Jumaat, 19 Jun 2015

JANGAN TERAGAK-AGAK NYATAKAN KEBENARAN, KATA HAJI SUBKY ABDUL LATIF

Tags

JANGAN TERAGAK-AGAK NYATAKAN KEBENARAN, KATA HAJI SUBKY ABDUL LATIF

 

APA yang paling penting dalam dada seorang wartawan, ialah prinsip yang tidak teragak-agak untuk menyatakan kebenaran, kata Haji Subky Abdul Latif, seorang tokoh yang disegani dalam bidang kewartawanan di negara ini. Kita harus berani menyatakan kebenaran, katanya.

Tokoh yang tidak asing lagi di negara ini, terkenal bukan saja dalam bidang kewartawanan malah seorang tokoh yang banyak terlibat dalam banyak peristiwa sejarah, mempunyai hubungan yang baik dengan pemimpin-pemimpin negara termasuk bekas TYT dan Ketua Menteri Sabah, Tun Datu Mustapha Datu Harun dan ramai lagi. Beliau adalah wartawan yang mengiringi Perdana Menteri Malaysia, Tun Razak Hussein dalam lawatan sulungnya ke China pada 1974.

Haji Subky Abdul Latif dilahirkan di Sitiawan Perak pada 28 Julai 1940. Beliau memperolehi pendidikan Melayu dan Inggeris selain pendidikan agama di Gunung Semanggol Perak. Sebelum memulakan kerjaya sebagai wartawan di Utusan Melayu mulai tahun 1963. Beliau pernah menyertai kursus di Berlin Institute of Jurnalisme di Berlin, Jerman. Selepas berundur dari Utusan Melayu-ketika beliau berada dalam urutan ketiga selepas Tan Sri Mazlan Nordin dan Osman Abadi, beliau mengasaskan beberapa buah akhbar seperti Suara Rakyat, Suara Merdeka. Beliaujuga mengasaskan akhbar alternatif seperti Watan yang dilancarkan tahun 1976 oleh Tan Sri Khir Johari. Beliau juga turut mengasaskan Harakah pada 1978 sebagai lidah rasmi PAS. Beliau juga turut mengasaskan majalah seperti Sarina, Keluarga, Kisah Cinta dan kritikan.

Sebelum bersara dari dunia politik, Haji Subky Latif pernah bertanding dalam pilihan raya umum di Kubang Pasu menentang mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad tetapi tewas. Kali pertama beliau bertanding ialah pada tahun 1979 dalam pilihanraya kecil Pelabuhan Kelang pada 1 Disember 1979 berikutan kematian Tan Sri V.Manikavasagam, Menteri Buruh dan Presiden MIC pada masa itu. Setelah tewas dalam pilihanraya itu, beliau menulis buku Anak Jawa Pelabuhan Klang. Sehingga kini, Haji Subky sudah menghasilkan beberapa buah buku, termasuk memoir Anak Apak dan Propaganda Zaman.Kini beliau sedang menulis Memoir "Politik itu Manis". Setakat ini, beliau sudah menghasilkan beberapa buah buku.juga Beliau pernah menjadi Ketua Penerangan PAS di zaman Datik Asri Muda dan kemudian sebagai Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dari tahun 1982 hingga 2005 selain menjawat jawatan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan.

Wartawan UTUSAN BORNEO,ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang untuk menemubual Haji Subky Abdul Latif dalam kunjungannya ke Sabah baru-baru ini .Beliau sempat bercerita mengenai pengalamannya di Sabah .Ikuti petikan temubual bersama beliau.

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit penglibatan tuan haji dalam bidang kewartawanan?

HAJI SUBKY ABDUL LATIF: Saya memulakan kerjaya sebagai wartawan di Utusan Melayu mulai tahun 1963. Selepas itu, saya ke Berlin Barat untuk mengikuti diploma kewartawanan di Berlin Institute of Journalisme (Institut fur Journalismus). Sepanjang berada di Utusan Melayu, saya pernah membuat liputan lawatan Perdana Menteri, Tun Razak ke China pada 1974. Sebelum berhenti di Utusan Melayu, saya bertugas sebagai Pengarang Tajuk Rencana dan Penulis Pojok.

UB: Selepas berhenti dari Utusan Melayu, tuan haji bertugas di mana?

HAJI SUBKY: Saya mengasaskan akhbar seperti Suara Rakyat, Suara Merdeka, Harian Watan tetapi kemudian suratkhabar itu tidak berumur panjang kerana ditarik permitnya. Akhbar Watan adalah sebuah akhbar alternatif. Ia dilancarkan pada 1976 oleh Tan Sri Khir Johari. Selepas Watan, saya kemudian saya ikut mengasaskan akhbar Harakah sebagai lidah rasmi parti pada tahun 1978 ketika PAS dipimpin Allahyarham Dato Asri Haji Muda.

UB: Seperti yang dimaklumi, tuan haji rapat dengan pemimpin-pemimpin Sabah satu ketika dahulu. Siapa yang mula-mula bawa tuan haji ke Sabah?

HAJI SUBKY: Saya baik dengan orang-orang Usno dulu, pemimpin-pemimpin USNO. Saya dipelawa oleh Datu Aliudin Datu Harun untuk datang ke Sabah . Ramai orang-orang USNO baik dengan saya. Saya baik dengan Allayarham Tun Mustapha, dengan Datuk Mickey (Datuk KM Edinin) pejabat USIA, Datuk Din dan ramai lagi.

Kalau mereka datang ke KL, mereka datang singgah ke rumah saya. Masa itu, saya tahu mereka condong ke arah perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS, walaupun mereka juga rapat dengan UMNO.

Kalau Allahyarham, Datuk Abu Bakar Titingan ada di KL, beliau selalu panggil saya datang ke Hotel Federal, tempatnya menginap. Saya kenal dengan anak-anaknya, tapi waktu itu masih kecil. Datuk Tawfiq masa itu masih sekolah. Namun sejak masuk politik, saya tak pernah jumpa lagi. Dulupun, mereka masih kanak-kanak lagi. Tapi saya kawan bapa dia. Semua orang USNO baik dengan saya.

UB: Apa pandangan tuan haji terhadap Allahyarham Tun Mustapha?

HAJI SUBKY: Pada pandangan saya, Tun Mustapha hampir berjaya menyatukan bangsa Malaysia di Sabah. Almarhum Tengku dan Tun Razak tidak berjaya tapi Tun Mustapha hampir berjaya, tapi usaha Tun Mustapha gagal apabila beliau dijatuhkan sebagai ketua menteri. Dia boleh menyatukan rakyat Malaysia.

UB: Apa pandangan tuan haji terhadap dunia kewartawanan sekarang?

HAJI SUBKY: Dulu produk kita terhad. Suratkhabar tidak banyak. Tidak semua berita dapat disiarkan. Sekarang ini tiap tipa orang boleh jadi wartawan, boleh jadi penulis di media sama ada di suratkhabar,media sosial dan sebagainya. Sekarang ini semua di hujung jari. Hampir tak ada bakul sampah. Hanya kita yang memilih berita yang kita mahu baca.

UB: Bagaimana pandangan tuan haji terhadap etika kewartawanan sekarang?

HAJI SUBKY: Etika kewartawanan yang paling baik dalam dunia adalah Islam. Kalau kita jadikan penulisan kita sebagai ibadah, kita akan dapat pahala. Jika kita berpegang kepada etika yang diajarkan dalam Islam, kita tidak akan terpesong. Islam itu mengajar kita agar berdisiplin.

UB: Apa yang paling penting yang perlu diamalkan oleh wartawan?

HAJI SUBKY: Apa yang paling penting dalam dada seorang wartawan, ialah prinsip yang tidak teragak-agak untuk menyatakan kebenaran, Kita harus berani menyatakan kebenaran, walaupun kadang-kadang salah. Kalau akhirnya didapati tidak betul,kita kena akui kesalahan kita.

UB: Sekarang tuan haji masih menulis dalam akhbar?

HAJI SUBKY: Saya masih menulis dalam ruangan ‘Mens Sana in Corpore Sano’ di Harakah.merupakan istilah Latin yang bermaksud ‘akal yang sihat berada di dalam badan yang sihat.

UB: Apa buku terbaru yang tuan haji sedang tulis?

HAJI SUBKY: Saya sedang menyiapkan memoir ketiga. Memoir ketiga ini bertajuk Politik itu Manis, yang memaparkan penglibatan saya dalam dunia politik. Dalam buku Memoir pertama, Anak Apak, saya bercerita mengenai dunia kanak-kanak sehingga tempoh sebelum alam pekerjaan, manakala memoir kedua, Propaganda zaman menceritakan penglibatan saya dalam media. Sekarang saya sedang menyiapkan memoir ketiga bertajuk Politik itu Manis.

UB: Dah lama tak aktif dalam politik?

HAJI SUBKY: Saya melepaskan jawatan sebagai Jawatankuasa Kerja Pusat pada tahun 2005. Saya juga melepaskan jawatan sebagai Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan pada tahun 2005 iaitu sejak 10 tahun lalu.

UB: Apa sebab berundur dari politik?

HAJI SUBKY: Saya berundur dalam politik disebabkan pertama kerana saya uzur. Saya kena gout, sakit atas lutut selama kira-kira tujuh minggu, duduk atas katil saja. Jadi saya ambil keputusan berundur.

Kedua, saya rasa ilmu pengetahuan saya tidak mencukupi. Bagi saya seorang pemimpin Pas adalah seorang yang serba boleh. Ia bukan saja pandai dalam serba serbi, tapi dia juga boleh jadi imam, boleh mandikan jenazah, boleh baca talkin, boleh sembahyangkan orang mati.

Ketiganya, saya daripada mula lagi bergiat dalam Pas selalu duduk di peringkat atas. Saya dah merasa bagaimana orang atas melihat orang bawah.Sekarang saya nak merasa pula bagaimana orang bawa melihat orang atas. Jadi saya boleh menegur mereka.

UB: Bagaimana tuan haji melihat pertembungan antara golongan profesional dan golongan ulama dalam PAS?

HAJI SUBKY: Pada peringkat awal, golongan ulama dan golongan profesional tak ada masalah. Golongan ulama perlu golongan profesional manakala golongan profesional perlukan golongan ulama.

Saya lihat apa yang berbeza ialah kalau dulu, tak ada media yang membat liputan mengenai mesyuarat PAS. Sekarang, mesyuarat cawangan Pas di kampung terpencil pun mendapat liputan. Apa yang diputuskan oleh sesebuah cawangan PAS dapat liputan. Semua orang boleh buat berita,termasuk dalam media baru seperti media sosial dan sebagainya.

Dulu orang berkelahi tak mahu jadi pemimpin. Orang yang pandai tak mahu jadi pemimpin. Sekarang semua orang mahu jadi pemimpin termasuk orang yang tak pandai.