Tuesday, December 20, 2016

KUSUGAN, KISAH HIDUP WARDEN KEHORMAT HIDUPAN LIAR



KUSUGAN, KISAH HIDUP WARDEN KEHORMAT HIDUPAN LIAR

PERGILAH KE MANA SAJA, sama ada di darat atau di laut, Sabah memang memiliki khazanah alam semula jadi yang kaya. Bagaimanapun, banyak spesis flora dan fauna yang terancam pupus. Hidupan liar juga terancam kerana aktiviti pemburuan haram sehingga banyak spesis dikhuatiri akan hilang dari kehidupan jika tidak ada langkah-langkah diambil untuk menanganinya. Salah satu langkah yang dibuat oleh kerajaan ialah melantik Warden Kehormat Hidupan Liar yang bertugas menjaga dan mengekalkan kewujudan flora dan fauna. Di Pulau Banggi dan Pulau Balambangan, Warden Kehormat Hidupan Liar yang juga dikenali sebagai pemimpin masyarakat ialah  Ustaz Kusugan Haji Imam Ali yang amat komited dalam tugasnya.

USTAZ KUSUGAN HAJI IMAM ALI dilahirkan di PulauTiga Banggi Kudat pada 30 November 1955. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Padang Pulau Banggi dari darjah 1 hingga 5 sebelum bersekolah di SRK Pekan Kudat dalam darjah enam. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di SMK Abdul Rahim Kudat hingga Tingkatan Dua sebelum meneruskan persekolahannya di SM Toh Puan Hajah Rahmah Kota Kinabalu dan menjadi antara pelajar terawal di sekolah itu. Kemudian beliau berpindah ke Sekolah Menengah Islamiyah Papar pada tahun 1976 hingga 1977.  Selepas itu, beliau diterima berkhidmat sebagai  guru agama di Penempatan Telipok, kemudian dilantik sebagai guru besar di Telipok pada tahun 1979. Pada tahun 1981, beliau bertukar ke Sekolah Agama Islam Likas dan bertugas di sana selama tiga tahun hingga 1983. Pada tahun 1984, beliau bertuugas sebagai guru besar Sekolah Agama Islam Kota Peladok hingga tahun 1985. Pada tahun 1986, beliau berkhidmat sebagai guru besar di SUI Merabau. Pada tahun 1989, Ustaz Kusugan bertukar ke SUI Pekan Kudat. Namun setahun kemudian beliau berhenti dan menceburi bidang perniagaan, hingga membawanya melanglang ke luar negara seperti Australia dan Hong Kong. Beliau pernah aktif dalam Liga Belia Islam Sedunia (WAMY) sebagai wakil Perpis. Kini selain terlibat dalam perniagaan, beliau juga dilantik sebagai Warden Kehormat Hidupan Liar selama tiga tahun dari tahun 2014 hingga 2017.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemui USTAZ KUSUGAN HAJI IMAM ALI di ibu negeri baru-baru ini. Dalam pertemuan kitu, beliau menyingkap sedikit sebanyak pengalaman masa kecil ketika beliau dalam bidang persekolahan hinggalah menjadi guru agama, bergiat dalam perniagaan dan pada masa yang sama, terlibat dalam memastikan flora dan fauna tidak terganggu dan sentiasa terpelihara sesuai dengan tugas yang diamanahkan kepadanya sebagai Warden Kehormat Hidupan Liar. Ikuti petikan temubual bersama beliau:


UTUSAN BORNEO: Assalammualaikum ustaz. Terima kasih kerana sudi ditemuramah. Boleh ceritakan sedikit latar belakang ustaz?
USTAZ KUSUGAN HAJI IMAM ALI:  Nama saya Kusugan bin Haji Imam Ali. Saya dilahirkan pada 30 November 1955 di Pulau Tiga Banggi Kudat, sekarang pulau kelahiran saya itu dikenali sebagai pulau Malingkat, atau dulu namanya Pulau Manguak, yang terletak antara Pulau Balambangan dan Pulau Banggi. Di pulau yang cantik tetapi sepi itulah saya dilahirkan. Saya anak keempat. Ayah saya Imam Haji Ali bin Uttam manakala ibu saya Bulak Jambun binti Maas Aminullah . Ayah saya mewarisi pulau Melingkat dari moyang saya bernama Mantalaha.

UB:  Di mana Ustaz bersekolah dahulu?
KUSUGAN: Saya bersekolah di SRK Padang, Banggi dari darjah satu hingga darjah lima dan kemudian dalam darjah enam saya bersekolah di SRK Pekan Kudat. Waktu itu, Cikgu Haji Abu Bakar yang menjadi guru besar di sana. Selepas itu, saya bersekolah di SMK Abdul Rahim Kudat hingga tingkatan dua. Tetapi kemudian saya berpindah sekolah ke Sekolah Menengah Agama Toh Puan Hajah Rahmah. Berdasarkan keputusan peperiksaan darjah enam, saya mendapat markah 70 ke atas , saya ditawarkan biasiswa Yayasan Sabah untuk bersekolah di Toh Puan Hajah Rahmah. Kebetulan sewaktu di Kudat juga saya bersekolah di SUI Pekan Kudat. Antara guru saya masa itu ialah Ustaz Umar dari Melaka. Sebab itulah saya melanjutkan pelajaran dalam bidang agama di Toh Puan.

UB: Siapa rakan-rakan ustaz yang menjadi antara pelajar terawal di SM Toh Puan Hajah Rahmah?
KUSUGAN: Antaranya Ustaz Shamsudin haji Ali Ali, Ustaz Abdullah Nanu, Ustazah Salmah Haji Ekor dari Jambongan, Datuk Haji Arifin Arif , Ustaz Mohd Nor Kasah, Ag Syairin, Aidi Moktar, Saipudin Haji Daud, Taib Kasim dan sebagainya. Pada tahun 1977,kami ditukarkan ke SUI Papar.Sebahagian pelajar ditukarkan ke Sekolah Agama Islam Papar yang terletak di Kampung Buang Sayang  kerana SM Toh Puan Hajah Rahmah tidak dapat menampung kemasukan ramai pelajar.Waktu itu, ramai pelajar baru masuk dari Sekolah Islamiah Tawau. Turut berpindah sekolah ialah Ustaz kami , Ustaz Usman Pilpilan. Ustaz Usman adalah salah seorang ustaz kami di Toh Puan selain  Ustaz Shafie Hasan dari Arab Saudi. Kami belajar di Papar untuk mendapatkan sijil empat thanawi.

UB: Siapa guru-guru yang pernah mengajar ustaz?
KUSUGAN: Antaranya Ustaz Haji Mohd Iyen Atim, Ustaz Haji Jalidar Abdul Rahim, Dr Munir, Usman Pilpilan, Ustaz Shafie hasan. SM Toh Puan Hajah Rahmah adalah sekolah agama dengan bahasa pengantar bahasa Arab  dan  setaraf dengan Nilam Puri di Kelantan.

UB: Selepas itu, di mana ustaz melanjutkan pelajaran?
KUSUGAN: Selepas itu, saya dilantik sebagai guru. Ketua Pegawai Pelajaran , Haji Ajamain dan penyelia, Pengiran Abdul Rahman Ali memberi galakan dan melantik saya untuk bertugas di Tambunan. Apabila saya pergi ke sana, kerana letaknya agak jauh waktu iu, saya memohon untuk ditempatkan di Kota Kinabalu. Kemudian saya ditugaskan untuk mengajar du Bahagian Penempatan Telipok. Pada tahun 1979, saya dilantik sebagai guru besar di Telipok.

UB: Kemudian, dimana ustaz mengajar?
KUSUGAN: Pada tahun 1981, saya ditukarkan ke Sekolah Agama Islam Likas. Di sekolah itu, ustaz yang turut mengajar di sana ialah Ustaz Jamaludin Yakub. Saya bertugas di sana selama tiga tahun hingga 1983. Pada tahun 1984, saya bertugas di SUI Kota Peladok Kota Belud hingga 1985. Masa itu, Allahyarham Datu Masangkai Datu Alang jadi PIBG Sekolah. Pada tahun 1986, saya mengajar pula du SUI Merabau hingga tahun 1989 kerana pada tahun itu, saya bertukar ke SUI Pekan Kudat. Pada tahun 1990, saya bersara awal.

UB: Sewaktu di sekolah dahulu,khabarnya ustaz pernah terlibat dalam gerakan belia?
KUSUGAN: Saya pernah terlibat dalam Himpunan  Belia Islam Sedunia (WAMY). Saya waktu itu mewakili Perpis. Masa itu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) diwakili oleh Anwar Ibrahim (kini Dato Seri), AKBIS diketuai oleh Muhidin Yusin, (kini Datuk Dr), Perpis pula mula-mula diketuai Ustazah Rugayah Bahron kemudian Haji Khamis Jamil, yang dikenali juga sebagai bekas penjaga gol pasukan bola sepak  Sabah, dan kemudian saya jadi wakil untuk menghadiri  program di Kuala Lumpur, Singapura, Brunnei. Masa itu,Menteri Pelajaran ialah Datuk Musa Hitam (kini Tun), beliau pernah menegur kami agar tidak melibatkan diri dalam gerakan politik. Dari Brunei, yang saya ingat aktif dalam Wamy ialah Saudara Nurdin , kerja di Kementerian Kewangan dan Pehin Aziz, yang kemudian jadi Menteri Pendidikan Brunei kalau tak silap saya. Dari Singapura, saya ingat Djamal Tukimin, kalai tak silap.  Masa itu, kami agak aktif di Perpis.. Setiap hujung minggu , ada kegiatan ceramah, membuat kerja-kerja amal, membuat surau, menderma kuih muih semasa perayaan dan sebagainya.


UB: Berbalik kepada tugas ustaz sebagai Warden Kehormat Hidupan Liar. Boleh jelaskan sedikit?
KUSUGAN: Warden Kehormat Hidupan Liar adalah satu jawatan yang diwartakan dalam  Warta Kerajaan Sabah. Sebagaimana yang kita tahu, Sabah memang kaya dengan flora dan fauna.. Kepelbagaian haiwan dan tumbuhan ini semestinya dijaga. Khazanah alam ini menjadikan Sabah sebuah destinasi pelancongan yang unik dan menarik. Namun dalam usaha kerajaan menjaga, mengekalkan kewujudan flora dan fauna ini, ia memerlukan kerjasama orang ramai, misalnya dalam mengatasi masalah pemburuan haram dan sebagainya yang boleh mengurangkan populasi haiwan di negeri ini. Banyak spesis haiwan yang dilindungi dan kita khuatir jika tiada langkah diambil, flora dan fauna kita akan terancam. Untuk itulah, Warden Kehormat Hidupan Liar dilantik untuk membantu memantau dan mengawasi kegiatan-kegiatan yang bertentangan dengan undang-undang. Warden Kehormat Jabatan Hidupan Liar bertugas sentiasa memupuk kesedaran awam mengenai perlindungan hidupan marin dan penguatkuasaan undang-undang. Ia dilantik di bawah Seksyen 7  Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 . Saya dilantik sebagai Warden Kehormat Hidupan Liar berkuatkuasa 1 Ogos 2014 hingga 31 Julai 2017.
Warden-warden kehormat juga diiberikan kursus untuk membantu mereka menjalankan tugas dengan berkesan. Saya pernah mengikuti kursuus yang amat bermanfaat ini dalam menjalankan tugas.Kursus itu diadakan untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman komuniti tempatan tentang undang-undang dan peraturan-peraturan yang berkaitan dengan pengurusan sumber semulajadi di dalam kawasan cadangan Taman Tun Mustapha,Untuk mendemonstrasikan konsep penguatkuasaan bersama di antara komuniti dan juga agensi kerajaan (collaborative management) dan untuk Melatih komuniti tempatan untuk membolehkan mereka turut serta dalam aktiviti-aktiviti penguatkuasaan dan mengetahui peranan mereka dalam melindungi hidupan liar dan sumber semulajadi di kawasan mereka sendiri.Sepanjang kursus, kami diberikan kefahaman mengenai tugas dan tanggungjawab Warden Kehormat Hidupan Liar, Isu-isu pengurusan Hidupan Liar, kuasa-kuasa warden dan prosedur menangkap dan pengumpulan bahan bukti serta laporan polis.
UB: Apa antara isu, yang pernah ustaz terima sepanjang menjalankan tugas sebagai Warden Kehormat Hidupan Liar khususnya di Banggi dan Balambangan? Apa nasihat ustaz?
KUSUGAN: Antaranya mengenai laporan adanya kehadirean buaya di kampung-kampung sekitar Pulau Banggi dan Balambangan. Saya menyeru masyarakat di  kawasan Pulau Banggi dan Balambangan serta pulau-pulau lain agar  melaporkan jika terdapat kehadiran buaya di kampung masing-masing. Saya menyeru  Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) agar membuat laporan kepada Jabatan Hidupan Liar Kota Kinabalu mengenai kehadiran buaya di kampung masing-masing yang dikatakan mengancam keselamatan penduduk. Selain itu, saya juga meminta mereka nama-nama mangsa yang pernah dibaham atau digigit buaya tetapi data itu hendaklah disahkan oleh pihak berkuasa seperti Penolong Pegawai Daerah Banggi.Mereka yang sempat merakamkan gambar binatang itu agar memberikan salinan kepada saya untuk diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Negeri Sabah.Memang terdapat banyak buaya di pulau Banggi, pulau balambangan dan pulau-pulau berdekatan, tetapi malangnya gambar buaya itu tidak sempat dirakam,.Oleh hsebab itu, saya  meminta orang ramai menghubungi beliau jika terdapat buaya di kampung masing- masing agar tindakan dapat diambil untuk menangani masalah buaya itu.
Itu salah satu aduan yang saya terima. Selain itu, masalah perburuan haram di kawasan hutan di negeri ini juga perlu ditangani dan dilapurkan kepada Jabatan Hidupan Liar. Kami sedar dalam menjalankan tugas bagi memastikan hidupan liar dilindungi, kami berdepan tugas yang mencabar. Walaupun tugas ini secara sukarela, tetapi ia dapat memberikan sumbangan yang besar ke arah kelestarian flora dan fauna dan sumber-sumber alam semulajadi di negeri ini. Sebagaimana yang kita ketahui, sabah adalah sebuah negeri yang kaya dengan sumber darat dan juga laut yang semakin hari semakin pupus. Di kawasan hutan, aktiviti perburuan haram mengakibatkan haiwan seperti rusa akan pupus. Begitu juga di kawasan laut, dimana sekiarnya tidak dijaga, banyak sumber laut yang akan pupus. Itu sebabnya sumber laut juga perlu diurus dengan baik.

UB: Bagaimana pula mengenai cadangan cadangan mewartakan kawasan  kawasan perairan  Pulau Banggi, Pulau Balambangan dan Pulau Malawali  bersama 50 pulau lain sebagai kawasan Taman Marin Tun Mustapha.

KUSUGAN: Masyarakat menyambut baik cadangan itu  untuk melindungi hidupan marin di kawasan itu. Saya amat  menghargai dan berterima kasih kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun bagi pihak kerajaan negeri yang mewujudkan kawasan taman marin itu. Sebelum ini, saya juga pernah menemui  Tan Sri Chong Kah Kiat sewaktu beliau masih menjawat jawatan Menteri dan menceritakan panjang lebar mengenai pulau-pulau yang menjadi warisan penduduk turun temurun.
Kami berharap  semua pihak akan bekerjasama menjaga pengwujudan taman marin itu dan berharap masyarakat  tidak terjejas dan hak asasi  kami dipertahankan kecuali pulau-pulau yang tidak berpenduduk untuk memelihara keaslian flora dsan fauna.Cuma kami harap pengwujudan Taman Marin tun Mustapha itu tidak menjejaskan hak asasi kami sebagai rakyat peribumi Sabah,.

No comments: