Friday, June 19, 2015

Wawancara dengan Prof Emiritus Dato Dr Hajah Asmah Haji Omar

PERKEMBANGAN bahasa Melayu di negara ini tidak dapat dipisahkan dengan salah seorang tokoh penting yang banyak memberi sumbangan dalam hampir semua bidang kajian bahasa Melayu. Profesor Emiritus Dato Dr Hajah Asmah Haji Omar ,bukan saja memberikan sumbangan dalam dunia akademik dan kesarjanaan, malah beliau juga turut menganggotai beberapa jawatankuasa penting dalam membina bahasa Melayu sebagai bahasa moden, bahasa ilmu dan bahasa saintifik. Pakar linguistik yang disegani ini menghasilkan lebih 60 buah buku akademik dalam bidang linguistik yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),Universiti Malaya dan Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya.

Prof Emiritus Dato Dr Asmah Haji Omar dilahirkan di Jitra, Kedaj pada 5 Mac 1940. Ayahnya adalah seorang guru madrasah dan pernah menjadi wakil rakyat dan anggota Exco Kerajaan Negeri Kedah ketika zaman aswal kemerdekaan. Beliau mendapat pendidikan rendah dan menengah di Kedah sebelum meneruskan pengajian di Universiti Indonesia sehingga mendapat ijazah Sarjana Muda dan Sarjana Sastera. Selepas itu, beliau terbang ke England untuk melanjutkan pengajian di University of London sehingga mendapat ijazah PhD dalam bidang General Linguistics.

Sepanjang kerjayanya, beliau pernah bertugas sebagai Penolong Pensyarah, Jabatan Pengajian Melayu Universiti Malaya (1963), Pensyarah Jabatan Pengajian Melayu Universiti Malaya (1966), Pengarah Pusat Bahasa Universiti Malaya, Profesor Madya, Universiti Malaya (1972), Timbalan Naib Canselor (perjawatan) Universiti Malaya (1983), Profesor Linguistik Melayu, Universiti Malaya (1976-1995), Profesor Kontrak, Universiti Malaya (1995-2000),Dekan Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya, Pensyarah Jemputan Pusat Pembinaan Bahasa dan Perkembangan Bahasa Jakarta Indonesia (1977), Pensyarah Jemputan Institute of Linguistics, University of Hawaai (1977), Profesor Pelawat University of Qatar (Mac 1979-April 1979), Profesor Pelawat Center for Southeast Asian Language and Cultures Mahidol University, Bangkok (Mei1978), Profesor Pelawat Fulbright untuk rancangan SEASSI, Northern Illinois University (2 Jun 1987-23 Ogos 1987). Beliau juga adalah Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (1977-1979), Presiden Persatuan Bahasa Malaysia Moden (1986-1994), Jawatankuasa bahasa Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia (1980-1986), Jawatankuasa Penyelaras Gabungan Sains dan Sains Sosial DBP (sejak 1978) Pengarah Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim Perak.

Beliau menerima anugerah gelaran Doktor Persuratan (D.Litt) dalam lingustik Melayu dari Universiti Malaya pada tahun 1998 kerana sumbangannya yang amat besar dalam bidang kesarjanaan ilmu linguistik di Malaysia, Profesor Emeritus daripada Universiti Malaya pada tahun 2000. Beliau turut dianugerahi Doktor Persuratan Kehormat dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2006. Beliau juga terkenal sebagai pakar bahasa yang sering menyumbangkan tulisan dalam bidang tatabahasa Melayu dan perancangan bahasa Melayu yang melibatkan kepakaran sosiolinguistik, etnolinguisik dan sebagainya.

Sebagai mengenang sumbangan dan jasa baktinya, beliau dianugerahkan Ahli Mangku Negara (A.M.N.) pada tahun 1973, Setia DiRaja Kedah (S.D.K.) pada tahun 1979, Dato' Setia DiRaja Kedah (D.S.D.K.) pada tahun 1983, Anugerah ASANAL pada tahun 1979, 'Orde Des Palmas Academique Perancis' pada tahun 1989, GRATA HOME NAGEM' Institute Portugese Do Oriente, Macau pada tahun 1990, 'Boss of The Year' dari Persatuan Setiausaha Malaysia sessi 1992/1993, Piagam Penghargaan MABBIM Indonesia pada tahun 1993, Sijil Penghargaan Menteri Pendidikan Malaysia kerana memperkembangkan MABIM dan MABBIM pada tahun 1995, Anugerah Bahasa Raja Nazrin Shah Yang Pertama daripada Persatuan Bahasa Moden pada 1996, Anugerah 'Women of The Year 1998' daripada American Biographical Institute dan Anugerah '20th CAA Silver Medal of Honor' daripada International Biographical Center pada tahun 1999.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemubual beliau pada hari terakhir Bengkel Kajian Inventori Bahasa anjuran DBP Malaysia di salah sebuah hotel terkemuka di Kota Kinabalu. Ikuti petikan temubual bersama beliau:

UTUSAN BORNEO: Bila kali pertama prof ke Sabah?

PROF: Saya datang ke Sabah tidak lama selepas pembentukan Malaysia. Itu kerana ada Seminar Bahasa Melayu yang dianjurkan oleh Biro Bahasa Malaysia di bawah Jabatan Ketua Menteri Sabah. Ketika itu, Ketua Menteri Sabah ialah Tun Datu Haji Mustapha Datu Harun. Seminar itu diadakan untuk menerapkan pelaksanaan bahasa Melayu di Sabah.

Kami menginap di Hotel Capital, waktu itu masih terletak di tepi laut. Banyak kenangan sewaktu berada di Sabah. Saya ingat ketika itu kami dibawa oleh Cikgu Ajamain ke rumahnya di Tuaran. Kata Hajah Asmiah (Pengarah DBP Sabah) beliau masih berada dalam darjah dua masa itu. Itulah kali pertama saya ke Sabah.

UB: Kalau Sarawak?

PROF: Saya ke Sarawak pada tahun 1964 untuk membuat kajian mengenai bahasa Iban. Saya pergi seorang diri.

UB: Tidak rasa takut?

PROF: Waktu muda tak takut. Lapanga terbang Kuching masih kecil. Saya naik kapal terbang pergi Sarawak dari Singapura. Apabila orang tanya buat apa ke Sarawak, saya kata saya mahu buat penyelidikan. Orang tengok saya sambil kerut dahi.

UB: Ada orang tunggu di lapangan terbang masa itu?

PROF: Sebelum itu, saya menghubungi Jabatan Pelajaran. Merekalah yang datang mengambil saya. Saya tinggal di Borneo Hotel. Masa itu , Haji Din Musa, pegawai semenanjung yang berasal dari Negeri Sembilan bekerja sebagai pegawai di Sarawak.Beliaulah yang banyak membantu. Menantunya, Adi Dhobi, adik beradik dengan Rosley Dhobi.

UB: Buat kajian di mana?

PROF: Dari kuching saya naik kapal terbang kecil ke Sibu. Kapal terbang itu hanya boleh memuatkan kira-kira lapan orang penumpang. Di Sibu, keluarga Adi Dhobi yang membawa saya ke rumah panjang untuk buat recording. Sewa speed boat sebagai pengangkutan sungai untuk pergi ke rumah panjang.

UB: Tentu banyak pengalaman sewaktu di Sarawak?

PROF: Antara pengalaman saya ialah ketika membuat kajian di perkampungan orang Iban yang terletak berdekatan sempadan Sarawak. Saya terpaksa ikut rombongan orang putih berjalan satu hari satu malam ke Kanowit. Dari Kanowit terpaksa naik perahu ke Mapan. Setibanya di sana, saya dibawa ke rumah penghulu. Saya duduk lebih seminggu di rumah penghulu.

UB: Bagaimana layanan mereka terhadap orang asing?

PROF: Layanan mereka terhadap saya amat baik sekali. Saya bawa bekal ikan dalam tin. Tetapi mereka sangat baik. Penghulu sendiri turun ke sungai untuk menangkap ikan atau udang. Apabila mereka tahu saya beragama Islam, penghulu itu sanggup membawa ayam ke kampung orang Islam untuk di sembelih supaya saya dapat makan ayam. Tiap-tiap pagi, kira-kira pukul lima mereka turun memburu atau memungut hasil hutan. Saya tinggal bersama kaum wanita. Sambil menunggu kaum lelaki pulang,mereka menenun pua kumbu, tenunan tradisi Iban yang tinggi mutunya. Mereka juga menumbuk padi. Mereka bercakap, saya rekodkan percakapan mereka dalam alat perakam. Masa itu alat perakam agak besar tidak seperti sekarang.

Selepas itu, saya sering berulang alik ke Kuching. Di Kuching, saya mempunyai rakan sekelas sewaktu di Malay Girls College, Datuk Rogayah Majid. Beliau isteri kepada Abang Yusof, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak yang pertama selepas merdeka. Saya selalu menginap di tempat beliau.Ketika itu Abang Yusof masih meneruskan pelajaran di Cambridge.

UB: Selepas itu?

PROF: Selepas itu, apabila kajian sudah lengkap, pada awal 1967 saya pergi ke London untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang PhD. Pada mulanya Universiti of London mahu saya untuk mengambil ijazah MA tetapi saya tidak mahu. Saya mebdapat sokongan dari profesor yang akhirnya dapat meyakinkan pihak universiti. Mereka juga mahu membuat seminar mengenai bidang yang saya kaji.Setelah melalui pelbagai cubaan dan ujian, akhirnya saya diterima masuk untuk pengajian PhD. Saya dapat menyiapkan Phd dalam tempoh dua tahun pada tahun 1969.

Tajuk tesis kedoktoran ssaya ialah "The Iban Language of Sarawak: A Grammatical Description",Buku ini kemudian diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1981.

UB: Selain kajian mengenai Bahasa Iban itu, apa lagi buku kajian yang pernah prof hasilkan?

PROF: Satu lagi buku yang saya hasilkan ialah The Malay Peoples of Malaysia and Their Languages.

UB: Apa buku lain yang prof hasilkan?

PROF: Antaranya Essays on Malaysian Linguistics (DBP 1975), Kepelbagaian Fonologi Dialek-dialek Melayu (DBP 1977), An Introduction to Malay Grammar [Asmah Haji Omar, Rama Subiah (DBP 1985)], Bahasa dan alam pemikiran Melayu (DBP 1986), Bahasa Melayu abad ke-16: Satu Analisis Berdasarkan Teks Melayu `Aqa’id al-Nasafi (DBP 1991), Bahasa Melayu di Samudera: Benih yang Baik Menjadi Pulau (DBP 2006), Susur Galur Bahasa Melayu (DBP 2007), dan Ensiklopedia Bahasa Melayu (DBP 2008).

 

UB: Ramai yang tertarik mengenai buku Ensiklopedia Bahasa Melayu. Boleh beritahu sedikit mengenainya?

PROF: Dalam buku itu saya memberikan susur galur serta pemahaman tentang bahasa Melayu yang lengkap. Buku ini memperihalkan perkembangan bahasa Melayu dari sudut sejarah, variasi, tulisan, ejaan, fonetik, fonologi, nahu, morfologi, sintaksis, ragam bahasa sehinggalah kepada etimologinya.

 

 

 

UB: Boleh ceritakan sedikit pengalaman buat kajian di Sabah?

PROF: Di Sabah, banyak pengalaman yang saya perolehi.Ketika membuat kajian dulu, saya mendapat bantuan dari Cikgu Shuhaibun (Datuk Haji Shuhaibun Yussuf), ketika itu Pengelola Kebudayaan di KKBS. Beliaulah yang banyak membantu projek pengumpulan kajian tradisi lisan. Saya mengajar kaedah untuk mengumpul kajian.

Satu melalui pelbagai pengalaman sewaktu membuat kajian di Sabah. Saya pernah buat kajian di Nabawan.Pada masa itu jalan raya masih teruk. Saya pernah ke pulau Nunuyan, naik bot laju. Banyak cabaran. taoi semua ini saya tidak ceritakan kepada emak saya.

UB: Sewaktu mula terlibat dalam kajian bahasa ini, apa respon keluarga?

PROF: Rakan-rakan, guru-guru saya, dan keluarga saya agak terkejut kerana saya memilih kajian bahasa. Tapi saya mahu belajar sesuatu yang baru.Saya sebenarnya dari aliran sains.Mata pelajaran kegemaran saya ialah matematik. Tapi saya lahir dalam sebuah keluarga yang bertutur dalam banyak bahasa.Ayah saya bercakap dalam bahasa Arab ketika mengajar di Madrasah. Kami juga menggunakan bahasa Inggeris, bahasa Melayu dan sebagainya. Apabila saya memilih untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang bahasa, mereka kata awak ni gila. Kalau tak gila, saya tidak sampai ke tahap ini.

Selepas maghrib menuju ke Isyak, ayah saya selalu melontarkan topik untuk dibahaskan. Beliaumahu kami berfikir secara objektif. Beliau melatih kami berfikir dan berbahas.

UB: Apa cita-cita Prof sewaktu kecil dulu?

PROF: Saya bercita-cita jadi doktor dalam bidang apa saja.Bapa saudara saya, Tan Sri Mohamad Jamil menggalakkan saya mesti jadi doktor. Itu sebabnya ramai juga yang bertanya mengapa saya melanjutkan pelajaran ke Indonesia dalam bidang bahasa dan tidak ke tempat lain seperti Australia dan sebagainya seperti rakan-rakan lain.

Ramai yang anggap saya dah gila kerana pilih kajian bahasa. Saya kata 'i just want to go'. Masa itu Kerajaan Indonesia menganugerahkan lima biasiswa untuk pelajar dari Malaya untuk melanjutkan pelajaran di Indonesia sebagai hadiah kemerdekaan. Hanya lima orang yang dapat anugerah biasiswa itu.

UB: Siapa diantaranya?

PROF: Tan Sri Mohamad Rahmat, bekas Menteri Penerangan, Prof Abu Bakar Hamid, Abdul Jalal Abdullah, saya dan suami saya, Khalid Hussain. Itulah ceritanya. Selebihnya adalah sejarah.

No comments: