Monday, June 20, 2016

BERKUNJUNG KE KAMPUNG AL MUNAWAR, KAMPUNG ARAB TERTUA DI PALEMBANG

BERKUNJUNG KE KAMPUNG AL MUNAWAR, KAMPUNG ARAB TERTUA DI PALEMBANG



Palembang adalah salah satu kota paling tua di Indonesia, kata Pak Latif. Bahkan dalam sejarah, kedudukan Palembang amatlah penting kerana pernah menjadi ibukota Kerajaan Srivijaya, sebuah empayar Melayu yang berpengaruh di Asia Tenggara abad ketujuh.

Selepas Medan, Palembang adalah bandaraya kedua terbesar di Sumatera. Bandaraya itu adalah ibu kota Provinsi Sumatera Selatan. Ia terletak di tebing Sungai Musi dengan keluasan kira-kira 369.22 kilometer persegi dengan penduduk sebanyak 1.7 juta.

Kota yang terkenal dengan jambatan Ampera (Amanah Penderitaan Rakyat) , jambatan sepanjang 1,177 meter dan dirasmikan oleh Jenderal Ahmad Yani pada tahun 1965 . Palembang juga terkenal kerana Sungai Musi yang membahagikan Palembang kepada Seberang Ilir dan Seberang Ulu. Kota Palembang adalah keenam terbesar di Indonesia selepas Jakarta, Surabaya, Bandung, Medan dan Semarang.

Kini Kota itu sedang rancak membangun. Sebaik mendarat di Lapangan Terbang Sultan Mahmud Badaruddin II, pembinaan LRT sedang giat dijalankan dari lapangan terbang hingga ke Jakabaring dimana terletaknya Stadium Gelora Sriwijaya. Palembang bersama Jakarta akan menjadi tuan rumah Sukan Asia 2018. Sebelum ini, Palembang pernah menjadi tuan rumah Sukan SEA pada tahun 2011.

“Pa” ertinyanya tempat. Lembang ertinya tempat yang rendah. Palembang membawa erti tempat yang selalu digenangi air,” kata Pak Latif, yang menjadi pemandu pelancong kami sepanjang berada di Palembang.

Selepas berkunjung ke Muzium Bala Putera Dewa, Pak Latif membawa rombongan seramai 28 orang peserta Fam Trip Travel Agent-Media Sabah ke Kampung Al-Munawar, sebuah perkampungan Arab yang tertua di Palembang.

Kampung Arab Al Munawar adalah sebuah perkampungan yang terletak di kawasan 13 Ulu, di tepian Sungai Musi dan Sungai Ketemenggungan.

Sebaik memasuki ke kampung ini, kami disambut oleh penduduknya yang ramah tamah. Nuansa arabnya agak ketara. Peserta kemudian diberikan kesempatan untuk menonton tarian gambus. Rebana ditabuh, diiringi dengan petikan gitar khas, alunan muzik dan lagu-lagu irama padang pasir. Kemudian dua orang lelaki masuk ke dalam arena sambil menari mengikut irama muzik.

Sangat menarik. Ia mengembalikan ingatan saya kepada kunjungan-kunjungan ke perkampungan Arab di seluruh pelusuk Nusantara, yang tetap mempertahankan budaya mereka.

Di perkampungan ini, banyak rumah yang sudah berusia lebih dari satu abad, kata Ami atau pakcik, seorang tetua kampung yang memberikan maklumat mengenai kampung Arab itu.Malah ada lapan rumah di kampung itu yang berusia lebih 250 tahun tetapi masih kukuh.Kebanyakan rumah dicat warna putih bercampur hijau, ungi dan merah jambu sehingga terlihat baru.

Jika kita mengamati rekabentuk binaan rumah itu, kita akan dapat melihat arsitektur Arab dan Timur Tengah. Rumah panggung yang dibina menggunakan kayu dan sebahagian lagi menggunakan batu. Terdapat juga gaya eropah dalam seni binanya. Ada juga yang berbentuk seperti rumah adat Sumatera Sekatang.

Masih banyak rumah yang mengekalkan senireka yang diwarisi dari nenek moyang mereka. Kita dapat melihat ukiran tangga yang pelbagai.Selain itu, kita juga dapat melihat pagar, engsel dan ada juga yang menggunakan batu marmar yang dikatakan didatangkan dari Itali sebagai lantai rumah.

Saya tertarik dengan jendela kayu rumah-rumah yang kami lewati. Arsitektur rumah itu sangat menarik dan bagi yang suka seni bina lama, kunjungan ke kampung Arab itu adalah satu kunjungan yang amat bermakna.

Kampung Al-Munawar adalah perkampungan Arab yang pertama di Palembang. Ia mendapat namanya daripada Habib Abdurrahman Al-Munawat, seorang tokoh yang dihormati, yang juga seorang tokoh penyebar agama Islam di palembang.

Terdapat kira-kira 300 pemduduk yang mendiami Kampung Al-Munawar. Semuanya mempunyai kaitan keluarga. Ada satu peraturan tidak tertulis yang tidak membenarkan mereka berkahwin dengan orang di luar kampung mereka,Anak-anak perempuan keluarga itu tidak dibolehkan menikah dengan orang dari suku lain walaupun pihak lelaki dibenarkan menikah di luar kampung mereka kerana darah arabnya masoih kental dari nasab keturunan ayah.






Selepas menyaksikan tarian gambus, salah satu tarian tradisional dan sempat mengamati seni bina rumah-rumah lama di kampung itu, kami diundang masuk ke rumah. Rupanya di sana,terhidang pelbagai hidangan istimewa. Kami dijamu mengikut adat tradisi Arab di kampung itu. Ada nasi kebuli, kari kambing, ayam gulai, sambal dan acar. Walaupun masih kenyang tetapi melihat makanan makanan itu, perut tiba tiba terasa lapar.

Kami juga sempat merakamkan gambar di tepian Sungai Musi, sungai yang menyimpan pelbagai catatan sejarah di aliran airnya yang sentiasa mengalir. Kampung Al-Munawar sendiri adalah sebuah perkampungan yang bersejarah dan kini menjadi salah satu destinasi wisata menarik, yang perlu dikunjungi jika kita melawat Palembang.




No comments: