Rabu, 21 Disember 2016

HAJI RUSDI RAMLEE, PERNAH KERJA TIGA TAHUN DALAM HUTAN

Tags




HAJI RUSDI RAMLEE, PERNAH KERJA TIGA TAHUN DALAM HUTAN

PERNAHKAH anda mendengar cerita mengenai orang yang pergi ke sekolah dengan menunggang kuda? Mungkin jarang atau tidak pernah, tetapi kisah ini benar-benar terjadi kepada Haji Rusdi Ramlee, mantan Penyelia Kanan KEMAS Tawau.  Ketika belajar di bangku sekolah rendah, beliau pernah menunggang kuda ke sekolahnya di Government Primary School (GPS) Timbang Dayang Kota Belud. “Ketika belajar dalam kelas, kuda itu ditambat di luar pagar,” katanya kepada Utusan Borneo. Tokoh yang tidak mahu menonjol diri sebaliknya bersikap `low profile’ ini menyimpan banyak kisah dalam hidupnya. Beliau pernah tinggal kira-kira tiga tahun dalam hutan, berkhemah dalam hutan tebal ketika bertugas sebagai pengawas hutan di Kinabatangan. Beliau mengenal dengan baik pelbagai jenis kayu malah banyak tahu liku-liku sungai di kawasan Pantai Timur Sabah seperti Sungai Kalabakan, Segama, Sungai Kinabatangan, Sungai Paitan dan sebagainya.

HAJI RUSDI RAMLEE dilahirkan di Kampung Kota Peladok Kota Belud pada 21 Februari 1952. Anak pertama dari enam bersaudara ini mendapat pendidikan awal di GPS Timbang Dayang dari darjah satu hingga tiga sebelum berpindah di Maktab Sabah. Selepas peperiksaan darjah enam, beliau terpaksa mencari kerja akibat kenakalannya hingga terpaksa di buang dari asrama. Beliau kemudian memohon kerja di Jabatan Hutan dan diterima bertugas sebagai Pengawas Hutan di Tawau dari tahun 1969 hingga 1971. Pada tahun 1972, beliau mengikuti kursus perhutanan di Maktab Perhutanan di Kepong. Sekembalinya dari sana, beliau ditugaskan semula di Tawau hingga tahun 1977 apabila beliau dipindahkan bertugas di pelbagai tempat seperti Kinabatangan, Paitan, Tongod dan sebagainya sebelum beliau mengambil keputusan untuk berhenti pada tahun 1979. Haji Rusdi kemudian membawa diri ke Singapura pada tahun 1980 hingga 1985. Beliau pulang ke Sabah pada tahun 1986 dan menceburkan diri dalam politik. Beliau dilantik sebagai Penolong Setiausaha Usaha Kerja Pemuda USNO hingga kemasukan UMNO ke Sabah pada tahun 1991. Beliau pernah menjadi Timbalan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Gaya sebagai penaja. Haji Rusdi Ramlee adalah pemuda UMNO Sabah yang pertama sekali bertanding jawatan Timbalan Pengerusi Tetap Pemuda UMNO Malaysia tetapi kalah kepada Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayob. Kemudian beliau menjadi Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Penampang sebelum dilantik sebagai Penyelia Kanan Kemas Tawau pada tahun 1996 hingga beliau bersara pada tahun 2008. Sebagai seorang yang gigih memajukan diri, beliau mengambil peperiksaan SRP sebagai calon persendirian pada tahun 1974 dan kemudian calon persendirian SPM pada tahun 1976 tetapi hanya mendapat GCE. Pada tahun 1977 beliau sekali lagi menduduki peperiksaan SPM dan berjaya mendapat pangkat dua. Selepas itu, beliau lulus di peringkat diploma dan kemudian mengikuti pengajian jarak jauh hingga lulus MBA  di American Northeastate University yang berpusat di Lexington, Kentucky Amerika Syarikat pada tahun 2005. Pada tahun 2009, selepas bersara, beliau lulus peringkat doktoral  dalam bidang Business Administration di universiti yang sama.

Wartawan  UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemubual HAJI RUSDI RAMLEE di salah sebuah restoran popular di Tawau Rabu lalu. Dalam temubual itu, beliau bercerita mengenai pengalamannya sewaktu bersekolah di Kota Belud seterusnya mengenai beberapa pengalamannya ketika bertugas sebagai pengawas hutan di Pantai Timur Sabah. Ikuti petikan temubual bersama beliau:

UTUSAN BORNEO (UB) : Boleh ceritakan sedikit mengenai latar belakang tuan haji?
HAJI RUSDI RAMLEE (HRR): Saya dilahirkan di Kampung Kota Peladok, Kota Belud pada 21 Februari pada 1952. Saya anak sulung dari enam adik beradik. Ayah saya, Ramlee Abdul Ghani bekerja sebagai pemandu di Jabatan Pertanian manakala ibu saya sebagai petani dan suri rumah.

UB: Di mana tuan haji bersekolah rendah dahulu?
HRR: Saya bersekolah di Government Primary School (GPS) Timbang Dayang dari darjah satu hingga darjah tiga. Masa itu, saya selalu ikut murid-murid darjah tiga dan darjah empat kerana ketika saya darjah satu tidak banyak murid darjah satu. Setelah itu, barulah ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke darjah satu. Guru Besar GPS Timbang Masa itu ialah cikgu Abdul Majid Gagah. Kesedaran ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah dan mendapatkan pendidikan memang ada tetapi kerana sekolah agak jauh.

UB: Bagaimana tuan haji ke sekolah masa itu?
HRR: Kadang-kadang kalau bukan jalan kaki, kami terpaksa menunggang kuda.Kalau tidak naik kuda, terpaksa naik basikal Raleigh yang besar itu. Letak sekolah di GPS Timbang Dayang, agak jauh dari tempat tinggal kami dari Kampung Payas-Payas. Masa itu, tahun 1963, mana ada jalan raya seperti sekarang. Ada pelajar yang terpaksa menggunakan rakit untuk menyeberangi sungai. Kalau tidak ada rakit terpaksa berenang.Kasut bukan boleh pakai. Sampai sekolah baru pakai kasut kerana jalan raya berlopak-lopak.

UB: Menunggang kuda ke sekolah?
HRR: Kadang-kadang naik kuda. Saya ingat kadang-kadang, saudara saya Jaya Dallah singgah ke rumah. Naik kuda. Kami bertolak kira-kira jam 5.00 pagi dan jam 6.30 pagi sudah sampai di sekolah. Kuda kami tambatkan di luar pagar. Masa itu, bukan semua orang ada kuda. Di sekolah, ramai juga kawan kawan saya. Antaranya Allahyarham Talikop Lamsin mantan Pegawai daerah Kota Belud dan mantan Pengurus Besar Ko Nelayan. Saya bersekolah d GPS Timbang Dayang hingga darjah tiga tahun 1963.

UB: Lepas itu, tuan haji sekolah dimana?
HRR: Tahun 1963, saya bersekolah di Maktab Sabah sebagai  preparation selama tiga tahun tahun. Lepas darjah enam, saya terpaksa di buang asrama kerana nakal, kemudian terpaksa di  buang sekolah. Itu terjadi sebaik tamat peperiksaan darjah enam.

UB: Selepas tamat darjah enam, tuan haji sekolah di mana?
HRR: Saya tidak bersekolah lagi. Sebaliknya cari kerja. Tetapi tidak diterima bekerja kerana belum cukup umur. Begitulah yang terjadi, sehinggalah saya diterima bekerja sebagai pengawas hutan di Jabatan Hutan Tawau.

UB:  Bagaimana tuan haji ke Tawau masa itu?
HRR: Saya naik kapal MV Keningau. Perjalanan mengambil masa kira-kira tiga minggu baru sampai kerana singgah-singgah. Masa itu belum ada jalan raya seperti sekarang. Kalau adapun jalan raya hanya sampai Ranau saja.

UB: Dimana tuan di tugaskan di Tawau?
HRR: Saya ditugaskan di Pejabat Perhutanan yang terletak di bandar Tawau. Kerja praktikal di jalankan di hutan. Saya pernah ditugaskan di Kalabakan, Long manggis dan sebagainya.

UB: Berapa gaji tuan haji ketika mula-mula bekerja?
HRR:  Gaji saya masa itu hanya RM114.00 sebulan. Jumlahnya kecil tetapi mungkin setara dengan gaji RM3,000 sekarang.

UB: Kenapa tuan haji cakap begitu?
HRR: Masa itu, kuih harganya lima sen. Kopi pun harganya lima sen. Tahun 1966, harga ikan dalam tin hanya 25 sen. Satu tumpuk udang itu harganya cuma 10 sen . Begitu juga, duit 20 sen sudah boleh membeli satu ikat ikan. Seluar dalam sekitar RM14.00 manakala baju kemeja kira-kira RM4.00. Masa saya bergaji RM114.00 itu, saya masih dapat kirimkan duit ke kampung untuk belanja adik sekolah. RM10.00 atau RM20.00 dikirim melalui pos. Satu minggu boleh sampai di pejabat pos Kota Belud.
Waktu itu, harga nasi kuning, makanan yang popular di Tawau hanya 25 sen. Ikannya juga besar. Sebab itu sampai sekarang saya suka makan nasih kuning. Satay pula harganya hanya 10 sen.  Ketupatnya pun free. Bandingkan dengan harga satay sekarang.

UB: Selepas Tawau, dimana tuan haji bertugas?
HRR:  Saya terpilih untuk mengikuti kursus satu tahun di Maktab Perhutanan di Kepong sekarang dikenalu (FRIM) Forest Research Institute Malaysia  pada tahun 1972. Dari Sabah masa itu, kami ada sebelas orang. Antara yang saya ingat, Laimin Jaimin, Senaji, Haji Talip Bidin, Harun Tani dan lain-lain lagi.

UB:  Naik apa ke Kuala Lumpur?
HRR: Kami naik kapal MV Keningau dari Sandakan yang memakan masa kira-kira tujuh hari untuk sampai ke Singapura. Kemudian dari Singapura, kami naik Keretapi Tanah Melayu hingga ke Kuala Lumpur. Masa kami naik kapal itu, kami diberikan tempat first class, banyak orang tumbang kerana mabuk.Mabuk Laut. Kami berkursus di Maktab Perhutanan Kepong selama setahun untuk mempelajari selok belok hutan dan sebagainya. Pada tahun 1973, kami pulang, tapi kali ini kami naik pesawat MSA dari Subang.

UB: Balik dari Maktab Perhutanan, di mana tuan ditempatkan?
HRR: Saya ditempatkan semula di Tawau. Ditugaskan di Berantian, Luasong, Kalabakan dan banyak tempat lagi. Masa itu juga, saya mengisi masa lapang dengan belajar. Saya terfikir untuk menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) secara persendirian. Saya menduduki peperiksaan pada tahun 1974 di SMK Tawau. Kemudian saya mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 1976 tetapi hanya mendapat Sijil Am atau GCE saja.
Kemudian saya dipindahkan ke Sandakan. Pada tahun 1977, saya ambil balik SPM dan dapat Grade Dua

UB:  Berapa lama tuan bertugas sebagai Pengawas Hutan di Sandakan?
HRR: Saya bertugas di Sandakan hingga tahun 1979. Saya berhenti kerja walaupun masa itu, Datuk Miller Munang beritahu saya, sudah ada promotion (kenaikan pangkat) tapi saya meneruskan juga niat saya untuk berhenti. Saya berhenti kerana saya memohon untuk sambung belajar tetapi tidak diluluskan.

UB: Mungkin tuan haji boleh ceritakan pengalaman sepanjang bertugas di Sandakan?
HRR: Banyak pengalaman pahit manis ketika bertugas di Sandakan. Saya pernah bertugas dalam hutan selama tiga tahun tidak keluar-keluar. Tahun 1969 hingga 1971. Tiga tahun dalam hutan. Gaji pun diterima pakai bon saja, pakai kertas cetak,bukan pakai duit. Kalau gaji dalam bentuk duit, takut ada perompak. Dengan gaji dalam bentuk bon itu, kami gunakan untuk membeli makanan.

UB: Dimana tuan haji pernah bertugas di hutan ?
HRR: Saya pernah bertugas di kem di Karis-Karis, Sungai Tongkang, Balat, Tongod dan banyak lagi.Lingkabau, Kuala Bahanan, Pulau Jambongan, Kanibongan. Saya mengenal hutan dan liku sungai Sungai Sugut, Sungai Segama, Kalabakan, Kinabatangan, Paitan, Sugut .

UB: Berapa ramai pekerja masa dalam hutan itu?
HRR: Sekitar 30 orang hingga 50 orang. Kami sendiri bikin khemah dalam hutan. Di hutan, kami mengawasi kerja kerja hutan.Mengawasi pengeluaran kayu, tarik kayu mesti ada pas, cukup ukurannya. Lain kali, lain kadar cukainya. Kadar cukai ditentukan ikut jenis kayu.
UB: Pernah ada masalah dengan rakan sekerja?
HRR: Asalkam kita bagus sama orang, semua orang baik dengan kita. Saya pula jenis yang bergaul dengan semua jenis orang.

UB: Tiada masalah cari makanan?
HRR: Makanan tidak susah. Kalau mahu makan ikan, cukup dengan merambat atau menjala ikan. Ada juga bekal ikan sadin atau ikan masin. Kalau mahu sayur, ada banyak sayur pakis dan lemiding. Kalau mahu pelanduk, boleh pasang jerat. Kami juga cari payau pakai anjing pemburu dan sebagainya.

UB: Apa aktiviti dalam hutan?
HRR: Kalau malam, rehat saja dalam khemah. Kalau siang boleh juga main badminton. Kadang main bolasepak kalau ada kawasan padang.

UB: Bagaimana kalau mahu keluar ke bandar? Kalau ada urusan misalnya?
HRR: Tiada pilihan. Terpaksa tunggu air pasang surut. Untuk keluar terpaksa mengambil masa yang lama. Kemudian tunggu berbulan-bulan baru boleh masuk.Kita terpaksa tunggu air besar, baru boleh masuk kem atau keluar. Kita terpaksa tunggu berbulan-bulan lamanya. Kapal kapal besar pun tunggu air pasang. Baru boleh bawa kayu balak keluar . Mereka selalu harapkan banjir besar untuk bawa kayu balak keluar. Selepas kayu ditebang, kemudian ia dibawa ke pangkalan menggunakan landasan atau troli dalam hutan.

UB: Apa jenis-jenis kayu dalam hutan kita?
HRR: Antaranya, Seraya atau Meranti, Keruing, Kapur, Belian,Selangau Batu atau Balau, Kayu malam dan sebagainya. Saya mengenal semua jenis kayu kerana pernah belajar sewaktu di Maktab Perhutanan Kepong dahulu.

UB: Kerja dimana selepas itu?
HRR: Saya membawa diri ke Singapura dari tahun 1980 hingga 1985. Pada tahun 1986, saya balik semula ke Kota Kinabalu. Waktu itu, masih dalam era pemerintahan Kerajaan PBS. Saya tidak ada kerja tetap. Lalu bergiat dalam politik. Saya dilantik sebagai Setiausaha Kerja Pemuda USNO dari tahun 1986 hingga 1991. Ketika UMNO Mengembangkan sayapnya ke Sabah, saya dilantik sebagai Timbalan Ketua Penaja Pemuda UMNO Gaya, Masa itu, Ketua Pemuda Saudara Datuk Jumat Haji Idris. Seingat saya, sayalah orang pertama dari Pemuda UMNO Sabah yang bertanding jawatan Timbalan Pengerusi Tetap Pemuda UMNO Malaysia tetapi kalah kepada Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayob. Masa itu, saya berada dalam team  Tan Sri Isa Samad manakala Megat Junid sepasukan dengan Tan Sri Rahim Tamby Chik. Kemudian saya jadi Pengerusi Tetap Pemuda UMNO Gaya. Selepas itu, selepas persempadanan,saya dipilih pula sebagai Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Penampang. Pada masa itu , saya juga jadi Penyelia Kemas Penampang. Dari Penampang, saya dipindahkan ke Tawau dan dilantik menjawat jawatan Penyelia Kanan Kemas Tawau.

UB:  Berapa lama kerja sebagai Penyelia Kanan Kemas Tawau?
HRR: Saya bertugas sebagai Penyelia Kanan Kemas Tawau dari Tahun 1996 hingga bersara pada tahun 2008.

UB: Saya difahamkan tuan haji juga sambung belajar masa itu? Apa sebenarnya yang mendorong tuan haji?
HRR: Sebenarnya saya mahu jayakan cita-cita yang tersemat dalam hati sejak masa kecil lagi. Cita-cita saya terbantut kerana saya nakal. Saya rasa saya pandai. Tetapi kerana nakal sekolah saya tergendala. Saya pun mahu maju juga. Sebab itu saya ambil diploma pada tahun 2005. Sebaik lulus, saya terus mengambil MBA dari American Northeastate University pada tahun 2007. Pada tahun 2009, saya lulus doktor dalam  Business Administration atau Pentadbiran Perniagaan.

UB: Sebenarnya, apa cita-cita tuan haji dar kecil?
HRR: Cita-cita asal saya memang mahu jadi polis. Saya pun sudah lulus temuduga dan sudah diterima tetapi emak saya, Kunah Suling  tidak setuju. Beliau  keberatan dan enggan melepaskan saya pergi. Saya pun tidak jadi pergi.

UB: Apa motto tuan haji dalam hidup?
HRR: Kalau kita sentiasa bagus pada orang, orang pun akan sentiasa bagus kepada kita.