beberapa bulan kemudian, pada tahun 1970, saya ditempatkan di Sarawak. Di Sibu selama enam bulan, di Kuching pun selama enam bulan. Kami terlibat gerakan Lada Pedas di kawasan Rascom untuk mengusir anasir komunis dari bumi Kenyalang. Selepas itu balik ke Sabah pada tahun 1971.

UB: Di Sabah, dimana tuan bertugas?

ALI AMAT: Saya diberi penugasan di pesisiran pantai khususnya di Pantai Timur Sabah. Saya terlibat banyak operasi, OPs Tayang Ops Pasir, Corridor System, Ops Cungkil, Ops Bersih. Saya juga pernah bertugas di Tawau pada tahun 1988 hingga 1990, di bawa sekuad baru aitu Kombas atau Kompeni Bebas. Pada tahun 1991, Apabila Briged Sabah ditubuhkan, kemudian ditukarkan ke batalion 16 atau BN 16, saya ditempatan di cawangan latihan. Di sana saya naik pangkat sarjan selepas temuduga. Bagaimanapun kedudukan saya tergantung kerana belumada kekosongan dan sudah ada sarjan di bahagian itu. Apabila berlaku kekosongan, kerana Sjn Kasim bersara masa itu, saya berjumpa dengan Pegawai Pemerintah, Supt Sahadan Halus dan beritahu mengenai kekosongan itu. Tidak lama kemudian saya ditempatkan di bahagian bekalan.

UB: Bagaimana tuan terlibat dalam bidang kebudayaan?

ALI AMAT: Musim itu, selain tugas hakiki, saya juga dilantik sebagai Exco Kebudayaan. Apa-apa juga kegiatan atau hal berkaitan kebudayaan, sama ada di Briged atau polis , saya terlibat secara langsung.Ertinya saya dikehendaki bertugas.

Saya terpilih sebagai pendeklamasi puisi mewakili pasukan PDRM dalam Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan sejak 1993 hingga 2004. Dalam semua penyertaan itu, saya layak ke peringkat akhir. Pada tahun 2005, saya berhenti dalam aktiviti kerana mengurus persaraan, saya bersara tahun 2006. Tapi apabila Kerajaan menwujudkan Latihan Khidmat Negara, saya dilantik sebagai Jurulatih Sastera dan Budaya di PLKN (Pusat Latihan Khidmat Negara) hinggalah sekarang apabila PLKN dihentikan sementara.

UB: Mungkin ada kenangan yang tidak dapat dilupakan sepanjang berkhidmat dalam perkhidmatan polis.Boleh ceritakan sedikit?

ALI AMAT: Pada tahun 1970, kami ditugaskan di Sarawak. Apabila sampai di Sarawak, kami ditempatkan di Lanang Kem, kira-kira 3 km dari bandar Sibu. Selepas dua minggu, kami terlibat dalam gerakan operasi di Paradum yang membabitkan bukan semua orang Sabah, orang Sarawak yang sudah lama mengenali kawasan itu turut sama dilibatkan. Itu adalah pengalaman pertama dan tugasan pertama. Kira-kira jam 2.30 pagi, dari kejauhan nampak seperti kunang-kunang. Saya ditanya olrh kawan, nampak itu? "Oh itu kunang-kunang" . Bukan, itu bukan kunang-kunang, katanya, itu komunis. Bila dia sebut komunis bulu tengkuk pun berdiri.Kami sudah berada dalam keadaan siap siaga.Dalam istilah polis stand two. Kami tunggu mereka mendekat. Selepas mendapat isyarat tembak, maka kami pun menembak. Selepas itu itu, keadaan senyap. Kemudian kami nyalakan cahaya, dimana anggota lari ke depan memeriksa dengan pantas san balik dengan pantas. Tiada yang mati.Komunis dapat lari. Itu adalah satu pengalaman yang mencemaskan.

Satu lagi pengalaman yang melucukan juga ialah ketika kami mengadakan operasi di Kuching. Apabila khemah sudah siap didirikan dengan cukup cantik, tiba-tiba kami diserang oleh penyengat lebah.Habis semua orang terjun ke sungai. Serangan itu begitu tiba-tiba. Entah dari mana arahnya.Tapi saya tidak lari. Sebaliknya hanya berdiam.Sejurus kemudian saya mendapati diri saya sudah dikerumuni dan tidak dapat melepaskan diri. Topi saya, senjata api dihinggapi lebah.

Kira-kira setengah jam kemudian, barulah lebah yang jumlahnya mungkin ribuan ekor itu terbang entah kemana dan lesap dalam senja. Waktu itu sudah petang, waktu maghrib.Mendapat firasat yang tidak bagus itu, orang tua-tua bilang `angai' iaitu bila berlaku petanda seperti itu, ia harus ditinggalkan. Maka pada malam itu juga,pasukan berpindah tempat mendaki bukit untuk menghindar dari serangan anasir komunis.

UB: Bagaimana tuan dan rakan rakan bergerak dalam keadaan gelap begitu?

ALI AMAT: Kami berpegangan tangan. Berpandukan sejenis daun, yang kalau malam nampak bercahaya. Supaya tidak terlepas kami berjalan berpegangan tangan. Kami terpaksa mendaki bukit.Malam itu kami tidur di atas bukit.

UB: Apa pula pengalaman ketika bertugas di Sabah?

ALI AMAT: Ketika bertugas di Sabah, satu pengalaman yang tidak dapat saya lupakan , ialah ketika bertugas di Tanjung Layak-Layak di Kudat. Di sana, bekalan air tidak ada.Perigi hanya ada satu. Itupun dikongsi dengan kira-kira 100 orang penduduk kampung. Untuk dapatkan air, jam 3.00 pagi kami sudah bangun dan ambil air. Tapi satu orang hanya dapat satu baldi.Satu baldi lima gayung saja isinya. Itupun cukup untuk basuh muka dan berus gigi saja.

UB: Berapa lama bertugas di sana?

ALI AMAT: Kami bertugas di sana kira-kira 75 hari. Sebagai ketua, saya menghubungi ketua medan di Pulau Malawali untuk meminta dihantarkan air. Tapi tidak diberi. Akhirnya saya minta beliau sendiri datang melihat keadaan kami dan keadaan perigi. Kami sudah berusaha gali perigi. Kami sudah gali 7 perigi sedalam 13 hingga 14 kaki, tetapi langsung tiada air. Apabila dia melihat keadaan itu, maka dia menghantar bot untuk mengambil air di Pulau Mandi Darah untuk mengambil air. Dalam keadaan biasa, jarak dari Tanjung Layak-Layak ke Pulau Mandi Darah sejauh 25 minit tapi kalau bot bawa air 45 minit baru sampai. Kita ambil guna pam. Kami pergi cuci pakaian di Pulau Mandi Darah.

UB: Kenapa pula itu dinamakan pulau Mandi Darah?

ALI AMAT: Tidak pula kami tanya apa sebabnya dan asal usulnya.Ketua kampung masa itu Haji Nong. Pulau itu kecil tapi bekalan airnya banyak dan jernih.

UB: Siapa rakan tuan bertugas masa itu?

ALI AMAT: Antaranta Lkpl Miandoh, Hatta, Saharudin, itu yang saya ingat. Kami tujuh hingga lapan orang. Itulah peristiwa yang saya rasa mencabar betul. Benar-benar mencabar bagi saya.

UB: Oh ya. Bagaimana pula tuan terlibat dalam sukan tinju?

ALI AMAT: Saya berjinak-jinak dalam sukan tinju sebelum masuk pasukan polis lagi. Saya ikut dengan kawan. Masa itu saya masih rahsiakan daripada bapa saya kerana belia marah kalau saya main tinju. Bapa saya Anas bin Otu dari Kampung Sapat Papar manakala ibu saya, Khatijah binti Osman dari Kampung Pinangah, Kinabatangan. Bapa saya memang minat tinju. Beliau dulu juga pernah menjadi anggota polis di zaman British.Berpangkat Lans Koperal nombor 243. Adik bapa saya pula juga seorang peninju dengan Royal Brunei Army, Lakan bin Otoh. Walaupun kecil, dia dapat mengalahkan orang putihyang berbadan besar dengan pukulan KO. Tetapi pada mulanya saya tidak dapat galakan daripada bapa saya. Saya terpaksa tukar nama dengan Mohamad Azman. Kebetulan bapa saya ada menonton perlawanan itu. Diapun marah, bukan kerana kalah tapi kerana saya kalah dengan TKO. Sampai di rumah, seperti yang diduga, dia marah saya.Kenapa tidak kasih tahu bapam katanya. saya fikir bila dia berkata begitu, dia masih menyokong saya. Kemudian saya berlatih dengan Charles William atau Mohd Salleh William, seorang peninju Sabah.Dia yang menjaga saya.

Bapa saya juga berubah sikap.Beliau mula melatih saya.Dia tidak lagi marah. Apabila saya masuk polis, sukan tinju adalah sukan pilihan saya. Bila masuk polis, bapa saya pesan, jaga disiplin polis, jangan kacih pecah (rosak) rekod saya, katanya. Bapa saya adalah pemegang Kings Medal for courage in the cause of freedom.

UB: Selepas itu pernah kalah dengan pukulan TKO?

ALI AMAT: Selepas itu saya tidak pernah lagi kalah dengan TKO. Walaupun kalah, saya kalah hanya dengan kiraan mata.

UB: Tahun berapa tuan terlibat dalam tinju?

ALI AMAT: Saya terlibat dalam tinju dalam tahun 1973 hingga tahun 1985, kelas light flyweight. Rakan-rakan saya Hussin Sulit( flyweight), Judas kelas (bantam weight) Mathew Takilan,(featherweight), Kiuh Sikul ( Light weight), Joe Pairin (Lightwelter weight) Alfonso Liew (Welter weight).

UB: Pencapaian dalam tinju?

ALI AMAT: Saya pernah menjadi wakil polis di peringkat negeri dan kebangsaan. Salah satu kenangan yang tidak dapat dilupakan ialah ketika peninju Muhammad Ali, ke Sabah, kami sempat bersalam dengan beliau setelah kami diperkenalkan dengan Muhammad Ali yang ketika itu juara tinju dunia.

UB: Boleh ceritakan sedikit penglibatan dalam seni?

ALI AMAT: Saya terlibat dalam seni dalam tahun 1985. Sebelum itu saya sudah menulis sajak Puteri Hijau pada 7 Februari 1977. Sajak itu mengisahkan kelahiran anak perempuan saya ketika saya bertugas di perbatasan. Hijau saya gambarkan dengan seragam pakaian kami yang dulunya hijau. Saya minat melukis dan berlakon ketika bersekolah di GPS Berhala Darat lagi. Minat menulis dan minat terhadap seni tumbuh sejak itu. Kami dibimbing oleh Bapak Harry, guru yang didatangkan dari Indonesia. Saya juga minat mendengar Radio Jesselton masa itu.Lagu yang saya minati lagu sarinande.. Bapa saya juga minat dalam seni.Beliau seorang pemain biola yang bagus. Adik emak saya juga, Guru Besar GPS Berhala Darat, Abdul Wahab Osman juga pemain trompet. Mungkin minat terhadap seni mengalir dari situ.

UB: Sebelum kita akhiri temubual ini, mungkin ada sesuatu yang ingin tuan sampaikan?

ALI AMAT:Kalau dikira banyak betul pengalaman yang diperolehi selama 37 tahun berkhidmat, Saya banyak terhutang budi dengan pasukan polis. Polis banyak membantu membentuk jiwa dan semangat saya. Sampai sekarang pun saya selalu mementingkan disiplin. Jika diperlukan saya sentiasa bersedia berkhidmat pada bila-bila masa saja. Terima kasih kepada Utusan Borneo atas peluang yang diberikan. Terima kasih banyak.

 

 

 

 

 

 

No comments: