Tuesday, August 25, 2015

Dari soal bob yang suka puisi Sapardi hingga soal Arnab menang karangan Fawzan



1.  Bob peminat puisi
Mungkin secara kebetulan saya ketemu Bob dalam perut City Bus.Saya sudah lama mengenalnya iaitu sejak UMNO mula-mula masuk ke Sabah. Saya mengenalnya sebagai seorang aktivis politik.Biasanya percakapan  dengan orang politik hanya berkisar isu-isu politik dengan segala titik bengiknya yang sudah lama diperkatakan orang.
Tetapi percakapan dengan Bob kali ini ialah mengenai puisi.
Katanya, dia sering membaca puisi-puisi karya penyair-penyair Sabah. "Saya suka baca antologi puisi Stensil Pari-pari, karya adikmu ka atau abangmu ka itu.Saya sangat minat dengan puisi yang ditulisnya. Dia menulis puisi-puisi yang mendalam dari segi bahasanya,"katanya.
Dalam hati saya,bob sekadar basa basi, mungkin kerana lama tak jumpa,maka dia menyatakan pula dia minat puisi.
Saya agak teruja kerana Bob memberitahu, buku puisi Sapardi Djoko Damono, Sihir Hujan- yang menjadi santapan malamnya sebelum tidur. Dia biasa meletak antologi puisi itu di bawah  bantal.
Selain Sapardi, Bob menyebut nama-nama seperti Rendra, Taufiq Ismail, Emha Ainun Najib sebagai antara penyair yang pernah dibacanya.Saya tabik kepada Bob kerana dicelah-celah kesibukannya beliau masih boleh bercerita mengenai puisi.


2. Terpaksa bergegas ke terminal walaupun karangan belum ada intro.




Saya memang agak terburu-buru menyiapkan artikel wawancara untuk ruangan Sembang Sabtu. Artikel harus siap sebelum saya berangkat ke Keningau menghadiri Sambutan Minggu Perpaduan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang JPNIN peringkat negeri. Mujurlah jam 4.30 petang, artikel sudah siap kecuali bahagian intro. Saya terus saja ke terminal bas kerana bas Tung Ma berangkat jam 5.00 petang. Ketika bas bergerak itu, saya masih menulis lagi bahagian intro dan menyunting mana yang perlu. Nasib baik jalan agak sesak. Bas bergerak agak perlahan dan saya dapat menaip dengan selesa dan menghantar emel sebelum hilang isyarat talian.


Setibanya di KM 40 Jalan Kimanis-Keningau  saya sempat menyaksikan  kereta yang terbabas menyebabkan lima sekeluarga maut manakala seorang kanak-kanak dua tahun dihantar ke hospital Queen Elizabeth untuk menerima rawatan lanjut.




3.  Tiba di terminal Tung Ma dan makan bersama Amran dan Dalan
Kira-kira 15 minit sebelum jam 8.00 saya tiba di bandar terbesar di pedalaman Sabah itu. Saya tidak terus ke Anggerik Boutique Hotel sebaliknya mencari tempat makan. Kebetulan pula terjumpa Saudara Amran Sopoh dan seorang kawan, namanya D, Pengerusi RT di Bariawa, orang dusun KB, berasal dari Kelawat, yang menjadi Timbalan Pengerusi Persatuan Sama Sabah di Keningau. Beliau mampu bercakap bahasa Bajau dengan baik kerana kebanyakan orang Kota Belud boleh  bercakap bajau. Dalan, sudah `duai sama' atau memeluk Islam sudah sejak lama. Beliau sudah berpindah ke Keningau sejak 1978 lagi, dan bekerja sebagai kakitangan safoda.
Pada tahun 1983, menurut ceritanya, beliau membeli tanah seluas enam ekar dengan harga RM1,500 dan satu ekor sapi.
Tanah itu diusahakannya, ditanam dengan pokok buah-buahan dan beratus pokok gaharu. Sekarang Tanah itu dijual dengan harga yang lumayan juga, dengan harga hampir setengah juta.Saya kagum dengan caranya memberikan nilai tambah kepada tanah miliknya.












4. Arnab menang dan Fawzan dipanggil guru


Dalam kisah yang ditulis Ahmad Fawzan, anak saya yang belajar tahun tiga, di sebuah sekolah luar Bandar, Arnab menang dan bukan kura-kura. Biasanya Kura-kura menang kerana Arnab leka. Tapi kali ini, dalam perlumbaan  itu, arnab menang kerana tidak tidur. Arnab yang menyedari kesilapannya tidak lagi leka sebaliknya terus berlari dengan pantas hingga ke garis penamat dan akhirnya diumumkan sebagai pemenang.


Selepas membaca karangan itu, Fawzan dipanggil ke bilik guru. Nazir yang melawat sekolah itu mengatakan sepanjang pengalamannya sebagai nazir,beliau belum pernah lagi membaca karangan serupa itu, yang memberikan kemenangan kepada arnab. Kerana itu, guru itu menilai karangan Fawzan itu sebagai sebuah karangan terbaik.


5. Farhan pakai kopiah
Saya sangat seronok melihat Farhan, anak saya yang belajar di tahun dua itu, tiba-tiba memakai kopiah di rumah. Sesuatu yang menyeronokkan kerana dia suka memakai kopiah. Saya teringat dulu, ketika saya kecil, belajar dalam darjah enam, saya juga suka bersongkok.


         

No comments: