Friday, June 19, 2015

MENULISLAH DENGAN JUJUR DAN BENAR, KATA PAK NASRIE





MENULISLAH DENGAN JUJUR DAN BENAR, KATA PAK NASRIE


MENULISLAH dengan jujur dan benar, kata Pak Nasrie, wartawan veteran dari Makassar, Indonesia. Meskipun sudah bersara, wartawan terkemuka yang sering membuat liputan di Malaysia ini, masih menuangkan fikirannya dalam bentuk tulisan yang disiarkan di Harian Fajar, sebuah suratkhabar terbesar di Sulawesi. Menjadi wartawan itu tugas yang mulia, katanya. Mungkin kerana itulah, beliau yang kini diamanahkan sebagai Pengurus Operasi PT Fajar Agribisnis ini , masih juga menulis berita, di celah-celah kesibukannya bersama petani untuk produksi bibit padi.


HAJI MUHAMMAD NASRIE ABOE lahir di Makassar pada 17 April 1954. Anak kedua dari tujuh adik beradik ini menceburkan diri dalam bidang kewartawanan sejak usia mudanya. "Ketika melihat Presiden Sukarno berpidato di Pare-Pare, orang ramai diminta tidak boleh dekat dengan Presiden. Tapi wartawan boleh dekat dengan Presiden," katanya menceritakan bagaimana mulanya tertarik dengan kerjaya sebagai wartawan. "Tapi sepanjang karier saya sebagai wartawan, saya berbangga kerana dapat menulis untuk membantu orang-orang kecil, orang-orang miskin yang biasanya luput dari pemberitaan," kata anak lelaki kepada Aboe Bakar yang lebih dikenali sebagai Komandan Aboe dengan ibunya bernama Mustaharia.


Beliau mula menceburi bidang kewartawanan sejak 1985. Sebelum itu, beliau bekerja sebagai surveyor di Sucofindo, sebuah badan yang mengurus perlesenan beras. Beliau meninggalkan gaji yang lumayan untuk menjadi seorang wartawan kerana panggilan hati nurani.


Pada tahun 1985, beliau pernah bertugas sebagai wartawan lepas majalah Detektif dan Romantika di Samarinda sebelum balik ke Makassar.


Beliau juga pernah bertugas di Harian Tegas, sebuah akhbar petang sebelum menyertai akhbar Fajar, yang kini merupakan antara suratkhabar paling berpengaruh di luar pulau Jawa.


Mantan Ketua Persatuan Wartawan Indonesia (PWI) Pinrang ini sebelumnya adalah Setiausaha PWI Pare-Pare. Lulusan Akademi Jurnalistik Makassar ini pernah membuat liputan dalam pelbagai peristiwa penting yang terjadi sama ada di Makassar atau di kota-kota lain di Indonesia dan negara-negara Asean.


Ketika menjadi wartawan kanan di Harian Fajar, beliau adalah orang yang bertanggungjawab menubuhkan Pare Pos pada 1999, yang kini berkembang maju. Selepas berkhidmat sebagai wartawan kanan di Harian Fajar, beliau bersara pada tahun 2014. Namun kemudian beliau dilantik pula sebagai Pengurus Operasi PT Fajar Agribisnis (Fajar Group). Beliau mendirikan rumahtangga dengan Salwiyah, kini Ketua Bahagian Arkib Nasional di Perpustakaan Negara di Pinrang dan dikurniakan tiga cahaya mata.


Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemubual Haji Muhammad Nasrie Aboe di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda Surabaya ketika melakukan kunjungan jurnalistik di Jawa Tengah dan Jawa Timur baru-baru ini. Ikuti petikan wawancara bersama Pak Nasrie mengenai penglibatannya dalam budang kewartawanan dan sebagainya.


UTUSAN BORNEO: Bolehkan Pak Nasrie beritahu sejak bila berkecimpung dalam bidang kewartawanan?


HAJI MUHAMMAD NASRIE ABOE (PAK NASRIE): Saya memulakan karier kewartawanan di Harian Tegas, iaitu sebuah suatkhabar yang terbit sebelah petang hari di kawasan Indonesia Timur. Selepas itu saya menjadi Wartawan Harian Fajar, kemudian diberi kepercayaan membangun suratkhabar Harian Pare pos, anak syarikat Fajar iaitu suratkhabar Harian Pertama Kota Madya parepare pada tahun 1999. Kemudian disusuli dengan kelahiran beberapa media lain iaitu Palopo Pos, Mamuju (Radar Sulbar) hingga Fajar Koran Holding mengembangkan Kendari Pos dan Radarpalu. Saya merasa bangga kerana wartawan yang saya didik memimpin radar Sulbar.


UB: Selama jadi wartawan, apa yang membuat Pak Nasrie gembira?


PAK NASRIE: Selama saya jadi wartawan, saya puas dan gembira kerana dapat membantt masyarakat bawahan, masyarakat miskin, memperjuangkan mereka, meski hanya dalam bentuk tulisan.


UB: Apa di antara kes yang pernah pak Nasrie tulis?


PAK NASRIE: Antaranya termasuklah kes Basre Masse yang dihukum gantung di Penjara Kepayan Kota Kinabalu satu ketika dulu. Selain itu, kes melibatkan Kadafi, warga kabupaten Soppeng yang terkena kes mutilasi di Kuching kerana gangguan jiwa. Beliau terlepas dari hukuman setelah menjalani rawatan khusus di rumah sakit jiwa di Kuching, Sarawak. Setelah sembuh, beliau dideportasi balik ke Indonesia.


UB: Apa yang menyebabkan Pak Nasrie tertarik kepada kerjaya sebagai wartawan?


PAK NASRIE: Menjadi wartawan itu tugas yang mulia. Saya suka menulis mengenai orang-orang kecil, itu yang mendorong saya menjadi wartawan.


UB: Bagaimana minat itu bertunas?


PAK NASRIE: Sewaktu kecil di Pare-Pare, saya tertarik melihat Presiden Sukarno berpidato. Waktu itu, ayah saya, Aboe Bakar yang lebih dikenali sebagai komandan Aboe bertugas di Pare-Pare. Sewaktu Pidato Sukarno, saya melihat wartawan tempoe doloe. Orang semua diusir, tidak boleh dekat, tetapi wartawan boleh dekat. Dari sana saya melihat betapa istimewanya menjadi wartawan.


Saya juga suka mendengar siaran radio, terutama siaran Acara Bahasa Indonesia setiap jam 5.00 subuh yang disiarkan dari Radio Australia. Bila radio itu rosak, saya memperbaikinya sendiri. Saya pernah bersekolah di sekolah teknik di Pare-Pare. Itu sebabnya saya boleh memperbaiki radio. Dulu bentuk radio lebih besar berbanding sekarang.


Sejak itu saya minat menulis berita. Sebelum itu, saya bekerja sebagai surveyor di Sucofindo, sebuah badan yang mengurus perlesenan beras. Saya meninggalkan gaji yang lumayan untuk menjadi seorang wartawan kerana panggilan hati nurani.


Pada tahun 1985, saya pernah bertugas sebagai wartawan lepas majalah Detektif dan Romantika di Samarinda sebelum balik ke Makassar.


Kemudian saya bertugas di Harian Tegas, sebuah akhbar petang sebelum menyertai akhbar Fajar, yang kini merupakan antara suratkhabar paling berpengaruh di luar pulau Jawa.


UB: Saya tertarik dengan kes Basri Masse itu. Boleh ceritakan semula, bagaimana Pak Nasrie boleh tahu mengenai perkara itu?


PAK NASRIE: Satu hari, saya berkunjung ke rumah kerabat saya. Saya memerhati seorang wanita kelihatan murung dan susah hati.Ketika ditanya, ternyata perempuan itu adalah isteri kepada Basri Masse, seorang warga Indonesia yang pada ketika itu menghadapi hukuman gantung di Malaysia. Kemudian setelah berbicara dengan beliau, saya meminta surat-surat yang dikirimkan oleh Basri. Di sana saya tahu duduk perkaranya. Basre Masse mengadapi hukuman gantung di penjara Kepayan, tetapi keluarganya baru tahu. Saya akhirnya mulai menulis mengenai berita itu. Saya terbang ke Sabah, untuk mencari berita. Saya ingat pada masa itu, kami terpaksa menjual vespa Pak Alwi Hamu untuk ongkos perbelanjaan ke Sabah. Ini bentuk kepedulian kita. Rupanya bukan Basri yang melakukan sebaliknya orang lain, tetapi beliau terpaksa mengaku atas alasan yang tersendiri.


UB: Kemudian , apa kelanjutan cerita itu?


PAK NASRIE: Kisah Basri ini mendapat perhatian publik di Indonesia. Nasib yang menimpa keluarganya mendapat perhatian. Sehingga Mbak Tutut, anak perempuan Presiden Suharto memberikan bantuan sehingga anak Basre Masse ini dapat meneruskan kuliahnya hingga sarjana. Kini anaknya itu menjadi doktor di Palu. Kisah Basri Masse inijuga berjaya menaikkan jumlah cetakan Harian Fajar dan turut mengangkat wibawa suratkhabar itu.


UB: Peranan suratkhabar amat penting dalam memberikan kesedaran kepada masyarakat. Bagaimana pendapat Pak Nasrie?


PAK NASRIE: Melalui suratkhabar, penderitaan wanita itu didedahkan dan mendapat simpati. Saya banyak melihat dan menulis mengenai masyarakat kecil yang terabaikan. Ada satu lagi peristiwa yang tidak dapat dilupakannya iaitu Kes Minasa, yang dituduh selingkuh oleh suaminya.


Minasa dimarahi dan dituduh berselingkuh kerana keadaan perutnya yang besar, disangka hamil. Tetapi ketika diselidiki terbukti bahawa wanita itu sebenarnya menderita penyakit barah. Akhirnya setelah diperiksa doktor, wanita itu disahkan menghidap tumor atau barah.


Wanita itu ada penyakit, hanya kerana ia orang kecil, yang tidak punya apa-apa, ia dimarahi dan dituduh kerana perutnya kelihatan hamil, padahal ia menderita barah.Perkara seperti inilah yang menjadi perhatian saya.


Ekoran daripada itu kami dan kawan kawan menubuhkan tabung Minasa. Di sana, sumbangan masyarakat mengalir termasuk mendapat perhatian daripada Ibu Nani Wijaya.


Akhirnya, melalui keprihatinan masyarakat, wanita itu menjalani pembedahan. Baki wang yang dikumpulkan melalui Tabung yang dinamakan Dompet Minasa itu digunakan untuk membeli rumah dan mesin jahit untuk Minasa.


Kalau bukan wartawan, mana mungkin kisah orang kecil itu diketahui masyarakat luas.Perkara orang-orang kecil inilah yang perlu mendapat perhatian semua pihak.


UB: Mungkin ada pengalaman yang kurang enak sepanjang menjadi wartawan?.


PAK NASRIE: Sewaktu mula-mula menjadi wartawan, saya selalu ditanya dan disindir "mengapa kau pilih jadi wartawan?Malah ada yang bilang wartawan gajinya hanya senin-kamis (Isnin-Khamis) yang maksudnya kecil.


Saya menjadi wartawan kerana dengan menjadi wartawan,saya bisa membantu masyarakat kecil, saya memberitahu mereka. Profesi wartawan ini kalau kerja demi kepentingan masyarakat luas,amatlah baik tetapi kalau tidak untuk kepentingan sendiri, dia boeh jatuh sendiru.


UB: Boleh Pak Nasrie ceritakan ketika mula-mula menubuhkan akhbar Pare Pos?


PAK NASRIE: Suratkhabar Pare Pos mula diterbitkan pada tahun 1999. Modalnya hanya tiga komputer. Saya mendapat ilham ketika berada di Australia, ada suratkhabar yang diterbitkan dan diedarkan secara percuma. Kosnya ditanggung oleh pengiklan dalam suratkhabar itu. Saya katakan sebelum suratkhabar lain mengalahkan kita, ada baiknya kita terbitkan suratkhabar di daerah-daerah. Ketika mahu memulakan penerbitan Pare Pos adalah saat yang amat sukar sekali. Setiap jam 5.00 petang, semua berita sudah siap ditulis dan dimasukkan dalam disket untuk dihantar ke Makassar. Tiba di sana kira-kira jam 9.00 malam dengan perjalanan menggunakan kereta. Selepas itu, ia dicetak. Habis cetak kira-kira jam 12.00 tengah malam. Ia kemudian diangkut lagi ke Pare-Pare. Jam 5.00 pagi, suratkhabar sudah sampai di Pare-Pare. Tapi sekarang sudah pakai internet. Akhirnya lebih mudah, hanya guna online, tidak pakai mobil lagi.


Selepas Pare Pos, Fajar berkembang dan menerbitkan Radar Bone, Radar Sul bar, radar Bulukomba, yang semuanya bermula daripada idea Pare-Pare Pos.


UB: Siapa wartawan di Indonesia yang seangkatan dengan Pak Nasrie?


PAK NASRIE: Antaranya, Syahril Makurade, Sinacari Ecip dan Dahlan Iskan. Waktu itu mereka menjadi koresponden Tempo. Sinancari di Makassar, Dahlan di Kalimantan Timur manakala saya waktu itu masih di Harian Tegas.


UB: Saya difahamkan Pak Nasrie sering membuat liputan ke Malaysia khususnya di Sabah. Biila kali pertama pak Nasrie ke Sabah?


PAK NASRIE: Kali pertama saya ke Sabah ialah ketika zaman pemerintahan Datuk Haris Salleh. Saya sempat ikut beliau naik helikopter untuk meninjau perkebunan. Tapi selepas itu, kami tidak dapat berhubung lagi.


UB: Apa yang menarik di Sabah, kalau menurut Pak Nasrie?


PAK NASRIE: Ada banyak destinasi yang boleh dijadikan objek pelancongan tetapi belum dieksploitasi sepenuhnya. Saya pernah melalui Jalan Kimanis-Keningau dan disana, mereka sengaja memberhentikan kereta untuk menguji medan magnet yang terdapat di sana.


Kereta yang kami naiki itu di berhentikan arah ke bawah tetapi melaju ke atas ditarik oleh medan magnet walaupun sepatutnya ia meluncur ke bawah. Kawasan itu boleh dijadikan tempat pelancongan. Medan magnet itu lebih kuat berbanding dengan medan magnet yang terdapat di Arab Saudi.


Tetapi saya melihat, tempat itu dibiarkan saja tanpa diberikan perhatian, sehingga ramai orang Sabah sendiri yang tidak tahu mengenai kewujudannya.Sedangkan medan magnet yang sama terdapat di Arab Saudi berjaya menarik pengunjung yang ramai.


Lokasi medan magent di Jalan Kimanis itu lebih baik berbanding dengan yang ada di Arab saudi kerana dari sana kita boleh melihat pemandangan gunung yang indah.


UB: Apa harapan pak Nasrie?


PAK NASRIE: Saya berharap hubungan antara Harian Fajar, salah satu akhbar yang bergabung di bawah panji Jawa Pos dan Utusan Borneo, akhbar terbesar dan terkemuka di Sabah dan Sarawak akan dapat menjalin hubungan muhibbah yang lebih akrab.


Selain itu, saya juga mengharapkan program pertukaran berita antara kedua-dua akhbar itu akan dapat dilaksanakan kerana ia dapat memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak, apatahlagi terdapat ramai warga Malaysia khususnya berketurunan Bugis yang mempunyai leluhur di Sulawesi. Saya perhatikan Utusan Borneo mempunyai ramai peminat dan pelanggan kerana isi beritanya yang pelbagai, bebas dan banyak memberikan maklumat kepada golongan pembacanya.


UB: Bila Pak Nasrie bersara?


PAK NASRIE: Saya bersara pada awal 2014.


UB: Selepas bersara, apa yang pak Nasrie lakukan untuk mengisi masa lapang?


PAK NASRIE: Selepas bersara, saya diamanahkan untuk menjadi Manager Operasional PT Fajar Agribisnis,sebuah anak syarikat Fajar Group iatu Kerjasama Fajar dengan perusahaan Daerah Kerajaan Pemerintah kabupaten Pinrang atas persawahan seluas 43.3 hektar di desa Sikuala, Kecamatan Lima, Kabupaten Pinrang dengan matlamat memproduksi bibit padi dan beras non toksik.. Projek ini adalah menjadikan sawah sebagai sebagai penangkar benih serta padi produksi beras berkualiti tinggi. Dalam mesyuarat baru-baru ini, Pak Alwi Hamu, Pengerusi Fajar mengatakan "sejak dahulu saya percaya Nasri Aboe mampu bekerja bersama petani hingga kelak agrisisnis kita ini akan cemerlang seperti saat dia menjadi wartawan membesarkan harian Fajar.


Insya Allah untuk beras non toksik, kita akan melirik pasar Malaysia sedang kan produksi bibit mengutamakan melayani petani di Pinrang dengan luas 58,700 hektar atau kira-kira 117,400 hektar untuk dua kali musim menanam setahun.


UB: Akhir sekali, menurut pak Nasrie, apa peranan yang boleh dimainkan media dalam mengukuhkan hubungan bilateral Indonesia dan Malaysia?


PAK NASRIE: Seharusnya media Indonesia dan Malaysia sangat berperanan memberikan gambar yang jujur dan pasti.Kerana medialah yang menjadi raja dan ratu informasi dunia. Tentu kedua dua jurucakap Malaysia dan Indonesia harus mengadakan pendekatan bagi mengelakkan salah faham.


UB: Apa falsafah hidup Pak Nasrie?


PAK NASRIE: Biarkanlah saya bersuasah payah asalkan masyarakat kecil bisa tertolong. Saya sudah puas dengan tulisan saya membantu warga miskin. Inilah hal-hal yang menjadi kebanggaan saya. Walaupun dahulu, saya melempar berita kini melempar bibit padi di hamparan sawah pertanian bersama petani, saya menganggap tugas wartawan adalah tugas yang mulia.


 

 


 


 


 


 

 


 


 


 


 

No comments: