Tuesday, August 25, 2015

Dari soal bob yang suka puisi Sapardi hingga soal Arnab menang karangan Fawzan



1.  Bob peminat puisi
Mungkin secara kebetulan saya ketemu Bob dalam perut City Bus.Saya sudah lama mengenalnya iaitu sejak UMNO mula-mula masuk ke Sabah. Saya mengenalnya sebagai seorang aktivis politik.Biasanya percakapan  dengan orang politik hanya berkisar isu-isu politik dengan segala titik bengiknya yang sudah lama diperkatakan orang.
Tetapi percakapan dengan Bob kali ini ialah mengenai puisi.
Katanya, dia sering membaca puisi-puisi karya penyair-penyair Sabah. "Saya suka baca antologi puisi Stensil Pari-pari, karya adikmu ka atau abangmu ka itu.Saya sangat minat dengan puisi yang ditulisnya. Dia menulis puisi-puisi yang mendalam dari segi bahasanya,"katanya.
Dalam hati saya,bob sekadar basa basi, mungkin kerana lama tak jumpa,maka dia menyatakan pula dia minat puisi.
Saya agak teruja kerana Bob memberitahu, buku puisi Sapardi Djoko Damono, Sihir Hujan- yang menjadi santapan malamnya sebelum tidur. Dia biasa meletak antologi puisi itu di bawah  bantal.
Selain Sapardi, Bob menyebut nama-nama seperti Rendra, Taufiq Ismail, Emha Ainun Najib sebagai antara penyair yang pernah dibacanya.Saya tabik kepada Bob kerana dicelah-celah kesibukannya beliau masih boleh bercerita mengenai puisi.


2. Terpaksa bergegas ke terminal walaupun karangan belum ada intro.




Saya memang agak terburu-buru menyiapkan artikel wawancara untuk ruangan Sembang Sabtu. Artikel harus siap sebelum saya berangkat ke Keningau menghadiri Sambutan Minggu Perpaduan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang JPNIN peringkat negeri. Mujurlah jam 4.30 petang, artikel sudah siap kecuali bahagian intro. Saya terus saja ke terminal bas kerana bas Tung Ma berangkat jam 5.00 petang. Ketika bas bergerak itu, saya masih menulis lagi bahagian intro dan menyunting mana yang perlu. Nasib baik jalan agak sesak. Bas bergerak agak perlahan dan saya dapat menaip dengan selesa dan menghantar emel sebelum hilang isyarat talian.


Setibanya di KM 40 Jalan Kimanis-Keningau  saya sempat menyaksikan  kereta yang terbabas menyebabkan lima sekeluarga maut manakala seorang kanak-kanak dua tahun dihantar ke hospital Queen Elizabeth untuk menerima rawatan lanjut.




3.  Tiba di terminal Tung Ma dan makan bersama Amran dan Dalan
Kira-kira 15 minit sebelum jam 8.00 saya tiba di bandar terbesar di pedalaman Sabah itu. Saya tidak terus ke Anggerik Boutique Hotel sebaliknya mencari tempat makan. Kebetulan pula terjumpa Saudara Amran Sopoh dan seorang kawan, namanya D, Pengerusi RT di Bariawa, orang dusun KB, berasal dari Kelawat, yang menjadi Timbalan Pengerusi Persatuan Sama Sabah di Keningau. Beliau mampu bercakap bahasa Bajau dengan baik kerana kebanyakan orang Kota Belud boleh  bercakap bajau. Dalan, sudah `duai sama' atau memeluk Islam sudah sejak lama. Beliau sudah berpindah ke Keningau sejak 1978 lagi, dan bekerja sebagai kakitangan safoda.
Pada tahun 1983, menurut ceritanya, beliau membeli tanah seluas enam ekar dengan harga RM1,500 dan satu ekor sapi.
Tanah itu diusahakannya, ditanam dengan pokok buah-buahan dan beratus pokok gaharu. Sekarang Tanah itu dijual dengan harga yang lumayan juga, dengan harga hampir setengah juta.Saya kagum dengan caranya memberikan nilai tambah kepada tanah miliknya.












4. Arnab menang dan Fawzan dipanggil guru


Dalam kisah yang ditulis Ahmad Fawzan, anak saya yang belajar tahun tiga, di sebuah sekolah luar Bandar, Arnab menang dan bukan kura-kura. Biasanya Kura-kura menang kerana Arnab leka. Tapi kali ini, dalam perlumbaan  itu, arnab menang kerana tidak tidur. Arnab yang menyedari kesilapannya tidak lagi leka sebaliknya terus berlari dengan pantas hingga ke garis penamat dan akhirnya diumumkan sebagai pemenang.


Selepas membaca karangan itu, Fawzan dipanggil ke bilik guru. Nazir yang melawat sekolah itu mengatakan sepanjang pengalamannya sebagai nazir,beliau belum pernah lagi membaca karangan serupa itu, yang memberikan kemenangan kepada arnab. Kerana itu, guru itu menilai karangan Fawzan itu sebagai sebuah karangan terbaik.


5. Farhan pakai kopiah
Saya sangat seronok melihat Farhan, anak saya yang belajar di tahun dua itu, tiba-tiba memakai kopiah di rumah. Sesuatu yang menyeronokkan kerana dia suka memakai kopiah. Saya teringat dulu, ketika saya kecil, belajar dalam darjah enam, saya juga suka bersongkok.


         

Tuesday, August 18, 2015

Iranun dari Tempasuk, pernah bertanam padi di pulau Bintan Riau

 

Iranun dari Tempasuk, pernah bertanam padi di pulau Bintan Riau

SELEPAS orang Iranun dari Tempasuk berjaya mengusir Belanda dari Tanjung Pinang pada Mei 1787 seperti yang dikisahkan Raja Ali Haji dalam Tuhfat Al Nafis, rasanya tidak ada catatan lain yang dapat ditemukan mengenai kehadiran orang Iranun di kepulauan Riau.

Tetapi seorang Leftenan Angkatan Laut Belanda, GF de Bryuns Kops dalam sebuah laporannya mengenai kepulauan Riau mencatatkan bahawa orang Iranun Tempasuk pernah menanam padi di Pulau Bintan, dan menghasilkan pula tanaman yang baik.

Menurut GF de Bryuns Kops dalam sebuah artikel bertajuk "Sketch of The Rhio-Lingga Arcipelago" dalam jurnal JIAEA yang diterbitkan pada 1854, orang Iranun masih terdapat di Pulau Bintan sekitar tahun 1818.

Artikel itu, pada asalnya adalah sebuah laporan ilmiah sepanjang 180 halaman dalam bahasa Belanda berjudul Schets van den Riouw-Lingga Archipel yang diterbitkan dalam Natuurkundig Tijdschrift voor Nederlandsch Indie, sebuah jurnal berbahasa Belanda di Batavia pada 1853.

Dalam laporannya itu, beliau memberikan informasi mengenai sejarah, potensi maritim dan sumber alam yang terdapat di laut dan pulau-pulau di kepulauan Riau pada abad ke-19.

Maklumat mengenai tulisan GF de Bryuns Kops ini diterjemahkan Aswandi Syahri untuk Tanjung Pinang Pos pada 15 November 2014.Bryuns dalam catatannya melukiskan mengenai situasi Pulau Bintan, Tanjung Pinang, Pulau Senggarang dan pulau Karas pada abad ke-19.

Pulau Bintan, kata Bryuns, seperti pulau-pulau di sekitarnya memiliki tanah berpasir bercampur dengan batu besi (iron stone) berasal dari abrasi yang membentuk tanah liat yang sangat keras.

"Pada titik-titik yang berbeda tanah liat yang baik untuk membuat tembikar (good potters-clay), tanah lempung dan tanah liat abu-abu juga ditemukan, yang, sangat sedikit dimanfaatkan. Bagaimanapun, ada bagian-bagian tanah yang luas yang tidak cocok untuk suatu bentuk pertanian, seperti banyak tanah rawa yang ditemukan di sana-sini di Tanjong Pinang (Tannjungpinang).

Tanah rendah dan berlumpur terdapat di kaki Saddle Mountain (Gunung Pelana, sebutan orang Inggris untuk Gunung Bintan yang tampak seperti pelana kuda bila dilihat dari laut. Dengan pengertian yang sama, orang Cina menyebutnya Bei Uwa-Sua dalam dialek Tio-Chhiu) yang sebelumnya telah ditanami padi oleh orang-orang Illanun (orang Ilanun atau Lanun dari Tempasok) dan menghasilkan tanaman yang baik. Sejak mereka diusir oleh orang-orang kita (orang Belanda) yang mendiami daerah itu dalam tahun 1818, orang-orang Melayu meninggalkan sama sekali kebudayaan ini."

Tulisan GF de Bryuns Kops ini menunjukkan bahawa tidak semua angkatan perang Tempasuk pulang ke Borneo selepas kejayaan mengusir Belanda dari Tanjung Pinang atas permintaan Sultan Mahmud pada Mei 1787, sebaliknya ada di antara mereka menetap di Pulau Bintan dan menjadi penanam padi di pulau itu. Mereka bercucuk tanam di pulau Bintan sehinggalah mereka diusir oleh orang Belanda pada tahun 1818.

Persoalannya ke mana destinasi mereka selepas itu? Apakah mereka ke Reteh di Sumatera? James F Warren mengatakan generasi ketiga orang Iranun di Reteh berasimilasi dengan orang tempatan dan menjadi orang Lingga atau Lingganese, sesuatu yang menarik masih perlu diselidiki.

 

Dalam surat-surat Raja Ali Haji kepada Von de Wall pada November/Disember 1858 ada menyebut mengenai Maimunah, isteri Panglima Besar Reteh yang bertanyakan Raja Ali Haji mengenai iddah orang yang kematian suami. . Isteri-isteri panglima besar ini dibawa ke Riau sebagai tawanan iaitu selepas Panglima Besar Reteh bernama Raja Lung gugur dalam serangan pada 7 Novemer 1858. Raja Lung dikatakan adalah pemimpin kelompok Iranun di Reteh sebuah daerah yang terletak di Pantai Timur Sumatera.

Jejak-jejak orang Iranun di kepulauan Riau menarik untuk dikaji dan ditelusuri.

SEKADAR CATATAN PERTEMUAN DENGAN IBNU DIN ASSINGKIRI

SEKADAR CATATAN PERTEMUAN DENGAN IBNU DIN ASSINGKIRI

Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN

 

SAMBIL menikmati kopi, percakapan kami pada petang itu berkisar mengenai puisi, sastera maya dan mee segera, program-program sastera yang sepatutnya dibuat untuk memantapkan sastera nasional dan soal-soal sini sana yang berkaitan dunia kepenulisan. Meskipun singkat, pertemuan dengan penulis dari Kedah, Ibnu Din Assingkiri amatah bermakna.

Kami bertiga dalam sembang kopi kapucino pada petang itu. Ketua Satu Ikatan Penulis Sabah (IPS) Hasyuda Abadi menyempatkan diri untuk bertemu dengan Saudara Ibnu Din yang berkunjung ke Sabah, merasai dingin Kundasang dalam rangka cuti bersama keluarga.

Sebelum ini, pertemuan kami dengan Ibnu Din Assingkiri yang menekuni pengajian bahasa Inggeris tetapi pencinta bahasa dan sastera Melayu ini berlaku di Jitra sewaktu Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM).

Di mana puncak atau kemuncak pertemuan yang berlaku kira-kira setahun lalu itu? Tiba-tiba muncul pertanyaan itu, sekadar untuk mengabsahkan makna sidang kemuncak yang menghimpunkan penulis di seluruh negara. Puncaknya ialah berkarya dan terus berkarya.

Ibnu Din Assingkiri atau nama sebenarnya Sanusi bin Din dilahirkan di Singkir Laut, Kedah pada 1970. Beliau adalah ahli Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI). Beliau bertugas sebagai Eksekutif Kanan Latihan dan Perkembangan Sumber Manusia di syarikat multinasional di Pulau Pinang. Selain menjadi aktivis eSastera, beliau juga adalah ahli Persatuan Karyawan Pulau Pinang. Menulis sejak berada di sekolah menengah, Ibnu Din berkarya dalam genre puisi, cerpen dan apresiasi puisi. Beliau juga bergabung dengan penulis se Nusantara dan menerbitkan beberapa antologi bersama.

Kini beliau sedang menuntut di tahun akhir, Sarjana Muda Pengajian Bahasa Inggeris di UNITEM (OUM).
Kumpulan puisinya Hingga Ke Negeri Abadi (2012), Jejak-Jejak Di Pantai (2015). Kumpulan cerpennya Fragmen Senja (2014). Antologi puisi bersamanya Senyawa Kata Kita (2012), Jejak Sajak: Sehimpun Puisi Generasi Terkini (2012), Ana - Antologi Puisi eSastera Mengenang Brirasa (2012), E-LOKA: Antologi Penyair eSastera (2012), Lentera Sastra (2013), Januari Catur Tunggal Tanpa Pandang (2014), E-LOKA II: Antologi Penyair eSastera 2014, Segugus Pasrah Buatmu MH370 (2014), Sirah Rasulullah Dalam Puisi Siber (2014) dan MH370 Masih Hilang: Antologi Puisi Telegram (2014). Kumpulan esei bersamanya Bunga Rampai Apresiasi Puisi (2014).

Sebenarnya banyak juga yang dapat dipetik dalam pertemuan singkat itu.Paling utama ialah mengukuhkan ikatan persahabatan dan persaudaraan di kalangan penulis tanahair. Bagaimanapun, sebaik matahari masuk ke dalam lautan dan dapat dilihat dengan indahnya dari jendela Nandos Oceanus, kami bersalaman menanti pertemuan yang lain.

SIMPANG SIUR PENGALAMAN HARI TERAKHIR DI SURABAYA

SIMPANG SIUR PENGALAMAN HARI TERAKHIR DI SURABAYA

Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN

PAHLAWAN sejati tidak minta dipuji jasanya. Bunga mawar tidak mempropagandakan harumnya, tetapi harumnya dengan sendiri semerbak ke kanan kiri. Tetapi, hanya bangsa yang tahu menghargai pahlawan-pahlawannya, dapat menjadi bangsa yang besar. Kerana itu, hargailah pahlawan-pahlawan kita. Merdeka!

Kata-kata Bung Karno itu terngiang-ngiang dalam fikiran saya ketika berkunjung ke Monumen Tugu Pahlawan, Surabaya.

Monumen Tugu Pahlawan setinggi 41.15 meter itu didirikan pada 10 November 1951 dan dirasmikan pada 10 November 1952 oleh Presiden Sukarno, Presiden Pertama Indonesia.

Monumen itu didirikan untuk mengenang jasa para pahlawan, pahlawan yang terdiri `arek-arek Surabaya' yang bangkit menentang Belanda yang berusaha kembali menjajah Indonesia selepas perang dunia kedua.

Saya juga berkunjung ke Museum 10 Nopember tidak jauh dari monumen itu. Di sana, saya berpeluang mendengar rakaman Pidato Bung Tomo yang penuh semangat meminta rakyat Indonesia bersatu dan jangan mudah menyerah kalah.
Ketika Tentera Inggeris datang dan menyebarkan risalah untuk meminta rakyat Indonesia menyerah kepada tentera sekutu, Bung Tomo dalam ucapannya yang penuh semangat itu mengatakan:

"Selama banteng-banteng Indonesia masih mempunyai darah merah
yang dapat membikin secarik kain putih merah dan putih
maka selama itu tidak akan kita akan mau menyerah kepada siapapun juga,".

Akhirnya, terjadilah petempuran 10 November 1945, yang kini diperingati sebagai Hari Pahlawan.

Sutomo lahir di Surabaya pada 3 Oktober 1920 tapi beliau lebih dikenali dengan panggilan akrabnya Bung Tomo. Beliau terkenal kerana perjuangannya membangkitan semangat rakyat untuk bangkit menentang Belanda yang mahu kembali menjajah Indonesia selepas Perang Dunia Kedua.

Bung Tomo, menggerakkan semangat rakyat Surabaya yang diserang oleh pasukan Inggeris selepas General Malaby tertembak di Hotel Oranje. Inggeris datang menyerang Surabaya untuk melucutkan senjata tentera Jepun dan membebaskan tawanan Eropah.

Peristiwa 10 November itu tetap dikenang sebagai Hari Pahlawan dan menjadi satu peristiwa penting dalam sejarah kemerdekaan Indonesia.

"Saudara-saudara rakyat Surabaya, siaplah! keadaan genting!
tetapi saya peringatkan sekali lagi
jangan mulai menembak
baru kalau kita ditembak
maka kita akan ganti menyerang mereka itu kita tunjukkan bahwa kita ini adalah benar-benar orang yang ingin merdeka

Dan untuk kita saudara-saudara
lebih baik kita hancur lebur daripada tidak merdeka
semboyan kita tetap: merdeka atau mati!".

Ketia berada di Surabaya, saya mengunjungi Hotel Oranje, tempat terjadinya insiden perebutan bendera. Saya menyusuri semula tempat-tempat bersejarah sambil membayangkan betapa rakyat Surabaya bersatu menentang Inggeris meskipun hanya menggunakan bambu runcing.

Selepas kemerdekaan, Bung Tomo pernah terjun dalam politik. Pernah menjadi menteri dalam kabinet Burhanudin Harahap tahun 1955-1956 dan pernah pula menjadi anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dari tahun 1956-1959.

Pada tahun 1950an itu, Bung Tomo membantu tukang beca dengan mendirikan kilang sabun hasil yuran daripada tukang beca tetapi tidak berhasil. Namun beliau tetap dikenang sebagai seorang pahlawan yang bangkit menentang kembalinya Belanda menjajah semula Indonesia. Sungguhpun, mereka kalah dalam pertempuran 10 November itu, tetapi peristiwa itu tetap tercatat sebagai satu peristiwa penting dalam sejarah perjuangan kemerdekaan di Indonesia.

Bersama anak-anak sekolah rendah yang sedang melawat muzium itu, saya melihat filem ditayangkan. Saya mendengar bagaimana Bung Tomo membangkitkan semangat rakyat untuk memperjuangkan kemerdekaan dari tangan penjajah.

Lebih baik kita hancur lebur daripada tidak merdeka, kata Bung Tomo. Di Muzium itu juga menyimpan bukti-bukti sejarah pertempuran 10 Nopember 1945. Selain itu, terdapat juga tulisan tangan Mayor Jenderal Soengkono, Naskah "Sumpah Kebulatan Tekad. Ada juga benda-benda peninggalan Tokoh Pahlawan Mayor Jenderal Soengkono, senjata-senjata hasil rampasan perang dan foto-foto pertempuran 10 November, bukti-bukti perjuangan Laskar Rakyat Surabaya dalam Pertempuran 10 November dan Diorama statis perundingan politik Ir Soekarno dan Howtorn.

Dari Monumen Tugu Pahlawan dan Museum 10 Nopember itu, Pak Robert Siregar, pegawai dari Dinas Kebudayaan dan Pariwisata Provinsi Jawa Timur , membawa saya ke Makam Sunan Ampel.
Sunan Ampel atau nama sebenarnya Raden Rahmat adalah satu wali songo yang terkenal dalam sejarah penyebaran Islam di Pulau Jawa. Beliau adalah seorang ulama yang terkenal dan orang yang merancang penubuhan kerajaan Islam yang pertama di Bintaro Demak. Beliau juga ikut mendirikan masjid Demak pada tahun 1479.

Di kawasan makamnya itu, orang ramai berdatangan untuk berziarah ke makam wali yang berjasa terhadap pengembangan Islam di Jawa. Melalui Wali Songo, agama Islam disebarkan ke seluruh pelusuk pulau Jawa.

Tapi apa pesanan Sunan Ampel yang masih melekat di kalangan masyarakat di sana. Ada. Namanya Mo Limo atau Falsafah Perkara Lima.

Sunan Ampel mengajarkan agar kita Emoh Main (tidak mahu main judi), Emoh Ngumbih (tidak mahu minum yang memabukkan), Emoh Mandat (tidak mahu merokok atau menghisap madat), Emoh Maling (tidak mahu mencuri atau korupsi) dan Emoh Madon (tidak mahu main perempuan yang bukan isterinya.

Dikisahkan bahawa Sunan Ampel meneruskan cita-cita dan perjuangan Maulana Malik Ibrahim. Beliau dikatakan mendirikan pesantren i Ampel Denta Surabaya sehingga beliau dikenali sebagai orang yang mendirikan pondok pesantren yang pertama di Jawa Timur. Hasil dari produk pondok inilah, tenaga dai dikeluarkan dan mentebarkan Islam di seluruh pulau Jawa.

Selain itu, Sunan Ampel juga adalah ulama yang mendirikan kerajaan Islam pertama di Pulau Jawa itu dengan ibu kotanya Bintoro Demak. Sunan Ampel menabalkan Raden Fatah sebagau sultan Demak yang pertama. Beliau dikatakan dekat dengan Istana Majapahit, yang digunakannya untuk mengembangkan Islam di Pantai Utara Pulau Jawa yang dikuasai oleh kerajaan Majapahit.

Betapa besar jasanya terhadap pengembangan Islam di Pulau Jawa. Betapa kuatnya pengaruh yang dimiliki ulama ini. Betapa kuatnya wibawa yang dimiliki. Kebesarannya dan kemashyurannya dapat dirasai. Hampir setiap hari, makamnya yang terletak di Surabaya itu tidak pernah sepi dengan pengunjung.

Padahal makamnya seperti biasa saja. Tidak ada hiasan yang berlebih-lebihan. Seperti makam yang lain juga. Bezanya, cuma betapa ramainya orang yang datang untuk mendoakan.Mungkin ramai juga yang datang sekadar untuk berziarah.

Sayang sekali, saya tidak dibenarkan mengambil gambar dalam kompleks makam. Sepanjang berada di makam itu, saya berdoa semoga semua hasil perjuangan ulama terdahulu untuk menyebarkan Islam sebagai rahmat seluruh alam dapat diteruskan.

Destinasi terakhir sebelum pulang, ialah singgah di Pusat Batik dan Kerajinan Khas Jawa Timur di Jalan Kedungdori no 86-90 Surabaya. Hampir semua produk yang dikeluarkan di provinsi Jawa Timur dijual di pusat itu dengan harga yang murah dan berpatutan. Hampir semua produk boleh didapati di pusat itu.

Menurut Asrori, salah seorang pekerja di pusat, setiap pengunjung atau pelancong yang datang ke Surabaya, biasanya tidak melepaskan peluang untuk berkunjung untuk membeli cenderamata untuk dibawa pulang.

Sepanjang perjalanan ke Lapangan Terbang Juanda, kata-kata Bung Karno terngiang-ngiang di telinga saya. "Hanya bangsa yang tahu menghargai pahlawan-pahlawannya, dapat menjadi bangsa yang besar." Ingatan ini berselang seli dengan kata-kata Bung Tomo "Lebih baik kita hancur lebur daripada tidak merdeka"

Emoh Maling, kata Sunan Ampel. Terlalu banyak yang bersimpang siur dalam fikiran ketika itu. Emoh pulang? Saya terpaksa pulang kerana perjalanan perlu diteruskan

RAKAMAN KUNJUNGAN KE SURABAYA, KOTA BERSEJARAH

RAKAMAN KUNJUNGAN KE SURABAYA, KOTA BERSEJARAH

Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN

KALAU ada orang yang berjaya mengubah wajah Surabaya, dia adalah ibu Risma. "Beliau sendiri yang turun ke lapangan untuk memastikan Surabaya bersih. Setiap kilometer ada yang membersihkan, sepanjang waktu ada pembersihnya," kata Robert Siregar ketika membawa saya berkeliling melihat bandaraya kedua terbesar di Indonesia itu.

Ibu Risma atau nama sebenarnya Ir Tri Rismaharini menjadi Wali Kota (Datuk Bandar) Surabaya sejak 2010. Tempohnya berakhir penghujung tahun ini tetapi beliau berjaya membawa perubahan signifikan bagi masyarakatnya. Di bawah kepimpinannya, Surabaya terpilih sebagai Kota Sihat 2013 sempena Hari Kesihatan Nasional,menang Piala Adipura untuk kategori Kota Metropolitan bagi tahun 2011, 2012,2013 dan 2015. Pada tahun 2012, Surabaya terpilih sebagai Kota Terbaik Seluruh Asia Pasifik Versi Citynes mengalahkan 800 kota di Asia Pasifik. Ibu Risma juga terpilih sebagai Wali Kota Terbaik 2104 atas kejayaannnya memimpin Surabaya sebagai Kota Metropolitan yang paling baik penataannya. Wanita yang dijuluki `Wagiman' atau `wali kota gila taman' ini juga berjaya menjadikan Taman Bungkul Surabaya terpilih menerima penghargaan "The 2013 Asian Townscape Award"sebagai Taman Terbaik seluruh Asia dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Tanggungjawab saya tidak hanya kepada rakyat Surabaya tetapi juga kepada Tuhan," adalah kata-kata Ibu Risma yang terkenal. "Membangun itu untuk menyejahterakan Masyarakat. Kalau tidak sejahtera , apa itu masih disebut membangun?".

Surabaya berpenduduk sekitar 3.1 juta orang. Kota ini juga disebut Kota Pahlawan kerana kedudukannya yang penting dalam sejarah perjuangan kemerdekaan Indonesia. Di zaman Hindia Belanda, Surabaya adalah sebuah kota yang terkenal di Asia Timur selain Hong Kong dan Singapura.

" Paling utama dalam senarai keutamaan dalam kunjungan saya kali ini ialah berkunjung ke Soerabaja 45," saya memberitahu Pak Robert. Saya ingin melihat Hotel Oranje, Jembatan Merah, saya ingin bertemu Bung Tomo, biarpun dalam imaginasi," .

Kalau ada masa barulah kita ke Gunung Bromo, saya memberitahu Pak Robert, dari Dinas Kebudayaan dan Pariwisata Jawa Timur yang menemani saya dalam kunjungan kali ini.

Katanya, kalau orang Malaysia, mereka biasanya memilih pakej empat hari tiga malam." Hari pertama dari Surabaya terus ke Batu kemudian ke Gunung Bromo, dan hari terakhir berkeliling Surabaya" katanya.

"Tapi paling penting ialah saya ingin melihat kembali tempat dimana insiden perebutan bendera itu terjadi, bagaimana arek-arek suroboyo (pemuda Surabaya) terlibat dalam pertempuran dengan hanya bersenjatakan bambu runcing melawan tentera sekutu yang lengkap dengan senjata".

"Dalam kunjungan pertama kali ke Surabaya ini, saya ingin melawat tempat-tempat bersejarah dan tempat menarik di Surabaya," saya menjelaskan kepada Pak Robert yang baik dan peramah itu.

"Terus saja check in di Hotel Bisanta di Jalan Tegalsari ya," katanya melalui sms ketika saya masih dalam perjalanan dari Malang kelmarin. Bisanta Bidakara Hotel yang terletak di Jalan Tegalsari 77-85 Surabaya itu menaja penginapan selama dua malam tanpa bayaran di hotel itu. Hotel Bisanta yang memiliki 105 kamar ini adalah sebuah hotel yang selalu menjadi tumpuan pengunjung dan pelancong dari Malaysia. Pengurusnya, Pak Muhammad Soleh adalah Presiden Persatuan Hotel Surabaya bermurah hati untuk memberikan penginapan secara gratis atau dalam bahasa Melayu, secara percuma. Saya sengaja tidak menggunakan perkataan percuma, kerana dalam bahasa Indonesia, percuma ertinya sia-sia. Bantuan itu sangat bermakna bagi saya kerana peruntukan yang ada saya gunakan untuk membeli buku di Surabaya.

Kami kemudian ke House of Sampoerna, yang terletak di Surabaya Lama di Kompleks bangunan bergaya Belanda yang dibangun tahun 1862. Tapak bersejarah ini mulanya adalah sebuah panti asuhan putera yang dikelola pemerintah Belanda.

"Kompleks ini dibeli oleh pendiri (pengasas) Sampoerna, Liem Seeng Tee pada tahun 1932 untuk dijadikan pabrik (kilang) rokok Sampoerna yang pertama," kata Mbak Eindri, 24, lulusan sastera Inggeris yang menjadi karyawan di kompleks itu.

"Sampai saat ini, kompleks ini masih berfungsi sebagai pabrik(kilang) untuk memproduksi rokok kretek khas Indonesia," katanya sambil membawa kami melawat kilang rokok itu.

Dari kilang rokok itu, Pak Robert membawa saya ke Jambatan Suramadu, jambatan terpanjang d Indonesia yang menghubungkan Surabaya dan Pulau Madura. Jambatan Suramadu dari perkataan Surabaya Madura sepanjang 16 km itu menghubungkan Surabaya dengan Bandar Pelabuhan Antarabangsa Madura di Pernajuh, Daerah Kocah Bangkalan

Pulau Madura terkenal dengan Kerapan Sapi, kata Pak Robert sambil memberitahu mengenai acara perlumbaan sapi yang menarik perhatian pelancong. Di pulau Madura juga kita boleh tinggal di penginapan sambil tidur berlantaikan pasir.

Sebenarnya Madura terletak tidak jauh dari Pulau Bali. Tempat paling dekat sebelum menyeberang ke Bali dari Surabaya ialah Banyuwangi.

"Kalau dari Bali jam 7.00 pagi, tiba di surabaya jam 7.00 pagi juga," kata Pak Robert. "Tapi kalau pesawat dari surabaya jam 7 pagi , tiba di bali jam 8.00" Katanya. Bali dan Pulau Jawa selisih satu jam..

Dari Suramadu itu, kami terus ke Masjid Muhammad Cheng Ho, sebuah masjid berarsitektur Cina, untuk menunaikan solat Jumaat. Pak Robert, walaupun beragama Kristian tetapi beliau sangat prihatin terhadap keperluan tamunya. Jika ke Masjid Al Akbar Surabaya, masjid terbesar di Jawa Timur, tempatnya masih jauh.

Pak Robert seorang yang banyak pengalaman. Beliau pernah membawa wartawan dari Hong Kong, Mexico, China, Arab Saudi, Singapura,Malaysia, Peranchis,Jerman,Kazakhstan, India.Bahkan beliau penah mengiringi Menteri Pelancongan Filipina ketika berkunjung ke Surabaya.

Beliau dilahirkan di Medan tahun 20 April 1961. "Tahun 80 hingga 86 kerja di Bandung.Tahun 86 pindah ke Surabaya. Tahun 89 bekerja di Bahagian Promosi Luar Negeri, Dinas Kebudayaan dan Pariwisata sampai kini," katanya. Beliau mendirikan rumah tangga dengan isterinya, orang Medan juga, dan dikurniakan tiga cahaya mata.

Selepas menunaikan solat Jumaat, kami makan di tempat kedai Soto Ambengan, Pak Sadi Asli soto yang terkenal.

Destinasi selanjutnya ialah melawat Monumen Kapal Selam di Bantaran Sungai Kalimas, di Jalan Pemuda. KRI Pasopati 410 sepanjang 76.6 meter dengan lebar 6.30 meter seberat 1,300 tan itu dipotong-potong menjadi 16 blok untuk dinaikkan ke darat di lokasinya yang ada sekarang. Surabaya adalah pengkalan Armada Timur Indonesia. Kapal buatan Vladiwostok Rusia tahun 1952 ini digunakan untuk menegakkan kedaulatan Indonesia antaranya dalam operasi Trikora di Papua.
"Lebih cantik kalau malam kita ke sana," kata Pak Robert. Katanya, Hotel Oranje, tempat berlakunya insiden perebutan bendera itu.Saya mengamati sejenak hotel bersejarah itu. Hotel Oranje kini dikenali Hotel Majapahit. Sebelumnya, di Zaman Jepun, hotel itu dikenali sebagai Hotel Yamato.Pertempuran Surabaya adalah satu peristiwa penting dalam Revolusi Indonesia. Ia bermula apabila Brigadier Mallaby terkena peluru sesat pada 30 Oktober 1945 berdekatan Jembatan Merah. Pihak Sekutu memberi amaran agar pejuang Republik menyerah kalah. Tetapi Bung Tomo memperingatkan bahawa tentera Republik tidak akan sekali kali menyerah kerana bagi mereka hanya ada dua pilihan, iaitu merdeka atau mati. Ribuan orang mati dalam pertempuran yang bermula pada 10 November 1945.
"Selain sejarah, saya juga meminati bidang budaya dan sastera," saya memberitahu bidang yang saya minati kepada Pak Robert. "Tentu asyik sekali kalau dapat berbicara dengan Pak Dr Jarianto, M Si, Kepala Dinas Kebudayaan dan Pariwisata Provinsi Jawa Timur.

Beliau seorang budayawan, kata Pak Robert. Nanti kita ke Program Malam Kesenian Tulungagung, beliau pasti ada di sana., katanya

Apa asal kata Surabaya pak? Sura atau suro bermakna Jerung manakala baya atau boyo bermakna buaya. Menurut mitos yang berkembang di kalangan rakyat tempatan,kononnya jerung dan buaya ini berkelahi untuk memilih siapa haiwan paling perkasa dan paling berkuasa di kawasan itu. Kononnya jerung dan buaya itu membuat perjanjian bahawa wilayah jerung adalah di laut dan wilayah buaya adalah di darat. Satu hari, perkelahian berlaku semula apabila jerung memasuki sungai untuk memburu mangsa . Kata Jerung, sungai adalah air, kerana itu ia menjadi wilayahnya, Tetapi Buaya berkata, sungai itu mengalir jauh di daratan yang maksudnya di bawah wilayah kuasanya. Di pendekkan cerita, dalam pertarungan itu, jerung kalah dan kembali ke laut dan tempat tinggal buaya itu sekarang terletaknya Kota Surabaya.

Sura dan baya itu kini adalah lambang serta simbol Kota Surabaya. Satu versi lain menyebut Surabaya berasal dari bahasa Jawa, Sura ing Baya yang bermaksud berani menghadapi bahaya.

Pertunjukan Malam Kesenian Tulungagung, yang kebetulan dilangsungkan pada malam itu amat meriah. Saya sempat melihat beberapa persembahan tarian, dan sempat juga mendengar ucapan Pak Jarianto. Tetapi saya terpaksa bergegas ke Balai Pemuda untuk bertemu dengan Pak Aming Aminoedhin, dikenali sebagai Presiden Penyair Surabaya yang sedang menganjurkan Malam Sastera Surabaya di Balai Pemuda.

Sebenarnya program hampir berakhir ketika kami tiba di sana. Pak Aming sedang memberikan sedikit ucapan penutup. Tapi saya sangat terkesan dengan puisinya.

"Surabaya ajari aku bicara apa adanya, jangan ajari aku gampang lupa gampang berdusta. Surabaya ajari aku tentang benar.Tentang Benar".

SEPOTONG KENANGAN DI KOTA MALANG

SEPOTONG KENANGAN DI KOTA MALANG

Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN

 

TUHAN menghancurkan yang batil, menegakkan yang benar.

Itulah kata-kata yang tidak dapat saya lupakan ketika singgah sehari di Kota Malang, kota kedua terbesar di Jawa Timur selepas Surabaya. Memang, ada sedikit rasa menyesal kerana memperuntukkan waktu yang relatif singkat untuk meramahi kota itu.

Sepatutnya perlu dua atau tiga hari atau lebih lama lagi, untuk benar-benar merasai denyut nadi kota berpenduduk seramai 857,891 orang itu. Saya tidak menyangka, kota Malang begitu besar dan bersejarah. Sebab itu, saya tidak dapat berkunjung ke semua tempat di kota yang dijuluki sebagai Paris Van East Java kerana pemandangan alamnya yang indah, sejuk tetapi bersih tertata.

Malang kucecwara, kata-kata yang tertulis dalam lambang Kota Malang, yang bererti Tuhan menghancurkan yang batil, menegakkan yang benar. Asal usul kata Malang itu sendiri dikatakan berasal dari perkataan itu. Ada juga ahli sejarah yang mengatakan kata Malang itu, bermaksud membantah atau menghalang-halangi,dilontarkan oleh Sunan Mataram ketika meluaskan pengaruhnya di Jawa Timur mendapat penentangan ketika cuba menduduki daerah Malang.

Selain menjadi kota pendidikan, terdapat sekurang-kurangnya 14 buah universiti, antara yang terkenal termasuklah Universitas Brawijaya, Universitas Negeri Malang, Universitas Muhammadiyah Malang, Universitas Islam Negeri Maulana Malik Ibrahim Malang dan banyak lagi perguruan tinggi, Malang juga terkenal sebagai sebuah destinasi pelancongan di Jawa Timur.

Ia bukan saja terkenal kerana keramahan penduduknya, harga makanan yang murah dan suasana yang elok dan tenang, Malang juga terkenal sebagai Kota Kuliner yang menyajikan pelbagai jenis makanan khas Malang juga terkenal sebagai sebagai kota sejarah, tempat lahirnya kerajaan-kerajaan besar seperti Tumapel Kanjuruhan, Singosari, Kediri, Mojopahit, Demak dan Mataram.

Malang juga ada terkenal kerana hasil pertanian seperti epal dan penternakan sapi. Kota yang dikelilingi pergunungan seperti Gunung Kawi-Panderman, Gunung Arjuno Welirang, Gunung Bromo Semeru, menjadikan Malang sebuah kota yang sejuk dan dingin kerana berada di atas ketinggian 440 hingga 667 meter di atas paras laut.

Setelah puas berkeliling kota Malang, melihat Alun-alun Tugu di hadapan Balai Kota Malang, berkunjung ke Toko Oen,yang menjadi tumpuan orang Belanda,saya mengajak pak Adi mencari buku di Gramedia. Jika mencari buku, hampir semua kota di Indonesia mempunyai toko-toko buku. Saya sempat membeli buku sekadar kenangan pernah singgah di Malang Walau bagaimanapun, saya tidak menemukan buku mengenai seorang tokoh penting Muhammadiyah, KH AR Fachruddin, seorang tokoh yang kagumi dan pernah menulis mengenai kebersahajaan dan kesederhanaan dalam hidupnya.

Sebagai kota plajar,Malang menjadi tumpuan ramai pelajar dari seluruh Indonesia terutamanya dari wilayah timur seperti Papua, Bali, Maluku, NTT, Sulawesi dan sebagainya.

Selain bahasa Indonesia, bahasa Jawa khas Jawa Timur dan bahasa Madura, ada satu lagi kebiasaan di kalangan masyarakat Malang untuk menggunaan bahasa terbalik (boso walikan) atau kata yang diucapkan secara terbalik seperti Malang disebut ngalam, bakso disebut oskab dan sebagainya. Bahkan akhbar Radar Malang tersiar mengenai seorang ustaz yang menggunakan boso walikan dalam ceramahnya.

Saya hanya sempat ke Muzium Brawijaya. Sebenarnya terdapat banyak muzium di Malang seperti muzum Bentoel, Muzum Mpu Parwa, Muzium Malang Tempoe Doeloe dan sebagainya. Selain itu, terdapat juga banyak monumen dan tugu peringatan. Antaranya Monumen Tugu Malang, Monumen TGP Tentera Genie Pelajar, Monumen Juang, Monumen Dedes. Sayang sekali saya tidak sempat ke Monumen penyair Chairil Anwar di Jalan Basuki Rahmat.

Sebelum meneruskan perjalanan ke Surabaya, Pak Adi mengajak saya untuk berkunjung ke Candi Singosari, peninggalan kerajaan Singhasari di Kecamatan Singosari, kira-kira 10km dari kota Malang. Menurut Negarakertagama,Candi ini dikatakan sudah berdiri sekitar tahun 1292. Menghadap ke arah barat, candi berukuran 14x14 meter dengan ketinggian 15 meter mempunyai kedudukan yang penting dalam sejarah Kerajaan Singhasari.

Kalau mahu ke Singosari, salah satu tempat yang wajib dikunjungi kerana kehebatannya kulinernya ialah di Sandiva cafe, saya teringat kata-kata Pak Andhika, sehari sebelumnya.

Sandiva Cafe yang pada awalnya sebuah galeri lukisan dan pebagai koleksi milik Rumilah Ulifa Sandiva, masih keturunan Singosari dan memegang teguh adat istiadat dan budaya Singosari. Kini Sandiva Cafe yang terletak di Jalan Kertanegara Barat No.4 menjadi tumpuan kerana pelbagai menu makanan yang disediakan.

Ya, sebentar lagi saya akan meninggalkan kota Malang, tetapi kata-kata Malang Kucecwara, yang bemakna Tuhan menghancurkan yang batil, menegakkan yang benar, tetap membekas dalam fikiran saya.

Sambil menunggu kenderaan untuk tiga jam perjalanan ke Surabaya, saya sempat merasai betapa nikmatnya rasa kopi di Sandiva Cafe. Tidak cukup hanya sehari, Lain kali, saya harus ke Malang lagi.

SEKETIKA DI MAKAM SUNAN AMPEL

SEKETIKA DI MAKAM SUNAN AMPEL

SESAMPAINYA di halaman makam itu, saya tidak pasti apa yang harus dilakukan kecuali duduk berdoa dan membacakan surah yasin. Orang-orang berdatangan.Begitu ramai.Berduyun-duyun. Entah dari mana.

Hari itu, saya sempat berziarah di Makan Sunan Ampel di Surabaya. Sunan Ampel atau nama sebenarnya Raden Rahmat adalah satu wali songo yang terkenal dalam sejarah penyebaran Islam di Pulau Jawa. Beliau adalah seorang ulama yang terkenal dan orang yang merancang penubuhan kerajaan Islam yang pertama di Bintaro Demak. Beliau juga ikut mendirikan masjid Demak pada tahun 1479.

Di kawasan makamnya itu, orang ramai berdatangan untuk berziarah ke makam wali yang berjasa terhadap pengembangan Islam di Jawa. Melalui Wali Songo, agama Islam disebarkan ke seluruh pelusuk pulau Jawa.

Tapi apa pesanan Sunan Ampel yang masih melekat di kalangan masyarakat di sana. Ada. Namanya Mo Limo atau Falsafah Perkara Lima.

Sunan Ampel mengajarkan agar kita Emoh Main, Emoh Ngumbih, Emoh Mandat, Emoh Maling dan Emoh Madon.

Apa maksudnya? Emoh Main ertinya tidak mahu main judi. Beliau mengajarkan agar masyarakat jangan suka bermain judi. Emoh ngumbih, ertinya tidak mahu minum minuman yang memabukkan. Kerana jika kita minum minuman yang memabukkan, sudah tentu ia melalaikan dan kita tidak lagi mampu berfikir waras. Emoh mandat, jangan merokok atau jangan menghisap ganja atau menghisap najis dadah. Terbukti bahawa dadah banyak merosakkan. Juga emoh maling, tidak mahu mencuri atau korupsi. Ketika itu, kira-kira 500 tahun yang lampau perbuatan mencuri atau korupsi itu sudahpun dilarang oleh Sunan Ampel. Beliau juga melarang masyarakat pada masa itu agar Emoh Madon, tidak mahu main perempuan yang bukan isterinya. Sunan Ampel mengajarkan kepada kita moral dan akhlak supaya jangan berselingkuh , jangan berzina dengan isteri orang atau perempuan yang bukan isterinya.

Dikisahkan bahawa Sunan Ampel meneruskan cita-cita dan perjuangan Maulana Malik Ibrahim. Beliau dikatakan mendirikan pesantren i Ampel Denta Surabaya sehingga beliau dikenali sebagai orang yang mendirikan pondok pesantren yang pertama di Jawa Timur. Hasil dari produk pondok inilah, tenaga dai dikeluarkan dan mentebarkan Islam di seluruh pulau Jawa.

Selain itu, Sunan Ampel juga adalah ulama yang mendirikan kerajaan Islam pertama di Pulau Jawa itu dengan ibu kotanya Bintoro Demak. Sunan Ampel menabalkan Raden Fatah sebagau sultan Demak yang pertama. Beliau dikatakan dekat dengan Istana Majapahit, yang digunakannya untuk mengembangkan Islam di Pantai Utara Pulau Jawa yang dikuasai oleh kerajaan Majapahit.

Betapa besar jasanya terhadap pengembangan Islam di Pulau Jawa. Betapa kuatnya pengaruh yang dimiliki ulama ini. Betapa kuatnya wibawa yang dimiliki. Kebesarannya dan kemashyurannya dapat dirasai. Hampir setiap hari, makamnya yang terletak di Surabaya itu tidak pernah sepi dengan pengunjung.

Padahal makamnya seperti biasa saja. Tidak ada hiasan yang berlebih-lebihan. Seperti makam yang lain juga. Bezanya, cuma betapa ramainya orang yang datang untuk mendoakan.Mungkin ramai juga yang datang sekadar untuk berziarah.

Sayang sekali, saya tidak dibenarkan mengambil gambar dalam kompleks makam. Sepanjang berada di makam itu, saya berdoa semoga semua hasil perjuangan ulama terdahulu untuk menyebarkan Islam sebagai rahmat seluruh alam dapat diteruskan.

Di makam Sunan Ampel itu, saya mendapati dan mengerti betapa segala usaha dan amal baik mampu hidup lebih lama. Tapi ingatlah pesan beliau. Mo Limo. Jangan berjudi, jangan mencuri, usah berpoya-poya, jaga akhlakmu.

KENANGAN YANG TIDAK DAPAT DILUPAKAN DI KOTA SOLO

KENANGAN YANG TIDAK DAPAT DILUPAKAN DI KOTA SOLO

Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN

PENERBANGAN yang mengambil masa kira-kira satu jam 50 minit dari Jakarta ke Solo itu saya habiskan dengan menonton semula filem Habibie-Ainun. Alangkah hebatnya cinta mantan Presiden Indonesia itu terhadap isterinya. Walaupun saya pernah menonton filem itu, dan membaca bukunya, tetapi Habibie tetaplah tokoh yang menginspirasi.

Tidak terasa pesawat GA 228 Garuda Indonesia mendarat di Bandara Internasional Adi Sumarmo Surakarta. Surakarta adalah nama lain bagi Solo, kota berpenduduk lebih 520,000 orang. Ketika menjadi Wali Kota Solo, Jokowi terpilih sebagai Wali Kota atau Datuk Bandar terbaik ketiga dalam pemilihan World Mayor Project 2012.

Perjalanan ke Solo, meskipun kali pertama bagi saya, menjadi mudah kerana saya bersama Pak Andhika Bambang Soepeno, Minister Counselor dari Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) yang kebetulan mempunyai program di Universitas Slamet Riyadi (UNISRI) Solo dan Universitas Sebelas Maret. Diplomat yang sangat berpengalaman ini pernah bertugas atau berkunjung ke 53 buah negara sepanjang 33 tahun kariernya dalam bidang diplomatik.

Sebaik keluar di balai ketibaan, Ibu Christy , dosen UNISRI sudah menanti kedatangan kami. Pertanyaan pertama yang ditanyakan sebaik bertanya khabar ialah bagaimana keadaan gempa bumi berkekuatan 6.0 SR yang melanda Sabah sehari sebelum kami berangkat dari Kota Kinabalu. Gempa bumi sekuat itu tidak pernah berlaku di Sabah yang berada di luar lingkaran api pasifik. Bagaimanapun kejadian itu memakan korban- kemudian disahkan seramai 18 orang termasuk tiga malim gunung.

Kemudian mobil yang kami naiki itu meluncur ke Hotel Solo Tiara, tempat kami menginap. Dalam perjalanan cerita banyak berkisar mengenai demam batu akik, yang kini melanda Indonesia. Tetapi tajuk berita penting di Solo pada ketika itu ialah proses perkahwinan Gibran Rakabuming anak sulung Presiden Jokowi dan Selvi Ananda yang dijalankan mengikut adat Jawa. Jokowi terpaksa `ngantor' selama empat hari di Solo 9-12 jun dan menjalankan tugas kepresidenan dari kota kelahirannya di Jawa Tengah itu.

Selepas berehat sebentar, kira-kira jam 8.30 malam, Gusti Dipo datang mengambil kami untuk berkeliling kota sebelum akhirnya singgah di Nasi Liwet Bu Wongso Lemu.Restoran itu didirikan kira-kira tahun 1950 dan pernah dikunjungi mantan Presiden Suharto. Selain itu, restoran itu juga pernah dikunjungi Guruh Sukarno Putra, Gabenor Jawa Tengah, Bapak Ganjar Pranowo, artis dan selebriti terkenal dari seluruh Indonesia.

Sebenarnya selain nasi liwet yang jadi kebanggaan Solo, banyak lagi kuliner di Solo. Sebutlah antaranya Selat Solo, Kupat tahu, Gule Kambing, Soto Sapi, Pecel,Sate Buntel, Nasi Tumpang, Nase Kare, Wedang Ronde, Tengkleng, bebek Goreng,Jagung bakar, Jenang tumpang, Rawon Penjara, Mie bandung, Sop Buntut, Gudeg Kendil, Wadang Donga, Es Dawet dan sebagainya. Tapi pilihan jatuh kepada Nasi Liwet sambil duduk bersila menikmati makanan yang dibungkus dengan daun pisang.

Selepas makan, kami singgah sebentar di kediamannya di Loji Ndalem Sasana Mulya di Kompleks Keraton Kasunanan Surakarta Hadiningrat. Di sana, Gusti Dipo memberikan hadiah berupa buku kecil Ajaran Leluhur Keraton Surakarta Hadiningrat.
Keesokan harinya, selepas sarapan kami terus ke Universiti Slamet Riyadi Solo. Di sana, saya diminta untuk berbicara dalam Diskusi Peranan Media Massa dalam pengelolaan Isu-Isu Bilateral Indonesia dan Malaysia.Saya agak terkejut juga dengan tajuk besar itu.Mulanya saya hanya menjangka akan diminta bercakap mengenai pengalaman sebagai wartawan.

Dalam diskusi saya menegaskan bahawa peranan media massa amatlah penting untuk memperkukuhkan hubungan kedua pihak, media berperanan meluruskan salah faham. Media harus berpegang teguh kepada kode etika kewartawanan.Adalah amat penting bagi media untuk berpihak kepada fakta, menulis hanya fakta yang benar dan tidak menulis dengan hanya berdasarkan desas desus dan khabar angin. Di sana, saya juga bertemu dengan seorang mahasiswa yang sering membaca blog saya, Yahya Affandy. Saya agak terharu dan rasa tersanjung.

Dari Unisri, kami makan tengahari di Soto Gading sebelum melawat Muzium Keraton Surakarta Hadiningrat. Selepas melihat pameran di Keraton, kami ke Gramedia.Kemudian kami minum kopi sebelum melihat deretan warung penjual buku Sriwedari . Ini wisata buku, saya beritahu Mas Doang dan Mbak Rini yang menemani saya berkeliling Solo.

Sebelum ke Universitas Sebelas Maret untuk mengambil Pak Andhika yang menyampaikan makalah di sana, kami mengambil Dra Herning Suryo dan Ibu Damayanti kerana selepas itu kami ke tempat Ibu Christy, yang turut menjalankan perusahaan batik.

Ibu Christy membantu perusahaan suaminya dalam perniagaan batik dan menjual pelbagai corak batik pelbagai jenis. Selepas itu, sebelum pulang ke hotel, kami mencari warung yang popular di Solo. Saya memesan ikan lele penyet atau ikan keli penyet.

Sebenarnya banyak destinasi yang boleh dikunjungi di Kota Solo. Selain Keraton Kasunanan Surakarta, pengunjung juga boleh berkunjung ke Pura Mangkunegaran di Jalan Ranggawarsita, Gedung Kesenian Taman Balekambang, Gedung Wayang Orang Sriwedari untuk menyaksikan pertunjukan wayang orang Museum Radya Pustaka di Jalan Slamet Riyadi, Pendhapa Institut Seni Indonesia untuk menyaksikan latihan tarian dan gamelan setiap Jumaat malam, Pendhapa Taman Budaya Surakarta di Jalan Ir Sutami untuk menyaksikan wayang kulit.

Solo memang sebuah kota yang kaya dengan tradisi Jawa. Banyak tempat yang boleh dikunjungi. Banyak kebudayaan yang kita boleh saksikan, selain tentunya banyak juga jenis makanan dan kuliner yang boleh kita nikmati.

Saya teringat cerpen Joko Pinurbo yang terbit di Kompas sehari sebelum itu. Jokopin memetik Seno Gumira Ajidarma yang menulis " alangkah mengerikannya menjadi tua dengan kenangan masa muda yang hanya berisi kemacetan jalan, ketakutan datang terlambat ke kantor, tugas-tugas rutin yang tidak menggugah semangat, dan kehidupan seperti mesin, yang hanya akan berakhir dengan pensiun yang tidak seberapa"

Satu-satunya kekesalan saya ialah tidak sempat melihat Bengawan Solo, sungai terpanjang di pulau Jawa. Sungai itu memberikan inspirasi kepada Gesang yang mencipta lagu keroncong, Bengawan Solo pada tahun 1940. Lagu itu menjadi popular , bukan saja di Indonesia malah di Jepun, Hong Kong, dan pernah dinyanyikan P.Ramlee dan Saloma.

"Bengawan Solo...Riwayatmu ini/Sedari dulu jadi ...Perhatian insani.
Musim kemarau …Tak sebrapa airmu...Di musim hujan air …Meluap sampai jauh.
Mata airmu dari Solo,Terkurung gunung seribu,Air meluap sampai jauh.Akhirnya ke laut,Itu perahu ….Riwayatmu dulu,Kaum pedagang selalu, Naik itu perahu".


Ya, itu riwayatmu dulu. Sekarang sudah jauh berbeza

SATU SIANG DI MALIOBORO, YOGYAKARTA

SATU SIANG DI MALIOBORO, YOGYAKARTA

Oleh ABD.NADDDIN HAJI SHAIDDIN

PERJALANAN ke Jogja itu dimulakan selepas makan bubur. Jujur, menikmati bubur ayam di Bubur Story di Jalan Kebangkitan Nasional di Solo itu, enak rasanya. Hampir semua jenis bubur, ada dijual di kedai itu. Sebagai penikmat bubur, boleh dikatakan bubur yang dijual di sana, mungkin hanya ada di sana, tidak di tempat lain.

Dengan cerita bubur itu, kami menempuh perjalanan kira-kira dua jam dari Solo ke Jogja atau dikenali juga sebagai Yogyakarta. Sesekali ingatan kembali kepada percakapan dengan Pak Sunarso di Muzium Keraton Solo mengenai beberapa kearifan Jawa.

"Wong iku kudu ngudi kebecikan, jalaran kebecikan iku sanguning urip" ertinya orang itu harus berusaha mencari kebaikan , sebab kebaikan itu bekalan hidup.

Bagi saya, perjalanan ini sendiri adalah usaha untuk mencari kebaikan. Banyak yang boleh dipelajari sepanjang perjalanan sehingga kami sampai ke Yogyakarta. Kalau bukan kerana kesuntukan masa, saya ingin berkunjung semula ke Candi Borobudur di Magelang,42 km dari Jogja, candi terbesar di Indonesia atau Candi Prambanan tetapi kerana saya sudah pernah ke sana, saya memilih untuk ke Malioboro.

"Kita jalan-jalan ke sana," saya mengajak Mas Doang atau nama sebenarnya Reza Maulana Berlian dan Mbak Rini, panggilan kepada Ani Kusumarini, mahasiswa Unisri yang menemani saya ke sana.

Kunjungan ke Jogja ini adalah kali kedua bagi saya. Beberapa tahun lalu, saya berkesempatan melawat Taman Sari Keraton Yogyakarta, berkunjung ke Krebet yang terkenal dengan kraftangan dan Kasongan yang terkenal kerana pembuatan ceramik.

Tapi salah satu yang paling saya ingat ialah menikmati kopi sambil lesehan di Angkringan Kopi Jos bersama dengan rakan-rakan penulis Yogyakarta.

Sayang sekali, tidak ada satupun nombor yang diberikan dapat dihubungi. Jadi saya memutuskan dalam kunjungan kali ini, kami hanya mencari buku dan sedikit cenderamata.

Sebaik melihat andong atau kereta kuda di jalan kota, saya segera menyedari bahawa kami sudah sampai ke Jalan Malioboro. Jika berkunjung ke Yogyakarta, salah satu tempat yang wajib dikunjungi ialah Jalan Malioboro, syurga membeli belah. Banyak jenis barangan dan kraftangan yang dijual di di kedai-kedai yang berderet di sana hingga di sepanjang kaki lima.

Lesehan biasanya sebelah malam. Jadi hasrat untuk mencari nasi gudeg, makanan popular di Jogja tidak dapat ditunaikan kerana kebetulan petang bergerimis di kota itu.

Mas Doang atau Reza Maulana menyarankan agar kami memesan daging burung dara atau burung merpati. Kami duduk di Warung Makan Handayani, Jalan Malioboro, depan DPRD Yogyakarta. Rasanya memang sedap atau mungkin kerana saya tidak pernah makan daging burung merpati.

Di sepanjang Jalan Malioboro itu, banyak pilihan yang tersedia untuk kita. Pasar Beringharjo adalah yang terbesar dan terlengkap di Yogyakarta. Walaupun ada keinginan untuk membeli kraftangan, Mas Doang mencadangkan kami ke Mirota Batik saja kerana banyak yang dijual dengan harga yang murah. Bagi pencinta seni rupa, barangkali boleh berkunjung ke Museum Affandi. Bagi pendaki, boleh pergi ke Gunung Merapi. Letusan gunung berapi Merapi , satu ketika dahulu yang memakan banyak korban termasuk Mbah Marijan si penjaga gunung, juga boleh dilawati.Bagi yang lain mungkin boleh pergi ke Makam Raja Imogiri, yang menjadi tempat pemakaman raja-raja Mataram dan keluarganya. Di Yogya juga banyak pantai yang cantik. Ada pantai Baron,Drini, Krakal, Kukup, Siung, Wediombo, Kuwaru dan Pantai Parangtritis yang terkenal dengan ombaknya yang tinggi sesuai untuk acara meluncur.

Sebenarnya banyak lagi destinasi pelancongan di Jogja yang boleh dikunjungi, andai saja banyak waktu yang panjang. Selain Candi Borobodur, Prambanan, ada candi Ratu Boko, ada candi Sambisari. Mereka yang sukakan alam semulajadi, boleh ke Kaliurang atau kalau yang melihat binatang boleh ke Zoo Gembiraloka dan Wildlife Rescue Centre WRC Yogyakarta. Kita juga boleh ke Gua Jombang, kalisuci, gua Pindul atau berkayak di Progo di Bajararum, Kalibawang.

Hari sudah lewat petang ketika kami keluar dari Mirota Batik. Sisa waktu selebihnya kami gunakan untuk menyelusuri jalan-jalan Malioboro. Berdiri di Atas Kaki Sendiri, bunyi grafiti pada sebuah binaan seni yang menjadi tempat bagi anak-anak muda `mengunci cinta mereka". Di sana, ada banyak mangga kunci, yang menandakan ikatan cinta yang terpatri kukuh kecuali jia kunci yang hilang itu diketemukan, untuk membolehkannya dibuka.

Sangat menarik. Binaan seperti ini terdapat juga di kota-kota lain di seluruh dunia, tetapi di jogja ini tidak sempat ditanya mengenai riwayatnya sejak pertama kali diadakan di sana.

Acara terakhir tetapi penting sebelum kami berangkat meninggalkan Yogyakarta iaah mencari buku. Terdapat banyak penjual buku, tidak jauh dari kantor pos. Saya membeli beberapa buku puisi, novel, biografi, dan sebagainya. Saya tertarik dengan sebuah buku Kumpulan Mutiara Kearifan Jawa, yang disusun Mohammad A Syuropati.

Banyak kata-kata mutiara Jawa di dalamnya."Aja lali saben dina eling marang Pangeranira, jalaran sejatine sira iku tansah katunggon Pangeranira", kata-kata yang kira-kira bermaksud "jangan lupa setiap hari ingat kepada Tuhan, sebab hakikatnya dirimu selalu dijaga oleh Tuhanmu. Selalu ingat kepada Tuhan akan membawa diri seseorang kepada kebaikan, ia akan selalu berbuat baik dan takut berbuat durhaka, kerana Tuhan sentiasa mengawasinya.

Semoga perjalanan ini seperti apa yang dikatakan orang Jawa "padha gulangen ing kalbu",. Setiap orang hendaknya suka merenung, refleksi, dan mempertajam batin agar peka terhadap lingkungan sekitar.

Ya, banyak yang boleh dipelajari dalam perjalanan ini.

DARI SOLO KE MALANG TERUS KE SONGGORITI

DARI SOLO KE MALANG TERUS KE SONGGORITI

-rakaman perjalanan dengan keretapi dari Stasiun Solo Balapan ke Malang hingga ke Batu, pengeluar epal terbesar di Indonesia

Oleh ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN

DI luar jendela, pemandangan berselang seli antara tanaman tebu dan sawah padi. Hari masih pagi tapi kami sudah menempuh tiga jam perjalanan dari Surakarta.. KA Gajayana/42 berangkat jam 3.00 pagi dari Stasiun Solo Balapan dalam perjalanan kira-kira enam jam ke Malang.

Bererti masih ada tiga jam lagi.Jika keretapi berangkat dari Solo Balapan jam 3.00, ia akan sampai jam 4.16 di Madiun. Jam 6.10 minit pagi ia tiba di Kediri.Jam 6.48 di Tulungagung dan kemudian kira-kira jam 7.28 keretapi Gajayana tiba di Blitar, tempat lahirnya Bung Karno..Setengah jam kemudian, ia tiba di Wlingi kemudian 8.46 tiba di Kepanjen. Jam 9.13 keretapi akan tiba di Malang Kota Lama dan lima minit kemudian tiba di Malang.

Keretapi Gajayana adalah keretapi kelas eksekutif yang beroperasi dari jurusan Jakarta -Malang, KA 42 berangkat jam 5.45 petang dari Stasiun Gambir dan menempuh perjalanan sejauh 907 kiometer selama 14 jam 30 minit. Bergerak sepanjang malam, keretapi itu mula beroperasi pada 28 Oktober 1999. Saya menaiki keretapi itu di Stasiun Solo Balapan. Saya tertarik naik keretapi kerana khabarnya kualiti perkhidmatan keretapi bertambah baik sejak dipimpin Ignatius Johan, kini Menteri Pengangkutan dalam kabinet Jokowi.

Negeri ini aneh, kata Pak Adi, kedengaran seperti kalimat dalam puisi. Komentar ini diberikannya ketika saya bercerita mengenai kesukaran saya mengangkat bagasi ketika saya mengharapkan ada seorang porter yang boleh membantu. Dulu dibenarkan masuk ke gerabak, tapi sekarang tidak lagi,katanya.

Selepas minum kopi di warung dekat stasiun, kami ke hotel Everyday Smart, tapi masa check in jam 2.00 petang. Negeri ini aneh, kata Pak Adi setelah mengetahui saya belum dapat check in kerana waktunya belum tiba.

Akhirnya kami terus ke Batu kerana Mas Agung Pribadi dan Mbak Suchie Wulandari dari Dinas Pariwisata Batu sudah menunggu. "Nama Batu berasal dari perkataan Mbak Wastu, yang lama kelamaan jadi Batu," kata Mas Agung. Mbah Wastu atau Kiyai Gabung Angin atau Abu Gohnaim adalah ulama pengikut setia Pangeran Diponegoro. Sejak abad ke-10 lagi, Batu terkenal sebagai tempat peristirehatan keluarga kerajaan kerana cuacanya yang dingin.

Tapi ada juga versi yang mengatakan Batu berawal dari nama "Batwan", nama sebuah desa di Hulu Brantas Daerah Batu era Hindu Buddha pada permulaan abad ke X ketika Mataram di bawah perintah Raja Isjana atau Pu Sindok.

"Saya ingin menulis mengenai objek wisata yang terdapat di kota ini untuk pembaca di Kota Kinabalu. Selama ini, orang Sabah selalu memilih Jakarta dan Bandung saja untuk bercuti padahal tempat lain banyak yang indah di pulau Jawa," saya memberitahu mereka. Kunjungan saya ke Jawa Tengah dan Jawa Timur kali ini mendapat bantuan fasiliti dari Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Kota Kinabalu. Saya harap dapat menulis banyak supaya lebih ramai wisatawan (pelancong) ke sini".

Dengan kata-kata itu, kami meluncur ke Songgoriti. "Mari kita lihat objek sejarah di sana, mister", kata Mas Agung. Sepanjang jalan kelihatan Gunung Panderman, berasal dari nama seorang Belanda, Van Der Man, khabarnya seorang pengagum keindahan gunung setinggi 2000 meter itu.

Songgoriti terletak kira-kira 3 km di sebelah barat Batu. Ia terkenal sebagai tempat pemandian air panas. Di sana juga ada candi Songgoriti, peninggalan abad ke-10. Di Pasar Songgoriti pula dijual bermacam jenis makanan,kraftangan dan cenderamata. Selain itu terdapat juga vila yang indah dan boleh disewa dengan harga yang sederhana.

Batu adalah tempat kelahiran artis Krisdayanti dan Yuni Shara. Yuni Shara bahkan ada membuat sekolah untuk anak-anak tadika. Penyanyi Ernie Djohan juga pernah tinggal di Batu.Di Batu juga lahir, Munir Said Thalib, seorang pejuang hak asasi manusia yang mati di Singapura dalam perjalanan ke Belanda. Di sini juga daerah kelahiran Dr Sindhunata, budayawan dan wartawan Kompas.

Kemudian kami ke Selecta, di Desa Tulungrejo untuk memetik buah epal. Selecta terkenal sejak zaman tahun 1928 dan dibina oleh Reyter Dewil, seorang Belanda.Kata Mbak Suchie, dengan hanya 25,000 rupiah, kita boleh memetik epal sepuasnya dan makan sepuasnya. Di Agro Kusuma, yang terletak bersebelahan Hotel Kusuma yang selalu menjadi pilihan mantan Presiden, Susilo Bambang Yudhoyono ketika kunjungan kerja ke Jawa Timur, memetik sebiji epal dikenakan 75,000 rupiah.

Kota Batu juga dijuluki sebagai Swiss Kecil di Pulau Jawa kerana iklim pergunungan yang sejuk. Ia juga terkenal dengan wisata gua di Cangar dan Tlekung, Air Terjun Coban Rondo,pelancongan pertanian atau agrowisata, Museum Satwa, Jatim Park dan sebagainya..

"Kenang-kenangan terhadap Selecta tetap hidup dalam tiap ingatan saya. Bukan saja kerana temasya yang indah, tetapi juga kerana di Selecta itu beberapa putusan penting mengenai perjuangan telah saya ambil," kata Bung Karno dalam suratnya selepas menginap di Bima Sakti tahun 1955.

Hari sudah petang. Lokasi memetik epal itu sudahpun ditutup. Sebenarnya ada lagi daya tarikan di Kota Batu iaitu Muzium Angkut, sebuah muzium yang mempamerkan pelbagai jenis kenderaan.

Kolaborasi antara potensi alam dengan berdirinya berbagai wahana permainan moden, menjadi kekuatan yang akan terus dibangun agar Kota Wisata Batu dikenal bukan hanya di tingkat nasional, tetapi juga di manca negara, kata Wali Kota Batu, Eddy Rumpoko

Di penghujung perjalanan sebelum kami pulang, kami sempat singgah minum di kawasan Alun-Alun Batu, di Jalan KH Agus Salim. Kami duduk minum di Pos Ketan Legenda 1967 yang dikunjungi ramai pengunjung pada senja itu. Ramai orang berbaris menunggu pesanan mereka.

"Ada petik buah epal?" tanya seorang kawan. Terasa aneh jika kita tidak memetik buah epal kalau berkunjung ke Batu, apatahlagi kota itu adalah pengeluar epal terbesar di Indonesia.

Aneh juga. Ketika berkunjung ke Batu, saya tidak sempat memetik epal kerana kemalaman.

SEJENAK DI MUZIUM KERATON SURAKARTA

SEJENAK DI MUZIUM KERATON SURAKARTA

Oleh ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN

"TATA krama punika, ngedohaken panyendhu, kagunan iku kinarya, ngupo bogo dene kelakuwan becik, weh rahayuning raga". Entah kenapa saya teringat kata-kata Serat Niti Sunu dalam buku kecil yang dihadiahkan Gusti Dipo.

Kata-kata itu antara lain bermaksud "...Orang yang sopan santun, menjauhkan pertengkaran. Adapun kepandaian itu berguna untuk mencari nafkah, sedangkan adat yang baik akan membawa keselamatan dirimu..".

Tapi kepandaian itu tidak datang dengan sendirinya. Ia harus dicari dan dipelajari. Demi untuk menjayakan sebuah pencarian akan ilmu pengetahuan itulah, kami berkunjung ke Muzium Keraton Surakarta Hadiningrat.

Jika anda pertama kali ke Surakarta atau nama lainnya, Solo,Jawa Tengah kunjungan ke Muzium Keraton Surakarta adalah sesuatu yang mesti, kalaupun tidak wajib. Tengahari itu, selepas menikmati makan tengahari di Soto Gading, kami ke muzium keraton atas saranan Gusti Dipo.

Saya ditemani Reza Maulana Berlian dan Ani Kusumarini, pelajar di Universiti Slamet Riyadi Solo. Setibanya di muzium keraton itu, kami mencari Sunarso, abdi dalem yang akan memandu kami sepanjang berkeliling muzium.

Sunarso, 55, sudah lama menjadi karyawan di muzuium itu. Ketika ditanya berapa lama, "baru 20 tahun," katanya bergurau.

Beliaulah yang menjelaskan satu demi satu bahan-bahan yang dipamerkan di ruangan muzium yang dahulunya gedung perkantoran,atau dalam bahasa Melayunya, bangunan pejabat Pakubuwono X.

Keraton Kasunan Surakarta terletak di pusat kota Solo, di Kelurahan Baluwarti, Kecematan Pasar Kliwon, Kota Surakarta. Pembangunan keraton itu, keseluruhannya menggunakan kayu jati dan mula digunakan pada 17 Februari 1745.

Sebaik memasuki ruang pameran itu, Pak Narso menerangkan mengenai foto-foto raja yang pernah berkuasa diSurakarta.

Menurutnya, pelukis pada masa itu berpuasa selama tiga hari sebelum dibenarkan melukis wajah raja.

Sebenarnya ada 13 ruang pameran dalam muzium yang menyimpan khazanah seni, budaya dan sejarah Surakarta itu.Kita dapat menyaksikan peninggalan Keraton Kasunanan Surakarta. Antaranya koleksi senjata kuno yang digunakan keluarga kerajaan, peralatan kesenian, beberapa almari dengan ukiran yang indah, kursi peninggalan Pakubowono !V dan sebagainya. Ruang kedua adalah ruang arca yang mempamerkan arca batu peninggalan zaman purbakala manakala ruang ketiga menyimpan patung kuda yang dibuat dari kayu, lengkap dengan pakaiannya milik pasukan keraton. Di ruang ini juga terdapat adegan pernikahan pengantin jawa manakala terdapat juga relief yang menceritakan proses adat pernikahan keraton Surakarta.

Kemudian ada ruang yang mempamerkan alat kesenian rakyat seperti wayang kulit dan sebagainya. Ruang yang menimpan pelbagai jenis topeng, danjuga ada ruang yang mempamerkan berbagai alat upacara yang digunakan oleh masyarakat dan keraton Surakarta seperti kendi, sumbul, perhiasan dan sebagainya. Ada juga ruang alat pengangkutan tradisional keraton, yang diangkat beberapa abdi dalem keraton. Selanjutnya ada ruang yang mempamerkan kereta kerajaan yang dihadiah kepada raja sejak abad ke18.

Keraton Surakarta Hadiningrat adalah salah satu kerajaan tertua yang yang menjadi penerus kepada Kerajaan Mataram Islam.

Sebelum proklamasi kemerdekaan pada 17 Ogos 1945, keraton Solo memiliki peranan penting dalam kerajaan tradisional. Ketika perjuangan kemerdekaan Indonesia, Keraton Kasunanan Surakarta juga memiliki peranan penting mulai dari waktu sebelum proklamasi hingga setelah Indonesia merdeka.Banyak aset dan bangunan keraton yang digunakan sebagai markas pejuang kemerdekaan.
"Keraton secara filosofis dalam pengertian Jawa itu bisa memelihara atau ngayomi dan bisa ngayemi atau menjaga kebaikan masyarakat," kata Gusti Dipo.

Beliau menyatakan bahawa Peranan Keraton Surakarta sebagai penerus kerajaan Mataram dalam pengembangan budaya di Indonesia sangatlah besar. Keraton adalah sebahagian daripada identiti dan jati diri bangsa.

Sepanjang lawatan ke Muzium itu, Pak Narso menjelaskan makna filosofi yang terkandung dalam budaya Jawa. Beliau menjelaskan mengenai simbol-simbol atau perlambangan yang membentuk budaya Jawa sebagai budaya yang sangat luhur.Selain itu, beliau menerangkan mengenai falsafah dan erti yang terkandung dalan pelbagai pusaka dan harta peninggalan kerajaan.

Melalui Pak Narso inilah, saya mengenai asal kata Keris. Keris berasal dari cantuman perkataan kekar dan nggerisi. Kekar ertinya kuat, nggerisi ertinya menakjubkan.Bila digabungkan keris bermakna Kekuatan yang menakjubkan.

Pak Narso berkata, setiap manusia diminta untuk mencari ilmu pengetahuan atau kepandaian. Ilmu pengetahuan mesti dijalankan dengan nurani.Kerana katanya, ilmu pengetahuan tanpa nurani itu itu satu kehinaan. Meskipun ilmu atau kepandaian kita tinggi, ia mesti dijalankan tetap dengan keimanan.Tuntut ilmu boleh setinggi langit, kata pak Narso, tapi tetap ada iman.

Di sebalik tontonan ini, katanya kepada kami, terdapat tuntutan. Di sebalik yang tersurat ada yang tersirat. Memahaminya tidaklah mudah, ia perlukan kesabaran dan keikhlasan. Ilmu harus dituntut tanpa pamrih. Ilmu diibaratkan air, api, dan angin dalam kehidupan manusia. "Manusia-tidak ada air sehari- mati. Manusia tidak ada angin api sehari-mati, manusia tidak ada angin sehari-mati," Sebuah kata-kata yang dalam maknanya.

Mengunjungi muzium keraton Surakarta, sambil berbicara dengan pak Narso yang menguasai filsafat Jawa dengan fasih amatlah bermanfaat dan bermakna.

Sebelum meninggalkan halaman muzium keraton itu, saya teringat lagi kata-kata dalam Serat Niti Sunu-sasono Pustoko Karaton Surakarta. "Pra Mudha wajib ngpaya, ngupaya kawruh utami, Utamaning Kasampurnaan, sampurnaning lair-batin, Batin kudu isi, Ingisi Kawrih myang ngelmu...". Wahai para pemuda dan pemudi, wajib mencari , menuntut ilmu yang tinggi, sampai mencapai kesempurnaan lahir dan batin.Batin hendaklah terisi dengan ilmu dan pengetahuan."

CATATAN PERTEMUAN DENGAN SOSIAWAN LEAK, PENYAIR DARI SOLO




CATATAN PERTEMUAN DENGAN SOSIAWAN LEAK, PENYAIR DARI SOLO

Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN
BAGAIMANA KALAU malam esok saja kita bertemu? kata Sosiawan Leak melalui sistem mesej singkatnya kepada saya.

Sosiawan Leak adalah sebuah nama yang diberikan oleh Bapak Ahmadun Yosi Herfanda ketika saya bertanya nama-nama penyair yang boleh diajak silaturrahmi sambil menikmati kopi sewaktu kunjungan jurnalistik saya ke Solo.

"Oke, kita jumpa esok malam selepas saya pulang dari Jogja,", saya jawab pesanan yang dikirimkannya.

Salah satu misi kunjungan saya kali ini ke Indonesia ialah bertemu dengan rakan-rakan penulis di tempat-tempat yang saya kunjungi untuk bertukar-tukar pandangan mengenai sastera.

Sebaik tiba di Hotel Solo Tiara, Jalan Kebangkitan Nasional, jam menunjukkan pukul 9.00 malam. Sosiawan masih dalam perjalanan dari tempat latihan teater yang akan dipersembahkan beberapa hari lagi. Beliau akan mengarahkan teater kolossal sempena Solo Batik Carnival melibatkan kira-kira 500 penari, pemuzik di Solo.

Sosiawan bukan saja bergiat dalam bidang teater tetapi juga beliau seorang penyair yang gigih dalam gerakan Puisi Menolak Korupsi.

Menurut Sosiawan, fenomena korupsi makin merebak dalam masyarakat kita. Gerakan Puisi Menolak Korupsi adalah gerakan kultural untuk membakitkan kesedaran di kalangan masyarakat, kata penyair kelahiran Solo tahun 1967 ini.

Beliau yang banyak berkeliling dunia membacakan puisinya, bukan saja di kota-kota di Indonesia malah di beberapa kota di Jerman dan Korea berkata Gerakan Puisi Menolak Korupsi pada hakikatnya menyatu dan padu dengan sebuah kekuatan yang beriktikad mengawal proses perjalanan masyarakat membangun kehidupan bangsa dan egara yang berkeadilan dan lebih bermanfaat. Gerakan Puisi Menolak Korupsi ini mengambil posisi sebagai gerakan kultural, melengkapi gerakan lain yang dilakukan oleh pebagai lapisan masyarakat sama ada melalui hukum, politik, agama, jurnalistik dan lain-lain.

Secara siknifikan gerakan ini juga menjadi sarana bagi penyair untuk menyatakan sikap tegas, menolak nilai-nilai kehidupan yang korup, katanya..

Sejak awal, Gerakan Puisi Menolak Korupsi berjalan sebagai gerakan yang bersifat nirlaba atau bukan untuk mencari keuntungan, bebas dan mandiri, baik secara ideologi maupun ekonomi.

"Antologi puisi yang kami terbitkan sentiasa merujuk kepada tema anti korupsi. Kami bergotong-royong membayar yuran untuk membiayai proses penerbitan antologi. Semua biaya adalah dari penyair sendiri yang mengutamakan asas kebersamaan dan tranparansi.

Kami juga mengadakan Road Show Puisi Menolak Korupsi di berbagai kota di Indonesia.

Hingga sekarang gerakan yang ideanya dilontarkan oleh Heru Mugiarso (Penyair Semarang) sudah menerbitkan antologi puisi, merangkum karya para penyair yang berasal dari berbagai daerah, usia, dan kecenderungan puitika. Setelah melewati proses seleksi dan penyuntingan, karya-karya itu terbit dalam Antologi Puisi Menolak Korupsi (melibatkan 85 penyair, terbit Mei 2013), Antologi Puisi Menolak Korupsi 2a (melibatkan 99 penyair, terbit September 2013) dan Antologi Puisi Menolak Korupsi 2b (melibatkan 98 penyair, terbit September 2013), serta Antologi Puisi Menolak Korupsi 3; Pelajar Indonesia Menggugat (melibatkan 286 pelajar).

Sejak Mei 2013, gerakan ini juga melakukan kempen anti korupsi bertajuk Road Show Puisi Menolak Korupsi ke berbagai wilayah di Indonesia dalam wujud pembacaan puisi, pentas seni, seminar, diskusi, orasi, lomba baca puisi, lomba cipta puisi dan lain-lain.

Sosiawan Leak bertindak selaku koordinator Gerakan Puisi Menolak Korupsi. Lulusan Fakulti Ilmu Sosial dan Politik, Universitas Negeri Sebelas Maret ini pernah menyertai sejumlah festival antarabangsa seperti "Festival Puisi Internasional Indonesia 2002" (Solo, Indonesia), "Poetry On The Road" 2003 (Bremen, Jerman), "Ubud Wiriters & Readers Festival" 2010 (Ubud, Indonesia), "Jakarta Berlin Arts Festival" 2011 (Berlin, Jerman), "Program Pertukaran Budaya Indonesia-Korea" di Hankuk University of Foreign Studies 2012 (Seoul, Korea), Asean Literary Festival 2014 (Jakarta). Beliau juga Melakukan baca puisi di Universitas Passau (2003), Universitas Hamburg (2003 & 2011), Deutsch Indonesische Gesellschaft (2011), Kedutaan Besar Indonesia di Berlin Jerman (2011), Korea Broadcasting System (KBS) Seoul, Hankuk University of Foreign Studies-Seoul dan Hwarang Park 667 Ansan City (2012). Selain itu, Sosiawan juga Melakukan program apresiasi sastra Indonesia-Jerman di Indonesa secara periodik sejak tahun 2006 hingga 2010 bersama Martin Janskowski (Berlin, Jerman) dan Berthold Damhauser (Bonn, Jerman). Pada tahun ahun 2012 melakukan baca puisu bersama Adam Wideweisch (USA) di (Biltar, Indonesia) dan melakukan poetry reading bersama Penyair Afrika Selatan (Charl-Pierre Naude, Vonani Bila, Mbali Bloom, Rustum Kozain) & Kurator Jerman (Indra Wussow) di Universitas Negeri Jember (Jember, Indonesia).

Sosiawan sudah menerbitkan sejumlah buku puisi berjudul Umpatan (bersama KRT Sujonopuro, Satyamitra-Solo, 1995), Cermin Buram (bersama KRT Sujonopuro & Gojek JS, Satyamitra-Solo, 1996), Dunia Bogambola (bersama Thomas Budi Santosa, Indonesiatera-Magelang, 2007), Matajaman (2011, bersama Budhi Setyawan & Jumari HS, Eraqu-Magelang, 2007), Kidung dari Bandungan (bersama Rini Tri Puspohardini, Forum Sastra Surakarta, 2011), Sundel Bolong (bersama Rini Tri Puspohardini, Forum Sastra Surakarta, 2012), dan Geng Toilet (Kumpulan Naskah Lakon Berbahasa Jawa, Forum Sastra Surakarta, 2012). Beliau juga menulis esei, naskah lakon di samping menjadi aktor dan sutradara beberapa grup teater di Indonesia.

Sejak 2013 menjadi Koordinator Gerakan Puisi Menolak Korupsi yang bertugas menyunting penerbitan Antologi Puisi Menolak Korupsi Jilid 1 dan 2 (Forum Sastra Surakarta, 2013), Antologi Puisi Menolak Korupsi Jilid 3 (Forum Sastra Surakarta, 2014), Antologi Puisi Menolak Korupsi Jilid 4 (Forum Sastra Surakarta, 2015) serta menyelenggarakan road show di berbagai kota bersama ratusan penyair Indonesia.

Sejak 2014 menjadi Koordinator Penerbitan Memo untuk Presiden (Forum Sastra Surakarta, 2014) yang merangkum karya 196 penyair dari seluruh Indonesia. Di samping itu juga menyelia pelaksanaan pelancaran buki di berbagai kota di Indonesia.

Banyak topik yang kami diskusikan dalam pertemuan yang agak singkat itu. Hari sudah jauh malam ketika kami berpisah kerana jam 3.00 pagi keesokan harinya, saya harus menaiki kereta api dari Terminal Balapan Surakarta untuk perjalanan enam jam ke Kota Malang.

 

 

 

 



MENDENGAR PIDATO BUNG TOMO DI SURABAYA

 

 
MENDENGAR PIDATO BUNG TOMO DI SURABAYA

Di Surabaya, saya ingin sekali mendengar Bung Tomo berpidato. Melalui ucapan-ucapannya yang penuh semangat dan penuh bergelora itu, beliau menginspirasi ramai pejuang-pejuang kemerdekaan di nusantara untuk bangkit menentang kolonialisme.

Sutomo lahir di Surabaya pada 3 Oktober 1920 tapi beliau lebih dikenali dengan panggilan akrabnya Bung Tomo. Beliau terkenal kerana perjuangannya membangkitan semangat rakyat untuk bangkit menentang Belanda yang mahu kembali menjajah Indonesia selepas Perang Dunia Kedua.

Ketika Tentera Inggeris datang dan menyebarkan risalah untuk meminta rakyat Indonesia menyerah kepada tentera sekutu, Bung Tomo dalam ucapannya yang penuh semangat itu mengatakan:

"Selama banteng-banteng Indonesia masih mempunyai darah merah
yang dapat membikin secarik kain putih merah dan putih
maka selama itu tidak akan kita akan mau menyerah kepada siapapun juga,".

Akhirnya, terjadilah petempuran 10 November 1945, yang kini diperingati sebagai Hari Pahlawan.

Saya ingin sekali mendengar Bung Tomo berpidato.Tetapi tokoh yang menjadi Pahlawan Nasional Indonesia ini sudah lama meninggal dunia. Beliau meninggal di Padang Arafah ketika menunaikan haji pada tahun 1981 ketika berusia 61 tahun.

Saya ingin mengenal Sutomo, seorang jurnalis yang membangkitkan semangat rakyat melalui siaran-siaran radio yang dipancarkan dari Surabaya. Melalui siaran radio inilah, suaranya didengar oleh pejuang-pejuang kemerdekaan seperti Ahmad Boestaman. Bung Tomo, menggerakkan semangat rakyat Surabaya yang diserang oleh pasukan Inggeris selepas General Malaby tertembak di Hotel Oranje. Inggeris datang menyerang Surabaya untuk melucutkan senjata tentera Jepun dan membebaska tawanan Eropah.

Peristiwa 10 November itu tetap dikenang sebagai Hari Pahlawan dan menjadi satu peristiwa penting dalam sejarah kemerdekaan Indonesia.

Dalam kunjungan ke Surabaya itu, saya sempat berkunjung ke Muzium 10 November, yang terletak berdekatan dengan monumen Tugu Pahlawan. Di sana, saya memutar semula rakaman pidato Bung Tomo. Saya mendengar seruannya kepada rakyat Indonesia untuk bersatu menentang penjajah.

"Saudara-saudara rakyat Surabaya, siaplah! keadaan genting!
tetapi saya peringatkan sekali lagi
jangan mulai menembak
baru kalau kita ditembak
maka kita akan ganti menyerang mereka itu kita tunjukkan bahwa kita ini adalah benar-benar orang yang ingin merdeka

Dan untuk kita saudara-saudara
lebih baik kita hancur lebur daripada tidak merdeka
semboyan kita tetap: merdeka atau mati!".

Ketia berada di Surabaya, saya mengunjungi Hotel Oranje, tempat terjadinya insiden perebutan bendera. Saya menyusuri semula tempat-tempat bersejarah sambil membayangkan betapa rakyat Surabaya bersatu menentang Inggeris meskipun hanya menggunakan bambu runcing.

Selepas kemerdekaan, Bung Tomo pernah terjun dalam politik. Pernah menjadi menteri dalam kabinet Burhanudin Harahap tahun 1955-1956 dan pernah pula menjadi anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dari tahun 1956-1959.

Pada tahun 1950an itu, Bung Tomo membantu tukang beca dengan mendirikan kilang sabun hasil yuran daripada tukang beca tetapi tidak berhasil. Namun beliau tetap dikenang sebagai seorang pahlawan yang bangkit menentang kembalinya Belanda menjajah semula Indonesia. Sungguhpun, mereka kalah dalam pertempuran 10 November itu, tetapi peristiwa itu tetap tercatat sebagai satu peristiwa penting dalam sejarah perjuangan kemerdekaan di Indonesia.

Di Surabaya, saya ingin sekali mendengar pidato Bung Tomo, dan syukurlah saya masih berpeluang mendengarnya, meskipun di sebuah muzium.

Bersama anak-anak sekolah rendah yang sedang melawat muzium itu, saya melihat filem ditayangkan. Saya mendengar bagaimana Bung Tomo membangkitkan semangat rakyat untuk memperjuangkan kemerdekaan dari tangan penjajah.

Lebih baik kita hancur lebur daripada tidak merdeka, kata Bung Tomo.


NOOR SALLEH HAJI TAMANONG, LONJAKKAN NAMA KOPERASI DI SABAH

NOOR SALLEH HAJI TAMANONG, LONJAKKAN NAMA KOPERASI DI SABAH

Kita mesti komited dan ikhlas dalam menjalankan sesuatu kerja. Itulah yang saya selalu tanamkan dalam hidup. Sering tolong orang bawah, jangan sombong, jangan angkuh , itu yang menjadi prinsip hidup saya, kata Noor Salleh Haji Tamanong, mantan Pengurus Besar Koperasi Kakitangan Sawit Kinabalu Sabah Berhad (KKSKSB). Ketika menjadi pengurus besar, beliau berjaya melonjakkan nama koperasi sebagai koperasi ke-12 terbaik daripada 100 koperasi terbaik di Malaysia. Dengan modal hanya sekitar RM12,000, KKSKSB pernah mencatat untung hingga RM60 juta.

Noor Salleh Haji Tamanong lahir di Kudat pada tahun 1958. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Pekan Kudat dari Darjah 1 hingga Darjah 6 (1965-1970) sebelum melanjutkan pelajaran menengah di SMK Kudat dari Tingkatan 1 hingga 3 (1971-1973). Selepas itu, beliau meneruskan persekolahan di SMK Sanzac Kota Kinabalu dalam Tingkatan Empat hingga Lima (1974-1975). Noor Salleh kemudian menduduki Tingkatan Enam di Maktab Adabi Kota Bharu Kelantan (1976-1977) hingga lulus Sijil Tinggi Persekolahan (STP).

Selepas lulus STP, Noor Salleh bekerja di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu sebelum berangkat ke Amerika Syarikat untuk mengikuti pengajian dalam jurusan pengajian perniagaan di Andrew University Michigan (1980-1983).

Sekembalinya ke tanah air, Noor Salleh sempat berkhidmat sebagai guru sandaran di SMK Tenghilan selama lapan bulan sebelum menerima tawaran bekerja di Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) sebagai Pegawai Tenaga Kerja. Selepas LKTNS bertukar nama kepada Sawit Kinabalu, Noor Salleh dilantik sebagai Pengurus. Kemudian beliau dilantik sebagai Pengurus Besar Koperasi Kakitangan Sawit Kinabalu Sabah Berhad(KKSKSB). Ketika menjawat jawatan PPengurus Besar, Noor Salleh berjaya meletakkan KKSKSB di tangga ke 12 daripada 100 koperasi terbaik di Malaysia. Beliau adalah salah seorang pengasas koperasi KKSKSB yang ditubuhkan pada 19 September 1989. Pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Agung,Pengurus, Pengurus Umum dan Pengurus Besar, Noor Salleh berpengalaman mentadbir koperasi selama kira-kira 25 tahun.

Sepanjang khidmatnya di KKSKSB, beliau berjaya menambah jumlah keanggotaan, jumlah modal saham, aktiviti perniagaan dan banyak lagi yang membawa banyak perubahan positif kepada koperasi itu.Ketika memimpin koperasi, KKSKSB menerima banyak pengiktirafan dan beberapa anugerah pencapaian yang berprestij sama ada di peringkat negeri mahupun di peringkat nasional.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemui Noor Salleh Haji Tamanong di celah-celah kesibukannya melayan tetamu pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidil Fitri Persatuan Alumni SMK Sanzac yang diadakan di Dewan SK Tanjung Aru, baru-baru ini. Ikuti petikan temubual bersama beliau mengenai pengalamannya sewaktu zaman persekolahan dan ketika memimpin koperasi.

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang tuan?

NOOR SALLEH HAJI TAMANONG: Saya dilahirkan di Kudat dalam sebuah keluarga Suluk dan Kagayan pada tahun 1958. Ayah saya, Haji Tamanong Imam Shuaib dan ibu saya bernama Salmah Haji Awang Karim. Saya bersekolah rendah di SRK Pekan Kudat dalam darjah satu hingga darjah enam, dari tahun 1965 hingga 1970. Kemudian saya bersekolah menengah di SMK Kudat dalam Tingkatan 1 hingga tingkatan 3, iaitu dari tahun 1971-1973).Selepas itu, saya pindah sekolah di SMK Sanzac Kota Kinabalu dari tingkatan empat hingga lima dalam tahun 1974 hingga 1975. Kemudian saya masuk tingkatan enam di Maktab Adabi Kota Baru dari tahun 1976 hingga 1977 hingga lulus Sijil Tinggi Persekolahan (STP).

UB: Selepas lulus STP, tuan kerja di mana?

NOOR SALLEH: Selepas STP, saya bekerja di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu. Kemudian, saya mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di Michigan dalam jurusan Business Management. Saya belajar di salah sebuah universiti yang agak jauh iaitu Andrew University Michigan dalam tahun 1980 hingga 1983.

UB: Tamat universiti, tuan terus dapat kerja di Sawit Kinabalu?

NOOR SALLEH: Sepulang dari Amerika Syarikat, saya sempat berkhidmat sebagai guru sandaran di SMK Tenghilan selama lapan bulan. Tidak lama selepas itu, saya mendapat tawaran bekerja sebagai Pegawai Tenaga Kerja di Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) Selepas LKTNS bertukar nama kepada Sawit Kinabalu, saya dilantik sebagai Pengurus. Kemudian, saya menjadi Pengurus Besar Koperasi Kakitangan Sawit Kinabalu Sabah Berhad(KKSKSB).

UB: Sebenarnya dulu apa cita-cita tuan? Sewaktu masih kanak-kanak, apa cita-cita bila dewasa?

NOOR SALLEH: Dulu semua orang mahu jadi `lawyer'. Ibu bapa mahukan anak mereka berjaya. Bila sudah besar berubah ikut keadaan.

UB: Mungkin sejak masa sekolah, tuan sudah terlatih sebagai pemimpin? Apa jawatan tuan di sekolah dulu?

NOOR SALLEH: Sewaktu di sekolah dahulu, sebenarnya saya agak pendiam. Sungguhpun begitu, saya aktif dalam persatuan, menyandang jawatan sebagai Pengawas Sekolah.

UB: Boleh ingat siapa rakan satu sekolah dahulu?

NOOR SALLEH: Antara rakan saya sewaktu sekolah di Kudat, termasuklah Datuk Dr Haji Janathan Kandok, Pengarah Kastam Sabah, Datuk Bolkiah Haji Ismail, Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur, yang juga ADUN Pitas dan ramai lagi.

Di SMK Sanzac pula, antara rakan saya ialah Datuk Raimi Unggi , yang menjadi Ahli Parlimen Tenom sekarang, Datuk Samsu Baharun Haji Abdul Rahman, mantan Ahli Parlimen Silam, yang kami panggil Basirun, Haji Sinoh Mohamad, Haji Johari Mahul, kedua-duanya ahli korporat, Dr Azalina Ekat, Hajah Asmiah Haji Ajamain, Pengarah DBP Sabah,Hajah Rosnani Haji Asmat, Pengurus Besar di LPPB Sabah. Pengarah Kastam Terengganu, Datuk Hamzah Sundang pula junior saya sewaktu di Sanzac.

UB: Siapa yang banyak memberi semangat untuk belajar lebih tinggi?

NOOR SALLEH: Semangat belajar itu datang sendiri apabila melihat orang-orang yang sudah berjaya seperti Datuk Zulkfli Abdul Hamid yang mendapat biasiswa belajar di di New Zealand di bawah Rancangan Colombo.Kita rasa cemburu bila dengar anak orang-orang besar belajar di universiti di luar negara. Itu yang banyak mendorong saya untuk belajar lebih tinggi lagi.

UB: Bagaimana pula pengalaman sewaktu belajar di Amerika Syarikat?

NOOR SALLEH: Banyak pengalaman sewaktu belajar di US. Ketika belajar di US, saya sudah ada isteri. Saya bawa keluarga ke sana. Duit biasiswa tajaan Yayasan Sabah tidak mencukupi. Jadi untuk menampung kos sara hidup sewaktu di sana,saya terpaksa bekerja tambah pendapatan.

UB: Kerja apa? tentu banyak pengalaman menarik?

NOOR SALLEH: Saya kerja apa saja untuk menambah pendapatan. saya kerja sambilan jadi tukang janitor di supermarket. Kalau hari enam dan hari minggu, saya bekerja mengutip buah epal dan strawberry. Kalau ditanya pengalaman, tidak ada yang menarik sebenarnya. Sewaktu belajar di sana, arwah bapa saya meninggal. Tahun 1983. Ada rasa kecewa, sedih kerana tidak dapat pulang menziarahinya. Itu yang sedihnya. Pengalaman yang sedemikian itu,mendorong saya untuk belajar lebih kuat lagi.

UB: Berbalik kepada pengalaman kerja sambilan di Michigan, boleh tahu berapa gajinya?

NOOR SALLEH: Kalau tidak silap, gajinya sekitar USD4.00 dolar sejam. Lumayan juga kalau dikalikan dengan nilai duit kita. Saya juga pernah jadi tukang potong cheese. Kalau kerja kutip epal, kira bakul. satu bakul dipanggil satu bushell, USD3.00 sejam. Di sana budaya kerja mesti serius. Kita tidak boleh main-main. Tapi semua terpaksa dilakukan kerana duit biasiswa tidak cukup untuk menanggung hidup.

UB: Oh ya, berbalik kepada pengalaman tuan sewaktu berkhidmat di koperasi. saya difahamkan tuan berjaya meletakkan Koperasi Kakitangan Sawit Kinabalu Sabah Berhad (KKSKSB) sebagai antara koperasi terbaik di Malaysia. Boleh cerita sedikit?

NOOR SALLEH: Itu cerita beberapa tahun dahulu. Ketika menjawat sebagai Pengurus Besar, kami berjaya meletakkan KKSKSB ditangga ke-12, daripada 100 koperasi terbaik di Malaysia.

UB: Berapa tahun pengalaman dalam bidang koperasi?

NOOR SALLEH: Saya berpengalaman selama 25 tahun dalam koperasi. Saya bersama dua orang lagi rakan, Haji Salim Mohamad dan Lin Fan Chong terlibat dalam penubuhan Koperasi Kakitangan Sawit Kinabalu Berhad pada 19 September 1989.Mereka memberikan kerjasama dan dorongan supaya memajukan koperasi.

Dalam koperasi, saya pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Agung,Pengurus, Pengurus Umum dan Pengurus Besar.. Bermula dari modal hanya sebanyak RM12,000, Koperasi Kakitangan Sawit Kinabalu pernah untung hingga 60 juta.

UB: Apa bidang perniagaan yang diceburi koperasi KKSKSB?

NOOR SALLEH: Koperasi Sawit bergiat dalam pembangunan perumahan, stesen minyak.

UB: Boleh tuan beri penerangan sedikit mengenai kepentingan koperasi?

NOOR SALLEH:Kepentingan koperasi dalam masyarakat tidak dinafikan. Secara umum menyatukan semua orang supaya aktif mengadakan aktiviti yang menguntungkan ahli koperasi. Itu yang kami lakukan sehingga menjadikan Koperasi Sawit Kinabalu menjadi koperasi yang menduduki tangga ke-12 dari 100 koperasi terbaik di Malaysia pada waktu saya menjadi pengurus.

UB: Sepanjang terlibat dalam koperasi, mungkin tuan banyak terlibat dalam seminar di peringkat antarabangsa?

NOOR SALLEH: Kalau sebut seminar, saya pernah menghadiri persidangan antarabangsa mengenai koperasi di Quebec Canada, Cape Town, Afrika Selatan, Manchester England,iSingapura dan Thailand. Melalui persidangan seperti itu, kita pelajari idea memajukan koperasi dari luar negara. Selain itu, di Sabah sendiri, saya pernah menjadi Timbalan Yang Di Pertua Angkasa Sabah dari tahun 1981 hingga 1985. Kami sebenarnya adalah pengasas penubuhan angkasa Sabah. Waktu itu, pengerusinya ialah Asit Haji Sedi.

UB: Boleh cerita sedikit mengenai Koperasi Mantan Pelajar SMK Sanzac (Kompas) yang ditubuhkan untuk alumni SMK Sanzac?

NOOR SALLEH: Koperasi ini ditubuhkan pada 31 Januari 2015 untuk kepentingan ahli-ahli yang terdiri dari mantan pelajar SMK Sanzac.Mula-mula dikalangan pelajar tahun 1975. Saya fikir kalau setakat perjumpaan, setakat pertemuan alumni , jumpa untuk reunion, tidak berbaloi. Rasanya lebih baik ada aktiviti. Jadi kita tubuhkan koperasi, ceburi bidang bisnes ,buat sesuatu. Ramai ahli-ahli yang boleh menyumbang buah fikiran.

Koperasi kami dianggotai gabungan profesional. Tidaklah kita mengharapkan 100 peratus bantuan kerajaan. Asalkan semua mantan pelajar dapat disatukan. Tidak mustahil,kita boleh berjaya kerana koperasi dianggotai gabungan profesional.

UB: Apa rahsia kejayaan sesebuah koperasi?

NOOR SALLEH: Rahsia kejayaan sesebuah koperasi terletak pada pengurusan koperasi. Kalau pentadbiran koperasi baik, kalau koperasi dijaga dengan baik, kalau diurus dengan baik, tidak mustahil akan menjadi koperasi yang berjaya.Kalau betul jalannya, saya rasa tiada masalah dalam koperasi. Modal dan pengurusan yang penting.Orang kita, minta maaf saja, selalu cincai dalan urusan kira duit

UB: Akhir sekali, mungkin tuan boleh ceritakan konsep dalam bekerja?

NOOR SALLEH: Kita mesti komited dan ikhlas dalam menjalankan kerja. Itulah yang saya selalu tanamkan dalam hidup. Sering tolong orang bawah, jangan sombong, jangan angkuh , itu yang menjadi prinsip hidup saya.

KEAMANAN YANG DIKECAPI PERLU DIPERTAHANKAN: ZAMAN HAJI BAYANG

KEAMANAN YANG DIKECAPI PERLU DIPERTAHANKAN: ZAMAN HAJI BAYANG

PENGALAMAN hampir terkena jerangkap samar ketika memburu Chin Peng dalam hutan di Bukit Melintang, tidak dapat dilupakan oleh seorang veteran tentera, Zaman Haji Bayang. Ketika itu, Zaman berkhidmat dengan 11 Melayu Diraja yang menjalankan operasi membanteras pengganas komunis di Bukit Melintang, Kelantan. "Kami hampir menjadi mangsa," katanya sambil mengingat peristiwa itu. Seorang komando yang menjalankan operasi juga muntah terminum air sungai yang diracun. Sebenarnya banyak lagi pengalaman boleh diceritakan ketika berkhidmat dalam perkhidmatan tentera, kata Zaman yang kini menjadi Timbalan Ketua Cawangan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Kota Marudu.

Zaman Haji Bayang dilahirkan di Kampung Tandek Kota Marudu pada tahun 1956. Beliau mendapat pendidikan awalnya GPS Tandek sebelum melanjutkan pelajaran di SMK Kota Marudu hingga LCE. Selepas itu, beliau berkhidmat dengan 11 Rejimen Askar Melayu Diraja berpengkalan di Kluang Johor pada tahun 1977. Selepas berjuang dalam hutan, beliau bertukar ke Rejimen 507 Askar Wataniah dalam bahagian Pentadbiran sebelum bersara setelah 10 tahun berkhidmat dalam tentera. Sebagai seorang yang gigih, Zaman tidak pernah berputus asa menambahkan ilmu pengetahuan.Beliau menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijl Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)sebagai calon persendirian. Selepas menamatkan perkhidmatan dalam tentera, Zaman pernah dilantik sebagai Ketua Anak Negeri (KAN) selama lima tahun. Beliau juga pernah bertugas di Rasaria Resort selama tiga tahun. Pada masa yang sama beliau sambung belajar hingga lulus ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Open University Malaysia (OUM). Beliau tidak pernah menolak tugas yang diamanahkan kepadanya. Belaiu pernah menjadi Pengerusi JKKK dan kini dilantik sebagai Ketua Kampung Kampung Rasak Laut, Tandek.

Dalam kegiatan sukarela, beliau menjawat jawatan sebagai Ketua Cawangan Persatuan Veteran Angkatan Tentera (PVATM) Kota Marudu. Beliau juga pernah menjawat jawatan Timbalan Presiden PBTM (Kini PVATM) Sabah. Selain aktif dalam kegiatan sukarela, Zaman juga aktif dalam kegiatan perniagaan.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang bersembang dengan beliau untuk berkongsi pengalaman hidupnya sepanjang berkhidmat dalam tentera, pandangannya terhadap semangat patriotisme di kalangan generasi muda dan betapa perlunya bekas-bekas tentera menyertai PVATM. Ikuti petikan wawancara bersama beliau.

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang tuan?

ZAMAN HAJI BAYANG: Saya dilahirkan di Tandek pada tahun 1956 .. Saya bersekolah rendah di Tandek, iaitu di Government Primary School (GPS) Tandek sebelum melanjutkan pelajaran di SMK Kota Marudu hingga lulus LCE.

UB: Selepas LCE, apa yang tuan lakukan?

ZHB: Selepas peperiksaan LCE, saya berhenti dan kemudian masuk dalam perkhidmatan tentera. Saya memasuki 11 Melayu Di Raja (RAMD) yang berpengkalan di Kluang. Dari 11 Melayu Diraja, saya bertukar ke di 507 Askar Wataniah di Kem Bukit Perwiramenjalankan kerja-kerja pentadbiran.

UB: Tahun berapa berkhidmat dalam tentera? Mungkin banyak pengalaman dalam tentera?

ZHB: Saya masuk tentera pada tahun 1977 dalam era menentang pengganas komunis. Anasir Komunis masa itu, masih mengancam keselamatan negara.

.

UB: Selepas itu, tuan bertugas dimana?

ZHB: Saya bertukar ke Rejimen 507 Askar Wataniah, menjalankan kerja-kerja pentadbiran.

UB: Saya selalu mendengar mengenai Askar Wataniah tetapi kurang tahu mengenainya. Boleh terangkan sedikit?

ZHB: Setahu saya, Askar Wataniah ditubuhkan pada 1 Jun 1958. Askar Wataniah merupakan salah satu pasukan di dalam Angkatan Sukarela Persekutuan yang berfungsi sebagai Pasukan Simpanan Tentera Darat.Rejimen 507 terletak di Kem Bukit Perwira adalah salah satu dari 16 Rejimen siri 500 di seluruh negara.

UB: Berapa lama berkhidmat dalam tentera?

ZHB: Saya berkhidmat dalam tentera selama 10 tahun. Selepas itu saya berhenti dari perkhidmatan tentera.

UB Apa kerja tuan selepas berhenti?

ZHB: Saya berkhidmat sebagai Ketua Anak Negeri,demi meneruskan khidmat kepada masyarakat. Saya juga pernah menjadi Pengerusi JKKK. Sekarang saya menjadi Ketua Kampung di kampung saya.. Saya adalah penyokong kuat BN kerana rakyat yakin perjuangan BN dalam membela dan memperjuangkan nasib rakyat.

UB: Apa kegiatan lain selain bertugas sebagai pemimpin akar umbi?

ZHB: Saya juga aktif sebagai Ketua Cawangan PVATM Kota Marudu.

UB: Terlanjur bercakap mengenai PVATM. Mungkin tuan boleh jelaskan fungsi PVATM?

ZHB: Seperti yang digariskan, fungsi PVATM ialah menyokong dan menjunjung tinggi prinsip-prinsip RUKUN NEGARA. Ia juga ditubuhkan bagi menghargai dan memelihara semangat muhibah di antara Bekas Tentera yang pernah berkhidmat semasa peperangan serta menjaga darjat dan menghormati antara bekas-bekas tentera.Selain itu, PVATM juga menjaga kepentingan mereka yang telah berkhidmat di dalam Angkatan Tentera Malaysia.

PVATM menggalak dan mengeratkan lagi kerjasama serta perpaduan di antara bekas-bekas tentera. PVATM juga memberi pertolongan dan bantuan kepada ahli-ahli termasuk keluarga tanggungan mereka apabila sakit atau tercedera yang memerlukan termasuklah kemudahan perubatan, perumahan, pelajaran, pekerjaan.

Melalui PVATM, kita berharap agar kerajaan memberi keutamaan kepada bekas-bekas tentera untuk mendapatkan pekerjaan, perumahan, penempatan tanah dan lain-lain.

Selain itu, kita juga memberi kesedaran kepada orang awam bahawa membantu bekas-bekas tentera yang cacat, cedera serta tanggungan mereka adalah juga kewajipan bersama.

UB: Bagaimana pandangan tuan terhadap langkah kerajaan mewartakan 31 Julai sebagai Hari Pahlawan?

ZHB: Langkah ini adalah amat baik. Dengan adanya sambutan Hari Pahlawan kita dapat memperingati pahlawan kita yang dulu berjuang dengan gagah berani sehingga ada yang terkorban dalam mempertahankan kedaulatan negar dari ancaman musuh.

Sambutan Hari Pahlawan adalah wadah atau platform bagi kita mensyukuri nikmat keamanan yang dikecapi. Tanpa adanya keamanan, pembangunan tidak akan dapat dikecapi. Wira-wira negara bertungkus lumus memastikan agar tiada anasir-anasir yang menghururakan kemakmuran negara.

Usaha kerajaan ini amat kita hargai. Dengan mewartakan 31 Julai sebagai Hari Pahlawan, ia satu pengiktirafan bagi mengenang jasa dan pengorbanan anggota pasukan keselamatan yang berkorban demi mempertahankan kedaulatan negara.

UB: Saya lihat di kalangan generasi kita seperti kurang menghargai pengorbanan bekas tentera? Apa komen tuan?

ZHB: .Mungkin kerana kita sudah selesa, kadang-kadang kita lupa bahawa keamanan yang dikecapi ini adalah hasil keringat dan darah pahlawan yang mempertaruhkan nyawa demi agama, bangsa dan negara. Kita haruslah memperingati pengorbanan wira-wira negara.

Menyentuh mengenai kurangnya penghargaan kepada bekas tentera, ia berkait dengan kurangnya semangat patriotisme. Semangat patriotisme di kalangan genrasi muda agak kurang berbanding generasi sebelumya, mungkin kerana mereka tidak pernah merasai pahit getir hidup di zaman darurat.

Mereka hidup dalam era yang sudah berlainan, sudah berubah daripada generasi sebelumnya.

UB: Apa langkah yang perlu dibuat untuk meningkatkan semangat patriotisme di kalangan generasi kita?

ZHB: Oleh sebab itu, usaha-usaha perlu dibuat untuk mengembalikan rasa cinta ke atas tanah air sejak alam persekolahan. Semangat patriotisme di kalangan kanak-kanak perlu ditanamkan sejak di bangku sekolah. Semua pihak terutamanya ibu bapa haruslah mendidik anak mereka mengenai perjuangan dan pergorbanan orang orang terdahulu sehingga keamanan negara dapat dinikmati.Kita haruslah mewujudkan generasi atau masyarakat yang cintakan negara dan saling bekerjasama untuk mempertahankan kestabilan, keamanan dan kedaulatan negara.

UB: Apa komen tuan mengenai bekas tentera yang belum menyertai persatuan?

ZHB: Kita berharap agar bekas tentera dimana saja berada agar menyertai persatuan dengan menjadi ahli. Apabila mereka menjadi ahli, adalah agak mudah untuk kita memperjuangkan dan membela nasib mereka, agak mudah bagi kita menjaga kebajikan ahli.

UB: Bagaimana pula pandangan tuan terhadap pihak tertentu yang cuba menabur fitnah di media sosial untuk menjatuhkan imej kerajaan?

ZHB: Fitnah dan tohmahan yang dilemparkan terhadap kerajaan dalam media sosial tidak berasas dan boleh merosakkan perpaduan dan keharmonian negara.Kebanyakannya adalah khabar angin yang membawa impak negatif kepada negara. Saya yakin ahli-ahli PVATM berdiri teguh di bawa kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Kita menolak dan membidas pihak tertentu yang menyebarkan tohmahan yang sudah tidak benar kerana ia dibuat semata-mata menjatuhkan Perdana Menteri secara tidak demokratik

Perkara sebegini boleh menggugat keharmonian dan keamanan negara yang diperjuangkan sejak sekian lama. Sebagai warganegara yang mempunyai akal fikiran, kita harus mempertahankan keharmonian dan keamanan negara tanpa mengira kaum,agama dan fahaman politik mereka.

Kita menyeru agar orang ramai tidak terpedaya kerana media sosial kebelakangan ini yang banyak memutar-belitkan fakta bagi memburukkan kerajaan bagi mencapai hasrat mereka. Perkara ini perlu dihentikan kerana ia mampu memecahbelahkan perpaduan yang telah kita bina.

Sebagai bekas tentera kami tidak rela keharmonian yang dibina itu dirosakkan oleh anasir yang mahu menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi dengan menyebarkan tohmahan dan fitnah yang tidak berasas.
UB: Apa prinsip tuan dalam hidup?

ZHB: Saya tidak pandai berputus asa dalam hidup. Kalau dalam tentera dulu, berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir. Sekarang , berjuang hingga ke titik yang terakhir, dalam semua bidang.

SUHAIMI MAGI, DARI SEORANG ANAK KAMPUNG, KINI PAKAR TARI TERKENAL DI NUSANTARA



SUHAIMI MAGI, DARI SEORANG ANAK KAMPUNG, KINI PAKAR TARI TERKENAL DI NUSANTARA



 

Siapa sangka dari sebuah kampung yang serba kekurangan di kampung Angan Angan Tenom, lahir seorang bayi lelaki pada tahun 1957 yang kini menjadi seorang tokoh tari yang cukup dikenali di seluruh Malaysia malah namanya sangat terkenal di seluruh Nusantara.



Suhaimi Magi lahir pada 18 Julai 1957 dari sebuah keluarga berketurunan Jawa Banjar. Berkelulusan Sarjana tari dari Institut Kesenian Jakarta, Indonesia, kini beliau adalah felo & pensyarah di Fakulti Kemanusiaan Seni & Warisan UMS.



Beliau pernah bekerja sebagai Budak Pejabat di Hong Kong Shanghai Bank (1973-1977), Artis Budaya Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan Negeri Sabah (1977-1980) sebelum menuntut di Institut Kesenian Jakarta (IKJ) dari tahun 1980 hingga 1988 atas biasiswa Yayasan Sabah. Sepanjang berada di sana, beliau pernah menjadi Penari di Istana Presiden Indonesia, menjadi penari di bawah Bapak Guruh Sukarno Putra dan Elly Kassim. Suhaimi juga pernah mewakili Indonesia ke Fesrival di Malaysia, Amerika dan Eropah, membuat karya solo di Taman Ismail Marzuki dan menjadi penari utama di Taman Ismail Marzuki Jakarta.

Selepas kembali ke tanahair pada tahun 1988, beliau menjadi jurulatih tarian di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan Negeri Sabah (1988-1990,) Koreografer di Lembaga Kebudayaan Sabah (1990-1992) Penolong Pegawai Kebudayaan Lembaga Kebudayaan Sabah (1992-1994), Penolong Pengarah dan Pensyarah di Jabatan tari Akademi Senu Kebangsaan (1994-2002), Eksekutif Tarian Jabatan Seni Persembahan Petronas Kuala Lumpur (2002-2008) selain menjadi pesyarah sambilan di ASK, dan kemudian kembali menjadi pensyarah dan koreografer di Akademi Seni Kebangsaan Kuala Lumpur (2008-2011) dan kini menjadi Pensyarah di Fakulti Kemanusiaan Seni & Warisan UMS.



Suhaimi mula berkarya pada tahun 1975 dan pernah mementaskan karya sama ada di Sabah, Jakarta,Padang Panjang,Bengkalis, Padang, Yogyakarta, New York, San Fransisco, Hong Kong,Kuala Lumpur,Dewan Recital UMS,dan Padang Pekan Papar Sabah.

Selain itu, beliau juga berpengalaman mengajar dan mengendalikan bengkel sama ada di dalam dan di luar negara. Di luar negara, beliau pernah mengendalikan bengkel di Hong Kong,Thailand, New York, San Fransisco, Melbourne, Perth, Singapura dan Indonesia. Beliau juga menulis kolum mengenai pengalaman beliau dalam seni tari di Utusan Borneo setiap minggu.



Beliau pernah menjadi Pelajar Terbaik dan Contoh oleh Duta Besar Malaysia di Indonesia pada tahun 1987,Tokoh Tari Sabah oleh Pejabat Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pada tahun 1992, Anugerah Penghargaan Penggiat Seni Tari Negeri Sabah oleh JKKN Sabah 2011.



Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berkesempatan mewawancara beliau di celah-celah kesibukannya menjalankan kegiatan kehidupan harian dan dan tugas di Fakluti Kemanusian Seni dan Warisan Ikuti wawancara dengan beliau yang dijalankan secara santai mengenai perjalanan kehidupan seninya yang sangat menarik. Perjalanan yang penuh liku namun yang menghantar dan menjulang namanya menjadi sangat terkenal memalui bidang seni tari yang sangat di tekuni dan di hayatinya.



 

UTUSAN BORNEO: Boleh Encik Suhaimi ceritakan detik awal bagaimana bermulanya Encik Suhaimi terlibat di dalam kegiatan seni?



SUHAIMI MAGI : Memang terlalu jauh untuk memutarkan kembali pengalaman hidup masa lalu saya. Dan saya tidak pasti dari mana punca awalnya kerana semuanya berjalan apa adanya. Dari kampung Angan Angan yang menyatu dengan kampung Cinta Mata Tenom, saya membesar dengan keadaan kampung yang masih belum dijamah oleh kemajuan. Lampu masih menggunakan lampu pam, air perigi, rumah bambu, mau ke pekan berjalan hampir sejam ke jalan raya dan menunggu berjam jam lagi untuk pergi ke pekan Tenom. Memang serba kekurangan, namun sangat membahagiakan kerana kami hidup penuh kedamaian dan kebahagiaan bersama keluarga besar kami. Kebanyakan masyarakat yang tinggal di kedua kampung tersebut adalah berketurunan Jawa dan Banjar. Budaya mereka sangat kental akan kejawaan atau kebanjaran, dan mungkin ya saya membesar dengan kedua budaya tersebut. Adat adat lama ketika itu masih di amalkan seperti lek lekan, ianya sebuah adat berjaga untuk menyambut kelahiran bayi. Biasanya orang kampung akan datang berkunjung ke rumah keluarga yang baru mendapat bayi untuk ikut merasakan kesyukuran dan kegembiraan akan kehadiran keluarga baru dalam keluarga tersebut. Selepas maghrib akan banyaklah orang berkunjung ke rumah terebut untuk berbual dan mengucapkan tahniah, minumannya tidak mewah pun hanya kopi O buatan sendiri dan biskut marie itu sahaja dan itu di amalkan sepanjang waktu. Belum lagi kalau kenduri kandara, setiap keluarga di kampung menyumbang seekor ayam, dua biji kelapa kadang beras kepada tuan rumah yang berhajat. Gotong royongnya sangat kuat, salah satunya yang saya ingat dan suka adalah kalau membuat serubung yaitu kalau sekarang kanopi atau khemah lah ya. Orang kampung bergotong royong mencari bambu untuk membuat khemah beratapkan zing untuk menempatkan tetamu makan dan tempat memasak. Keadaannya seperti sebuah pesta dan sangat saya ingat suasana itu. Buat saya pengalaman itu adalah seni kehidupan yang mewarnai awal pemikiran seni saya. Nilai budaya kehidupan yang membentuk kesenian rakyat ialah mesti menari dan bermain muzik.



UB : Jadi bagaimana kegiatan menari bermula sehingga tumbuh minat Encik Suhaimi dan kini jadi pakar tari?



SUHAIMI: ha! ha! ha! menjadi pakar tari, takut rasanya mendengar istilah tersebut, saya hanya seorang penggiat dan pejuang seni yang memperjuangkan seni itu sahaja. Di kampung saya kalau bercakap soal menari saya sudah mengenalnya sewaktu saya berumur 7- 10 tahun melalui kegiatan berdendang. Berdendang itu berjoget lah yang biasanya akan di adakan di acara perkahwinan di mana akan ada seorang pemain biola dan sebuah tambur di gunakan untuk memeriahkan acara. Pemainnya adalah keluarga kami juga dari kampung Saga iaitu Pacik Daud yang bermain bilola dan pacik Repot bermain Tambur. Biasanya berdendang di adakan waktu malam hari selepas magrib dan makan malam, meja yang diperbuat dari papan akan dibuka untuk di jadikan ruang berdendang. Maka ramai ah orang kampung menari dendang dan saya akan memberanikan diri ikut ikutan menari di celah celah orang orang dewasa termasuk arwah bapak saya. Sebetulnya saya memulakan pengalaman menari dari suasana seperti itulah, tetapi secara khususnya saya adalah seorang pesilat. Saya memulakan kegiatan seni gerak dari mempelajari berbagai jenis silat di kampung saya. Banyaklah jenis yang saya pelajari kebetulan memang di kampung saya banyak orang Jawa yang memiliki kemahiran bersilat. Dari belajar silatlah saya memulakan pergerakan tubuh saya sehinggalah ada kegiatan pertandingan tarian di pekan Tenom saya dipilih untuk menjadi penari dan saya terpilih menjadi anggota kumpulan tersebut. Walau pun kami kalah, namun itu lah kali pertama saya mengikuti pertandingan dan menari di atas pentas. Selainnya berguru kompang dan menari Zapin dan Rodat dengan Arwah Pakcik Haji Daud yang berpindah dari Papar. Mulalah meriah kampung kami dengan kegiatan kompang dan menari. Pernah kami berjalan kaki 5 batu dari kampung Cinta Mata ke pekan Tenom untuk membuat persembahan di pentas panggung wayang. Pulangnya sudah tidak ada kenderaan dan kami harus berjalan kaki di suluh terang bulan, anehnya kami tidak mengeluh dan marah marah, kami melalui dan melakukannya dengan apa adanya. Kalau ada kenderaan sangat memudahkan kalau tak ada kami jalan kakilah.

Kalau dipendekkan cerita kegiatan menari saya mulai meluas sewaktu saya berhijrah ke Kota Kinabalu, itu pun kerana kakak sepupu saya Rohati Harno merupakan ahli kumpulan tarian yang aktif di Kota Kinabalu yang bertandang ke kampung kami dan kemudian mengajak saya untuk bersekolah malam di Kota Kinabalu dan akan mengajak saya mengikuti kegiatan tarian di Kota Kinabalu. Di Kota Kinabalulah ladang besar awal karier saya sebagai penari. Saya mengikuti kumpulan tarian Sastera yang kemudian bertukar nama kepada ATANAS. Alhamdulillah pengalaman sebagai pesilat sangat membantu saya untuk mengenali teknik dan gaya tari yang diajarkan dan memudahkan saya mempelajari apa jua jenis tarian yang di ajar. Guru guru saya yang mengajar saya adalah Arwah Muspu Junid yang kebetulan datang dari Tenom Juga, Encik Sharip Ahmad Shariff Ismail, Cikgu Nasriadi, Kakak Latifah Sulaiman, Cikgu Kelazan Rabeka, Encik Mustafa Kula dan berapa orang lain yang saya lupa namanya. Dari kegiatan kumpulan Atanas saya menjadi penari tetap di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan ketika itu yang berlokasi di Wisma Sabah Sehinggalah saya melanjutkan pelajaran di Institiut Kesenian Jakarta Indonesia atas bantuan Biasiswa Yayasan Sabah.



UB : Berapa lama Encik Suhaimi berada di Indonesia dan apa sahaja pengalaman indah dan pahit semasa di sana.



SUHAIMI: Saya berada di Jakarta Indonesia selama 8 tahun atas biasiswa Yayasan Sabah. Perlu saya nyatakan berulang dan berulang kali betapa saya sangat berterima kasih kepada pihak Yayasan Sabah yang telah membiayai saya sepanjang perkuliahan saya di sana dan membantu saya mengisi ilmu berkesenian yang banyak dan mendalam. Secara khususnya saya ingin menyampaikan salam jutaan terima kasih kepada Yang Mulia DatukTengku Adlin yang sangat membantu dan mempermudah saya sepanjang perkuliah saya sepanjang perkuliahan tersebut. Awalnya saya hanya dirancang untuk mengikuti kursus pendek selama 2 tahun sahaja, namun setelah itu rektor sekolah saya melihat ketekunan dan kemahiran saya amat sayang jika berhenti di situ sahaja, beliau memanggil saya dan berbincang dengan saya dan menawarkan untuk melanjutkan perkuliahan hingga ke peringkat sarjana. Pihak Yayasan Sabah pun tidak berhalangan untuk membantu saya sepanjang pihak sekolah mempersetujui, makan berlanjutlah perkuliahan saya selama 8 tahun di Institut Kesenian Jakarta Indonesia.

Bercerita tentang pengalaman indah rasanya semuanya indah kerana saya seronok dengan kegiatan seni di sana. Di Jakarta adalah kota metropolitan yang mengumpulkan gaya dan bentuk budaya Indonesia dan saya berpeluang mempelajarinya dan memahaminya. Hari hari mereka berkesenian tidak mesti di pentas, itu yang sangat menarik untuk saya pelajari. Di kelas saya diajar dengan berbagai ilmu teori dan praktikal namun di kehidupan harian dan pentas alam saya diajar melihat dan menghayati budaya Indonesia yang dianut dan dihayati oleh bangsanya dengan penuh kebanggaan. Saya melihat bagaimana bangsa Indonesia hidup dan mengharungi kehidupan dengan penuh seni dan kreatif. Saya mempelajari itu semua dan saya simpan dalam pemikiran saya sebagai panduan hidup. Mereka pakai baju batik bukan arahan Pak Prasiden atau orang orang berkuasa, mereka berbatik kerana mereka bangga akan produk bangsanya walau pun harganya murah. Bahasa mereka berbagai dari bahasa kedaerahan hinggalah bahasa keramat mereka bahasa Indonesia. Saya berguru dengan semua orang termasuk tukang beca dan penjual bakso keliling, banyak ilmu yang saya dapat dari pengalaman mereka dan pengetahuan mereka. Selama 8 tahun tersebut ada dua kali saya mewakili Indonesia keluar Negara. Pertama tahun 1981 saya pergi ke festival Mustika di Genting Highland Pahang. Ketika itu berjumpa kawan kawan dari Semenanjung dan Sabah Sarawak yang menyangkakan apakah saya mewakili negeri Sabah. Mereka amat terkejut bila mengetahui saya bukannya mewakili Sabah tetapi mewakili Indonesia. Memang beberapa hari tu nama saya terpapar luas di akhbar di Semenanjung dengan judul Anak Sabah Mewakili Indonesia. Keduanya pada tahun 1985/86 kami pergi ke American Dance Festival di North Carolina Amerika Syarikat dan keliling Eropah memperkenalkan budaya Indonesia. Ketika itu hanya Indonesia dan India yang mewakili kawasan Asia dan kami menjuarainya. Sepanjang 8 tahun di Indonesia juga saya menjadi penari di Istana Presiden Indonesia untuk tamu Negara yang datang membuat lawatan kenegaraan termasuk dari Malaysia. Pernah tiga kali saya dipanggil oleh bapak Prasiden Suharto untuk di perkenalkan kepada Tun Mahathir selama 2 kali dan Duli Yang Maha Mulia Yang di Pertuan Agung yang datang melawat Indonesia dan dirayakan di Istana Presiden . Sangat bangga sekali ketika itu, pertama dapat berjumpa dan bersalaman dengan Presiden Indonesia dan diperkenalkan kepada DYMM Yang Di Pertuan Agung dan Tun Mahathir. Melalui tari juga saya mengelilingi Indonesia sehingga ke Pulau Manado dengan sanggar Tari Elly Kassim dan juga sanggar tari anak bekas Presiden Indonesia pertama bapak Guruh Sukarno Putra. Saya sempat merakam film dengan Bapak Roma Irama dan Camelia Malik dan sempat merakam di TV Indonesia bersama Arwah Benjaman, Ateng Ishak malah saya pernah pentas bersama dengan kumpulan pelawak terkenal Warkop yang di barisi Bimo, Krisno dan Indro . Saya juga berkesempatan membantu guru saya dalam membuat koreografi padang sempena perasmian Sukan Sea di Jakarta entah tahun berapa saya sudah lupa . Banyaklah pengalaman manis saya di sana. Untuk pengalaman pahit saya adalah saya terpaksa pulang ke Malaysia kerana tamat pengajian. Saya terpaksa meninggalkan Jakarta yang telah menjadi rumah saya selama 8 tahun, berpisah dengan guru guru tari dan seni lainnya, teman teman saya yang baik baik belaka dan kehidupan harian bersama bangsa Indonesia.



UB : Setelah kembali ke Malaysia apa sahaja kegiatan Encik Suhaimi.

SUHAIMI : Saya harus bekerja di Sabah selama 5 tahun kerana itulah perjanjian saya dengan pihak penaja Yayasan Sabah dan saya sempat berkerja kembali di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan sebelum berpindah ke Lembaga Sukan dan Kebudayaan Sabah. Sebanyak 5 tahun itu banyaklah kegiatan tari saya yang saya buat bersama para penari yang saya latih yang kini kebanyakannya menjadi pemimpin kegiatan seni di Sabah.



UB : Khabarnya Encik Suhaimi berhijrah ke Semenanjung, kenapa dan berapa lama dan apa sahaja pengalaman yang di perolehi di sana.



SUHAIMI: Memang saya telah berhijrah ke Semenanjung selama 18 tahun bermula dari tahun 1984 hingga 2011. Awalnya saya di pilih menjadi tenaga pengajar dan pegawai kebudayaan di Akademi Seni Kebangsaan ( Sekarang Universiti P Ramlee ). Saya diminta oleh Kementerian Kebudayaan Pusat untuk membantu membangun dan mendidik para pelajar di sana untuk peringkat Diploma. Saya adalah salah seorang perintisnya bersama tokoh tokoh seni lainnya hinggalah ianya bertukar nama kepada Aswara dan sekarang menjadi Universiti P. Ramlee. Dari peringkat diploma berkembang ke peringkat Ijazah dan sekarang kepada peringkat Sarjana dan kedoktoran. Saya mengajar di sana selama 12 tahun, dan saya sempat bekerja di Jabatan Seni Persembahan Petronas selama 6 tahun . Menariknya awalnya saya bertugas di aswara 10 tahun, berhijrah ke petronas 6 tahun dan saya kembali mengajar di Aswara 2 tahun sebelum kembali ke Sabah dan bekerja di Universiti Malaysia Sabah. Banyak pengalaman saya dapat dari penghijrahan saya di Semenanjung. Di sana saya dapat mengenal lebih dekat budaya dan kesenian Malaysia lebih dekat dan rapat. Saya belajar untuk mengajar, saya belajar berkesenian dengan orang orang Semenanjung, banyak karya solo dan besar saya lahir di sana, melalui Aswara juga saya mengelilingi dunia untuk mengikuti forum akademik dan juga membuat persembahan persembahan bersama pelajar.

Saya banyak berjumpa tokoh tokoh besar Negara seperti Datuk A. Samad Said kami pernah berkerja sama dalam pementasan besar berjudul Al Amin dan banyak lagilah pementasan pementasan besar Solo saya di Istana Budaya, Pusat Pelancongan, Aswara sendiri, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Saya juga menjadi salah seorang koreografer utama perasmian sukan Komanwel 1998 di Bukit Jalil dimana kami menggunakan hampir 2, 000 penari untuk menjayakan persembahan tersebut. Dan yang mungkin saya fikir kerja gila adalah sewaktu pihak pengurusan Barisal Nasional meminta saya membuat sebuah persembahan besar di padang dan mengunakan 1,000 orang penari yang saya kerjakan sendiri secara solo sedari merancang dan melaksanakannya. Saya hanya di bantu oleh tim jurulatih dari beberapa kumpulan di kuala lumpur selebihnya saya bertindak solo. Hasilnya sangat memuaskan dan mendapatkan pujian dari semua pihak khususnya Tu Mahathir. Saya juga banyak menjadi panel juri di peringkat Universitri, negeri,negara dan antarabngsa. Pengalaman saya di Petronas menjaga kumpulan penari di Jabatan seni persembahan petronas, di sana saya banyak belajar bagaimana pihak petronas membuat penjenamaan dan pengurusan. Sayangnya saya kurang tertarik untuk bertahan lama walaupun saya sempat berkeliling dunia hingga ke Sudan, korea, Jepun, Indonesia, Singapora sepanjang perkhimatan saya. Akhirnya saya kembali mengajar di Aswara sebagai pensyarah dan melanjutkan kegiatan seni saya dengan santai sebelum saya menerima tawaran pihak Universiti Malaysia Sabah.



UB : Pengalaman Encik Suhaimi di Indonesia dan Semenanjung sangat banyak, apa rencana selanjutnya yang akan Encik Suhaimi lakukan.



SUHAIMI: Kalau menghitung banyak memang banyak sekali namun banyak lagi yang harus saya pelajari dan akan saya lakukan. Tugas utama saya di Fakulti Kemanusiaan Seni & Warisan akan menjadi keutamaan saya keraja mereka adalah majikan saya dan tugas utama saya. Pada waktu yang sama saya ingin bekerja sama dengan semua pihak khusunya mereka yang berurusan dan pentadbiran seni budaya dari berbagai peringkat untuk membangun kesenian rakyat bersama rakyat dan merakyatkannya. Memang saya tahu itu tidak mudah, tapi tidak ada yang mustahil kalau ada usaha untuk mengusahakannya hingga menjadi realiti. .

Ilmu dan pengalaman yang saya miliki mudah-mudahan boleh saya manfaatkan sebanyak mungkin untuk membangun kesenian di Sabah di samping bekerja sama dengan kumpulan kumpulan dan persatuan seni di seluruh Sabah. Kesenian tidak dapat dikerjakan sendiri, konsep kesenian harus bergotong royong, tidak ada kerja seni yang bisa di lakukan secara sendiri dan tersendiri. Kalau pun seorang pelukis yang kerja sendiri dia memerlukan penjual kanvas dan warna untuk membeli keperluan lainnya.

Pengukir memerlukan peralatan ukiran dan pembekal kayu yang di perlukan untuk membolehkan dianya mengukir apa lagi seni seni pentas yang sangat sangat memerlukan kumpulan manusia yang banyak untuk menjayakan kegiatan pentas mereka. Untuk itu membangun kelompok kerja itulah yang penting dan insyaAllah saya akan berusaha untuk membangun itu di seluruh Sabah. Suatu hal yang pasti insyaAllah saya akan membangun kebun seni saya di tapak tanah warisan orang tua saya seluas 15 ekar yang akan saya bangun tanpa merosakkan lingkungan alam, kegiatan kebun seni dan juga akan menjadi pusat pelancungan dan pelestarian dan pengembangan seni juga. Ya masih dalam khayalan tapi rencana ke sana sedang di fokuskan, kerana ianya di bangun atas tanah pribadi saya maka ianya tidak perlu terburu buru kerana perlu ada perancangan yang banyak dan terpenting ada dana untuk membangunnya. Mudah-mudahan ada pihak yang terbuka hati dan mahu ikut serta dalam pembangunan kebun seni saya nanti insyaAlllah. Di sana nanti akan saya jadikan melatih para belia dan beliawanis di Sabah dan Antarabangsa akan kesenian Borneo dan akan menjadi pusat pertemuan seniman Borneo dan Antarabangsa.



UB : Encik Suhaimi selayaknya sudah atau perlu mendapat gelar datuk dan sebagainya kerana perjuangan Encik Suhaimi dalam bidang seni di Negara ini dan juga kepulauan Nusantara.



SUHAIMI: Ha!ha! h!a ha, ta ada dalam senarai mimpi saya dan saya tidak pernah terbayang pun. Saya cukup bahagia dengan apa yang saya miliki sekarang. Punya keluarga, punya bakat dan punya kehidupan, selebihnya saya serahkan kepada Allah.



UB : Apa motto atau slogan hidup Encik Suhaimi



SUHAIMI : Mengalir sahaja seperti air, apa adanya, syukuri dan nikmati apa sahaja. Kerana menurut saya air adalah segala galanya dalam kehidupan kita, air mengalir di celah batu, di celah tembok tebal dan malah ianya bisa menghancurkan tembok tebal. Sentiasa mengalir dan akan terus mengalir walau banyak halangan dan di halang.



UB : Terima kasih atas perkongsian pengalaman Encik Suhaimi yang sangat menarik, saya tidak sabar menunggu buku perjalanan seni encik suhaimi yang di khabarkan akan terbit dalam tahun ini.



SUHAIMI : Terima kasih juga mau berkongsi pengalaman dengan saya, ya insyaAllah kita akan usahakan yang terbaik untuk memastikan buku tersebut bisa terbit dalam tahun ini dan bisa memberi manfaat kepada semua orang.