Isnin, 31 Oktober 2016

CIKGU ZAINAL ABDIN LAJA, SUKA MENCABAR DIRI

Tags




CIKGU ZAINAL ABDIN LAJA, SUKA MENCABAR DIRI

“DALAM kehidupan ini, kita mesti berani melakukan perubahan dan berani mencuba”, kata Tokoh Guru Peringkat Negeri 2009, Haji Zainal Abidin bin Laja.” Kita perlu berani . Bagi saya, saya suka cabar diri saya untuk mencapai sesuatu yang lebih cemerlang,” katanya yang dianugerahkan sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan Daerah Lahad Datu 2016. Ketika menjalankan tugasnya, beliau sentiasa komited, berdisiplin dalam mencapai misi dan visinya sebagai pendidik. Ketika menjadi pegawai pendidikan atau pengetui sekolah, beliau memiliki rekod pencapaian yang sukar ditandingi.

Haji Zainal Abidin bin Laja dilahirkan pada 14 Januari 1950 di Kampung Binuang Lahad Datu. Beliau mendapat pendidikan awal di Government Vernacular Primary School Lahad Datu dari tahun 1957 hingga 1963.

Kerjayanya sebagai guru bermula sebagai guru sementara di Native Voluntary School (NVS) Batu 6 1/2 Jalan Segama bermula  Januari 1966 tetapi terpaksa berhenti tiga bulan kemudian kerana beliau tidak dapat dilantik kerana usianya kurang daripada 17 tahun. Setahun kemudian, beliau kembali mengajar sebagai guru sementara di SRK Binuang Lahad Datu dari tahun 1967 hingga 1969. Pada tahun 1969 juga, beliau menduduki peperiksaan seterusnya lulus Sijil Rendah Pelajaran pada 1969 sebagai calon persendirian.

Pada tahun 1970 hingga 1972, beliau memasuki Maktab Perguruan Kent Tuaran dan berjaya memperolehi Sijil Perguruan (pangkat 1). Setamatnya dari Kent, beliau dilantik sebagai Guru Penolong di SRK Batu 6 1/2 Jalan Segama pada Januari 1973. Namun pada bulan Mei, tahun yang sama, beliau ditukarkan sebagai Guru Besar SRK Kerajaan Kunak 3 (Kini SK Kunak 2) bermula Mei 1973 hingga 1974. Kemudian beliau dilantik sebagai Guru Penolong di SRK Pekan Lahad Datu pada 1974. Selepas itu, beliau berpindah sebagaui Guru Penolong di SRK Pekan Labuan dari tahun 1975 hingga 1977.

Ketika berada di Labuan, beliau mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 1975 sebagai calon persendirian kemudian  pada tahun 1977, beliau adalah  satu-satunya calon persendirian yang lulus penuh  Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di pulau itu. Cikgu Zainal kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi pada tahun 1978 hingga memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian dalam bidang Sejarah pada tahun  1982.

Selepas itu, beliau dilantik menjalankan tugas-tugas pengetua di SMK Kunak bermula April 1982 hingga April 1989. Kemudian beliau Menjalankan Tugas-Tugas Pengetua di SMK Agaseh Lahad Datu pada Mei 1989 hingga 1993. Pada tahun 1994, beliau dilantik sebagai Pengetua SMK Agaseh Lahad Datu hingga September 2000. Beliau dilantik sebagai Pegawai Pendidikan Bahagian  Tawau dari Oktober 2000 hingga Januari 2004 dan kemudian beliau dilantik sebagai Pegawai Pendidikan Daerah Gabungan Lahad Datu pada Februari 2004 hingga bersara pada Januari 2006.

Dalam kegiatan berpersatuan, antara jawatan yang  pernah disandangnya ialah Pengerusi Kesatuan Guru-Guru Bumiputera Sabah (KGBS) Cawangan Kunak (1983-1989), Ahli Majlis Tertinggi Kesatuan Guru Bumiputera Sabah (1983-1989), Pengerusi kelab Kebajikan Guru-Guru Daerah Labuan (1984-1985)Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Pengetua-Pengetua Sekolah Menengah Sabah (PPSMS) (1984-1985/ 1991-1993), Penolong Setiausaha Agung PPSMS (1986-1987), Presiden PPSMS (1998-2000), Ahli Majlis Tertinggi Persidangan Kebangsaan Pengetua Sekolah Menengah Malaysia (PKPSM) dan Pengerusi JK Pengelola PKPSM Peringkat Kebangsaan di Kota Kinabalu pada 1999.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Daerah Lahad Datu dari tahun 2006 hingga 2011.

Cikgu Zainal juga adalah Pengasas Pertbuhan dan Pengerusi Kelab Kebajikan Pesara-pesara Perkhidmatan Awam (Kelab EEmas Daerah Lahad Datu,Pengerusi Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmaran Pendidikan (PBPPPM) Daerah Lahad Datu, (2007-2009/2016-2018), Pengasas Penubuhan dan Pengerusi Lembaga Pendidikan Teluk Darvel Berhad (2008-2014) dan AJK Masjid Nur Imam Kampung Sapagaya Lahad Datu 2011 hingga kini.

Sebagai pengiktirafan terhadap jasa dan baktinya, beliau pernah dianugerahkan Bintang Kinabalu (BK) (1989), Bintang Setia Kinabalu (BSK) ( 2000), Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) pada tahun 2003, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Pendidikan Malaysia (1994), ‘Prinsipal of The Year Daerah Lahad Datu (1995), Tokoh Guru Peringkat Daerah Lahad Datu  (2007), Tokoh Maal Hijrah Peringkat Daerah Lahad Datu (2007), Tokoh Guru Peringkat Negeri (2009), Tokoh Kepimpinan Pendidikan Daerah Lahad Datu (2016).

Beliau mendirikan rumah tangga dengan Hajah Mahani Haji Ibrahim dan dikurniakan tiga cahaya mata, seorang lelaki , Mohd Fazula seorang peguam,dan dua perempuan, Siti Zarina lulusan UIA, seorang usahanita dan Nurul Izzah, pengurus sebuah jabatan dalam perhotelan di ibu negara.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang mewawancara beliau di rumahnya di Kampung Sepagaya Ulu, Lahad Datu baru-baru ini. Ikuti petikan temubual  bersama beliau:

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang cikgu? Dulu, sekolah di mana?

HAJI ZAINAL: Cikgu Zainal: Saya lahir di Kampung Binuang, Saya anak ketiga dari lima adik beradik. Saya bersekolah di Government   Vernacular Primary School Lahad Datu dari darjah 1 hingga 5 sebelum ia berpindah ke tempat yang ada sekarang . Masa itu, sekolah itu terdiri dari satu bangunan, dindingnya papan dan atapnya sudah asbestos. Keadaannya ,masih amat daif .
Saya sempat menyambung sekolah di St Dominic dalam bridge class 1. Namun keadaan masa itu tidak mengizinkan. Saya terpaksa berhenti sekolah. Terpaksa ikut orang tua. Keluarga pula pindah ke Segangan untuk menanam padi tugal. Masa itu tidak ada padi sawah di Lahad Datu.Hanya tanam padi dengan cara menugal.

UB:  Selepas berhenti sekolah, cikgu kerja apa?
HAJI ZAINAL: Kemudian pada tahun 1966, saya memohon menjadi  guru sementara di Native Voluntary School (NVS) Batu 6 1/2 Jalan Segama. Tetapi tidak lama. Hanya tiga bulan sahaja.Tanpa gaji.  Saya  terpaksa berhenti kerana tidak dapat dilantik. Umur  saya kurang daripada 17 tahun.
Setahun kemudian, apabila usia saya genap 17 tahun,saya masuk semula bekerja sebagai guru pelatih di SK Binuang Lahad Datu dari tahun 1967 hingga 1969.

UB: Berapa gaji guru masa itu?
HAJI ZAINAL:Gaji masa itu hanya $105 ringgit sebulan. Kehidupan di kampung tidaklah susah sangat. Harga seluar kalau tidak silap hanya 30 ringgit. Gula 30 sen sekati. Beras satu gantang kira-kira Dua ringgit. Tiap-tiap bulan saya masih boleh memberikan orang tua sebanyak $50 ringgit.
UB: Bagaimana keadaan hidup pada masa tahun-tahun 60-an di Lahad Datu?
HAJI ZAINAL: Sewaktu saya kecil, kehidupan kami agak susah. Kadangkala ada beras. Kadang kala tidak ada. Ayah saya juga pemanjat kelapa. Saya tidak rasa malu, Kadangkala makan kelapa muda dengan nasi.

UB:  Cikgu pernah menduduki bangku sekolah menengah?
HAJI ZAINAL: Tidak pernah. Saya mengambil peperiksaan SRP, SPM dan STPM sebagai calon persendirian. Pada tahun 1969 , saya  menduduki peperiksaan  Sijil Rendah Pelajaran sebagai calon persendirian.Saya lulus dengan baik dan kemudian diterima masuk untuk mengikuti Kursus Sijil Perguruan di Maktab Perguruan Kent Tuaran pada tahun 1970 hingga 1972. Itulah pertama kali saya naik kapal terbang. Masa itu Fokker F50 Kalau tidak silap tambangnya sekitar $50 ringgit atau kurang seratus ringgit.

UB: Itu pertama kali naik kapal terbang?
HAJI ZAINAL: Ya. Nasib baik  masa itu, saya satu  kapal terbang dengan Cikgu Sabaladin Haji Sahbudin, yang menuntut di Maktab Gaya,jadi saya tidak begitu risau.Masa itu, Kampus Maktab Kent Tuaran di kelilingi sawah padi. Pengangkutan pula hanya menggunakan bas TUT, Tuaran United Transport dengan tambang 50 sen.

UB: Siapa rakan semaktab masa itu?
HAJI ZAINAL:Antara guru semaktab pada masa itu ialah Cikgu Wan Maligan dan Cikgu Rubiah Mumin. Selain itu, Dr Dayu Sansalu, Sharif Samsudin, Dindi Guliga.

UB:  Pensyarah? Ada yang masih diingat?
HAJI ZAINAL: Antara pensyarah saya masa itu ialah Cikgu Tajudin Mohidin, yang mengajar sains, Cikgu Saini yang mengajar kesusasteraan Melayu, Cikgu Zaini Isa yang bertugas sebagai pensyarah kebudayaan,Cikgu Bungsu Kurus dan sebagainya.

UB: Tahun berapa tamat maktab?
HAJI ZAINAL: Pada tahun 1972, saya berjaya memperolehi Sijil Perguruan (pangkat 1).

UB: Dimana bertugas sebaik keluar dari maktab?
HAJI ZAINAL: Setamatnya dari maktab, saya  dilantik sebagai Guru Penolong di SRK Batu 6 1/2 Jalan Segama pada Januari 1973 kemudian  pada bulan Mei, tahun yang sama, saya ditukarkan di SRK Kunak 3 (kini SK Kunak 2) sebagai Guru Besar SRK Kerajaan Kunak 3 (Kini SK Kunak 2) bermula Mei 1973 hingga 1974.

UB: Masa itu sudah ada jalan raya? Naik apa ke Kunak?
HAJI ZAINAL: Masa itu untuk  ke Kunak terpaksa naik bot Leesoon laju selama tiga jam dari Lahad Datu. Sekolah itu terletak di tepi bakau.Kalau musim hujan, jam lima petang datang agas, jadi kami terpaksa masuk dalam kelambu. Suasana masa itu tidak seperti sekarang. Satu masa, saya pinjam basikal murid untuk ke pekan Kunak. Kalau kebetulan datang hujan, basikal pula yang naik bahu kerana jalan berlumpur.Mahu tidak mahu basikal terpaksa diusung kerana basikal orang. Masa itu, tiada jalan raya. Hanya jalan berlumpur.

UB: Lepas itu, dimana cikgu bertugas?
HAJI  ZAINAL: Saya dilantik sebagai Guru Penolong di SRK Pekan Lahad Datu pada 1974.  Antara murid saya Haji Mahil Kamarudin, seorang usahawan dan Pengerusi PIBG SK Lahad Datu 2,  Ali Rais, Dr Salleh Kalbi, mantan Ahli parlimen Silam, Ramdeen Ahmad, Benjamin. Itu antaranya.
UB: Kemudian?
HAJI ZAINAL: Selepas itu, saya  berpindah sebagai Guru Penolong di SRK Pekan Labuan dari tahun 1975 hingga 1977.Ketika berada di Labuan, saya  mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 1975 sebagai calon persendirian. Kemudian  pada tahun 1977, saya  adalah  satu-satunya calon persendirian yang lulus penuh  Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di pulau itu. Masa itu, keputusan peperiksaan disiarkan satu muka penuh di surat khabar. Selepas lulus STPM, saya  melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi pada tahun 1978 hingga memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian dalam bidang Sejarah pada tahun  1982.


UB: Siapa antara pelajar Sabah di UKM masa itu?
HAJI ZAINAL: Di UKM saya sempat menjadi Setiausaha Persatuan Mahasiswa Sabah. Sebenarnya kami masa itu kami golongan mahasitua. Antara pelajar dari Sabah masa itu ialah Ukong Lisong, Dr Muhidin Yusin, Datuk Sapawi Haji Ahmad, Benyamin Suhaili Fidelis Insing.

Sebagai Setiausaha persatuan, ramai juga pelajar Sabah yang saya kenali masa itu. Antaranya Dr Dayu Sansalu,Haji Nistah Kabul, Aminah Musally, Dr Aziz Ahmad, Wan Arshad, Dr Saijan Samit, Dr Suzain, Dr Hasnah, Haji Said Andong. Hamzah Sundang. Itu Antaranya.

UB: Apa cabaran yang dihadapi sewaktu menjadi mahasiswa?
HAJI ZAINAL: Saya teringat betapa susahnya belajar di universiti. Perlu perjuangan. Kebanyakan buku teks dalam bahasa Inggeris. Saya pula tidak mempunyai latar belakang dalam bahasa Inggeris. Semasa sekolah rendah, di maktab, semua dalam bahasa Melayu.Jadi sewaktu masuk universiti, saya terpaksa ‘struggle’. Jalan kemana-mana bawa kamus. Antara pensyarah yang saya ingat masa itu ialah Allahyarham Dr Othman Puteh, Ramli Isin. Dekan kami ialah Datuk Dr Abu Hassan Othman yang pernah jadi naib Cancelor UMS. Empat tahun di universiti. Alhamdulillah saya lulus Ijazah sarjana Muda sastera dengan kepujian dalam bidang sejarah 1982.


UB: Bagaimana timbul keazaman cikgu untuk belajar lebih tinggi lagi?
HAJI ZAINAL:Keazaman itu timbul ketika melihat kesusahan hidup orang tua, yang boleh dikatakan kais pagi makan pagi. Saya terpaksa berhenti sekolah, tidak dapat masuk sekolah menengah kerana kesusahan dan kemiskinan. Kedua-dua ibu bapa buta huruf.Melihat keadaan itru, keazaman saya untuk meningkatkan pencapaian pendidikan tanpa kuat.
Satu peristiwa lain yang turut memperkuat azam saya ialah ketika berada di Labuan. Isteri saya orang Labuan. Sebagai orang merantau, saya tiada keluarga di sana .Satu peristiwa yang tidak dapat saya lupakan, membuat semangat saya berkobar kobar apabila pada satu hari saya berjumpa dengan ADO bagi mengajukan permohonan untuk menempati rumah kerajaan kerana saya baru lapor diri. Setelah lama menunggu di luar pintu, saya akhirnya dibenarkan masuk. Saya tidak dijemput duduk kerana kebetulan dia ada tetamu.Apabila saya nyatakan hasrat saya, beliau berkata, “bukan saja rumah kerajaan tiada kosong, hotel pun tiada kosong.”. saya bersabar. Kemudian saya beritahu, kalau tiada rumah kosong sekarang manatahu pada masa akan datang. Kalau hotel, mungkin di antara kita dalam ruangan bilik ini, tiada yang mampu. Kemudian saya keluar, dan timbul semangat saya untuk belajar lebih tinggi lagi.

UB: Masa itu, berapa ramai orang Idahan yang lulus universiti?
HAJI ZAINAL: Masih belum begitu ramai. Jika tidak silap, saya mungkin yang kelima graduan dari suku  Idahan di Lahad Datu. Pertama Datuk Ramli Aliasputra, Husin Alisaputra, Datuk Normah Gagoh, Dr Hamid Awong dan saya sendiri.

UB: Tamat dari UKM, dimana cikgu ditempatkan?

HAJI ZAINAL: Selepas tamat universiti, saya  dilantik menjalankan tugas-tugas pengetua di SMK Kunak bermula April 1982 hingga April 1989. Saya tidak pernah menjadi murid sekolah menengah, juga tidak pernah menjadi guru sekolah menengah, tiba-tiba saya dilantik sebagai pengetua sekolah menengah. Tapi saya cabar diri sendiri.Saya tunjukkan keyakinan. Sambil mentadbir sambil mengajar.

Dari SMK Kunak, saya ditugaskan pula  Tugas-Tugas Pengetua di SMK Agaseh Lahad Datu pada Mei 1989 hingga 1993. Pada tahun 1994, saya  dilantik sebagai Pengetua SMK Agaseh Lahad Datu hingga September 2000.

UB: Sepanjang bertugas sebagai pengetua di SMK Agaseh, apa yang pernah cikgu laksanakan untuk meningkatkan pencapaian sekolah?
HAJI ZAINAL: Ketika menjadi Pengetua SMK Agaseh, saya mewujudkan gimnasium sekolah untuk kegunaan warga sekolah bagi meningkatkan tahap kesihatan dan kecergasan fizikal untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang sukan olahraga dan permainan.
Saya juga melaksanakan MS ISO 9000 mulai tahun 2000. SMK Agaseh merupakan sekolah perintis Kementerian Pendidikan Malaysia di Sabah bagi pengurusan berasaskan MS ISO 9000. Ketika menjadi Pengetua SMK Agaseh  Lahad Datu juga , saya mewujudkan konsep ‘Perpustakaan Terbuka’ dan radio seluas-luasnya kepada pelajar-pelajar menambah ilmu melalui bahan-bahan rujukan yang boleh didapati di luar perpustakaan sekolah  dan radio sekolah.
Saya juga melakukan inovasi inovasi dalam pentadbiran, ketika menjadi pengetua. Bagi tujuan mengawal disiplin pelajar asrama, diperkenalkan penggunaan pakaian seragam khas  ketika keluar dari asrama atau sekolah dan kembali ke sekolah dengan penggunaan Kad Metrik dan penggunaan Kad Khas keluar dari asrama atau sekolah dan kembali ke asrama atau sekolah. Bagi tujuan kekemasan dan mengawal disiplin pelajar, diperkenalkan juga penggunaan tali leher, lencana kain berjahit pada baju dan tudung.
Kami juga menggubal Buku Panduan Disiplin Pelajar, bagi panduan pelajar/ guru mengenai peraturan sekolah. Bagi  tujuan pemantauan pelaksanaan tugas guru-guru dalam bilik darjah, diperkenalkan penggunaan Buku Rekod Kehadiran P& P Guru. Selain itu, saya perkenalkan sistem cuti ala kad Kesihatan Klinik bagi mengawal cuti staf.  Bagi tujuan keselamatan sekolah, diperkenalkan pelekat kenderaan untuk staf, ibu bapa pelajar asrama dan individu tertentu. Bagi tujuan menggalakkan warga sekolah menyayangi  sekolah, kita perkenalkan konsep “Sekolahku Rumahku, Sekolah Dalam Taman, Taman Dalam Tandas,  Laluan Ilmu, Pusat Sumber dalam Taman, Taman Inspirasi dan Serambi Asrama. Selain itu, bagi tujuan menarik minat warga sekolah terhadap warisan budaya dan sejarah, kita wujudkan Muzium Sekolah.
Bagi tujuan kekemasan rekod kewangan dan statistik pelajar, diperkenalkan sistem pendaftaran ala pendaftaran universiti kepada semua pelajar.
Bagi tujuan mengawal kebersihan dan keselamatan tandas, diperkenalkan pengurusan tandas ala swasta dengan memastikan pengguna dapat menggunakan bila diperlukan tanpa masalah.
Bagi tujuan memantau pelaksanaan kegiatan Ko-Kurikulum pelajar/guru diperkenalkan Buku Rekod Ko-Kurikulum Pelajar kepada semua pelajar.

UB: Apa antara pencapaian yang dicapai oleh sekolah sewaktu cikgu menjadi pengetua di sana? Masih ingat?
HAJI ZAINAL: Antara kecemerlangan atau pencapaian yang diperolehi oleh SMK Agaseh ketika menjadi pengetua di sana ialah  Naib Johan Keceriaan, Keindahan & Keselamatan Sekolah  (3K) (Menengah Luar Bandar) Peringkat Kebangsaan 1994, Johan Sekolah Dalam taman Kategori Menengah Luar Bandar Peringkat Kebangsaan 1995, Johan Sekolah Harapan Negara Peringkat Kebangsaan 1997, Calon Anugerah Kualiti Perdana Menteri Peringkat Kebangsaan 1999,Naib Johan Pusat Sumber Sekolah Cemerlang Peringkat Kebangsaan Tahun 2000, Sekolah Perintis Pelaksanaan MS ISO )Sabah Peringkat Kementerian Pendidikan tahun 2000, dan menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan, kalau tidak silap 15 anugerah  di peringkat negeri Sabah sepanjang tempoh  1992-2000.

UB: Lepas itu, dimana cikgu bertugas?
HAJI ZAINAL: Saya dilantik sebagai Pegawai Pendidikan Bahagian  Tawau dari Oktober 2000 hingga Januari 2004.

Ketika menjadi Pegawai Pendidikan Bahagian Tawau, saya mewujudkan Sistem Soalan Berpusat peperiksaan akhir tahun sekolah-sekolah rendah/menengah bahagian Tawau. Selain itu, saya melakukan penyelarasan dan keseragaman soalan, kaedah pemarkahan, dan jadual peperiksaan untuk dilaksanakan oleh sekolah-sekolah berbanding sebelumnya. Sistem ini dapat mengurangkan beban guru-guru dalam penyediaan soalan-soalan kerana penyediaan soalan, jadual peperiksaan, dan kaedah pemarkahan diagihkan mengikut kelompok sekolah.


UB:  Selepas itu, dimana cikgu ditugaskan sebelum bersara?
HAJI ZAINAL: Saya  dilantik sebagai Pegawai Pendidikan Daerah Gabungan Lahad Datu pada Februari 2004 hingga bersara pada Januari 2006.
UB: Apa antara perkara yang cikgu laksanakan ketika bertugas sebagai Pegawai Pelajaran  Gabungan Lahad Datu?
HAJI ZAINAL: Ketika menjadi Pegawai Pelajaran Gabungan Lahad Datu, saya mengilhamkan Program Anjakan Bestari bagi sekolah-sekolah rendah dan Program Horizon Gemilang bagi sekolah-sekolah menengah di daerah Gabungan Lahad Datu. Kedua-dua program ini adalah program untuk kecemerlangan sekolah dalam tempoh 2005 -2009. Kandungan program-program begini dijadikan panduan dan sasaran oleh sekolah-sekolah bagi mencapai taraf sekolah cemerlang.

UB: Oh ya, sewaktu kecil dulu apa cita-cita cikgu? Apakah cikgu memang berminat jadi seorang pendidik?
HAJI ZAINAL: Dari kecil dulu saya memang mahu jadi guru. Kebanyakan keluarga saya jadi guru. Abang saya, Hashim bin Laja jadi guru besar, pakcik saya, Adik perempuan saya juga jadi guru besar, Kenang binti Laja Jinggal bin Ahmad jadi guru

UB: Apa yang mendorong cikgu untuk maju?
HAJI ZAINAL:Saya suka cabar diri. Bagi saya, semua boleh dilakukan asalkan kita berusaha. Ketika menjadi Presiden Persatuan Pengetua-Pengetua Sekolah Menengah  Sabah (PPSMS), kami pernah menjadi tuan rumah Persidangan Kebangsaan Pengetua Sekolah Menengah Malaysia. Sebelum itu, persidangan itu berkali kali diadakan di Semenanjung tetapi saya menyuarakan kenapa ia tidak diadakan di Sabah. Kemuncaknya, kami berjaya mengadakan persidangan itu pada tahun 1999 dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia masa itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Itu antara perkara yang tidak dapat saya lupakan.

UB: Apa pengalaman pahit sepanjang jadi guru?
HAJI ZAINAL: Saya tidak anggap pengalaman pahit. Sebagai seorang pendidik, semua yang dilalui, bagi saya adalah cabaran. Itu mengikut persepsi masing-masing. Kenangan manis dan yang menyeronokkan pula ialah melihat murid-murid berjaya. Itu yang paling menyeronokkan.

UB: Apa motto cikgu?
HAJI ZAINAL: Berani melakukan perubahan dan berani mencuba. Kita perlu berani. Bagi saya, saya selalu cabar diri saya untuk mencapai sesuatu yang lebih cemerlang.


UTUSAN BORNEO 29 OKTOBER 2016