Saturday, September 10, 2016

DATUK GREGORY, PERNAH BERAKIT RAKIT KE SEKOLAH



DATUK GREGORY, PERNAH BERAKIT RAKIT KE SEKOLAH

“KITA buat yang terbaik. Kalau kita kerja, kita buat kerja yang terbaik,” kata Mantan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Godfery Gregory Joitol. Bermula dari seorang anak kampung, yang mengalami betapa sukarnya kehidupan dalam belenggu kemiskinan, selangkah demi selangkah beliau menapak mencipta kejayaan dalam kerjayanya. Walaupun satu ketika dahulu, beliau terpaksa berakit-rakit menyeberang sungai untuk ke sekolah, namun siapa sangka beliau mampu menaiki tangga demi tangga dalam kerjayanya hingga dilantik menjadi Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (TSKN). Kini beliau diamanahkan pula sebagai Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) Sabah.

Datuk Godfery Gregory Joitol dilahirkan pada 17 Ogos 1953 di Kampung Tanaki, Penampang Sabah. Beliau mendapat pendidikan rendah di Sekolah Rendah St Michael dari darjah satu hingga enam dan kemudian di SM St Michael Penampang dari tingkatan satu hingga tingkatan lima. Selepas itu beliau melanjutkan pelajaran dalam tingkatan enam di SM All Saints. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Malaysia pada tahun 1975 dan berjaya memperolehi ijazah Bachelor of Arts (Majoring in English) pada tahun 1978. Pada tahun 1993, beliau melanjutkan pelajaran di University of York, England dan lulus Master of Science (Administrative Science and Development Problems) pada 1994.

Dalam bidang kerjaya pula, beliau pernah menjawat jawatan kerani di Ibu Pejabat Polis Kepayan pada tahun 1975 sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya. Selepas berjaya mendapat segulung ijazah, beliau bertugas di Pejabat Perjawatan Negeri (kini Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri , bermula sebagai Pegawai Tadbir, Ketua Penolong Pengarah di pejabat Perjawatan Negeri dari bulan Ogos 1978 hingga 1994. Pada tahun 1994, sekembalinya dari United Kingdom. Beliau dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah dan kemudian dilantik Timbalan Pengarah Biro Pembangunan Sumber Manusia dari 1995 hingga Januari 1998.

Selepas itu, beliau dinaikkan pangkat sebagai Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna dari Februari 1998 hingga Jun 2005. Kemudian beliau berkhidmat pula di Kementerian Pertanian dan Industri Makanan juga sebagai Setiausaha Tetap bermula Julai 2005 hingga Disember 2007. Pada 27 Disember 2007, beliau dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) hinggalah bersara pada 17 Ogos 2011. Sejak bersara beliau pernah dilantik menjadi Ahli Lembaga Pengarah beberapa syarikat milik kerajaan termasuk Ahli Lembaga Pengarah KKIP, Borneo Development Corporation (BDC), Saham Sabah sebelum beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) Malaysia bermula 16 Jun 2016.

Bagi mengenang jasa-jasanya, Datuk Gregory dianugerahkan Johan Setia Mahkota (JSM) sempena Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-pertuan Agong, Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) daripada TYT yang Di Pertua Negeri Sabah yang membawa gelaran datuk.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang mewawancara Datuk Godfery Gregory Joitol di pejabatnya di Tingkat 8, Centre Point.Ikuti petikan wawancara bersama beliau mengenai sedikit kisah hidupnya.

UB: Boleh ceritakan sedikit latar belakang datuk?

GREGORY: Saya dilahirkan di Kampung Tanaki, Penampang. Saya anak ketiga dari 11 bersaudara.

UB: Dimana Datuk bersekolah?

GREGORY: Saya mendapat pendidikan rendah dan menengah di Sekolah St Michael Penampang, iaitu dari darjah satu hingga Tingkatan lima. Kemudian saya bersekolah dalam tingkatan enam di SM All Saints.

UB: Oh ya. Apa cita-cita datuk sewaktu kecil ya?

GREGORY: Masa dulu-dulu kita di kampung, kita belum kena beri pendedahan, kita mahu jadi apa. Kita belum tahu apa cita-cita kita. Hidup di kampung, kita belum banyak terdedah. Waktu itu belum ada letrik, tv pun belum ada, bekalan air belum ada, kemudahan asas tiada. Masa itu, apa yang ada dalam fikiran kita kita ialah kita mahu mengubah kehidupan.Cita-cita saya mesti ubah kehidupan. Itu mungkin mendorong saya untuk belajar. Saya bukan juga pandai sangat. Saya average saja. Tapi saya tanamkan cita cita mahu masuk universiti.Saya lebih berusaha untuk tingkat mutu kehidupan. Kemiskinan bukan satu perkara buruk.Kemiskinan dorong kita ubah nasib kita. Terpulang kepada diri kita ubah nasib masing-masing
Masa itu, masih banyak yang hidup dalam kemiskinan. Untuk ke sekolah, kami terpaksa naik rakit. Di kampung Tanaki ada sungai. Kami menyeberang sungai dengan rakit.Jalan raya tiada. Jadi kami terpaksa pergi sekolah jalan kaki.

Dari rumah, kami berjalan kaki ke sekolah yang terletak kira-kira 3 km dari rumah. Sebelum itu, kami terpaksa menyeberang sungai menggunakan rakit buluh. Begitulah rutin setiap hari. Pada tahun 1973 hingga 1974, saya bersekolah dalam tingkatan enam bawah dan tingkatan enam atas di SM All Saints.





UB: Berapa duit bekal ke sekolah datuk?

GREGORY: Dulu kami tak ada bawa duit bekal. Sebelum ke sekolah, kami sarapan dulu. Kopi sama nasi saja. Nasi semalam. Balik dari sekolah, nasi memang ada.Cuma lauk saja tiada.Kami ini petani.tanam padi. Kami punya padi,satu tahun pun tidak boleh habis. Kita tanam padi sara diri.Tanam padi bukan untuk dijual. Jadi banyak simpanan. Kami tidak pernah kekurangan padi.

Kehidupan masa itu memang begitu.Mungkin kerana kemiskinan. Bukan tidak boleh makan. Padi satu tahun pun tidak habis. Biasa ada makan. jarang lapar. Tiada kekurangan makanan. Walaupun kami dari Keluarga yang tidak berada. Tapi kalau kita bandingkan dengan orang lain, orang lain pun begitu.kebanyakan penduduk hanya jadi petani.

UB: Selepas tingkatan enam, datuk terus masuk universiti?

GREGORY: Selepas tingkatan enam, saya mohon masuk Universiti Malaya.Masa itu saya sudah bekerja sebagai kerani di ibu pejabat polis Kepayan. Gaji RM280. Kemudian pada bulan Mei 1975, saya dapat tawaran masuk universiti. Saya bincang dengan famili, dengan sepupu sepupu. Buat pungutan sikit sikit.

UB: Banyak yang dapat dikumpulkan?

GREGORY: Saya dapat kumpul RM1,200. RM300 tambang, duit selebihnya itu untuk bayar yuran pengajian, tempat tinggal. Saya sebenarnya terlambat mohon biasiswa. Selepas mendapat tawaran, Saya jumpa bahagian biasiswa, mereka beritahu permohonan sudah tutup. Saya diminta hantar borang sahaja. Saya ke yayasan Sabah, saya diberitahu biasiswa tidak ada, yang ada pinjaman pendidikan.

UB: Jadi bagaimana?

GREGORY: Saya pergi saja. Apapun yang terjadi, saya pergi saja, Dalam hati kalau tak cukup duit nanti saya cari kerja. Itulah pertama kali juga saya naik kapal terbang. Datang ke tempat yang baru, persekitaran baru, dalam usia kira-kira 19 tahun. Ada juga rasa nervous kerana tidak pernah ke semenanjung. Itulah pertama kali, seorang diri. Di tempat baru kita terpaksa cari kawan sendiri.



UB: Dapat biasiswa?

GREGORY: Nasib baik. Pada penghujung tahun 1975. Saya dapat dua tawaran. Satu tawaran biasiswa dari Kerajaan Negeri dan satu lagi pinjaman pendidikan dari Yayasan sabah.Akhirnya saya pilih biasiswa. Selepas tiga tahun di Universiti Malaya, saya berjaya mendapat Bachelor of Arts, pengkhususan dalam bahasa Inggeris.

UB: Siapa antara rakan dari Sabah yang belajar di UM masa itu?

GREGORY:Antara rakan dari Sabah yang belajar di Universiti Malaya ketika itu Datuk Abidin Madingkir, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur. Di sana juga kita berkenalan dengan Datuk Ewon Ebin, Tan Sri Gani Patail, Datuk Wilfred Mojilip Bumburing

UB: Apa kerja datuk selepas tamat universiti?

GREGORY: Sekembalinya saya ke negeri Sabah, saya bekerja dengan Kerajaan Negeri sebagai Pegawai Pentadbir Tahun 1978.Mula mula saya di pejabat perjawatan negeri.Saya di sana kira-kira 15 tahun dari tahun 1978 hingga 1994. Mula-mula sebagai pegawai tadbir, Ketua Penolong Pengarah dan kemudian sebagai Timbalan Pengarah.

UB: Selepas itu?

GREGORY: Kemudian saya mohon biasiswa untuk melanjutkan pelajaran. Sesudah 15 tahun bekerja, kita rasa bosan juga, jadi saya mohon biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana.

UB: Tahun berapa?

GREGORY: Tahun 1993, saya meneruskan pengajian Master ofScience di United Kingdom, di York University. Yorkshire.

UB: Jauh dari London?

GREGORY:Terletak kira kira dua jam naik keretapi di sebelah utara London. Tapi kalau kelab Leeds United, kira-kira 30 minit saja dari tempat saya belajar.

UB: Dimana Datuk bertugas sekembalinya dari UK?

GREGORY:Saya ditugaskan di Biro Pembangunan Sumber Manusia (BPSM ) dari tahun 1995-1998 jadi Timbalan Pengarah di sana. Antara tugasnya ialah merancang dan mengimplementasi modul latihan untuk pegawai-pegawai kerajaan Sabah, termasuk memberi ceramah kepada pegawai kerajaan. Selain itu, di BPSM kami juga merancang dan mengimplementasi modul latihan teknikal untuk pelajar-pelajar sekolah lepasan tingkatan lima.

Kemudian pada Februari 1998 hingga 2005, saya berkhidmat sebagai Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna. Antara bidang tugasnya ialah memastikan dasar-dasat kementerian dapat diimplementasikan dengan jayanya oleh jabatan dan agensi berkaitan di bawah kementerian seperti Jabatan Kebajikan, Jabatan Perpustakaan Negeri Sabah, Jabatan Hal Ehwal Wanita dan lebih 30 persatuan sukarela yang berdaftar dengan kementerian.

Antara bidang tugas saya di sana juga ialah merancang dan mengkordinasi pengagihan peruntukan ke jabatan dan persatuan sukarela di bawah kementerian.

Dalam menjalankan tugas-tugas berkenaan, di sini saya terdedah dengan isu-isu hak asasi manusia khususnya hak asasi kanak-kanak, hak asasi golongan orang kurang upaya dan hak asasi golongan warga emas. Saya juga terlibat dalam mempromosi hak-hak pengguna dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

UB: Kemudian dimana Datuk ditugaskan?

GREGORY: Pada Julai 2005 hingga Disember 2007, saya berkhidmat sebagai Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan Industri Makanan. Antara tugas-tugas saya ialah memastikan dasar-dasar kementerian dapat diimplementasi oleh jabatan dan agensi berkaitan di bawah Kementerian seperti Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmaran Haiwan dan Perusahaan Ternak, Jabatan Perikanan, Jabatan Pengairan dan Saliran, Lembaga Industri Getah Sabah, Korporasi Pembangunan Desa dan sebagainya.

UB: Apa jawatan datuk sebelum bersara?

GREGORY: Pada 27 Disember 2007 hingga 17 Ogos 2011, saya dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan). Antara tugas saya di sana ialah memantau pengimplementasian projek pembangunan yang berada bidangkuasa jabatan Ketua Menteri.

Saya juga ditugaskan untuk menangani pembangunan teknologi informasi dan komunikasi di kesemua Jabatan Kerajaan Negeri.

Sebagai TSKN, saya juga ditugaskan untuk mengkordinasi dan menapis respon dari jabatan dan agensi Kerajaan Negeri khususnya di bawah Jabatan Ketua Menteri berhubungan isu-isu yang dibawa oleh Suhakam.

UB: Sudah berapa lama datuk dilantik sebagai Pesuruhjaya Suhakam?

GREGORY: Saya baru saja mendapat pelantikan sebagai pesuruhjaya Suhakam pada Jun lepas. Sebelum itu, saya diberitahu bahawa kerajaan sedang cari pesuruhjaya kerana ada kekosongan. Saya pun dipelawa menghantar CV. Kemudian saya mendapat telefon dari Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Suhakam untuk mengesahkan beberapa butiran. Tidak berapa lam kemudian saya, saya mendapat tawaran pelantikan sebagai Pesuruhjaya Suhakam Sabah. Begitulah ceritanya. Kami dilantik sebagai pesuruhjaya Suhakam, seramai lapan orang di seluruh Malaysia bersama Pengerusi Suhakam iaitu Tan Sri Razali Ismail, mantan Pengerusi Persidangan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).

UB: Apa perancangan datuk selepas dilantik sebagai pesuruhjaya Suhakam yang baru?

GREGORY: Kita hanya meneruskan rancangan kerja dan program-program yang sudah disediakan oleh Suhakam dalam memberikan kesedaran mengenai hak asasi.

UB: Apa prinsip datuk?

GREGORY:Kita buat apa yang terbaik.Kalau kita kerja kita buat kerja yang terbaik.



No comments: