Thursday, December 31, 2015

HAJI MASRAN OMAR, PERNAH KERJA MENGUKUR LIMA GUNUNG

HAJI MASRAN OMAR, PERNAH KERJA MENGUKUR LIMA GUNUNG


BIARPUN diterpa angin dingin pergunungan, tetapi beliau tidak mengalah.Sebaliknya bersama empat lagi rakannya, mereka berlima meneruskan misi untuk membuat kerja-kerja mengukur tanah hingga ke Puncak Kinabalu, gunung yang tertinggi di Asia Tenggara. Selepas menyempurnakan kerja-kerja mengukur gunung Kinabalu, pada 1956, beliau juga pernah terlibat dalam kerja-kerja mengukur gunung di beberapa puncak gunung lain di negeri ini. Sayangnya, pengalaman beliau tidak mencatatkan rekod ekspedisi itu itu. Dokumentasi gambar sewaktu berada di gunung juga tidak tersimpan rapi. Mujurlah, bekas KAN, Haji Masran Omar sedia menceritakan sedikit pengalamannya ketika membuat kerja-kerja pengukuran gunung kepada Utusan Borneo walaupun banyak yang sudah luput dari ingatannya.
Haji Masran Haji Omar dilahirkan di Kota Belud pada 13 Jun 1940. Beliau mendapat pendidikan awal di GPS Kota Belud pada tahun 1947 sebelum berpindah ke GPS Pandasan hingga lulus darjah enam. Selepas itu beliau bekerja secara kontrak di North Borneo Land and Survey Department untuk membantu kerja-kerja mengukur tanah. Selepas itu, beloiau berkhidmat di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu pada tahun 1957. Pada tahun 1963, beliau bertugas di bahian Perubatan di Batalion 16, Pasukan Polis Hutan hingga tahun 1976. Kemudian beliau menceburi bidang perniagaan dan pernah menjadi pengedar tunggal baja urea di Sabah. Bagaimanapun, pada tahun 1986, beliau dilantik sebagai Ketua Anak Negeri (KAN) Kota Kinabalu selama 18 tahun hingga tahun 2000. Beliau pernah aktif dalam Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dan pernah dipilih sebagai Timbalan Ketua Bahagian USIA Kota Kinabalu. Selain itu, Haji Masran juga pernah menjadi Pengerusi Persatuan Sabah Bajau Bersatu (PSBB) Bahagian Tanjung Aru ketika persatuan itu dipimpin oleh Mashar Maidan. Beliau juga pernah aktif dalam Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Sabah.Kini walaupun sudah berusia 75 tahun,beliau masih aktif dalam kegiatan kemasyarakatan
Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN BIN SHAIDDIN sempat menemubual Haji Masran Omar sambil minum kopi di salah sebuah restoran popular di Jalan Pantai untuk berkongsi pelbagai pengalaman menarik yang pernah dilaluinya. Ikuti petikan temubual bersama beliau pada satu petang di ibu negeri;


UTUSAN BORNEO: Terima kasih kami ucapkan kepada tuan haji kerana sudi ditemuramah untuk ruangan Sembang Sabtu pada petang ini. Bolehkan tuan haji ceritakan sedikit mengenai latar belakang tuan haji?
HAJI MASRAN OMAR: Saya dilahirkan pada 13 Jun 1940 di Kota Belud. Sekolah pertama saya ialah GPS Kota Belud. Kemudian berpindah pula ke GPS Pandasan hinggalah tamat darjah Enam. Guru besar kami pada masa itu ialah arwah Cikgu Fadzilali. Setiap hari saya berjalan kaki dari rumah nenek saya Haji Dahlan,di Kampung Kaguraan ke Pandasan sebelum saya memiliki basikal raleigh, yang menjadi satu kebanggaan pada ketika itu.

UB: Tuan haji anak keberapa dalam keluarga?
HMO: Saya anak keempat dari lapan adik beradik. Angka lapan ini membawa tuah kepada saya walaupun sebenarnya terjadi secara kebetulan. Kebetulan ayah saya memiliki lapan adik beradik. Kami juga lapan adik beradik. Anak saya pun semuanya lapan adik beradik.


UB: Oh ya, syukurlah. Siapa adik beradik tuan haji?
HMO: Kita mulakan dengan ayah saya. Ayah saya , Haji Omar Keruak mempunyai lapan adik beradik. Adik beradik bapa saya ialah Dusin , Haji Omar,Ludin,Sindah.,Bu’ Ma,Sidum,Sintam atau lebih dikenali sebagai Tun Datuk Seri Panglima Haji Mohd Said Keruak. Beliau pernah menjadi Ketua Menteri Sabah dan pernah menjadi Yang Di Pertua Negeri Sabah.
Haji Omar berkahwin dengan Hajah Nusiah Datu Juan. Kami juga lapan adik beradik iaitu Simah Haji Omar, Kibah Haji Omar, saya Haji Masran Omar, Sarijemah Haji Omar, Gulungan Haji Omar, Jurupakal Haji Omar, Hajah Mastata Haji Omar, Lemabi Haji Omar.
Anak saya juga ada lapan orang dengan isteri saya, Juyah binti Hashim. iaitu Sadiah, Roslan, Asmawati, Fauziah, Sarimah, Azman,Mohd Nizam, dan seorang lagi meninggal dunia, dayang Melati, meninggal di Semenanjung.


UB: Selepas tamat sekolah, tuan haji kerja dimana?
HMO: Saya mendapat kerja ,kontrak di North Borneo Land and Survey Department .Jika tidak silap saya tahun 1956. Antara pengalaman yang saya tidak dapat lupakan ialah ketika kami ditugaskan untuk membuat kerja kerja menyukat gunung Kinabalu.


UB: Siapa rakan-rakan tuan haji?
HMO: Kami lima orang semuanya.Antara rakan saya ialah Mr Sowdos, Pegawai Jabatan Tanah dan Ukur,yang menjadi ketua, Wong orang Bajau Pirasan tukan pancang, saya Haji Masran Omar tukang rantai, Gagah orang bajau dari Pirasan juga dan satu orang Dusun dari Tamparuli kerja tukang rantis.


UB: Boleh ceritakan mengenai pengalaman kerja sukat tanah itu?
HMO: Dari Jesselton, kami ke Tamparuli.Dari Tamparuli kami ke Kampung Dalas. Dari Kampung Dalas kami berjalan lagi ke Tinampok. Dari sana kami mula mendaki.Kami bekerja mengukur jarak Puncak Low (Low Peak) bermula dari Tinompok ke Randagong di atas paras 8,000 kaki . Dari sana kami ke Paka, kami tidur di gua batu sebelum pergi ke Sayap. Di sana kami dirikan khemah. Sukat tanah. Semuanya mengambil masa selama 22 hari. Kami banyak dibantu oleh orang tua Gunting yang menyediakan porter.


UB: Bagaimana keadaan cuaca pada masa itu?
HMO: Keadaan di atas ketinggian gunung itu memang lah sejuk. Kami terpaksa panaskan air untuk mandi. Masa itu, jalan atau laluannya bukan bagus. Agak berbahaya jika dibandingkan dengan keadaan sekarang.Selama 22 hari di sana, ulang alik turun naik ke atas gunung untuk membuat kerja-kerja pengukuran bukanlah tugas yang mudah. Tapi kami berbangga, kerana kamilah orang yang pertama membuat kerja-kerja pengukuran hingga ke Puncak Low, puncak tertinggi Gunung Kinabalu.


UB: Berapa elaun sehari?
HMO: Kami diberikan elaun sebanyak 6.00 ringgit sehari. Jumlah ini agak lumayan pada masa itu.


UB: Selain gunung Kinabalu, ada gunung lain yang pernah disukat?
HMO: Selain gunung Kinabalu, beliau juga pernah terlibat ukur tanah di Gunung Trus Madi, Gunung Lembakau, Gunung nanukan dan Gunung Tambiyokan. Itu nama yang masih saya ingat.


UB: Mengapa puncak gunung itu dinamakan Puncak Low? Mungkin ada informasi untuk generasi muda kita yang ingin tahu?
HMO: Sepanjang yang saya tahu, Sir Hugh Low adalah orang pertama yang mengadakan ekspedisi ke gunung Kinabalu pada 1851. Ketika itu, beliau adalah Colonial Secretary di British Colony di Labuan. Beliau mengambil masa sembilan hari untuk sampai di kawasan kemuncak gunung ditemani seorang zoologist bernama John Whitehead dan Gunting Lagadan yang menjadi malim gunung dan beberapa orang Dusun di beberapa kampung berdekatan. Mereka memulakan pendakian itu dari Kampung Kiau berdekatan air terjun Kadamaian di sebelah selatan Gunung Kinabalu. Pada bulan April dan Julai 1858, Low dalam dua lagi misi pendakian ditemani Spencer St Jon, Konsul British di Brunei. Sebenarnya John Whitehead adalah orang pertama sampai ke puncak gunung itru pada 1888, walaupun ia dinamakan puncak Low tetapi Sir Hugh Low tidak sampai ke puncak gunung tertinggi itu. Ini menurut yang diberitahu kepada saya.

UB: Selepas itu, tuan haji kerja apa pula?
HMO: Lepas itu, kira-kira pada tahun 1957 saya bekerja di Hospital Queen Elizabeth sebagai Hospital Attendant, masa itu dikenali juga sebagai male assistant. Saya bekerja di bahagian X-ray. Saya yang jadi tukang gambar x-ray.Selepas itu, cuci gambar x-ray. Boleh dikatakan saya yang mengawal bahagian x-ray ketika itu sebelum dilihat oleh Dr Mita, Dr Sita.


UB: Kemudian dimana tuan berpindah?
HMO: Pada tahun 1963, saya berpindah di Batalion 16, Pasukan Polis Hutan. Saya ditempatkan di bahagian perubatan dibawah Haji Yusuf Samsudin. Saya yang jadi pembantunya. Tahun 1976, saya berhenti jadi polis. Kemudian beralih ke bidang perniagaan sebagai pembekal tunggal baja urea di Sabah. Syarikat kami dilantik membekalkan baja urea ke seluruh Sabah di Tawau, Sandakan dan sebagainya. Saya berterima kasih kepada Datuk Haji Yahya Lampong yang banyak membuka peluang pada masa itu. Selepas kekalahan Berjaya, pada 1986, saya dilantik pula sebagai KetuaAnak Negeri.


UB: Berapa lama bertugas sebagai Ketua Anak Negeri?
HMO: Saya berkhidmat sebagai Ketua Anak Negeri (KAN) dari tahun 1986 hingga tahun 2000. Ketua Daerah Kota Kinabalu pada masa itu ialah OKK Datuk Haji Murshidi Nambi dan OKK Eric Majimbun.


UB: Mungkin ada pengalaman menarik sewaktu menjadi KAN?
HMO: Kebanyakan kes yang saya bicarakan adalah berkaitan adat istiadat dan anak negeri. Saya pernah membicarakan seorang wanita yang tidak mahu meneruskan perkahwinan di Pulau Gaya. Apabila ditanya apa alasannya, dia berikan alasan datang bulan. Jika tidak silap saya mengenakan denda seekor kambing mengikut adat. Selain itu, saya juga pernah membicarakan kes dimana seorang wanita anak orang kenamaan kerana melemparkan kata-kata kesat. Saya kenakan denda seekor kambing juga mengikut adat istiadat anak negeri. Sebenarnya banyak yang boleh diceritakan tetapi itulah antara kes yang saya ingat.

UB: Terlibat dalam kegiatan NGO?
HMO: Saya banyak melibatkan diri dalam NGO. Antaranya saya pernah menjadi Timbalan Ketua USIA Bahagian Kota Kinabalu, Persatuan Sabah Bajau Bersatu (PSBB) Bahagian Tanjung Aru dimana ketika itu PSBB dipimpin arwah Mashar Maidan.


UB: Akhir sekali, bolehkah tuan haji tinggalkan sedikit kata-kata pesanan atau nasihat untuk pembaca?
HMO: Dalam apapun tugas dan kerja yang saya lakukan, saya tidak pernah lupakan tanggungjawab saya kepada keluarga. Keutamaan saya adalah kepada keluarga.Kehidupan saya adalah untuk keluarga. I Love My Family. Saya cintakan keluarga saya.

UTUSAN BORNEO 26 DIS 2015

No comments: