Tuesday, August 18, 2015

SIMPANG SIUR PENGALAMAN HARI TERAKHIR DI SURABAYA

SIMPANG SIUR PENGALAMAN HARI TERAKHIR DI SURABAYA

Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN

PAHLAWAN sejati tidak minta dipuji jasanya. Bunga mawar tidak mempropagandakan harumnya, tetapi harumnya dengan sendiri semerbak ke kanan kiri. Tetapi, hanya bangsa yang tahu menghargai pahlawan-pahlawannya, dapat menjadi bangsa yang besar. Kerana itu, hargailah pahlawan-pahlawan kita. Merdeka!

Kata-kata Bung Karno itu terngiang-ngiang dalam fikiran saya ketika berkunjung ke Monumen Tugu Pahlawan, Surabaya.

Monumen Tugu Pahlawan setinggi 41.15 meter itu didirikan pada 10 November 1951 dan dirasmikan pada 10 November 1952 oleh Presiden Sukarno, Presiden Pertama Indonesia.

Monumen itu didirikan untuk mengenang jasa para pahlawan, pahlawan yang terdiri `arek-arek Surabaya' yang bangkit menentang Belanda yang berusaha kembali menjajah Indonesia selepas perang dunia kedua.

Saya juga berkunjung ke Museum 10 Nopember tidak jauh dari monumen itu. Di sana, saya berpeluang mendengar rakaman Pidato Bung Tomo yang penuh semangat meminta rakyat Indonesia bersatu dan jangan mudah menyerah kalah.
Ketika Tentera Inggeris datang dan menyebarkan risalah untuk meminta rakyat Indonesia menyerah kepada tentera sekutu, Bung Tomo dalam ucapannya yang penuh semangat itu mengatakan:

"Selama banteng-banteng Indonesia masih mempunyai darah merah
yang dapat membikin secarik kain putih merah dan putih
maka selama itu tidak akan kita akan mau menyerah kepada siapapun juga,".

Akhirnya, terjadilah petempuran 10 November 1945, yang kini diperingati sebagai Hari Pahlawan.

Sutomo lahir di Surabaya pada 3 Oktober 1920 tapi beliau lebih dikenali dengan panggilan akrabnya Bung Tomo. Beliau terkenal kerana perjuangannya membangkitan semangat rakyat untuk bangkit menentang Belanda yang mahu kembali menjajah Indonesia selepas Perang Dunia Kedua.

Bung Tomo, menggerakkan semangat rakyat Surabaya yang diserang oleh pasukan Inggeris selepas General Malaby tertembak di Hotel Oranje. Inggeris datang menyerang Surabaya untuk melucutkan senjata tentera Jepun dan membebaskan tawanan Eropah.

Peristiwa 10 November itu tetap dikenang sebagai Hari Pahlawan dan menjadi satu peristiwa penting dalam sejarah kemerdekaan Indonesia.

"Saudara-saudara rakyat Surabaya, siaplah! keadaan genting!
tetapi saya peringatkan sekali lagi
jangan mulai menembak
baru kalau kita ditembak
maka kita akan ganti menyerang mereka itu kita tunjukkan bahwa kita ini adalah benar-benar orang yang ingin merdeka

Dan untuk kita saudara-saudara
lebih baik kita hancur lebur daripada tidak merdeka
semboyan kita tetap: merdeka atau mati!".

Ketia berada di Surabaya, saya mengunjungi Hotel Oranje, tempat terjadinya insiden perebutan bendera. Saya menyusuri semula tempat-tempat bersejarah sambil membayangkan betapa rakyat Surabaya bersatu menentang Inggeris meskipun hanya menggunakan bambu runcing.

Selepas kemerdekaan, Bung Tomo pernah terjun dalam politik. Pernah menjadi menteri dalam kabinet Burhanudin Harahap tahun 1955-1956 dan pernah pula menjadi anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dari tahun 1956-1959.

Pada tahun 1950an itu, Bung Tomo membantu tukang beca dengan mendirikan kilang sabun hasil yuran daripada tukang beca tetapi tidak berhasil. Namun beliau tetap dikenang sebagai seorang pahlawan yang bangkit menentang kembalinya Belanda menjajah semula Indonesia. Sungguhpun, mereka kalah dalam pertempuran 10 November itu, tetapi peristiwa itu tetap tercatat sebagai satu peristiwa penting dalam sejarah perjuangan kemerdekaan di Indonesia.

Bersama anak-anak sekolah rendah yang sedang melawat muzium itu, saya melihat filem ditayangkan. Saya mendengar bagaimana Bung Tomo membangkitkan semangat rakyat untuk memperjuangkan kemerdekaan dari tangan penjajah.

Lebih baik kita hancur lebur daripada tidak merdeka, kata Bung Tomo. Di Muzium itu juga menyimpan bukti-bukti sejarah pertempuran 10 Nopember 1945. Selain itu, terdapat juga tulisan tangan Mayor Jenderal Soengkono, Naskah "Sumpah Kebulatan Tekad. Ada juga benda-benda peninggalan Tokoh Pahlawan Mayor Jenderal Soengkono, senjata-senjata hasil rampasan perang dan foto-foto pertempuran 10 November, bukti-bukti perjuangan Laskar Rakyat Surabaya dalam Pertempuran 10 November dan Diorama statis perundingan politik Ir Soekarno dan Howtorn.

Dari Monumen Tugu Pahlawan dan Museum 10 Nopember itu, Pak Robert Siregar, pegawai dari Dinas Kebudayaan dan Pariwisata Provinsi Jawa Timur , membawa saya ke Makam Sunan Ampel.
Sunan Ampel atau nama sebenarnya Raden Rahmat adalah satu wali songo yang terkenal dalam sejarah penyebaran Islam di Pulau Jawa. Beliau adalah seorang ulama yang terkenal dan orang yang merancang penubuhan kerajaan Islam yang pertama di Bintaro Demak. Beliau juga ikut mendirikan masjid Demak pada tahun 1479.

Di kawasan makamnya itu, orang ramai berdatangan untuk berziarah ke makam wali yang berjasa terhadap pengembangan Islam di Jawa. Melalui Wali Songo, agama Islam disebarkan ke seluruh pelusuk pulau Jawa.

Tapi apa pesanan Sunan Ampel yang masih melekat di kalangan masyarakat di sana. Ada. Namanya Mo Limo atau Falsafah Perkara Lima.

Sunan Ampel mengajarkan agar kita Emoh Main (tidak mahu main judi), Emoh Ngumbih (tidak mahu minum yang memabukkan), Emoh Mandat (tidak mahu merokok atau menghisap madat), Emoh Maling (tidak mahu mencuri atau korupsi) dan Emoh Madon (tidak mahu main perempuan yang bukan isterinya.

Dikisahkan bahawa Sunan Ampel meneruskan cita-cita dan perjuangan Maulana Malik Ibrahim. Beliau dikatakan mendirikan pesantren i Ampel Denta Surabaya sehingga beliau dikenali sebagai orang yang mendirikan pondok pesantren yang pertama di Jawa Timur. Hasil dari produk pondok inilah, tenaga dai dikeluarkan dan mentebarkan Islam di seluruh pulau Jawa.

Selain itu, Sunan Ampel juga adalah ulama yang mendirikan kerajaan Islam pertama di Pulau Jawa itu dengan ibu kotanya Bintoro Demak. Sunan Ampel menabalkan Raden Fatah sebagau sultan Demak yang pertama. Beliau dikatakan dekat dengan Istana Majapahit, yang digunakannya untuk mengembangkan Islam di Pantai Utara Pulau Jawa yang dikuasai oleh kerajaan Majapahit.

Betapa besar jasanya terhadap pengembangan Islam di Pulau Jawa. Betapa kuatnya pengaruh yang dimiliki ulama ini. Betapa kuatnya wibawa yang dimiliki. Kebesarannya dan kemashyurannya dapat dirasai. Hampir setiap hari, makamnya yang terletak di Surabaya itu tidak pernah sepi dengan pengunjung.

Padahal makamnya seperti biasa saja. Tidak ada hiasan yang berlebih-lebihan. Seperti makam yang lain juga. Bezanya, cuma betapa ramainya orang yang datang untuk mendoakan.Mungkin ramai juga yang datang sekadar untuk berziarah.

Sayang sekali, saya tidak dibenarkan mengambil gambar dalam kompleks makam. Sepanjang berada di makam itu, saya berdoa semoga semua hasil perjuangan ulama terdahulu untuk menyebarkan Islam sebagai rahmat seluruh alam dapat diteruskan.

Destinasi terakhir sebelum pulang, ialah singgah di Pusat Batik dan Kerajinan Khas Jawa Timur di Jalan Kedungdori no 86-90 Surabaya. Hampir semua produk yang dikeluarkan di provinsi Jawa Timur dijual di pusat itu dengan harga yang murah dan berpatutan. Hampir semua produk boleh didapati di pusat itu.

Menurut Asrori, salah seorang pekerja di pusat, setiap pengunjung atau pelancong yang datang ke Surabaya, biasanya tidak melepaskan peluang untuk berkunjung untuk membeli cenderamata untuk dibawa pulang.

Sepanjang perjalanan ke Lapangan Terbang Juanda, kata-kata Bung Karno terngiang-ngiang di telinga saya. "Hanya bangsa yang tahu menghargai pahlawan-pahlawannya, dapat menjadi bangsa yang besar." Ingatan ini berselang seli dengan kata-kata Bung Tomo "Lebih baik kita hancur lebur daripada tidak merdeka"

Emoh Maling, kata Sunan Ampel. Terlalu banyak yang bersimpang siur dalam fikiran ketika itu. Emoh pulang? Saya terpaksa pulang kerana perjalanan perlu diteruskan

No comments: