Tuesday, August 18, 2015

SEKETIKA DI MAKAM SUNAN AMPEL

SEKETIKA DI MAKAM SUNAN AMPEL

SESAMPAINYA di halaman makam itu, saya tidak pasti apa yang harus dilakukan kecuali duduk berdoa dan membacakan surah yasin. Orang-orang berdatangan.Begitu ramai.Berduyun-duyun. Entah dari mana.

Hari itu, saya sempat berziarah di Makan Sunan Ampel di Surabaya. Sunan Ampel atau nama sebenarnya Raden Rahmat adalah satu wali songo yang terkenal dalam sejarah penyebaran Islam di Pulau Jawa. Beliau adalah seorang ulama yang terkenal dan orang yang merancang penubuhan kerajaan Islam yang pertama di Bintaro Demak. Beliau juga ikut mendirikan masjid Demak pada tahun 1479.

Di kawasan makamnya itu, orang ramai berdatangan untuk berziarah ke makam wali yang berjasa terhadap pengembangan Islam di Jawa. Melalui Wali Songo, agama Islam disebarkan ke seluruh pelusuk pulau Jawa.

Tapi apa pesanan Sunan Ampel yang masih melekat di kalangan masyarakat di sana. Ada. Namanya Mo Limo atau Falsafah Perkara Lima.

Sunan Ampel mengajarkan agar kita Emoh Main, Emoh Ngumbih, Emoh Mandat, Emoh Maling dan Emoh Madon.

Apa maksudnya? Emoh Main ertinya tidak mahu main judi. Beliau mengajarkan agar masyarakat jangan suka bermain judi. Emoh ngumbih, ertinya tidak mahu minum minuman yang memabukkan. Kerana jika kita minum minuman yang memabukkan, sudah tentu ia melalaikan dan kita tidak lagi mampu berfikir waras. Emoh mandat, jangan merokok atau jangan menghisap ganja atau menghisap najis dadah. Terbukti bahawa dadah banyak merosakkan. Juga emoh maling, tidak mahu mencuri atau korupsi. Ketika itu, kira-kira 500 tahun yang lampau perbuatan mencuri atau korupsi itu sudahpun dilarang oleh Sunan Ampel. Beliau juga melarang masyarakat pada masa itu agar Emoh Madon, tidak mahu main perempuan yang bukan isterinya. Sunan Ampel mengajarkan kepada kita moral dan akhlak supaya jangan berselingkuh , jangan berzina dengan isteri orang atau perempuan yang bukan isterinya.

Dikisahkan bahawa Sunan Ampel meneruskan cita-cita dan perjuangan Maulana Malik Ibrahim. Beliau dikatakan mendirikan pesantren i Ampel Denta Surabaya sehingga beliau dikenali sebagai orang yang mendirikan pondok pesantren yang pertama di Jawa Timur. Hasil dari produk pondok inilah, tenaga dai dikeluarkan dan mentebarkan Islam di seluruh pulau Jawa.

Selain itu, Sunan Ampel juga adalah ulama yang mendirikan kerajaan Islam pertama di Pulau Jawa itu dengan ibu kotanya Bintoro Demak. Sunan Ampel menabalkan Raden Fatah sebagau sultan Demak yang pertama. Beliau dikatakan dekat dengan Istana Majapahit, yang digunakannya untuk mengembangkan Islam di Pantai Utara Pulau Jawa yang dikuasai oleh kerajaan Majapahit.

Betapa besar jasanya terhadap pengembangan Islam di Pulau Jawa. Betapa kuatnya pengaruh yang dimiliki ulama ini. Betapa kuatnya wibawa yang dimiliki. Kebesarannya dan kemashyurannya dapat dirasai. Hampir setiap hari, makamnya yang terletak di Surabaya itu tidak pernah sepi dengan pengunjung.

Padahal makamnya seperti biasa saja. Tidak ada hiasan yang berlebih-lebihan. Seperti makam yang lain juga. Bezanya, cuma betapa ramainya orang yang datang untuk mendoakan.Mungkin ramai juga yang datang sekadar untuk berziarah.

Sayang sekali, saya tidak dibenarkan mengambil gambar dalam kompleks makam. Sepanjang berada di makam itu, saya berdoa semoga semua hasil perjuangan ulama terdahulu untuk menyebarkan Islam sebagai rahmat seluruh alam dapat diteruskan.

Di makam Sunan Ampel itu, saya mendapati dan mengerti betapa segala usaha dan amal baik mampu hidup lebih lama. Tapi ingatlah pesan beliau. Mo Limo. Jangan berjudi, jangan mencuri, usah berpoya-poya, jaga akhlakmu.

No comments: