Tuesday, September 8, 2015

DR JAMES ALIN BICARA MENGENAI KESAN KEJATUHAN RINGGIT TERHADAP EKONOMI NEGERI



DR JAMES ALIN BICARA MENGENAI KESAN KEJATUHAN RINGGIT TERHADAP EKONOMI NEGERI



Apakah pencapaian terbaik ekonomi Sabah dari 1997 sehingga 2015? Sejauhmanakah kejatuhan Nilai Ringgit telah mengugat pencapaian itu.
Apakah kesan kesan buruk akibat kejatuhan Nilai Ringgit kepada rakyat Sabah berpendapatan rendah, pengguna, pengeluar (atau pengeksport) dan kerajaan. Penganilisis ekonomi dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr James Alin menjawab persoalan ini.



DR JAMES ALIN, pensyarah di Fakulti Perniagaan,Ekonomi dan Perakaunan Universiti Malaysia Sabah (UMS) .Beliau yang juga Felo Kanan, Center for Strategic Policy and Governance, Palawan State University, Philippines, Dilahirkan di WP Labuan, Dr James mendapat pendidikan awal di Kuala Penyu ketika tinggal bersama neneknya. Selepas itu, beliau menduduki bangku sekolah menengah di Maktab Sabah sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Malaysia dalam bidang sejarah dan ekonomi. Setelah lulus pengajian, beliau bekerja sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) di salah satu jabatan di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Dr.James kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Yokohama Jepun sehingga lulus MA dan PhD dalam bidang ekonomi.

Ikuti petikan wawancara Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN bersama Dr.James Alin (DJA) mengenai isu-su berkaitan soal ekonomi di ibu negeri baru-baru ini..Pembaca yang memerlukan penjelasan lanjut berkaitan isu ekonomi yang dimuatkan dalam wawancara ini boleh menghantar email kepada Dr. James Ajames2000@hotmail.com,manis2001us@yahoo.com



UTUSAN BORNEO: Kejatuhan Nilai Ringgit yang sedang berlaku sekarang ini mengingatkan kita kepada krisis Matawang Asian 1997…

DJA: Saudara Naddin masih ingat 1997, "KrisMon" (Krisis Monetari) bilang orang Indonesia. Nilai Ringgit jatuh teruk telah memaksa Bank Negara Malaysia melaksanakan Dasar Kawalan Dana (Capital Controls) dan Kawalan Nilai Tukaran Asing Ringgit (fixed exchange rate). Hari ini (24 Ogos 2014) nilai Ringgit jatuh menjunam …ke aras RM4.2465 untuk 1 USD. Paling rendah dalam sejarah Ringgit setakat ini, sangat memeranjatkan …dan parah …jatuh sebanyak 30% dalam tempoh yang singkat. Money changers jadi mangsa, terpaksa menggunakan Price on Application (POA), ternyata jual-beli matawang Ringgit merugikan mereka!


UB: Price on Application …boleh jelaskan doc? ...

DJA: POA merujuk kepada harga Ringgit dalam pasaran matawang berubah setiap detik. Peniaga-peniaga di Bangkok dan di Jakarta tahun 1997 meletak papan tanda di luar kedai mereka…memaparkan senarai harga yang ditulis semula setiap jam kerana Nilai matawang Bhat dan Rupiah jatuh mendadak dan berterusan serupa dengan apa yang terjadi dengan Ringgit sekarang ini..


UB: Maksudnya Matawang ni…macam barangan biasa, dijual-beli dalam pasaran bebas? Kalau begitu doc..BNM patut menyekat nilai Ringgit daripada jatuh berterusan…kenapa tidak bertindak seperti masa KrisMon 1997?
DJA: Perlaksanaan Capital Controls dan fixed exchange rate dalam kegawatan ekonomi…mempunyai kos dan faedahnya…saya cadang sesi temubual yang berasingan untuk membincangkan topik yang sangat menarik ini…


UB: Saya setuju Doc… saya rasa kesan kejatuhan Nilai Ringgit sekarang hampir sama dengan kesan KrisMon 1997…bukan begitu doc? Yang berbeza tahap keparahannya sahaja?


DJA: Ya tepat sekali…kesan yang akan berlaku kepada ekonomi Sabah dari sekarang sehingga 2-3 tahun akan datang diramalkan lebih parah berbanding dengan kesan yang terjadi pada tahun-tahun pasca KrisMon. Baik kita bincang dengan melihat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah …


UB: Untuk manfaat pembaca , mohon DJ jelaskan apa itu KDNK?
DJA: KDNK adalah jumlah Penggunaan + Pelaburan + Perbelanjaan Kerajaan + Export tolak Import bagi negeri Sabah. Apabila KDNK dibahagi dengan jumlah penduduk Sabah, kita perolehi KDNK per kapita yang biasanya digunapakai sebagai pengukur Am tahap pendapatan penduduk di Sabah.


UB: Saya cadang kita focus kepada Penggunaan, Export dan Import sahaja lah doc… Komponen Pelaburan and Perbelanjaan Kerajaan kita simpan untuk kesempatan lain…
DJA: Apabila nilai Ringgit jatuh menjunam…ekonomi Sabah akan kerugian…akibatnya …Export dan Penggunaan jatuh, Import bertambah mahal.


UB: Sempena merayakan hari Merdeka dan Hari Malaysia akan datang, baik rasanya kita mengimbas kembali pencapaian terbaik ekonomi Sabah sejak 14 tahun yang lalu…rakyat Sabah menjadi mangsa kejatuhan Ringgit…fenomena yang bukan kita penyebabnya..bukan salah orang Sabah nilai Ringgit jatuh…betulkan doc?


DJA: …Realiti yang pahit untuk ditelan adalah..Kemerosotan Nilai Ringgit yang berlarutan mengurangkan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Perkapita Sabah. Menjelang hari Malaysia…orang kita patut berasa bangga yang kita telah bekerja keras …buktinya…Tahun 2005, KDNK Sabah adalah RM32, 427 juta, lapan tahun kemudian ianya meningkat kepada 64,096 juta. Maka, KDNK perkapita Sabah, berjumlah RM11, 134.


UB: Pencapaian terbaik..,saya ingat lagi semasa temubual kita yang lalu, DJ ada sebut sejak tahun 2000…Sabah negeri ketiga termiskin di Malaysia.
DJA: Ya betul..walaupun begitu…ekonomi Sabah telah tumbuh dengan pesatnya. Setahun sebelum KrisMon 1997, Sabah merekodkan Budget surplus (Pendapatan Negeri > Perbelanjaan), Imbangan Dagang surplus (Export > Import) dan Hutang di antara yang terendah di Malaysia…petanda pengurusan ekonomi yang terbaik…


UB: Apakah yang berlaku setahun selepas KrisMon?

DJA: Pada Julai 1997, krisis ekonomi Thai merebak ke seluruh asia tenggara, Malaysia tidak terkecuali…September sehingga penghujung tahun 1997…kita dilanda kegawatan ekonomi yang tidak kurang dahsyatnya...dulu gerakan civil society atau demo jalanan dipanggil Reformasi…sekarang Bersih …Yang berbeza…krisis sekarang berpunca dari rasuah mega, pecah amanah terang terangan dan penyalahgunaan kuasa yang berleluasa…Krismon akibat Jangkitan dari luar…KrisMon mengakibatkan Imbangan Dagang Sabah tahun 1997 buat pertama kali menjadi Deficit RM 622,735 (000). Walau bagaimanapun, Budget Deficit (Pendapatan=1,422,848 RM 000 tolak Perbelanjaan= 1,533,660 RM000) dan Hutang Negeri masa itu tidak lah besar sangat.



UB: Sejarah yang kita tidak harus lupa…mungkin pengalaman KrisMon memberikan panduan kepada kita untuk memahami keadaan sekarang…
DJA: Seperti saudara Naddin sebut tadi…orang Sabah menjadi mangsa fenomena yang bukan kita -orang biasa yang menyebabkannya… bayangkan.. KDNK per kapita orang Sabah yang pada tahun 1963… RM770 (nilai wang masa itu) tetapi berkat kerja keras…tahun 1996 KDNK per kapita kita telah berlipat ganda…tiba-tiba Nilai Ringgit jatuh…jumlah pengurangan pendapatan akibat KrisMon jauh lebih banyak dari jumlah pendapatan per kapita terkumpul sejak 1963.


UB: Sekarang ini doc?
DJA: Saya ada angka setakat 2012. Tahun itu KDNK per kapita Malaysia mencecah RM32, 084 9 semakin menghampiri Benchmark Bank Dunia RM40, 841 (atau USD 12,467 berdasarkan RM3.27 per USD) untuk layak menjadi Negara Berpendapatan Tinggi. Pada tahun yang sama Sabah menjadi negeri keempat miskin di Malaysia dengan KDNK perkapita RM19, 010.


UB: Berapa nilai KDNK per kapita tahun 2012 yang berkurang akibat kemerosotan Nilai Ringgit yang sedang berlaku ini?

DJA: Berkurang sebanyak RM13, 307. Orang Sabah semakin miskin manakala Visi 2020 Malaysia untuk menyertai kelab negara negara kaya OECD hancur berkecai.



UB: Pencapaian terbaik Sabah yang lain?
DJA: Surplus Imbangan Pembayaran sejak 1998 sehingga 2012 …Export melebihi Import selama 14 tahun berturut-turut. Export Sabah pada tahun 2012 bernilai Ringgit 47,684,774 juta atau 70% daripada KDNK Sabah. Lebihan Dagangan RM10, 257,661 juta. …mengkagumkan bukan kah?


UB: Jadi…Export menjadi penjana utama pertumbuhan ekonomi Sabah? Apa bah…yang Sabah export ni?
DJA: 38.8% Petroleum Mentah, 35% Minyak Kelapa Sawit Mentah dan Diproses; 15.4% Barangan Lain (Hasil Pertanian/perikanan); 3.8% Minyak Isirung (Kernel) Kelapa Sawit Mentah/Diproses; 3.2% Metanol (gas asli); 2.1% papan lapis dan 1.8% Besi Brikuet Panas.


UB: Ekonomi kita masih bergantung kepada komoditi utama /bahan mentah? Kalau kita kira cara yang sama…andaikata export 2015 tidak banyak berubah sejak 2012 …
DJA: Kemerosotan 30% nilai Ringgit akan mengurangkan Nilai Export 2012 dalam sebanyak RM14.305 billion. Atau sama dengan Imbangan Pembayaran Defisit RM 4 billion. Nilai hasil cukai export yang dikutip oleh Kerajaan ke atas export komoditi mentah juga akan berkurangan.


UB-: Minta DJ terangkan bagaimana reaksi firma-firma pengeksport…
DJA: Pengeksport yang tidak Berhedging Tukaran Matawang Asing akan kerugian.


UB: Nanti dulu doc…Berhedging tu apa maksudnya tu?

DJA: Firma firma import -export yang besar lazimnya menggunakan Currency Hedging iaitu insuran melindungi transaksi dari risiko turun-naik nilai matawang yang drastik. Jual beli antarabangsa biasanya dikendalikan dalam USD atau matawang negara pengimport dan pengeksport. Seperti yang saudara faham, harga matawang ditentukan oleh mekanisme pasaran bebas, melainkan Matawang Yuan yang harganya dikawal oleh Kerajaan Negara China. Turun naik harga matawang amat sukar diramalkan. Risiko dan ketidakpastian kerugian akibat Harga Matawang turun naik boleh dikurangkan melalui hedging.



UB: Selepas Nilai ringgit jatuh, bukankah harga domestik bahan mentah juga menjadi murah berbanding harga export (harga luar)? Kalau firma bimbang kerugian matawang asing…justeru mengurangkan exports…ianya boleh diproses oleh industri hiliran berNilai Tambah tinggi tempatan . Itu teori…realitinya macam mana?
DJA: Realitinya…Industri Hiliran tempatan sangat sedikit dan keupayaan teknologi mereka terhad. …topic ini sangat luas, kita boleh bincang dalam sesi yang lain…


UB: Bahan mentah murah yang kita export juga akan bertambah murah kerana harga komoditi dunia sudah lama merosot. Kalau begitu…adakah permintaan dari negara rakan Dagang akan bertambah?
DJA: Ya, Permintaan dari Negara China yang mengimport 18.2% daripada export bahan mentah Sabah akan bertambah khasnya selepas devaluation -Nilai matawang Yuan. Cuma firma-firma mengeksport ke China akan mengalami kerugian, pertama akibat kejatuhan Nilai Ringgit dan kedua, kerugian berikutan devaluasi Yuan.


UB: Devaluation itu apa?
DJA- Matawang Yuan harganya dikawal. Devaluation berlaku apabila Bank Pusat China mengurangkan nilai matawang Yuan secara paksa. Sebab apa? cerita panjang ini memerlukan ruang yang berasingan.


UB: Bagaimana dengan exports ke rakan dagang yang lain?
DJA: Export Sabah 14.6% ke Australia, 10% ke India, 5.6% ke Jepun, 4.6% ke Thailand, 3.8% ke Korea , 2.7% ke United States, 2.5 ke Singapore dijangka tidak akan banyak berubah kuantitinya. Saya rasa…firma-firma pengeksport Sabah dan firma-firma pengimport di Negara Rakan Dagang akan membincangkan semula terma-terma kontrak jangka panjang mereka. Kesan kejatuhan nilai Ringgit ke atas 12.6% bahan mentah yang dieksport ke Semenanjung Malaysia (akibat Dasar Kabotaj) and 4.4% ke Sarawak (pemprosesan hiliran) tidak begitu ketara.


UB: Penderitaan yang dibawa oleh kegawatan ekonomi akibat nilai ringgit jatuh tidak memilih warna kulit, umur atau darjat, saya rasa orang berpendapatan rendah adalah golongan yang paling terjejas…
DJA: Saya sangat bersetuju dengan pemerhatian saudara Naddin. Berapa ramai kah di antara penduduk Sabah yang dikategorikan sebagai Orang Miskin? Kalau dalam dialek Dusun- "Mosikin". Dalam Bahasa Irranun disebut apa? kiamimiskinan. Pada tahun 2007, Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) adalah RM960 dan Insiden Kemiskinan (IK) 16.4%. Lima tahun kemudian, PGK adalah RM1090 manakala IK tinggal 8.1% saja. Ini bermaksud pada tahun 2012, masih ada seramai 187, 674 Warga Malaysia di Sabah masih Miskin. Atau seramai 259,746 penduduk di Sabah Miskin termasuklah Bukan Warga Malaysia.


UB:Jumlah Orang Miskin Tegar?
DJA: Pada tahun 2007, Pendapatan Garis Kemiskinan Tegar (PGKT) adalah RM540 dengan Insiden Kemiskinan Tegar (IKT) 3.8% berbanding dengan pada tahun 2012, PGKT adalah RM660 dengan IKT berkurang ke 1.6%. Dengan kata lain dalam tahun 2012 ada seramai 37,071 Warga Negara Malaysia di Sabah masih Miskin Tegar. Atau seramai 51,307 penduduk Sabah Miskin Tegar termasuk Bukan Warga Malaysia. Orang Miskin Tegar dipanggil "Kunsikang" dalam dialek Dusun.


UB: Dalam tempoh 5 tahun, IK dan IKT telah berjaya dikurangkan separuh…boleh tahan juga lah..
DJA: Saudara perasaan tidak? Pendapatan Garis Kemiskinan (RM1090) lebih tinggi daripada Upah Minimum RM800 untuk Sabah…ganjil bukan?


UB: Upah Minimum yang dilaksanakan pada September 2012 oleh Kementerian Sumber Manusia Persekutuan telah "underestimate" kos sara hidup yang tinggi di Sabah….
DJA: mungkin…jugalah…Upah Minimum patutnya jadi benchmark kepada majikan, anggaran paras gaji yang membolehkan pekerja membayar keperluan asas. Ternyata Kementerian Sumber Manusia tidak merujuk kepada PGK yang dirumus oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan PM…


UB: Ok, sekarang kita tahu jumlah Orang Miskin dan Miskin Tegar yang akan menderita akibat kejatuhan Nilai Ringgit yang berterusan…
DJA: Nilai ringgit jatuh akan mewujudkan "Orang Miskin Baru".


UB: Berapa ramaikah daripada orang Sabah berpendapatan Menengah bakal menjadi Orang Miskin Baru akibat kejatuhan nilai Ringgit?
DJA- Individu dianggap berpendapatan Menengah sekiranya mempunyai Pendapatan Bulanan Isi-Rumah Purata (PBIRP) di antara RM1090 -4,013. PBIRP Sabah tahun 2007 hanya RM2, 837. Pada tahun 2012 ianya menjadi RM4, 013.


UB- Adakah cara lain untuk menganggar Jumlah Orang Berpendapatan rendah ?
DJA: Ada…Laporan Penyertaan Buruh. Tenaga Buruh seramai Sabah tahun 2012 adalah 1.579 juta orang tetapi hanya 1.494 juta Bekerja. Kadar Pengangguran 5.4% atau 85.3 ribu orang Sabah penganggur.


UB: Jumlah orang Bekerja di Sabah adalah 12% daripada jumlah orang bekerja di Malaysia. Siapa bilang orang Sabah malas?
DJA: Penyertaan Buruh di Sabah cukup kuantiti tetapi kurang kualiti. Hanya 15% daripada orang bekerja di Sabah berkelulusan Tertiari (universiti/kolej) , 46.2% tamat sekolah menengah, 29.9% tamat sekolah rendah dan 8.7% tidak berpendidikan formal. Tahap pendidikan yang rendah menyebabkan lebih separuh daripada orang Sabah bekerja dalam industri bergaji rendah. Ini adalah punca utama kenapa 26% bekerja dalam sektor Pertanian, perhutanan dan perikanan; 18.2% dalam sektor Perdagangan borong dan runcit, pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal dan 10.6% dalam sektor Pembinaan.


UB: Orang yang bergaji tinggi tidak ramai?
DJA: Tidak ramai dalam sektor bergaji tinggi…10.6% dalam sektor Pembuatan; 7% dalam penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman; 5.3% dalam pendidikan dan 4.9% dalam pentadbiran awam dan pertahanan.


UB: mungkin kerana KDNK Sabah berasaskan komoditi bahan mentah yang berNilai Tambah Rendah, tidak memerlukan ramai tenaga buruh mahir? Sektor produktiviti tinggi (gaji tinggi) seperti perindustrian teknologi tinggi tidak ada, penciptaan kerja bergaji tinggi yang baru sangat sedikit…
DJA: Saya rasa apa yang saudara Naddin katakan itu memang betul. Orang Sabah yang berpendidikan tinggi dan berkemahiran professional terpaksa berhijrah ke negeri lain atau luar negara kerana pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran mereka tidak banyak atau belum wujud di sini…

UB: Orang berpendapatan tetap dari pengajian, wang kebajikan, pencen dan Tabungan lain tidak perlu risau sebab barangan dan perkhidmatan tidak dijual-beli dalam Dollar.

DJA: Barangan dan perkhidmatan Perlu memang tidak "disebut" dalam Dollar dan harganya tidak berubah selepas nilai Ringgit jatuh. Yang berkurangan adalah Kuasa Membeli setiap Ringgit. Pengeluaran Barangan Perlu seperti bahan makanan biasanya menggunakan input diimport yang harganya melambung akibat kejatuhan nilai Ringgit. Orang Miskin yang bergaji Tetap terpaksa membelanjakan lebih banyak Ringgit untuk membeli jumlah barangan dan perkhidmatan yang sama. Kekangan bajet (budget constraint) akan memaksa mereka mengorbankan perubatan atau persekolahan anak-anak untuk membeli Makanan.


UB: Orang Sabah yang berpendapatan rendah sangat "vulnerable" kepada kejatuhan nilai Ringgit. ..

DJA: Ya, kejatuhan nilai Ringgit memberatkan lagi kos sara hidup orang kita yang rata-rata tinggal di bandar. Inflasi Merayap (Creeping Inflation) satu hal…sebenarnya 80% Perbelanjaan Isirumah orang kita adalah untuk membayar empat keperluan asas. (1) 38% untuk Makanan dan Minuman bukan alkohol; (2) 29% Perumahan, air, eletrik, gas dan bahan api ; (3) 8% Pengangkutan ; (4) 5% Komunikasi. Hanya 2% untuk kesihatan dan 1% persekolahan anak-anak. Kadar inflasi (Indek Harga Pengguna) Keperluan asas kategori (1) 7.5% diikuti oleh kategori (3) pada aras 4. % dan kategori (2) sebanyak 3%.



UB: Dulu DJA bilang, "inflasi itu seperti anai-anai memakan nilai Ringgit secara perlahan-lahan". Apa beza Inflasi dengan kejatuhan Nilai Tukaran Asing Ringgit?
DJA: Inflasi merujuk kepada kenaikan harga purata barangan dan perkhidmatan yang dibeli oleh pengguna untuk keperluan harian. Nilai Tukaran Asing Ringgit adalah harga Ringgit yang ditentukan oleh pasaran matawang antarabangsa. Kadar inflasi yang tinggi dan nilai ringgit yang rendah dari nilai sepatutnya akan mengurangkan kuasa beli Ringgit.


UB: Sangat jelas…ok… bagaimana dengan cukai GST? Propaganda parti yang memerintah selalu melaung-laungkan bahawa GST tidak membebankan rakyat kerana hampir semua Keperluan asas dikecualikan GST.
DJA: Malangnya, rata-rata supermarket mengenakan GST ke atas setiap pembelian. Cukai GST tidak adil kerana ianya membebankan orang Miskin lebih dari Orang Kaya. Para pengguna tidak atau belum tahu proses "rebate". Lagipun jumlah cukai dikenakan untuk setiap resit itu terlalu kecil berbanding dengan kos Meminta diBayar Balik. Kalau dikumpul sekalipun, mungkin tidak berbaloi lebih-lebih lagi kalau kita terpaksa berhadapan dengan kerenah birokrasi agensi pencukaian. Pengguna yang diBayar Balik sebenarnya masih dicukai secara tersirat. Ini kerana GST adalah Cukai Nilai Tambah Ad Volerem, 6% dikenakan atas jumlah pembelian input di setiap peringkat pengeluaran dan jual-beli di sepanjang Rangkaian Penawaran Barangan sehinggalah Barang Siap tersebut dibeli oleh pengguna. Orang kampong bilang..GST maksudnya "Gigit Sampai Tulang".


UB: Saya tertarik dengan apa yang DJ sebut mengenai barangan import tadi...apa contohnya..
DJA: Kuantiti Barang Perlu seperti beras yang dibeli oleh Orang Miskin tidak berubah walaupun harganya telah naik dengan mendadak. Kecuali kalau mereka sanggup membeli beras murah rendah kualiti, kurang khasiat atau kandungan kalori …rasanya kurang enak. Itupun ada 6% GST. Pengguna miskin membelanjakan sekurang-kurang 9% pendapatan untuk membeli beras.


UB: Apa kaitannya dengan kemerosotan nilai Ringgit?
DJA: Harga barangan keperluan seperti beras yang "terpaksa" diimport menjadi mahal. Yang kedua, apabila input pengeluaran padi tempatan seperti baja, jentera atau racun rumpai yang diimport menjadi mahal. Kenaikan harga barangan import ini sepatutnya dikongsi bersama oleh pengimport (atau pengeluar) dan pengguna.


UB: Tetapi bukankah pengeluaran bahan makanan menerima subsidi dari kerajaan? Kos pengeluaran termasuk kos import input-input pertanian tidak ditanggung 100% oleh petani penanam padi.

DJA: Subsidi pertanian bukan dari Kerajaan tetapi dari Pembayar Pembayar Cukai. Kos pengimportan input pengeluaran dibebankan kepada orang kita yang juga pembayar cukai. Pengeluaran beras di Sabah boleh menampung 60% keperluan tempatan tetapi separuh daripada input pengeluarannya adalah diimport. Keperluan beras yang selebihnya di import melalui BERNAS. Syarikat swasta yang mengimport sendiri tidak akan dapat bersaing dengan syarikat (seperti SAZARICE) yang memborong dari BERNAS yang didanai oleh wang pembayar cukai.



UB: Berapa banyak import beras Sabah?
DJA: Pada tahun 2012, Sabah mengimport 243.1 (000’ tan metrik) beras bernilai sebanyak RM425,792 (000’) dari Vietnam, Thailand, Pakistan, Semenanjung Malaysia (6.5%) ,Myanmar, Cambodia dan India. Sekiranya kuantiti Import beras pasca kejatuhan Nilai Ringgit sama dengan kuantiti Import tahun 2012, maka Nilai import beras akan meningkat kepada RM553, 529 (000’). Walaupun kos freight (pengangkutan) tidak berubah, harga beras yang diimport akan meningkat selagi nilai Ringgit jatuh berterusan.


UB: Apakah Barangan Perlu lain yang kita Import?

DJA: Ubat-ubatan dan peralatan rawatan penyakit penyakit kronik….Kejatuhan Nilai Ringgit menyebabkan perbelanjaan ke atas kesihatan yang sebelum ini hanya 2% akan melonjak ke 32%. Pengguna berpendapatan menengah yang sebelum ini mampu membiayai sendiri separuh daripada kos perubatan akan bersaing dengan pesakit pesakit Miskin untuk mendapatkan perubatan dari hospital awam yang dibiayai oleh pembayar cukai.



UB: Import Sabah keseluruhannya akan menjadi mahal berikutan kejatuhan Nilai Ringgit?
DJA: Berdasarkan jumlah import Sabah sebanyak RM37.4 billion tahun 2012, berikut adalah barangan Import yang akan bertambah mahal; 31.4% nilai import Jentera (untuk pertanian dan pembinaan) & Kelengkapan Pengangkutan, 17.9% Bahan Api, Galian, Pelincir dan lain-lain, 17.3% Barang-barang Keluaran Kilang, 10% Makanan,9.7% Bahan Kimia (Baja dan input pertanian lain) and selebihnya 13.7% yang Lain-lain.


UB: Kita sudah sampai dipenghujung temubual …saya ingin simpulkan bahawa kejatuhan mendadak Nilai Ringgit menyebabkan kemerosotan nilai Export, justeru nilai dan jumlah KDNK menguncup. KDNK per kapita jatuh, maksudnya Orang Miskin bertambah miskin. Kehidupan ekonomi para pengguna di Sabah semakin mendesak akibat peningkatan kos penggunaan dan barangan import.
DJA: Tepat sekali. Terima kasih atas peluang yang diberikan.

UB: Terima Kasih Doc, kerana sudi meluangkan masa.




 
 

No comments: