Friday, June 19, 2015

SS ALFADHIL USTAZ ABUHURAIRA ABDURRAHMAN, MUFTI BESAR MINDANAO




SS ALFADHIL USTAZ ABUHURAIRA ABDURRAHMAN, MUFTI BESAR MINDANAO

KETIKA tiba di Petagas, Ulama dan pemikir Islam yang terkenal itu sudah lama menunggu ketibaan kami. Kebetulan beliau sedang berada di Sabah untuk melawat cucunya yang baru lahir. Sekembalinya ke Mindanao pada tahun 2012, selepas berkhidmat selama 38 tahun dalam bidang dakwah di Malaysia, beliau dilantik sebagai Mufti Besar Mindanao (Bangsamoro Grand Mufti)

Ustaz Abuhuraira Abdurrahman lahir di Kitango, Dulawan (kini dikenali senagai Datu Piang), Wilayah Cotabato, Mindanao pada 3 Mac 1942. Beliau mendapat pendidikan awal di Kitango Primary School makala pelajaran menengah di Dulawan Central Elementary School sebelum melanjutkan pelajaran di Cotabato High School pada 1948-1958.

Beliau memperolehi pendidikan agama di Madrasah Rashidah (sekarang Ma'ahad Al Rahmaniyah,Maganoy, Sharif Aguak , Maguindanao pada 1958-1964. Abuhuraira dilahirkan dalam keluarga yang taat beragama.Malah sebelum usianya mencecah enam tahun, beliau sudah boleh menghafaz beberapa surah dalam Al-Quran.

Selepas itu, Ustaz Abuhuraira melanjutkan pengajian di Fakulti Dakwah dan Usuluddin, Universiti Islam Madinah bermula tahun 1964 sehingga mendapat `Al-Ijazah Al-Aliah ' pada 1971.

Bagaimanapun hasratnya untuk melanjutkan pelajaran di peringkat MA di Mc Gill University Canada tidak kesampaian kerana panggilan perjuangan di tanahairnya.

Sekembalinya ke Mindanao, beliau dilantik sebagai Pengarah Ma'ahad Al Rahmaniah, Maganoy, Sharif Aguak pada 1971 hingga 1972.

Beliau sempat bergerila menentang rezim pemerintahan Marcos tetapi beliau ditugaskan dalam bidang diplomasi kerana kefasihannya berbahasa Inggeris, Arab, Melayu dan Tagalog selain menguasai pelbagai bahasa tempatan bahasa ibundanya Maguindanao, Maranao, Davaonon dan Sulug.

Pada tahun 1974 hingga 1986,, beliau bergiat sepenuh masa daalam bidang dakwah. Beliau berkhidmat sebagai penyampai Suara Malaysia di RTM. Bagaimanapun Pada tahun 1986, beliau mendapat tawaran daripada Darul Iftah Arab Saudi sebagai mubaligh. Beliau adalah seorang pendakwah yang terkenal, pernah menyertai pelbagai persidangan Islam di peringkat antarabangsa. Beliau juga pernah bertemu dengan pemimpin terkemuka dalam dunia Islam seperti Prof Necmettin Erbakan dan KH Abdul Rahman Wahid. Selepas itu, beliau dilantik pula sebagai Pengarah Dakwah Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) sehinggalah beliau mengundurkan diri pada tahun 2012.

Apabila MILF dan Kerajaan Filipina menandatangani Framework Agreement On The Bangsamoro pada 15 Oktober 2012, beliau memutuskan untuk bergiat dalam bidang dakwah di tanah kelahirannya. Beliau kemudian dilantik menjadi Mufti Besar Mindanao.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemuramah beliau ketia beliau bercuti ke Sabah untuk menjenguk cucunya yang belum ditemuinya lagi. Ikuti petikan temubual bersama beliau mengenai sedikit kisah hidupnya sepanjang bergiat dalam bidang dakwah dalam usianya yang kini mencecah 73 tahun

UTUSAN BORNEO: Terima kasih kerana sudi menerima pelawaan kami untuk sesi temubual Ruangan Sembang Sabtu Utusan Borneo. Kami rasa berbesar hati kerana ustaz sudi ditemubual. Kami ingin tahu mengenai keadaan umat Islam di Mindanao, bagaimana keadaan hidup mereka dan sebagainya. Boleh ustaz beritahu sedikit mengenai keadaan umat Islam di sana?

USTAZ ABUHURAIRA: Sejak Barisan Pembebasan Islam Moro atau dalam bahasa Inggerisnya Moro Islamic Liberation Front (MILF) menandatangani perjanjian Framework Agreement on The Bangsamoro pada 25 Oktober 2012, harapan umat Islam untuk menikmati keamanan dan kedamaian semakin besar.

Ramai di kalangan masyarakat Islam di Mindanao masih ketinggalan dalam serba serbi. Tidak banyak pembangunan dan kemajuan yang dikecapi oleh masyarakat. Tetapi dengan adanya FAB, harapan umat Islam di Mindanao semakin cerah. Perundingan demi perundingan yang difasilatator oleh Kerajaan Malaysia diadakan sehingga FAB ditandatangani pada 25 Oktober 2012. Saya turut serta dalam peristiwa bersejarah itu, malah saya dijemput untuk membaca doa pada majlis menandatangani perjanjian FAB yang disaksikan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak. Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman.

Proses seterusnya adalah merangka Bangsamoro Basic Law (BBL) yang kini sudah berada di peringkat senate. Seperti yang diharapkan semua, kita berharap BBL itu diluluskan sebelum 2016 iaitu sebelum tempoh Presiden Benigno Noynoy Aquino berakhir. BBL ini adalah satu undang-undang yang merangkumi semua umat Islam di Mindanao.

UB: Berapa jumlah penduduk umat Islam di Filipina sekarang?

USTAZ ABUHURAIRA: Jumlah umat Islam di Mindanao dianggarkan kira-kira 20 juta orang. Tetapi jumlah sebenar tidak diketahui kerana belum ada bancian dilakukan hingga ke daerah-daerah pedalaman.

UB: Bagaimana perasaan Ustaz selepas pulang ke tanah kelahiran setelah sekian lama berdakwah di luar negeri?

USTAZ ABUHURAIRA: Saya rasa gembira. Memang saya sudah lama ingin pulang untuk berkhidmat dengan masyarakat Islam di sana tetapi keadaan belum mengizinkan waktu itu kerana masih ada tugas-tugas yang perlu diselesaikan.

UB: Bila ustaz pulang ke Cotabato?

USTAZ ABUHURAIRA: Selepas Framework Agreement on The Bangsamoro (FAB) ditandatangani di Istana Malacanang pada 15 Oktober 2012, saya kembali ke Cotabato. Sebagai seorang ahli jawatankuasa pusat, saya melapor bahawa saya sudah pulang ke Mindanao dan bersedia menggalas apa saja tugas yang termampu untuk dilakukan. Kemudian saya diminta untuk menjawat jawatan Mufti Besar Mindanao. Mufti yang ada mengundurkan diri.Mulanya saya enggan kerana saya rasa saya masih baru disana dan sudah lama meninggalkan Mindanao.

UB: Jika dibandingkan dengan keadaan ketika bertugas di Sabah mana yang lebih sibuk?

USTAZ ABUHURAIRA: Di sana kegiatan saya agak sibuk juga. Setiap hari saya menerima undangan untuk menyampaikan ceramah di pelbagai masjid, kolej dan universiti di sana. Jadual saya agak ketat. Hampir setiap hari ada juga orang yang terdiri dari pelbagai kalangan termasuk pemimpin yang datang untuk meminta nasihat mengenai pelbagai hal.

Malah sewaktu perundingan masih berlangsung,kami selalu dihubungi oleh Pengerusi Jawatankuasa Perunding MILF, Mohagher Iqbal dari Kuala Lumpur untuk meminta pendapat atau persetujuan untuk sesuatu perkara walaupun waktu tengah malam. Sebagai Ahli Jawatakuasa Pusat, saya selalu bersama Pengerusi Al Haj Murad Ebrahim sentiasa bersedia jika terdapat panggilan telefon dari Mohagher yang meminta persetujuan mengenai perundingan yang berkaitan dengan kepentingan bangsamoro.

UB: Apa tugas-tugas yang diamanahkan kepada Mufti Besar?

USTAZ ABUHURAIRA: Sebagai Mufti, saya bukan saja bertanggungjawab untuk memberikan fatwa tetapi juga saya juga diminta memastikan soal makanan halal. Untuk ini, jika BBL sudah dilaksanakan, kami akan menjadikan JAKIM sebagai contoh dalam soal menetapkan halal haram.

UB: Bagaimana bentuk pemerintahan Kerajaan Bangsamoro yang akan diperkenalkan kelak di Mindanao?

USTAZ ABUHURAIRA: Sistem yang digunakan ialah assymetrik dengan kerajaan Filipina, Ada satu ketua menteri dan dua timbalan ketua menteri memandangkan wilayah Mindanao dan Sulu adalah amat besar sekali. Bangsamoro Basic Law (BBL) itu pula bersifat inklusif, melibatkan semua masyarakat Islam. Tiada yang akan dipinggirkan. BBL melibatkan semua, untuk kepentingan semua.

UB: Bagaimana pula sambutan masyarakat terhadap ustaz di sana?

USTAZ ABUHURAIRA: Sambutan masyarakat Islam di sana amat baik walaupun saya meninggalkan Mindanao untuk bergiat dalam bidang dakwah selama kira-kira 38 tahun yakni sejak tahun 1974. Hampir setiap hari ada undangan ceramah. Malah hubungan dengan masyarakat lain juga amat baik. Satu ketika, saya menyampaikan khutbah nikah ketika majlis perkahwinan salah seorang cucu saya, anak kepada zamjani Ampatuan di Davao. Sewaktu saya menyampaikan khutbah dalam bahasa Inggerus ia menarik perhatian, Father Marcelo. Beliau datang kepada saya kerana tertarik dengan comparative religion yang mampu meningkatan pemahaman mereka terhadap agama Islam.

Selain itu, saya juga dapat mengurangkan perselesihan keluarga akibat apa yang dinamakan `rido' dalam masyarakat di sana. Saya menyampaikan apa yang dinyatakan dalam Quran dan meminta mereka berbaik-baik. Alhamdulillah, banyak kes rido dapat diselesaikan.

UB: Oh ya berbalik kepada soal persekolahan. Saya difahamkan Ustaz adalah antara orang pertama dari Mindanao yang belajar di Madinah. Siapa lagi selain Ustaz?

USTAZ ABUHURAIRA: Ustaz Ismail Kalalagan, dan Duli Ahmad, Ustaz Salamat Hashim, Daud Taiwan dan lain-lain. Hashim Noh, Ali Ismail

UB: Dimana Ustaz melanjutkan pelajaran?

USTAZ ABUHURAIRA: Saya melanjutkan pengajian di Fakulti Dakwah dan Usuluddin, Universiti Islam Madinah bermula tahun 1964 sehingga mendapat `Al-Ijazah Al-Aliah ' pada 1971. Saya juga belajar Ilmu Perbandingan Agama di Baitul Maqdis selama enam bulan.

UB: Siapa antara rakan Ustaz sewaktu belakar di Madinah?

USTAZ ABUHURAIRA: Antara rakan satu universiti di Universiti Islam Madinah ialah Ustaz Datuk Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS. Beliau rapat dengan saya. Sewaktu dulu, beliau pernah menjemput saya untuk menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Rusila. Selepas iru, dibawanya saya ke rumahnya untuk dijamu. Kami makan di dapur, sama seperti yang dilakukan ketika kami belajar di Madinah. Beliau suka goreng keropok. Selain beliau, Datuk Dr Abdullah Md Zin, belas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, juga rakan seuniversiti, Ustaz Haji Harun Taib, mantan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Haji Ismail Abbas, mantan Mufti Negeri sabah juga adalah rakan seuniversit.

UB: Tiada hasrat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi pada waktu itu?

USTAZ ABUHURAIRA: Sebenarnya saya sudah mendapat biasiswa dan tawaran untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perbandingan agama di McGill University Canada. Tetapi Ustaz Salamat Hashim datang dan mengatakan walaupun menuntut Ilmu itu penting tetapi kami wajib kita pulang untuk membantu saudara-saudara kita dari kekejaman Ilaga, yang banyak menganiaya umat Islam.

Sekembalinya ke Mindanao, saya dilantik sebagai Pengarah Ma'ahad Al Rahmaniah, Maganoy, Sharif Aguak pada 1971 hingga 1972.

UB: Untuk rekod, bolehkah Ustaz nyatakan siapa antara pengasas yang menubuhkan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF)?

USTAZ ABUHURAIRA: Antaranya Ustaz Salamat Hashim, Daud Taiwan, Nur Misuari, saya sendiri, Dr Salleh Long, Abdullah Camlian. Sewaktu dulu, saya pernah ikut bergerila dalam hutan selama lebih tiga tahun di Kem Omar Khattab. Namun kemudian, saya ditugaskan dalam bidang diplomasi kerana kebolehan saya dalam menguasai banyak bahasa seperti bahasa Inggeris, Arab, Melayu dan Tagalog selain menguasai pelbagai bahasa tempatan seperti Maguindanao, Maranao, Davaonon dan Sulug.

UB: Selepas itu, dimana Ustaz bertugas?

USTAZ ABUHURAIRA: Pada tahun 1974, saya bergiat sepenuhnya dalam bidang dakwah. Saya berkhidmat sebagai penyampai radio Suara Malaysia di RTM dari tahun 1974 hingga 1986. Selepas itu, pada tahun 1986, saya mendapat tawaran daripada Darul Iftah Arab Saudi sebagai mubaligh. Apabila bersara dari Darul Iftah, saya dilantik pula sebagai pegawai dakwah kemudian sebagai Pengarah Dakwah Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) sehinggalah mengundurkan diri pada tahun 2012.

UB: Ketika bertugas dengan USIA, apa kenangan bersama almarhum Tun Datu Haji Mustapha?

USTAZ ABUHURAIRA: Almarhum Tun Mustapha adalah seorang pemimpin yang sangat baik. Sangat prihatin terhadap perjuangan dan dakwah Islam. Sewaktu berkhidmat di USIA, setelah mengetahui saya fasih berbahasa Arab,beliau pernah membawa saya ke Arab Saudi untuk berjumpa dengan Raja Fahd.

Begitu juga Tun Datuk Seri Panglima Haji Sakaran Dandai. Beliau jugaadalah seorang pemimpin yang baik dan begitu prihatin sekali.

UB: Apa beza jika dibandingkan ketika bertugas di sabah dulu dengan di Mindanao sekarang?

USTAZ ABUHURAIRA: Di Sabah, saya rasa bebas untuk bergerak ke mana saja. Tetapi di Mindanao, sya dikawal oleh tiga hingga lima orang pengawal untuk memastikan keselamatan saya sentiasa terjamin.

UB: Ustaz masih menulis buku?

USTAZ ABUHURAIRA: Saya sedang menyiapkan buku mengenai Islamic Leadership. Sewaktu berada di sini dulu, saya sempat menerbitkan sebanyak enam buku mengenai dakwah Islam seperti Method of Islamic Da'awah, Back to Quran , Allegation against Islam and How I Refute Them dan sebagainya.

UB: Oh ya. Menyentuh soal makanan pula.Apa makanan favorit Ustaz?

USTAZ ABUHURAIRA: Saya suka makan ikan haruan. Dari dahulu saya memang suka makan ikan haruan.

UB: Apa tujuan lawatan ke Sabah?

USTAZ ABUHURAIRA: Sebenarnya saya bercuti untuk menjenguk cucu saya yang baru lahir.Walaupun begitu, saya dijemput untuk memberikan khutbah di masjid. Mulanya saya agak enggan kerana tidak ada tauliah, tetapi kariah masjid mengenali saya kerana berkhidmat selama 38 tahun sebagai pendakwah Islam di Sabah.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


No comments: