Saturday, October 15, 2016

ONN SOKONG SARANAN KETUA MENTERI KAJI SEMUA SISTEM PELAKSANAAN PROJEK



ONN SOKONG SARANAN KETUA MENTERI KAJI SEMUA SISTEM PELAKSANAAN PROJEK
Oleh DATUK ONN ARIFFIN

Allahyarham Tun Mustapha  melantik saya sebagai Pengarah Perhubungan Persekutuan Negeri (USNO) sebaik sahaja tugas saya sebagai Setiausaha Agung USNO tamat dalam tahun 1987.
Jawatan ini tidak mempunyai sebarang rujukan atau penunjuk arah tentang apakah peranan jawatan ini bagi kepentingan parti mahu pun negeri.
Yang lebih saya fahami kerana Tun terpaksa menjawab soalan pemberita di Lapangan Terbang dalam sidang media tentang apakah jawatan seterusnya yang akan dipegang oleh Setiausaha Agung yang ada  selepas tamat perkhidmatannya.
Jawapan Tun secara spontan ialah perhubungan antara Kuala Lumpur dan Sabah.
Dari situlah timbulnya tafsiran disesuaikan sahaja dengan panggilan nama Pengarah Perhubungan Persekutuan Negeri (USNO) oleh kerana terfikir  mungkin ada sesuatu yang boleh dijalankan untuk memenuhi tuntutan waktu .
Walau pun secara spontan, namun ada juga kebijaksanaan Tun dalam mengumumkan perlantikan jawatan berkenaan kerana pada ketika itu pihak Kuala Lumpur merasakan suatu suasana  kosong dalam politik Sabah setelah PBS mengambil alih Kerajaan Negeri.  Lebih dari itu banyak isu-isu yang dibangkitkan sukar untuk dipertahankan kerana ketiadaan pemain tempatan.
Tugas utama jawatan itu  adalah untuk meningkatkan perhatian rakyat atas kemampuan USNO sebagai kerajaan alternatif  di Sabah.  Oleh itu usaha utamanya ialah untuk memainkan peranan perang psikologi dan membidas isu-isu parti lawan secara terbuka.  Pada ketika itu juga dua akhbar kebangsaan yang hampir tutup laman Sabah dan menutup pejabat mereka kembali bergerak aktif.  Dalam masa yang sama kita mengambil ikhtiar terselindung untuk mengambil alih Sabah Times walau pun sahamnya saling bertukar tangan, tapi untuk jangka waktu itu ia dapat dipergunakan untuk faedah USNO dan dasar-dasar untuk membawa lembaran pembangunan baru di negeri ini.
Teringat saya atas pesanan Tun supaya tidak berunding dengan sesiapa pun dalam parti atas tindakan-tindakan yang perlu di jalankan oleh Setiausha Agung Parti, walau pun dengan Timbalan Presiden.  Katanya, buat apa sahaja yang perlu dan munasabah kerana pada akhirnya kita akan berhadapan dengan Majlis Tertinggi USNO untuk penjelasan.
Falsafah ini terus terbawa-bawa dalam tugas Pengarah Perhubungan Persekutuan Negeri (USNO) sehingga ia merupakan satu tenaga yang mantap dan kuat dan berperanan besar dalam menyelesaikan beberapa isu yang kadang kala melibatkan Kerajaan Persekutuan. Segala tindakan-tindakan dirahsiakan kerana strategi yang dirangka mestilah berperanan untuk mengukuhkan parti.
Antara strateginya ialah mewujudkan kekuatan USNO melalui terbitan Lagu USNO.  Mematahkan serangan-serangan Kartun parti lawan,  memberikan pandangan atas gerak geri pegawai-pegawai persekutuan supaya bertindak dalam satu pasukan.  Antara lain pula mengimbangi Lagu Hand in Hand dengan menerbitkan Lagu Gunung Kinabalu. Disini haruslah saya ucapkan terima kasih kepada Allahyarham M.Y Ismail kerana telah mencipta lagu berkenaan.  Lagu Gunung Kinabalu sempat dilancarkan sehari sebelum lawatan Perdana Menteri untuk merasmikan Mesyuarat Agung terakhir USNO. Isteri saya Datuk Dayang Mahani dan Allahyarham Datuk Norjan Badar  turut dalam melancarkan lagu gunung Kinabalu, yang disumbangkan kepada RTM sebagai khazanah lagu-lagu patriotik Negara.
Saya cuma berharap pihak RTM sekurang-kurangnya memberikan perhargaaan kepada keluarga Allahyarham serta kumpulan penyanyi atas sumbangan yang tidak ternilai dari Sabah.
 Peranan harian pula termasuk meniliti dasar dan kenyataan-kenyataan kerajaan negeri sambil memberi jawapan dan penjelasan atas kedudukan sesuatu isu.
Oleh kerana perhubungan USNO dengan Kuala Lumpur semakin hari semakin baik, kita  berjaya membawa masuk sejumlah RM2juta ringgit  peruntukan pembangunan untuk diagih-agihkan ke kawasan  ADUN USNO.  Saya hampir merajuk kerana diberitahu oleh Pegawai Pembangunan Negeri yang wang berkenaan mestilah melalui Kerajaan Negeri, lantas saya meninggalkan pesan supaya peruntukan itu dikembalikan sahaja ke Pusat kerana saya menganggap sia-sia sahaja usaha kita dan kehadhiran USNO sebagai Anggota Barisan NASIONAL di Sabah tidak mempunyai sebarang makna.  Sementara saya berada di Pejabat Pembangunan Negeri ,Pengarah ICU  meghubungi saya supaya jangan berkecil hati kerana USNO sebagai parti tidak mempunyai jabatan Khas untuk menerima wang pembangunan Kerajaan.  Secara berseluruh saya katakan ada.  Jawapannya Kemas Negeri Sabah yang boleh memainkan peranan untuk menyampaikan peruntukan ke kawasan-kawasan ADUN USNO dan kawasan-kawasan tumpuan.  Saya  meminta Saudara Mustapha Mohd Yassin supaya memberikan butiran kepala code yang boleh digunakan. KEMAS serta merta melonjak naik dan bergerak selari dengan Jabatan Pembangunan Negeri.
Begitu berpengaruhnya jawatan Pengarah Persekutuan Negeri (USNO) sehingga kerajaan Sabah terpaksa mewujudkan sebuah jabatan atas nama yang sama dengan melantik Datuk Chau Tet Onn sebagai Pengarahnya bertaraf Menteri Kabinet negeri.
Keputusan PBS keluar Barisan Nasional pada 15hb Oktober 1990 adalah tidak dijangka.  Selang beberapa hari saya  memanggil kumpulan pemikir untuk mengkaji impak hubungan antara Kerajaan Pusat dan Negeri  walau pun BN kembali memerintah di peringkat pusat.
Keputusannya walau apa pun terjadi kita mesti mencari jalan supaya wang pembangunan untuk Sabah mesti disalurkan terus walaupun Kerajaan negeri tidak lagi menganggotai Barisan Nasional.  Perselisihan yang ada adalah di antara Parti dan Kerajaan dan tidak ada kaitan sama sekali dengan rakyat dan mereka tidak harus menjadi mangsa  
Saya  mendrafkan pandangan saya dengan imputnya daripada  beberapa ahli pemikir kepada YAB Perdana Menteri untuk menubuhkan sebuah Jabatan Baru dengan nama Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Sabah (JPPS).  Antara kandungannya adalah untuk menyelesaikan hal-hal pembangunan  dan kesaksamaan sosial dalam memulihkan peradaban masyarakat.  Tujuannya adalah untuk mewujudkan sistem kerajaan selari yang mampu mengambil alih peranan dan kelemahan jabatan-jabatan yang tergelincir dengan arus dan peranan sosial mereka.
Saya menyerahkan nota berkenaan  melalui Pengawal Peribadi YAB Perdana Menteri pada 25hb Oktober 1990.   Saya difahamkan YAB Perdana Menteri  meneliti nota saya beberapa kali dalam pesawat dalam penerbangan beliau ke Kuala Lumpur.
Pegawai Kewangan Persekutuan memaklumkan andainya Jabatan tersebut menjadi kenyataan beliau telah meminta peranan JKR dalam memantau projek-projek tersebut di letak di bawah Kewangan Persekutuan Sabah.  Saya mohon maaf kerana Nota saya sudah disampaikan sehari sebelumnya.
Saya berpesan kepada Pegawai Research, supaya mana-mana jabatan yang diletakkan untuk berbincang dan mengambil keputusan dalam projek pembangunan di Sabah mestilah mempunyai pendirian bebas tanpa dikongkong oleh jabatan lain.  Tujuan untuk menentukan supaya pertimbangan check and balance sentiasa ada dalam pelaksanaan projek-projek.
Dalam hubungan yang sama projek mestilah berperanan untuk menaikkan taraf ekonomi Sabah, membentuk semula pemikiran politik yang matang, membangunkan kesejahteraan, kemajuan rakyat Sabah dan memelihara perhubungan antara pusat dan negeri.  Untuk itu garisan quota pengagihan harus berada dalam skala, 30/30/30/10.  Artinya 30% untuk bumiputera, 30% kumpulan politik, 30% pasaran pasaran terbuka sementara  10% atas kebijaksanaan Pemimpin politik itu sendiri.
Syukur Alhamdulillah YAB Perdana Menteri mengumumkan pembentukan Jabatan Pembangunan Sabah dalam Perhimpunan Agung UMNO pada 1hb November, 1990.  Keputusan yang sama juga dibuat untuk Kelantan.
Peruntukan pertama yang sampai di Sabah sebanyak RM200 juta dan program nya dilaksanakan oleh KEMAS negeri oleh kerana JPPS belum menyelesaikan struktureJabatan mereka di Kota Kinabalu.   
Dalam melaksanakan cita-cita tersebut kontraktor-kontraktor di Sabah hendaklah didaftarkan semula dari Class A hingga F, sambil mengadakan kursus-kursus bimbingan.  Perlu  saya sebutkan ketika kita membuat research hanya seorang sahaja di Sabah ini yang mempunyai lesen kontraktor Kelas A pada masa itu.  Kalau beliau berjaya dalam perniagaan dan kaya tidak siapa yang harus menyangkal kebolehan beliau kerana beliau tahu membaca keadaan perniagaan pada ketika itu, walau pun pada hari ini memegang jawatan kerajaan yang tertinggi di Sabah.  
Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Sabah yang wujud lebih 20 tahun  Sabah melalui perjalanan yang begitu jauh untuk membangunkan Sabah dan pernah saya sebutkan kepada seorang Menteri kanan Persekutuan bahawa  matlamat pembangunan melalui JPPS sudah pun tercapai.  Oleh kerana Kerajaan Negeri di dalam tangan BN maka peranan JPPS haruslah dihentikan.  Ada perkara yang tersirat yang tidak diketahui oleh pelaksana bahawa kuasa JPPS boleh mengurangkan pengaruh pemimpin-pemimpin negeri kerana itulah matelamat utama JPPS.  
Falsafah inilah yang mungkin menjadi ikutan di hari-hari muka ini, bahawa Kerajaan Negeri tidak perlu di maklumkan dimana projek-projek pembangunan akan dijalankan dan apakah nilai projek yang bakal dibawa masuk.
Saya tidak tahu sama ada Kerajaan pusat apabila mengumumkan sesuatu projek membawa nama Ketua Kerajaan Negeri dan Kabinet dalam acara-acara rakyat. Mudah-mudahan ada. Umpamanya bila menyebut Kerajaan Pusat setelah berbincang dengan YAB Ketua Menteri Sabah dan Kabinet Negeri bersetuju akan melaksanakan projek A atau B dikawasan ini.  Ini adalah bahasa politik, bahasa Kerajaan yang harus menjadi amalan kepada setiap pemimpin yang masuk ke Sabah untuk membawa projek.  Disitulah letaknya seni dalam menata hubungan antara pusat dan negeri.
Sebab ada pendapat yang mengatakan satu-satu projek yang turun ke Sabah tidak semestinya datang dari satu Kementerian sahaja. Dari Jabatan Perdana Menteri, Kementerian-Kementerian, EPU, ICU sendiri dan pelbagai agensi. Dalam satu segi ia dikatakan desentralise, wal hal ia juga centralise.
Kerana wujudnya suasana demikian pemimpin-pemimpin bawahan, malahan kontraktor-kontraktor  juga berpusu-pusu ke Kuala Lumpur cuba mewujudkan rangkaian peribadi masing-masing.
Secara tidak langsung ini melahirkan suatu suasana untuk  membangunkan power base masing-masing dengan rangkaiannya terus kepada penyokong-penyokong di pelbagai peringkat pimpinan politik dan kontaktor-kontroktar.  Saya teringat bila saya menjadi Ketua Bahagian UMNO amat mudah untuk berjumpa dengan Menteri-Menteri Persekutuan.
Setelah saya tidak lagi dalam jawatan UMNO, walau pun bergelar Datuk, ada sahaja alasan yang diberikan oleh Pegawai Menteri berkenaan untuk mengelakkan diri  bertemu dengan saya.  Satu hari saya akan namakan Menteri yang bahagia ini.  Saya hampir menulis surat terbuka dengan Menteri tersebut supaya jangan panggil saya abang lagi, kerana dia lupa kepada budi saya memberi undi kepada beliau untuk jadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO.  Beliau bukannya tahu apa sebenarnya yang mahu saya sampaikan dalam pertemuan itu.  Tidak semestinya projek.
Sistem seumpama ini sudah menjadi satu masalah yang besar kerana terdapat kelemahan dalam cara pengagihan projek.  Oleh kerana tidak dibendung awal timbullah kejadian-kejadian dimana terdapat jumlah besar wang yang disorok dan dapat dirampas oleh Suruhanjaya  Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari laci-laci, almari-almari dan pelbagai tempat dari pegawai-pegawai yang mengambil kesempatan kerana terlihat oleh mereka ada kerenggangan para pemimpin dari maklumat-maklumat pembangunannya boleh diambil kesempatan untuk memesongkan dana-dana yang tidak bersih.
Walau pun ada kecurangan tapi kerajaan masih mampu meletakkan sistem penyampaian Negara pada paras yang sihat, kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya mengesan permainan projek dalam jabatan Kerajaan sehingga berjaya merampas wang-wang penipuan.  Ini berarti sistem mengesan keselamatan dan kewangan kita masih terjamin dan dapat dipelihara dengan sebaik mungkin.
Beberapa tahun yang lalu saya telah mencadangkan supaya JPPS ditutup dan kuasanya di turunkan terus kepada Ketua Menteri Sabah.  Sehari selepas membuat cadangan itu Kerajaan Persekutuan menutup JPPS dengan serta merta. Tidak semestinya ini disebabkan kerana ditegur,  kerana sebelum ini pun  ada juga suara-suara yang memanggil supaya ia ditutup akibat terlalu banyak pertelagahan dalam pelaksanaan projek-projek di Sabah.  Memang sukar untuk mengendalikan projek-projek di Sabah, kerana permintaan terlalu mendesak dan sentiasa diasak.  Malahan kerap kali ia mencabar perasaan dan kesabaran.  Namun banyak yang boleh dipelajari dari pengalaman JPPS apa bila bertemu dengan permintaan Kerajaan, para pemimpin politik dan rakyat. Apa pun ia juga merupakan satu lagi cerita kejayaan Kerajaan.
Sudah tentu terima kasih kepada semua pegawai-pegawai JPPS daripada mula jabatan ini diperkenalkan di Sabah adalah kena pada tempatnya..  Apa pun yang mahu diperkatakan namun indeks pembangunan di Sabah semenjak tahun tahun 1990 mencapai taraf yang amat membanggakan disebabkan usaha yang gigih dan keyakinan pegawai-pegawai dan pemimpin politik  untuk melaksanakan program pembangunan untuk rakyat.
Ketika Datuk Seri Panglima Osu Sukam menjadi Ketua Menteri, saya mencadangkan melalui akhbar supaya satu  pasukan pemantau ditubuhkan untuk memantau gaya kehidupan dan kelakuan pegawai-pegawai dan pemimpin-pemimpin Kerajaan.
Memang sukar untuk membezakan di antara pergaulan yang sihat mahu pun yang jujur, di sebalik perhubungannya manusia yang mempunyai muslihat.  Kalau tidak ada kedudukan dan berjawatan sudah tentu tidak ada yang harus dipertikaikan. Akan tetapi apabila ada pihak yang berani berbelanja diluar dari kemampuan pendapatan pastinya ia akan menjadi tanda tanya dan  kecurigaan yang merupakan material kepada badan pemantauan.Cadangan ini  ditolak kerana ada yang merasakan SPRM sudah memadai untuk memainkan peranan.  Oleh kerana sudah ada isu, hari ini saya ceritakan.  Tugas pasukan pemantau  memelihara integriti boleh menegur untuk mengelakkan kecurangan.  Dengan rasuah, kerana ia sudah berlaku maka tindakannya jauh berbeza. Teguran boleh mendatang pelbagai makna, dibuang kerja, diturunkan pangkat, dipindah atau hilang kedudukan.
 Apa yang ditekankan oleh YAB Ketua Menteri haruslah dipandang serius oleh semua pihak  dan mestilah diberikan sokongan dalam mencari punca masalah yang menjadi penyebab kelemahan kepada sistem yang ada.  Dari itu cadangan untuk membuat rombakan atau “review” memang wajar.
Dalam Kerajaan Berjaya,  projek-projek dipamerkan dan mungkin spesifikasi juga dipamerkan bersama.  Oleh itu semua pihak yang berminat, maklum dan secara tidak langsung boleh menjalankan pelbagai audit keatas projek berkenaan.
Adalah molek semua projek yang masuk ke Sabah di maklumkan kepada Ketua Menteri, setidak-tidaknya, senarainya disampaikan melalui mesyuarat-mesyuarat Majlis Tindakan Negeri.  Yang Paling baik lagi kalau sesuatu projek itu mendapat perkenan oleh Kerajaan Negeri supaya mendapat kefahaman bahawa projek itu dipohonkan oleh kawasan-kawasan dimana dengan Kerjasama dua kerajaan ia disampaikan kepada rakyat.
Projek pembangunan adalah modal besar dalam politik, jika maklumat penuh tidak diperolehi, pemimpin-pemimpin tempatan yang berperanan sebagai “pegawai perhubungan rakyat” tidak akan dapat menjual cerita politik mereka dengan mudah dan dianggap tidak menjalankan tugas untuk membawa perubahan kepada kawasan masing-masing.
Mungkin kedudukan pegawai-pegawai Kerajaan juga harus dikaji semula supaya tidak seorang pun harus duduk dengan begitu lama dalam jabatan-jabatan yang strategik yang ada hubungannya dengan pembekalan dan pelaksanaan projek.  Ini untuk mengelakkan jangan sampai pegawai-pegawai di bebankan dengan tafsiran atas keinginan dan hasrat untuk mencari kesempatan buat diri sendiri.
Dari titik tolak atas adanya kambing-kambing hitam, Kerajaan Sabah masih mempunyai ramai kakitangan yang dedikasi dan bekerja dengan tungkus lumus untuk memajukan Sabah.  Sudah tentu sesuatu yang terbaik akan lahir selepas kita mengahdapi gejala rasuah yang menular dalam masyarakat.
Ketua Menteri adalah satu Institusi.  Dalam perhubugan antara Kerajaan Pusat dan Negeri, kedudukan Ketua Menteri haruslah sentiasa dipelihara demi menjaga keutuhan Kerajaan itu sendiri dimana para pemimpin saling bergantung untuk menjaga martabat masing-masing.  Dari situ kita harus bangunkan keyakinan rakyat supaya Kerajaan dapat melahirkan satu wadah kecemerlangan disebalik kejayaan Kerajaan Negeri yang berjaya mengumpulkan dana yang besar sebagai reserve kerajaan.
Saya juga mencadangkan supaya segala wang penipuan yang  dirampas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)dikembalikan ke Sabah dan dimasukkan dalam tabung pendidikan, yang mana sebilangan besar penuntut kita hari ini sedang berhadapan dengan perbelanjaan yang meningkat akibat ekonomi dunia yang tidak menentu.

ONN ARIFIN adalah Mantan Pengarah Perhubungan Persekutuan Negeri

UTUSAN BORNEO 15 OKTOBER 2016

No comments: