Tuesday, August 18, 2015

KEAMANAN YANG DIKECAPI PERLU DIPERTAHANKAN: ZAMAN HAJI BAYANG

KEAMANAN YANG DIKECAPI PERLU DIPERTAHANKAN: ZAMAN HAJI BAYANG

PENGALAMAN hampir terkena jerangkap samar ketika memburu Chin Peng dalam hutan di Bukit Melintang, tidak dapat dilupakan oleh seorang veteran tentera, Zaman Haji Bayang. Ketika itu, Zaman berkhidmat dengan 11 Melayu Diraja yang menjalankan operasi membanteras pengganas komunis di Bukit Melintang, Kelantan. "Kami hampir menjadi mangsa," katanya sambil mengingat peristiwa itu. Seorang komando yang menjalankan operasi juga muntah terminum air sungai yang diracun. Sebenarnya banyak lagi pengalaman boleh diceritakan ketika berkhidmat dalam perkhidmatan tentera, kata Zaman yang kini menjadi Timbalan Ketua Cawangan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Kota Marudu.

Zaman Haji Bayang dilahirkan di Kampung Tandek Kota Marudu pada tahun 1956. Beliau mendapat pendidikan awalnya GPS Tandek sebelum melanjutkan pelajaran di SMK Kota Marudu hingga LCE. Selepas itu, beliau berkhidmat dengan 11 Rejimen Askar Melayu Diraja berpengkalan di Kluang Johor pada tahun 1977. Selepas berjuang dalam hutan, beliau bertukar ke Rejimen 507 Askar Wataniah dalam bahagian Pentadbiran sebelum bersara setelah 10 tahun berkhidmat dalam tentera. Sebagai seorang yang gigih, Zaman tidak pernah berputus asa menambahkan ilmu pengetahuan.Beliau menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijl Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)sebagai calon persendirian. Selepas menamatkan perkhidmatan dalam tentera, Zaman pernah dilantik sebagai Ketua Anak Negeri (KAN) selama lima tahun. Beliau juga pernah bertugas di Rasaria Resort selama tiga tahun. Pada masa yang sama beliau sambung belajar hingga lulus ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Open University Malaysia (OUM). Beliau tidak pernah menolak tugas yang diamanahkan kepadanya. Belaiu pernah menjadi Pengerusi JKKK dan kini dilantik sebagai Ketua Kampung Kampung Rasak Laut, Tandek.

Dalam kegiatan sukarela, beliau menjawat jawatan sebagai Ketua Cawangan Persatuan Veteran Angkatan Tentera (PVATM) Kota Marudu. Beliau juga pernah menjawat jawatan Timbalan Presiden PBTM (Kini PVATM) Sabah. Selain aktif dalam kegiatan sukarela, Zaman juga aktif dalam kegiatan perniagaan.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang bersembang dengan beliau untuk berkongsi pengalaman hidupnya sepanjang berkhidmat dalam tentera, pandangannya terhadap semangat patriotisme di kalangan generasi muda dan betapa perlunya bekas-bekas tentera menyertai PVATM. Ikuti petikan wawancara bersama beliau.

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang tuan?

ZAMAN HAJI BAYANG: Saya dilahirkan di Tandek pada tahun 1956 .. Saya bersekolah rendah di Tandek, iaitu di Government Primary School (GPS) Tandek sebelum melanjutkan pelajaran di SMK Kota Marudu hingga lulus LCE.

UB: Selepas LCE, apa yang tuan lakukan?

ZHB: Selepas peperiksaan LCE, saya berhenti dan kemudian masuk dalam perkhidmatan tentera. Saya memasuki 11 Melayu Di Raja (RAMD) yang berpengkalan di Kluang. Dari 11 Melayu Diraja, saya bertukar ke di 507 Askar Wataniah di Kem Bukit Perwiramenjalankan kerja-kerja pentadbiran.

UB: Tahun berapa berkhidmat dalam tentera? Mungkin banyak pengalaman dalam tentera?

ZHB: Saya masuk tentera pada tahun 1977 dalam era menentang pengganas komunis. Anasir Komunis masa itu, masih mengancam keselamatan negara.

.

UB: Selepas itu, tuan bertugas dimana?

ZHB: Saya bertukar ke Rejimen 507 Askar Wataniah, menjalankan kerja-kerja pentadbiran.

UB: Saya selalu mendengar mengenai Askar Wataniah tetapi kurang tahu mengenainya. Boleh terangkan sedikit?

ZHB: Setahu saya, Askar Wataniah ditubuhkan pada 1 Jun 1958. Askar Wataniah merupakan salah satu pasukan di dalam Angkatan Sukarela Persekutuan yang berfungsi sebagai Pasukan Simpanan Tentera Darat.Rejimen 507 terletak di Kem Bukit Perwira adalah salah satu dari 16 Rejimen siri 500 di seluruh negara.

UB: Berapa lama berkhidmat dalam tentera?

ZHB: Saya berkhidmat dalam tentera selama 10 tahun. Selepas itu saya berhenti dari perkhidmatan tentera.

UB Apa kerja tuan selepas berhenti?

ZHB: Saya berkhidmat sebagai Ketua Anak Negeri,demi meneruskan khidmat kepada masyarakat. Saya juga pernah menjadi Pengerusi JKKK. Sekarang saya menjadi Ketua Kampung di kampung saya.. Saya adalah penyokong kuat BN kerana rakyat yakin perjuangan BN dalam membela dan memperjuangkan nasib rakyat.

UB: Apa kegiatan lain selain bertugas sebagai pemimpin akar umbi?

ZHB: Saya juga aktif sebagai Ketua Cawangan PVATM Kota Marudu.

UB: Terlanjur bercakap mengenai PVATM. Mungkin tuan boleh jelaskan fungsi PVATM?

ZHB: Seperti yang digariskan, fungsi PVATM ialah menyokong dan menjunjung tinggi prinsip-prinsip RUKUN NEGARA. Ia juga ditubuhkan bagi menghargai dan memelihara semangat muhibah di antara Bekas Tentera yang pernah berkhidmat semasa peperangan serta menjaga darjat dan menghormati antara bekas-bekas tentera.Selain itu, PVATM juga menjaga kepentingan mereka yang telah berkhidmat di dalam Angkatan Tentera Malaysia.

PVATM menggalak dan mengeratkan lagi kerjasama serta perpaduan di antara bekas-bekas tentera. PVATM juga memberi pertolongan dan bantuan kepada ahli-ahli termasuk keluarga tanggungan mereka apabila sakit atau tercedera yang memerlukan termasuklah kemudahan perubatan, perumahan, pelajaran, pekerjaan.

Melalui PVATM, kita berharap agar kerajaan memberi keutamaan kepada bekas-bekas tentera untuk mendapatkan pekerjaan, perumahan, penempatan tanah dan lain-lain.

Selain itu, kita juga memberi kesedaran kepada orang awam bahawa membantu bekas-bekas tentera yang cacat, cedera serta tanggungan mereka adalah juga kewajipan bersama.

UB: Bagaimana pandangan tuan terhadap langkah kerajaan mewartakan 31 Julai sebagai Hari Pahlawan?

ZHB: Langkah ini adalah amat baik. Dengan adanya sambutan Hari Pahlawan kita dapat memperingati pahlawan kita yang dulu berjuang dengan gagah berani sehingga ada yang terkorban dalam mempertahankan kedaulatan negar dari ancaman musuh.

Sambutan Hari Pahlawan adalah wadah atau platform bagi kita mensyukuri nikmat keamanan yang dikecapi. Tanpa adanya keamanan, pembangunan tidak akan dapat dikecapi. Wira-wira negara bertungkus lumus memastikan agar tiada anasir-anasir yang menghururakan kemakmuran negara.

Usaha kerajaan ini amat kita hargai. Dengan mewartakan 31 Julai sebagai Hari Pahlawan, ia satu pengiktirafan bagi mengenang jasa dan pengorbanan anggota pasukan keselamatan yang berkorban demi mempertahankan kedaulatan negara.

UB: Saya lihat di kalangan generasi kita seperti kurang menghargai pengorbanan bekas tentera? Apa komen tuan?

ZHB: .Mungkin kerana kita sudah selesa, kadang-kadang kita lupa bahawa keamanan yang dikecapi ini adalah hasil keringat dan darah pahlawan yang mempertaruhkan nyawa demi agama, bangsa dan negara. Kita haruslah memperingati pengorbanan wira-wira negara.

Menyentuh mengenai kurangnya penghargaan kepada bekas tentera, ia berkait dengan kurangnya semangat patriotisme. Semangat patriotisme di kalangan genrasi muda agak kurang berbanding generasi sebelumya, mungkin kerana mereka tidak pernah merasai pahit getir hidup di zaman darurat.

Mereka hidup dalam era yang sudah berlainan, sudah berubah daripada generasi sebelumnya.

UB: Apa langkah yang perlu dibuat untuk meningkatkan semangat patriotisme di kalangan generasi kita?

ZHB: Oleh sebab itu, usaha-usaha perlu dibuat untuk mengembalikan rasa cinta ke atas tanah air sejak alam persekolahan. Semangat patriotisme di kalangan kanak-kanak perlu ditanamkan sejak di bangku sekolah. Semua pihak terutamanya ibu bapa haruslah mendidik anak mereka mengenai perjuangan dan pergorbanan orang orang terdahulu sehingga keamanan negara dapat dinikmati.Kita haruslah mewujudkan generasi atau masyarakat yang cintakan negara dan saling bekerjasama untuk mempertahankan kestabilan, keamanan dan kedaulatan negara.

UB: Apa komen tuan mengenai bekas tentera yang belum menyertai persatuan?

ZHB: Kita berharap agar bekas tentera dimana saja berada agar menyertai persatuan dengan menjadi ahli. Apabila mereka menjadi ahli, adalah agak mudah untuk kita memperjuangkan dan membela nasib mereka, agak mudah bagi kita menjaga kebajikan ahli.

UB: Bagaimana pula pandangan tuan terhadap pihak tertentu yang cuba menabur fitnah di media sosial untuk menjatuhkan imej kerajaan?

ZHB: Fitnah dan tohmahan yang dilemparkan terhadap kerajaan dalam media sosial tidak berasas dan boleh merosakkan perpaduan dan keharmonian negara.Kebanyakannya adalah khabar angin yang membawa impak negatif kepada negara. Saya yakin ahli-ahli PVATM berdiri teguh di bawa kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Kita menolak dan membidas pihak tertentu yang menyebarkan tohmahan yang sudah tidak benar kerana ia dibuat semata-mata menjatuhkan Perdana Menteri secara tidak demokratik

Perkara sebegini boleh menggugat keharmonian dan keamanan negara yang diperjuangkan sejak sekian lama. Sebagai warganegara yang mempunyai akal fikiran, kita harus mempertahankan keharmonian dan keamanan negara tanpa mengira kaum,agama dan fahaman politik mereka.

Kita menyeru agar orang ramai tidak terpedaya kerana media sosial kebelakangan ini yang banyak memutar-belitkan fakta bagi memburukkan kerajaan bagi mencapai hasrat mereka. Perkara ini perlu dihentikan kerana ia mampu memecahbelahkan perpaduan yang telah kita bina.

Sebagai bekas tentera kami tidak rela keharmonian yang dibina itu dirosakkan oleh anasir yang mahu menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi dengan menyebarkan tohmahan dan fitnah yang tidak berasas.
UB: Apa prinsip tuan dalam hidup?

ZHB: Saya tidak pandai berputus asa dalam hidup. Kalau dalam tentera dulu, berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir. Sekarang , berjuang hingga ke titik yang terakhir, dalam semua bidang.

No comments: