Ahad, 18 September 2016

DATUK MASRANI PARMAN, SENTIASA DISENANGI RAKYAT

Tags
DATUK MASRANI PARMAN, SENTIASA DISENANGI RAKYAT

MESKIPUN beliau pernah menjadi seorang Ahli Yang Berhormat dan pernah pula menjadi Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Masrani Parman tetaplah seorang personaliti yang serba sederhana. Beliau sentiasa disenangi rakyat kerana beliau sentiasa mendengar keluh kesah, suka duka dan aspirasi mereka dan sentiasa memperjuangkan nasib rakyat yang diwakilinya. Beliau adalah seorang pemimpin yang senang didekati. Bahkan rakyat tidak pernah terasa ada jurang antara beliau dengan rakyatnya kerana beliau sentiasa berdamping dengan mereka. Perjuangannya bermula ketika menjadi guru sebelum menceburkan diri dalam arena politik atas desakan masyarakat. Walaupun pernah kalah dalam Pilihanraya Umum 1990 ketika bertanding di DUN N3 Bengkoka, tetapi kerjayanya dalam politik terus meningkat setelah memenangi DUN Bengkoka bermula tahun 1994 hingga tahun 2008 apabila beliau memberi laluan kepada Datuk Bolkiah Haji Ismail, seorang ahli perbankan dan kini Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian. Kini Datuk Masrani Parman mengisi masa lapangnya dengan berkebun sawit dan kadang-kadang membantu isterinya di Dataran Bengkoka.



DATUK MASRANI PARMAN dilahirkan di Kampung Salimpodon Pitas pada 15 September 1947. Beliau mendapat pendidikan awal di NVS Pingan-Pinggan Pitas dari tahun 1959 hingga 1962. Beliau kemudian meneruskan persekolahan di SM Kudat dari tahun 1963 hingga 1965. Selepas tamat tingkatan tiga, beliau memohon kerja sebagai guru pelatih dan ditugaskan di SK Bandau Kota Marudu hingga tahun 1967. Pada 1968 hingga 1970, beliau memasuki Maktab Perguruan Kent Tuaran. Selepas mendapat sijil perguruan, beliau dilantik sebagai guru di Sekolah Rendah Inggeris Lodong Kudat pada tahun 1970. Kemudian pada tahun 1974, beliau ditukarkan di SK Rosob Pitas. Pada tahun 1977, beliau ditukarkan ke Sekolah Kebangsaan Pekan Pitas sebagai guru besar. Kemudian beliau ditukarkan ke Unit Peperiksaan sebagai Penyelia Peperiksaan SRP pada tahun 1983.Pada tahun 1987, beliau bertukar semula di Pitas sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar di SMK Pitas. Dua tahun kemudian, iaitu pada tahun 1989, beliau meletakkan jawatan sebagai guru dan menceburkan diri dalam politik.

Selepas menceburkan diri dalam politik, beliau pernah dilantik sebagai Pengerusi LPKP, Pengerusi Ko-Nelayan. Kariernya dalam politik terus meningkat apabila dilantik sebagai Pembantu Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan dan kemudian sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri Sabah. Beliau juga pernah menjadi sebagai Pengerusi Safoda sebelum melepaskan jawatan dan kini menumpukan sepenuh masanya untuk berkebun dan kadang-kadang membantu isterinya menguruskan restoran di Dataran Bengkoka.


Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemubual beliau di Dataran Bengkoka untuk berkongsi sedikit sebanyak pengalaman beliau sejak sekolah rendah, kemudian menjadi seorang pendidik hingga dilantik sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah. Ikuti petikan temubual bersama beliau:

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang datuk?

MASRANI: Saya lahir di Kampung Salimpodon Pitas pada tahun 1947, 15 September. Saya anak keempat. Seibu sebapa ada empat orang. Ayah saya Parman bin Dolah, seorang mandur ladang manakala ibu saya Azizah binti Aman, seorang surirumah.Satu bapa lain ibu, ada tiga orang lagi. Saya mendapat pendidikan awal di Native Voluntary School (NVS) Pinggan-Pinggan dari tahun 1959 hingga 1962. Sekolah NVS Pinggan-pinggan ditubuhkan pada tahun 1957. Saya mula bersekolah pada tahun 1959 iaitu dua tahun kemudian. Sekolah Sukarelawan Rakyat itu ditubuhkan atas semangat gotong-royong, Gaji guru dibayar oleh ibu bapa. Separuhnya oleh kerajaan. Kebanyakan guru masa itu tidak terlatih disebut oleh guru pelatih.

UB: Selepas itu, dimana datuk melanjutkan pelajaran?

MASRANI: Selepas itu saya melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Kerajaan (SMK) Kudat. Kami ke Kudat menggunakan perahu berlayar dari Pitas. Masa itu di kawasan Residen Kudat, hanya ada sebuah sekolah menengah. Iaitu SM Kudat. Ketika Sabah Merdeka menerusi pembentukan Malaysia pada 16 September 1963, saya masih belajar di SM Kudat. Pada tahun yang sama, Presiden Amerika Syarikat, John F Kennedy, mati ditembak.

UB: Siapa rakan-rakan datuk ketika bersekolah di SM Kudat?

MASRANI: Antaranya YB Datuk Saibul Subu, Wilson Malingka, Michael Madinal, Datuk Abdul Latif Kandok.

UB: Berapa jam pelayaran dari Pitas?

MASRANI: Kami mengambil masa empat jam untuk merentasi Teluk Marudu untuk ke Pekan Kudat. Masa itu, saya dapat biasiswa Kerajaan Negeri untuk perbelanjaan seharian dan makanan.

UB: Sampai tingkatan berapa bersekolah di SM Kudat?

MASRANI: Saya bersekolah sampai tingkatan tiga di S MK Kudat hingga tahun 1965. Pada tahun 1966, saya dilantik menjadi guru di SK Bandau (Kini Kota Marudu).

UB: Siapa rakan Datuk yang sama -sama bertugas di sekolah itu?

MASRANI: Antaranya, Haji Abd Aziz Manggong, Haji Ruhimin Adzim.

UB: Lepas SK Bandau, dimana datuk bertugas?

MASRANI: Pada tahun 1967, saya memasuki Maktab Perguruan Kent, Tuaran untuk mendapatkan sijil perguruan. Antara rakan semaktab saya waktu itu ialah mendiang Datuk Baggai Basirun.

UB: Selepas tamat maktab, dimana datuk ditugaskan?

MASRANI: Saya ditugaskan di Sekolah Rendah Inggeris Lodong Kudat pada tahun 1970. Saya menjadi guru Bahasa Malaysia. Pada tahun 1974, saya ditukarkan di SK Rosob Pitas. Ramai murid saya yang pernah menjadi pemimpin masyarakat sama ada sebagai pengerusi JKKK, ada yang jadi Ketua Kampung dan sebagainya. Pada tahun 1977, saya ditukarkan ke Sekolah Kebangsaan Pekan Pitas sebagai guru besar. Kemudian pada tahun 1983, saya ditukarkan ke Unit Peperiksaan sebagai Penyelia Peperiksaan SRP. Saya pernah satu pejabat dengan arwah Bolkas Hasbollah. Kemudian, pada tahun 1987, saya bertukar semula di Pitas sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar di SMK Pitas. Pada tahun 1989, saya meletakkan jawatan sebagai guru dan menceburkan diri dalam politik.

UB: Apa reaksi keluarga?

MASRANI: Keluarga memang agak terkejut dengan keputusan saya meletak jawatan jadi guru. Malahan ketua saya di Jabatan Pendidikan ,Datuk Khamis Noyo masa itu bertanya apakah saya sudah memikirkan masak-masak keputusan saya sebelum beliau menerima surat peletakan jawatan saya. Ketika itu, saya hanya memberanikan diri, berjuang untuk membela nasib rakyat yang agak ketinggalan dalam pelbagai segi.

UB: Apa sebabnya datuk memilih untuk menceburkan diri dalam politik masa itu?

MASRANI: Saya menceburkan diri dalam politik atas permintaan masyarakat. Saya sendiri tidak terfikir menjadi wakil rakyat. Saya sendiri tidak tahu sejauh mana kemampuan saya.Kita tidak dapat menilai diri kita, orang yang boleh menilai diri kita.

UB: Kemudian datuk bertanding pilihanraya?

MASRANI: Pada tahun 1990, bulan April saya dicalonkan sebagai Calon USNO di N3 Bengkoka. Tapi pada masa itu, saya kalah kepada calon PBS, Paul Tom Imbayan. Antara calon USNO yang turut kalah pada tahun itu, Datuk Seri Panglima Yahya Hussin, Datuk Seri Panglima Abdul Rahim Ismail, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman.

UB: Selepas kalah pilihanraya, apa yang datuk lakukan?

MASRANI: Saya terus berkecimpung dalam politik. Berjuang terus menerus. Saya terus aktif. Ketika kalah buat pertama kalinya, hanya isteri yang tahu, perasaan yang agak kecewa. Tapi saya berjuang terus menerus.Walaupun kalah di negeri tetapi BN masih memerintah di peringkat pusat. Selepas itu, saya dilantik sebagai Penyelia KEMAS untuk meneruskan perkhidmatan kepada rakyat. Kemudian dalam pilihanraya berikutnya,tahun 1994, saya bertanding lagi atas tiket UMNO-BN dan menang.

UB: Apa yang mendorong UMNO ke Sabah?

MASRANI: Senario politik masa itu. USNO sebagai sebuah parti yang memperjuangkan nasib dan kepentingan golongan bumiputera Islam dilihat kurang mampu untuk mempertahankan kepentingan rakyat terutamanya golongan bumiputera Islam. Kita lihat, UMNO boleh memperjuangkan nasib golongan bumiputera Islam. Itu antara sedikit lagtar belakang mengapa UMNO ke Sabah.


UB: Oh ya, boleh ceritakan sedikit penglibatan dalam UMNO?

MASRANI: Apabila UMNO mengembangkan sayapnya ke Sabah, Tun Mustapha menjadi Ketua Penaja Bahagian UMNO Marudu dan saya diminta menjadi Naib Ketua UMNO Bahagian. Saya ditunjuk oleh Tun Mustapha. Selepas beliau meninggalkan UMNO kerana sesuatu perkara yang mengecewakan beliau , saya dilantik sebagai memangku Ketua Bahagian. Saya menjadi Ketua Bahagian Marudu hingga 2008

UB: Apa antara nikmat pembangunan yang dirasai oleh masyarakat Pitas selepas Datuk terpilih sebagai wakil rakyat?


MASRANI:Banyak projek pembangunan yang dapat dibawa ke Pitas. Pembinaan jambatan Pitas berharga RM10 juta menggantikan perkhidmatan feri. Banyak keperluan rakyat, kemudahan asas seperti jalanraya dari Kota Marudu ke Pitas berjaya diturap, hospital , bekalan elektrik, air dan sebagainya dapat dinikmati. Sebagaimana yang kita tahu, satu masa dulu daerah Pitas adalah sebuah daerah yang termiskin malah termundur di Malaysia. Tetapi kemudian, banyak berlaku perubahan sedikit demi sedikit dan kini taraf hidup rakyat sudah semakin maju.

UB: Sepanjang berada dalam arena politik, apa antara peranan atau jawatan yang pernah datuk pegang?

MASRANI: Saya pernah menjadi Pengerusi LPKP, Pengerusi Ko-Nelayan. Kemudian saya dilantik sebagai Pembantu Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan dan kemudian sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar . Selepas tidak lagi wakil rakyat, saya dilantik sebagai Pengerusi Safoda tetapi kini tidak lagi.

UB: Apa cita cita datuk sewaktu kecil? Pernah terfikir jadi wakil rakyat?

MASRANI: Tiada cita-cita masa kecil. Ayah saya mahukan saya menjadi doktor. Saya tidak pernah terfikir jadi wakil rakyat Ini semua ketentuan Allah. Segalanya Tuhan yang tentukan.. Ia terjadi kerana ketentuan ilahi.
UB:Apa kenangan pahit dan manis yang pernah datuk alami?

MASRANI: Banyak kenangan pahit dan manis dalam politik. Kenangan manis apabila menang dalam pilihanraya DUN N3 Bengkoka dan dapat menyumbang kepada kemenangan Barisan Nasional. Semasa menjadi wakil rakyat, saya sentiasa memastikan berada di tengah-tengah masyarakat yang saya wakili agar dapat mendengar aspirasi mereka. Saya sentiasa memastikan banyak masa saya berada di kawasan .

Ahad, 11 September 2016

LALIMAN AHMAD BERCERITA MENGENAI PERSATUAN DAN CABARAN PENIAGA KECIL

Tags


LALIMAN AHMAD BERCERITA MENGENAI PERSATUAN DAN CABARAN PENIAGA KECIL

Ramai yang berpendapat, cabaran utama bagi pemimpin NGO,s terutama yang NGO’s (yang bersaiz kecil yang tidak ditaja atau mendapat bantuan kerajaan] ini ialah masalah kewangan. Namun pada saya, kata Laliman Haji Ahmad,Yang Di Pertua P3KRMS atau Persatuan Penjaja Dan Peniaga Kecil Rumpun Melayu Sabah,“itu sebenarnya adalah perkara kedua”. Berdasarkan pengalaman lalu, katanya, perkara yang selalu menjadi masalah ialah soal ‘Visi dan Misi ’sesuatu persatuan yang tidak jelas dari kalangan ahlinya.

Laliman Ahmad dilahirkan pada 13 Oktober 1960 di Kota Peladok Kota Belud tetapi mendapat pendidikan awal di SRK Nanamun dalam darjah 1 hingga 3. Selepas itu, beliau bersekolah di SRK Timbang Dayang hingga darjah 6. Pada tahun 1971, beliau meneruskan pendidikan menengah di SMK Kota Belud. Bagaimanapun, beliau menempuh alam pekerjaan dalam usia yang muda, dan menjadi buruh pelabuhan setiap kali tibanya cuti sekolah. Selepas peperiksaan SPM, beliau menjadi buruh beberapa ketika sebelum ditawarkan jawatan sebagai pembantu kerani di Kementerian Kewangan iaitu pada tahun 1978. Pada tahun 1980, beliau berpindah ke Pejabat Daerah Kota Belud sebagai kerani Mahkamah Anak Negeri. Setahun kemudian beliau menjadi kerani pelesenan dan pemungut hasil di pejabat daerah Kota Belud sehingga 1982 apabila beliau bertukar semula di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan sebagai Pemangku Ketua Kerani hingga 1986.Beliau menyambung semula pelajaran secara koresponden sehingga lulus SPM dan kemudian menyambung hingga peringkat STP. Selepas itu, beliau mengikuti kuliah dalam bidang Pentadbiran Awam dan Undang-Undang di ITM tetapi kemudian ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran di University of Toledo namun gagal mendapat biasiswa. Tidak lama kemudian, beliau diterima untuk mengikuti Kursus Sijil Penulisan Kreatif dan Deskriptif di Universiti Sains Malaysia (USM) dan kemudian meneruskan pelajaran di peringkat ijazah Sarjana Muda sehingga lulus dengan kelas dua kepujian. Sekembalinya ke Sabah, beliau ditempatkan ditempatkan di Jabatan Keretapi Negeri Sabah sebagai Penolong pegawai Akaun.. Selepas itu, beliau memasuki perkhidmatan persekutuan dan dilantik sebagai Penolong Pengarah Unit Penyelidikan dan Pemuliharaan di Kementerian Kebudayaan,Kesenian dan Pelancongan bermula 1992. Pada tahun 1994, beliau dinaikkan pangkat sebagai Pengarah di Jabatan Kebudayaan,Kesenian dan Pelancongan Negeri Sarawak sehingga tahun 1996 apabila beliau memilih untuk meletakkan jawatan dan menceburi bidang perniagaan. Selepas itu, beliau dilantik sebagai Setiausaha Sulit Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia (1999-2002) Setiausaha Sulit Pengerusi Institut Kajian Pembangunan Sa bah (IDS) 2004/2008. Beliau pernah menjadi Setiausaha Pemuda AKAR, Exco Pemuda BN Pusat dan kini menjadi Ahli Jawatankuasa Penasihat Biro Penyelidikan dan Pembangunan Sosial Budaya di Lembaga Kebudayaan Sabah (LKS).Kini beliau adalah Pengarah Urusan ISKF, FM Service Sdn Bhd dan Setiausaha Ahli Lembaga Koperasi Penduduk Likas Berhad.

Sewaktu di bangku persekolahan, Laliman pernah menjadi Timbalan Ketua Pengawas SMK Arshad Kota Belud (1976/1977), Koperal Polis Kadet Kadet Polis Remaja Sekolah (1997), Yang DiPertua Kelab Bahasa dan Sastera SMK Arshad (1977) dan selepas itu, Timbalan Pengerusi Kelab Belia Likas (Pembela) 1984/1986).

Ketika menuntut di Universiti Sains Malaysia, beliau terpilih Yang DiPertua Persatuan Siswa/i Sabah (Persis) 1989/1990, Naib Presiden Gabungan Siswa/i (Sabah) Semalaysia (1989/90), Yang Dipertua Kelab Sastera Universiti USM Pulau Pinang (1990/1991). Beliau juga pernah menjadi Timbalan Setiausaha Agung Persatuan Anak-Anak Sabah di Kuala Lumpur (1992/1994), Naib Yang Di Pertua PIBG SK Raja Muda Kuala Lumpur (1992/1994), Naib Yang Di Pertua PIBG Sekolah Kebangsaan Gita, Kuching Sarawak (1994/1996), Naib Yang Di Pertua PISBA (1999/2001) Naib Yang Di Pertua Bahasa dan Kebudayaan Iranun (BKI) 2004/2007) Ahli Kehormat Ikatan Penulis Sabah (2006-kini), Yang Di Pertua PIBG SK Likas (2010-kini) dan Yang Di Pertua Persatuan Peniaga Kecil Rumpun Melayu Sabah (2012 -kini)

Beliau juga pernah jadi kolumnis Borneo Mail (1991/1992) Kolumnis Utusan Borneo (1994/1995)juga adalah seorang penulis dan telah menghasilkan buku “Teater Moden Sabah” , sebuah kajian mengenai perkembangan teater dan “Tempasuk yang Kuimpikan” sebuah buku sosiobudaya.


Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang mewawancara Saudara Laliman Haji Ahmad mengenai nasib dan masa depan peniaga kecil bumiputera khususnya mengenau Persatuan Peniaga Kecil Rumpun Melayu Sabah dan Hala tujunya menjelang tahun 2020.Ikuti petikan wawancara bersama beliau.

UTUSAN BORNEO: Apa khabar Saudara?. Macam dah lama menghilang?

LALIMAN HAJI AHMAD (LA): Tidak. Sebenarnya saya tidak kemana-mana. Saya sekadar mendiamkan diri [tanpa publisiti] dan meneruskan kerja-kerja peribadi serta urusan pentadbiran beberapa persatuan yang saya terajui masa kini, terutama berkaitan perancangan,pentadbiran serta hala-tuju persatuan yang tergendala sebelum ini.

UB: Berapa banyak persatuan yang saudara pimpin sekarang ini?

LA: Setakat ini saya menjadi Pengerusi atau Yang Dipertua kepada 3 NGOS,s iaituPersatuan Penjaja dan peniaga Kecil Rumpun Melayu Sabah [ P3KRMS], Persatuan Kreativiti Dan Inovasi Sabah [Kreatif Sabah] dan Yang Dipertua PIBG. SK. Likas, Kota Kinabalu. Selain daripada itu saya juga adalah Naib YDP. PIBG. SM. Perempuan Likas, Setiausaha AhliLembaga KoperasiPenduduk Likas Berhad yang saya sandang sejak beberapa tahun yang lalu .

UB: Begitu banyak persatuan yang saudara pimpin, bagaimana saudara mengurusnya?

LA: Saya bersyukur danberterimakasih kepada sahabat-sahabat yang masih memberikan kepercayaan kepada saya untuk menerajui beberapa persatuan-persatuan ini. Sebenarnya saya telahpun menyatakan secara tidak rasmi untuk melepaskan beberapa jawatan yang saya sandang sejak 10 tahunlalu. Tapia ada ahli tidak bersetuju dan meminta saya untuk terus memimpin NGO’s ini. Mungkin pendekatan dan sedikit pengalaman terlibat dengan NGO,s sejak lebih 30 tahun yang lalu [1982-2016], dari zaman belia hinggalah kepada halhal-ehwal pelajar peringkat kolej dan universiti,sedikit sebanyak membantu saya mengurus dan membuat perancangan aktiviti beberapa persatuan yang saya pegang sekarang ini.

UB: Agak menarik. Mungkin ada peristiwa yang menarik dan menjadi kenangan atau cabaran yang saudara alami selama memimpin NGO’S duludan sekarang ini? Boleh dikongsikan?

LA: Memang banyak. Ada yang manis. Ada yang pahit. Namun itu semua biarlahi a terus menjadi kenangan. Yang lalu, biarlah berlalu. Yang baik, kita buatlah panduan. Yang pahit, biarlah jadi sempadan.Namun pengalaman-pengalaman ini sebenarnya memberikan pengajaran serta mendewasakan diri saya untuk terus memimpin beberapa NGO’s yang masih saya pimpin sekarang ini.

UB: Mungkin ada pengalaman atau peristiwa yang boleh dikongsikan?

LA: Ya. Ramai yang berpendapat, cabaran utama bagi pemimpin NGO,s [terutama yang NGO’s yang bersaizkecil yang tidak ditaja atau mendapat bantuan kerajaan] ini ialah masalah kewangan. Namun pada saya, itu sebenarnya adalah perkara kedua. Pengalaman lalu, perkara yang selalu menjadi masalah ialah soal ‘Visi dan Misi’sesuatu persatuan yang tidak jelas dari kalangan ahlinya, terutamanya kalanganjawatankuasa peneraju persatuan itu sendiri. Setetengah ahli atau jawatankuasa berfikir, menjadi AJK, mesti ada ‘labanya’. Sementara yang lain, lebih kepada ingin mendapatkan nama atau jawatan dalam persatuan sahaja. Tiada ‘fokus’ dalam mencapai matlamat persatuan. Bila hal ini terjadi, maka timbullah sikap ingin jatuh menjatuh antara satu dengan lain.Ujud sikap fitnah memfitnah atau lebih malang memboikot persatuan sendiri, dengan tidak menghadirkan diri dalam aktiviti persatuan. Sesetengahnya ‘menghilangkan diri’ begitu sahaja tanpa dikesan, kerana merasakan tidak ada apa-apa hasil yang diperolehi.Wal-hal mereka tahu persatuan itu adalah kerja-kerja sukarela. Tiada gaji. Tiada elaun. Akibatnya persatuan menjadi layu dan lesu.

UB: Saudara masih menjadi YDP.3KRMS. Apa perancangan atau hala-tuju setakatini?

LA: Ya. Setakat ini saya masih menjadi Yang Dipertua. Sebenarnya P3KRMS ialah ringkasan kepada nama bagi Persatuan Penjaja Dan Peniaga Kecil Rumpun Melayu Sabah. Seperti yang Tuan sedia maklum, Rumpun Melayu ditubuhkan kira-kira 4 tahun yang lalu iaitu padapada 15 Oktober, 2012. Antara fungsi dan maltlamat penubuhannya ialah:-

1. Menyatukan dan mengukuhkan kerjasama ahli-ahlinya [penjaja dan peniaga kecil ] supaya dapat meningkat peluang perniagaan di kalangan ahli.

2. Memberikan bimbingan,latihan serta kursus kepada ahli-ahlinya [ samada atas anjuran persatuan sendiri atau badan lain] untuk memperolehi kemahiran dan pengalaman dalam bidang pengurusan dan pengendalian dalam bidang keusahawanan atau perniagaan.

3. Melahirkan peniaga dan usahawan yang berjaya, berkualiti dan berdaya-saingserta mampu diketengahkan diperingkat negeri dan nasional.

UB: Syarat-syarat keahlian?

LA: Keahlian persatuan ini adalah terbuka kepada rakyat atau warga negara Malaysia, yang ditakrifkan sebagai Rumpun Melayu[ terutama dari kalangan bumiputera seperti Bajau, Iranun, Ubian, Suluk, Bugis, Jawa, Brunai, Sungai, Kadazan-Dusun-Murut dan sebagainya] yang boleh ditakrifkan sebagai rumpun Melayu serta telah mencapai umur 18 tahun ke atas. Keutamaan diberikan kepada mereka-mereka yang baru memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.

UB: Sepanjang penubuhannya, apa program atau aktiviti yang pernah di jalankan oleh P3KRMS ini?

LA: Sebenarnya banyak aktiviti yang telah pernah kita jalankan, tapi tak menonjol. Antaranya menganjur dan menyertai Karnival, kursus, seminar keusahawanan samada di peringkat daerah, negeri mahupun nasional. Kita juag pernah mengadakan lawatan sambil belajar ke Pusat-pusat penyelidikan [seperti Penyelidikan Koko Negeri Sabah] dan lain-lain untuk pendedahan kepada ahli-ahli baru, terutama berkaitan dengan hal pembuat produk seperti coklat, pengurusan dan penyediaan makanan, katering, perbekalan, perkhidmatan, kontrak dan sebagainya

UB: Apa kejayaan ahli atau produk boleh di ketengahkan setakat ini?

LA: Ada juga. Tapi terlalu sedikit dan tak ramai ahli atau produk yang menyerlah. Yang berjaya, akan terus berjalan sendiri tanpa menoleh kebelakang. Dan sementara yang kurang berjaya atau gagal, biasanya terus hilang dan lenyap seperti lenyapnya ‘Buih Air Dilautan’.

UM: Mengapa?

LA: Mungkin kerana mereka [ahli] tidak ada fokus, tiada visi dan misi yang jelas terhadap matlamat perniagaan yang mereka jalankan. Yang berjaya, cepat berpuashati dengan pencapaian yang mereka ada. Sementara yang kurang berjaya atau gagal, cepat sangat berputus asa. Kurang daya saing. Sementara hasil produk, belum ada satupun produk yang berkualiti yang boleh diketengahkan atau boleh menarik permintaan pasaran atau pengguna.

UB: Sebabnya?

LA: Tidak memenuhi piawaian yang dikehendaki oleh pasaran atau pengguna. Misalnya: syarat-syarat produk halal, sistem pembungkusan produk yang tidak kemas dan sebagainya. Mengapa terjadi? Sebab kurang ilmu dalam dunia perniagaan dan keusahawanan. Ada yang belajar. Ikut kursus, tapi tak pratikkan [amalkan] apa yang dipelajari.

UB: Ada contoh?

LA: Umpamanya – pembungkusan produk makanan [misalnya: coklat, belacan, produk tepung, kuih-muih dll ]. Pembuatan kraftangan [manik-manik, perhiasan dan sebagainya. Secara peribadi, saya bertemu dan berbincang dengan beberapa ahli persatuan, berkaitan dengan hal perniagaan dan misi dan visi persatuan ini, tapi mereka semacam tak berapa pasti. Saya tak salah mereka kerana mereka tak nampak ada satupun syarikat atau produk yang ada ‘brand’ yang dihasilkan oleh ahli atau persatuan ini, yang boleh dijadikan contoh. Apa lagi, kebanyakkan ahli sekadar jadi penjaja atau peniaga kecil. Yalah! Namanya pun penjaja dan peniaga kecil.

UB: Apa langkah atau perancangan persatuan memperbaiki keadaan ini?

LA: Soalan yang menarik!Sebenarnya saya sendiri, pada peringkat asal, ragu-ragu dan tertanya-tanya samada saya boleh mampu melangkah dan membawa persatuan ini beranjak dari tahap yang ada sekarang, ke suatu tahap yang lebih baik dan maju? Apa lagi melihat barisan pimpinan persatuan yang ada, ibarat ‘Hidup segan mati tak mahu’.

Namun saya percaya, apapun yang kita lakukan, tidak akan berjaya, tanpa adanya keberanian untuk memulakan langkah pertama. Maka untuk itu, saya membebaskan diri daripada belenggu ‘kempopong’ serta dunia ‘Tempurung’ yang mengikat pemikiran saya selama ini. Saya mula belajar keluar dan melihat beberapa usahawan tempatan di Semenanjung serta luar negera seperti Indonesia serta berbincang dengan rakan niagayang ada dan berpengalaman, untuk melihat, apakah bidang-bidang perniagaan khusus yang patut di ‘fokus’ untuk diangkat dalam usaha bangkit semula bagi menggerakkan membina mercu tanda untuk persatuan ini serta ahli-ahlinya.

UB: Sudah ditemui apa fokus dan bidangnya?

LA: Setelah berusaha dan berbincang hampir selama tahun, maka kini Persatuan Peniaga Kecil Rumpun Melayu Sabah, berbincang dan merancang untuk mengwujudkan sebuah kilang pengeluaran produk berasaskan pakaian dan produk minuman halal di Sabah. Tapak kilang sudah dikenal pasti. Insya Allah!

UB: Sejauh mana perancangan ini berjalan sekarang?

LA: Alhamdulillah! Kini Rumpun Melayu melalui syarikat perniagaan milik ahli persatuan ini, telahpun mengadakan perjanjian kerjasama dengan pengeluar ISKF. FM Service Sdn Bhd bagi memasarkan produk-produk keluaran syarikat ISKF. FM Service Sdn Bhd ini di Sabah, mulai 1 Julai 2016. Jika pasaran produk ini berjalan lancar dan mendapat sambutan baik di Sabah, maka Rumpun Melayu dan Syarikat ISKF dijangka akan membina kilangnya di Sabah, selewat-lewatnya pada awal tahun 2017 nanti. Insya Allah!

UB: Ada perancangan lain ?

LA: Selain daripada perancangan di atas, Rumpun Melayu juga akan terus menjalankan urusan dan program-program asas bagi melatih ahli-ahlinya untuk mendapatkan kemahiran. Kita juga akan mengadakan taklimat kepada ahli-ahlinya nanti tentang hala-tuju persatuan ini, sebelum mengadakan mesyuarat agung dwi tahunannya pada penghujung tanhun ini. Insha Allah!Semoga segala perancangan berjalan baik.

UB: Mungkin saudara tahu bahawa sekarang ekonomi dunia agak merudum. Saudara tidak risau ia mampu beri kesan kepada peniaga kecil?

LA: Dalam senario apapun, sebenarnya saya tak risau. Selagi ada manusia hidup, selagi itulah ada perniagaan.Bermula dari lahir hingga meninggal dunia, manusia tetap memerlukan barangan dalam kehidupan nereka. Oleh itu ahli persatuan perlu tahu membaca keadaan dan kehendak pasaran semasa.Suatu sudut merudum. Tapi dalam sudut lain, perniagaan tetap berjalan rancak. Sebab saya kata, ahli perlu tahu membaca keadaan dan kehendak pasaran atau pengguna semasa.Perniagaan bukannya statik.Boleh berubah ikut keadaan semasa. Contoh jika perniagaan kontrak binaan atau bidang bekalan itu tidak memberangsangkan maka perlu terokai bidang lain,umpamanya bidang perkhidmatan seperti pelancongan dan sebagainya.

UB: Apa nasihat saudara kepada peniaga kecil khususnya ahli persatuan?
LA: Nasihat kepada ahli persatuan. Dalam perniagan tidak menjanjikan keuntungan semata-mata.Jadi selalu ikut perjumpaan, seminar atau bengkel perniagaan yang dianjurkan oleh persatuan atau agensi kerajaan supaya dapat pengetahuan dan maklumat perniagaan yang betul dan tepat.Berkaitan perniagaan dan perkembangan semasa. Kita kena ada prinsip dan pegangan dalam perniagaan.Contohi orang yang berjaya terutama orang Cina, India dan kaum BugisJangan terpengaruh dengan spekulasi dan andaian semata-mata. Perlu yakin dengan apa yang kita buat.Perlu ada prinsip yakin boleh dalam diri. Saya fikir setakat ini sahaja dahulu. Terima kasih.

UB:Terima kasih kerana sudi diwawancara untuk ruangan Sembang Sabtu Utusan Borneo. Semoga bermanfaat kepada pembaca

LA: Terima kasih banyak kerana sudi memberi ruang kepada persoalan-persoalan berkaitan persatuan dan penjaja dan peniaga kecil.












CIKGU MAHMUD JAHAR, GURU YANG SARAT PENGALAMAN

Tags
CIKGU MAHMUD JAHAR, GURU YANG SARAT PENGALAMAN

KETIKA mula berkhidmat sebagai guru, Cikgu Mahmud Jahar pernah ditugaskan di Lamag, sebuah daerah terpencil yang hanya boleh dihubungi dengan perjalanan selama tiga hari tiga malam mengikut kapal nelayan. Perjalanan yang sukar sehingga terpaksa bermalam di tengah perjalanan semata-mata untuk memberikan akses pendidikan kepada pelajar-pelajar di kawasan luar bandar. Guru-guru sanggup berkorban apa saja , asalkan pelajar-pelajar mereka mendapat kejayaan cemerlang dalam hidupnya.

MAHMUD JAHAR dilahirkan di Kampung Sungai Lipung Suan Lamba, Sandakan pada 11 April 1950. Anak sulung dari 12 bersaudara ini mendapat pendidikan di Government Primary School (GPS) Melanta (1957-1962). Selepas itu, beliau memasuki kelas peralihan (bridge class) di SM Sung Siew. Beliau terpaksa berhenti sekolah ketika berada dalam tingkatan 1 kerana bebanan hidup keluarga yang kurang mengizinkan menyebabkan beliau menganggur dalam usia muda 14 tahun. Namun beliau tidak mensiasiakan masanya sebaliknya memberanikan diri ikut dalam hutan untuk membuat kerja-kerja seperti mengupas kulit kayu. Tetapi ketika berusia 16 tahun, beliau mendapat tawaran untuk berkhidmat sebagai guru pelatih di SRK Lamag dari tahun 1966 hingga 1968. Beliau memasuki Maktab Perguruan Kent Tuaran pada 1969 hingga 1971. Sebaik mendapat sijil perguruan, beliau ditempatkan di SRK Karakit, Pulau Banggi Kudat sebelum beliau melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan Bahasa di Kuala Lumpur pada 1973. Sepulang ke Sabah, beliau bertugas di SRK Jaya Bakti Beluran 1974 hingga 1979. Kemudian beliau dilantik sebagai Guru Besar SRK Karamunting Sandakan dari tahun 1979 hingga 1981.Cikgu Mahmud kemudian dilantik bertugas di Pejabat Pelajaran Telupid sebagai orang pertama yang dilantik sebagai penyelia di Telupid-menyelia 20 sekolah rendah dan dua sekolah menengah dari tahun 1981 hingga 1982 Pada tahun 1983 hingga 1989, beliau dilantik sebagai Ahli Jemaah Nazir Sekolah Sandakan. Kemudian pada 1990 hingga 1992 sebagai Pegawai Pelajaran Daerah Beluran sebelum bertukar semula ke Sandakan sebagai Penyelia Hal Ehwal Pelajar di Pejabat Pelajaran Sandakan dari tahun 1993 hingga 1995. Selepas itu, beliau dilantik sebagai Guru Besar SK Pekan Dua Ranau hingga bersara pada 2006.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan Salina Buntit dan dikurniakan empat orang anak, satu perempuan dan tiga lelaki. Kini beliau menetap di Ranau selepas bersara dari perkhidmatan pendidikan.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang bersembang sambil minum teh bersama beliau di salah sebuah restoran popular di Jalan Pantai Kota Kinabalu. Ikuti petikan wawancara mengenai pengalaman beliau ketika bertugas sebagai guru dan sedikit mengenai penglibatan beliau dalam bidang penulisan.

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang cikgu?

MAHMUD JAHAR: Saya lahir di Sungai Lipung Suan Lamba Sandakan pada 11 April 1950. Saya anak pertama dari 12 adik beradik. Kira-kira umur saya lima tahun, kami pindah di Kampung Air Sandakan, buat rumah di sana. Saya bersekolah di GPS Melanta (sekarang jadi kawasan Taman Perumahan Melanta) pada tahun 1957.Selepas itu sekolah itu berpindah di SRK Karamunting. Kami berjalan kaki saja, mengikuti laluan sedia ada. Tepinya bukit, kira kira setengah kilometer. Waktu itu berapa orang yang ada basikal? Tidak ramai. Jadi kami berjalan kaki saja ke sekolah.Pelajar di GPS Melanta masa itu ada dari Bokara, dari Karamunting, ada sedikit

UB: Masa itu, bagaimana keadaan di Kampung Air? Mungkin sudah banyak rumah?

MJ: Keluarga kami adalah antara yang pertama berumah di kampung Air. Ada beberapa buah rumah lain. Rumah Serang Kucing, Haji Wahab, Panglima Puyon di Bokara. Itu antara orang lama yang saya ingat. Rumah pun jauh-jauh.

UB: Ayah cikgu kerja apa?

MJ: Ayah saya, Jahar bin Taha kerja kayu balak. Masuk kem keluar kem. Kadang kerjanya mengupas kulit kayu. Kadang sebulan atau sekurang-kurangnya dua minggu baru balik rumah. Ibu Saya Marupah binti Amir bekerja sebagai suri rumah.

UB: Selepas tamat sekolah di GPS Melanta, dimana cikgu melanjutkan persekolahan?

MJ: Dari GPS Melanta, saya bersekolah di Sung Siew selama dua tahun. Bersekolah dalam kelas peralihan.bridge class. Kemudian selepas itu, saya bersekolah di SMK Sandakan tetapi saya berhenti kerana tidak mampu membayar biaya persekolahan yang mahal berbanding pendapatan kami yang sedikit.
UB: Berapa yuran sekolah?

MJ: Yuran sekolah $25.Sewa kereta di Kampung Air $5.00 sebulan. Kami naik motokar kecil Bluebird milik Haji Karim Adui, meninggal sudah. Dia yang `ada-ada’ itu masa. Kereta itu boleh muat lima atau enam orang. Namun kemudian saya berhenti.

UB: Kerja apa selepas berhenti sekolah?

MJ: Selepas berhenti sekolah tingkatan 1, saya menganggur. Tapi ikut kerja apa saja. Umur 14 tahun, saya masuk hutan. Ikut ikutan saja.Kerja kadang kadang kupas kulit kayu dan bermacam macam lagi. Tidak bergaji.Waktu berusia 16 tahun, saya dapat jadi guru pelatih di GPS Lamag. Tahun 1966.


UB: Bagaimana cikgu pergi ke Lamag? Berapa lama?

MJ: Dari Sandakan ke GPS Lamag, ikut kapal nelayan. Kapal kayu memakan masa tiga hari tiga malam. Tiga hari dalam perjalanan, malam terpaksa berhenti kerana takut terlanggar kayu balak. Malam pertama kami berhenti Sukau. Esok harinya, seawal pagi jam 5.00, ketika air sungai boleh nampak, kami memulakan perjalanan hingga malam. Kemudian kami berhenti lagi di Batu Putih. Selepas itu, kami meneruskan perjalanan lagi. Selepas erjalanan tiga hari tiga malam bersesak di kapal, barulah kami sampai di Lamag.

UB: Bagaimana keadaan Lamag pada pada masa itu?

MJ: Lamag masa itu adalah pusat pentadbiran.Ada seorang pegawai daerah, ada polis. Antara DO di Lamag masa itu ialah Mendiang Datuk Dr James Ongkili, Datuk Pengiran Othman Rauf. Antara orang yang berasal dari Lamag ialah Kasim Sangi.



UB: Berapa tahun cikgu bertugas di Lamag?

MJ: Saya bertugas di sana dari tahun 1966 hingga 1968. Tahun 1968, tercatat banjir terbesar di Kinabatangan. Ketika banjir melanda, rumah kelihatan hanya bahagian atap-atapnya saja. Itulah detik-detik orang mula- mula berpindah dari Lamag ke Bukit Garam.

UB: Selepas dari Lamag, Cikgu pindah kemana?

MJ: Saya memasuki Maktab Perguruan Kent Tuaran pada tahun 1969 hingga tahun 1971. Tiga tahun. Antara rakan saya masa itu Cikgu Sulaiman Siul dari Tuaran,Tarmin Sukirjan, Saili Bungkul, Haji Rahim Razali, senior kami, Hinarin Haji Antah.

UB: Dimana cikgu ditempatkan selepas keluar dari Kent?

MJ: Selepas mendapat sijil perguruan, saya ditempatkan di SK Karakit Pulau Banggi. Bersama saya masa itu, Haji Omar Mualam sebagai guru besar, Haji Saik Besar dari Pulau Mantanani, Kami tidur sama sama, makan sama-sama. Saya lama tidak jumpa dia.

UB: Kemudian?

MJ: Pada Mac 1973, saya mendapat tawaran untuk bersekolah di Maktab Perguruan Bahasa selama satu tahun.

UB: Siapa rakan-rakan cikgu sewaktu belajar di Maktab Perguruan Bahasa.

MJ: Di Maktab Perguruan Bahasa, antara rakan saya ialah Mintoh Asai, Haji Mawah Haji Ismail, Ismail Tarandad, Dr Yasin Amit, Haji Ahmad Abdul.

UB: Dari Maktab Perguruan Bahasa, dimana cikgu ditugaskan selepas balik ke Sabah?

MJ: Selepas itu, pada tahun 1974-1979 saya ditukarkan ke SRK Jaya Bakti Beluran Sandakan. Antara cikgu masa itu Sulaiman Basar dari Membakut, Ismail Haji Hussin, Orang Kolapis. Kamilah yang mengajar masa itu.

UB: Lepas itu?

MJ: Pada Mei 1979, saya mendapat arahan untuk bertugas sebagai guru besar di SRK Karamunting. Saya bertugas di sana hingga 1981.

UB: Kemudian?

MJ: Kemudian saya dilantik sebagai penyelia pertama di Telupid apabila Pejabat Pendidikan diwujudkan di daerah itu.Di bawah saya terdapat kira-kira 22 sekolah rendah dan dua sekolah menengah di seluruh Telupid. Sebelum ini, sekolah-sekolah di Telupid di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah Beluran.

UB: Lama di sana?

MJ: Kemudian pada tahun 1983, saya dilantik sebagai ahli Jemaah Nazir Sekolah Sandakan yang berpejabat di Sandakan. Bos kami pada masa itu ialah Mohd Sabar Awang Besar. Nazir-nazir pada masa itu ialah Haji Dindi Guliga, Deen Erwan Gunda, Minggu Maidin. Saya jadi jemaah nazir bermula 1983 hingga 1989.

UB: Ada pengalaman menarik?

MJ: Masa saya bertugas sebagai Nazir itu, ada satu peristiwa yang menarik dan tidak dapat saya lupakan. Pada satu ketika, bos kami masa itu, bukan lagi Cikgu Mohd Sabar tapi cikgu Henry dari Pahang.

UB: Teruskan! Apa peristiwa menarik tu cikgu?

MJ: Kejadian berlaku padsa 1986. Ada satu lawatan ke Ulu Sugut. Di Sugut ini, ada beberapa sekolah iaitu SK Terusan, SK Tampat, SK Sungai-Sungai. SK Lingkabau dan SK Abuan. Untuk ke sana, kami terpaksa mengikut jalan air. Jadualnya satu hari satu sekolah. Ada satu sekolah namanya SK Abuan, jauh tempatnya. Masih di bawah pentadbiran Sandakan tetapi boleh ke sana dengan menunggang motosikal kira-kira dua jam dari Ranau. Ketika ke sana, sekolah itu baru dibuka. Tarikhnya saya lupa. Dibuka penghujung 1984 atau awal 1985.

Sekolah itu menggunakan balai raya. Di situ guru tinggal, di situ guru masak, di situ guru mengajar. Di sanalah murid belajar.

UB: Naik apa cikgu?

MJ: Saya naik Lingkabau bawa perahu. Tengahari saya meneruskan perjalanan. Sepatutnya jadualnya besok baru berangkat. Tetapi saya bertolak pada petang itu ke SRK Sungai-Sungai. Selepas itu saya pergi SK Abuan yang memakan masa enam jam.

UB: Enam jam?

MJ: Enam jam. Kami guna perahu kecil. Ada guru di depan, saya di tengah dan dibelakang `boatman.’ Kami masuk sungai-sungai kecil yang jarang digunakan orang. Jadi kami menebas lalang, atau akar untuk memudahkan laluan. Itu sebabnya dari pagi kami sampai tengahari. Sekolah itu tidak pernah dilawati kerana terlalu jauh. Ia hanya dilawati sewaktu sekolah itu dibuka dengan bantuan penduduk kampung dan dihadiri Ketua Kampung. Orang kampung datang bawa peralatan untuk bina sekolah. Masa sekolah itu dibuka, hanya kira-kira sepuluh orang pelajar yang datang mendaftar. Yang hadir ke sekolah hanya empat lima orang. Guru besar sekolah itu ialah Cikgu Bodi Simporokot.

UB: Pulang ikut jalan yang sama?

MJ: Dari sana kami balik tengahari ikut jalan yang sama terus ke perahu induk. Sepatutnya hari Jumaat kami sampai tapi kerana sudah tengah malam, kami bermalam di Lingkabau sebelum ke kapal Induk. Di kapal induk, bos sudah risau sebab kami belum sampai. Masalahnya , bos tidak tahu kami ke sana,.Kami sebenarnya hanya diarahkan untuk melawat satu sekolah satu hari tetapi saya teruskan melawat ke sekolah yang terpencil. Bos marah kerana lawatan di luar jadual. Siapa mahu jawab kalau ada apa yang berlaku, katanya. Bagaimana kalau perahu karam kemudian dibaham buaya atau dipatuk ular, katanya. Dia betul betul marah. Tetapi yang mengharukan saya ialah tiga hari kemudian, bos saya panggil balik. Dia minta maaf dan ucap terima kasih kerana saya melawat ke sekolah itu. Jika saya tidak ke sekolah itu sudah tentu ia akan mengambil masa lagi untuk sekolah itu dilawati. Bukan senang pergi sana.

UB: Lepas jadi nazir, cikgu bertugas dimana?

MJ: Pada 1990, saya dilantik sebagai Pegawai Pelajaran Daerah Beluran, Kemudian pada 1992, saya dipindahkan ke pejabat Pelajaran Sandakan sebagai Penyelia Hal Ehwal Pelajar di Pejabat Pelajaran Sandakan. Pada 1995, saya pindah ke Ranau kerana dilantik sebagai Guru Besar SK Pekan 2 , sekolah baru sehingga saya bersara pada 2006.

UB: Berapa gaji guru masa itu?

MJ: Gaji guru pada masa itu ialah $105 guru pelatih dan untuk lepasan maktab $150. Bila ada SPM naik lagi kepada $240.

Gaji itu bolehlah. Masa itu agak lumayan juga. Walaupun kecil tapi terbeli juga kereta.

UB: Bagaimana mulanya cikgu tertarik dalam bidang penulisan?

MJ: Masa di Maktab Kent, tahun 1969, ada arwah Ismail Awang Besar tulis cerpen, tulis sajak. Dari situ timbul minat mahu tulis. Ada Haji Rahim Razali, seorang pembaca deklamator yang bagus, pemidato yang hebat. Masa itu, kami hidupkan semua majalah Suara Kent, Cikgu Ismail Awang Besar jadi pengarang, saya jadi sidang pengarang. Ketika itu, saya juga rajin menghantar sajak ke Daily Ekspress. Pada masa itu dipimpin oleh Herman Noor Ayub kemudian oleh Surya Irawan. Dari situlah timbul minat saya menulis. Banyak karya saya tersiar di Daily Ekspress. Ulasan sastera. Masa itu juga Haji Hussain Qasau juga banyak menulis.Saya menulis sejak hujung 1969 hingga sekarang.Ketika bertugas semula di Sandakan, saya bertemu pula dengan arwah ABM Fajeer, waktu itu dia Setiausaha Majlis Perbandaran Sandakan. Kemudian kami menubuhkan Warna Warni Sandakan (WARISAN) yang melibatkan diri dalam pelbagai bidang seni seperti puisi, teater, tarian dan sebagainya. Kami adakan baca puisi, diskusi sastera , bengkel penulisan dan sebagainya.

UB:Siapa-siapa yang terlibat dalam sastera di Sandakan pada masa itu cikgu?

MJ: Antara orang-orang yang terlibat dan bergiat dalam Warisan masa itu selain ABM Fajeer, saya sendiri,Richard Lee, Abidin Lee, Ridhuan Lee, Razeek Hameed, Sukri Suradi, Basrih Osman. Kebanyakan ahlinya pekerja Majlis Perbandaran Sandakan. Sitti Rahmah dan Obasiah Haji Osman tidak masuk sebagai ahli tetapi aktif sertai kegiatan. Bila dijemput mereka datang. Antara yang rajin pada masa itu ialah Kembara Muda, Isa Razak yang waktu itu berada di Sandakan.

UB: Sudah berapa banyak puisi yang cikgu hasilkan? Tersiar dimana?

MJ: Saya sudah menghasilkan lebih 200 puisi. Kebanyakannya tersiar di akhbar-akhbar tempatan Puisi-puisi saya juga tersiar dalam Malaysia dalam puisi, di selanggarakan oleh Kemala dan Ahmad Razali Haji Yusof. Puisi saya yang pertama bertajuk Air itu Masih Mengalir.



UB: Ada satu ketika cikgu lama tidak menulis. Apa sebabnya?

MJ:Saya agak terhenti menulis ketika berada di Telupid di Beluran. Masa itu sukar mendapatkan suratkhabar.Suratkhabar pandai putus. Mungkin juga kerana saya sibuk dengan kerja. Tidak ramai kawan yang boleh diajak bercakap soal sastera atau penulisan. Itu menyebabkan minat jadi luntur. Sekarang saya cuba mengumpulkan semula karya-karya saya untuk diterbitkan. Insya Allah, jika diizinkan, saya akan menerbitkan karya-karya saya.












DATUK GREGORY, PERNAH BERAKIT RAKIT KE SEKOLAH

Tags


DATUK GREGORY, PERNAH BERAKIT RAKIT KE SEKOLAH

“KITA buat yang terbaik. Kalau kita kerja, kita buat kerja yang terbaik,” kata Mantan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Godfery Gregory Joitol. Bermula dari seorang anak kampung, yang mengalami betapa sukarnya kehidupan dalam belenggu kemiskinan, selangkah demi selangkah beliau menapak mencipta kejayaan dalam kerjayanya. Walaupun satu ketika dahulu, beliau terpaksa berakit-rakit menyeberang sungai untuk ke sekolah, namun siapa sangka beliau mampu menaiki tangga demi tangga dalam kerjayanya hingga dilantik menjadi Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (TSKN). Kini beliau diamanahkan pula sebagai Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) Sabah.

Datuk Godfery Gregory Joitol dilahirkan pada 17 Ogos 1953 di Kampung Tanaki, Penampang Sabah. Beliau mendapat pendidikan rendah di Sekolah Rendah St Michael dari darjah satu hingga enam dan kemudian di SM St Michael Penampang dari tingkatan satu hingga tingkatan lima. Selepas itu beliau melanjutkan pelajaran dalam tingkatan enam di SM All Saints. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Malaysia pada tahun 1975 dan berjaya memperolehi ijazah Bachelor of Arts (Majoring in English) pada tahun 1978. Pada tahun 1993, beliau melanjutkan pelajaran di University of York, England dan lulus Master of Science (Administrative Science and Development Problems) pada 1994.

Dalam bidang kerjaya pula, beliau pernah menjawat jawatan kerani di Ibu Pejabat Polis Kepayan pada tahun 1975 sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya. Selepas berjaya mendapat segulung ijazah, beliau bertugas di Pejabat Perjawatan Negeri (kini Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri , bermula sebagai Pegawai Tadbir, Ketua Penolong Pengarah di pejabat Perjawatan Negeri dari bulan Ogos 1978 hingga 1994. Pada tahun 1994, sekembalinya dari United Kingdom. Beliau dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah dan kemudian dilantik Timbalan Pengarah Biro Pembangunan Sumber Manusia dari 1995 hingga Januari 1998.

Selepas itu, beliau dinaikkan pangkat sebagai Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna dari Februari 1998 hingga Jun 2005. Kemudian beliau berkhidmat pula di Kementerian Pertanian dan Industri Makanan juga sebagai Setiausaha Tetap bermula Julai 2005 hingga Disember 2007. Pada 27 Disember 2007, beliau dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) hinggalah bersara pada 17 Ogos 2011. Sejak bersara beliau pernah dilantik menjadi Ahli Lembaga Pengarah beberapa syarikat milik kerajaan termasuk Ahli Lembaga Pengarah KKIP, Borneo Development Corporation (BDC), Saham Sabah sebelum beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) Malaysia bermula 16 Jun 2016.

Bagi mengenang jasa-jasanya, Datuk Gregory dianugerahkan Johan Setia Mahkota (JSM) sempena Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-pertuan Agong, Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) daripada TYT yang Di Pertua Negeri Sabah yang membawa gelaran datuk.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang mewawancara Datuk Godfery Gregory Joitol di pejabatnya di Tingkat 8, Centre Point.Ikuti petikan wawancara bersama beliau mengenai sedikit kisah hidupnya.

UB: Boleh ceritakan sedikit latar belakang datuk?

GREGORY: Saya dilahirkan di Kampung Tanaki, Penampang. Saya anak ketiga dari 11 bersaudara.

UB: Dimana Datuk bersekolah?

GREGORY: Saya mendapat pendidikan rendah dan menengah di Sekolah St Michael Penampang, iaitu dari darjah satu hingga Tingkatan lima. Kemudian saya bersekolah dalam tingkatan enam di SM All Saints.

UB: Oh ya. Apa cita-cita datuk sewaktu kecil ya?

GREGORY: Masa dulu-dulu kita di kampung, kita belum kena beri pendedahan, kita mahu jadi apa. Kita belum tahu apa cita-cita kita. Hidup di kampung, kita belum banyak terdedah. Waktu itu belum ada letrik, tv pun belum ada, bekalan air belum ada, kemudahan asas tiada. Masa itu, apa yang ada dalam fikiran kita kita ialah kita mahu mengubah kehidupan.Cita-cita saya mesti ubah kehidupan. Itu mungkin mendorong saya untuk belajar. Saya bukan juga pandai sangat. Saya average saja. Tapi saya tanamkan cita cita mahu masuk universiti.Saya lebih berusaha untuk tingkat mutu kehidupan. Kemiskinan bukan satu perkara buruk.Kemiskinan dorong kita ubah nasib kita. Terpulang kepada diri kita ubah nasib masing-masing
Masa itu, masih banyak yang hidup dalam kemiskinan. Untuk ke sekolah, kami terpaksa naik rakit. Di kampung Tanaki ada sungai. Kami menyeberang sungai dengan rakit.Jalan raya tiada. Jadi kami terpaksa pergi sekolah jalan kaki.

Dari rumah, kami berjalan kaki ke sekolah yang terletak kira-kira 3 km dari rumah. Sebelum itu, kami terpaksa menyeberang sungai menggunakan rakit buluh. Begitulah rutin setiap hari. Pada tahun 1973 hingga 1974, saya bersekolah dalam tingkatan enam bawah dan tingkatan enam atas di SM All Saints.





UB: Berapa duit bekal ke sekolah datuk?

GREGORY: Dulu kami tak ada bawa duit bekal. Sebelum ke sekolah, kami sarapan dulu. Kopi sama nasi saja. Nasi semalam. Balik dari sekolah, nasi memang ada.Cuma lauk saja tiada.Kami ini petani.tanam padi. Kami punya padi,satu tahun pun tidak boleh habis. Kita tanam padi sara diri.Tanam padi bukan untuk dijual. Jadi banyak simpanan. Kami tidak pernah kekurangan padi.

Kehidupan masa itu memang begitu.Mungkin kerana kemiskinan. Bukan tidak boleh makan. Padi satu tahun pun tidak habis. Biasa ada makan. jarang lapar. Tiada kekurangan makanan. Walaupun kami dari Keluarga yang tidak berada. Tapi kalau kita bandingkan dengan orang lain, orang lain pun begitu.kebanyakan penduduk hanya jadi petani.

UB: Selepas tingkatan enam, datuk terus masuk universiti?

GREGORY: Selepas tingkatan enam, saya mohon masuk Universiti Malaya.Masa itu saya sudah bekerja sebagai kerani di ibu pejabat polis Kepayan. Gaji RM280. Kemudian pada bulan Mei 1975, saya dapat tawaran masuk universiti. Saya bincang dengan famili, dengan sepupu sepupu. Buat pungutan sikit sikit.

UB: Banyak yang dapat dikumpulkan?

GREGORY: Saya dapat kumpul RM1,200. RM300 tambang, duit selebihnya itu untuk bayar yuran pengajian, tempat tinggal. Saya sebenarnya terlambat mohon biasiswa. Selepas mendapat tawaran, Saya jumpa bahagian biasiswa, mereka beritahu permohonan sudah tutup. Saya diminta hantar borang sahaja. Saya ke yayasan Sabah, saya diberitahu biasiswa tidak ada, yang ada pinjaman pendidikan.

UB: Jadi bagaimana?

GREGORY: Saya pergi saja. Apapun yang terjadi, saya pergi saja, Dalam hati kalau tak cukup duit nanti saya cari kerja. Itulah pertama kali juga saya naik kapal terbang. Datang ke tempat yang baru, persekitaran baru, dalam usia kira-kira 19 tahun. Ada juga rasa nervous kerana tidak pernah ke semenanjung. Itulah pertama kali, seorang diri. Di tempat baru kita terpaksa cari kawan sendiri.



UB: Dapat biasiswa?

GREGORY: Nasib baik. Pada penghujung tahun 1975. Saya dapat dua tawaran. Satu tawaran biasiswa dari Kerajaan Negeri dan satu lagi pinjaman pendidikan dari Yayasan sabah.Akhirnya saya pilih biasiswa. Selepas tiga tahun di Universiti Malaya, saya berjaya mendapat Bachelor of Arts, pengkhususan dalam bahasa Inggeris.

UB: Siapa antara rakan dari Sabah yang belajar di UM masa itu?

GREGORY:Antara rakan dari Sabah yang belajar di Universiti Malaya ketika itu Datuk Abidin Madingkir, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur. Di sana juga kita berkenalan dengan Datuk Ewon Ebin, Tan Sri Gani Patail, Datuk Wilfred Mojilip Bumburing

UB: Apa kerja datuk selepas tamat universiti?

GREGORY: Sekembalinya saya ke negeri Sabah, saya bekerja dengan Kerajaan Negeri sebagai Pegawai Pentadbir Tahun 1978.Mula mula saya di pejabat perjawatan negeri.Saya di sana kira-kira 15 tahun dari tahun 1978 hingga 1994. Mula-mula sebagai pegawai tadbir, Ketua Penolong Pengarah dan kemudian sebagai Timbalan Pengarah.

UB: Selepas itu?

GREGORY: Kemudian saya mohon biasiswa untuk melanjutkan pelajaran. Sesudah 15 tahun bekerja, kita rasa bosan juga, jadi saya mohon biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana.

UB: Tahun berapa?

GREGORY: Tahun 1993, saya meneruskan pengajian Master ofScience di United Kingdom, di York University. Yorkshire.

UB: Jauh dari London?

GREGORY:Terletak kira kira dua jam naik keretapi di sebelah utara London. Tapi kalau kelab Leeds United, kira-kira 30 minit saja dari tempat saya belajar.

UB: Dimana Datuk bertugas sekembalinya dari UK?

GREGORY:Saya ditugaskan di Biro Pembangunan Sumber Manusia (BPSM ) dari tahun 1995-1998 jadi Timbalan Pengarah di sana. Antara tugasnya ialah merancang dan mengimplementasi modul latihan untuk pegawai-pegawai kerajaan Sabah, termasuk memberi ceramah kepada pegawai kerajaan. Selain itu, di BPSM kami juga merancang dan mengimplementasi modul latihan teknikal untuk pelajar-pelajar sekolah lepasan tingkatan lima.

Kemudian pada Februari 1998 hingga 2005, saya berkhidmat sebagai Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna. Antara bidang tugasnya ialah memastikan dasar-dasat kementerian dapat diimplementasikan dengan jayanya oleh jabatan dan agensi berkaitan di bawah kementerian seperti Jabatan Kebajikan, Jabatan Perpustakaan Negeri Sabah, Jabatan Hal Ehwal Wanita dan lebih 30 persatuan sukarela yang berdaftar dengan kementerian.

Antara bidang tugas saya di sana juga ialah merancang dan mengkordinasi pengagihan peruntukan ke jabatan dan persatuan sukarela di bawah kementerian.

Dalam menjalankan tugas-tugas berkenaan, di sini saya terdedah dengan isu-isu hak asasi manusia khususnya hak asasi kanak-kanak, hak asasi golongan orang kurang upaya dan hak asasi golongan warga emas. Saya juga terlibat dalam mempromosi hak-hak pengguna dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

UB: Kemudian dimana Datuk ditugaskan?

GREGORY: Pada Julai 2005 hingga Disember 2007, saya berkhidmat sebagai Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan Industri Makanan. Antara tugas-tugas saya ialah memastikan dasar-dasar kementerian dapat diimplementasi oleh jabatan dan agensi berkaitan di bawah Kementerian seperti Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmaran Haiwan dan Perusahaan Ternak, Jabatan Perikanan, Jabatan Pengairan dan Saliran, Lembaga Industri Getah Sabah, Korporasi Pembangunan Desa dan sebagainya.

UB: Apa jawatan datuk sebelum bersara?

GREGORY: Pada 27 Disember 2007 hingga 17 Ogos 2011, saya dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan). Antara tugas saya di sana ialah memantau pengimplementasian projek pembangunan yang berada bidangkuasa jabatan Ketua Menteri.

Saya juga ditugaskan untuk menangani pembangunan teknologi informasi dan komunikasi di kesemua Jabatan Kerajaan Negeri.

Sebagai TSKN, saya juga ditugaskan untuk mengkordinasi dan menapis respon dari jabatan dan agensi Kerajaan Negeri khususnya di bawah Jabatan Ketua Menteri berhubungan isu-isu yang dibawa oleh Suhakam.

UB: Sudah berapa lama datuk dilantik sebagai Pesuruhjaya Suhakam?

GREGORY: Saya baru saja mendapat pelantikan sebagai pesuruhjaya Suhakam pada Jun lepas. Sebelum itu, saya diberitahu bahawa kerajaan sedang cari pesuruhjaya kerana ada kekosongan. Saya pun dipelawa menghantar CV. Kemudian saya mendapat telefon dari Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Suhakam untuk mengesahkan beberapa butiran. Tidak berapa lam kemudian saya, saya mendapat tawaran pelantikan sebagai Pesuruhjaya Suhakam Sabah. Begitulah ceritanya. Kami dilantik sebagai pesuruhjaya Suhakam, seramai lapan orang di seluruh Malaysia bersama Pengerusi Suhakam iaitu Tan Sri Razali Ismail, mantan Pengerusi Persidangan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).

UB: Apa perancangan datuk selepas dilantik sebagai pesuruhjaya Suhakam yang baru?

GREGORY: Kita hanya meneruskan rancangan kerja dan program-program yang sudah disediakan oleh Suhakam dalam memberikan kesedaran mengenai hak asasi.

UB: Apa prinsip datuk?

GREGORY:Kita buat apa yang terbaik.Kalau kita kerja kita buat kerja yang terbaik.



BANYAK YANG ISTIMEWA DI REMBANG, KATA BUPATI H ABDUL HAFIDZ

Tags
DALAM kunjungan budaya ke Jawa Tengah, Indonesia baru-baru ini, Bupati Rembang H Abdul Hafidz mengundang wartawan UTUSAN BORNEO untuk singgah berkunjung di kota yang baru saja merayakan ulang tahun yang ke 275. Kabupaten Rembang terletak di hujung paling timur laut Jawa Tengah, berada di pergunungan Kendeng Utara.Sebahagian wilayahnya adalah daerah pantai yang membuju sepanjang pantai utara pulau Jawa. Di sebelah selatan, Kabupaten Renbang berbatasan dengan Kabupaten Blora, di sebelah barat berbatasan dengan Kabupaten Pati dan disebelah timur berbatasan dengan Kabupaten Tuban Jawa Timur.
H Abdul Hafidz lahir di Desa Pamotan, Kecamatan Pamotan, Kabupaten Rembang Jawa Tengah, Indonesia. Beliau mendapat pendidikan awal di Desa Pamotan Pondok Pesantren MUS Sarang Rembang dan Sekolah Tinggi Agama Islam (STAI) Muhammad Cepu Blora. Setelah menceburkan diri dalam bidang politik pada tahun 1999,beliau menjadi Anggota Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Kabupaten Rembang selama tiga penggal dan kemudian menjadi Ketua Fraksi Partai Persatuan Pembangunan (PPP). Beliau menjadi Wakil Ketua DPRD pada tahun 2004 manakala pada tahun 2009, beliau dilantik sebagai Ketua Komisi C, Beliau menjadi Wakil Bupati Rembang pada 2010 hingga 2015 tetapi pada tahun 2013, beliau menjadi Pelaksana Tugas Bupati Rembang. Kemudian pada 16 Mac 2016, beliau terpilih sebagai Bupati Rembang setelah mendapat undi kira-kira 68 .05 peratus dalam pemilihan kepala daerah (Pilkada) walaupun beliau bertanding menggunakan jalur independen dan bukan dicalonkan oleh parti.

Ketika singgah di Rembang dalam rangka kunjungan ke Jawa Tengah, wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN sempat mewawancara Bupati Rembang, Bapak H Abdul Hafidz di pejabatnya di Jalan Diponegoro No 90 Rembang. Dalam sesi wawancara yang singkat itu, Pak Bupati menceritakan sedikit latar belakang beliau sebelum menceburi bidang politik dan serba sedikit mengenai keistimewaan Rembang, yang kini memasuki usia 275 tahun. Ikuti petikan wawancara bersama beliau. Turut hadir dalam sesi wawancara itu ialah Minster Counselor KJRI Kota Kinabalu, Bapak Andhika Bambang Supeno, Kepala Dinas Perhubungan Komunikasi dan Informatika Kabupaten Rembang, Suyonn SH.


UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit mengenai karier bapak sebelum terpilih sebagai Bupati?

ABDUL HAFIDZ: Saya memasuki dalam bidang politik pada tahun 1999. Kemudian saya menjadi Anggota Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Kabupaten Rembang selama tiga penggal dan kemudian menjadi Ketua Fraksi Partai Persatuan Pembangunan (PPP).Selepas itu, saya menjadi Wakil Ketua DPRD pada tahun 2004 manakala pada tahun 2009, saya dilantik sebagai Ketua Komisi C. Saya terpilih menjadi Wakil Bupati Rembang pada 2010. Pada tahun 2013, saya dilantik menjadi Pelaksana Tugas Bupati Rembang. Kemudian saya terpilih sebagai Bupati Rembang pada Mac lepas.

UB: Bagaimana mulanya tertarik pada politik?

AH: Sebenarnya saya tidak pernah bercita-cita menjadi politisi (ahli politik). Dulu cita-cita saya menjadi pengusaha. Tetapi pada saat terjadi kegoncangan pada tahun 1998 ketika lengsernya Pak Harto ( Presiden Suharto), saya mula tertarik pada dunia politik ketika era reformasi. Saya menyertai Partai Persatuan Pembangunan (PPP). Bagaimanapun saya maju dalam Pilkada melalui jalur independen.


UB: Apa yang bapak tawarkan kepada masyarakat sewaktu kempen?

AH: Saya menawarkan program-program yang menyentuh langsung kepentingan masyarakat seperti pendidikan, infrastruktur, kesihatan, ekonomi dan sebagainya. Kita tawarkan pemerintahan yang bersih dari Korupsi, Kronisme dan Nepotisme (KKN).

UB: Tanding atas tiket parti apa?

AH: Saya maju dalam Pilkada melalui jalur independen. Alhamdulillah, meskipun bertanding melalui jalur independen, saya terpilih sebagai bupati kira-kira 68 .05 peratus atau kira-kira 150,000 undi dalam kempen selama 18 hari. Tanpa menggunakan wang. Ia hasil gerakan masyarakat yang menginginkan pemerintahan yang bersih.

UB: Apa potensi yang boleh dimajukan atau dikembangkan di Rembang?

AH: Kabupaten Rembang memiliki potensi yang besar di berbagai sektor , seperti sektor pertanian, kelautan dan perikanan, pertambangan (perlombongan) , pariwisata serta usaha mikro kecil dan menengah. Potensi potensi ini boleh dikembangkan secara optimal. Kita memiliki pantai yang terpanjang iaiatu 63 km panjang. Pertambangan (Perlombongan) kita ada. Banyak investor yang datang membangun pabrik (Kilang)

UB: Berapa luas Kabupaten Renbang?

AH: Kabupaten Rembang seluas 1,014,kilometer mempunyai penduduk sekitar 620,000 orang. 91 peratus Kabupaten Rembang berbatasan langsung dengan Provinsi Jawa Timu sehingga menjadi gerbang timur Provinsi Jawa Tengah. Bahagian Selatan Kabupaten Rembang adalah daerah perbukitan, iaitu bahagian dari Pergunungan Kapur Utara.Sebahagian Wilayah utara, terdapat perbukitan dengan puncaknya Gunung Lasem setinggi 806 meter, yang kini dilindungi dalam Cagar Alam Gunung Celering. Rembang juga terkenal dengan daerah Lasem, daerah pecinan atau China Town . Kabupaten Rembang.Rembang juga dijuluki Kota Garam kerana sebahagian masyarakatnya menjadi petani Garam.
UB: Dalam bidang pelancongan, Rembang terkenal sebagai apa?

AH: Sebagaimana yang kita tahu, di Rembang terdapatnya Makam RA Kartini di Desa Bulu, yang masuk jalur Rembang-Blora. RA Kartini adalah seorang tokoh emansipasi wanita. Dalam surat-suratnya yang kemudian diterbitkan menjadi sebuah buku Habis Gelap Terbitlah Terang beliau banyak memperjuangkan hak-hak wanita. Beliau mahukan agar wanita memperolehi pendidikan sejajar dengan kaum lelaki.

Kalau dari segi wisata religinya, di Rembang terdapat Pasujudan Sunang Bonang, di Bonang, Makam Sunan Bonang di Bawean. Ada juga Makam Eyang Sambu di Lasem, Masjid Jame Lasem,Masjid Agung Rembang di Kutoharjo.

Di Rembang juga ada Kelenteng Mak Co (Tjoe An Kiong), Vihara Ratanaava Arama di Desa Sendangcoyo.

Kalau dari segi wisata alam, di sini juga banyak potensi alam iaitu Pulau karang Gosong, Pulau Gede, Pulau Marongan, Gunung Lasem di Lasem, pantai Dampo Awang, Pantai Gedung di Gedongmulyo, Karangsari,Pantai Karangjahe Punjul harjo, Pantai Caruban, Wisata kartini di Mantingan, Puncak Argopuro, Taman Wisata Alam Sumber Semen dan sebagainya.

Selain itu, di Rembang juga ditemukan Perahu Kuno di Desa Punjulharjo, yang dikatakan lebih tua daripada Candi Borobudur.

UB: Kalau dari segi kuliner atau makanan?

AH: Dari segu kuliner, kita banyak kuliner. Salah satunya lontong tuyuhan.Dalam ulang tahun Rembang ke 275, baru-baru ini kita mengundang masyarakat untuk pesta lontong tuyuhan.Kita menyediakan lontong tuyuhan sebanyak 10,000 orang, yang datang 15,000 orang. Lontong tuyuhan adalah lontong dengan ayam kampung pedas khas tuyuhan. Makanan ini adalah makanan khas di Desa Tuyuhan. Selain itu, atau makanan lain seperti sayur merica, sate sarepeh, mangut, pindang tempe, petus bumbon

UB: Apa yang pak bupati harapkan apabila Rembang dikenal di peringkat antarabangsa?

AH:Kita berharap dengan dikenalnya Rembang oleh masyarakat regional atau internasional, ia bisa membantu meningkatkan perekonomian masyarakat Rembang sesuai dengan motto Menuju Rembang madani, damai , mandiri sejahtera.

UB: Saya difahamkan, Rembang baru saja meraikan ulang tahun yang ke 275 baru-baru ini. Boleh beritahu sedikit mengenai harapan Pak Bupati terhadap Rembang?

AH: Kabupaten Rembang memasuki usia yang ke-275 tahun. Dengan usia tersebut, Pemerintah Kabupaten Rembang mencapai berbagai kemajuan dan prestasi yang diraih pada beberapa bidang pembangunan.Dengan banyaknya prestasi yang diperolehi, semua penghargaan yang kita raih, bukanlah tujuan akhir namun setidaknya menjadi indikator penilaian atas keberhasilan pembangunan yang kita laksanakan bersama-sama eksekutif, legislatif, dunia usaha dan seluruh masyarakat.

Selain itu, saya juga berpesan agar masyarakat Rembang menjadikan prestasi yang dicapai menjadi motivasi dan pemacu bagi kita semua untuk lebih menumbuhkan rasa cinta dan rasa memiliki terhadap Kabupaten Rembang sehingga semakin terpatri dalam dada, tercermin dalam sikap dan terwujud dalam laku setiap diri peribadi masyarakat Kabupaten Rembang. Tentunya rasa cinta dan bangga terhadap daerah ini harus termanifestasi dengan kerja keras, kerja cerdas dan kerja ikhlas sesuai dengan potensi dan profesi kita masing-masing sehingga slogan Kabupaten Rembang Madani tidak hanya indah dalam tataran kognisi (pengetahuan) dan retorika tetapi menjelma dalam implementasi dan karya nyata dalam setiap gerak langkah kita dalam memberikan bagi daerah kita dan masyarakat.

Saya harapkan segenap jajaran pemerintah Daerah dan seluruh elemen masyarakat Kabupaten Rembang terus memacu akselerasi pembangunan di berbagai sektor untuk mewujudkan tatanan kehidupan yang lebih baik. Hal tersebut kiranya dapat dicapai secara optimal, mengingat kabupaten Rembang memiliki potensi yang besar di berbagai sektor , seperti sektor pertanian, kelautan dan perikanan, pertambangan (perlombongan) , pariwisata serta usaha mikro kecil dan menengah. Dengan demikian saya harapkan potensi potensi tersebut didayagunakan dan dikembangkan secara optimal.



Tema peringatan hari ulang tahun ke 275 Kabupaten Rembang, iaitu Mari Kita Bersatu Padu dalam Membangun Rembang Menuju Rembang Madani dan Sejahtera. Dengan tema tersebut, diharapkan seluruh komponen masyarakat, baik jajaran pemerintah Kabupaten Rembang, tidak terkecuali instansi vertikal mahupun dunia usaha dalam seluruh masyarakat kabupaten Rembang harus bersama sama mengerahkan potensi sumber daya yang dimiliki dalam menghadapi tantangan pembangunan Kabupaten Rembang menuju Rembang Madani dan sejahtera, dengan kebersamaan dan tekad yang kuat. InsyaAllah apa yang kita cita-citakan akan tercapai.

Saya berpesan kepada masyarakat agar menjadikan momentum ini bagi merapatkan barisan , memantapkan kebersamaan dan meneguhkan gotong royong menuju Kabupaten Rembang yang madani dan sejahtera. Kita berharap ini memicu semangat dan motivasi untuk mewujudkan keberhasilan pembangunan menyeluruh di Kabupaten Rembang

UB: Terima kasih pak atas kesempatan yang diberikan kepada saya untuk sesi wawancara ini.

AH: Terima kasih kembali. Jika sudi datang lagi.






HAJI MAHIL KAMARUDIN, UTAMAKAN KEJUJURAN DAN KEIKHLASAN

Tags
HAJI MAHIL KAMARUDIN, UTAMAKAN KEJUJURAN DAN KEIKHLASAN

PERANANNYA sebagai Pengerusi Majlis Permuaafakatan IbuBapa Guru dan Komuniti (PIBK) Lahad Datu dan Pengerusi PIBG SK Lahad Datu II agak menyerlah. Beliau juga agak rajin mengetengahkan isu-isu berkaitan dalam usaha meningkatkan lagi mutu pendidikan di negeri ini.

“ Kita hanya menumpang kasih”, katanya ketika ditanya mengenai peranannya dalam penglibatan PIBG dan Pengerusi PIBK Daerah Lahad Datu. Walaupun pada mulanya agak keberatan, namun akhirnya beliau bersetuju berkongsi sedikit kisah hidup dan pengalaman dalam bidang bidang yang pernah dilaluinya.

HAJI MAHIL KAMARUDIN lahir di Kampung Asam Lahad Datu pada 3 Julai 1964. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Lahad Datu (1971-1976) sebelum melanjutkan pelajaran menengah di SM St Dominic Lahad Datu (1977-1981). Selepas itu, beliau bekerja sebagai Kerani di Jabatan Perubatan Lahad Datu pada tahun 1983, Kerani Sementara bagi Banci Pelarian Filipina (1985) dan Guru Sandaran Tidak Terlatih di SM St Dominic dari tahun 1986 hingga 1989. Selepas itu, beliau mengikuti kursus bahasa Inggeris di Kolej Damansara Utama Petaling Jaya (1990) dan British Council Language Centre Kuala Lumpur (1991) dan kemudian melanjutkan pelajaran di peringkat Diploma in Business Studies di Institut Usahawan Bumiputera Kuala Lumpur. Selepas itu, Haji Mahil bekerja sebagai Eksekutif Pelatih, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) dari tahun 1994 hingga 1995.Pada tahun 1996, beliau melanjutkan pengajian di La Trobe University, Australia hingga mendapat Bachelor of Business-Human Resources Management) pada 1998. Sekembalinya ke Malaysia, beliau menjadi Eksekutif,Bahagian Pinjaman Pengajian MV Human Potential Marketing di Kuala Lumpur dari tahun 2000 hingga 2001. Kemudian beliau menjadi Independent Transriber dari Januari hingga Mei 2002 sebelum menjadi Eksekutif Sumber Manusia, IOI Corporation Berhad Wilayah Sandakan dari 2002 hingga 2003. Beliau pernah dilantik sebagai Ahli Pengarah Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah pada 2004.Beliau adalah Ahli Jawatankuasa Pelaburan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS). Kini beliau bekerja sendiri sebagai Kontraktor Kelas F.

Dalam bidang sukan, Haji Mahil pernah mewakili sekolah dan daerah dalam Kejohanan Badminton Negeri Sabah, juga mewakili La Trobe University dalam Sukan Intervarsity di Australia. Sebagai seorang yang aktif dalam kegiatan sosial, Haji Mahil pernah menjadi Bendahari, Bendigo International Student Club,La Trobe University Australia (1998), Mentor bagi Pelajar Antarabangsa La Trobe University (1998), Bendahari Pertubuhan Kebajikan Idahan Pewaris Madai Lahad Datu (Pewaris), Ahli Kelab Lahad Deatu Golf & Country Club dan Shan Shui GCC Tawau, Yang Di Pertua PIBG SK Lahad Datu II dan Pengerusi PIBK Daerah Lahad Datu. Beliau mendirikan rumah tangga dengan Puan Nor Hafizah Haji Md Isa ( asal Alor Setar Kedah ) dan mempunyai 3 orang anak.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang mewawancara beliau di Lahad Datu dan kemudian diteruskan melalui surat elektronik dan aplikasi WhatsApp. Ikuti petikan wawancara bersama Pengerusi PIBK Lahad Datu ini.

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit mengenai latar belakang tuan haji?

HAJI MAHIL: Saya dilahirkan di Kampung Asam Lahad Datu kira-kira 52 tahun yang lalu.Ayah saya, Kamarudin bin Adan dan Ibu, Hajjah Mucha Intan binti Hatib Rita. Saya anak yang ke enam dalam 7 orang adik beradik.

UB: Kampung Asam? Kenapa dipanggil Kampung Asam?

HAJI MAHIL: Kampung Asam ini adalah sebuah kampung yang mempunyai lot sendiri dan bergeran. Kampung ini dikenali sebagai kampung Asam kerana ada sepohon pokok asam yang besar tumbuh di tebing sungai. Penduduk dari kampung bersebelahan seperti Kampung Tabanak mengambil air minum di kawasan sungai tempat pokok asam ini. Bila musim air pasang besar, airnya masin di kawasan KampungTabanak. Diantara jiran sederet dengan kami ialah Datuk Hj Abdul Hamid Marican, Haji Datu Sibi Datu Agaseh, Tan Sri Haji Sunoh Marso dan Wak Rejimin.

UB: Tentu sekali menarik cerita zaman zaman kanak kanak tuan haji. Ada yang boleh dikongsikan?.

HAJI MAHIL: Rumah kami beratap nipah di tepi sungai asam. Mandi bersama kawan kawan dan bermain rakit dengan batang pisang di sungai adalah aktiviti utama. Tanah kami di penuhi dengan pokok langsat dan rambutan. Dalam musim buah memang ramai yang datang ke rumah kami.

UB: Bagaimana pula musim persekolahan tuan haji?

HAJI MAHIL: Persekolahan awal saya di SK Pekan Lahad Datu pada 1971. Semasa di SK Pekan, kami menaiki ‘pick-up’ yang berbumbung sebagai kenderaan ke sekolah. Saya ingat lagi pemandunya, Abang Sahirin Hassan, dari kampung Tabanak.

UB: Siapa rakan rakan sepersekolahan tuan haji di Sekolah Rendah?.

HAJI MAHIL: Antaranya, yang saya ingat Ramdin Ahmad, Ariffin Tan Sri Sunoh, Said Salim, Ali Haji Rais, Karim Iskandar, Suria Buana, Amirul, Faisal Hj Saripuddin, Mantan MP Silam Dato Hj Salleh Kalbi, Cikgu Siti, Rohana Hassan.

UB: Mungkin ada nama-nama guru guru di sekolah rendah yang masih tuan haji ingat?

HAJI MAHIL: Antaranya,Cikgu Mildad dan Cikgu Sharif Kassim. Mereka ini Guru Besar. Cikgu Dayang Talok Datu Hj Jinuarain, Cikgu Kamisah Bandar, Cikgu Hajjah Pungut Engoh, Cikgu Zainal Abidin Laja, Cikgu Adnan dan Cikgu Haji Datu Mansur Datu Jalilul Hassan.

Dalam soal pelajaran, saya lemah dalam banyak bidang. Seingatan saya pada tahun 1974 (darjah 4), saya pernah di ‘ketuk’ kepala oleh guru saya ketika itu Cikgu Zainal Abidin kerana tidak tahu mengira. ( Tuan Hj Zainal Abidin Laja adalah Tokoh Kepimpinan Perdana sempena Sambutan Hari Guru 2016 Daerah Lahad Datu.

UB: Dimana tuan haji bersekolah selepas itu?

HAJI MAHIL: Saya meneruskan persekolahan menengah di Sekolah Menengah di SM St Dominic Lahad Datu 1977. Sekolah itu tidak jauh dari rumah. Berjalan kaki lebih kurang 1 km sahaja. Rakan-rakan sepersekolahan ketika itu, Ismadi Mildad, Dayang Sabariah Hj Datu Bistari, Willie Miat, Cikgu Mustafa Maarop, Cikgu Norsima Chawa, Oziah Oksel, Harris Bandar, Normin Kasimin.

UB: Mungkin ada guru-guru di sekolah menengah yang tuan haji masih ingat?

HAJI MAHIL: Antaranya Cikgu Amelia Capili, Cikgu Sulaiman, Cikgu Leham Md Som, Cikgu Ku Abdullah, Cikgu Khatijah Patail, Cikgu Hanapi Arshad, Cikgu Marry Liau, Cikgu Alice Sia

UB: Pasti banyak suka duka kehidupan yang dialami. Boleh ceritakan sedikit?

HAJI MAHIL: Walau pun bergelumang dengan kemiskinan, soal makan kami boleh kata kami tak susah. Ayah saya bekas pekerja Yayasan Sabah dalam Zaman USNO. Ayah saya sangat mahir dalam berkebun, berburu dan nelayan. Makanan makanan laut sangat mudah dicari dan diperolehi ketika itu.

Saya hanya mendapat gred 3 dalam SPM. Kemudian saya bertugas sebagai kerani di Jabatan Kesihatan Lahad Datu 1983. Berhenti kerana tidak suka bekerja di kaunter. Rasa tidak bebas. Kemudian menjadi kerani banci pelarian Filipina di Jabatan Pendaftaran Lahad Datu (1984-85). Pengalaman bagus, kerana melawat seluruh Lahad Datu untuk mendaftar pelarian Filipina. Seronok menaiki Bot PX16 Polis Marin untuk ke Tanjung Labian. Kontrak tidak disambung oleh Kerajaan PBS ketika itu.

UB: Saya teringat satu peristiwa yang terjadi di Lahad Datu tahun 1985. Dimana tuan haji sewaktu serangan mundu itu?

HAJI MAHIL: Saya bersama tiga orang rakan terperangkap di Pejabat Pendaftaran yang terletak di bangunan kedai di tengah-tengah bandar Lahad Datu. Saya bersama rakan, Sutarno Hj Bugil dan Saudara Pakihatun Hj Muhammarun. Kebetulan pejabat kami bersebelahan dengan Pejabat Pelajaran Daerah Lahad Datu. Saudara Ahmad Hj Sahabuddin dan Saudara Pajil juga turut ada bersama kami. Serangan lanun itu berlaku pada bulan September 1985, mengorbankan lebih 10 nyawa.

UB: Saya difahamkan tuan haji juga pernah menjadi Guru Sandaran Tidak Terlatih?

HAJI MAHIL: Selepas itu saya menjadi Guru Sandaran Tidak Terlatih di SM St Dominic pada tahun 1986-89. Saya bersama Cikgu Mariani Marali (Jiran) ditemuduga oleh Cikgu Yussof Hj Khamis, Penyelia Pelajaran ketika itu. Kerja sebagai guru ini unik kerana walaupun sudah tidak menjadi guru, kita akan juga dipanggil cikgu. Antara nama-nama murid yang saya masih ingat ialah, Fazli Haji Sairi, Suzie Shaaban, Haji Samsul Marullah, Puan Hamsiah Mohd Ali dan Johan Segama
UB: Selepas jadi guru, tuan haji kerja sebagai apa?

HAJI MAHIL:Dalam tahun 1990,saya mencuba nasib ke Kuala Lumpur dalam usaha mencari lingkungan baru yang lebih kompetitif dan usaha memperbaiki taraf akademik. Seisi Keluarga sangat membantu dan memberi sokongan terhadap hasrat saya ini. Di Kuala Lumpur pada masa itu saya tinggal bersama ( Yusof Hj Sarangit (Datuk) ). Ketika itu Datuk Yusof Haji Sarangit menjadi pegawai protokol di Istana Negara sebelum ditugaskan di Lagos Nigeria dan Tokyo. Saya masih ingat katanya, “datanglah ke KL untuk menimba ilmu dan pengalaman. Berusahalah memahami corak dan cabaran di kota ini….”

UB: Mungkin, tuan haji boleh ceritakan pengalaman di KL?

HAJI MAHIL: Beberapa tempat sudah disinggahi untuk mencari ilmu, seperti Kolej Damansara Utama (KDU) pada 1990 dan British Council (kursus bahasa inggeris) 1991 dan Diploma IUB (Mara) pada 1992-93.

UB: Kemudian?

HAJI MAHIL: Kemudian, saya kembali ke Sabah dan bertugas sebagai Exekutif Pelatih di Perbadanan Ekonomi Negeri Sabah (SEDCO) di Kota Kinabalu sebelum ditawarkan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah ke Australia 1996.

UB: Apa pengalaman yang dilalui ketika menuntut di Australia?

HAJI MAHIL: Saya menuntut di La Trobe University pada tahun 1996 hingga 1998.Kampus Bendigo terletak kira-kira 1 jam perjalanan keretapi dari pusat Bandar Melbourne.

Sepanjang berada di sana, saya pernah bekerja sambilan di restoran sebagai ‘kitchen helper’ tukang cuci pinggan mangkuk dan mengupas kepala udang adalah kerja yang pernah dilalui. Gaji bagus juga AUD 9.50 sejam.Satu sesi 4 jam dan 2 kali seminggu. Dapatlah AUD 76 seminggu, cukup membayar sewa penginapan. Saya beli basikal dan guna untuk ketempat kerja.

Sebagai pelajar antarabangsa, kelemahan berbahasa Inggeris masih terasa. Saya kena berusaha bergaul dengan masyarakat setempat di universiti. Saya pernah dilantik sebagai Bendahari Kelab Pelajar Antarabangsa (1998), menjadi Mentor kepada pelajar antarabangsa dan terlibat Guide semasa hari terbuka universiti

UB: Masa itu, ramaikah pelajar dari Sabah atau dari Malaysia yang belajar di sana?

HAJI MAHIL: Ramai. Antaranya Khairil Gibran Yahya (Anak kepada seorang penulis buku), Azmi Yusof, Nina, Allen, Aundry, Johan Lau, Mercy Lawrence Ligunjang, Satpal Singh Sandu, Nelson Andrew, Precilla Ewot, Harrol Hamid (Kementerian Luar Negara Brunei), Amrin (Sarawak). Dari University lain di Melbourne, Joana Datuk Alfred Bosuin, Filex, Justina Engihon dan IR Rajesh Datuk Yussof

UB: Penglibatan dalam NGO atau parti, mungkin tuan haji boleh sebutkan?

HAJI MAHIL: Selain PIBG dan PIBK, dalam NGO, saya Pengerusi Biro Penerangan PEWARIS, Mantan AJK Bahagian UMNO Silam (2008-13). Saya juga bekas Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Baitulmaal Negeri Sabah ( 2004 ) dan kini saya salah seorang Ahli Jawatankuasa Pelaburan MUIS.

UB: Apa prinsip tuan haji dalam kehidupan?

HAJI MAHIL: Bagi saya, segala-galanya berkisar kepada kejujuran, keikhlasan dan sentiasa berdoa memohon kepada Allah.

UB: Masih ramai yang kurang jelas mengenai peranan Pelibatan Ibubapa dan Komuniti (PIBK)?

HAJI MAHIL: Peranan PIBK, lebih kurang sama saja dengan peranan PIBG di peringkat sekolah. Kita memberikan sokongan dan kita memastikan penglibatan komuniti dalam apa saja program yang dianjurkan. Dengan yang demikian persefahaman dan kerjasama diantara Jabatan Pendidikan dan komuniti dapat dijalin dan dipupuk. Ianya satu jaringan yang kuat dalam memastikan sasaran yang ditentukan oleh Pihak Kerajaan akan tercapai.

Selain daripada, dalam aspek pandangan ’mata kasar’. Kita juga mengambil inisiatif untuk menjadikan PIBK sebagai saluran untuk mengemukakan sebarang isu-isu yang difikirkan sesuai untuk perbincangan dan menyampaikannya kepada Pihak Kerajaan. Kita bertindak mewakili Ibubapa dan Masyarakat. Kita amat maklum, bahawa kita sama sekali tidak boleh dan tidak dibenarkan mencampuri urusan Sekolah dan Jabatan. Itu jelas kepada kita

Di Lahad Datu dan Tungku, terdapat 53 buah Sekolah Menengah dan Rendah. Bermakna kita ada 53 PIBG.

UB: Apa isu-isu yang diperjuangkan oleh Majlis Permuafakatan PIBG melalui PIBK di bawah pimpinan tuan haji?

HAJI MAHIL:Kita ada beberapa isu utama sepertimana yang saya sentuh semasa berucap di Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah yang lalu. Isu berkaitan kekurangan guru umpamanya. Berdasarkan pengamatan kita, ianya jelas.

Sekolah kekurangan bilik darjah, Ada sekolah yang tidak dapat mengadakan ujikaji sains untuk pelajarnya kerana makmal tidak mempunyai bekalan letrik. Ini diantaranya sahaja. Bermakna kita juga bertindak sebagai salah satu saluran dalam mengemukakan apa apa isu kepada Pihak Kerajaan.

Satu lagi isu ialah isu kurang dihargai. Kita di Permuafakatan PIBG mengambil inisiatif menghargai mana mana sekolah yang mencatatkan kecemerlangan dengan pemberian anugerah-anugerah khas. Allhamdulillah, dalam majlis yang diadakan baru-baru ini, ianya disampaikan sendiri oleh Pengarah pendidikan Negeri Sabah. Ini penting sebagai dorongan untuk mencipta kecemerlangan yang lebih besar.

UB: Ketika berucap di Majlis Sambutan Hari Guru 2016 Peringkat Daerah Lahad Datu 26 Ogos yang lalu, Haji ada menyentuh penganugerahan pingat kebesaran, boleh jelaskan.

HAJI MAHIL: Saya berharap perkara yang saya bangkitkan itu, tidak melangkaui batas saya sebagai seorang Pengerusi PIBK Daerah. Ini sebagai cadangan sahaja. Pengiktirafan dari Pihak Institusi Istana samada Negeri atau Persekutuan ‘agak berbeza’ walaupun semuanya atas nama Pihak Kerajaan.

Hakikatnya tanggungjawab dan jiwa kita terlalu hampir dengan para pendidik. Kita maklum akan kepayahan yang mereka lalui. Terutamanya yang bertugas jauh dari kampung halaman. Telah berpuluh-puluh tahun menempuh ranjau yang sifatnya sebagai ‘pembina negara bangsa’. Lokasi sekolah berada dimana-mana. Di pesisir pantai, pulau, kawasan pendalaman dan sebagainya. Kita faham akan gambaran ini.

Saya mengambil contoh Cikgu Puan Nor Aini Saad, berasal dari Langkawi Kedah, yang baru sahaja menamatkan perkhidmatannya selama lebih 30 tahun sebagai pendidik.

Saya berkesempatan bertemu dengan Cikgu Puan Nor Aini Saad ini sebelum beliau balik ke Semenanjung dan bertanya akan pengalamannya semasa bertugas di Sabah. Tahun 1883 mula bertugas di SK Bode Kertam selama 11 tahun, Kemudian ke SK Tanjung Aru, SK Muhibbah dan SK Sukau di Daerah Kinabatangan dan terakhir di SK Permai di Lahad Datu. Beliau tmengharungi keadaan jalanraya ‘gravel’ di Sabah, Feri di Jambatan Kinabatangan dan Segama, merasai banjir besar di Sukau. Beliau amat tabah dan gembira dapat melalui itu semua.

Contoh lain, Cikgu Mubarak Abd Ghani, asal Pahang berkhidmat di Tungku dan Felda Sahabat lebih 30 tahun juga. Beliau menetap di Kampung Telisai Tungku. Cikgu Loo Hui Hoon dan Cikgu Yeoh Sek Goh, keduanya dari Kelantan berada di Lahad Datu selama lebih 34 tahun. Ini hanya contoh kecil dan kita percaya berlaku di Daerah lain di Sabah.

Mereka ni pun menerima pelbagai anugerah oleh Jabatan Pendidikan dan Kementerian. Hakikatnya mereka sudah menaburkan bakti dengan begitu tabah, berani dan dedikasi.

UB: Apa cabaran-cabaran yang dihadapi PIBK (Pelibatan Ibubapa dan Komuniti?

HAJI MAHIL: Antara cabaran yang dihadapi PIBK, mungkin cabaran pengurusan masa mungkin. Selebihnya, kita juga perlu mengimbangi bentuk dan pemikiran Masyarakat sekeliling.
















TS Jeffry, Selalu Pilih Sabah Kerana Sabah Dekat Dihatinya

Tags
TS JEFFRY, SELALU PILIH SABAH KERANA SABAH DEKAT DIHATINYA

“SAYA pilih Sabah kerana Sabah di hati saya,” kata Pengarah, Pelakon dan Penerbit terkenal Dato TS Jeffry. Sepanjang penglibatannya dalam filem, TS Jeffry sering memilih Sabah sebagai lokasi penggambaran dalam setiap drama atau telemovie yang dihasilkannya. Sabah negeri yang istimewa, menarik dan memiliki khazanah budaya yang kaya, katanya yang mendirikan rumahtangga dengan Datin Domithila Servatius, berasal dari Penampang Sabah.

Dato TS Jeffry atau nama sebenarnya Jeffry Ting Tiah Seng dilahirkan di Pasir Mas Kelantan pada 24 Jun 1966. Anak sulung dari 10 adik beradik ini berhijrah ke Kuala Lumpur untuk menceburi bidang industri hiburan tempatan pada tahun 1989. Lakonan pertamanya ialah drama Meniti Kabut manakala filem lakonan pertamanya ialah Maria Mariana pada tahun 1996. Beliau juga memegang watak penting dalam filem Leftenan Adnan, Suami,isteri dan.... Beliau juga banyak terlibat dalam pembikinan drama, telemovie, dokumentarinya dan sebagainya. Antara yang terkenal termasuk siri drama komedi Kopi, Cinta Yang Tertinggal, Hantu Bukit Cina dan sebagainya. Selepas berjaya sebagai pelakon, beliau menceburkan diri dalam bidang pengarahan dan kini memiliki syarikat perfileman sendiri, Pentas Wayang Production.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN BIN SHAIDDIN berpeluang menemui Dato TS Jeffry di sebuah restoran di Jalan Pantai Kota Kinabalu untuk berkongsi cerita mengenai penglibatan beliau dalam industri hiburan tanahair. Ikuti petikan temubual bersama beliau:

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang Dato?

DATO TS JEFFRY: Saya dilahirkan di Pasir Mas Kelantan pada 24 Jun 1966. Saya baru saja menyambut hari lahir yang ke 50 bulan lalu.Dalam keluarga saya, saya sahaja yang memperhambakan diri dalam seni. Saya anak sulung dari sepuluh adik beradik. Saya mula berlakon pada tahun 1989 melalui drama Meniti Kabut. Filem pertama saya ialah Maria Mariana yang turut dibintangi Erra Fazira, Ziana Zain, Edika Yusof, Roy Azman, A Galal dan ramai lagi. Saya juga turut berlakon dalam Lurah Dendan, pertama kali Rosyam Nor jadi hero.

UB: Seperti yang kita ketahui, Dato banyak membuat drama di Sabah. Apa yang membuat Dato memilih Sabah?

TS JEFFRY: Di Sabah ni, saya mempunyai pasukan yang kuat. Kalau tidak kuat, saya tidak berani. Ramai kawan yang menjadi tulang belakang saya. Antaranya Saudara Jamawi Jaafar, Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia. Beliau ini banyak memberi sokongan dan terlibat dalam produksi drama sebelum beliau terlibat dalam politik secara serius. Waktu, saya ingat beliau masih bekerja di Jabatan Pertanian tetapi beliau menunjukkan minat yang tinggi dalam industri ini dan sentiasa memberi dukungan hingga sekarang. Beliau menjadi kawan karib saya. Seorang lagi yang amat berjasa ialah abang Abd Karim Gullam, yang banyak memberi idea. Malah banyak idea-idea yang lahir secara spontan ketika bercakap-cakap dengan Abang Karim ini. Sebab itu, banyak latar dalam drama yang saya hasilkan itu, `setting’nya di Tenom. Mereka ini orang-orang yang banyak membantu saya. Anggap saya seperti keluarga.



UB: Siapa yang mula-mula perkenalkan atau bawa Dato ke Sabah?

TS Jeffry: Orang yang mula-mula ajak saya ke Sabah ialah Datuk Rizalman Abdullah. Waktu itu beliau adalah Ahli Parlimen Tenom dan jadi Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan. Beliau yang bawa saya ke Sabah. Saya terhutang budi kepada beliau.

UB: Mungkin banyak kenangan sewaktu menjalankan penggambaran di Sabah?

TS Jeffry: Bagi saya banyak kenangan manis. Duduk bercerita dengan Abang Karim dan kawan-kawan banyak idea yang timbul secara spontan. Idea-idea ini menjadi bahan drama yang menarik seperti tagal, yang dilaksanakan sebagai satu cara menjaga ekosistem dan hidupan ikan, sogit, pantang larang, adat budaya dan sebagainya. Banyak idea, ini yang menarik bagi saya. Satu lagi ialah sewaktu saya tidak dapat balik ke Semenanjung ketika perayaan tahun Baru Cina. Saya tidak dapat rayakan kerana tak dapat balik. Apa yang mengharukan bagi saya ialah sahabat dan rakan-rakan di Tenom membuat satu majlis untuk meraikan Tahun Baru Cina bersama saya.

Satu lagi kenangan yang tidak dapat saya lupakan ialah apabila terlibat dalam kemalangan. Kereta kami terbalik sewaktu dalam perjalanan. Saya menerima sebanyak 22 jahitan. Ini bagi saya kenangan yang tidak dapat dilupakan. Sewaktu saya di hospital, rakan-rakan serta keluarga mereka datang melawat saya. Saya merasa berada di negeri sendiri.

UB: Tadi Dato ada menyatakan banyak idea spontan yang timbul ketika bersama Abang Karim Gulam.Boleh ceritakan?

TS Jeffry: Banyak idea timbul secara spontan. Antaranya cerita Tagal, Kopi O, semuanya muncul secara spontan. Idea-idea itu bergantung kejadian semasa. Kerana Sogit, telemovie, kita memperkenalkan ramai pelakon Sabah yang berbakat. Dalam setiap drama, kita perkenalkan banyak pelakon baru.

Sabah negeri yang istimewa dan menarik. Kalau ada orang bertanya kenapa pilih Sabah? Jawapannya Kerana Sabah di hati saya. Lagipula isteri saya, Datin Domithila Servatius, orang Sabah

Seperti yang saya katakan tadi, Abang Karim banyak memberikan idea Beliau menjadi tulang belakang saya sejak 2003. Selama 15 tahun saya di sini, beliau banyak membantu.

UB: Oh begitu. Apa lagi yang Dato impikan?

TS Jeffry: Selain itu, Saya mahu perkenalkan sabah sebagai destinasi pelancongan yang menarik. Dari segi videografi, Sabah memiliki alam semulajadi atau nature belum banyak terganggu oleh pembangunan. Itu yang mahu saya ketengahkan dalam karya-karya saya. Saya selalu ketengahkan dimana-mana kita buat syuting atau penggambaran. Budaya Sabah mesti kita selitkan disamping kita menyampaikan mesej-mesej yang berguna dalam produksi yang kita hasilkan. Nilai-nilai murni sebab bagi saya , kita kena terapkan , kita tidak boleh lari dari mesej.

UB: Apa kaedah Dato dalam membuat sesuatu drama?

TS Jeffry:Saya membuat drama tv yang senang orang faham. Bagi saya drama drama yang ringan itu untuk orang-orang yang nak santai menonton tv selepas mereka penat berkerja seharian. Saya biat drama yang yang jalan ceritanya mudah difahami. Kalau cerita berat, Perjalanan cerita yang orang tak faham, ini membuat orang tertidur. Saya buat drama yang semua golongan masyarakat boleh faham.Remaja boleh faham. Kita orang Malaysia, kita buat cerita orang Malaysia, kehidupannya, dunianya dan budayanya. Dimana tema cerita pada drama, saya selalu ketengahkan cerita orang Malaysia.Orang Malaysia itu penting bagi saya.



UB: Saya lihat industri hiburan tempatan terutamanya drama agak menurun. Apa komen Dato?

TS Jeffry: Biasalah indsustri seni ada pasang surut. Cuma macam mana kita nak tangani. Jangan kita nak salahkan industri atau salahkan kerajaan. Kita kena teruskan perjuangan. Bagi saya kita utamakan aspek seni disamping aspek komersial. Perniagaan tanpa seni tak boleh juga. Kita nak utamakan seni. Pada masa yang sama juga dalam setiap drama kita utamakan juga aspek perniagaan, ertinya produk kita nboleh jual. Sebab itu kita gunakan ramai pelakon yang sudah establish dan kita juga perkenalkan bakat bakat baru sebagai pelapis. Kita beri peluang yang sama. Saya suka lahirkan pelakon baru disamping beri peluang kepada pelaon yang lama juga.

UB: Apa perkembangan terkini dato? Apa drama terbaru yang dihasilkan?

TS Jeffry: Saya baru saja habis penggambaran ebuah telemovie, Ayam Jaguh yang akan ditayangkan untuk tahun baru. Untuk siri Sitcom Kopi O, Musim keempat kita masih tunggu kelulusan.

Antara pelakon yang terlibat ialah Alex Raja Lawak yang turut dibantu Danny X Faktor, Fazurina, Cdandy Af Musim ke-4,wawa. Penggambaran drama ini dijalankan di Tenom dan beberapa lokasi lain termasuk di sekitar Kota Kinabalu.

Drama Kopi O yang sinonim dengan Kopi Tenom ini berunsurkan komedi tetapi diselitkan dengan unsur kemanusiaan, kasih sayang serta isu-isu semasa yang menjurus kepada usaha untuk memperkasa cintakan negara. Sebab itu, pelakon-pelakon yang menjayakan watak-watak dalam drama ini terdiri dari pelbagai kaum yang ada di negara ini.

Saya berharap drama bersiri ini dapat memperkembangkan industri filem di Sabah. Selain memberi peluang kepada pelakon-pelakon dari sabah, kita juga memilih negeri ini untuk kita menonjolkan adat serta budaya masyarakat Sabah sebagai contoh kepada masyarakat lain di Sabah.

UB: Sejak bila Dato terlibat dalam kerja pengarahan?

TS Jeffry: Saya mula terlibat dalam kerja-kerja pengarahan pada tahun 1997 melalui pelayaran Kasih. Filem arahan pertama Saya ialah Hantu Bukit Cina 2009. Filem ini berkisar mengenai lima sahabat yang bberjaya membongkar misteri sebuah kawasan ini dibintangi Fouziah Gous dan Siti Fazurina Famir, Gambit Saifullah, Kamarool Hj Yusof dan ramai lagi.Sebelum itu saya terbabit dalam dunia lakonan pada tahun 1989. Pada tahun 2003, saya menubuhkan sebuah syarikat sendiri iaitu Pentas Wayang Production.

UB: Sudah berapa lama Dato berada dalam industri ini?

TS Jeffry: Saya sudah terlibat selama 29 tahun, iaitu hampir tiga dekad melibatkan diri dalam industri hiburan, sebagai pelakon, pengarah dan terbitkan drama dan tv serta telemovie untuk negeri Sabah. Antara drama yang saya haslkan Demi Sogit, Dimana Alin.Tagal, Korek Lubang Tutup Luanhg, Pancing Seribu Rasa, Kopi O musim pertama, dua dan tiga, Cinta Yang tertinggal . Dra,ka yang megambil latar sabah lebih sepuluh tajuk. Saya antara orang yang pertama buat drama tv dan telemovie di Sabah melalui cerita Hantu.,Dimana Alin. Saya bersyukur kerana saya antara orang yang pertama pilih Sabah. Saya gembira kerana ramai orang yang pernah jadi anak didik saya berjaya dalam industri. Ada sesetengah penerbit pernah terlibat dengan saya. Saya doakan mereka sukses.

UB: Apa azam Dato dalam industri ini?

TS Jeffry: Saya akan terus berjuang dalam seni.Saya orang seni. Saya tak masuk politik. Saya sentiasa sokong kerajaan dan kepimpinan yang ada.

UB: Sepanjang terlibat dalam industri ini, apa anugerah yang Dato perolehi?

TS Jeffry: Hampir 29 tahun dalam bidang ini, saya bersyukur kerana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang memberikan kurnia darjah kebesaran DIMP, Darjah Indera Mahkota Pahang sempena memuliakan Hari Keputeraan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Sultan Pahang pada 11 Mac lepas.


UB: Terima kasih banyak Dato kerana sudi memberi ruang kepada kami untuk sesi wawancara ini.

TS Jeffry: Terima kasih kembali.