Thursday, December 31, 2015

KEJAYAAN FELICIA DAPAT PERHATIAN KAPSA


KEJAYAAN FELICIA DAPAT PERHATIAN KAPSA


TAMBUNAN: Kejayaan Felicia binti Mikat memenangi tiga pingat emas bagi acara 100 meter, 200 meter dan 400 meter dalam Sukan Para Asean Singapura 2015 sekalipun diluar dugaan tetapi bukanlah sesuatu yang datang secara tiba-tiba.
Sebelum ini, Felicia yang lebih dikenali sebagai Lincia di kalangan keluarga di kampungnya, Kampung Kipaku Tambunan, pernah menorehkan beberapa kejayaan cemerlang.
adis berusia 16 tahun itu pernah terpilih sebagai Olahragawati Keseluruhan Balapan dan Padang Pendidikan Khas 1 Malaysia Peringkat Kebangsaan pada tahun ini.
“Saya mula serius berkecimpung dalam sukan sejak berumur 13 tahun,” kata pelajar yang kini menuntut dalam tingkatan empat di SMK Badin Tuaran.
Ketika mewakili sekolahnya, Felicia terpilih memenangi Olahragawati SPK Pekan Tuaran, Olahragawati Sukan Tahunan Sekolah Pendidikan Khas Tuaran
Felicia juga memenangi pingat emas 100 m, 200 m dan lompat jauh Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) sejak berusia 13 tahun, Memenangi Pingat emas acara 100 meter, 200 meter, 400 meter dan Lompat Jauh Sukan Sekolah Peringkat Negeri Sabah sejak 13 tahun.
Bukan saja dalam sukan, dalam bidang akademik pun Felicia mencatatkan kecemerlangan.
Felicia pernah terpilih memenangi tempat pertama dalam pencapaian akademik 2007, Anugerah Murid Inovatif 2006, Anugerah Mata Pelajaran Terbaik Tahap 1 2007, Tempat Pertama SMK badin, Peserta Terbaik Perempuan Perkhemahan Bersepadu Pengakap.
“Saya selalu beri besan kepada Lincia agar utamakan dua perkara, belajar dan sukan,” kata ayahnya Mikat bin Yamun.
“Saya tidak sangka-sangka dia menang,” kata Mikat yang juga Ketua Kampung Kipaku.
Di kampungnya, Felicia tidak menjalani apa-apa latihan khusus. Felicia hanya suka mengikut bapanya untuk menoreh getah.

Felicia, anak ketiga dari empat adik beradik ini hanya berlatih tiga kali seminggu bila ada kejohanan. Jurulatih yang pernah melatihnya ialah Tony Sawan, jurulatih paralimpik, dan Brayan Bonny, Jurulatih MSSM dan lain-lain.
Dalam keluarganya, hanya Felicia dan abangnya yang aktif dalam sukan. Abangnya pernah jadi wakil dealam acara bolasepak.
“Saya gembira kerana beliau berjaya mengharumkan nama Malaysia,”. Tidak semua orang mampu mencatat kejayaan seperti itu kata Ibunya Nimah binti Botingan.
Saya terkejut kerana dia menang, katanya ibunya lagi.
Bagi Felicia sendiri, kejayaan itu adalah yang pertama dicipta di luar negara.
“Saya gembira kerana dapat menyumbangkan pingat emas untuk negara,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada keluarga, rakan-rakan dan jurulatih yang menyumbang hingga beliau berjaya.
Matlamat seterusnya ialah kejohanan Sukan Para Asean 2017 dan berazam untuk mempertahankan pingat emas yang dimenanginya walaupun dijangka menerima tentangan sengit dari peserta lain.
Di Singapura, kontinjen Malaysia yang terdiri daripada 314 atlet dan pegawai menduduki tempat ketiga keseluruhan di belakang Thailand dan Indonesia dengan 52 emas, 58 perak dan 37 gangsa.
Thailand muncul juara keseluruhan dengan 94 emas, 76 perak, 79 gangsa diikuti Indonesia 81 emas, 74 perak 63 gangsa.
Selain menjadi seorang guru yang menjadi cita-citanya,, Felicia juga menyimpan tekad dan impian untuk menjadi pelari bertaraf dunia.
Kejayaan Felicia mengharumkan nama negara itu turut menarik perhatian banyak pihak termasuk Kelab Kakitangan Jabatan Penerangan (KAPSA) untuk turut menyumbang memberikan galakan.
“Tujuan kami adalah untuk menyampaikan penghargaan kepada adik Felicia kerana kejayaannya menang pingat emas di Singapura.Kami tumpang berbangga,” kata Timbalan Pengerusi Kapsa, Yunus Haji Saprin yang juga Timbalan Pengarah Penerangan Sabah.
“Kejayaan itu amatlah membanggakan kita,” katanya dalam satu majlis ringkas penyampaian insentif sebanyak RM1,500 daripada Penasihat Kapsa di kediaman Felicia di Kampung Kipaku, Tambunan Sabah
Penasihat Kapsa., Dato Mohd Saidi Haji Sariah itu berkata, insentif itu adalah sebagai penghargaan kepada adik Felicia kerana menang tiga pingat emas dalam Sukan Paralimpik di Singapura.
Beliau memberikan insentif sebanyak RM500 bagi setiap pingat emas yang dimenangi, menjadi jumlah keseluruhannya RM1,500.
Katanya, dengan galakan keluarga, pihak sekolah, MSSS dan KBS, beliau menyatakan keyakinannya bahawa Felicia akan terus maju dan mampu memenangi pingat emas dalam kejohanan yang akan datang.
“Kita juga berharap lebih ramai lagi Felicia yang lahir pada masa hadapan,” katanya sambil menyatakan rasa kagum dengan cara dan gaya Felicia memecut seperti Usayn Bolt.
Beliau juga menyampaikan sumbangan sempena Krismas kepada keluarga Felicia untuk menyambut krismas.
Katanya, sumbangan itu adalah sumbangan korporat yang disampaikan melalui syarikatnya, Empayar Emas Industries Sdn.Bhd.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Penolong Pengarah Penerangan Sabah,Iskandar Ismail, Ibubapa Felicia dan media.


UTUSAN BORNEO 26 DIS 2015


















No comments: