Khamis, 31 Disember 2015

SAYA TIDAK MENYESAL,KATA SAIDON

Tags

SAYA TIDAK MENYESAL,KATA SAIDON


SATU ketika di tahun 1986, beliau pernah dihalau dituduh penderhaka dan pengkhianat.Malah selepas itu beliau dihalau dari dewan persidangan dan dipecat daripada parti USNO. Sebabnya kerana dalam Perhimpunan Agung USNO, beliau mengemukakan usul untuk membawa UMNO ke Sabah. Usulnya tidak diterima pada waktu itu malahan dikenakan tindakan disiplin. “Saya tidak menyesal,” kata Saidon Haji Kadis kerana mencadangkan UMNO mengembangkan sayap ke Sabah. Kini semuanya adalah sejarah. Selepas sekian lama menjarakkan diri dari kegiatan politik praktis, beliau kembali aktif dalam parti UMNO selepas dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian Sepanggar pada Ogos lepas.


SAIDON HAJI KADIS dilahirkan di Kampung Likas, Kota Kinabalu pada tahun 1954. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Likas dari tahun 1963 hingga 1968 sebelum melanjutkan pendidikan menengah di SM All Saints hingga tahun 1973. Selepas itu beliau bekerja di Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) sebelum meneruskan pengajian di peringkat diploma di YS-ITM dalam bidang Pentadbiran dan Undang-Undang pada tahun 1977 hingga 1980. Sebaik tamat pengajian, beliau menceburkan diri dalam politik seawal tahun 1981. Beliau pernah menjadi Ketua Bahagian USNO Likas dan pernah bertanding pada tahun 1985.Ketika itu beliau berusia 29 tahun tetapi kurang bernasib baik. Sementara itu, beliau menyaksikan perpecahan di kalangan pemimpin bumiputera Islam hingga menyebabkan beliau mengusulkan agar UMNO mengembangkan sayapnya ke Sabah. Usul itu mendapat tentangan di peringkat awal dan melalui proses yang tidak mudah.Namun kemudian, setelah melalui pelbagai peristiwa politik, akhirnya UMNO menngembangkan sayapnya ke Sabah pada tahun 1991 dan selebihnya adalah sejarah.


Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berkesempatan menemuramah beliau di ibu negeri baru-baru ini untuk berkongsi pengalaman beliau sewaktu mula terlibat dalam politik. Ikuti petikan temuramah bersama beliau:


UTUSAN BORNEO: Sebagai antara orang yang pertama mengusulkan agar UMNO mengembangkan sayapnya ke Sabah, bolehkah tuan menceritakan sedikit mengenai latar peristiwa itu supaya dapat difahami generasi kini?


SAIDON HAJI KADIS: Terlalu banyak perpecahan di kalangan pemimpin khususnya di kalangan orang Islam pada masa itu. Ketika itu USNO baru saja mengalami kekalahan dalam pilihanraya. Bagaimana menyatukan mereka. Itu adalah antara yang terfikir di di benak saya selepas tewas dalam pilihanraya sebagai calon USNO N.28 Likas. Waktu itu umur saya 29 tahun, boleh dikira sebagai calon yang termuda.


Sebagai Ketua Bahagian USNO Likas pada masa itu, saya fikir kenapa kita tidak jemput UMNO Ke Sabah untuk menyatukan pemimpin yang bertentangan ideologi pada waktu itu. Terlalu banyak perpecahan. Terlalu banyak parti yang diketuai orang Islam. Soalnya, bagaimana cara menyatukan tenaga dan fikiran mereka. Saya fikir, hanya melalui UMNO, Kita boleh satukan pemimpin Islam dalam Berjaya, dalam USNO dan sebagainya.


Kemudian saya kemukakan usul dalam Perhimpunan Agung USNO 1986. Akibatnya saya kena pecat dan dihalau dari Dewan Persidangan dan dituduh sebagai penderhaka dan pengkhianat pada waktu itu. Walaupun menerima tuduhan seperti itu, saya tidak menyesal.


UB: Selepas itu, apa tindakan yang tuan lakukan?


SAIDON: Kami meneruskan usaha untuk membawa UMNO ke Sabah. Pada waktu itu kami berjumpa dengan YAB Tun Dr Mahathir Mohammad, Presiden UMNO ketika itu, beberapa kali dalam 1986 untuk mengemukakan pandangan mengenai bagaimana caranya kita memasukkan UMNO ke Sabah.


Untuk membolehkan kita bergerak, kita bentuk satu jawatankuasa penaja UMNO Negeri yang diketuai Datuk Seri Mohd Dun Banir, Datu Nasrun Datu Mansur Ketua Penerangan, Azizah Mohd Dun (Kini Datuk) sebagaui Ketua Wanita, Saya Saidon Kadis dilantik sebagai Ketua Penaja Pemuda UMNO Negeri.


Saya fikir pada masa itu, Tun Dr Mahathir mahu UMNO bertapak di Sabah mungkin kerana masa itu ada ura-ura beliau mahu ditentang oleh Tengku Razaliegh Hamzah dalam pemilhan pucuk pimpinan UMNO 1987.


Kemudian apabila berlaku pertandingan antara Tun Dr Mahathir dan Tengku Razaliegh, Tun Mahathir menang dengan 42 undi. Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Pelajaran waktu itu, datang ke Sabah memaklumkan kepada kami bahawa belum sampai masanya untuk UMNO ke Sabah iaitu setelah Tun Dr Mahathir menang dalam pemilihan itu.


Kes itu kemudian di bawa ke Mahkamah dan UMNO diharamkan pada 1988. Waktu itu kami sudah slow down sehinggalah satu peristiwa politik berlaku apabila Parti Bersatu Sabah, komponen BN mengambil keputusan keluar dari Barisan Nasional pada 15 Oktober 1990.


Pucuk pimpinan UMNO dengan serta merta buat keputusan UMNO perlu bertapak di Sabah setelah PBS umum keluar BN di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu iaitu menjelang pilihanraya umum. Sehinggakan USNO tidak sempat meletakkan calon kerana keesokan harinya pilihanraya. Pada hari penamaan calon, kita terpaksa sokong calon Bebas.


UB: Bila UMNO bertapak di Sabah?


SAIDON: Apabila UMNO mahu bertapak di Sabah, ia tidak boleh sewenang-wenang masuk ke Sabah kerana waktu itu masih ada USNO.Kemudian berlaku perundingan antara USNO dan UMNO.


Antara persetujuan yang dicapai ialah semua ahli USNO automatik jadi ahli UMNO. Kedua semua cawangan USNO secara automatik menjadi cawangan UMNO.


Sebagai makluman , Bahagian-bahagian UMNO dibentuk berdasarkan Kawasan Parlimen manakala bahagian-bahagian USNO berdasarkan DUN. Jadi apabila UMNO mengembangkan sayapnya ke Sabah, sebanyak 20 Bahagian UMNO dibentuk di Sabah. Seramai 16 Ketua Bahagian USNO dilantik sebagai Ketua Penaja UMNO manakala empat orang lagi dilantik dari kalangan pemimpin di luar USNO.


Empat pemimpin ialah ialah Datuk Mohd Dun Banir, Datuk Zulkifli Abdul Hamid,Datuk Karim Ghani, Datuk Kasitah Gaddam (kini Tan Sri) dan Datuk Abdul Rahim Ismail.


Saya pula dilantik sebagai Setiausaha UMNO Bahagian Gaya (kini kawasan itu dikenali sebagai Sepanggar) yang diketuai Datuk Haji Dzulkifli Abdul Hamid sebagai ketua penaja bahagian.


Pada 21 Februari 1991, Tun Datu Haji Mustapha Datu Harun menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Tun Ghafar Baba, yang dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah pada masa itu.


Kemudian selepas itu, diadakan pemilihan UMNO dan saya menawarkan diri untuk bertanding dan menang sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gaya.


Bagaimanapun, pada 1996 saya kalah sebanyak enam undi kepada Datuk Hussin Wahid Dally untuk jawatan Ketua Bahagian UMNO. Saya kemudian mengambil keputusan untuk berehat, malah jawatan Ketua Cawangan UMNO Likas Lama saya serahkan kepada adik saya.


Kemudian pada Ogos lepas, setelah berlaku sedikit rombakan di Bahagian Sepanggar selepas Ketua Bahagian digantung keahlian, saya diminta oleh Pemangku Ketua Bahagian, Datuk Yakub Khan untuk menjadi Ketua Penerangan UMNO Sepanggar.


Sebenarnya saya tidak mahu lagi terlibat dalam politik, sudah cukup.Kita beri laluan kepada pemimpin muda tetapi Datuk Yakub yang dilantik sebagai Pemangku ketua Bahagian meyakinkan saya supaya ikut menyumbang dan memainkan peranan mengukuhkan parti.


UB: Apa beza politik dulu dengan sekarang, menurut pandangan tuan?


SAIDON: Dulu orang sanggup berkorban apa saja demi perjuangan membela rakyat. Jika kita menjemput orang dalam apa saja majlis, orang tidak terlalu mengambil kira kepentingan material. Orang datang secara sukarela, dengan hati yang ikhlas. Semasa saya menjadi Ketua Bahagian USNO, tidak ramai yang mahu jadi pemimpin. Mahu pilih ketua cawangan pun susah kerana tiada yang mahu. Tapi sekarang keadaan agak berbeza.


Selain itu, perkembangan teknologi maklumat tidaklah seperti sekarang. Rakyat terutamanya generasi muda kini mempunyai akses terhadap apa saja maklumat melalui internet. Masa dulu tak ada sosial media. Orang masih mahu dengar ceramah-ceramah sebagai wadah menyampaikan maklumat. Bila kita adakan akitiviti,, ramai yang datang.


Saya perhatikan, dulu orang khususnya dalam parti saling hormat menghormati sampai perkara yang mahu dilakukan atau dilontarkan tidak sanpai menyinggung perasaan pemimpin, tidak seperti sekarang. Teknologi maklumat berkembang seiring dengan pembangunan negara kita. Oleh sebab itu, apa yang berlaku sekarang, kita kena ikuti.Perkembangan semasa kita kena ikuti. Apa juga tohmahan pembangkang terhadap kerajaan dan UMNO perlu kita tangani dan hadapi. Masalahnya sekarang ramai orang yang lebih percaya kepada persepsi daripada fakta. Orang selalu melihat persepsi dan menyangka itulah realiti. Sebenarnya apa yang mereka baca dalam media sosial adalah persepsi yang sengaja direka untuk meracun fikiran rakyat supaya menentang kerajaan.


UB: Bagaimana cara tuan untuk menangani masalah persepsi ini?


SAIDON: Sejak mengambil alih tugas sebagai Ketua Penerangan, saya sudah bersiap sedia untuk memperbetulkan persepsi yang salah yang dilemparkan oleh media sosial melalui program yang kita aturkan. Setiap bulan kita mengadakan tiga program yang dinamakan Program Membara di setiap kawasan Pusat Daerah Mengundi. Dengan adanya program itu, kita boleh jelaskan kepada rakyat, fakta yang sebenar, fakta yang sengaja diputarbelit oleh golongan pembangkang di media sosial.


UB: Bagaimana sambutan masyarakat?


SAIDON: Sambutan menggalakkan kerana cara pendekatan kita. Kita berkumpul, kita fokus masalah rakyat, kita buat program dalam skala kecil-kecilan untuk lebih dekat dan memahami setiap permasalahan rakyat.
Selain itu, kita anjur seminar keusahawanan wanita, kita anjur pertandingan pidato peringkat kampung, kita adakan karnival dan sebagainya.


UB: Oh ya, pernahkah tuan terfikir menjadi ahli politik?
SAIDON: Sebenarnya saya tidak pernah memikirkan pada waktu dulu. Cuma dulu saya suka melihat tayangan gambar oleh jabatan penerangan yang selalu diadakan di Padang Likas. Waktu itu, Mendiang Datuk Pang Tet Chung selalu berucap di kawasan Likas. Masa itu saya fikir alangkah baiknya jika ada orang kita yang berucap mewakili suara masyarakatnya. Mungkin kesedaran berpolitik itu bermula dari sana kerana melihat keadaan masyarakat kita yang masih jauh ketinggalan. Kita terpanggil untuk berjuang untuk membela kepentingan rakyat agar turut sama menikmati kemajuan dan pembangunan negara.