Sunday, May 29, 2016

DATUK DAHALI DAN BELIA , NAMA YANG TIDAK BOLEH DIPISAHKAN

DATUK DAHALI DAN BELIA , NAMA YANG TIDAK BOLEH DIPISAHKAN


SEPANJANG 35 tahun dalam perkhidmatan kerajaan, nama Datuk Haji Mohd Dahali Haji Matsin hampir sinonim dengan pembangunan belia di negeri ini. Sebut nama Haji Dahli, serta merta tergambar di penglihatan kita mengenai belia. Namanya sukar dipisahkan dengan program dan kegiatan-kegiatan belia di negeri ini.

Datuk Haji Mohd Dahali Haji Matsin dilahirkan di Kampung Ulu Putatan pada 9 Mei 1955. Beliau mendapat pendidikan awal di Government Primary School (GPS) Buit Hill Putatan dari tahun 1961 hingga 1966. Pada tahun 1967, beliau memasuki GovernmentSecondary School Kota Kinabalu pada 1967 hingga 1973. Beliau memperolehi Ijazah Bachelor of Science (Sosiologi) pada 1986 dan kemudian melanjutkan pelajaran hingga mendapat Master in Public Administration dari Indiana State University, Terre Haute Indiana, USA 1987.

Beliau berkhidmat selama 35 tahun sebagai pegawai kerajaan sebelum bersara pada Mei 2015. “Hari ini genap setahun saya bersara dari perkhidmatan kerajaan,” katanya ketika ditemui di Kota Kinabalu baru-baru ini.

Sepanjang tempoh perkhidmataannya sebagai kakitangan kerajaan beliau pernah menjadi Ketua Kerani di MUIS (1973-1979), Pembantu Belia dan Sukan Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah,(1979-1989) beliau dilantik sebagai Pegawai Belia dan Sukan dan ditugaskan sebagai Penolong Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah, (1989-1996), Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah (2001-2003), dinaikkan pangkat sebagai Pengarah JBS dari tahun 2003-2007. Kemudian beliau ditukarkan sebagai Pengarah Akademik Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Port Dickson (2007-2008), Pengarah Institut Kemahiran Belia dan Negara (IKBN) (2008-2012). Datuk Dahali ditukarkan semula sebagai Pengarah Jabatan Sukan dan Belia (Persekutuan) Sabah pada 2011-2015. Pada 9 Mei 1955, beliau bersara daripada perkhdmatan kerajaan pada 9 Mei 2015

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN sempat menemubual Datuk Haji Dahali Haji Matsin di salah sebuah kafe terkenal di Jalan Gaya. Ikuti petikan temubual bersama beliau mengenai cebisan pengalaman yang dilaluinya

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit pengalaman masa persekolahan dulu? Dulu sekolah naik apa?

DATUK HAJI DAHALI HAJI MATSIN: Dulu saya jalan kaki saja dari rumah. Mana ada pakai kereta. Saya berjalan kaki melalui sawah padi dari Kampung Ulu. Sebenarnya sebelum saya masuk sekolah di Buit Hill, saya bersekolah di Petagas. Saya ikut cikgu Haji Mohd Yunin Arshad, dia yang bawa saya ke sekolah. Sebenarnya umur saya belum cukup waktu itu. Ketika bersekolah di Petagas itu, setiap pagi saya berjalan kaki dari rumah..Saya ikut jalan keretapi kira-kira 3 km dari rumah setiap hari.

Saya anak kedua dari empat adik beradik, dua lelaki dua perempuan. Ayah saya Haji Matsin Matasan dan Hajah Terbah Ahmad, hanya kerja kampung. Kehidupan masa itu aga susah. Selain bertani, kami jual telur ayam, jual ikan. Saya pernah ikut bapa saya jual ikan di pasar. Saya tahu kehidupan orang susah kerana saya juga pernah susah dahulu. Tapi dari segi makanan cukup . Tidak banyak yang kita beli kerana semua boleh kita boleh perolehi dengan mudah. Dulu Sungai Putatan, banyak ikan, banyak udang sungai. Saya biasa merambat atau menjala. Jadi tiada masalah untuk dapat ikan. Kami juga pelihara ayam. Sayur-sayuran tidak ada masalah.

Saya juga masih ingat. Kami ada pokok belunu. Pokok belunu itu buahnya besar. Isinya tebal, bijinya kecil. Buah belunu kami jual dan hasil jualan juga agak lumayan.


UB: Bagaimana keadaan kampung Ulu Putatan masa itu?

DHMDHM: Masa itu, kampung Ulu adalah sebuah kampung yang agak terpencil. Kami pula tinggal di tanah kebun. Masa itu hanya terdapat satu dua buah rumah. Rumah kami terletak di hujung-hujung kampung. Dari sanalah saya berjalan kaki ke sekolah, berjalan di tengah-tengah sawah padi. Begitulah rutin saya setiap hari.



UB: Selepas itu, dimana datuk bersekolah menengah?

DHMDHM: Selepas itu saya bersekolah di GSS Kota Kinabalu dari tahun 1967 hingga 1973 hingga lulus SPM. Antara rakan sekolah saya masa itu ialah Datuk Abdullah Said, Pendaftar UMS, Datuk Paiman Karim, Datuk Arsit Haji Sedi, Haji Salim Ibrahim, Asmara Haji Mohd Bilin, Juriah Pelasin, Ketua Wanita Piutatan, Rosimah Haji Zakaria, Normah Ag Tengah, Husin Jirat, Haji Ibrahim Haji Yunus dan lain-lain lagi.



UB: Oh ya, masa itu siapa yang selalu memberi galakan supaya datuk mengutamakan pelajaran?

DHMDHM: Ayah saya. Dia katakan cukuplah saya saja seorang yang susah.Saya tidak mahu anak-anak saya susah. Saya tidak mahu anak anak saya hidup susah katanya.Masa itu, Walaupun ibu bapa tidak sekolah, tetapi dia sentiasa menggalakkan agar anak-anaknya sekolah. Tanggungjawab mereka besar, mereka sentiasa memastikan anak mereka tidak ponteng sekolah. Kalau tidak pergi ke sekolah, dia akan cari dengan pemukul rotan. Kesedaran mereka begitu tinggi. Mereka sangat pentingkan pelajaran. Cukuplah saya satu orang yang susah. Saya masih mampu sekolahkan kamu.

Selepas lulus SPM , saya terpaksa bekerja.saya bekerja d Majlis Ugama Islam Sabah dari tahun 1973 hingga 1979, dari jawatan kerani hingga ketua kerani.



UB: Apa cita-cita datuk sewaktu kecil dahulu?

DHMDHM: Cita-cita saya sewaktu kecil ialah menjadi guru agama.. Mentaliti ketika itu, semua orang mahu anaknya jadi orang baik, orang berguna. Mungkin itu sebabnya sewaktu kecil, saya bercita-cita jadi guru agama. Kebetulan saya juga bersekolah agama. Sayang sekali sewaktu memohon untuk melanjutkan pelajaran di Sekolah Islamiah Tawau, saya tidak diterima masuk. Selepas tingkatan lima saya rasakan perlu mencari kerja untuk membantu adik-adik bersekolah. Saya memohon kerja dan dapat bekerja di Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) pada tahun 1974. Saya bekerja di MUIS sehingga 1979. Selepas itu, saya pindah kerja ke Jabatan Belia dan Sukan Persekutuan.



UB: Bagaimana Datuk boleh pindah ke jabatan persekutuan sedangkan Datuk dari jabatan yang terletak di bawah kerajaan negeri? Bagaimana ceritanya?

DHMDHM: Ketika itu saya aktif dalam kegiatan dan program-program belia. Saya aktif dalam persatuan belia, persatuan Sanya, aktif dalam pengakap dan sebagainya. Kebetulan masa itu, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Persekutuan, Haji Lasim Abdul Rahman minta saya datang ke pejabatnya. Beliau menawarkan untuk saya pindah kerja ke Jabatan Belia. Saya pun memohon dan kemudian di interview. Pada 7 Julai 1979, saya mula bertugas di Jabatan Belia dan Sukan Persekutuan, dari jawatan Pembantu Belia dan Sukan dari tahun 1979-1989. Dalam tempoh itu iaitu tahun 1984 hingga 1987, saya melanjutkan pelajaran di Indiana State University, Terre Haute Indiana sehingga mendapat Bachelor of Sceince dalam bidang sosiologi pada 15 Ogos 1986 dan Master of Public Administration dari universiti yang sama pada 18 Disember 1987.

UB: Siapa rakan dari Sabah sewaktu menuntut di Amerima Syarikat?

DHMDHM: Ramai. Antaranya Saudara Kibin Haji Samad, kini setiausaha politik Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia, Datuk Haji Salsidu Haji Ibrahim, Pencetak Kerajaan, Datuk Hamzah Haji Zakaria, mantan Pegawai Daerah Kota Belud, Pengarah Protokol dan kini Setiausaha Agung USIA.







Kemudian saya dilantik sebagai Pegawai Belia dan Sukan dan ditugaskan sebagai Penolong Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah, (1989-1996), Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (persekutuan) Negeri Sabah (2001-2003), Selepas itu, saya dinaikkan pangkat sebagai Pengarah JBS dari tahun 2003-2007. Kemudian saya ditukarkan sebagai Pengarah Akademik Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Port Dickson (2007-2008), Pengarah Institut Kemahiran Belia dan Negara (IKBN) (2008-2011). Saya ditukarkan semula sebagai Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Sabah pada 2011-2015. Pada 9 Mei 2015 saya bersara selepas berkhidmat selama 35 tahun dalam perkhidmatan kerajaan.



UB: Mungkin Datuk boleh ceritakan serba sedikit pengalaman berkhidmat selama 35 tahun dalam perkhidmatan kerajaan khususnya di Jabatan Belia dan Sukan?

DHMDHM: Sepanjang tempoh 35 tahun berkhidmat sebagai penjawat awam, saya pernah bertugas selama lebih 30 tahun termasuk menjadi Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah selama lebih tahun dan Pengarah Institut Kemahiran Belia Negara Kinarut Sabah selama 2 tahun 3 bulan. Saya menjawat jawatan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Persekutuan (Negeri Sabah) bagi kali keduanya pada 15 Januari 2011 hingga bersara wajib pada 9 Mei 2015 (empat tahun empat bulan) di dalam usia 60 tahun. Saya juga pernah bertugas sebagai Pengarah Akademik Pembangunan Belia Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia di Port Dickson Negeri Sembilan selama dua tahun.

Sepanjang perkhidmatan saya, saya telah membantu mendapatkan peruntukan bagi membina Kompleks Belia dan Sukan (Persekutuan) di Putatan dengan kos RM8 juta, salah satu kompleks belia terawal di Malaysia,pembinaan Institut Kemahiran Belia Negara Kinarut dengan kos RM70 juta, pembinaan Kompleks Sukan Komuniti di Libaran dengan kos RM4 juta, pembinaan 159 buah gelanggang Futsal 1 Malaysia di seluruh Sabah dengan kos RM23.6 juta, pembinaan sebanyak 69 Gelanggang Futsal di seluruh negeri Sabah di bawah Ist Rolling Plan RM ke-10 dengan peruntukan RM10.3 juta dan pembinaan 15 gelanggang Futsal 1 Mukim dengan kos RM1.5 juta.

Selain itu, saya juga pernah dilantik sebagai Pengurus Pilihanraya bagi P.137 Putatan pada tahun 2004 di samping lain-lain pelantikan termasuk menduduki beberapa jawatankuasa yang dibentuk kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.



UB: Sebagai seorang yang banyak sumbangan terhadap pembangunan negeri dan negara ini, sudah pasti Datuk memperolehi banyak anugerah. Boleh sebutkan antaranya?

DHMDHM: Dalam tempoh perkhidmatan 35 tahun dengan kerajaan, saya dianugerahkan pingat Ahli Darjah Kinabalu (ADK) pada tahun 1998, Pingat Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran `Datuk’ pada 5 Oktober 2013. Selain itu, saya pernah menerima pingat Ahli Mangku Negara (AMN) dari Kerajaan Persekutuan ada tahun 2002.



Saya juga dianugerahkan pingat Peringatan 50 Tahun Sabah Maju Jaya Dalam Malaysia pada 19 Mei 2014. Sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dalam pembangunan Belia di Negeri Sabah, Majlis Belia Sabah (MBS) atas persetujuan Ketua Menteri selaku penaung Majlis Belia Sabah menganugerahkan Bintang Belia Perkara (B.B.P) iaitu Bintang Kelas Pertama dan tertinggi dalam Anugerah Majlis Belia Sabah pada 21 Disember 2014.



Di samping itu, saya juga menerima Pingat Yang Dipertua Majlis Pengakap Negeri Sabah (Anugerah Ketua Pengakap Negeri Sabah) sempena Malam Pengiktirafan dan Penghargaan Pengakap Negeri Sabah 22 Februrai 2015. Selain itu saya juga dianugerahkan Pingat Khidmat Cemerlang Persekutuan Pengakap Malaysia pada 25 Februari 2015.

Saya juga ditauliahkan sebagai Penolong Pesuruhjaya RELA (Bersekutu) pada 24 Mei 2015.



UB: Apa prinsip Datuk dalam bekerja?



DHMDHM: Bagi saya kerja itu sebagai ibadah. Jangan kerja kerana bos, mahu memperlihatkan kepada bos.Kalau bos tak nampak, Allah SWT pasti nampak. Oleh sebab itu, bekerjalah bersungguh-sungguh.Jangan curi tulang. Jaga disiplin. Jika kita bekerja sebagai satu ibadah, kita akan bekerja untuk mendapat keredhaannya. Setiap kerja kita ada pahala. Bagi saya kerja adalah satu ibadah. Saya tidak kisah mengenai pengiktirafan. Mungkin kerana ketekunan dan komitmen, saya mendapat lima kali perkhidmatan cemerlang.



UB: Hobi Datuk di masa terluang? Boleh kongsikan?

DHMDHM: Saya suka kegiatan rekreasi. Program kembara alam seperti ke Maliau Basin, Tabin, Lembah Danum, Naik gunung dan sebagainya. Sekarang semenjak bersara, saya aktif sebagai Pengerusi JK Masjid Nurul Iman Putatan.



UB: Apa motto Datuk dalam hidup?

DHMDHM: Kalau mahu buat sesuatu kerja, buat betul-betul. Jika tidak dibuat betul betul, sudah tentu duit yang digunakan, masa yang digunakan akhirnya akan sia-sia. Anggaplah kerja itu satu ibadah.



UB: Terima kasih banyak Datuk kerana sudi meluangkan masa bersama Utusan Borneo untuk temubual Ruangan Sembang Sabtu ini.
DHDHM: Terima kasih banyak.












.


No comments: