Saturday, January 16, 2016

TERINGAT KATA-KATA PROF KYOUNG SEOK


TERINGAT KATA-KATA PROF KYOUNG SEOK
PERTEMUAN dengan Prof Kang Kyoung Seok, pakar tulisan jawi dari Korea Selatan sangatlah menarik. Saya rasa sangat teruja apabila beliau bercerita mengenai tulisan jawi. Jika tidak ada usaha-usaha dilakukan untuk memulihkan tulisan jawi, kira-kira 20 tahun atau 30 tahun akan datang, tulisan itu akan dihanyutkan jauh-jauh ke tengah lautan.
Prof Kyoung Seok lahir di Seoul Korea Selatan pada tahun 1955. Selepas menerima pendidikan rendah dan menengah di kota kelahirannya itu, beliau melanjutkan pengajian di Hankuk University of Foriegn Studies,dalam jurusan Melayu-Indonesia di Department of Indonesian Studies pada tahun 1974. Kemudian meneruskan pengajian di peringkat sarjana Graduate School of Intrepretation and Translation Hankuk University of Foreign Studies. Secara kebetulan, Busan University of Foreign Studies membuka dalam jurusan pengajian Melayu Indonesia. Itulah sebabnya beliau berpindah ke kota pelabuhan itu.


Secara kebetulan, beliau berjumpa dengan Abdul Ghani, seorang pendakwah dari Pattani di Masjid Busan. Melalui Abd Ghani dan seorang lagi temannya, Prof Kyoung Seok belajar menulis jawi. Beliau mendapat tahu mengenai tulisan itu ketika beliau belajar di Hankuk University of Foreign Studies lagi. Secara kebetulan lagi, katanya, Abdul Ghani membawa Sejarah Melayu Pattani dalam tulisan jawi.
“Secara kebetulan, Abdul Ghani menyimpan sejarah Melayu Pattani dalam tulisan jawi. Semuanya secara kebetulan. Saya pinjam buku itu , saya fotokopi. Melalui buku itulah saya belajar tulisan jawi dengan bantuan Abdul Ghani. Satu minggu satu halaman. Saya mendapat banyak perkara ganjil. Ejaan makan dieja mim alif kaf nun. Sepatutnya,mim alif kaf alif nun. Jadi saya bertanya mana pergi huruf alif di antara kaf dan nun itu. Saya nak tahu.Tapi Abd Ghani tak tahu mengenai sistem tulisan jawi. Beliau hanya mempelajari tulisan jawi dari warisan nenek moyangnya. Untuk mengetahui hal itu, saya mengambil keputusan untuk menyambung pengajian di Malaysia.

“Tetapi saya masih ingat, cerita Profesor saya mengenai tulisan jawi. Saya nak mengejar mimpi untuk belajar tulisan jawi di Malaysia. Di Indonesia, tulisan jawi sudah pupus. Di Malaysia juga, tulisan jawi akan mengalami kemerbahayaan dan akan pupus jika mengikut kecenderungan di Indonesia”,”katanya dalam pertemuan lebih sejam di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negeri.
Tapi bukan mudah untuk Prof Kyoung Seok masuk ke universiti Malaya. “Saya membuat permohonan beberapa kali untuk melanjutkan pengajian. Saya menulis surat dalam bahasa Melayu, tidak ada jawapan. Selang beberapa waktu kemudian, saya menulis surat lagi, kali ini dalam bahasa Inggeris. Tetap tak ada jawapan. Saya tidak putus asa. Saya tulis surat lagi,dalam bahasa mandarin, juga tak ada balasan.
Satu hari terlintas di fikiran beliau untuk menulis surat menggunakan tulisan jawi. Seminggu dua selepas Prof Kyoung Seok mengirimkan surat permohonan menggunakan tulisan jawi. Selepas menerima surat itu, Prof Dr Nik Safiah Karim , menghubunginya dan menawarkan kepada beliau untuk belajar tulisan jawi di Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya.Waktu itu, belum ada orang asing memohon untuk pengajian tulisan jawi peringkat MA dan PHD. Mereka agak terperanjat kerana ada orang Korea mahu belajar Jawi. Tidak ada orang yang sanggup mengajar tulisan jawi kepada orang asing.
Selepas itu, beliau menyambung pengajian di Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya pada 1984 dan memperoleh Ijazah Sarjana yang kedua dari Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya pada tahun 1987. Lima tahun kemudian, beliau memperoleh doktor falsafah dari universiti yang sama.
Sepanjang lebih 30 tahun penglibatannya dalam tulisan Jawi, Prof Kyoung Seok pernah menjalankan beberapa kajian mengenai sistem tulisan jawi, transliterasi manuskrip jawi, seni khat Jawi, pengajaran bahasa Korea dengan tulisan jawi, pola ayat bahasa Melayu-Indonesia, dan Batu Bersurat Terengganu.

Beliau juga telah menerbitkan beberapa buah buku yang bertajuk, Perkembangan Tulisan Jawi Dalam Masyarakat Melayu, Bahasa Melayu Dalam Empat Minggu, dan Gaya Bahasa Sejarah Melayu.
Prof Kyoung Seok agak bersemangat bercerita mengenai kehebatan, keunikan dan keistimewaan tulisan jawi. Tetapi beliau rasa sedih kerana minat terhadap tulisan jawi semakin berkurangan. Apatah lagi tidak ada usaha-usaha yang konkrit untuk memulihkannya. . Menurut Prof Kyoung Seok, pusat pengajian tinggi haruslah memainkan peranan untuk memulihkan tulisan jawi.
Katanya, tulisan jawi yang sudah berusia lebih 700 tahun itu adalah milik rakyat Malaysia. Ia mesti diwariskan kepada generasi baru sambung menyambung. Peranan media, ITBM dan DBP juga penting dalam memastikan tulisan jawi terus terpelihara. Sekiranya tiada usaha usaha dilakukan untuk memulihkan tulisan jawi, maka 20 tahun atau 30 tahun lagi, tulisan jawi akan terpupus habis.
Tulisan Jawi akan dihanyutkan jauh-jauh ke tengah lautan, kata Prof Kyoung Seok. Itulah kata-katanya yang masih terngiang-ngiang di telinga saya sampai sekarang.






No comments: