Monday, June 20, 2016

MELIHAT OBJEK PELANCONGAN DI SUNGAI MUSI, PALEMBANG













MELIHAT OBJEK PELANCONGAN DI SUNGAI MUSI, PALEMBANG

Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN

ENTAH sudah berapa abad Sungai Musi mengalir bersama sejarah, legenda, mitos dan cerita kehidupan manusia sejak zaman empayar Sriwijaya. Sungai sepanjang 750 kilometer itu, yang terpanjang di Sumatera, sejak sekian lama menjadi jalan pengangkutan utama bagi masyarakat di Sumatera Selatan. Tetapi jika kita ingin melihat pemandangan yang lebih cantik, kita boleh berkunjung ke Palembang, dan menyaksikan bagaimana Sungai Musi membelah kota itu menjadi dua bahagian iaitu Seberang Ilir di bahagian utara dan Seberang Ulu di bahagian selatan.

“Mungkin dari sungai inilah dahulu, Parameswara berlayar menuju Melaka,” saya terfikir dalam hati. Pada hari kedua itu,Rombongan 28 peserta Fam Trip Travel Agent-Media Sabah dibawa menaiki bot untuk menyeberang ke Kampung Kapitan sebelum ke Pulau Kemaro. Salah satu ikon kota Palembang iaitu Jambatan Ampera terlihat dengan megahnya. Jambatan Ampera yang terletak di pusat kota Palembang mulai dibina pada tahun 1962 atas persetujuan Presiden Sukarno. Biaya pembinaan jamabtan itu diambil dari bayaran pampasan perang Jepun. Mulanya ia diberi nama Jambatan Bung Karno dan pernah menjadi jambatan terpanjang di Asia Tenggara. Pada tahun 1966, ketika terjadi pergolakan politik di Indonesia, nama jambatan itu diubah menjadi Jambatan Ampera atau Amanat Penderitaan Rakyat.

Jambatan ini lebih cantik jika dilihat waktu malam hari. Seseorang berkata begitu kerana pada waktu malam, jambatan itu dihiasi lampu warna warni dan sangat terang dan memancar ke segala arah. Ditambah lagi dengan teknik pencahayaan yang dibuat secara khusus, keindahan jambatan itu terlihat makin sempurna.

Beberapa minit kemudian, kami sampai ke Kampung Kapitan, sebuah perkampungan warga keturunan Tionghua. Kampung itu sendiri menjadi salah satu objek wisata atau pelancongan kerana menyimpan nilai sejarah yang tinggi.

Kampung Kapitan terletak di Jalan KH Azhari , Kelurahan 7 Ulu Su I bersebelahan Pasar Tradisional 7 Ulu. Bentuk-bentuk rumah masih banyak dipengaruhi dengan seni bina Cina terutamanya di bahagian dalam dan teras rumah. Kebanyakan rumah yang terdapat di kampung itu terdiri dari rumah kayu..Selain pengaruh budaya Cina, rumah yang sudaj berusia ratusan tahun itu juga dipengaruhi dengan seni bina gaya Palembang yang berupa bangunan rumah limas dan tiang yang menopang rumah.

Ketika berkunjung ke Rumah Kapitan, terlihat rumah yang menyimpan banyak sejarah tetapi masih perlu dibaik pulih. Rumah Kapitan itu boleh salah satu daya tarikan utama ke kampung itu. Selain rumah itu, di tengah halaman terdapat bangunan batu pagoda beralaskan ceramik setinggi 2.5 meter yang dikelilingi pokok bunga.

Selepas berkunjung ke Kampung Kapitan, kami menaiki bot lagi untuk ke Pulau Kemaro, sebuah pulau yang cantik tetapi menyimpan kisah legenda. Al kisah, pada masa dahulu kala, seorang puteri raja bernama Siti Fatimah disunting oleh seorang bangsawan Cina bernama Tan Bun An. Beberapa lama kemudian, kedua pengantin berangkat ke negeri China untuk bertemu keluarga Tan Bun An. Sepulangnya mereka ke Palembang, mereka dihadiah tujuh buah guci

atau tempayan oleh orang tua Tan Bun An.

Bagaimanapun, ketika kapal yang mereka tumpangi sampai ke Sungai Musi, Tan Bu An membuka hadiah yang diberikan oleh orang tuanya. Tetapi alangkah terkejutnya dia kerana tempayan itu hanya berisi sayur-sayuran yang sudah busuk. Kerana marah dan kecewa Tan Bun An membuang satu persatu guci itu itu ke dalam sungai. Tetapi apabila sampai ke guci yang ketujuh, guci itu didapati pecah dan terdapat emas di dalamnya. Emas sengaja ditutup dengan sayuran bagi menghindarkan mereka dirompak di tengah perjalanan. Sebaik menyedari bahawa guci yang dihadiahkan itu berisi emas, Tan Bun An pun terjun ke dalam sungai untuk mencari guci-guci itu. Malangnya ia tidak muncul muncul di permukaan. Begitu juga pengawalnya yang terjun mencarinya, tidak juga muncul-muncul. Ini imenyebabkan isterinya, Siti Fatimah ikut terjun ke dalam sungai untuk mencari suaminya. Kemudian kedua-duanya tidak muncul ke permukaan.

“Itulah sebahagian dongeng Cinta di Pulau Kemaro, “ kata Pak Latif sambil bercerita mengenai keistimewaan dan keunikan budaya yang terdapat di Palembang. Sebagai sebuah kerajaan yang terkenal pada masa dahulu, Kerajaan Sriwijaya menjadi tumpuan pedagang Cina dan Arab. Mungkin itulah sebabnya, budaya Cina dan Arab banyak mempengaruhi budaya Palembang.

Pulau Kemaro adalah sebuah objek wisata yang perlu dikunjungi jika kita ke Kota Palembang. Hanya dengan menaiki perahu atau bot, kita dapat melihat pemandangan mengasyikkan di sepanjang Sungai Musi. Kita dapat melihat kehidupan yang mengalir di sepanjang Sungai yang penuh sejarah itu.

No comments: