Sunday, May 29, 2016

PROF MADYA DR ISMAIL ALI: KERANA APAM BALIK, PANDANGAN HIDUPNYA BERUBAH













KALAU bukan kerana peristiwa ayahnya tergelincir di permatang dan apam balik yang dibawanya basah, mungkin jalan hidupnya akan jadi lain. Daripada seorang pelajar yang agak nakal, sikapnya terhadap hidup akhirnya berubah apabila melihat kuih apam balik yang sudahpun basah, direbus semula dan dipanaskan balik kerana sukarnya mendapat kuih itu. “Kami hanya orang kampung,” katanya. “Ayah terjatuh lalu masuk sawah padi dan kuih apam balik yang dibawa dalam raga terendam dalam air berwarna coklat. Beliau angkat motosikal itu, kemudian ambil kuih apam balik itu dan sesampainya di rumah, kuih itu dicuci, lalu direbus balik dan dimasukkan dalam kuali untuk dipanaskan. Itulah antara detik yang menyedarkan saya,” kata Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Ismail Ali.



Prof Madya Dr Ismail Ali dilahirkan di Kampung Durian Tunjong,WilayahPersekutuan Labuan pada 4 Mac 1969. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Kerupang Bukit Kalam sebelum berpindah ke SRK Pekan Labuan 1. Selepas tamat sekolah rendah, beliau melanjutkan pelajaran dalam sekolah menengah di SMK Labuan (1981-1984), SMK Kuala Penyu (1985) dan SMK Beaufort (1986-1987) Kemudian beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya (1988-1991) sehingga memperolehi ijazah Sarjana Muda Sastera Kelas 2 Atas.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Penyelia Operasi,Mud & Chemicals (Sabah (Sdn Bhd., Asian Supply Base di Wilayah Persekutuan Labuan sebelum berkhidmat sebagai

guru sandaran di Sekolah Menengah Datuk Peter Mojuntin (1993) sebelum berkhidmat sebagai Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Buruh Negeri Sabah Kota Kinabalu (1993).



Selepas itu, beliau mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah di Maktab Perguruan Gaya (1993-1994) dan kemudian dilantik sebagai Pegawai Pendidikan Siswazah, Jabatan Pendidikan Sabah di Maktab Sabah. Pada tahun 1996, beliau menerima tawaran sebagai Penolong Pendaftar, Pusat Penataran Ilmu & Bahasa, Universi Malaysia Sabah (1996-2005) . Sambil itu, beliau meneruskan pengajian di peringkat Sarjana (MA) dalam Sejarah Peradaban Maritim, Universiti Malaya (1997-1999) . Kemudian beliau melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah dalam bidang Peradaban Maritim dan Komuniti Pelaut Kontemporer di Universiti Malaysia Sabah (1999-2004) .

Selepas lulus PhD, beliau dilantik sebagai pensyarah pada tahun 2005. dan kemudian dilantik sebagai Ketua Program Sejarah Sekolah Sains Sosial (2005-2006) . Selepas itu, beliau dilantik sebagai Timbalan Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (2006-2008),Ketua Program Sekolah Sains Sosial (2007-2010). Dekan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) UMS dari tahun 2010 hingga Julai 2012. Pengarah UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMS-KAL) dan kini Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni),UMS.



Dr Ismail juga menjawat jawatan sebagai ACP (K) Kor Sukarelawan Polis UMS 2015- kini,PPj. (PA) Kor SISPA, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia 2014-kini.,Kolonel (PA) Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri Malaysia (2014-kini). Dan Ahli Pakar Rujuk Sejarah Malaysia lantikan Kementerian Pelajaran Malaysia (2012-2017)



Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemubual Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) di pejabatnya di Anjung Siswa UMS. Ikuti petikan temubual bersama beliau:

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang Prof?

PROF MADYA DR ISMAIL ALI: Saya dilahirkan pada tahun 1969 di Durian Tunjong. Ada satu pokok durian senget di situ.Mungkin itu sebabnya disebut Durian Tunjong. Ayah saya bertugas sebagai Malaria Assitant Technician di Labuan. Saya anak lelaki paling tua. Ada dua orang kakak perempuan saya, dan lima orang termasuk saya. Kami tujuh orang semuanya.

UB: Dulu sekolah dimana prof? Sekolah Rendah?

PROF:Saya mendapat pendidikan rendah di SRK Kerupang Bukit Kalam sebelum berpindah ke SK Pekan Labuan 1. Kemudian saya melanjutkan pelajaran di SMK Labuan hingga tingkatan tiga. Selepas saja peperiksaan SRP, saya di`buang’ ke Kuala Penyu kerana nakal. Kemudian selepas lulus tingkatan 5, Saya belajar di SMK Beaufort dari tahun 1986 hingga 1987.



UB: Seperti yang prof kata, dulu prof seorang pelajar yang agak naka. Bagaimana sikap prof berubah dari seorang pelajar yang nakal kepada seorang pelajar yang cemerlang?

PROF: Kalau ditanya bagaimana sikap saya berubah, ia bermula apabila saya melihat ayah saya terjatuh dengan motosikalnya di permatang sawah padi dalam perjalanan balik ke rumah. Ayah terjatuh lalu masuk sawah padi dan kuih apam balik yang dibawa dalam raga terendam dalam air berwarna coklat. Beliau angkat motosikal itu, kemudian ambil kuih apam balik itu dan sesampainya di rumah, kuih itu dicuci, lalu direbus balik dan dimasukkan dalam kuali untuk dipanaskan. Itulah antara detik yang menyedarkan saya.



UB: Khabarnya dalam peperiksaan STPM, prof dapat nilai A dalam mata pelajaran sejarah dan geografi. Boleh ceritakan rahsia di sebalik kejayaan prof?

PROF: Ketika itu, saya belajar di SMK Beaufort. Salah seorang cikgu kami, Cikgu Bat Hamid membuat cabaran terbuka bahawa kalau sesiapa dapat A dalam sejarah dan geografi, beliau akan berikan RM300. Masa itu peperiksaan STPM , hanya kira-kira dua bulan lagi. Saya asyik terfikir cabaran Cikgu Bat Hamid itu. Jika lulus A dapat RM300 seperti yang dijanjikan. Jadi saya belajar bersungguh-sungguh. Dont work hard, work smart, kata saya kepada diri saya. Saya pelajari semua skrip jawapan bagi kedua-dua mata pelajaran itu. Akhirnya apabila keputusan STPM diumumkan, saya dapat A dalam sejarah dan Geografi.



UB: Wah, menarik kisahnya. Jadi prof dapat duit seperti yang dijanjikan?

PROF: Dapat. Ketika peperiksaan diumumkan saya paling akhir ambil keputusan. Saya jumpa cikgu Noraini. Tahniah, katanya, bagus kau punya keputusan. Sejarah dan geografi dua-duanya A, kata Cikgu. Kemudian saya ke bilik guru, mencari cikgu Bat Hamid untuk menagih janji. Cikgu Bat Hamid terpaksa bagi.He he. Saya rasa gembira. Kemudian saya panggil pelajar tingkatan satu, tingkatan dua, saya belanja mereka. Habis RM200. Ada lagi RM400 dalam poket.



UB: Selepas STPM,apa kerja yang prof buat?

PROF: Ketika menunggu peperiksaan STPM, saya bekerja di Asian Supply di Labuan sebagai buruh dengan gaji RM350. Saya hanya dilantik sebagai buruh, kerja menyapu, memotong rumput dan sebagainya walaupun pakcik saya jadi orang nombor dua di syarikat itu. Selepas lulus STPM, saya dapat tawaran belajar di Universiti Malaya. Itupun kakak saya yang tolong.



UB: Itu pengalaman pertama kali ke KL?

PROF: Itulah pertama kali saya naik kapal terbang. Sebelum berangkat ke KL, saya singgah di Pasar Malam Segama untuk membeli seluar. Kakak belikan tiket. Duit bekal cukup cukup makan. Saya sampai di UM, pada hari terakhir minggu orientasi. Kira-kira satu jam selepas mendaftar, tiba-tiba saya rasa mahu balik dan tidak mahu meneruskan. Saya balik ke kaunter, minta balik duit pendaftaran RM750. Masa itu, datang seorang mahasiswa, Daimin Melin dari Ranau menyapa saya dan bertanya datang dari mana dan mengapa berada di sana. Saya beritahu bahawa saya minta refund kerana mahu balik. Dia panggil kerani pejabat dan menyatakan bahawa saya tidak jadi balik. Dia berikan saya tazkirah. Kalau tiada dia, mungkin saya suda balik ke Sabah dan perjalanan hidup saya jadi lain.,



UB: Mungkin ada pengalaman menarik di UM? Pernah berguru dengan Prof Khoo Kay Kim?

PROF: Saya belajar di UM dari tahun 1988 hingga 1991. Banyak pengalaman menarik sewaktu di sana. Prof Khoo adalah pensyarah kami. Berkasut sukan dan selalu `bersigup’ rokok Rothman. Dia selalu datang ke kelas dan membuat syarahan mengenai sejarah. Sebahagian besarnya beliau bercerita mengenai sukan. Antara pensyarah lain ialah Prof Dr Radhuan Arif, Dr Shahril Talib dan lain-lain.

UB: Siapa rakan-rakan dari Sabah yang seangkatan dengan Prof?

PROF: Antaranya Gharib Talib, Nordin Hashim. Saya pernah terpaksa memakai seluar pendek kerana kalah bertaruh Sabah lawan Kedah. Sewaktu aktif dalam persatuan mahasiswa, kami pernah juara bolasepak seluruh Universiti. Tanya Rusdi Awang Putih di DBP Sabah. Beliau rakan saya, Selain itu, ASP Jauteh Dikon, ACP Chandra dan lain-lain. Sebenarnya banyak kisah yang tidak dapat dilupakan sewaktu di universiti.



UB: Sebaik tamat universiti, dimana Prof bekerja?

PROF: Saya bekerja semula di Asian Supply, jawatan yang sama. Jadi buruh. Tapi saya suka di Labuan kerana setiap hujung minggu, saya ada peluang menyelam yang menjadi salah satu hobi saya. Nenek perempuan saya mahu saya kerja jawatan yang lebih baik. Kemudian saya dapat tawaran jadi guru sandaran. Cikgu Hadis yang bawa surat tawaran. Saya mula jadi guru sandaran di SMK Datuk Peter Mojuntin. Pertama kali saya dapat gaji llebih RM1,000. Gaji pertama saya beli ikan tenggiri. Mulanya penjual ikan tidak percaya saya mampu beli ikan itu, sekilo RM9 hingga RM10 sekilo. Saya beli ikan tenggiri seberat 7kg itu, di potong-potong dan dibungkus dengan surat khabar. Saya naik kereta prebet bawa ikan.

Selepas itu, setelah bekerja beberaoa bulan saya beli kereta,KA30 dua pintu. Itulah pengalaman saya berkereta. Kemudian saya dapat tawaran sebagai pegawai di Jabatan Buruh tetapi saya hanya bekerja selama dua hari saja kerana berhenti selepas disuruh pindah ke Sandakan. Belum sempat ada kerusi saya berhenti. Kemudian saya mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) di Maktab Gaya.

UB: Selepas itu?

PROF: Selepas tamat KPLI di Maktab Gaya, saya berkhidmat di Maktab Sabah. Di Maktab Sabah, saya pun ada cerita. Satu masa saya terpaksa merotan murid sekolah. Kebetulan pula murid sekolah itu anak Pengarah Pendidikan Sabah. Masa itu, saya bertugas sebagai guru disiplin. Hebohlah satu sekolah. Saya dipanggil ke bilik pengetua dan ditanya sama ada saya tahu siapa pelajar itu. Akhirnya saa memutuskan untuk menghadap Pengarah Pendidikan Sabah itu, Dr Hasbollah Mohd Taha. Sebaik masuk ke biliknya, beliau bertanya “Kenapa Awang?” Saya beritahu saya rotan anaknya. Dia bertanya, kenapa dirotan. Saya jelaskan sebabnya. Beliau tanya lagi, berapa kali, saya jawab satu kali.Kenapa tidak tiga kali. Kemudian beliau beritahu tugas dan tanggungjawab cikgu di sekolah. Beliau sama sekali tidak menyalahkan saya malah memberi saya semangat untuk menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan amanah meskipun yang dirotan itu adalah anaknya.

Beliaulah juga yang banyak membantu saya. Sehingga saya boleh berpindah dari Jabatan Pendidikan untuk berkhidmat di UMS. Dr Hasbollah yang membantu memudahkan saya.



UB: Tahun berapa Prof mula berkhidmat di UMS?

PROF: Saya mula berkhidmat di UMS pada Ogos 1996 sebagai Penolong Pendaftar di Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB). Pada masa yang sama saya mengikuti pengajian di peringkat di peringkat sarjana (MA) di Universiti Malaysia sampai selesai pada tahun 1999. Kemudian saya melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah dalam bidang Peradaban Maritim dan Komuniti Pelaut Kontemporer di Universiti Malaysia Sabah (1999-2004) . Saya adalah pegawai tadbir yang pertama mengikuti pengajian PhD. Selepas lulus PhD, saya dilantik sebagai pensyarah pada tahun 2005. dan kemudian dilantik sebagai Ketua Program Sejarah Sekolah Sains Sosial (2005-2006) . Selepas itu,saya dilantik sebagai Timbalan Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (2006-2008),Ketua Program Sekolah Sains Sosial (2007-2010). Dekan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) UMS dari tahun 2010 hingga Julai 2012. Pengarah UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMS-KAL) dan kini Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni).

UB: Oh ya. Sebagai seorang ahli akademik, Prof pernah katakan bahawa laut bukan pemisah?

PROF: Paling penting persepsi masyarakat terhadap laut harus berubah. Laut bukan pemisah. Sebaliknya laut adalah penyatu peradaban di Asia Tenggara.Sabah, Sarawak dan Semenanjung dipisahkan oleh Laut Cina Selatan. Tapi sebenarnya laut bukanlah pemisah. Laut adalah penyatu dalam bentuknya yang berbeza.Ada orang lupa jalan lau. Laut Cina Selatan menjadi penhubung antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung . Jadi laut bukan pemisah.Ia sesuatu yang menyatukan kita.







No comments: