Jumaat, 19 Jun 2015

MENULISLAH DENGAN JUJUR DAN BENAR, KATA PAK NASRIE

Tags




MENULISLAH DENGAN JUJUR DAN BENAR, KATA PAK NASRIE


MENULISLAH dengan jujur dan benar, kata Pak Nasrie, wartawan veteran dari Makassar, Indonesia. Meskipun sudah bersara, wartawan terkemuka yang sering membuat liputan di Malaysia ini, masih menuangkan fikirannya dalam bentuk tulisan yang disiarkan di Harian Fajar, sebuah suratkhabar terbesar di Sulawesi. Menjadi wartawan itu tugas yang mulia, katanya. Mungkin kerana itulah, beliau yang kini diamanahkan sebagai Pengurus Operasi PT Fajar Agribisnis ini , masih juga menulis berita, di celah-celah kesibukannya bersama petani untuk produksi bibit padi.


HAJI MUHAMMAD NASRIE ABOE lahir di Makassar pada 17 April 1954. Anak kedua dari tujuh adik beradik ini menceburkan diri dalam bidang kewartawanan sejak usia mudanya. "Ketika melihat Presiden Sukarno berpidato di Pare-Pare, orang ramai diminta tidak boleh dekat dengan Presiden. Tapi wartawan boleh dekat dengan Presiden," katanya menceritakan bagaimana mulanya tertarik dengan kerjaya sebagai wartawan. "Tapi sepanjang karier saya sebagai wartawan, saya berbangga kerana dapat menulis untuk membantu orang-orang kecil, orang-orang miskin yang biasanya luput dari pemberitaan," kata anak lelaki kepada Aboe Bakar yang lebih dikenali sebagai Komandan Aboe dengan ibunya bernama Mustaharia.


Beliau mula menceburi bidang kewartawanan sejak 1985. Sebelum itu, beliau bekerja sebagai surveyor di Sucofindo, sebuah badan yang mengurus perlesenan beras. Beliau meninggalkan gaji yang lumayan untuk menjadi seorang wartawan kerana panggilan hati nurani.


Pada tahun 1985, beliau pernah bertugas sebagai wartawan lepas majalah Detektif dan Romantika di Samarinda sebelum balik ke Makassar.


Beliau juga pernah bertugas di Harian Tegas, sebuah akhbar petang sebelum menyertai akhbar Fajar, yang kini merupakan antara suratkhabar paling berpengaruh di luar pulau Jawa.


Mantan Ketua Persatuan Wartawan Indonesia (PWI) Pinrang ini sebelumnya adalah Setiausaha PWI Pare-Pare. Lulusan Akademi Jurnalistik Makassar ini pernah membuat liputan dalam pelbagai peristiwa penting yang terjadi sama ada di Makassar atau di kota-kota lain di Indonesia dan negara-negara Asean.


Ketika menjadi wartawan kanan di Harian Fajar, beliau adalah orang yang bertanggungjawab menubuhkan Pare Pos pada 1999, yang kini berkembang maju. Selepas berkhidmat sebagai wartawan kanan di Harian Fajar, beliau bersara pada tahun 2014. Namun kemudian beliau dilantik pula sebagai Pengurus Operasi PT Fajar Agribisnis (Fajar Group). Beliau mendirikan rumahtangga dengan Salwiyah, kini Ketua Bahagian Arkib Nasional di Perpustakaan Negara di Pinrang dan dikurniakan tiga cahaya mata.


Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemubual Haji Muhammad Nasrie Aboe di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda Surabaya ketika melakukan kunjungan jurnalistik di Jawa Tengah dan Jawa Timur baru-baru ini. Ikuti petikan wawancara bersama Pak Nasrie mengenai penglibatannya dalam budang kewartawanan dan sebagainya.


UTUSAN BORNEO: Bolehkan Pak Nasrie beritahu sejak bila berkecimpung dalam bidang kewartawanan?


HAJI MUHAMMAD NASRIE ABOE (PAK NASRIE): Saya memulakan karier kewartawanan di Harian Tegas, iaitu sebuah suatkhabar yang terbit sebelah petang hari di kawasan Indonesia Timur. Selepas itu saya menjadi Wartawan Harian Fajar, kemudian diberi kepercayaan membangun suratkhabar Harian Pare pos, anak syarikat Fajar iaitu suratkhabar Harian Pertama Kota Madya parepare pada tahun 1999. Kemudian disusuli dengan kelahiran beberapa media lain iaitu Palopo Pos, Mamuju (Radar Sulbar) hingga Fajar Koran Holding mengembangkan Kendari Pos dan Radarpalu. Saya merasa bangga kerana wartawan yang saya didik memimpin radar Sulbar.


UB: Selama jadi wartawan, apa yang membuat Pak Nasrie gembira?


PAK NASRIE: Selama saya jadi wartawan, saya puas dan gembira kerana dapat membantt masyarakat bawahan, masyarakat miskin, memperjuangkan mereka, meski hanya dalam bentuk tulisan.


UB: Apa di antara kes yang pernah pak Nasrie tulis?


PAK NASRIE: Antaranya termasuklah kes Basre Masse yang dihukum gantung di Penjara Kepayan Kota Kinabalu satu ketika dulu. Selain itu, kes melibatkan Kadafi, warga kabupaten Soppeng yang terkena kes mutilasi di Kuching kerana gangguan jiwa. Beliau terlepas dari hukuman setelah menjalani rawatan khusus di rumah sakit jiwa di Kuching, Sarawak. Setelah sembuh, beliau dideportasi balik ke Indonesia.


UB: Apa yang menyebabkan Pak Nasrie tertarik kepada kerjaya sebagai wartawan?


PAK NASRIE: Menjadi wartawan itu tugas yang mulia. Saya suka menulis mengenai orang-orang kecil, itu yang mendorong saya menjadi wartawan.


UB: Bagaimana minat itu bertunas?


PAK NASRIE: Sewaktu kecil di Pare-Pare, saya tertarik melihat Presiden Sukarno berpidato. Waktu itu, ayah saya, Aboe Bakar yang lebih dikenali sebagai komandan Aboe bertugas di Pare-Pare. Sewaktu Pidato Sukarno, saya melihat wartawan tempoe doloe. Orang semua diusir, tidak boleh dekat, tetapi wartawan boleh dekat. Dari sana saya melihat betapa istimewanya menjadi wartawan.


Saya juga suka mendengar siaran radio, terutama siaran Acara Bahasa Indonesia setiap jam 5.00 subuh yang disiarkan dari Radio Australia. Bila radio itu rosak, saya memperbaikinya sendiri. Saya pernah bersekolah di sekolah teknik di Pare-Pare. Itu sebabnya saya boleh memperbaiki radio. Dulu bentuk radio lebih besar berbanding sekarang.


Sejak itu saya minat menulis berita. Sebelum itu, saya bekerja sebagai surveyor di Sucofindo, sebuah badan yang mengurus perlesenan beras. Saya meninggalkan gaji yang lumayan untuk menjadi seorang wartawan kerana panggilan hati nurani.


Pada tahun 1985, saya pernah bertugas sebagai wartawan lepas majalah Detektif dan Romantika di Samarinda sebelum balik ke Makassar.


Kemudian saya bertugas di Harian Tegas, sebuah akhbar petang sebelum menyertai akhbar Fajar, yang kini merupakan antara suratkhabar paling berpengaruh di luar pulau Jawa.


UB: Saya tertarik dengan kes Basri Masse itu. Boleh ceritakan semula, bagaimana Pak Nasrie boleh tahu mengenai perkara itu?


PAK NASRIE: Satu hari, saya berkunjung ke rumah kerabat saya. Saya memerhati seorang wanita kelihatan murung dan susah hati.Ketika ditanya, ternyata perempuan itu adalah isteri kepada Basri Masse, seorang warga Indonesia yang pada ketika itu menghadapi hukuman gantung di Malaysia. Kemudian setelah berbicara dengan beliau, saya meminta surat-surat yang dikirimkan oleh Basri. Di sana saya tahu duduk perkaranya. Basre Masse mengadapi hukuman gantung di penjara Kepayan, tetapi keluarganya baru tahu. Saya akhirnya mulai menulis mengenai berita itu. Saya terbang ke Sabah, untuk mencari berita. Saya ingat pada masa itu, kami terpaksa menjual vespa Pak Alwi Hamu untuk ongkos perbelanjaan ke Sabah. Ini bentuk kepedulian kita. Rupanya bukan Basri yang melakukan sebaliknya orang lain, tetapi beliau terpaksa mengaku atas alasan yang tersendiri.


UB: Kemudian , apa kelanjutan cerita itu?


PAK NASRIE: Kisah Basri ini mendapat perhatian publik di Indonesia. Nasib yang menimpa keluarganya mendapat perhatian. Sehingga Mbak Tutut, anak perempuan Presiden Suharto memberikan bantuan sehingga anak Basre Masse ini dapat meneruskan kuliahnya hingga sarjana. Kini anaknya itu menjadi doktor di Palu. Kisah Basri Masse inijuga berjaya menaikkan jumlah cetakan Harian Fajar dan turut mengangkat wibawa suratkhabar itu.


UB: Peranan suratkhabar amat penting dalam memberikan kesedaran kepada masyarakat. Bagaimana pendapat Pak Nasrie?


PAK NASRIE: Melalui suratkhabar, penderitaan wanita itu didedahkan dan mendapat simpati. Saya banyak melihat dan menulis mengenai masyarakat kecil yang terabaikan. Ada satu lagi peristiwa yang tidak dapat dilupakannya iaitu Kes Minasa, yang dituduh selingkuh oleh suaminya.


Minasa dimarahi dan dituduh berselingkuh kerana keadaan perutnya yang besar, disangka hamil. Tetapi ketika diselidiki terbukti bahawa wanita itu sebenarnya menderita penyakit barah. Akhirnya setelah diperiksa doktor, wanita itu disahkan menghidap tumor atau barah.


Wanita itu ada penyakit, hanya kerana ia orang kecil, yang tidak punya apa-apa, ia dimarahi dan dituduh kerana perutnya kelihatan hamil, padahal ia menderita barah.Perkara seperti inilah yang menjadi perhatian saya.


Ekoran daripada itu kami dan kawan kawan menubuhkan tabung Minasa. Di sana, sumbangan masyarakat mengalir termasuk mendapat perhatian daripada Ibu Nani Wijaya.


Akhirnya, melalui keprihatinan masyarakat, wanita itu menjalani pembedahan. Baki wang yang dikumpulkan melalui Tabung yang dinamakan Dompet Minasa itu digunakan untuk membeli rumah dan mesin jahit untuk Minasa.


Kalau bukan wartawan, mana mungkin kisah orang kecil itu diketahui masyarakat luas.Perkara orang-orang kecil inilah yang perlu mendapat perhatian semua pihak.


UB: Mungkin ada pengalaman yang kurang enak sepanjang menjadi wartawan?.


PAK NASRIE: Sewaktu mula-mula menjadi wartawan, saya selalu ditanya dan disindir "mengapa kau pilih jadi wartawan?Malah ada yang bilang wartawan gajinya hanya senin-kamis (Isnin-Khamis) yang maksudnya kecil.


Saya menjadi wartawan kerana dengan menjadi wartawan,saya bisa membantu masyarakat kecil, saya memberitahu mereka. Profesi wartawan ini kalau kerja demi kepentingan masyarakat luas,amatlah baik tetapi kalau tidak untuk kepentingan sendiri, dia boeh jatuh sendiru.


UB: Boleh Pak Nasrie ceritakan ketika mula-mula menubuhkan akhbar Pare Pos?


PAK NASRIE: Suratkhabar Pare Pos mula diterbitkan pada tahun 1999. Modalnya hanya tiga komputer. Saya mendapat ilham ketika berada di Australia, ada suratkhabar yang diterbitkan dan diedarkan secara percuma. Kosnya ditanggung oleh pengiklan dalam suratkhabar itu. Saya katakan sebelum suratkhabar lain mengalahkan kita, ada baiknya kita terbitkan suratkhabar di daerah-daerah. Ketika mahu memulakan penerbitan Pare Pos adalah saat yang amat sukar sekali. Setiap jam 5.00 petang, semua berita sudah siap ditulis dan dimasukkan dalam disket untuk dihantar ke Makassar. Tiba di sana kira-kira jam 9.00 malam dengan perjalanan menggunakan kereta. Selepas itu, ia dicetak. Habis cetak kira-kira jam 12.00 tengah malam. Ia kemudian diangkut lagi ke Pare-Pare. Jam 5.00 pagi, suratkhabar sudah sampai di Pare-Pare. Tapi sekarang sudah pakai internet. Akhirnya lebih mudah, hanya guna online, tidak pakai mobil lagi.


Selepas Pare Pos, Fajar berkembang dan menerbitkan Radar Bone, Radar Sul bar, radar Bulukomba, yang semuanya bermula daripada idea Pare-Pare Pos.


UB: Siapa wartawan di Indonesia yang seangkatan dengan Pak Nasrie?


PAK NASRIE: Antaranya, Syahril Makurade, Sinacari Ecip dan Dahlan Iskan. Waktu itu mereka menjadi koresponden Tempo. Sinancari di Makassar, Dahlan di Kalimantan Timur manakala saya waktu itu masih di Harian Tegas.


UB: Saya difahamkan Pak Nasrie sering membuat liputan ke Malaysia khususnya di Sabah. Biila kali pertama pak Nasrie ke Sabah?


PAK NASRIE: Kali pertama saya ke Sabah ialah ketika zaman pemerintahan Datuk Haris Salleh. Saya sempat ikut beliau naik helikopter untuk meninjau perkebunan. Tapi selepas itu, kami tidak dapat berhubung lagi.


UB: Apa yang menarik di Sabah, kalau menurut Pak Nasrie?


PAK NASRIE: Ada banyak destinasi yang boleh dijadikan objek pelancongan tetapi belum dieksploitasi sepenuhnya. Saya pernah melalui Jalan Kimanis-Keningau dan disana, mereka sengaja memberhentikan kereta untuk menguji medan magnet yang terdapat di sana.


Kereta yang kami naiki itu di berhentikan arah ke bawah tetapi melaju ke atas ditarik oleh medan magnet walaupun sepatutnya ia meluncur ke bawah. Kawasan itu boleh dijadikan tempat pelancongan. Medan magnet itu lebih kuat berbanding dengan medan magnet yang terdapat di Arab Saudi.


Tetapi saya melihat, tempat itu dibiarkan saja tanpa diberikan perhatian, sehingga ramai orang Sabah sendiri yang tidak tahu mengenai kewujudannya.Sedangkan medan magnet yang sama terdapat di Arab Saudi berjaya menarik pengunjung yang ramai.


Lokasi medan magent di Jalan Kimanis itu lebih baik berbanding dengan yang ada di Arab saudi kerana dari sana kita boleh melihat pemandangan gunung yang indah.


UB: Apa harapan pak Nasrie?


PAK NASRIE: Saya berharap hubungan antara Harian Fajar, salah satu akhbar yang bergabung di bawah panji Jawa Pos dan Utusan Borneo, akhbar terbesar dan terkemuka di Sabah dan Sarawak akan dapat menjalin hubungan muhibbah yang lebih akrab.


Selain itu, saya juga mengharapkan program pertukaran berita antara kedua-dua akhbar itu akan dapat dilaksanakan kerana ia dapat memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak, apatahlagi terdapat ramai warga Malaysia khususnya berketurunan Bugis yang mempunyai leluhur di Sulawesi. Saya perhatikan Utusan Borneo mempunyai ramai peminat dan pelanggan kerana isi beritanya yang pelbagai, bebas dan banyak memberikan maklumat kepada golongan pembacanya.


UB: Bila Pak Nasrie bersara?


PAK NASRIE: Saya bersara pada awal 2014.


UB: Selepas bersara, apa yang pak Nasrie lakukan untuk mengisi masa lapang?


PAK NASRIE: Selepas bersara, saya diamanahkan untuk menjadi Manager Operasional PT Fajar Agribisnis,sebuah anak syarikat Fajar Group iatu Kerjasama Fajar dengan perusahaan Daerah Kerajaan Pemerintah kabupaten Pinrang atas persawahan seluas 43.3 hektar di desa Sikuala, Kecamatan Lima, Kabupaten Pinrang dengan matlamat memproduksi bibit padi dan beras non toksik.. Projek ini adalah menjadikan sawah sebagai sebagai penangkar benih serta padi produksi beras berkualiti tinggi. Dalam mesyuarat baru-baru ini, Pak Alwi Hamu, Pengerusi Fajar mengatakan "sejak dahulu saya percaya Nasri Aboe mampu bekerja bersama petani hingga kelak agrisisnis kita ini akan cemerlang seperti saat dia menjadi wartawan membesarkan harian Fajar.


Insya Allah untuk beras non toksik, kita akan melirik pasar Malaysia sedang kan produksi bibit mengutamakan melayani petani di Pinrang dengan luas 58,700 hektar atau kira-kira 117,400 hektar untuk dua kali musim menanam setahun.


UB: Akhir sekali, menurut pak Nasrie, apa peranan yang boleh dimainkan media dalam mengukuhkan hubungan bilateral Indonesia dan Malaysia?


PAK NASRIE: Seharusnya media Indonesia dan Malaysia sangat berperanan memberikan gambar yang jujur dan pasti.Kerana medialah yang menjadi raja dan ratu informasi dunia. Tentu kedua dua jurucakap Malaysia dan Indonesia harus mengadakan pendekatan bagi mengelakkan salah faham.


UB: Apa falsafah hidup Pak Nasrie?


PAK NASRIE: Biarkanlah saya bersuasah payah asalkan masyarakat kecil bisa tertolong. Saya sudah puas dengan tulisan saya membantu warga miskin. Inilah hal-hal yang menjadi kebanggaan saya. Walaupun dahulu, saya melempar berita kini melempar bibit padi di hamparan sawah pertanian bersama petani, saya menganggap tugas wartawan adalah tugas yang mulia.


 

 


 


 


 


 

 


 


 


 


 

MENIKMATI NASI LIWET BU WONGSO LEMU DI SOLO

Tags

MENIKMATI NASI LIWET BU WONGSO LEMU DI SOLO
 
MALAM sudah memasuki lorong-lorong di Kota Solo ketika kami tiba di Jalan Teuku Umar Keprabon Kulon. Selepas memarkir kereta di pinggir jalan, kami bertiga memasuki Rumah Makan Nasi Liwet Bu Wongso Lemu, salah satu restoran klasik paling terkenal di kota berpenduduk lebih setengah juta orang itu.
"Rumah makan ini sudah berdiri sejak tahun 1950," kata Gusti Dipo, putera Raja Solo yang ke-12. Beliau berbesar hati membawa kami berkeliling kota Solo pada malam itu.
Kami memesan Nasi Liwet, yang menurut Pak Andhika Bambang Soepeno, adalah salah satu makanan asli di Solo.Pak Andhika, diplomat yang sudah melawat 53 negara selama 33 tahun dalam karier diplomatiknya masih tetap teringatkan nasi liwet dimana saja beliau bertugas. Kini beliau berkhidmat sebagai Minister Counselor di KJRI Kota Kinabalu, dan merasa gembira apabila saya memilih Solo sebagai destinasi pilihan untuk kunjungan budaya dan jurnalistik kali ini.
"Nasi liwet ini kebanggaan wong Solo," katanya. Nasi Liwet adalah masakan asli Solo yang dihidangkan beralaskan daun pisang dengan sayuran dan lauk pauk seperti ayam dan telur rebus. Nasi Liwet Bu Wongso Lemu ini adalah yang paling terkenal. Presiden Jokowi ketika menjadi Wali Kota Solo juga pernah makan di restoran ini. Mantan Presiden Indonesia, Suharto juga pernah menikmati nasi liwet Bu Wongso Lemu. Gubernur Jawa Tengah, Ganjar Pranowo juga salah seorang peminat Nasi Liwet ini. Puluhan bintang filem artis, seniman termasuk Guruh Sukarnoputra, pernah singgah makan di restoran ini.
Sambil makan itu, kami dihiburkan oleh ibu-ibu yang berpakaian adat Jawa sambil menyanyikan lagu-lagu dalama bahasa Jawa.
Bagi pencinta dan peminat kuliner, sebaiknya tidak melepaskan peluang untuk menikmati nasi liwet ini. Betapa enak untuk mencicipinya. Ada banyak pilihan, ada nasi liwet biasa, ada nasi liwet komplit atau lengkap dengan berbagai lauk, ayam, goreng dan sebagainya.
Sambil makan itu, saya sempat menemubual Drs Gusti Dipo.Gusti Dipo atau nama sebenarnya Gusti Pangeran Hario Dipokusomo adalah putera Raja dari Keraton Surakarta Hadiningrat, iaitu putera kepada Sahandap Sampeyan Dalem Hingkang Sinoehoen Kangjeng Soesoehoenan Pakoeboewono Senopati Ing Ngalaga Ngabdul Rachman Sayidin Panata Gama Khalifatullah Ingkang Kaping X11. Beliau juga adalah Ketua Jurusan Antarabangsa di Fakulti Ilmu Sosial dan Ilmu Politik, Universitas Slamet Riyadi Surakarta.
Saya menembual beliau mengenai peranan dan kedudukan Keraton dalam konteks hari ini. Selain itu, beliau juga menjelaskan pelbagai persoalan berkaitan usaha-usaha melestarikan budaya Jawa khususnya dalam institusi keraton.
"Saya tidak pernah bermimpi dapat bertemu dengan seorang kerabat Keraton Solo," saya memberitahu Pak Andhika Kota Kinabalu yang sudi menemani saya dalam kunjungan ke Solo.
 
 
 

GUSTI DIPO, PUTERA RAJA YANG BAIK HATI

Tags

GUSTI DIPO, PUTERA RAJA YANG BAIK HATI

JAUH sebelum Proklamasi Kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogos 1945, pusat kekuasaan, pentadbiran,kebudayaan,keagamaan dipegang oleh kerajaan-kerajaan tradisional. Salah satu kerajaan tradisional yang terkenal ialah Keraton Surakarta Hadiningrat yang berasal dari Kerajaan Mataram Islam. Keraton Surakarta adalah kerajaan tertua di antara empat kerajaan yang menjadi penerus dinasti Mataram. Keraton Surakata Hadiningrat diasaskan oleh Susuhunan Pakubowono II pada tahun 1745. Walaupun kini peranannya tidak seperti dulu tetapi Keraton Surakarta Hadiningrat masih memegang kedudukan yang penting dalam masyarakat di Solo.

"Keraton secara filosofis dalam pengertian Jawa itu bisa memelihara dan menjaga kebaikan masyarakat, bisa ngayomi dan ngayemi ,"" kata Gusti Pangeran Hario Dipokusumo atau lebih dikenali sebagai Gusti Dipo, adik kepada Raja Kasunanan Surakarta , SISK Paku Bowono X11 Hangabehi yang menjadi raja Solo sekarang.

Gusti Dipo atau Drs. KGPH. Dipokusumo dilahirkan pada 22 Mei 1956 di Surakarta. Beliau mendapat pendidikan awal di SD Kasatriyan, Surakarta bermula tahun 1969, SMP Negeri 2, Surakarta bermula 1972, SMA Negeri 1, Surakarta sejak 1975 dan kemudian memasuki Fakulti Sosial dan Ilmu Politik (FISIP) Universitas Gadjah Mada pada tahun 1992 sehingga mendapat sarjana S1 Hubungan Internasional.


Selain menjadi Disen S1 Hubungan International FISIP UNISRI, beliau juga adalah Public Speaker for Culture , Heritage, Tourism and Spiritual Life, Magister Adminitrasi Publik, Universitas Slamet Riyadi Surakarta 2013.

Beliau menghadiri pelbagai kursus antaranya Summer Peace Building di Esatern Mennonite University Harrisonburg Virginia USA 2006, Program ESQ Ari Ginanjar Jakarta, Financial Revolution oleh Tun Desem Waringin Jakarta dan Kursus Pelestarian Observasi Persurvasi Bangunan di Singapura 1995., Leadership Management International (LMI) San Deigo USA 2012.
Putera SSIKS Pakubowono X11 dengan KRAy. Retnodiningrum ini mendirikan rumah tangga dengan RAy. Febri Haryu Apsari dan dikurniakan empat cahayamata iaitu BRM. Suryo Adhityo Nuswantoro BRAj. Kusuma Maharani,BRAj. Gayatri Kusumawardhani dan BRAj. Kusuma Putri Saraswati.

Selain dikenali sebagai BudayawanSolo, Gusti Dipo juga adalah Wakil Ketua KADIN kota Surakarta,Bendahara Yayasan Pendidikan Kasatriyan,Pengurus Yayasan Pendidikan Murni,Pengurus Palang Merah Indonesia cabang Surakarta,Dzikir Tahlil , Islamic Foundation Surakarta,Forum Lintas Agama dan Golongan (FPLAG), Surakarta,Forum Lintas Lembaga Adat dan Tradisi Budaya Indonesia,Badan Pertimbangan Pariwisata Jawa Tengah,Perhimpunan Pedalangan Indonesia ( PEPADI ),Penasehat, Komite Bahasa Jawa,Komite Sekolah SMAN 1 Surakarta

Penasihat KAGAMA ( Alumni UGM ) , Surakarta,Pengurus Yayasan pendidikan Kasatriyan,Pengurus Yayasan perguruan Murni,Penasihat Yayasan Museum Radyapustaka Surakarta dan Kurator Museum Keris Surakarta.

Beliau juga mendapat gelaran Bintang Sri Kabadyo dari SSISKS Pakubuwono XII , Karaton Surakarta Hadiningrat , 2002,Gelar Kehormatan dari Kerajaan Negeri Sembilan Malaysia , 2001 dan Lifting up The World with the Oneness Heart from Sri Chinmoy Institute , New York USA 2006

Gusti Dipo juga berpengalaman luas menjadi Delegasi dari Karaton Surakarta Hadiningrat untuk kegiatan budaya dibeberapa tempat seperti Misi kesenian di Belanda tahun 1985,Misi kesenian dan budaya di Jepun 1998,Misi budaya bersama Gubernur Jawa Tengah di Thailand 2003,ASEAN Art of Festival di Malaysia , 2003 Festival Karaton Nusantara II 1996 & V 2004 di Jogyakarta,Festival Karaton Nusantara III di Cirebon , 1998, Festival Karaton Nusantara IV di Kutai Kertanegara Kalimantan Timur , 2002, Sri Chinmoy Institute ( Spiritual Program ) di Pulau Pinang Malaysia , 2005.

Selain itu, beliau juga menjadi pembicara di pelbagai seminar, forum berkaitan dengan budaya, pariwisata, spiritual, Politik dan Hubungan Internasional.

Gusti Dipo juga pernah menjadi Anggota DPRD kota Surakarta dari fraksi GOLKAR tahun 1997 ,Dan pengurus Partai Golkar tahun 1997,Calon Wakil Walikota Surakarta pada PILKADA tahun 2005 , Ahli Cagar Budaya Surakarta

Tim Ahli Bangunan Gedung Surakarta.


Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemuramah beliau sambil menikmati makanan Nasi Liwet di Rumah Makan Bu Wongso Lemu kemudian dilanjutkan di rumahnya di Loji Ndalem Sasana Mulya di Kompleks Keraton Kasunanan Surakarta Hadiningrat. Turut bersama dalam sesi temubual itu ialah Minister Counselor Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI), Bapak Andhika Bambang Supeno. Ikuti petikan temuramah dengan Gusti Dipo mengenai Keraton Kasunanan Surakarta dan peranan keraton dalam masyarakat Jawa dan banyak lagi hal berkaitan budaya tradisi yang dilakukan secara informal dan kemudian disusun mengikut format wawancara.

UTUSAN BORNEO: Masyarakat umum di Malaysia mungkin kurang tahu mengenai keraton Surakarta walaupun keraton ini mempunyai kedudukan dan peranan penting dari sudut sejarah. Boleh jelaskan sedikit mengenai peranan keraton Surakarta dalam pengembangan budaya?

GUSTI DIPO: Peranan Keraton Surakarta sebagai penerus kerajaan Mataram dalam pengembangan budaya di Indonesia sangatlah besar. Sebagaimana yang kita tahu, Keraton Surakarta adalah salah satu dari empat penerus kerajaan dinasti Mataram selain Kasultanan Yogyakarta, Pakualaman Yogyakrta dan Pura Mangkunegaran Surakarta, Kekuatannya berpusat dari tiga kekuatan iaitu keraton, masjid dan pasar dimana ia saling berintegras satu sama lain sehingga menjadi tiang utama kejayaan sesebuah negara.

Keraton Kasunanan Surakarta juga memiliki peranan penting dalam kemerdekaan Indonesia mulai dari waktu sebelum proklamasi hingga setelah Indonesia merdeka.Banyak aset dan bangunan keraton yang digunakan sebagai markas pejuang kemerdekaan.

UB: Mungkin Gusti boleh beritahu serba sedikit mengenai Keraton Surakarta?

GUSTI DIPO: Keraton Surakarta Hadiningrat didirikan Susuhunan pakubowon II kira-kira tahun 1744 sebagai pengganti Istana Keraton Kartasura yang porak pranda akibat Geger Pecinan pada tahun 1743. Kompleks bangunan keraton ini masih menjalankan tradisi kerajaan hingga sekarang. Ia juga menjadi salah satu destinasi pelancongan di Kota Solo. Sebahagian kompleks keraton dijadikan muzium yang menyimpan berbagai koleksi milik kasunanan seperti berbagai hadiah dan pemberian dari raja-raja Eropah, replika pusaka keraton, gamelan dan sebagainya. Keraton Surakarta Hadiningrat ini juga adalah contoh bangunan yang mempunyai arsitektur istana Jawa tradisional yang terbaik. Keraton Kasunanan Surakarta Hadiningrat ini adalah satu tempat wisata cagar budaya kerana ia memiliki pelbagai kelengkapan peninggalan benda sejarah.


UB: Selain Keraton, apa yang menarik di Solo?

GUSTI DIPO: Solo tidak hanya memiliki Keraton yang menjadi ikon wisata sejarah, tetapi juga menyajikan pelbagai jenis kuliner sepert nasi liwet, salah satu makanan khas di Surakarta atau juga dikenali sebagai Solo. Selain itu, banyak tempat wisata menarik yang boleh dikunjungi di Solo.

UB: Menurut pendapat Gusti, sekarang ini di seluruh Indonesia terdapat usaha untuk menghidupkan semula kerajaan tradisional sebagai usaha untuk menghidupkan sejarah? Apa pandangan Gusti?

GUSTI DIPO: Institusi keraton adalah bahagian daripada identiti banngsa. Terdapat sebanyak 112 kerajaan di seluruh Indonesia pada masa dulu, yang masing-masing mempunyai adat resam danbudaya masing-masing. Di Zaman Belanda, kerajaan-kerajaan ini mempunyai otoritas atau kekuasaan yang khusus. Walaupun kemudian banyak yang digilas revolusi seperti yang berlaku di Sumatera kerana dianggap bekerjasama dengan Belanda, keadaan ini tidak berlaku di Jawa. Rakyat pribumi di Jawa masih memandang tinggi mengenai keraton.

UB: Bagaimana usaha-usaha yang dilakukan untuk menghidupkan institusi keraton?

GUSTI DIPO: Banyak usaha dilakukan untuk menghidupkan institusi keraton

sebagai cagar budaya. Usaha ini sudah tentu memerlukan sokongan pemerintah. Keraton perlu dikembalikan sebagai sebahagian daripada identiti bangsa. Kebudayaan nasional adalah berasal dari puncak-puncak budaya daerah. Intinya, konsep dasar kebudayaan Indonesia adalah puncak-puncak budaya daerah. Jadi budaya daerah-daerah di Indonesia perlu dipertahankan termasuk keraton sebagai sebahagian identiti dan jati diri bangsa.

UB: Menurut Gusti, bagaimana dukungan pemerintah terhadap perkara ini?

GUSTI DIPO: Dukungan pemerintah terhadap usaha-usaha menghidupkan institusi keraton amatlah baik, kerana pemerintah melihat ia sebagai bahagian dari kekayaan budaya nasional. Oleh kerana itu, timbul kesedaran untuk memelihara budaya lokal sebagai warisan dunia. Saya fikir, kita jangan sekali-kali meninggalkan sejarah. Kita jangan sampai lupa sejarah. Sebelum adanya Negara Kesatuan Republik Indonesia (NKRI) , sudah ada raja-raja. Kita harap semua kearifan lokal di seluruh Indonesia perlu di bantu dipulihara dan dipelihara.
.
UB: Apa pandangan Gusti mengenai masyarakat jawa terhadap kebudayaan Jawa hari ini?

GUSTI DIPO: Budaya Jawa masih diamalkan di kalangan masyarakat Jawa. Masyarakat Jawa pada dasarnya adalah Homo Simbois , yang suka menjelaskan sesuatu melalui penggambaran dalam bentuk simbo-simbol. Pertemuan antara nilai spiritual dan simbol atau perlambangan ini membentuk budaya Jawa yang menjadi budaya yang sangat luhur serta mempunyai makna falsafah yang sangat tinggi. Kita harus memahami dan menggali makna-maknanya walaupun tentu ia tidak mudah. kerana ia memerlukan latihan olah rasa dan kedewasaan untuk mengungkapkan rahsia yang terdapat perlambangan budaya Jawa.

Saya sendiri lahir dari lingkungan yang menitikberatkan mengenai nilai budaya Jawa. Kami juga masih mengamalkan budaya Jawa hingga sekarang

UB: Pengertian keraton dalam falsafah Jawa, boleh Gusti jelaskan?

GUSTI DIPO: Erti keraton menurut falsafah Jawa itu mesti mampu memelihara dan menjaga kebaikan masyarakat, dalam bahasa Jawanya mesti bisa ngayomi dan ngayemi

,

UB: Apa falsafah hidup Gusti?
GUSTI DIPO: Pengabdian berarti sebuah kontribusi untuk berbagi dan memberi tanpa pamrih

HIDUP INI SATU PERJUANGAN, KATA NADIN HAJI SALLEH

Tags


HIDUP INI SATU PERJUANGAN, KATA NADIN HAJI SALLEH

 

TIADA siapa yang menyangka, seorang anak kampung yang setiap pagi menyusuri tebing sungai, melalui kebun getah kemudian meredah hutan belukar berjalan kaki untuk ke sekolah yang terletak kira-kira tiga batu jauh dari rumahnya, akhirnya menjadi seorang personaliti yang banyak dikenali kerana jasanya terhadap perkembangan kesusasteraan khususnya dalam menggilap bakat-bakat penulis di negeri ini. Walaupun terpaksa berhenti sekolah setakat darjah enam,beliau mengambil peperiksaan SRP dan SPM dan STP sebagai calon persendirian dan akhirnya berjaya menggenggam ijazah Sarjana Muda dalam bidang linguistik dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM). Walaupun kerjayanya bermula sebagai pelayan pejabat tetapi berkat kegigihannya beliau mendaki tangga demi tangga sehingga menjawat jawatan Timbalan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP ) Cawangan Sabah.

NADIN HAJI SALLEH dilahirkan di Kampung Tuhu, Lupak Beaufort pada tahun 1955. Anak keempat dari tujuh adik beradik ini mendapat pendidikan awal di NVS Lupak, yang terletak kira-kira tiga batu dari rumahnya. Ayahnya, Haji Salleh bin Opu seorang imam manakala ibunya, Siti Anggung binti Salim seorang seorang petani. Selepas menamatkan sekolah rendah, beliau terpaksa berhenti sekolah dan bekerja di ladang sawit. Beliau juga sempat menjadi penoreh getah, menanam padi huma sebelum berhijrah ke ibu negeri, menempuh pelbagai pengalaman sebagai buruh kasar, pembersih kapal, pelayan pejabat, penyurih (tracer) kerani, penolong pegawai penyelidik, pegawai perancang bahasa hinggalah menjadi Timbalan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP ) Cawangan Sabah . Meski kini beliau sudah bersara tetapi masih lagi sibuk menerima undangan memberi ceramah mengenai pelbagai bidang yang dikuasainya seperti penerbitan, linguistik, motivasi, pengacaraan majlis dan sebagainya. Beliau mendirikan rumahtangga dengan Faridah Abdullah dan dikurniakan lima cahayamata.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemubual NADIN HAJI SALLEH pada satu petang yang santai di salah sebuah restoran terkenal di Jalan Gaya. Ikuti petikan temubual bersama beliau mengenai sedikit kisah pengalaman hidupnya.

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit mengenai latar belakang tuan?

NADIN HAJI SALLEH (NHS): Saya dilahirkan di Kampung Tuhu Lupak Beaufort pada tahun 1955. Kampung itu terletak kira-kira 15 km dari pekan Beaufort. Saya anak keempat dari tujuh adik beradik.

UB: Di mana tuan bersekolah rendah?

NHS: Saya bersekolah di NVS Lupak iaitu sejauh tiga batu dari rumah. Sejak awal pagi lagi kami berjalan menyusuri tebing sungai sebelum melalui kebun getah seterusnya meredah hutan belukar muda berjalan kaki ke sekolah.

UB: Seorang diri?

NHS: Kami berjalan secara berkumpulan. Jadi kami saling tunggu. Kami tidak dibenarkan jalan seorang kerana isu pada waktu itu ada pengait (pemburu kepala) jika kita merentas hutan seorang diri.

UB: Sampai darjah berapa sekolah di NVS Lupak?

NHS: Saya bersekolah di NVS Lupak dari darjah satu hingga darjah enam. Waktu kami bersekolah itu, kami sudah tua-tua. Usia 10 tahun baru bersekolah. Jadi kami ke sekolah sewaktu sudah hampir remaja.

UB: Siapa antara anak kampung Lupak yang mula-mula dapat kerja pada masa itu?

NHS: Abang saya, Haji Nordin Haji Salleh, beliau adalah cikgu yang terawal di kampung kami. Kebanyakan penduduk kampung Lupak pada masa itu kerja sebagai petani. Kemudahan pula masih kurang. Adik saya, Datuk Juany Haji Salleh (Pengurus Felda Sabah) masih kecil masa itu.

UB: Selepas tamat darjah enam, tua sekolah di mana?

NHS: Saya bekerja di ladang sawit. Sebab di Beaufort pada masa itu, hanya ada dua sekolah, iaitu SM St John dan St Paul. Oleh kerana sekolah itu jauhnya kira-kira 15 km dari tempat kami, tidak ada jalan raya maka saya tidak dapat bersekolah lagi. Jika mahu ke Beaufort, terpaksa berjalan kaki kira-kira 7 km ke jalan raya ke tempat yang ada kereta. Di sana kita menunggu kereta Land Rover. Itu bukan jarang sekali ada kenderaan ke Beaufort.

UB: O begitu. Apa yang tuan lakukan ketika menganggur itu?

NHS: Saya bekerja di ladang getah. Saya juga kerja sebagai penoreh getah. Selain itu, saya juga menolong kerja menanam padi huma. Tanahnya becak, kadang sampai lutut. Kemudian selepas itu,saya keluar cari kerja.

UB: Cari kerja dimana?

NHS: Saya kerja di Kota Kinabalu,.Masa itu sudah ada sepupu saya ada yang sudah kerja d KK.

UB: Apa kerja yang mula-mula diceburi di KK?

NHS: Sampai di KK, saya mencari kerja, Kemudian saya dapat kerja sebagai tukang buka pintu hotel. Tidak lama kemudian saya kerja, pelbagai kerja, antaranya buruh kasar, menjadi boat man. Ada satu kapal mewah di Likas, kami kerja sebagai pembersih kapal. Kemudian saya bekerja di Syarikat Natikar, yang dimiliki Datuk Salleh Sulong (kini Allahyarham) bekas Menteri Kewangan Sabah. Saya bekerja sebagai office boy (budak pejabat).

Tiba-tiba ada iklan ke kekosongan di akhbar sebagai pelayan pejabat di Rumah Persekutuan, di Jabatan Penilaian dan Perkhidmaran Harta. Saya pergi temuduga sebagai pelayan pejabat. Kerjanya hampir sama dengan budak pejabat juga. Membantu apa saja kerja, susun fail, menyapu lantai, buang sampah.

UB: Berapa lama?

NHS: Dua tahun. Saya bekerja sebagai pelayan pejabat selama dua tahun sebelum dinaikkan pangkat sebagai penyurih atau tracer. Kerja penyurih ini adalah berkaitan dengan geran tanah, melukis pelan dari saiz yang kecil kepada yang besar. Bila dapat geran yang kecil itu, kita lukis balik lokasi itu. Saya terpaksa ulang alik ke Jabatan Tanah. Kerja itu terlalu teknikal. Dua kali saya ambil peperiksaan penyurih saya tidak pernah lulus.

UB: Kemudian tuan kerja di mana?

NHS: Pada tahun 80, ada iklan tersiar di surat khabar. Iklan kekosongan jawatan kerani di Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah. Waktu itu saya masih bekerja di Jabatan Penilaian. Pada masa yang sama saya juga terlibat dalam bidang penulisan berita.

UB: Siapa rakan tuan yang menjadi pemberita pada masa itu?

NHS: Antaranya Jasuin Mohammad, Mohd Syum Abdul Majid, Jaafar Othman, Johan Aziz. Kami semua berguru dengan Emin Madi pada masa itu. Beliau mengadakan kelas setiap hujung minggu bagi sesiapa yang berminat dalam penulisan kewartawanan. Ramai yang mengikuti kursus itu termasuk satu perempuan dari Tambunan, saya tidak ingat namanya.

UB: Seronok bekerja sebagai pemberita?

NHS: Masa itu ada surat pelantikan sebagai pemberita sambilan di Sabah Times. Kami dapat Kad Akhbar dari Jabatan Penerangan yang ditandatangani Justin Miol (kini Datuk). Tentulah seronok kerja sebagai pemberita. Dengan kad akhbar yang dibekalkan kepada kami, kami dapat memasuki kawasan larangan atau dimana saja untuk menjalankan tugas kami. Berita mengenai gotong-royong di kampung dapat kami tulis. Memang seronok tengok nama kita di surat khabar. Masa itu gambar dibayar satu keping RM4.00. Setiap berita yang disiarkan juga dibayar mengikut sukatan. Satu inci berapa, saya tidak ingat lagi.

UB: Pasti sibuk kerana selain kerja di Jabatan Penilaian, tuan juga bekerja sebaga pemberita sambilan?

NHS: Sibuk juga. Tapi pada sebelah malamnya saya belajar di Kelas Pelajar Lanjutan di Maktab Sabah dari jam 6.00 petang hingga jam 9.00 malam setiap hari. Selepas lulus tingkatan tiga itulah saya naik pangkat sebagai penyurih. Kemudian sambung lagi SPM, melalui kelas malam itu juga. Saya lulus dan selepas lulus SPM itu saya layak memohon jawatan kerani di DBP Sabah.

UB: Menarik sekali perjalanan hidup tuan. Apa cerita ketika temuduga itu?

NHS: Saya ditemuduga oleh Zainal Abidin Zulkifly, Timbalan Pengarah DBP Sabah pada masa itu. Pengarah DBP Sabah waktu itu ialah Haji Mohd Arifin Siri. Saya beruntung kerana ketika ditanya soalan dalam temuduga itu, saya dapat menjawab dengan baik. Kebetulan pada masa itu, saya selalu membawa majalah Dewan Masyarakat, biar nampak gah. Jadi apabila beliau bertanya, apa majalah yang saya baca, saya jawab saya membaca majalah Dewan Masyarakat. Selain itu, saya juga menulis berita dan artikel budaya. Tetapi pada masa itu, saya tidak membawa keratan akhbar tetapi saya menunjukkan kad akhbar sebagai membuktikan bahasa saya juga menulis.Bila beliau nampak kad akhbar, beliau agak teruja juga. Dalam 20 orang yang menghadiri temuduga itu, hanya saya saja yang dapat menjawab soalan berkaitan bahasa dan sastera. Beliau juga bertanya, sekiranya saya diterima bekerja di DBP, unit mana yang saya pilih. Saya katakan bahawa saya mahu ditempatkan di Unit Penerbitan, Sastera dan Bahasa.

UB: Begitu ceritanya. Selepas itu, apa hasil temuduga?

NHS: Dua minggu kemudian, saya dipanggil Kak Russnah, untuk mengambil surat tawaran jadi kerani. Saya naik bas Luen Thung, bayar tambang 35 sen untuk ke pejabat DBP yang waktu itu terletak di Kampung Air.

Selepas menerima surat tawaran itum pengarah di tempat saya bekerja mengatakan bahawa saya perlu berhenti. Tetapi mujurlah saya kenal dengan pegawai tadbir, Idris Salim kerana kami selalu main takraw setiap petang. Beliau nasihatkan saya tidak perlu letak jawatan sebaliknya hanya perlu tulis surat pelepasan dengan izin, kerana DBP juga adalah agensi kerajaan.

UB: Tahun berapa melapor kerja di DBP?

NHS: Saya melapor diri pada 1 April 1982 sebagai kerani. Pada masa yang sama saya juga mengambil STPM sebagai calon persendirian. Saya dapat belajar dengan baik kerana ada sebuah perpustakaan DBP Sabah, yang selalu sepi kerana tidak ada orang. Di situlah saya belajar kerana banyak buku yang jadi bahan rujukan. Saya menghabiskan banyak masa di perpustakaan. Saya baca Dewan Budaya, Dewan sastera, saya makin minat terhadap sastera. Waktu itu saya suka membaca tulisan Johan Jaafar, Noor Azam,Subky Latif, saya baca drama karya Osman Haji Zainudin, saya baca karya Pak A. Samad Said, Bulan Tak Bermadu di Fatehfur Sikri, saya baca Atap Genting Atap Rumbia, selain puisi-puisi karya Usman Awang. Saya juga membaca Keluarga Gerilya, Ranjau Sepanjang Jalan, Badai Semalam yang entah berapa kali saya baca hingga hafal. Akhirnya saya lulus peperiksaan STPM sebagai calon persendirian.

UB: Berapa lama kerja sebagai kerani?

NHS: Saya jadi kerani kira-kira empat tahun. Selepas lulus STPM, saya naik pangkat sebagai Penolong Pegawai Perancang Bahasa di Unit Penerbitan dengan Encik Matlin Dullah sebagai ketua saya. Di Unit Penerbitan ini, saya dapat banyak pengalaman. Saya pernah berkursus penerbitan di New Delhi India, Berkursus anjuran London Publishing House di Kuala Lumpir, Kursus anjuran UNESCO, kursus penerbitan Jepun yang disampaikan dalam bahasa Jepun di Kuala Lumpur dan diterjemahkan oleh seorang pensyarah di UM, Rahmat Sato.

UB: Apa pengalaman lain di DBP?

NHS: Sepanjang bertugas di DBP, saya terlibat menyunting buku buku karya penulis Sabah. Sebagai pengurus bahasa dan sastera, saya membantu membangun penulis penulis di Sabah. Sepanjang sembilan tahun, saya juga bertindak sebagai menerbitkan Teater Perdana. Teater Perdana ini adalah teater yang ditonton oleh Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri setiap tahun.

Selain itu, Kami juga ada mengadakan Minggu Penulis Remaja (MPR) . MPR pertama dibimbing Dr Othman Puteh dan Dr Sahlan Mohd saman, kedua-duanya sudah pergi meninggalkan kita. Projek MPR ini melahirkan ramai penulis yang hebat sekarang

Saya juga banya menangani karya-karya awal Azmah Nordin, iaitu novel kanak-kanak berjudul Janji, Kanvas Tanpa Imajan, karaya Datuk Shuhaibun Yussof (allahyarham). Igauan Maut Ramlie Awang Murshid, Cerpen Lintah karya Amil Jaya, karya-karya Sitti Rahmah G Ibrahim, Jasni Matlani, Mahmud Eddie, Juri Durabi dan sebagainya.

Selepas dilantik sebagai Penolong Pegawai Penyelidik selama empat tahun, saya dinaikkan pangkat sebagai Penolong Pegawai Penyelidik Kanak, seterusnya sebagai Pegawai Penyelidik, Pegawai Perancang Bahasa, Timbalan Pengarah Pengembangan Bahasa dan Sastera sehinggalah bersara baru-baru ini.

Jika dihitung, mungkin saya telah membimbing ribuan, kalau tidakpun ratusan pelajar untuk meningkatkan apresiasi sastera mereka.

UB: Apa yang mendorong tuan untuk belajar?

NHS: Sewaktu bekerja sebagai budak pejabat, ketua saya, Chee Kok Thim menasihatkan saya agar belajar, jangan jadi sekadar budak pejabat sahaja. Seorang lagi bos saya, Rayner Bernabas Molikon juga banyak mendorong saya belajar.

UB: Apa pandangan tuan mengenai perkembangan bahasa dan sastera di Sabah sekarang?

NHS: Saya bangga perkembangan bahasa dan sastera di Sabah yang kini terus maju dan subur.

UB: Boleh saya tahu apa motto hidup tuan?

NHS: Hidup ini perjuangan.Kalau tidak berjuang, kita tidak akan berjaya.Bagi saya Hidup ini satu perjuangan.

 

 

 

 

 

SS ALFADHIL USTAZ ABUHURAIRA ABDURRAHMAN, MUFTI BESAR MINDANAO

Tags



SS ALFADHIL USTAZ ABUHURAIRA ABDURRAHMAN, MUFTI BESAR MINDANAO

KETIKA tiba di Petagas, Ulama dan pemikir Islam yang terkenal itu sudah lama menunggu ketibaan kami. Kebetulan beliau sedang berada di Sabah untuk melawat cucunya yang baru lahir. Sekembalinya ke Mindanao pada tahun 2012, selepas berkhidmat selama 38 tahun dalam bidang dakwah di Malaysia, beliau dilantik sebagai Mufti Besar Mindanao (Bangsamoro Grand Mufti)

Ustaz Abuhuraira Abdurrahman lahir di Kitango, Dulawan (kini dikenali senagai Datu Piang), Wilayah Cotabato, Mindanao pada 3 Mac 1942. Beliau mendapat pendidikan awal di Kitango Primary School makala pelajaran menengah di Dulawan Central Elementary School sebelum melanjutkan pelajaran di Cotabato High School pada 1948-1958.

Beliau memperolehi pendidikan agama di Madrasah Rashidah (sekarang Ma'ahad Al Rahmaniyah,Maganoy, Sharif Aguak , Maguindanao pada 1958-1964. Abuhuraira dilahirkan dalam keluarga yang taat beragama.Malah sebelum usianya mencecah enam tahun, beliau sudah boleh menghafaz beberapa surah dalam Al-Quran.

Selepas itu, Ustaz Abuhuraira melanjutkan pengajian di Fakulti Dakwah dan Usuluddin, Universiti Islam Madinah bermula tahun 1964 sehingga mendapat `Al-Ijazah Al-Aliah ' pada 1971.

Bagaimanapun hasratnya untuk melanjutkan pelajaran di peringkat MA di Mc Gill University Canada tidak kesampaian kerana panggilan perjuangan di tanahairnya.

Sekembalinya ke Mindanao, beliau dilantik sebagai Pengarah Ma'ahad Al Rahmaniah, Maganoy, Sharif Aguak pada 1971 hingga 1972.

Beliau sempat bergerila menentang rezim pemerintahan Marcos tetapi beliau ditugaskan dalam bidang diplomasi kerana kefasihannya berbahasa Inggeris, Arab, Melayu dan Tagalog selain menguasai pelbagai bahasa tempatan bahasa ibundanya Maguindanao, Maranao, Davaonon dan Sulug.

Pada tahun 1974 hingga 1986,, beliau bergiat sepenuh masa daalam bidang dakwah. Beliau berkhidmat sebagai penyampai Suara Malaysia di RTM. Bagaimanapun Pada tahun 1986, beliau mendapat tawaran daripada Darul Iftah Arab Saudi sebagai mubaligh. Beliau adalah seorang pendakwah yang terkenal, pernah menyertai pelbagai persidangan Islam di peringkat antarabangsa. Beliau juga pernah bertemu dengan pemimpin terkemuka dalam dunia Islam seperti Prof Necmettin Erbakan dan KH Abdul Rahman Wahid. Selepas itu, beliau dilantik pula sebagai Pengarah Dakwah Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) sehinggalah beliau mengundurkan diri pada tahun 2012.

Apabila MILF dan Kerajaan Filipina menandatangani Framework Agreement On The Bangsamoro pada 15 Oktober 2012, beliau memutuskan untuk bergiat dalam bidang dakwah di tanah kelahirannya. Beliau kemudian dilantik menjadi Mufti Besar Mindanao.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemuramah beliau ketia beliau bercuti ke Sabah untuk menjenguk cucunya yang belum ditemuinya lagi. Ikuti petikan temubual bersama beliau mengenai sedikit kisah hidupnya sepanjang bergiat dalam bidang dakwah dalam usianya yang kini mencecah 73 tahun

UTUSAN BORNEO: Terima kasih kerana sudi menerima pelawaan kami untuk sesi temubual Ruangan Sembang Sabtu Utusan Borneo. Kami rasa berbesar hati kerana ustaz sudi ditemubual. Kami ingin tahu mengenai keadaan umat Islam di Mindanao, bagaimana keadaan hidup mereka dan sebagainya. Boleh ustaz beritahu sedikit mengenai keadaan umat Islam di sana?

USTAZ ABUHURAIRA: Sejak Barisan Pembebasan Islam Moro atau dalam bahasa Inggerisnya Moro Islamic Liberation Front (MILF) menandatangani perjanjian Framework Agreement on The Bangsamoro pada 25 Oktober 2012, harapan umat Islam untuk menikmati keamanan dan kedamaian semakin besar.

Ramai di kalangan masyarakat Islam di Mindanao masih ketinggalan dalam serba serbi. Tidak banyak pembangunan dan kemajuan yang dikecapi oleh masyarakat. Tetapi dengan adanya FAB, harapan umat Islam di Mindanao semakin cerah. Perundingan demi perundingan yang difasilatator oleh Kerajaan Malaysia diadakan sehingga FAB ditandatangani pada 25 Oktober 2012. Saya turut serta dalam peristiwa bersejarah itu, malah saya dijemput untuk membaca doa pada majlis menandatangani perjanjian FAB yang disaksikan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak. Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman.

Proses seterusnya adalah merangka Bangsamoro Basic Law (BBL) yang kini sudah berada di peringkat senate. Seperti yang diharapkan semua, kita berharap BBL itu diluluskan sebelum 2016 iaitu sebelum tempoh Presiden Benigno Noynoy Aquino berakhir. BBL ini adalah satu undang-undang yang merangkumi semua umat Islam di Mindanao.

UB: Berapa jumlah penduduk umat Islam di Filipina sekarang?

USTAZ ABUHURAIRA: Jumlah umat Islam di Mindanao dianggarkan kira-kira 20 juta orang. Tetapi jumlah sebenar tidak diketahui kerana belum ada bancian dilakukan hingga ke daerah-daerah pedalaman.

UB: Bagaimana perasaan Ustaz selepas pulang ke tanah kelahiran setelah sekian lama berdakwah di luar negeri?

USTAZ ABUHURAIRA: Saya rasa gembira. Memang saya sudah lama ingin pulang untuk berkhidmat dengan masyarakat Islam di sana tetapi keadaan belum mengizinkan waktu itu kerana masih ada tugas-tugas yang perlu diselesaikan.

UB: Bila ustaz pulang ke Cotabato?

USTAZ ABUHURAIRA: Selepas Framework Agreement on The Bangsamoro (FAB) ditandatangani di Istana Malacanang pada 15 Oktober 2012, saya kembali ke Cotabato. Sebagai seorang ahli jawatankuasa pusat, saya melapor bahawa saya sudah pulang ke Mindanao dan bersedia menggalas apa saja tugas yang termampu untuk dilakukan. Kemudian saya diminta untuk menjawat jawatan Mufti Besar Mindanao. Mufti yang ada mengundurkan diri.Mulanya saya enggan kerana saya rasa saya masih baru disana dan sudah lama meninggalkan Mindanao.

UB: Jika dibandingkan dengan keadaan ketika bertugas di Sabah mana yang lebih sibuk?

USTAZ ABUHURAIRA: Di sana kegiatan saya agak sibuk juga. Setiap hari saya menerima undangan untuk menyampaikan ceramah di pelbagai masjid, kolej dan universiti di sana. Jadual saya agak ketat. Hampir setiap hari ada juga orang yang terdiri dari pelbagai kalangan termasuk pemimpin yang datang untuk meminta nasihat mengenai pelbagai hal.

Malah sewaktu perundingan masih berlangsung,kami selalu dihubungi oleh Pengerusi Jawatankuasa Perunding MILF, Mohagher Iqbal dari Kuala Lumpur untuk meminta pendapat atau persetujuan untuk sesuatu perkara walaupun waktu tengah malam. Sebagai Ahli Jawatakuasa Pusat, saya selalu bersama Pengerusi Al Haj Murad Ebrahim sentiasa bersedia jika terdapat panggilan telefon dari Mohagher yang meminta persetujuan mengenai perundingan yang berkaitan dengan kepentingan bangsamoro.

UB: Apa tugas-tugas yang diamanahkan kepada Mufti Besar?

USTAZ ABUHURAIRA: Sebagai Mufti, saya bukan saja bertanggungjawab untuk memberikan fatwa tetapi juga saya juga diminta memastikan soal makanan halal. Untuk ini, jika BBL sudah dilaksanakan, kami akan menjadikan JAKIM sebagai contoh dalam soal menetapkan halal haram.

UB: Bagaimana bentuk pemerintahan Kerajaan Bangsamoro yang akan diperkenalkan kelak di Mindanao?

USTAZ ABUHURAIRA: Sistem yang digunakan ialah assymetrik dengan kerajaan Filipina, Ada satu ketua menteri dan dua timbalan ketua menteri memandangkan wilayah Mindanao dan Sulu adalah amat besar sekali. Bangsamoro Basic Law (BBL) itu pula bersifat inklusif, melibatkan semua masyarakat Islam. Tiada yang akan dipinggirkan. BBL melibatkan semua, untuk kepentingan semua.

UB: Bagaimana pula sambutan masyarakat terhadap ustaz di sana?

USTAZ ABUHURAIRA: Sambutan masyarakat Islam di sana amat baik walaupun saya meninggalkan Mindanao untuk bergiat dalam bidang dakwah selama kira-kira 38 tahun yakni sejak tahun 1974. Hampir setiap hari ada undangan ceramah. Malah hubungan dengan masyarakat lain juga amat baik. Satu ketika, saya menyampaikan khutbah nikah ketika majlis perkahwinan salah seorang cucu saya, anak kepada zamjani Ampatuan di Davao. Sewaktu saya menyampaikan khutbah dalam bahasa Inggerus ia menarik perhatian, Father Marcelo. Beliau datang kepada saya kerana tertarik dengan comparative religion yang mampu meningkatan pemahaman mereka terhadap agama Islam.

Selain itu, saya juga dapat mengurangkan perselesihan keluarga akibat apa yang dinamakan `rido' dalam masyarakat di sana. Saya menyampaikan apa yang dinyatakan dalam Quran dan meminta mereka berbaik-baik. Alhamdulillah, banyak kes rido dapat diselesaikan.

UB: Oh ya berbalik kepada soal persekolahan. Saya difahamkan Ustaz adalah antara orang pertama dari Mindanao yang belajar di Madinah. Siapa lagi selain Ustaz?

USTAZ ABUHURAIRA: Ustaz Ismail Kalalagan, dan Duli Ahmad, Ustaz Salamat Hashim, Daud Taiwan dan lain-lain. Hashim Noh, Ali Ismail

UB: Dimana Ustaz melanjutkan pelajaran?

USTAZ ABUHURAIRA: Saya melanjutkan pengajian di Fakulti Dakwah dan Usuluddin, Universiti Islam Madinah bermula tahun 1964 sehingga mendapat `Al-Ijazah Al-Aliah ' pada 1971. Saya juga belajar Ilmu Perbandingan Agama di Baitul Maqdis selama enam bulan.

UB: Siapa antara rakan Ustaz sewaktu belakar di Madinah?

USTAZ ABUHURAIRA: Antara rakan satu universiti di Universiti Islam Madinah ialah Ustaz Datuk Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS. Beliau rapat dengan saya. Sewaktu dulu, beliau pernah menjemput saya untuk menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Rusila. Selepas iru, dibawanya saya ke rumahnya untuk dijamu. Kami makan di dapur, sama seperti yang dilakukan ketika kami belajar di Madinah. Beliau suka goreng keropok. Selain beliau, Datuk Dr Abdullah Md Zin, belas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, juga rakan seuniversiti, Ustaz Haji Harun Taib, mantan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Haji Ismail Abbas, mantan Mufti Negeri sabah juga adalah rakan seuniversit.

UB: Tiada hasrat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi pada waktu itu?

USTAZ ABUHURAIRA: Sebenarnya saya sudah mendapat biasiswa dan tawaran untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perbandingan agama di McGill University Canada. Tetapi Ustaz Salamat Hashim datang dan mengatakan walaupun menuntut Ilmu itu penting tetapi kami wajib kita pulang untuk membantu saudara-saudara kita dari kekejaman Ilaga, yang banyak menganiaya umat Islam.

Sekembalinya ke Mindanao, saya dilantik sebagai Pengarah Ma'ahad Al Rahmaniah, Maganoy, Sharif Aguak pada 1971 hingga 1972.

UB: Untuk rekod, bolehkah Ustaz nyatakan siapa antara pengasas yang menubuhkan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF)?

USTAZ ABUHURAIRA: Antaranya Ustaz Salamat Hashim, Daud Taiwan, Nur Misuari, saya sendiri, Dr Salleh Long, Abdullah Camlian. Sewaktu dulu, saya pernah ikut bergerila dalam hutan selama lebih tiga tahun di Kem Omar Khattab. Namun kemudian, saya ditugaskan dalam bidang diplomasi kerana kebolehan saya dalam menguasai banyak bahasa seperti bahasa Inggeris, Arab, Melayu dan Tagalog selain menguasai pelbagai bahasa tempatan seperti Maguindanao, Maranao, Davaonon dan Sulug.

UB: Selepas itu, dimana Ustaz bertugas?

USTAZ ABUHURAIRA: Pada tahun 1974, saya bergiat sepenuhnya dalam bidang dakwah. Saya berkhidmat sebagai penyampai radio Suara Malaysia di RTM dari tahun 1974 hingga 1986. Selepas itu, pada tahun 1986, saya mendapat tawaran daripada Darul Iftah Arab Saudi sebagai mubaligh. Apabila bersara dari Darul Iftah, saya dilantik pula sebagai pegawai dakwah kemudian sebagai Pengarah Dakwah Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) sehinggalah mengundurkan diri pada tahun 2012.

UB: Ketika bertugas dengan USIA, apa kenangan bersama almarhum Tun Datu Haji Mustapha?

USTAZ ABUHURAIRA: Almarhum Tun Mustapha adalah seorang pemimpin yang sangat baik. Sangat prihatin terhadap perjuangan dan dakwah Islam. Sewaktu berkhidmat di USIA, setelah mengetahui saya fasih berbahasa Arab,beliau pernah membawa saya ke Arab Saudi untuk berjumpa dengan Raja Fahd.

Begitu juga Tun Datuk Seri Panglima Haji Sakaran Dandai. Beliau jugaadalah seorang pemimpin yang baik dan begitu prihatin sekali.

UB: Apa beza jika dibandingkan ketika bertugas di sabah dulu dengan di Mindanao sekarang?

USTAZ ABUHURAIRA: Di Sabah, saya rasa bebas untuk bergerak ke mana saja. Tetapi di Mindanao, sya dikawal oleh tiga hingga lima orang pengawal untuk memastikan keselamatan saya sentiasa terjamin.

UB: Ustaz masih menulis buku?

USTAZ ABUHURAIRA: Saya sedang menyiapkan buku mengenai Islamic Leadership. Sewaktu berada di sini dulu, saya sempat menerbitkan sebanyak enam buku mengenai dakwah Islam seperti Method of Islamic Da'awah, Back to Quran , Allegation against Islam and How I Refute Them dan sebagainya.

UB: Oh ya. Menyentuh soal makanan pula.Apa makanan favorit Ustaz?

USTAZ ABUHURAIRA: Saya suka makan ikan haruan. Dari dahulu saya memang suka makan ikan haruan.

UB: Apa tujuan lawatan ke Sabah?

USTAZ ABUHURAIRA: Sebenarnya saya bercuti untuk menjenguk cucu saya yang baru lahir.Walaupun begitu, saya dijemput untuk memberikan khutbah di masjid. Mulanya saya agak enggan kerana tidak ada tauliah, tetapi kariah masjid mengenali saya kerana berkhidmat selama 38 tahun sebagai pendakwah Islam di Sabah.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


HIDUP INI SATU SURVIVAL, KATA CIKGU HJ MD YUSOF MATTAIM

Tags


HIDUP INI SATU SURVIVAL, KATA CIKGU HJ MD YUSOF MATTAIM

Hidup ini satu survival, jangan kita merasa kepayahan hidup jika kita tidak pandai mengolah bidang kerjaya kita menjadi ceria dan menarik. Seseorang yang tidak cukup lengkap anggota seperti penglihatan akan berusaha mencari cahaya sebagai panduan hidupnya.

Kerjaya sebagai guru mesti kita olah lebih menarik dalam kehidupan kita. Kita boleh belajar dari seorang tukang kasut bagaimana mereka survival dalam hidup, yang penting kita mesti jangan merasa selesa sehingga kita tidak mahu turun padang.

Membujur lalu melintang patah, bunyinya macam kasar tetapi klausa itu memberikan inspirasi untuk kita tidak perlu lemah semangat, jika ada halangan kita mesti cari jalan lain untuk sampai matlamat.Kesusahan banyak mengajar saya erti kehidupan sebenar, saya dapat memilih mana yang terbaik buat saya.

Itulah antara kata-kata personaliti kita kali Guru Besar SK Tanjung Aru 1, Haji Md Yusof Mattaim. Mantan Presiden KGKS Sabah ini bercerita mengenai pengalaman hidupnya sebagai guru.

Haji Mohd Yusof Mattaim lahir di Kampung Menumbok pada 11 Januari 1956.Beliau i mendapat pendidikan awal di PS Pekan Menumbok dari tahun 1963 hingga 1969. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran di SMK Sipitang dalam aliran Inggeris hingga peringkat LCE. Bagaimanapun beliau mengulang untuk peperiksaan SRP di SMK Menumbok pada tahun 1974. Pada tahun 1975, beliau bersekolah di SMK Sanzac Kota Kinabalu. Pada tahun 1976, beliau memasuki Maktab Perguruan Kent Tuaran untuk mengikuti Kursus Sijil Perguruan. Selepas tamat kursus, beliau ditempatkan di SRK Serudong Baru Tawau dari tahun 1978 hingga 1982. Kemudian beliau bertukar ke SK Rancangan Klias Beuafort. Bagaimanapun satu tahun kemudian beliau bertukar semula ke SK Kem Kabuta dari tahun 1984 hingga 1986. Selepas itu beliau bertugas sebagai Guru Besar di SK Sungai Tongkang dari tahun 1990 hingga 1997. Cikgu Md Yusof dipindahkan ke SK Kinabutan Besar dari tahun 1998 hingga 2002. Selepas itu saya berpindah ke SK Kampung Contoh Penampang dari tahun 2006 hingga 2008. Kini beliau bertugas sebagai Guru Besar SK Tanjung Aru 1 sejak tahun 2010 hingga kini.
Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Presiden Kesatuan Guru-Guru Kerajaan (KGKS) Sabah selama hampir 12 tahun, dan pernah menjadi Pengerusi Cuepacs selama hampir tiga tahun. Selain itu, beliau juga menjadi Ahli Koperasi Guru Bumiputera Sabah Berhad 2002 2003,Koperasi Pemandu Mini Bas Kota Kinabalu Sabah Berhad 2009,Koperasi Guru Besar Sabah Berhad 2012,Koperasi Pendidik Tg Aru Sabah Berhad 2012 dan ALK Angkasa Sabah 2011-12


Beliau mendirikan rumah tangga dengan Puan Ena Abdullah dan dikurniakan tiga cahaya mata, salah seorang daripadanya menuruti jejaknya sebagai seorang pendidik.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemubual Haji Md Yusof Mattaim di salah sebuah restoran di ibu negeri untuk berkongsi pengalaman beliau dalam bidang perguruan.

 

 

 

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang cikgu?

MD YUSOF: Saya dilahirkan di Kampung Menumbok pada 11 Januari 1956. Saya anak kedua dari lapan adik beradik. Ayah saya Mattaim bin Aspar seorang nelayan manakala ibu saya Aminah binti Bungsu bekerja sebagai peniaga kuih.

Saya mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah, waktu itu dipanggil Government Primary School (GPS) Pekan Menumbok dari tahun 1963 hingga 1969 dari darjah satu hingga darjah enam.

UB: Siapa antara rakan sekolah cikgu di GPS Menumbok masa itu?

MD YUSOF: Antara rakan sekolah saya, Mr Teo Boon Sing, bekas DO, Ali Hassan Abd Hamid, jurutera, Datuk Murshidi Abd Ghafar, Musa Sulaiman, Setiausaha Persekutuan Sabah, Teo Chong Lai dan lain-lain lagi

UB: Rumah kediaman cikgu jauh dari sekolah? Apa kegiatan cikgu selepas balik dari sekolah?

MD YUSOF: Rumah saya tidak jauh dari sekolah. Hanya kira-kira 300 meter saja. Kalau bukan masa sekolah, saya selalu membantu ibu saya jual kuih. Umur saya ketika itu kira-kira tujuh hingga 12 tahun.

UB: Sebaik tamat sekolah rendah, dimana cikgu bersekolah menengah?

MD YUSOF:Selepas tamat darjah enam, saya melanjutkan pelajaran menengah di SMK Sipitang. Pada masa itu, belum ada sekolah menengah di Menumbok. Pelajar-pelajar dari Menumbok terpaksa melanjutkan pelajaran di Labuan, Beaufort, Kuala Penyu atau Sipitang. Sekolah Menengah hanya didirikan di Menumbok pada taun 1973. Saya bersekolah di SMK Sipitang dari Bridge Class hingga Form III dan menduduki peperiksaan LCE (Lower Certificate of Education). Itulah peperiksaan LCE yang terakhir sebelum peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran diperkenalkan pada tahun 1974.Saya repeat di SMK Menumbok hingga lulus SRP. Sebelah pagi saya sekolah agama, pada sebelah petangnya saya bersekolah Inggeris. Antara rakan sekolah saya di sekolah agaa ialah Ustaz Haji Mohd Nor Kasah.

UB: Selepas lulus SRP, dimana cikgu menyambung persekolahan?

MD YUSOF: Saya menyambung pelajaran dalam tingkatan empat di SMK Sanzac. Antara rakan sekelas saya ialah Musli Oli, Eddy Berhan, Hasnah Taulani. Pada tahun 1976, selepas seminggu sekolah dibuka, saya berhenti sekolah. Saya lari ke Maktab Perguruan Kent Tuaran untuk mengikuti kursus perguruan. Saya lari dari sekolah kerana waktu itu umur saya sudah mencecah 20 tahun.

UB: Siapa rakan Cikgu di Maktab Kent masa itu?

MD YUSOF: Antara yang menonjol ialah Cikgu Kaipin Rosmin, senior saya satu tahun di Maktab Kent dan YB Karim Adam, mantan ADUN Kundasang.

UB: Selepas tamat sijil perguruan, dimana cikgu ditempatkan untuk bertugas?

MD YUSOF: Saya adalah antara guru pelatih yang di tempatkan ke Bahagian Tawau tanpa penempatan sekolah yang ditetapkan oleh Jabatan Pendidikan Sabah masa itu, hanya perlu melaporkan diri kepada Pegawai Pendidikan Bahagian Tawau (PPBT) Encik Abd Ghani Mandar. Saya menemuinya dan meminta saya memilih sekolah mana pilihan saya, saya memohon bersama sahabat karib saya antaranya Arwah Hassan Radin, Ali Rahman Andan, Ondiki Tinggi dan lainnya daripada Maktab Perguruan Sandakan. PPBT setuju dan keluarkan surat penempatan khusus untuk saya.

Saya dan rakan-rakan melapor diri ke SRK Serudung Baru, di mana Guru Besarnya Arwah cikgu Isdup Yusof menyambut kami dengan gembiranya kerana kami semua ada lima orang guru baru lelaki yang masih fresh dan bersemangat untuk sedia berkhidmat. Masa itu, kami ditawarkan dengan bilangan kelas yang sedia untuk diajar, guru senior yang sedia ada sudah pun mengambil peranan masing-masing. Saya ditugaskan mengajar di kelas tahun 6 KBSR kecuali Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam.

UB: Dimana letaknya SRK Serudung Baru itu cikgu? Bagaimana pengalamam cikgu ketika bertugas di sana?

MD YUSOF: SRK Serudung Baru merupakan sekolah dalam penempatan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) Kawasan Tanaman Kelapa Sawit Balung, Tawau. Jauh dari bandar Tawau lebih kurang 18 batu dengan menaiki bas sebagai pengangkutan awamnya. Sebagai guru baru, kami sentiasa bersama dalam mengurus aktiviti sekolah, kami ada visi dan misi untuk mempromosikan Serudung Baru sebagai sekolah bitara yang digeruni di kawasan Balung.

Sejak dari tahun pertama kami di sekolah ini, kami merancang membuat pelbagai aktiviti kebudayaan dan kesukanan, cikgu Ag Abu Bakar Ag Tengah adalah pelapor kami ke media akhbar tempatan. Ramai belia dan beliawanis Serudung Baru terlibat menyertai aktiviti yang kami anjurkan seperti olahraga, sukan dan permainan serta kebudayaan, seni tari dan nyanyian. Akhirnya pada penghujung tahuan 1978 kami menubuhkan Persatuan Pencinta Seni Tawau (Pesnita) yang dipengerusikan oleh saudara Chacho Mohama.

Tahun 1979 saya masih di sekolah ini sebagai tahun kedua, saya diputuskan oleh Guru Besar mengajar kelas Tahun 3 yang terletak di bahagian Blok Bangunan lama selama hampir 4 tahun sehingga saya memohon tukar balik ke Pejabat Pendidikan Bahagian Beaufort 1982.

UB: Selepas bertukar ke Beaufort, di sekolah mana cikgu ditugaskan?

MD YUSOF: Saya ditempatkan ke SK Rancangan Klias, untuk ke dua kali lagi saya bertugas di penempatan LKTNS. Di Zon Klias saya diamanahkan sebagai Setiausaha MSSS Zon Klias, Bagaimanapun, 1 tahun setengah, maknanya pertengahan 1984, Julai saya balik semula ke SK Kem Kabuta, Tawau.

UB: Jadi cikgu balik semula ke Tawau?

MD YUSOF: Saya balik semula ke Tawau dan bertugas di SK Kem Kabuta, Tawau kerana pertukaran atas dasar suka sama suka dengan arwah Ak Mahmud Pg Ahmad yang mahu balik ke Beaufort.

UB: Tentu banyak pengalaman cikgu sewaktu bertugas di Tawau?

MD YUSOF: Di sekolah ini sebagai guru kanan saya diarah oleh Guru Besar menjadi Guru Pemulihan Khas, saya menerimanya dan mengikuti kursus pemulihan di Maktab Perguruan Sandakan pada tahun 1985. Tahun 1986 saya dah sedia untuk membuka bilik kelas pemulihan, tetapi saya mendapat tawaran untuk memangku jawatan Guru Besar yang mulanya diberitakan di SK Umas-Umas tetapi kerana peristiwa di SK Sg Tongkang yang lebih kritikal saya diarah oleh Pegawai Pendidikan Daerah ke SK Sg Tongkang, Pulau Sebatik. Saya dibawa oleh PPD masa tu arwah Syarif Kassim ke sekolah berkenaan. Beliau memberikan ucapan dan jaminan untuk membantu menyelesaikan masalah di SK Sg Tongkang, Pulau Sebatik. Di sekolah pertama ini saya ikhtiarkan sebuah surau sekolah untuk praktikal kandungan amali pendidikan Islam. 4 tahun saya di SK Sg Tongkang, saya ditukarkan ke SRK Ladang Tiger atas alasan anak-anak saya membesar dan memerlukan pendidikan asas Islamiyah.

Di era ini saya dilantik menjadi Bendahari PSKPPS dan Setiausaha Hari Bosnia Tawau.

UB: Saya difahamkan cikgu juga terlibat memberikan idea awal kepada penubuhan sekolah islamiyah sewaktu bertugas di Sungai Tongkang?
MD YUSOF: Di sekolah ini saya mencadangkan PIBG menubuhkan sekolah rakyat Islamiyah, PIBG setuju kerana kebetulan masyarakat di sini majoriti Muslim. Saya mendominasikan keadaan yang ada untuk memajukan agenda PIBG dan Jawatankuasa Masjid untuk merealisasikan visi menubuhkan SAR Ladang Tiger. Visi ini berjaya ditubuhkan dan masih berfungsi sehingga ke hari ini. Saya bertahan di sekolah ini sehingga 8 tahun iaitu dari 1990 1997. Banyak kenangan dan memori manis di sekolah ini.


UB: Selepas itu, dimana cikgu ditugaskan?

MD YUSOF: Pada tahun 1998 hingga 2002, saya ditukarkan ke SK Kinabutan Besar Tawau. Di SK Kinabutan Besar ini saya memegang jawatan YDP MGB Tawau selama hampir 4 tahun selepas Saudara Raduan Hj Donald melepaskan jawatan kerana bersara.

Di sekolah ini saya membina bilik Kemahiran Hidup (dekat dewan) secara berperingkat dan Bilik Perawatan Kesihatan Gigi (bawah rumah guru). Saya banyak membuat hubungan baik dengan komuniti luar terutama dengan masyarakat kampung. Di sini saya diberikan mandat oleh perwakilan sebagai Presiden KGKS Negeri Sabah selama hampir 12 tahun. Dan sebagai Pengerusi Cuepacs Sabah selama hampir 3 tahun.

UB: Sebenarnya apa cita-citu cikgu sewaktu masih kanak-kanak?

MD YUSOF: Sebenarnya saya lebih minat kepada unit beruniform, sama ada mahu jadi anggota Polis, Tentera atau Imigresen tapi tidak kesampaian.

UB: Apa prinsip yang jadi pegangan hidup cikgu?

MD YUSOF: Mesti berani mencuba. Jangan takut gagal. Kita kena cuba, jangan mengalah.

UB: Mungkin cikgu ada kata-kata nasihat kepada rakan-rakan guru?

MD YUSOF: Ramai rakan guru bila terasa hidup selesa tidak mahu berganjak daripada keselesaan, sebenarnya dengan keselesaan itu membuatkan kita tidak kreatif dalam hidup ini.

Sekadar menyebut beberapa nama, saya tidak boleh lari dari mereka kerana mereka adalah sumber inspirasi dalam kehidupan saya sehingga kini saya memilikinya.

Ramai rakan guru menyebutkan aktiviti luar itu seperti berkaitan dengan bidang tugas hakiki mereka sebenarnya aktiviti luar itu berkait rapat dengan aktiviti yang tidak berbayar gaji.

Hidup ini satu survival, jangan kita merasa kepayahan hidup jika kita tidak pandai mengolah bidang kerjaya kita menjadi ceria dan menarik. Contoh seseorang yang tidak cukup lengkap anggota seperti penglihatan akan berusaha mencari cahaya sebagai panduan hidupnya.

Kerjaya sebagai guru mesti kita olah lebih menarik dalam kehidupan kita, kita boleh belajar dari seorang tukang kasut bagaimana mereka survival dalam hidup, yang penting kita mesti jangan merasa selesa sehingga kita tidak mahu turun padang.

Membujur lalu melintang patah, bunyinya macam kasar tetapi klausa itu memberikan inspirasi untuk kita tidak perlu lemah semangat, jika ada halangan kita mesti cari jalan lain untuk sampai matlamat.

Kesusahan banyak mengajar saya erti kehidupan sebenar, saya dapat memilih mana yang terbaik buat saya.

Pengalaman ini banyak saya dapati dalam berkesatuan, ramai dapat kawan dan membuat penilaian. Kita tidak boleh sangat berharap dan mengharap kerana semuanya tidak boleh menjanjikan dengan satu keputusan yang memuaskan hati kita.

Ramai kawan kita berpotensi untuk menyampaikan aspirasi mereka tetapi sayang mereka tidak aktif dalam berkesatuan untuk menyalurkan maklumat yang baik itu.

Sesuatu yang menjadi pengajaran dalam hidup saya ialah saya tidak boleh keciwa dengan keadaan yang tidak sempurna kerana ianya akan membuatkan kita lebih dikeciwakan.

Sesuatu yang tidak ramai rakan guru lakukan ialah membuat kajian sebelum memulakan khidmat bakti apabila sampai ke suatu tempat yang dirasakan amat asing.

 

 

 

Wawancara dengan Prof Emiritus Dato Dr Hajah Asmah Haji Omar

Tags
PERKEMBANGAN bahasa Melayu di negara ini tidak dapat dipisahkan dengan salah seorang tokoh penting yang banyak memberi sumbangan dalam hampir semua bidang kajian bahasa Melayu. Profesor Emiritus Dato Dr Hajah Asmah Haji Omar ,bukan saja memberikan sumbangan dalam dunia akademik dan kesarjanaan, malah beliau juga turut menganggotai beberapa jawatankuasa penting dalam membina bahasa Melayu sebagai bahasa moden, bahasa ilmu dan bahasa saintifik. Pakar linguistik yang disegani ini menghasilkan lebih 60 buah buku akademik dalam bidang linguistik yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),Universiti Malaya dan Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya.

Prof Emiritus Dato Dr Asmah Haji Omar dilahirkan di Jitra, Kedaj pada 5 Mac 1940. Ayahnya adalah seorang guru madrasah dan pernah menjadi wakil rakyat dan anggota Exco Kerajaan Negeri Kedah ketika zaman aswal kemerdekaan. Beliau mendapat pendidikan rendah dan menengah di Kedah sebelum meneruskan pengajian di Universiti Indonesia sehingga mendapat ijazah Sarjana Muda dan Sarjana Sastera. Selepas itu, beliau terbang ke England untuk melanjutkan pengajian di University of London sehingga mendapat ijazah PhD dalam bidang General Linguistics.

Sepanjang kerjayanya, beliau pernah bertugas sebagai Penolong Pensyarah, Jabatan Pengajian Melayu Universiti Malaya (1963), Pensyarah Jabatan Pengajian Melayu Universiti Malaya (1966), Pengarah Pusat Bahasa Universiti Malaya, Profesor Madya, Universiti Malaya (1972), Timbalan Naib Canselor (perjawatan) Universiti Malaya (1983), Profesor Linguistik Melayu, Universiti Malaya (1976-1995), Profesor Kontrak, Universiti Malaya (1995-2000),Dekan Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya, Pensyarah Jemputan Pusat Pembinaan Bahasa dan Perkembangan Bahasa Jakarta Indonesia (1977), Pensyarah Jemputan Institute of Linguistics, University of Hawaai (1977), Profesor Pelawat University of Qatar (Mac 1979-April 1979), Profesor Pelawat Center for Southeast Asian Language and Cultures Mahidol University, Bangkok (Mei1978), Profesor Pelawat Fulbright untuk rancangan SEASSI, Northern Illinois University (2 Jun 1987-23 Ogos 1987). Beliau juga adalah Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (1977-1979), Presiden Persatuan Bahasa Malaysia Moden (1986-1994), Jawatankuasa bahasa Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia (1980-1986), Jawatankuasa Penyelaras Gabungan Sains dan Sains Sosial DBP (sejak 1978) Pengarah Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim Perak.

Beliau menerima anugerah gelaran Doktor Persuratan (D.Litt) dalam lingustik Melayu dari Universiti Malaya pada tahun 1998 kerana sumbangannya yang amat besar dalam bidang kesarjanaan ilmu linguistik di Malaysia, Profesor Emeritus daripada Universiti Malaya pada tahun 2000. Beliau turut dianugerahi Doktor Persuratan Kehormat dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2006. Beliau juga terkenal sebagai pakar bahasa yang sering menyumbangkan tulisan dalam bidang tatabahasa Melayu dan perancangan bahasa Melayu yang melibatkan kepakaran sosiolinguistik, etnolinguisik dan sebagainya.

Sebagai mengenang sumbangan dan jasa baktinya, beliau dianugerahkan Ahli Mangku Negara (A.M.N.) pada tahun 1973, Setia DiRaja Kedah (S.D.K.) pada tahun 1979, Dato' Setia DiRaja Kedah (D.S.D.K.) pada tahun 1983, Anugerah ASANAL pada tahun 1979, 'Orde Des Palmas Academique Perancis' pada tahun 1989, GRATA HOME NAGEM' Institute Portugese Do Oriente, Macau pada tahun 1990, 'Boss of The Year' dari Persatuan Setiausaha Malaysia sessi 1992/1993, Piagam Penghargaan MABBIM Indonesia pada tahun 1993, Sijil Penghargaan Menteri Pendidikan Malaysia kerana memperkembangkan MABIM dan MABBIM pada tahun 1995, Anugerah Bahasa Raja Nazrin Shah Yang Pertama daripada Persatuan Bahasa Moden pada 1996, Anugerah 'Women of The Year 1998' daripada American Biographical Institute dan Anugerah '20th CAA Silver Medal of Honor' daripada International Biographical Center pada tahun 1999.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemubual beliau pada hari terakhir Bengkel Kajian Inventori Bahasa anjuran DBP Malaysia di salah sebuah hotel terkemuka di Kota Kinabalu. Ikuti petikan temubual bersama beliau:

UTUSAN BORNEO: Bila kali pertama prof ke Sabah?

PROF: Saya datang ke Sabah tidak lama selepas pembentukan Malaysia. Itu kerana ada Seminar Bahasa Melayu yang dianjurkan oleh Biro Bahasa Malaysia di bawah Jabatan Ketua Menteri Sabah. Ketika itu, Ketua Menteri Sabah ialah Tun Datu Haji Mustapha Datu Harun. Seminar itu diadakan untuk menerapkan pelaksanaan bahasa Melayu di Sabah.

Kami menginap di Hotel Capital, waktu itu masih terletak di tepi laut. Banyak kenangan sewaktu berada di Sabah. Saya ingat ketika itu kami dibawa oleh Cikgu Ajamain ke rumahnya di Tuaran. Kata Hajah Asmiah (Pengarah DBP Sabah) beliau masih berada dalam darjah dua masa itu. Itulah kali pertama saya ke Sabah.

UB: Kalau Sarawak?

PROF: Saya ke Sarawak pada tahun 1964 untuk membuat kajian mengenai bahasa Iban. Saya pergi seorang diri.

UB: Tidak rasa takut?

PROF: Waktu muda tak takut. Lapanga terbang Kuching masih kecil. Saya naik kapal terbang pergi Sarawak dari Singapura. Apabila orang tanya buat apa ke Sarawak, saya kata saya mahu buat penyelidikan. Orang tengok saya sambil kerut dahi.

UB: Ada orang tunggu di lapangan terbang masa itu?

PROF: Sebelum itu, saya menghubungi Jabatan Pelajaran. Merekalah yang datang mengambil saya. Saya tinggal di Borneo Hotel. Masa itu , Haji Din Musa, pegawai semenanjung yang berasal dari Negeri Sembilan bekerja sebagai pegawai di Sarawak.Beliaulah yang banyak membantu. Menantunya, Adi Dhobi, adik beradik dengan Rosley Dhobi.

UB: Buat kajian di mana?

PROF: Dari kuching saya naik kapal terbang kecil ke Sibu. Kapal terbang itu hanya boleh memuatkan kira-kira lapan orang penumpang. Di Sibu, keluarga Adi Dhobi yang membawa saya ke rumah panjang untuk buat recording. Sewa speed boat sebagai pengangkutan sungai untuk pergi ke rumah panjang.

UB: Tentu banyak pengalaman sewaktu di Sarawak?

PROF: Antara pengalaman saya ialah ketika membuat kajian di perkampungan orang Iban yang terletak berdekatan sempadan Sarawak. Saya terpaksa ikut rombongan orang putih berjalan satu hari satu malam ke Kanowit. Dari Kanowit terpaksa naik perahu ke Mapan. Setibanya di sana, saya dibawa ke rumah penghulu. Saya duduk lebih seminggu di rumah penghulu.

UB: Bagaimana layanan mereka terhadap orang asing?

PROF: Layanan mereka terhadap saya amat baik sekali. Saya bawa bekal ikan dalam tin. Tetapi mereka sangat baik. Penghulu sendiri turun ke sungai untuk menangkap ikan atau udang. Apabila mereka tahu saya beragama Islam, penghulu itu sanggup membawa ayam ke kampung orang Islam untuk di sembelih supaya saya dapat makan ayam. Tiap-tiap pagi, kira-kira pukul lima mereka turun memburu atau memungut hasil hutan. Saya tinggal bersama kaum wanita. Sambil menunggu kaum lelaki pulang,mereka menenun pua kumbu, tenunan tradisi Iban yang tinggi mutunya. Mereka juga menumbuk padi. Mereka bercakap, saya rekodkan percakapan mereka dalam alat perakam. Masa itu alat perakam agak besar tidak seperti sekarang.

Selepas itu, saya sering berulang alik ke Kuching. Di Kuching, saya mempunyai rakan sekelas sewaktu di Malay Girls College, Datuk Rogayah Majid. Beliau isteri kepada Abang Yusof, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak yang pertama selepas merdeka. Saya selalu menginap di tempat beliau.Ketika itu Abang Yusof masih meneruskan pelajaran di Cambridge.

UB: Selepas itu?

PROF: Selepas itu, apabila kajian sudah lengkap, pada awal 1967 saya pergi ke London untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang PhD. Pada mulanya Universiti of London mahu saya untuk mengambil ijazah MA tetapi saya tidak mahu. Saya mebdapat sokongan dari profesor yang akhirnya dapat meyakinkan pihak universiti. Mereka juga mahu membuat seminar mengenai bidang yang saya kaji.Setelah melalui pelbagai cubaan dan ujian, akhirnya saya diterima masuk untuk pengajian PhD. Saya dapat menyiapkan Phd dalam tempoh dua tahun pada tahun 1969.

Tajuk tesis kedoktoran ssaya ialah "The Iban Language of Sarawak: A Grammatical Description",Buku ini kemudian diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1981.

UB: Selain kajian mengenai Bahasa Iban itu, apa lagi buku kajian yang pernah prof hasilkan?

PROF: Satu lagi buku yang saya hasilkan ialah The Malay Peoples of Malaysia and Their Languages.

UB: Apa buku lain yang prof hasilkan?

PROF: Antaranya Essays on Malaysian Linguistics (DBP 1975), Kepelbagaian Fonologi Dialek-dialek Melayu (DBP 1977), An Introduction to Malay Grammar [Asmah Haji Omar, Rama Subiah (DBP 1985)], Bahasa dan alam pemikiran Melayu (DBP 1986), Bahasa Melayu abad ke-16: Satu Analisis Berdasarkan Teks Melayu `Aqa’id al-Nasafi (DBP 1991), Bahasa Melayu di Samudera: Benih yang Baik Menjadi Pulau (DBP 2006), Susur Galur Bahasa Melayu (DBP 2007), dan Ensiklopedia Bahasa Melayu (DBP 2008).

 

UB: Ramai yang tertarik mengenai buku Ensiklopedia Bahasa Melayu. Boleh beritahu sedikit mengenainya?

PROF: Dalam buku itu saya memberikan susur galur serta pemahaman tentang bahasa Melayu yang lengkap. Buku ini memperihalkan perkembangan bahasa Melayu dari sudut sejarah, variasi, tulisan, ejaan, fonetik, fonologi, nahu, morfologi, sintaksis, ragam bahasa sehinggalah kepada etimologinya.

 

 

 

UB: Boleh ceritakan sedikit pengalaman buat kajian di Sabah?

PROF: Di Sabah, banyak pengalaman yang saya perolehi.Ketika membuat kajian dulu, saya mendapat bantuan dari Cikgu Shuhaibun (Datuk Haji Shuhaibun Yussuf), ketika itu Pengelola Kebudayaan di KKBS. Beliaulah yang banyak membantu projek pengumpulan kajian tradisi lisan. Saya mengajar kaedah untuk mengumpul kajian.

Satu melalui pelbagai pengalaman sewaktu membuat kajian di Sabah. Saya pernah buat kajian di Nabawan.Pada masa itu jalan raya masih teruk. Saya pernah ke pulau Nunuyan, naik bot laju. Banyak cabaran. taoi semua ini saya tidak ceritakan kepada emak saya.

UB: Sewaktu mula terlibat dalam kajian bahasa ini, apa respon keluarga?

PROF: Rakan-rakan, guru-guru saya, dan keluarga saya agak terkejut kerana saya memilih kajian bahasa. Tapi saya mahu belajar sesuatu yang baru.Saya sebenarnya dari aliran sains.Mata pelajaran kegemaran saya ialah matematik. Tapi saya lahir dalam sebuah keluarga yang bertutur dalam banyak bahasa.Ayah saya bercakap dalam bahasa Arab ketika mengajar di Madrasah. Kami juga menggunakan bahasa Inggeris, bahasa Melayu dan sebagainya. Apabila saya memilih untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang bahasa, mereka kata awak ni gila. Kalau tak gila, saya tidak sampai ke tahap ini.

Selepas maghrib menuju ke Isyak, ayah saya selalu melontarkan topik untuk dibahaskan. Beliaumahu kami berfikir secara objektif. Beliau melatih kami berfikir dan berbahas.

UB: Apa cita-cita Prof sewaktu kecil dulu?

PROF: Saya bercita-cita jadi doktor dalam bidang apa saja.Bapa saudara saya, Tan Sri Mohamad Jamil menggalakkan saya mesti jadi doktor. Itu sebabnya ramai juga yang bertanya mengapa saya melanjutkan pelajaran ke Indonesia dalam bidang bahasa dan tidak ke tempat lain seperti Australia dan sebagainya seperti rakan-rakan lain.

Ramai yang anggap saya dah gila kerana pilih kajian bahasa. Saya kata 'i just want to go'. Masa itu Kerajaan Indonesia menganugerahkan lima biasiswa untuk pelajar dari Malaya untuk melanjutkan pelajaran di Indonesia sebagai hadiah kemerdekaan. Hanya lima orang yang dapat anugerah biasiswa itu.

UB: Siapa diantaranya?

PROF: Tan Sri Mohamad Rahmat, bekas Menteri Penerangan, Prof Abu Bakar Hamid, Abdul Jalal Abdullah, saya dan suami saya, Khalid Hussain. Itulah ceritanya. Selebihnya adalah sejarah.

JANGAN TERAGAK-AGAK NYATAKAN KEBENARAN, KATA HAJI SUBKY ABDUL LATIF

Tags
JANGAN TERAGAK-AGAK NYATAKAN KEBENARAN, KATA HAJI SUBKY ABDUL LATIF

 

APA yang paling penting dalam dada seorang wartawan, ialah prinsip yang tidak teragak-agak untuk menyatakan kebenaran, kata Haji Subky Abdul Latif, seorang tokoh yang disegani dalam bidang kewartawanan di negara ini. Kita harus berani menyatakan kebenaran, katanya.

Tokoh yang tidak asing lagi di negara ini, terkenal bukan saja dalam bidang kewartawanan malah seorang tokoh yang banyak terlibat dalam banyak peristiwa sejarah, mempunyai hubungan yang baik dengan pemimpin-pemimpin negara termasuk bekas TYT dan Ketua Menteri Sabah, Tun Datu Mustapha Datu Harun dan ramai lagi. Beliau adalah wartawan yang mengiringi Perdana Menteri Malaysia, Tun Razak Hussein dalam lawatan sulungnya ke China pada 1974.

Haji Subky Abdul Latif dilahirkan di Sitiawan Perak pada 28 Julai 1940. Beliau memperolehi pendidikan Melayu dan Inggeris selain pendidikan agama di Gunung Semanggol Perak. Sebelum memulakan kerjaya sebagai wartawan di Utusan Melayu mulai tahun 1963. Beliau pernah menyertai kursus di Berlin Institute of Jurnalisme di Berlin, Jerman. Selepas berundur dari Utusan Melayu-ketika beliau berada dalam urutan ketiga selepas Tan Sri Mazlan Nordin dan Osman Abadi, beliau mengasaskan beberapa buah akhbar seperti Suara Rakyat, Suara Merdeka. Beliaujuga mengasaskan akhbar alternatif seperti Watan yang dilancarkan tahun 1976 oleh Tan Sri Khir Johari. Beliau juga turut mengasaskan Harakah pada 1978 sebagai lidah rasmi PAS. Beliau juga turut mengasaskan majalah seperti Sarina, Keluarga, Kisah Cinta dan kritikan.

Sebelum bersara dari dunia politik, Haji Subky Latif pernah bertanding dalam pilihan raya umum di Kubang Pasu menentang mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad tetapi tewas. Kali pertama beliau bertanding ialah pada tahun 1979 dalam pilihanraya kecil Pelabuhan Kelang pada 1 Disember 1979 berikutan kematian Tan Sri V.Manikavasagam, Menteri Buruh dan Presiden MIC pada masa itu. Setelah tewas dalam pilihanraya itu, beliau menulis buku Anak Jawa Pelabuhan Klang. Sehingga kini, Haji Subky sudah menghasilkan beberapa buah buku, termasuk memoir Anak Apak dan Propaganda Zaman.Kini beliau sedang menulis Memoir "Politik itu Manis". Setakat ini, beliau sudah menghasilkan beberapa buah buku.juga Beliau pernah menjadi Ketua Penerangan PAS di zaman Datik Asri Muda dan kemudian sebagai Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dari tahun 1982 hingga 2005 selain menjawat jawatan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan.

Wartawan UTUSAN BORNEO,ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang untuk menemubual Haji Subky Abdul Latif dalam kunjungannya ke Sabah baru-baru ini .Beliau sempat bercerita mengenai pengalamannya di Sabah .Ikuti petikan temubual bersama beliau.

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit penglibatan tuan haji dalam bidang kewartawanan?

HAJI SUBKY ABDUL LATIF: Saya memulakan kerjaya sebagai wartawan di Utusan Melayu mulai tahun 1963. Selepas itu, saya ke Berlin Barat untuk mengikuti diploma kewartawanan di Berlin Institute of Journalisme (Institut fur Journalismus). Sepanjang berada di Utusan Melayu, saya pernah membuat liputan lawatan Perdana Menteri, Tun Razak ke China pada 1974. Sebelum berhenti di Utusan Melayu, saya bertugas sebagai Pengarang Tajuk Rencana dan Penulis Pojok.

UB: Selepas berhenti dari Utusan Melayu, tuan haji bertugas di mana?

HAJI SUBKY: Saya mengasaskan akhbar seperti Suara Rakyat, Suara Merdeka, Harian Watan tetapi kemudian suratkhabar itu tidak berumur panjang kerana ditarik permitnya. Akhbar Watan adalah sebuah akhbar alternatif. Ia dilancarkan pada 1976 oleh Tan Sri Khir Johari. Selepas Watan, saya kemudian saya ikut mengasaskan akhbar Harakah sebagai lidah rasmi parti pada tahun 1978 ketika PAS dipimpin Allahyarham Dato Asri Haji Muda.

UB: Seperti yang dimaklumi, tuan haji rapat dengan pemimpin-pemimpin Sabah satu ketika dahulu. Siapa yang mula-mula bawa tuan haji ke Sabah?

HAJI SUBKY: Saya baik dengan orang-orang Usno dulu, pemimpin-pemimpin USNO. Saya dipelawa oleh Datu Aliudin Datu Harun untuk datang ke Sabah . Ramai orang-orang USNO baik dengan saya. Saya baik dengan Allayarham Tun Mustapha, dengan Datuk Mickey (Datuk KM Edinin) pejabat USIA, Datuk Din dan ramai lagi.

Kalau mereka datang ke KL, mereka datang singgah ke rumah saya. Masa itu, saya tahu mereka condong ke arah perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS, walaupun mereka juga rapat dengan UMNO.

Kalau Allahyarham, Datuk Abu Bakar Titingan ada di KL, beliau selalu panggil saya datang ke Hotel Federal, tempatnya menginap. Saya kenal dengan anak-anaknya, tapi waktu itu masih kecil. Datuk Tawfiq masa itu masih sekolah. Namun sejak masuk politik, saya tak pernah jumpa lagi. Dulupun, mereka masih kanak-kanak lagi. Tapi saya kawan bapa dia. Semua orang USNO baik dengan saya.

UB: Apa pandangan tuan haji terhadap Allahyarham Tun Mustapha?

HAJI SUBKY: Pada pandangan saya, Tun Mustapha hampir berjaya menyatukan bangsa Malaysia di Sabah. Almarhum Tengku dan Tun Razak tidak berjaya tapi Tun Mustapha hampir berjaya, tapi usaha Tun Mustapha gagal apabila beliau dijatuhkan sebagai ketua menteri. Dia boleh menyatukan rakyat Malaysia.

UB: Apa pandangan tuan haji terhadap dunia kewartawanan sekarang?

HAJI SUBKY: Dulu produk kita terhad. Suratkhabar tidak banyak. Tidak semua berita dapat disiarkan. Sekarang ini tiap tipa orang boleh jadi wartawan, boleh jadi penulis di media sama ada di suratkhabar,media sosial dan sebagainya. Sekarang ini semua di hujung jari. Hampir tak ada bakul sampah. Hanya kita yang memilih berita yang kita mahu baca.

UB: Bagaimana pandangan tuan haji terhadap etika kewartawanan sekarang?

HAJI SUBKY: Etika kewartawanan yang paling baik dalam dunia adalah Islam. Kalau kita jadikan penulisan kita sebagai ibadah, kita akan dapat pahala. Jika kita berpegang kepada etika yang diajarkan dalam Islam, kita tidak akan terpesong. Islam itu mengajar kita agar berdisiplin.

UB: Apa yang paling penting yang perlu diamalkan oleh wartawan?

HAJI SUBKY: Apa yang paling penting dalam dada seorang wartawan, ialah prinsip yang tidak teragak-agak untuk menyatakan kebenaran, Kita harus berani menyatakan kebenaran, walaupun kadang-kadang salah. Kalau akhirnya didapati tidak betul,kita kena akui kesalahan kita.

UB: Sekarang tuan haji masih menulis dalam akhbar?

HAJI SUBKY: Saya masih menulis dalam ruangan ‘Mens Sana in Corpore Sano’ di Harakah.merupakan istilah Latin yang bermaksud ‘akal yang sihat berada di dalam badan yang sihat.

UB: Apa buku terbaru yang tuan haji sedang tulis?

HAJI SUBKY: Saya sedang menyiapkan memoir ketiga. Memoir ketiga ini bertajuk Politik itu Manis, yang memaparkan penglibatan saya dalam dunia politik. Dalam buku Memoir pertama, Anak Apak, saya bercerita mengenai dunia kanak-kanak sehingga tempoh sebelum alam pekerjaan, manakala memoir kedua, Propaganda zaman menceritakan penglibatan saya dalam media. Sekarang saya sedang menyiapkan memoir ketiga bertajuk Politik itu Manis.

UB: Dah lama tak aktif dalam politik?

HAJI SUBKY: Saya melepaskan jawatan sebagai Jawatankuasa Kerja Pusat pada tahun 2005. Saya juga melepaskan jawatan sebagai Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan pada tahun 2005 iaitu sejak 10 tahun lalu.

UB: Apa sebab berundur dari politik?

HAJI SUBKY: Saya berundur dalam politik disebabkan pertama kerana saya uzur. Saya kena gout, sakit atas lutut selama kira-kira tujuh minggu, duduk atas katil saja. Jadi saya ambil keputusan berundur.

Kedua, saya rasa ilmu pengetahuan saya tidak mencukupi. Bagi saya seorang pemimpin Pas adalah seorang yang serba boleh. Ia bukan saja pandai dalam serba serbi, tapi dia juga boleh jadi imam, boleh mandikan jenazah, boleh baca talkin, boleh sembahyangkan orang mati.

Ketiganya, saya daripada mula lagi bergiat dalam Pas selalu duduk di peringkat atas. Saya dah merasa bagaimana orang atas melihat orang bawah.Sekarang saya nak merasa pula bagaimana orang bawa melihat orang atas. Jadi saya boleh menegur mereka.

UB: Bagaimana tuan haji melihat pertembungan antara golongan profesional dan golongan ulama dalam PAS?

HAJI SUBKY: Pada peringkat awal, golongan ulama dan golongan profesional tak ada masalah. Golongan ulama perlu golongan profesional manakala golongan profesional perlukan golongan ulama.

Saya lihat apa yang berbeza ialah kalau dulu, tak ada media yang membat liputan mengenai mesyuarat PAS. Sekarang, mesyuarat cawangan Pas di kampung terpencil pun mendapat liputan. Apa yang diputuskan oleh sesebuah cawangan PAS dapat liputan. Semua orang boleh buat berita,termasuk dalam media baru seperti media sosial dan sebagainya.

Dulu orang berkelahi tak mahu jadi pemimpin. Orang yang pandai tak mahu jadi pemimpin. Sekarang semua orang mahu jadi pemimpin termasuk orang yang tak pandai.