Saturday, January 16, 2016

BERTEMU SEJENAK DENGAN HAJAH DAYANG SALMAH SALAM, WARTAWAN WANITA PERTAMA DI SABAH


BERTEMU SEJENAK DENGAN HAJAH DAYANG SALMAH SALAM, WARTAWAN WANITA PERTAMA DI SABAH


SEBENARNYA banyak kisah yang boleh disingkap daripada pengalaman hidup yang dimiliki Hajah Dayang Salmah Salam, yang dianggap sebagai Wartawan Wanita Pertama di Negeri Sabah. Sebagai seorang wartawan, beliau banyak menulis mengenai soal-soal pendidikan dan nasib kaum wanita, Malah banyak kisah perjuangan wanita yang kemudian dituangkan dalam karya-karya kreatif yang dihasilkan khususnya dalam genre cerpen dan puisi. Wartawan dan Sasterawan Wanita Sabah, yang kini berusia 86 tahun, terus berkarya walaupun tidak seaktif dahulu.

HAJAH DAYANG SALMAH SALAM dilahirkan pada 24 November 1930 di Kampung Air Jesselton (kini Kota Kinabalu). Beliau mendapat pendidikan sehingga darjah lima di Government Primary School (GPS) Sandakan. Beliau pernah bertugas sebagai guru sementara di Sandakan sebelum pberkhidmat sebagai guru tadika dari tahun 1964 hingga 1974. Beliau pernah bertugas sebagai jurugambar dan pemberita tetap Parti Berjaya ketika era pemerintahan parti itu.


Beliau mula berkecimpung dalam bidang penulisann pada tahun 1959 hasil bimbingan Allahyarham K Bali. Hajah Dayang berkecimpung dalam genre penulisan puisi, cerpen dan esei. Karya-karyanya pernah tersiar dalam akhbar Utusan Borneo, Daily Ekspress, Sabah Times, Sinar USIA, Suara Sabah, Utusan Kinabalu, Dewan Masyarakat, Dewan Pelajar, Wadah, Jendela Sabah, Majalah Jelita dan lain-lain.


Karya-karyanya juga termuat dalam antologi cerpen Bersemi Sebelum Musim (DBP), Hikmah (DBP), Bukan Mimpi Terakhir (DBP) Runtuh (DBP), Sejambak Bunga Emas (DBP) dan antologi Puisi Mimpi Helang (DBP)..


Hajah Dayang Salmah Salam juga pernah memenangi beberapa buah anugerah seperti Tokoh Wanita Cemerlang daripada Majlis Hal Ehwal Wanita Sabah pada tahun 1997, Hadiah Sastera dari Ikanan Penulis Sabah dan DBP pada tahun 1997, Hadiah Sastera Sabah 1999, Hadiah Tinta Sastera sempena 25 Tahun DBP Sabah. Beliau juga pernah terpilih sebagai Karyawan Tamu Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah pada tahun 1997.
Atas khidmat cemerlangnya, Hajah Dayang Salmah Salam menerima Aungerah Bintang Setia Kinabalu (BSK) sempena Hari Jadi Tuan Yang Terutama Yang di Pertua Negeri Sabah pada tahun 2002.
Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemuramah beliau di kediamannya di Kampung Tanaki Papar di celah-celah program Ziarah Sastera DBP Sabah oleh Penolong Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sabah, Rusdi Awang.


Ikuti petikan temubual bersama Hajah Dayang Salmah Salam mengenai pelbagai liku-liku pengalaman dalam hidupnya.
UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang ibu?


HAJAH DAYANG SALMAH SALAM: Saya dilahirkan pada pada 24 November 1930 di Kampung Air Jesselton, sekaran dikenali dengan nama Kota Kinabalu. Kampung yang menjadi tempat lahir saya itu kini tidak ada lagi. Selepas itu, keluarga pindah ke Sandakan. Kemudian saya bersekolah di Government Primary School (GPS) Sandakan pada tahun 1937 ketika berumur tujuh tahun. . Saya bersekolah setakat darjah lima pada tahun 1942. Ketika berusia 12 tahun. Tentera Jepun mendarat pada tahun 1942. Semua sekolah misi dan gereja ditutup. Cuma masjid dan sekolah melayu tidak diganggu.


Masa Jepun itu adalah masa yang penuh kesukaran dalam hidup. Makanan tiada. Jika ditanya taukeh, mereka kata kapal tidak datang. Simpanan makanan sudah habis. Keadaan itu berlarutan sampai tahun 1945 apabila Tentera Jepun menyerah kalah. Sepanjang masa itu, kami banyak dibantu oleh Albert Celestial, yang akhirnya menjadi suami saya. Abang Saya Awang Ali masa Jepun itu lari ke hitan.
Sesudah Jepun mengaku kalah pada tahun 1946, kami kembali semula ke Bandar. Bapa kerja semula di Jabatan Cetak.Gajinya hanya 10 ringgit sebulan madsa itu. Saya bantu jual kuih untuk tambah pendapatan keluarga. Pengalaman-pengalaman saya ini akhirnya saya jadikan bahan dalam penulisan saya.


UB: Bila Ibu Dayang mula menulis?
HDSS : Saya mula menulis pada tahun 1959. Waktu itu belum ada suratkhabar yang banyak seperti sekarang. Akhbar yang ada ialah North Borneo News & Sabah Times, yang menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya. Hanya ada sedikit ruangan bahasa Melayu setengah muka surat. Pengarangnya K.Bali.


UB: Waktu itu sudah berkenalan dengan arwah Pak K Bali? Di mana Bu Dayang berkenalan dengan Pak K?
HDSS: Saya berkenalan dengan beliau di sebuah kedai di Tanjung Aru. Kedai itu saya sedang mencari Majalah Wanita. Masa itu dijual RM1.00 dan Majalah Fesyen. K. Bali masa itu sudah terkenal. Beliau datang mengikut rombongan Kasma Booty untuk membuat persembahan sebagai seorang pelukis poster. Beliau berkawan baik dengan Donald Stephens (Allahyarham Tun Mohd Fuad Stephens).


Beliau tanya saya. “Saudari mahu cari apa? Jangan panggil saya saudari, kata saya. Sebab saya sudah berumahtangga. Nama saya Dayang Salmah. K.Bali menjawab, kalau begitu saya panggil Kak Mah saja. Jadi Kak Mah mahu cari apa, Saya beritahu saya sedang mencari majalah wanita dan majalah fesyen. Kalau begitu biar saya hantar sampai ke rumah. Saya memesan majalah Wanita, Majalah Fesyen, Gelanggang Filem sebanyak RM10.00 sebulan. Jadi saya tidak perlu bersusahpayah lagi naik basikal ke kedai untuk membeli majalah.


UB: Ibu naik basikal?
HDSS: Saya mengambil anak dengan mengayuh basikal. Masa itu mana ada duit mahu beli kereta. Saya naik basikal . Kadang singgah di rumah Datuk Zakaria Gunn, seorang penulis dan orang yang menubuhkan Persatuan Islam Sabah (PIS). Di rumahnya, beliau selalu menyimpan majalah dan suratkhabar. Di sanalah saya selalu membaca Utusan Melayu. Bahkan beliau selalu meminjamkannya kepada saya. Sudah itu saya jumpa K Bali. Dalam akhbar beliau selalu menulis menggunakan nama Kawat Berduri. Dengan nama pena Kawat Berduri itu, K Bali menulis sambil menyindir keadaan pada masanya. Kalau ada kepincangan atau apa saja kebobrokan masyarakat, selalu ditulisnya menggunakan nama pena itu.


UB: Bagaimana kisahnya ibu menjadi seorang penulis?


HDSS: Satu hari saya bertanya boleh aku jadi seorang penulis. Boleh Kak Dayang. Kalau ada kemahuan mesti ada jalan kata Pak K.Bali. Saya katakan saya mahu menulis sajak, mahu menulis berita. Saya minta kepada K.Bali, ajarlah aku menulis puisi. Katanya, menulis puisi harus datang dari jiwa seseorang, dari perasaan dan pemikiran seseorang. Puisu lahir dari penglihatan, pengalaman. Jadi suasana hatinya marah, maka lahir puisi yang berbentuk marah. Saya pertama kali menulis untuk Daily Express. Herman Jadi Pilihan. Karya itu dihentam. Kena kritik. Dikatakan tidak bermutu. Saya merasa bersyukur kerana dikritik.Lagi saya suka kerana dengan kritikan itu, saya jadi tahu dimana kelemahan dan kesilapan saya..Sejak itu saya terus menulis. Cinta saya hanya kepada sastera dan budaya.
UB: Tapi ibu juga kan menulis berita?


HDSS: Sejak dulu lagi yang memang suka menulis berita dan mengambil gambar.


Kalau dulu saya selalu ambil gambar untuk masuk suratkhabar. Kadang-kadang majlis perkahwinan pun boleh masuk surat khabar, majlis hari jadi pun masuk suratkhabar. Sekarang majlis gotong royong jarang masuk suratkhabar kecuali kalau Menteri yang pegang cangkul.
UB: Apa perkara yang selalu menarik perhatian ibu sewaktu menulis dulu?


HDSS: Salah satu yang menjadi medan perjuangan saya ialah bidang pendidikan untuk anak-anak usia prasekolah. Waktu itu memang ada taman pendidikan kanak-kanak tapi biayanya mahal. Ibu bapa terpaksa membayar RM50 sebulan. Masa itu tiada tadika khas yang didirikan untuk bumiputera Melayu yang kurang mampu. Akhirnya saya menulis mengenai masalah itu, menggunakan nama Kak Mah. K.Bali siarkan tulisan itu. Saya tulis bagaimana anak-anak dibiarkan telanjang di bawah kolong, tidak bersekolah kerana ibu bapa mereka tidak mampu beli pakaian, beli buku. Mereka kebanyakannya anak-anak nelayan yang berpendapatan kira-kira 6 ringgit atau 7 ringgit sehari . Mana cukup untuk menyekolahkan anak. Tulisan ini mendapat tanggapan daripada Kaum Ibu USNO. Saya dipanggil oleh Hajah Latifah Gilong, isteri Datuk Ghani Gilong yang menjadi setiausaha Kaum Ibu USNO pada masa itu. Dia tanya, siapa yang menyuruh saya menulis mengenai hal itu. Berani sekali. Dia tanya berapa saya dibayar untuk menulis. Saya jawap tiada orang yang menyuruh saya menulis. Ia datangnya dari hati nurani saya, dari perasaan saya sendiri. Saya menjelaskan dan akhirnya cadangan saya diterima apatah lagi setelah mendapat sokongan daripada isteri Datuk Habib Abdul Rahman. Dia menyokong cadangan saya.Katanya kita mesti menyokong saranan puan Dayang itu, memperbanyakkan khidmat kepada masyarakat. Bukan hanya tahu bercerita..
UB: Kemudian apa yang berlaku?


HDSS: Entah bagaiamana, Datuk Habib Abdul Rahman mencari sebuah rumah untuk disewa sebanyak RM600 sebulan. Rumah itulah yang dijadikan kelas tadika. Tadika itu dibuka kepada semua rakyat bumiputera untuk menyekolahkan anak mereka debgan percuma. Tidak ada bayaran. Saya juga ditawarkan bertugas, mulanya bukan sebagai guru tetapi sebagai tukang masak air panas, Memasak air panas dan menyediakan makanan atau roti untuk kanak-kanak. Kalau ada yang buang air, saya bantu membersihkannya.

UB: Bagaimana sambutan masyarakat terhadap sekolah tadika pada masa itu?


HDSS: Di sebalik sambutan yang baik dari anggota masyarakat, penubuhan sekolah tadika itu juga selalu dikritik kerana hanya mengajar anak-anak menyanyi saja. Sekolah tadika memang banyak aktiviti menyanyi sambil mengenal huruf. Mujurlah K Bali membuat satu rencana khas untuk menyokong penting pendidikan untuk anak-anak pra sekolah.


Selepas kewujudan sekolah itu di Tanjung Aru, banyak lagi kelas tadika didirikan di Likas,meminjam balai raya. Satu kelas lagi dibuka di Putatan.
UB: Masa itu, terpaksa guna balai raya untuk kelas tadika?


HDSS: Sebelum digunakan sebagai kelas tadika, balai raya masa itu menjadi tempat kambing tidur.Balai raya didirikan untuk kegiatan kampung, mengadakan program, mesyuarat dan sebagainya. Tetapi ia lebih banyak menjadi tempat kambing tidur. Mesyuarat selalu diadakan di tempat ketua cawangan. Kaum ibu pula kalau bermesyuarat, agendanya selalu berkaitan soal bagaimana menjaga suami supaya jangan cari lain. Inilah realiti pada masa itu.


UB: Ibu juga aktif dalam persatuan?


HDSS: Saya menjadi ahli Bahasa pada tahun 1970. Bahasa ditubuhkan apabila PERPESA dan APMS bergabung untuk menubuhkan Bahasa. Antara tokoh-tokoh penulis masa itu ialah Datuk Jamdin Buyong, Amil Jaya, Datuk AK Aliuddin, Abd Hamid Awang, Datuk Halik Zaman, Noraini Haji Salleh yang menulis menggunakan nama Suhani S. Jamilah Abdullah, seorang guru. Saya menulis sambil bergiat dalam kewartawanan.


UB: Dalam penulisan cerpen?
HDSS: Saya juga giat dalam penulisan cerpen.Saya selalu menuangkan pengalaman hidup seharian dalam cerpen. Saya menulis dalam pelbagai hal, seperti konflik pertentangan dan perubahan sosial, adat resam, kebudayaan dan sebagainya.


Dalam bidang sastera , saya sering mengikuti pertemuan penulis. Saya juga pernah mengikuti bengkel, antara lain dibimbing oleh Othman Puter, A Samad Said .
UB: Biasanya dimana Ibu menghantar karya untuk disiarkan?


HDSS: Karya-karyan saya pernah tersiar dalam akhbar Utusan Borneo, Daily Ekspress, Sabah Times, Sinar USIA, Suara Sabah, Utusan Kinabalu, Dewan Masyarakat, Dewan Pelajar, Wadah, Jendela Sabah, Majalah Jelita dan lain-lain.


Selain itu, Karya-karya saya juga termuat dalam antologi cerpen Bersemi Sebelum Musim (DBP), Hikmah (DBP), Bukan Mimpi Terakhir (DBP) Runtuh (DBP), Sejambak Bunga Emas (DBP) dan antologi Puisi Mimpi Helang (DBP).
UB: Apa nama pena yang pernah ibu gunakan?


HDSS: Saya pernah menggunakan nama pena seperti Kak Mah, Dang Suria, Dayang Salmah Salam,Hamlas, Dayang Senandung dan Melati.
UB: Apa anugerah yang pernah ibu menangi?


HDSS:Antaranya saya pernah terpilih Tokoh Wanita Cemerlang daripada Majlis Hal Ehwal Wanita Sabah pada tahun 1997, Hadiah Sastera dari Ikanan Penulis Sabah dan DBP pada tahun 1997, Hadiah Sastera Sabah 1999, Hadiah Tinta Sastera sempena 25 Tahun DBP Sabah. Saya juga pernah dilantik sebagai Karyawan Tamu Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah pada tahun 1997.
Kerajaan Negeri juga menganugerahkan Bintang Kebesaran Bintang Setia Kinabalu (BSK) sempena Hari Jadi Tuan Yang Terutama Yang di Pertua Negeri Sabah pada tahun 2002.


No comments: