Isnin, 25 Januari 2016

SEJENAK BERSAMA MATANOG M MAPANDI

Tags





SEJENAK BERSAMA MATANOG M MAPANDI




MESKIPUN terletak tidak jauh dari negara kita, namun tidak banyak yang kita ketahui mengenai masyarakat Islam di Republik Filipina. Jumlah penduduk Islam di negara itu dianggarkan kira-kira lima juta orang atau lebih, yang terdiri daripada 13 suku bangsa , antaranya suku kaum Maranao yang memiliki kaitan yang sangat erat dari segi sejarah dan bahasa dengan sukubangsa Iranun di Sabah. Malah dari segi susur galur sejarahnya, orang Maranao adalah orang Iranun yang berhijrah ke Tasik Ranao, dimana mereka kemudiannya dikenali sebagai orang Maranao. Manakala orang Iranun yang berhijrah ke Sabah dari Teluk Illana kira-kira lebih 400 tahun yang lalu tetap mengekalkan nama Iranun.




Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemubual seorang tokoh terkemuka di kalangan masyarakat Islam di Filipina iaitu Matanog M Mapandi, Assistant Secretary of The Department of Energy (DOE) Republic of Phillippines ( setaraf Timbalan Menteri), yang juga dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Letrik Lanao del Sur atau Lanao Del Sur Electric Cooperative (LASURECO) yang juga seorang tokoh Maranao-Iranun yang disegani.




Matanog M Mapandi pernah kuliah Bachelor of Laws di Iligan , Capitol College, Iligan City, AB (Major in English, Minor in Pol Sceince) Misamis Colleges, Osamis Cit. Beliau juga menterjemahkan Kitab Suci Al-Quran ke Bahasa Maranao. Pengalamannya begitu luas. Sebelum dilantik sebagai Penolong Setiausaha di DOE pada 2005, beliau juga pernah menjadi Penolong Setiausaha di Pejabat Hal Ehwal Islam (MAO) dari tahun 2002 hingga 2005. Beliau juga terlibat sebagai wakil DOE dalam rundingan Damai MILF-GRP, dan Wakil DOE untuk Forum antara Agensi Kebajikan Islam Filipina.


Sebagai orang kuat DOE, beliau pernah menghadiri pelbagai forum dan persidangan antarabangsa mengenai tenaga di Arab Saudi, Thailand, China, Jepun, Indonesia, Malaysia dan sebagainya. Antara persidangan dan Forum Antarabangsa yang pernah dihadirinya ialah First Meeting of International Energy Forum (IEF) Participating Countries di Riyadh di Arab Saudi ((Feb 2010) 7th ASEAN Forum on Coal (AFOC) di Bali Indonesia (Sept 2009), Special Senior Officials Meeting on Energy (Special SOME) Chiang Mai, Thailand (April 2009), ASEAN Meetings on Energy, Kuala Lumpur (Januari 2008), First Asia Biomass Seminar, Tokyo (Mac 2007), Policy Dialogue within EU Project-Capacity Building on Strategic Environmental Assesment (SEA) For ASEAN Policy and Planning , Bangkok Thailand ( Disember 2006),Energy Management and Technique of Rural Renewable Energy for Asean Member Economy, Beijing China (AQpril 2006), New and Renewable Energies Training Program 2005 Tokyo Jepun.


Selain itu, beliau juga adalah Pengerusi Democratic Sosialist Party, Wilayah Lanao Del Norte sejak 2004, Ahli Philippine Eagles (Fraternal Orders of the Eagles Member), Rotary International sejak 2005, dan Ahli Tetada Kalimasada sejak 2004. Sebagai orang perjuangan, beliau adalah pemimpin yang disegani dan kini menjadi Pengerusi MNLF-Islamic Command Council sejak 2002. Beliau juga banyak terlibat dalam rundingan damai dan pernah menjadi 10th GRP-MILF Exploratory Talks, Kuala Lumpur (Feb 2006),




Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang untuk menembual beliau di salah sebuah restoran makanan segera di ibu negeri dalam kunjungannya ke Sabah baru-baru ini. Dalam temubual itu, beliau menceritakan sedikit sebanyak mengenai pencapaian masyarakat Islam di Filipina khususnya pencapaian sukubangsa Maranao yang erat perkaitannya dengannya dengan sukubangsa Iranun di Sabah. Sepanjang berada di Sabah, beliau sempat menghadiri Conference of Speakers and Presiding Officers of The Commonwealth (CSPOC) sebagai pemerhati.




UTUSAN BORNEO: Bolehkah tuan ceritakan sedikit mengenai pencapaian masyarakat Islam khususnya orang Maranao-Iranun di Filipina?


MATANOG M MAPANDI: Di Filipina, orang Iranun pada amnya bekerja sebagai pedagang atau peniaga. Di Manila misalnya, mereka kebanyakannya bertumpu di kawasan Greenhill. Jika ada 10 peniaga muslim di sesuatu tempat, mereka akan membangun masjid untuk kegunaan peniaga dan masyarakat Islam menunaikan ibadah mereka. Pembinaan masjid ini adalah hasil daripada kutipan derma masyarakat Islam. Di Quiapo, terdapat ramai orang Islam. 36 ketua kampungnya orang Iranun. Di sana juga ada Golden Mosque yang disumbangkan Presiden Muammar Qaddafi pada tahun 1977 susulan daripada Perjanjian Tripoli. Selain Quipo, masyarakat Islam juga banyak terdapat di Metro Manila, Pasay , Quezon City, Pasig, Taguog, Kalookan, San Luna banyak orang Iranun. Selain itu, terdapat juga masyarakat Islam lain seperti Tausug, Yakan, Samal.


UB: Apakah yang tuan istilahkan sebagai orang Iranun di Filipina?


MATANOG: Orang Iranun yang tinggal dan menetap di kawasan tasik Lanao dipanggil Maranao. Sementara orang Iranun yang mengembara di luar kawasannya sehingga membentuk diaspora baru tetap dikenal Iranun kerana pengertiannya lebih luas. Kerana itu ada orang Iranun di Malaysia, ada oran Iranun di Indonesia. Proses penghijrahan mereka ini sudah berlaku ratusan tahun lamanya. Soal sama ada dari manakah orang Iranun itu berasal, sama ada dari Pulau Borneo itu sendiri kerana ada cerita yang mengatakan kedatangan 10 datu dari Borneo ke Filipina seperti yang terakam dalam banyak cerita rakyat, tidak kita bincangkan di sini. Biarlah sejarawan yang menentukannya.




UB: Umumnya apa pekerjaan orang Iranun di Filipina?


MATANOG: Masyarakat Iranun adalah masyarakat yang kuat berniaga. Mereka kebanyakannya adalah pedagang. Mereka tersebar di seluruh pelusuk Filipina, di pulau Luzon, Visaya dan Mindanao sendiri. Setiap ada bandar, ada pasaraya, kebanyakan peniaganya adalah orang Maranao atau Iranun.




UB: Bagaimana keadaan itu boleh berlaku begitu?


MATANOG: Sebenarnya pada mulanya mereka terpaksa mencari penghidupan baru kerana di kampung halaman mereka di Mindanao waktu itu masih dalam keadaan perang atau tidak aman. Mereka lalu berhijrah ke bandar-bandar besar mencari penghidupan. Mereka terpaksa meninggalkan tanah kelahiran mereka. Mereka terpaksa lari dari keadaan kemiskinan yang membelit mereka. Mereka hanya dapat pulang ke kampung asal mereka kalau hari perayaan.




UB: Jika tidak silap saya, satu masa dahulu wilayah Lanao terkenal sebagai pengeluar padi. Bagaimana keadaannya sekarang?


MATANOG: Banyak sawah padi yang kini tidak dapat dikerjakan. Kawasan sawah padi di Lanao dianggarkan hanya tinggi 5,000 hektar saja. Satu pertiga daripadanya tidak dapat diusahalan kerana masalah pengairan. Selain itu mereka tidak mendapat bantuan dari kerajaan pusat. Mereka yang berada di kampung tidak dapat mengerjakan sawah kerana faktor prenghijrahan kerana yang tertinggal di kampung tidak lagi berdaya mengusahakan tanah atas alasan usia.


Satu lagi penyebab utama mereka tidak dapat mengusahakan tanah sawah mereka adalah kerana masalah pembalakan haram yang menyebabkan masalah alam sekitar. Sungai menjadi kecil kerana hakisan. Dahulu terdapat 28 batang sungai yang boleh mengairi sawah, kini hanya tinggal empat batang sungai iaitu Ramai, Taraka, Masiu, Rognan. Paras air di Tasik Lanao juga semakin merosot menyebabkan ia tidak dapat lagi mengairi sawah. Kita dapat mengatakan masalah utama ialah masalah pengairan.




Satu lagi masalah ialah kalau dahulu masyarakat boleh bergantung kepada tasik Lanao untuk sumber perikanan mereka tetapi kini mereka terpaksa mengimport ikan dari luar. Jika keadaan semakin baik nanti, kita merancang untuk meningkatkan lagi sumber ekonomi masyarakat Islam dengan pemeliharaan ikan, agar mereka dapat menampung keperluan penduduk.




Bagaimanapun, kadar kemiskinan di wilayah-wilayah Islam di Filipina masih tinggi . Kebanyakan masyarakat yang hidup sama ada sebagai petani kecil, nelayan kecil dan sebagainya masih hidup di bawah kadar kemiskinan iaitu sebanyak 30 hingga 40 peratus.




UB: Boleh tuan ceritakan mengenai pencapaian masyarakat Maranao dalam pendidikan di Filipina?


MATANOG: Jika kita bercerita mengenai bidang pendidikan, pencapaian masyarakat Maranao Iranun di Filipina memang membanggakan. Sehak dahulu, terdapat ratusan peguam, jurutera, doktor dan sebagainya. Selain itu banyak juga lulusan agama. Ramai juga orang Orang Iranun yang menjadi diplomat seperti Lininding Pangandaman, Kandidato Gutoc, Abul Khayr Alonto. Banyak juga yang terlibat dalam politik sebagai sebagai Senator, Antaranya Senator Ahmad Domacao Alonto, Salipada Pendaton. Ada Congresman, seperti Rashid Lucman, Pangalian Balindong, AhmadTomawis, Abdullah Dimaporo, Toto MangudaDato, Muslimin Sema dan sebagainya. Kita sebut secara rambang saja.






UB: Boleh tuan nyatakan, anggaran penduduk Islam di Filipina?


MATANOG: Terdapat kira-kira 5 juta penduduk Islam. Itu anggaran rasmi. Tapi jika dibuat bancian dengan betul terdapat kira-kira 10 juta umat Islam yang terdiri dari 13 suku kaum.




UB: Bagaimana pula dari segi bahasa? Sejauh mana penguasaan generasi muda terhadap bahasa ibunda mereka?


MATANOG: Itu yang menjadi kebimbangan kami di sana. Kebanyakan generasi muda semakin tidak mahir dalam penguasaan mereka terhadap bahasa ibunda mereka. Misalnya untuk perkataan penting atau `parlu’ dalam bahasa Iranun, kini meteka menggunakan perkataan `importante’. Untuk perkataan warna, mereka menggunakan perkataan ` color’, padahal bahasa Iranun mempunyai perkataan warna/. Untuk perkataan pengunjung atau tetamu mereka gunakan perkatan `visita’ dan sebagainya. Jadi terdapat kecelaruan dalam penggunaan bahasa ibunda di kalangan generasi muda.






UB: Boleh ceritakan pengalaman tuan dalam kunjungan ke Sabah kali ini?


MATANOG: Kunjungan kami ke Sabah kali ini adalah untuk menghadiri Conference of Speakers and Presiding Officers of The Commonwealth (CSPOC) sebagai pemerhati. Kunjungan ini amatlah bermakna bagi kami. Bagi saya secara peribadi, inilah pertama kali saya menyaksikan Speaker Parlimen Malaysia, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia berucap di hadapan kira-kira 52 negara komanwel yang menghadiri persidangan itu. Hampir menitis air mata saya. Inilah pencapaian tertinggi bagi seorang pemimpin dari bangsa Iranun. Seorang yang mencapai taraf antarabangsa. Beliau menjadi seorang pemimpin yang menjadi kebanggaan rakan-rakan sebangsanya baik di Malaysia, Filipina dan Indonesia.


C