Sunday, October 30, 2016

DENGAN LILIN SEBATANG, MENCARI DIMANA MENTARI




DENGAN LILIN SEBATANG, MENCARI DIMANA MENTARI

Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud, lebih dikenali sebagai seorang intelektual berbanding seorang penyair. Mantan Timbalan Pengarah Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) Universiti Islam Antarabangsa ini sebenarnya banyak melahirkan karya karya yang terkenal tetapi saya teringat bukunya Mutiara Taman Abadi, dimana beliau menulis puisi mengenai Agama, Filsafat dan Masyarakat.

Dalam buku setebal 67 halaman terbitan Majlis  Bahasa dan Sastera Sabah (2003) itu, Prof Dr Wan Mohd Nor menulis puisi-puisi yang menarik. Salah satunya bertajuk Hanya Peringatan, sebuah puisi panjang seratus baris.

“Al-Alim berfirman yang tahu adakah sama dengan yang tidak?
Yang bodoh dungu adakah sama dengan yang bijak?
Tepat sungguh tanggapan Rumi tentang si bodoh di siang hari
Dengan lilin sebatang dia mencari di mana mentari!.

Dalam puisi itu, penyair bertanya pembaca apakah mereka ingat pesan Junjungan Besar, bahawa mengawal diri sesungguhnya perjuangan lebih akbar?
Mengawal musuh luaran satu jihad yang tidak mudah,
Jika tubuh kerdil dan senjata usang peperangan ‘kan kalah
Tapi jika jiwa hampa kerana ilmu tak setara kuasa dan harta
Umara membuat dasar celaka, aghniya berperangai seperti baya
Bila Umara jahil dan aghniya bakhil negeri kan musnah
Pencakar langit gedung bertingkat medan pekerta nan punah.

Dalam puisi lain, penyair menulis mengenai kisah Wan Li, panglima Dinasti Ming yang gagah perkasa , tangkas bermain pedang,mahir ilmu peperangan tetapi pahlawan perkasa itu, tewas binasa, dek lentikan bibir dan janji manis gundik diraja.

Kerana banyaknya Wan Li, dikalangan kita, Melaka jatuh ke tangan Portugis, Belanda lama sekali di Indonesia, dan kaum pendatang rakus memegang kuasa dimana-mana, semuanya terjadi kerana wan Li bebas bermaharaja lela.

Wan Li , kata Penyair, mengkhianti bangsa kerana akal ditakluki wanita, Cinta wanita hanyalah sebahagian kecil nafsu keinginan kita. Kelemahan lain, kata Wan Mohd Nor dalam puisi itu ialah kejahilan, kekuasaan, pangkat kebesaran, harta, malah dengki, hasad dan kebencian lebih kerap merosak semua.

Sebuah lagi, puisinya yang menarik, ialah Aku Bimbang, Khuatir.

“Aku sungguh bimbang sekali,
Bahawa umat kita tidak akan bangkit lagi
Bukan kerana tiada pemimpin berwibawa di setiap bidang
Bukan kerana pertumbuhan ekonomi tidak cemerlang
Bukan kerana suasana politik yang tiada aman
Bukan kerana rakyat jelata malas berusaha siang malam.

Beliau khuatir umat kita tidak akan bangkit lagi, kerana pemimpin berwibawa di setiap bidang tidak didengarkaan, suara mereka yang berani-benar tentu tidak menyedapkan. Beliau juga khuatir, umat tidak bangkit lagi, kerana pertumbuhan ekonomi cemerlang tidak digunakan, untuk mengukuh akhlak tinggi di peringkat atasan, yang mudah berubah dengan longgokan kekayaan, yang takabbur lalu merendah bidang tak menguntungkan.
Penyair juga bimbang Universiti tidak dinilai secara insani, hanya patuh nafsu industri, yang sering berubah mengikut pasaran, pasaran berubah mengikut perasaan.

Atau mungkin kerana “Rakyatku sentiasa ditakutkan dengan cerita khayalan, tidak berani menyata kata walau hak di dusta selalu, tidak sanggup membuka mata walau muka diconteng melulu, tidak malu membuat fitnah, walau berada di pintu kaabah, tidak gentar pada al Haqq kerana takut hilang anugerah.

Kita akan terus begini seribu tahun lagi, kata penyair, kerana tabiat buruk membazir sentiasa diulangi, suka merungkai semula ikatan yang telah diikat kejap
Membuka kembali tenunan halus nan telah lama siap, menebang pokok meranti tinggi, rendang dan tegap, semata-mata kerana benci , dengki dan hasad.

No comments: