Thursday, December 31, 2015

ORANG BILANG SAYA GILA, KATA DATO FREDIE SUA


ORANG BILANG SAYA GILA, KATA DATO’ FREDIE SUA
Orang bilang saya gila, kata Dato’ Fredie Sua. “Apabila saya mempunyai sesuatu idea, biasanya saya simpan dahulu untuk diri sendiri. Saya buat perancangan dengan teliti. Bila masanya sudah sampai, barulah laksanakan” kata Pengerusi penganjur Tour of Borneo yang baru saja dilaksanakan awal bulan ini. Tour of Borneo atau Jelajah Borneo itu berjaya menempatkan Sabah di pentas dunia dalam sukan lumba basikal. Kejohanan itu mendapat pengiktirafan daripada Union Cycliste Internationale (UCI), Asian Cycling Confederation (ACC), Malaysian National Cycling Federation (MNCF).


Kini Jelajah Borneo, perlumbaan sejauh 646.4 kilometer itu sudahpun berlangsung dengan jayanya. Kejayaan kejohanan lumba basikal itu tidak lepas daripada sentuhan orang kuat yang menjadi tulang belakang Tour of Borneo, Dato’ Fredie Sua.


Dato’ Fredie Sua dilahirkan di Kota Kinabalu pada tahun 1964. Ayahnya Benedict Sua dari Penampang manakala ibunya Nining Balit dari suku Lotud Tuaran. Anak kedua dari enam adik beradik ini mendapat pendidikan awal di SJK (C) Chi Hwa di Sandakan dari tahun 1969 hingga 1970 sebelum melanjutkan pelajaran di SRJK St Aloysius Limbanak dalam darjah tiga hingga darjah enam. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran menengah di SM La Salle pada tahun 1977 dari tingkatan satu hingga tingkatan tiga. Kemudian beliau bersekolah di SM Datuk Peter Mojuntin dari tingkatan empat hingga tingkatan lima. Tidak lama kemudian, beliau terbang ke Kanada pada tahun 1981 untuk mengikuti pengajian di Universiti Gualph Ontario hingga tamat tahun 1985 dalam bidang pengurusan ekonomi agri bisnis. Dato’ Fredie menceburi arena politik pada tahun 1991 melalui parti UMNO di Penampang. Beliau pernah menjadi Timbalan Ketua UMNO Bahagian Penampang dari tahun 2000 hingga 2008. Dari tahun 2008 hingga 2013, beliau menjadi Ketua Cawangan dan kini beliau menumpukan banyak masanya sebagai Ketua Eksekutif Kumpulan Total Megalink Sdn Bhd. Selain itu, beliau juga adalah Presiden Persatuan Suang Lotud sejak 2009 dan Pengerusi Kerjasama Perniagaan Sabah- Filipina.
Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemubual DATO’ FREDIE CHUA di pejabatnya di Menara MAA baru-baru ini. Ikuti petikan temubual bersama beliau mengenai Tour of Borneo, minatnya dalam sukan lumba basikal dan sebagainya.


UTUSAN BORNEO: Sukan lumba basikal semakin menarik perhatian masyarakat sejak Tour of Borneo atau Jelajah Borneo diadakan. Bolehkah Dato ceritakan serba sedikit mengenai Tour of Borneo (TOB) itu?
DATO’ FREDIE SUA: Tour of Borneo mula diadakan pada tahun 2012. Edisi kedua TOB diadakan pada tahun 2013 manakala edisi ketiga baru saja selesai iaitu pada 31 Oktober hingga 4 November yang diadakan dalam lima peringkat merangkumi laluan sejauh 646.4 km. Perlumbaan Jelajah Borneo atau TOB ini berjaya mengangkat nama Sabah ke sukan lumba basikal di peringkat antarabangsa. TOB yang dianjurkan oleh Borneo International Cycling (BIC) dan Cycling Association Tuaran (CAT) adalah satu perlumbaan yang mendapat pengiktirafan daripada Union Cycliste Internationale, Asian Cycling Confederation (ACC),Malaysian National Cycling Federation (MNCF). Sejak diadakan, TOB mendapat tumpuan pelumba-pelumba basikal dari banyak negara di seluruh dunia.


UB: Siapa antara peserta yang menyertai TOB 2015?


FREDIE: Antara peserta antarabangsa yang mengikuti TOB ini ialah Mark John Lexer Galedo dari Team 7-Eleven Road Bike Filipina yang diketuai Mark John Lexer Galedo, Pasukan Retumu-Delfin dari Latvia, Data # 3 Symantec dari Australia, Al Marakeb dari Morocco, Team Soigneur dari Denmark, Team CCN dari Laos, Pasukan Kebangsaan Brunei dan Pegasus Continental Cycling Team dari Indonesia disamping Pasukan Kebangsaan Indonesia. Pasukan Malaysia diwakili pasukan berbasikal Terengganu (TSG) yang disertai mantan juara kebangsaan, Adiq Husaine Othman. Itu adalah antara pasukan yang mengambil bahagian dalam perlumbaan yang diadakan dalam lima peringkat. Peringkat pertama sejauh 27.2 km di WP Labuan, peringkat kedua sejauh 138.9 mengelilingi pulau itu sebelum peringkat ketiga yang merangkumi kawasan sejauh 149.7 km dari Menumbok ke Kuala Penyu. Peringkat keempat diadakan dari Tuaran ke Kudat meliputi laluan sedjauh 149.5 km dan manakala peringlat terakhir, yang paling mencabar ialah dari Kudat ke Kundasang, mengayuh ke kaki gunung Kinabalu sejauh 181.1 km. Itulah secara ringkas mengenai TOB 2015.

UB: Sebelum pergi jauh, saya ingin bertanya bagaimana Dato’ mendapat idea untuk menganjurkan TOB di Sabah?


FREDIE: Saya mendapat idea untuk menganjurkan Tour of Borneo (TOB) setelah menyaksikan Le Tour de Langkawi (LTdL). Jelajah itu diadakan di Langkawi dan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia. Pernah satu ketika, satu `stage’ LTdL diadakan di Sarawak. Tetapi selepas itu tidak lagi mungkin kerana kos pengangkutan.


Saya terfikir untuk mengadakan Jelajah Borneo yang diadakan di Sabah untuk memperkenalkan tempat-tempat yang menarik di Sabah. Edidsi pertama kita akan pada tahun 2012 iaitu dari Semporna ke Tawau, kemudian peringkat kedua dari Tawau ke Lahad Datu. Peringkat ketiga dari Lahad Datu ke Sandakan manakala peringkat keempat dari Sepilok dan peringkat kelima dari Kundasang ke Kota Kinabalu.


Kita dapati pengalaman edisi pertama TOB itu adalah masalah sedikit kerana laluan yang kita pilih itu tidak mempunyai laluan kedua atau lauan alternatif. Oleh sebab itu, ia kadang-kadang mengganggu ketenteraman lalu lintas dan pengguna. Dulu kita terpaksa tutup jalan buat seketika untuk membolehkan peserta TOB melaluinya tetapi dalam TOB, kebanyakan jalanraya yang kita pilih mempunyai laluan alternatif.


Edisi kedua TOB kita dapat kurangkan masalah. Ia diadakan di pantai Barat bermula dari I Borneo ke Tuaran, Dari Tuaran Ke Kota Belud selepas itu dari Tanjung Aru ke Papar hingga Beaufort, kemudian dari Tuaran ke Penampang dan seterusnya KK dimana semua laluan itu mempunyai laluan alternatif.


Kita memilih laluan ini, salah satu sebabnya adalah untuk memperkenalkan tempat-tempat ini sebagai tempat menarik yang boleh menarik pelancong. Laluan kita pilih meliputi kawasan Pantai Timur Sabah, kawasan yang memang sudah popular. Begitu juga Kundasang yang memang sudah popular di kalangan pelancong.

UB: Bagaimana TOB boleh membantu meningkatkan ekonomi kita?


FREDIE:TOB kini sudah masuk dalam kalendar Asean dan sudah tentu akan menarik lebih ramai pelumba untuk datang ke negeri ini. Selain perlumbaan ,peminat sukan lumba basikal melihat ini sebagai satu bentuk rekreasi.


Apa bila ramai peserta atau pelumba basikal menyertai TOB,dengan sendirinya kawasan yang dilalui akan dapat dipromosi melalui media-media tempatan dan luar negeri. Ia juga dapat dipromosi melalui rangkaian tv melalui program dokumentari. Dengan sendirinya, ia menarik lebih ramai pelancong.


Kita juga melihat semenjak sukan berbasikal ini dipopularkan, semakin ramai yang mula menceburi sukan beerbasikal. Beberapa kedai basikal yang menjual pelbagai jenis basikal, semi pro hingga basikal berjenama mula menjadi tumpuan ramai. Peningkatan minat orang ramai menyebabkan industri ini turut meningkat. Bukan saja jualan basikal, tetapi peralatan lain seperti kasut, baju, topi dan sebagainya, jualannya turut meningkat. Ini adalah satu industri yang berpotensi di Sabah. Pasaran basikal kini meningkat.


Melalui TOB kita dapat menarik 1.5 juta nilai liputan media tidak termasuk liputan berita, Edisi kedua hampir RM2 juta nilai liputan tidak termasuk liputan berita.Edisi ketuga lebih banyak daripada ini , kerana kebih banyak media tempatan dan luar yang membuat liputan.


UB: Bagaimana pula mengenai kualiti pelumba yang menyertai perlumbaan pada edisi kali ini?
FREDIE: Pada keseluruhannya mutu semakin meningkat. Daripada 69 pelumba yang menyertai TOB kali ini, 57 daripada dapat meneruskan perlumbaan ke peringkat akhir. Tidak ramai yang terkeluar.Mereka cukup bersedia untuk mengikuti TOB. Sebelum ini,dalam edisi pertama, daripada 120 penyertaan, hanya 41 dapat berjaya menghabiskan perlumbaan. Ada banyak sebab mengapa mereka tidak dapat meneruskan perlumbaan. Ada yang cedera dan ada pula kerana dinasihatkan tidak meneruskan perlumbaan.


UB: Bagaimana mengenai mutu jalan raya?
FREDIE:Standard jalanraya kita memang tidak sebaik kualiti lebuh raya di Semenanjung yang mempunyai tol. Kita masih ketinggalan dari segi kualiti jalan raya. Kualiti jalan raya walaupun berkeadaan baik taoi tidak seberapa rata. Sebelum perlumbaan, kita memastikan tiada ketulan batu, tiada ranting kecil atau lubang kecil yang terdapat di laluan perlumbaan kerana ia membahayakan pelumba. Setiap kali sebelum memulakan perlumbaan, kita selalu mengingatkan pelumba dan memberikan taklimat kepada mereka mengenai bentuk mukabumi dan bentuk jalan yang mereka lalui.

UB: Sebelum ini, pernahkah Dato melihat kejohanan di luar negara?
FREDIE: Saya pernah melihat Tour de France pada ediusi ke 103. Saya juga pernah berada di Switzerland dan secara kebetulan berkesempatan melihat kejohanan lumba basikal di Switzerland.


UB: Oh ya. Kalau boleh berkongsi, bagaimana reaksi orang ramai sebaik-baik Dato menimbulkan idea mengadakan kejohanan lumba basikal Tour de Borneo?
FREDIE: Orang bilang saya gila. Apabila saya mempunyai sesuatu idea, biasanya saya simpan dahulu untuk diri sendiri. Saya buat perancangan dengan teliti. Bila masanya sudah sampai, barulah laksanakan. Saya bukan cari nama, bukan cari untung tapi saya lakukan semua ini demi negeri dan negara, kita berusaha untuk menempatkan negeri dan negara kita di peta dunia dalam lumba basikal.

No comments: