Sunday, October 30, 2016

SEMBILAN BAHAYA DI MEDAN PERANG



SEMBILAN BAHAYA DI MEDAN PERANG

Ada sembilan bahaya yang dapat menyebabkan keseluruhan angkatan perang hancur. Ini saya baca dalam seni perang Zhuge Liang seperti yang tertulis dalam buku Kumpulan Karya Militer Klasik: Seni Perang China  oleh Yanuardi G Soebiono Penerbit PT Elex Media Komputindo (2013)

Sembilan bahaya ini, biasanya tersembunyi, haruslah dihindari ketika menggerakkan pasukan, kata Zhuge Liang.Siapa Zhuge Liang?

Zhuge Liang adalah ahli strategi China yang terkenal. Nama lengkapnya Zhuge Liang Kongming atau nama panggilannya Wo Long, juga dikenal sebagai Cukat Liang atau Kong Beng.

Dia adalah ahli strategi Liu Bei. Zhuge Liang mengikuti Liu Bei setelah Liu Bei dan kedua adik angkatnya datang berkunjung tiga kali untuk memujuknya menjadi ahli strategi Kerajaan Shu. Akhirnya Zhuge Liang bersetuju kerana terharu melihat Liu Bei yang menangis mengenang nasib rakyatnya di zaman peperangan itu. Zhuge Liang membantu Liu Bei menegakkan Dinasti Han yang rapuh.

Zhuge Liang disifatkan sebagai salah seorang perdana menteri terhebat dalam sejarah China. Pada tahun 234 M, Zhuge Liang mengumumkan perang terbuka terhadap Wei yang dipimpin Sima Yi. Walaupun beliau sakit, beliau memimpin pasukan Shu hinggalah beliau meninggal sebelum perang berakhir dan pasukan Shu diambil alih oleh Jiang We. Jiang Wei memerintahkan agar kematian Zhuge Liang ditutupi tetapi Sima Yi yang merasa ganjil atas strategi yang dipakai Shu berkesimpulan Zhuge Liang sudah meninggal.Kerana itu, beliau makin bersemangat hingga menyebabkan Jiang We berundur kembali ke Shu Han. Selepas itu, Sima Yi melawat tapak perkhemahan Shu dan menggelar Zhuge Liang pemikir terhebat di bawah langit. Zhuge Liang sering dilukiskan memakai jubah dan memegang kipas yang terbuat dari bulu bangau.

Kematian Zhuge Liang menjadi awal kemunduran bangsa Shu Han yang akhirnya menyerah kepada Wei.

Apa sembilan bahaya itu?  Yang pertama, tidak mencari informasi yang terperinci tentang musuh. Jika informasi hanya disebarkan melalui menara-menara asap, peraturan-peraturan rasmi tidak diikuti maka ia menghasilkan informasi yang jauh dari kenyataan yang sedang terjadi dari satu masa ke satu masa.

Apabila perajurit berkumpul tidak tepat pada waktunya. Ini juga satu bahaya. Zhuge Liang menyebutnya bahaya kedua. Jika perajurit berkumpul tidak tepat pada waktunya ia mempengaruhi gerakan pasukan dan menyebabkan pasukan hilang peluang menyerang.

Tidak mematuhi perintah menyebabkan angkatan perang tidak bergerak seperti satu tubuh. Ini juga satu bahaya, bahaya ketiga kata Zhuge Liang. Sebab jika pasukan bergerak secara tidak teratur, ia mudah dikalahkan musuh.
Bahaya keempat yang juga dapat menyebabkan kekalahan pasukan ialah apabila atasan tidak mempedulikan bawahannya sebaliknya lebih memusatkan pada perolehan keuntungan bagi dirinya sendiri.

Apabila sang jenderal melakukan segala sesuatunya  untuk melindungi dan memajukan kepentingannya dan tidak pernah mempedulikan keperluan bawahannya, ini juga bahaya. Bahaya yang kelima.

Jika Sang jenderal hanya mendengar dan percaya akan fitnah atau khabar angin dan benar-benar percaya akan ramalan nasib,itu juga adalah bahaya yang harus dihindari. Ia bahaya keenam kerana ia boleh merosak moral pasukan.

Bahaya ketujuh ialah perajurit tidak mematuhi peraturan-peraturan rasmi angkatan perang, banyak membuat pergaduhan yang  mengganggu  sang jenderal.

Bahaya kelapan, jenderal tidak mematuhi keseluruhan perencanaan dan membuat keputusan-keputusan pentingnya sendiri manakala bahaya kesembilan yang disebut Zhuge Liang  ialah korupsi dan merampas, tanpa mempedulikan hukum atau undang-undang.

Menurut buku itu, inilah antara sembilan perkara, sembilan bahaya yang menjadi `benalu benalu’ angkatan perang. Jika keadaan-keadaan ini ditemukan dalam angkatan perang, angkatan perang itu pasti gagal.



No comments: