Saturday, September 10, 2016

HAJI MAHIL KAMARUDIN, UTAMAKAN KEJUJURAN DAN KEIKHLASAN

HAJI MAHIL KAMARUDIN, UTAMAKAN KEJUJURAN DAN KEIKHLASAN

PERANANNYA sebagai Pengerusi Majlis Permuaafakatan IbuBapa Guru dan Komuniti (PIBK) Lahad Datu dan Pengerusi PIBG SK Lahad Datu II agak menyerlah. Beliau juga agak rajin mengetengahkan isu-isu berkaitan dalam usaha meningkatkan lagi mutu pendidikan di negeri ini.

“ Kita hanya menumpang kasih”, katanya ketika ditanya mengenai peranannya dalam penglibatan PIBG dan Pengerusi PIBK Daerah Lahad Datu. Walaupun pada mulanya agak keberatan, namun akhirnya beliau bersetuju berkongsi sedikit kisah hidup dan pengalaman dalam bidang bidang yang pernah dilaluinya.

HAJI MAHIL KAMARUDIN lahir di Kampung Asam Lahad Datu pada 3 Julai 1964. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Lahad Datu (1971-1976) sebelum melanjutkan pelajaran menengah di SM St Dominic Lahad Datu (1977-1981). Selepas itu, beliau bekerja sebagai Kerani di Jabatan Perubatan Lahad Datu pada tahun 1983, Kerani Sementara bagi Banci Pelarian Filipina (1985) dan Guru Sandaran Tidak Terlatih di SM St Dominic dari tahun 1986 hingga 1989. Selepas itu, beliau mengikuti kursus bahasa Inggeris di Kolej Damansara Utama Petaling Jaya (1990) dan British Council Language Centre Kuala Lumpur (1991) dan kemudian melanjutkan pelajaran di peringkat Diploma in Business Studies di Institut Usahawan Bumiputera Kuala Lumpur. Selepas itu, Haji Mahil bekerja sebagai Eksekutif Pelatih, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) dari tahun 1994 hingga 1995.Pada tahun 1996, beliau melanjutkan pengajian di La Trobe University, Australia hingga mendapat Bachelor of Business-Human Resources Management) pada 1998. Sekembalinya ke Malaysia, beliau menjadi Eksekutif,Bahagian Pinjaman Pengajian MV Human Potential Marketing di Kuala Lumpur dari tahun 2000 hingga 2001. Kemudian beliau menjadi Independent Transriber dari Januari hingga Mei 2002 sebelum menjadi Eksekutif Sumber Manusia, IOI Corporation Berhad Wilayah Sandakan dari 2002 hingga 2003. Beliau pernah dilantik sebagai Ahli Pengarah Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah pada 2004.Beliau adalah Ahli Jawatankuasa Pelaburan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS). Kini beliau bekerja sendiri sebagai Kontraktor Kelas F.

Dalam bidang sukan, Haji Mahil pernah mewakili sekolah dan daerah dalam Kejohanan Badminton Negeri Sabah, juga mewakili La Trobe University dalam Sukan Intervarsity di Australia. Sebagai seorang yang aktif dalam kegiatan sosial, Haji Mahil pernah menjadi Bendahari, Bendigo International Student Club,La Trobe University Australia (1998), Mentor bagi Pelajar Antarabangsa La Trobe University (1998), Bendahari Pertubuhan Kebajikan Idahan Pewaris Madai Lahad Datu (Pewaris), Ahli Kelab Lahad Deatu Golf & Country Club dan Shan Shui GCC Tawau, Yang Di Pertua PIBG SK Lahad Datu II dan Pengerusi PIBK Daerah Lahad Datu. Beliau mendirikan rumah tangga dengan Puan Nor Hafizah Haji Md Isa ( asal Alor Setar Kedah ) dan mempunyai 3 orang anak.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang mewawancara beliau di Lahad Datu dan kemudian diteruskan melalui surat elektronik dan aplikasi WhatsApp. Ikuti petikan wawancara bersama Pengerusi PIBK Lahad Datu ini.

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit mengenai latar belakang tuan haji?

HAJI MAHIL: Saya dilahirkan di Kampung Asam Lahad Datu kira-kira 52 tahun yang lalu.Ayah saya, Kamarudin bin Adan dan Ibu, Hajjah Mucha Intan binti Hatib Rita. Saya anak yang ke enam dalam 7 orang adik beradik.

UB: Kampung Asam? Kenapa dipanggil Kampung Asam?

HAJI MAHIL: Kampung Asam ini adalah sebuah kampung yang mempunyai lot sendiri dan bergeran. Kampung ini dikenali sebagai kampung Asam kerana ada sepohon pokok asam yang besar tumbuh di tebing sungai. Penduduk dari kampung bersebelahan seperti Kampung Tabanak mengambil air minum di kawasan sungai tempat pokok asam ini. Bila musim air pasang besar, airnya masin di kawasan KampungTabanak. Diantara jiran sederet dengan kami ialah Datuk Hj Abdul Hamid Marican, Haji Datu Sibi Datu Agaseh, Tan Sri Haji Sunoh Marso dan Wak Rejimin.

UB: Tentu sekali menarik cerita zaman zaman kanak kanak tuan haji. Ada yang boleh dikongsikan?.

HAJI MAHIL: Rumah kami beratap nipah di tepi sungai asam. Mandi bersama kawan kawan dan bermain rakit dengan batang pisang di sungai adalah aktiviti utama. Tanah kami di penuhi dengan pokok langsat dan rambutan. Dalam musim buah memang ramai yang datang ke rumah kami.

UB: Bagaimana pula musim persekolahan tuan haji?

HAJI MAHIL: Persekolahan awal saya di SK Pekan Lahad Datu pada 1971. Semasa di SK Pekan, kami menaiki ‘pick-up’ yang berbumbung sebagai kenderaan ke sekolah. Saya ingat lagi pemandunya, Abang Sahirin Hassan, dari kampung Tabanak.

UB: Siapa rakan rakan sepersekolahan tuan haji di Sekolah Rendah?.

HAJI MAHIL: Antaranya, yang saya ingat Ramdin Ahmad, Ariffin Tan Sri Sunoh, Said Salim, Ali Haji Rais, Karim Iskandar, Suria Buana, Amirul, Faisal Hj Saripuddin, Mantan MP Silam Dato Hj Salleh Kalbi, Cikgu Siti, Rohana Hassan.

UB: Mungkin ada nama-nama guru guru di sekolah rendah yang masih tuan haji ingat?

HAJI MAHIL: Antaranya,Cikgu Mildad dan Cikgu Sharif Kassim. Mereka ini Guru Besar. Cikgu Dayang Talok Datu Hj Jinuarain, Cikgu Kamisah Bandar, Cikgu Hajjah Pungut Engoh, Cikgu Zainal Abidin Laja, Cikgu Adnan dan Cikgu Haji Datu Mansur Datu Jalilul Hassan.

Dalam soal pelajaran, saya lemah dalam banyak bidang. Seingatan saya pada tahun 1974 (darjah 4), saya pernah di ‘ketuk’ kepala oleh guru saya ketika itu Cikgu Zainal Abidin kerana tidak tahu mengira. ( Tuan Hj Zainal Abidin Laja adalah Tokoh Kepimpinan Perdana sempena Sambutan Hari Guru 2016 Daerah Lahad Datu.

UB: Dimana tuan haji bersekolah selepas itu?

HAJI MAHIL: Saya meneruskan persekolahan menengah di Sekolah Menengah di SM St Dominic Lahad Datu 1977. Sekolah itu tidak jauh dari rumah. Berjalan kaki lebih kurang 1 km sahaja. Rakan-rakan sepersekolahan ketika itu, Ismadi Mildad, Dayang Sabariah Hj Datu Bistari, Willie Miat, Cikgu Mustafa Maarop, Cikgu Norsima Chawa, Oziah Oksel, Harris Bandar, Normin Kasimin.

UB: Mungkin ada guru-guru di sekolah menengah yang tuan haji masih ingat?

HAJI MAHIL: Antaranya Cikgu Amelia Capili, Cikgu Sulaiman, Cikgu Leham Md Som, Cikgu Ku Abdullah, Cikgu Khatijah Patail, Cikgu Hanapi Arshad, Cikgu Marry Liau, Cikgu Alice Sia

UB: Pasti banyak suka duka kehidupan yang dialami. Boleh ceritakan sedikit?

HAJI MAHIL: Walau pun bergelumang dengan kemiskinan, soal makan kami boleh kata kami tak susah. Ayah saya bekas pekerja Yayasan Sabah dalam Zaman USNO. Ayah saya sangat mahir dalam berkebun, berburu dan nelayan. Makanan makanan laut sangat mudah dicari dan diperolehi ketika itu.

Saya hanya mendapat gred 3 dalam SPM. Kemudian saya bertugas sebagai kerani di Jabatan Kesihatan Lahad Datu 1983. Berhenti kerana tidak suka bekerja di kaunter. Rasa tidak bebas. Kemudian menjadi kerani banci pelarian Filipina di Jabatan Pendaftaran Lahad Datu (1984-85). Pengalaman bagus, kerana melawat seluruh Lahad Datu untuk mendaftar pelarian Filipina. Seronok menaiki Bot PX16 Polis Marin untuk ke Tanjung Labian. Kontrak tidak disambung oleh Kerajaan PBS ketika itu.

UB: Saya teringat satu peristiwa yang terjadi di Lahad Datu tahun 1985. Dimana tuan haji sewaktu serangan mundu itu?

HAJI MAHIL: Saya bersama tiga orang rakan terperangkap di Pejabat Pendaftaran yang terletak di bangunan kedai di tengah-tengah bandar Lahad Datu. Saya bersama rakan, Sutarno Hj Bugil dan Saudara Pakihatun Hj Muhammarun. Kebetulan pejabat kami bersebelahan dengan Pejabat Pelajaran Daerah Lahad Datu. Saudara Ahmad Hj Sahabuddin dan Saudara Pajil juga turut ada bersama kami. Serangan lanun itu berlaku pada bulan September 1985, mengorbankan lebih 10 nyawa.

UB: Saya difahamkan tuan haji juga pernah menjadi Guru Sandaran Tidak Terlatih?

HAJI MAHIL: Selepas itu saya menjadi Guru Sandaran Tidak Terlatih di SM St Dominic pada tahun 1986-89. Saya bersama Cikgu Mariani Marali (Jiran) ditemuduga oleh Cikgu Yussof Hj Khamis, Penyelia Pelajaran ketika itu. Kerja sebagai guru ini unik kerana walaupun sudah tidak menjadi guru, kita akan juga dipanggil cikgu. Antara nama-nama murid yang saya masih ingat ialah, Fazli Haji Sairi, Suzie Shaaban, Haji Samsul Marullah, Puan Hamsiah Mohd Ali dan Johan Segama
UB: Selepas jadi guru, tuan haji kerja sebagai apa?

HAJI MAHIL:Dalam tahun 1990,saya mencuba nasib ke Kuala Lumpur dalam usaha mencari lingkungan baru yang lebih kompetitif dan usaha memperbaiki taraf akademik. Seisi Keluarga sangat membantu dan memberi sokongan terhadap hasrat saya ini. Di Kuala Lumpur pada masa itu saya tinggal bersama ( Yusof Hj Sarangit (Datuk) ). Ketika itu Datuk Yusof Haji Sarangit menjadi pegawai protokol di Istana Negara sebelum ditugaskan di Lagos Nigeria dan Tokyo. Saya masih ingat katanya, “datanglah ke KL untuk menimba ilmu dan pengalaman. Berusahalah memahami corak dan cabaran di kota ini….”

UB: Mungkin, tuan haji boleh ceritakan pengalaman di KL?

HAJI MAHIL: Beberapa tempat sudah disinggahi untuk mencari ilmu, seperti Kolej Damansara Utama (KDU) pada 1990 dan British Council (kursus bahasa inggeris) 1991 dan Diploma IUB (Mara) pada 1992-93.

UB: Kemudian?

HAJI MAHIL: Kemudian, saya kembali ke Sabah dan bertugas sebagai Exekutif Pelatih di Perbadanan Ekonomi Negeri Sabah (SEDCO) di Kota Kinabalu sebelum ditawarkan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah ke Australia 1996.

UB: Apa pengalaman yang dilalui ketika menuntut di Australia?

HAJI MAHIL: Saya menuntut di La Trobe University pada tahun 1996 hingga 1998.Kampus Bendigo terletak kira-kira 1 jam perjalanan keretapi dari pusat Bandar Melbourne.

Sepanjang berada di sana, saya pernah bekerja sambilan di restoran sebagai ‘kitchen helper’ tukang cuci pinggan mangkuk dan mengupas kepala udang adalah kerja yang pernah dilalui. Gaji bagus juga AUD 9.50 sejam.Satu sesi 4 jam dan 2 kali seminggu. Dapatlah AUD 76 seminggu, cukup membayar sewa penginapan. Saya beli basikal dan guna untuk ketempat kerja.

Sebagai pelajar antarabangsa, kelemahan berbahasa Inggeris masih terasa. Saya kena berusaha bergaul dengan masyarakat setempat di universiti. Saya pernah dilantik sebagai Bendahari Kelab Pelajar Antarabangsa (1998), menjadi Mentor kepada pelajar antarabangsa dan terlibat Guide semasa hari terbuka universiti

UB: Masa itu, ramaikah pelajar dari Sabah atau dari Malaysia yang belajar di sana?

HAJI MAHIL: Ramai. Antaranya Khairil Gibran Yahya (Anak kepada seorang penulis buku), Azmi Yusof, Nina, Allen, Aundry, Johan Lau, Mercy Lawrence Ligunjang, Satpal Singh Sandu, Nelson Andrew, Precilla Ewot, Harrol Hamid (Kementerian Luar Negara Brunei), Amrin (Sarawak). Dari University lain di Melbourne, Joana Datuk Alfred Bosuin, Filex, Justina Engihon dan IR Rajesh Datuk Yussof

UB: Penglibatan dalam NGO atau parti, mungkin tuan haji boleh sebutkan?

HAJI MAHIL: Selain PIBG dan PIBK, dalam NGO, saya Pengerusi Biro Penerangan PEWARIS, Mantan AJK Bahagian UMNO Silam (2008-13). Saya juga bekas Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Baitulmaal Negeri Sabah ( 2004 ) dan kini saya salah seorang Ahli Jawatankuasa Pelaburan MUIS.

UB: Apa prinsip tuan haji dalam kehidupan?

HAJI MAHIL: Bagi saya, segala-galanya berkisar kepada kejujuran, keikhlasan dan sentiasa berdoa memohon kepada Allah.

UB: Masih ramai yang kurang jelas mengenai peranan Pelibatan Ibubapa dan Komuniti (PIBK)?

HAJI MAHIL: Peranan PIBK, lebih kurang sama saja dengan peranan PIBG di peringkat sekolah. Kita memberikan sokongan dan kita memastikan penglibatan komuniti dalam apa saja program yang dianjurkan. Dengan yang demikian persefahaman dan kerjasama diantara Jabatan Pendidikan dan komuniti dapat dijalin dan dipupuk. Ianya satu jaringan yang kuat dalam memastikan sasaran yang ditentukan oleh Pihak Kerajaan akan tercapai.

Selain daripada, dalam aspek pandangan ’mata kasar’. Kita juga mengambil inisiatif untuk menjadikan PIBK sebagai saluran untuk mengemukakan sebarang isu-isu yang difikirkan sesuai untuk perbincangan dan menyampaikannya kepada Pihak Kerajaan. Kita bertindak mewakili Ibubapa dan Masyarakat. Kita amat maklum, bahawa kita sama sekali tidak boleh dan tidak dibenarkan mencampuri urusan Sekolah dan Jabatan. Itu jelas kepada kita

Di Lahad Datu dan Tungku, terdapat 53 buah Sekolah Menengah dan Rendah. Bermakna kita ada 53 PIBG.

UB: Apa isu-isu yang diperjuangkan oleh Majlis Permuafakatan PIBG melalui PIBK di bawah pimpinan tuan haji?

HAJI MAHIL:Kita ada beberapa isu utama sepertimana yang saya sentuh semasa berucap di Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah yang lalu. Isu berkaitan kekurangan guru umpamanya. Berdasarkan pengamatan kita, ianya jelas.

Sekolah kekurangan bilik darjah, Ada sekolah yang tidak dapat mengadakan ujikaji sains untuk pelajarnya kerana makmal tidak mempunyai bekalan letrik. Ini diantaranya sahaja. Bermakna kita juga bertindak sebagai salah satu saluran dalam mengemukakan apa apa isu kepada Pihak Kerajaan.

Satu lagi isu ialah isu kurang dihargai. Kita di Permuafakatan PIBG mengambil inisiatif menghargai mana mana sekolah yang mencatatkan kecemerlangan dengan pemberian anugerah-anugerah khas. Allhamdulillah, dalam majlis yang diadakan baru-baru ini, ianya disampaikan sendiri oleh Pengarah pendidikan Negeri Sabah. Ini penting sebagai dorongan untuk mencipta kecemerlangan yang lebih besar.

UB: Ketika berucap di Majlis Sambutan Hari Guru 2016 Peringkat Daerah Lahad Datu 26 Ogos yang lalu, Haji ada menyentuh penganugerahan pingat kebesaran, boleh jelaskan.

HAJI MAHIL: Saya berharap perkara yang saya bangkitkan itu, tidak melangkaui batas saya sebagai seorang Pengerusi PIBK Daerah. Ini sebagai cadangan sahaja. Pengiktirafan dari Pihak Institusi Istana samada Negeri atau Persekutuan ‘agak berbeza’ walaupun semuanya atas nama Pihak Kerajaan.

Hakikatnya tanggungjawab dan jiwa kita terlalu hampir dengan para pendidik. Kita maklum akan kepayahan yang mereka lalui. Terutamanya yang bertugas jauh dari kampung halaman. Telah berpuluh-puluh tahun menempuh ranjau yang sifatnya sebagai ‘pembina negara bangsa’. Lokasi sekolah berada dimana-mana. Di pesisir pantai, pulau, kawasan pendalaman dan sebagainya. Kita faham akan gambaran ini.

Saya mengambil contoh Cikgu Puan Nor Aini Saad, berasal dari Langkawi Kedah, yang baru sahaja menamatkan perkhidmatannya selama lebih 30 tahun sebagai pendidik.

Saya berkesempatan bertemu dengan Cikgu Puan Nor Aini Saad ini sebelum beliau balik ke Semenanjung dan bertanya akan pengalamannya semasa bertugas di Sabah. Tahun 1883 mula bertugas di SK Bode Kertam selama 11 tahun, Kemudian ke SK Tanjung Aru, SK Muhibbah dan SK Sukau di Daerah Kinabatangan dan terakhir di SK Permai di Lahad Datu. Beliau tmengharungi keadaan jalanraya ‘gravel’ di Sabah, Feri di Jambatan Kinabatangan dan Segama, merasai banjir besar di Sukau. Beliau amat tabah dan gembira dapat melalui itu semua.

Contoh lain, Cikgu Mubarak Abd Ghani, asal Pahang berkhidmat di Tungku dan Felda Sahabat lebih 30 tahun juga. Beliau menetap di Kampung Telisai Tungku. Cikgu Loo Hui Hoon dan Cikgu Yeoh Sek Goh, keduanya dari Kelantan berada di Lahad Datu selama lebih 34 tahun. Ini hanya contoh kecil dan kita percaya berlaku di Daerah lain di Sabah.

Mereka ni pun menerima pelbagai anugerah oleh Jabatan Pendidikan dan Kementerian. Hakikatnya mereka sudah menaburkan bakti dengan begitu tabah, berani dan dedikasi.

UB: Apa cabaran-cabaran yang dihadapi PIBK (Pelibatan Ibubapa dan Komuniti?

HAJI MAHIL: Antara cabaran yang dihadapi PIBK, mungkin cabaran pengurusan masa mungkin. Selebihnya, kita juga perlu mengimbangi bentuk dan pemikiran Masyarakat sekeliling.
















No comments: