Rabu, 21 Disember 2016

LINA MOHAMAD LIN, PENYANYI YANG PUNYA PELBAGAI BAKAT SENI

Tags




LINA MOHAMAD LIN, PENYANYI YANG PUNYA PELBAGAI BAKAT SENI

NAMA Lina Mohamad Lin tidak boleh dipisahkan dalam dunia hiburan tempatan dalam era 1970-an dan 1980-an. Mula menyanyi dalam tahun 1974 ketika berusia 16 tahun. Beliau menyanyi dalam majlis-majlis di Istana Negeri dan majlis-majlis rasmi kerajaan serta menjadi artis undangan di hotel-hotel terkemuka. Selain menyanyi, beliau juga adalah penari kebudayaan, menguasai pelbagai jenis tarian dan pernah mewakili Sabah dan delegasi Malaysia ke Jepun pada tahun 1979. Sebagai seorang penulis pula, beliau sudah menghasilkan lebih 200 skrip drama radio. Pernah berlakon teater dan juga berbakat dalam penulisan puisi. Salah satu puisinya, berjudul Eyang menang Hadiah Sastera Sabah 2012/2013. Kini disamping tugasnya sebagai penjawat awam, beliau sedang giat mengumpulkan karya-karyanya untuk dibukukan dan dijangka terbit tidak lama lagi.

LINA MOHAMAD LIN atau nama penanya Siti Noorsabah dan Rafflesia Darlina, dilahirkan di Jesselton (kini Kota Kinabalu) Sabah pada 28 September 1957.  Anak sulung daripada sepuluh adik beradik ini  menulis skrip drama radio terbitan RTM Sabah, RTM Angkasapuri dan RTM W.P. Labuan sejak tahun 1983. Kini beliau menghasilkan lebih 200 skrip termasuk drama kanak-kanak, Bualan Hujung Minggu dan Lembah Hijau. Dua buah skrip drama radio beliau berjudul Tragedi Perigi Tua dan Koide San dimuatkan dalam antologi bersama Pahlawan Lembah Tempasuk terbitan DBP tahun 1998,. Beliau juga menjadi editor Buku Panduan: Pusat-Pusat Sejadi di Sabah edesi 2003 dan 2005, terbitan Unit Sains & Teknologi, Jabatan Ketua Menteri Sabah dengan kerjasama Japan International Cooporation Agency (JICA), Puisi Tanduo: Selagi Ada Bulan dan Matahari dan Di Sini Setia Kami Teruji termuat dalam antologi bersama Tanduo Oh Tanduo 2013 (diselenggara Prof. Madya Dr. Talib Samat). Manakala 30 buah puisi lagi terkumpul dalam antologi bersama Kuntum Kasih terbitan Metro Media Publication & Services 2013. Dua buah puisinya termuat dalam antologi bersama MH370 (2014). Karya puisi beliau juga dimuatkan dalam Wadah terbitan DBP Cawangan Sabah. Di samping menulis puisi, beliau menulis dan menerbitkan sendiri buku Biodata Artis-Artis Senior Sabah (Era 1950-1980). Pada masa ini, beliau bertugas sebagai Penolong Pegawai Tadbir Kanan di Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah dan bergiat aktif dalam Kumpulan Protem Seniman Senior Sabah (Era 1950-1980). Puan Lina mendirikan rumah tangga dengan penyiar RTM , Abdul Rahim Rashid  pada 25 Disember 1982 dan dikurniakan empat cahaya mata, dua lelaki dan dua perempuan.Beliau pernah memenangi Hadiah Sastera Sabah 2012/2013 bagi genre puisi. Bagi mengenang jasa baktinya, beliau dianugerahkan Bintang Setia Kinabalu (BSK) Sempena Hari Jadi Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemubual Puan LINA MOHAMED LIN di Teluk Likas, tengahari kelmarin. Dalam temubual itu, beliau yang membahasakan dirinya Kakak menceritakan sedikit sebanyak penglibatannya dalam bidang seni, sejak mula terlibat hingga kini.

UTUSAN BORNEO: Sejak bila kakak mula menyanyi?
LINA MOHAMAD LIN: Kakak  mula menyanyi sejak kecil lagi. Bapa kakak, Mohamad Lin, seorang penyanyi dan pemain muzik veteran Sabah, yang terkenal pada tahun 1950-an hingga 1960-an. Beliau seangkatan dengan Datuk AJ Ajamain, arwah Datuk MY  Ahmad. Mumin Wali, Arwah Yusof Mat Kelantan. Kumpulan  Seruan Malam Kampung Sembulan  memang terkenal  dengan lagu-lagu keroncong.   Kakak selalu dibawa oleh bapa kakak  ketika beliau latihan pancaragam.  Beliau boleh  bermain tujuh jenis alat muzik.Boleh dikatakan kakak lahir dalam keluarga seni.
Kakak mula menceburkan diri dalam bidang nyanyian pada tahun 1974. Bermula dari zaman persekolahan dalam tingkatan 4 di SMK Sanzac. Kami buat persembahan untuk pelajar.
Kakak juga berlakon dalam drama radio/ drama kanak-kanak terbitan Radio Pendidikan Tahun 1974 dan Bualan Hujung Minggu (Episod Mingguan) terbitan dan Siaran RTM Sabah sejak 1983 hingga kini.
UB: Kakak menyanyi sejak di bangku sekolah? Berapa umur kakak ketika mula menyanyi?
LML: Kakak  mula menyanyi ketika berusia 16 tahun iaitu sejak 1974 hingga 1990 ketika usia 32 tahun.  Kakak berhenti menyanyi kerana tanggungjawab kepada keluarga makin bertambah manakala tugasan di pejabat pula makin banyak.
UB: Bagaimana reaksi orang tua ketika kakak mula-mula menceburkan diri dalam bidang seni?
LML:Waktu mula mula menyanyi bapa tidak setuju.  Walaupun beliau seorang penyanyi tetapi beliau tidak memberi galakan kepada anaknya untuk menyanyi atau terlibat dalam hiburan. Dunia hiburan katanya, tidak terlepas dari gosip, pergaulan bebas dan takut terkena fitnah. Kakak nangis-nangis memujuk bapa agar membenarkan kakak menyanyi tetapi beliau berkeras. Sehinggalah arwah Datuk MY Ahmad datang ke rumah. Dia nasihatkan bapa agar membenarkan kakak menyanyi kerana bakat seni yang anugerah Allah kepada kakak. Bapa membenarkan kakak menyanyi selepas Datuk My Ahmad bersetuju untuk mengambil dan menghantar kakak balik ke rumah selepas dari studio rakaman.

UB: Apa lagu yang mula-mula kakak nyanyikan?
LML: Waktu merakam suara  pertama kali untuk  Rancangan Hiburan RTM Tahun 1974 di bawah pimpinan Arwah Datuk My Ahmad, kakak menyanyikan lagu Sharifah Aini. Angin Menderi dan Seri Dewi Malam.

Selepas itu, kakak  menyanyi pentas RTM, Mari Ke Pesta yang bersiaran langsung dari Taman Prince Philip Tanjung Aru sekitar tahun 1975-1976. Kakak mula dikenali sebagai penyanyi Radio, Pentas RTM, dan TV. Dulu kakak juga pernah di interview dan keluar muka depan majalah Artis Sabah. Saya juga menjadi artis jemputan dalam majlis-majlis rasmi di Istana Negeri dan Majlis-majlis Rasmi kerajaan dan penyanyi undangan di hotel-hotel terkemuka.

UB: Kakak pernah berlakon juga?
LML: Dalam bidang lakonan, kakak pernah berlakon Drama Tv Percubaan Hitam Putih berjudul Ribut Pagi pada tahun 1979 arahan pegawai kanan RTM, Rahman Adam. Skripnya dihasilkan hasil gabungan idea penulis peserta bengkel skrip drama tv anjuran KKBS, RTM, DBP Sabah. Dalam Ribut Pagi saya berlakon sebagai seorang wartawan bernama Rina.
Selepas itu, skrip drama TV kedua terbitan RTM Angkasapuri  ialah Awan Kelabu Di Kundasang tahun 1986. Skrip itu saya jadi watak ibu. Turut berlakon Lailah Elok.
UB: Boleh ceritakan penglibatan kakak dalam bidang tarian pula?
LML: Kalau dalam bidang tarian, kakak mula menceburi tarian tradisional ketika bersama Anak Seni di bawah pimpinan Datuk Dr Hajah Zaiton Haji Ajamain pada tahun 1974. Kakak menjadi penyanyi Kumpulan Anak Seni disamping menari.Kemudian kakak menjadi penari kebudayaan bersama KKBS. Pada tahun 1978 hingga 1980, kemuncak kegemilangan mewakili Negeri Sabah dan Delegasi Malaysia ke Pertunjukan Kebudayaan Hari Kanak-Kanak Sedunia di Jepun pada tahun 1979. Selama 13 hari di Jepun kami membuat persembahan di Tokyo, Chiba, Sano City, Shinjuku, Hakodate Hokkaido. Itulah masa kegemilangan sebagai penari Kebudayaan.
UB: Apa jenis tarian yang kakak kuasai?
LM: Sebut saja Sumazau, Magunatip, Joget, Zapin, Inang.Kalau tarian , jangan cakaplah, hampir semua kakak tahu. Kini menjadi jurulatih tarian di jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah
UB:  Selain bidang tarian, kakak juga terlibat dalam bidang penulisan. Sejak bila kakak menulis?
LML: Dalam bidang penulisan pula, boleh dikatakan kakak mula menulis sejak di bangku sekolah menengah. Mula-mula menulis sajak. Kemudian mula menulis skrip drama radio sejak 1983 hingga sekarang.. Sehingga kini kakak sudah menulis lebih 200 naskhah skrip drama radio/ drama kanak-kanak dan Bualan Hujung Minggu terbitan RTM Sabah, Radio Malaysia Tawau, RTM W.P Labuan dan RTM Angkasapuri
Skrip drama radio ‘Tragedi Perigi Tua’ dan `Koide San’ dimuatkan dalam Antologi Pahlawan Lembah Tempasuk cetakan pertama 1998 dan cetakan kedua 2001, yang diselenggarakan oleh Allahyarham R Hamzah Dua, Terbitan DBP Kuala Lumpur.
Kakak juga menjadi antara penulis dan editor Buku Panduan:Pusat-pusat Sejadi di Sabah (Nature Centres Directory in Sabah) Edisi 2003 dan Edisi 2005 terbitan Unit Sains dan Teknologi, Jabatan Ketua Menteri Sabah dengan kerjasama Japan International Cooperation Agency (JICA).
UB: Banyak tulis puisi?
LML: Kakak tidak banyak menulis puisi tapi antara puisi kakak yang pernah tersiar ialah puisi Kumohon dan Tandou: Selagi ada bulan dan Matahari dimuatkan dalam majalah wadah 2012 dan Wadah 2013 terbitan DBP Cawangan Sabah. Puisi Tandou: Selagi Ada Bulan dan Mata Hari dan Tandou: Di Sini Setia Kami Teruji’ dimuatkan dalam Antologo Cerpen dan Puisi Peristiwa Berdarah Lahad Datu & Semporna “Tandou oh Tandou’ selenggaraan Talib Samat PhD dan Ghazali Din MA tahun 2013.
30 puisi kakak dimuatkan dalam antologi Kuntum Kasih bersama empat penyair Sabah iaitu Kathirina Tati, Sabahuddin Seni dan Lya Zam  selenggaraan Kathirina Tati Sitaim terbitan Metro Media Publication & Services Jun 2013.
UB: Apa pesan orang tua yang kakak pegang dalam menceburi kerjaya seni?
LML: Bapa pesan, kalau kau jadi penyanyi, ataupun penari, jangan sesekali lupa solat. Jaga sembahyang, katanya. Sebab itu, walau sesibuk mana pun dalam bilik rakaman, atau apa-apa persembahan, kakak tetap menjaga solat.
UB: Bagusnya orang tua kakak. Sentiasa pentingkan agama.
LML:  Sebenarnya kakak juga sekolah agama di Sekolah Madrasah Sembulan dari darjah 1 hingga 6. Pernah mewakili sekolah dalam lagu nasyid dan mewakili madrasah dalam pertandingan baca Al-Quran.
UB: Dalam bidang teater pula, boleh ceritakan sedikit mengenai penglibatan kakak dalam teater?
LML: Kakak mula terlibat dalam bidang teater atau drama pentas pada tahun 1973 sewaktu di Bangku Sekolah. Kakak mula main teater pada tahun 1978 dalam teater “ Di Pulau Sa dan Di “karya Dinsman ” dengan Kumpulan Teater Nasional pada tahun 1978 yang diarahkan oleh Musa Masran. Kakak berlakon bersama Nandrayanatirow. Kakak juga berlakon dalam teater Anak Nazar Tujuh Keramat bersama Kumpulan Angkatan Kesenian Ibukota (AKSI) pada tahun 1980. Dalam Anak Nazar Tujuh Keramat, kakak berlakon sebagai Nurul Ashikin. Watak Panglima Khalid dilakonkan oleh Abdul Rahim Rashid, suami kakak.  teater Selendang Sempang Mengayau sempena Sambutan ke-50 Tahun DBP Cawangan sabah tahun 2006. Kakak juga sering diundang untuk bersyair dalam majlis-majlis kebudayaan anjuran KKBS dimana waktu itu Ismaily Bungsu jadi Pengelola Kebudayaan.
Sewaktu di sekolah menengah, selain nyanyian, teater, kakak juga pernah mewakili sekolah dalam pantun. Kami pernah menduduki naib juara pantun peringkat sekolah dan menerima hadiah yang disampaikan oleh Allahyarham Tun Datu Mustapha Harun Ketua Menteri ketika itu.
UB: Apa pengalaman manis sepanjang menceburkan diri dalam bidang seni?
LML: Antara pengalaman paling manis ialah ketika mewakili Sabah dan menjadi delegasi Malaysia membuat persembahan kebudayaan selama 13 hari di Jepun, Hong Kong dan Singapura pada tahun 1979.
Selain itu, pengalaman yang tidak dapat dilupakan juga ialah ketika mula mula memasuki studio rakaman ketika berusia 16 tahun pada tahun 1974. Satu lagi pengalaman manis ialah ketika terpilih sebagai salah seorang pemenang Hadiah Sastera Sabah 2012/2013 dalam genre puisi.
UB: Apa perancangan selanjutnya?
LML: Kakak kini sedang berusaha untuk mengumpulkan skrip-skrip drama radio untuk dibukukan. Sebelum ini kakak sudah menyiapkan buku biodata artis-artis senior Sabah era 1950-an dan 1980-an dan diterbitkkan tahun 2014. Buku kedua yang akan menyusul ini adalah buku antologi skrip drama radio.
UB: Bagaimana kakak boleh berjaya dalam bidang seni. Apa rahsianya?
LML: Kakak memang minat dan jatuh cinta terhadap genre seni. Kalau tidak minat, tentu semuanya tidak dapat dilaksanakan sepenuh hati.