Rabu, 21 Disember 2016

HAJI RUSDI RAMLEE, PERNAH KERJA TIGA TAHUN DALAM HUTAN

Tags



HAJI RUSDI RAMLEE, PERNAH KERJA TIGA TAHUN DALAM HUTAN

PERNAHKAH anda mendengar cerita mengenai orang yang pergi ke sekolah dengan menunggang kuda? Mungkin jarang atau tidak pernah, tetapi kisah ini benar-benar terjadi kepada Haji Rusdi Ramlee, mantan Penyelia Kanan KEMAS Tawau.  Ketika belajar di bangku sekolah rendah, beliau pernah menunggang kuda ke sekolahnya di Government Primary School (GPS) Timbang Dayang Kota Belud. “Ketika belajar dalam kelas, kuda itu ditambat di luar pagar,” katanya kepada Utusan Borneo. Tokoh yang tidak mahu menonjol diri sebaliknya bersikap `low profile’ ini menyimpan banyak kisah dalam hidupnya. Beliau pernah tinggal kira-kira tiga tahun dalam hutan, berkhemah dalam hutan tebal ketika bertugas sebagai pengawas hutan di Kinabatangan. Beliau mengenal dengan baik pelbagai jenis kayu malah banyak tahu liku-liku sungai di kawasan Pantai Timur Sabah seperti Sungai Kalabakan, Segama, Sungai Kinabatangan, Sungai Paitan dan sebagainya.

HAJI RUSDI RAMLEE dilahirkan di Kampung Kota Peladok Kota Belud pada 21 Februari 1952. Anak pertama dari enam bersaudara ini mendapat pendidikan awal di GPS Timbang Dayang dari darjah satu hingga tiga sebelum berpindah di Maktab Sabah. Selepas peperiksaan darjah enam, beliau terpaksa mencari kerja akibat kenakalannya hingga terpaksa di buang dari asrama. Beliau kemudian memohon kerja di Jabatan Hutan dan diterima bertugas sebagai Pengawas Hutan di Tawau dari tahun 1969 hingga 1971. Pada tahun 1972, beliau mengikuti kursus perhutanan di Maktab Perhutanan di Kepong. Sekembalinya dari sana, beliau ditugaskan semula di Tawau hingga tahun 1977 apabila beliau dipindahkan bertugas di pelbagai tempat seperti Kinabatangan, Paitan, Tongod dan sebagainya sebelum beliau mengambil keputusan untuk berhenti pada tahun 1979. Haji Rusdi kemudian membawa diri ke Singapura pada tahun 1980 hingga 1985. Beliau pulang ke Sabah pada tahun 1986 dan menceburkan diri dalam politik. Beliau dilantik sebagai Penolong Setiausaha Usaha Kerja Pemuda USNO hingga kemasukan UMNO ke Sabah pada tahun 1991. Beliau pernah menjadi Timbalan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Gaya sebagai penaja. Haji Rusdi Ramlee adalah pemuda UMNO Sabah yang pertama sekali bertanding jawatan Timbalan Pengerusi Tetap Pemuda UMNO Malaysia tetapi kalah kepada Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayob. Kemudian beliau menjadi Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Penampang sebelum dilantik sebagai Penyelia Kanan Kemas Tawau pada tahun 1996 hingga beliau bersara pada tahun 2008. Sebagai seorang yang gigih memajukan diri, beliau mengambil peperiksaan SRP sebagai calon persendirian pada tahun 1974 dan kemudian calon persendirian SPM pada tahun 1976 tetapi hanya mendapat GCE. Pada tahun 1977 beliau sekali lagi menduduki peperiksaan SPM dan berjaya mendapat pangkat dua. Selepas itu, beliau lulus di peringkat diploma dan kemudian mengikuti pengajian jarak jauh hingga lulus MBA  di American Northeastate University yang berpusat di Lexington, Kentucky Amerika Syarikat pada tahun 2005. Pada tahun 2009, selepas bersara, beliau lulus peringkat doktoral  dalam bidang Business Administration di universiti yang sama.

Wartawan  UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemubual HAJI RUSDI RAMLEE di salah sebuah restoran popular di Tawau Rabu lalu. Dalam temubual itu, beliau bercerita mengenai pengalamannya sewaktu bersekolah di Kota Belud seterusnya mengenai beberapa pengalamannya ketika bertugas sebagai pengawas hutan di Pantai Timur Sabah. Ikuti petikan temubual bersama beliau:

UTUSAN BORNEO (UB) : Boleh ceritakan sedikit mengenai latar belakang tuan haji?
HAJI RUSDI RAMLEE (HRR): Saya dilahirkan di Kampung Kota Peladok, Kota Belud pada 21 Februari pada 1952. Saya anak sulung dari enam adik beradik. Ayah saya, Ramlee Abdul Ghani bekerja sebagai pemandu di Jabatan Pertanian manakala ibu saya sebagai petani dan suri rumah.

UB: Di mana tuan haji bersekolah rendah dahulu?
HRR: Saya bersekolah di Government Primary School (GPS) Timbang Dayang dari darjah satu hingga darjah tiga. Masa itu, saya selalu ikut murid-murid darjah tiga dan darjah empat kerana ketika saya darjah satu tidak banyak murid darjah satu. Setelah itu, barulah ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke darjah satu. Guru Besar GPS Timbang Masa itu ialah cikgu Abdul Majid Gagah. Kesedaran ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah dan mendapatkan pendidikan memang ada tetapi kerana sekolah agak jauh.

UB: Bagaimana tuan haji ke sekolah masa itu?
HRR: Kadang-kadang kalau bukan jalan kaki, kami terpaksa menunggang kuda.Kalau tidak naik kuda, terpaksa naik basikal Raleigh yang besar itu. Letak sekolah di GPS Timbang Dayang, agak jauh dari tempat tinggal kami dari Kampung Payas-Payas. Masa itu, tahun 1963, mana ada jalan raya seperti sekarang. Ada pelajar yang terpaksa menggunakan rakit untuk menyeberangi sungai. Kalau tidak ada rakit terpaksa berenang.Kasut bukan boleh pakai. Sampai sekolah baru pakai kasut kerana jalan raya berlopak-lopak.

UB: Menunggang kuda ke sekolah?
HRR: Kadang-kadang naik kuda. Saya ingat kadang-kadang, saudara saya Jaya Dallah singgah ke rumah. Naik kuda. Kami bertolak kira-kira jam 5.00 pagi dan jam 6.30 pagi sudah sampai di sekolah. Kuda kami tambatkan di luar pagar. Masa itu, bukan semua orang ada kuda. Di sekolah, ramai juga kawan kawan saya. Antaranya Allahyarham Talikop Lamsin mantan Pegawai daerah Kota Belud dan mantan Pengurus Besar Ko Nelayan. Saya bersekolah d GPS Timbang Dayang hingga darjah tiga tahun 1963.

UB: Lepas itu, tuan haji sekolah dimana?
HRR: Tahun 1963, saya bersekolah di Maktab Sabah sebagai  preparation selama tiga tahun tahun. Lepas darjah enam, saya terpaksa di buang asrama kerana nakal, kemudian terpaksa di  buang sekolah. Itu terjadi sebaik tamat peperiksaan darjah enam.

UB: Selepas tamat darjah enam, tuan haji sekolah di mana?
HRR: Saya tidak bersekolah lagi. Sebaliknya cari kerja. Tetapi tidak diterima bekerja kerana belum cukup umur. Begitulah yang terjadi, sehinggalah saya diterima bekerja sebagai pengawas hutan di Jabatan Hutan Tawau.

UB:  Bagaimana tuan haji ke Tawau masa itu?
HRR: Saya naik kapal MV Keningau. Perjalanan mengambil masa kira-kira tiga minggu baru sampai kerana singgah-singgah. Masa itu belum ada jalan raya seperti sekarang. Kalau adapun jalan raya hanya sampai Ranau saja.

UB: Dimana tuan di tugaskan di Tawau?
HRR: Saya ditugaskan di Pejabat Perhutanan yang terletak di bandar Tawau. Kerja praktikal di jalankan di hutan. Saya pernah ditugaskan di Kalabakan, Long manggis dan sebagainya.

UB: Berapa gaji tuan haji ketika mula-mula bekerja?
HRR:  Gaji saya masa itu hanya RM114.00 sebulan. Jumlahnya kecil tetapi mungkin setara dengan gaji RM3,000 sekarang.

UB: Kenapa tuan haji cakap begitu?
HRR: Masa itu, kuih harganya lima sen. Kopi pun harganya lima sen. Tahun 1966, harga ikan dalam tin hanya 25 sen. Satu tumpuk udang itu harganya cuma 10 sen . Begitu juga, duit 20 sen sudah boleh membeli satu ikat ikan. Seluar dalam sekitar RM14.00 manakala baju kemeja kira-kira RM4.00. Masa saya bergaji RM114.00 itu, saya masih dapat kirimkan duit ke kampung untuk belanja adik sekolah. RM10.00 atau RM20.00 dikirim melalui pos. Satu minggu boleh sampai di pejabat pos Kota Belud.
Waktu itu, harga nasi kuning, makanan yang popular di Tawau hanya 25 sen. Ikannya juga besar. Sebab itu sampai sekarang saya suka makan nasih kuning. Satay pula harganya hanya 10 sen.  Ketupatnya pun free. Bandingkan dengan harga satay sekarang.

UB: Selepas Tawau, dimana tuan haji bertugas?
HRR:  Saya terpilih untuk mengikuti kursus satu tahun di Maktab Perhutanan di Kepong sekarang dikenalu (FRIM) Forest Research Institute Malaysia  pada tahun 1972. Dari Sabah masa itu, kami ada sebelas orang. Antara yang saya ingat, Laimin Jaimin, Senaji, Haji Talip Bidin, Harun Tani dan lain-lain lagi.

UB:  Naik apa ke Kuala Lumpur?
HRR: Kami naik kapal MV Keningau dari Sandakan yang memakan masa kira-kira tujuh hari untuk sampai ke Singapura. Kemudian dari Singapura, kami naik Keretapi Tanah Melayu hingga ke Kuala Lumpur. Masa kami naik kapal itu, kami diberikan tempat first class, banyak orang tumbang kerana mabuk.Mabuk Laut. Kami berkursus di Maktab Perhutanan Kepong selama setahun untuk mempelajari selok belok hutan dan sebagainya. Pada tahun 1973, kami pulang, tapi kali ini kami naik pesawat MSA dari Subang.

UB: Balik dari Maktab Perhutanan, di mana tuan ditempatkan?
HRR: Saya ditempatkan semula di Tawau. Ditugaskan di Berantian, Luasong, Kalabakan dan banyak tempat lagi. Masa itu juga, saya mengisi masa lapang dengan belajar. Saya terfikir untuk menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) secara persendirian. Saya menduduki peperiksaan pada tahun 1974 di SMK Tawau. Kemudian saya mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 1976 tetapi hanya mendapat Sijil Am atau GCE saja.
Kemudian saya dipindahkan ke Sandakan. Pada tahun 1977, saya ambil balik SPM dan dapat Grade Dua

UB:  Berapa lama tuan bertugas sebagai Pengawas Hutan di Sandakan?
HRR: Saya bertugas di Sandakan hingga tahun 1979. Saya berhenti kerja walaupun masa itu, Datuk Miller Munang beritahu saya, sudah ada promotion (kenaikan pangkat) tapi saya meneruskan juga niat saya untuk berhenti. Saya berhenti kerana saya memohon untuk sambung belajar tetapi tidak diluluskan.

UB: Mungkin tuan haji boleh ceritakan pengalaman sepanjang bertugas di Sandakan?
HRR: Banyak pengalaman pahit manis ketika bertugas di Sandakan. Saya pernah bertugas dalam hutan selama tiga tahun tidak keluar-keluar. Tahun 1969 hingga 1971. Tiga tahun dalam hutan. Gaji pun diterima pakai bon saja, pakai kertas cetak,bukan pakai duit. Kalau gaji dalam bentuk duit, takut ada perompak. Dengan gaji dalam bentuk bon itu, kami gunakan untuk membeli makanan.

UB: Dimana tuan haji pernah bertugas di hutan ?
HRR: Saya pernah bertugas di kem di Karis-Karis, Sungai Tongkang, Balat, Tongod dan banyak lagi.Lingkabau, Kuala Bahanan, Pulau Jambongan, Kanibongan. Saya mengenal hutan dan liku sungai Sungai Sugut, Sungai Segama, Kalabakan, Kinabatangan, Paitan, Sugut .

UB: Berapa ramai pekerja masa dalam hutan itu?
HRR: Sekitar 30 orang hingga 50 orang. Kami sendiri bikin khemah dalam hutan. Di hutan, kami mengawasi kerja kerja hutan.Mengawasi pengeluaran kayu, tarik kayu mesti ada pas, cukup ukurannya. Lain kali, lain kadar cukainya. Kadar cukai ditentukan ikut jenis kayu.
UB: Pernah ada masalah dengan rakan sekerja?
HRR: Asalkam kita bagus sama orang, semua orang baik dengan kita. Saya pula jenis yang bergaul dengan semua jenis orang.

UB: Tiada masalah cari makanan?
HRR: Makanan tidak susah. Kalau mahu makan ikan, cukup dengan merambat atau menjala ikan. Ada juga bekal ikan sadin atau ikan masin. Kalau mahu sayur, ada banyak sayur pakis dan lemiding. Kalau mahu pelanduk, boleh pasang jerat. Kami juga cari payau pakai anjing pemburu dan sebagainya.

UB: Apa aktiviti dalam hutan?
HRR: Kalau malam, rehat saja dalam khemah. Kalau siang boleh juga main badminton. Kadang main bolasepak kalau ada kawasan padang.

UB: Bagaimana kalau mahu keluar ke bandar? Kalau ada urusan misalnya?
HRR: Tiada pilihan. Terpaksa tunggu air pasang surut. Untuk keluar terpaksa mengambil masa yang lama. Kemudian tunggu berbulan-bulan baru boleh masuk.Kita terpaksa tunggu air besar, baru boleh masuk kem atau keluar. Kita terpaksa tunggu berbulan-bulan lamanya. Kapal kapal besar pun tunggu air pasang. Baru boleh bawa kayu balak keluar . Mereka selalu harapkan banjir besar untuk bawa kayu balak keluar. Selepas kayu ditebang, kemudian ia dibawa ke pangkalan menggunakan landasan atau troli dalam hutan.

UB: Apa jenis-jenis kayu dalam hutan kita?
HRR: Antaranya, Seraya atau Meranti, Keruing, Kapur, Belian,Selangau Batu atau Balau, Kayu malam dan sebagainya. Saya mengenal semua jenis kayu kerana pernah belajar sewaktu di Maktab Perhutanan Kepong dahulu.

UB: Kerja dimana selepas itu?
HRR: Saya membawa diri ke Singapura dari tahun 1980 hingga 1985. Pada tahun 1986, saya balik semula ke Kota Kinabalu. Waktu itu, masih dalam era pemerintahan Kerajaan PBS. Saya tidak ada kerja tetap. Lalu bergiat dalam politik. Saya dilantik sebagai Setiausaha Kerja Pemuda USNO dari tahun 1986 hingga 1991. Ketika UMNO Mengembangkan sayapnya ke Sabah, saya dilantik sebagai Timbalan Ketua Penaja Pemuda UMNO Gaya, Masa itu, Ketua Pemuda Saudara Datuk Jumat Haji Idris. Seingat saya, sayalah orang pertama dari Pemuda UMNO Sabah yang bertanding jawatan Timbalan Pengerusi Tetap Pemuda UMNO Malaysia tetapi kalah kepada Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayob. Masa itu, saya berada dalam team  Tan Sri Isa Samad manakala Megat Junid sepasukan dengan Tan Sri Rahim Tamby Chik. Kemudian saya jadi Pengerusi Tetap Pemuda UMNO Gaya. Selepas itu, selepas persempadanan,saya dipilih pula sebagai Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Penampang. Pada masa itu , saya juga jadi Penyelia Kemas Penampang. Dari Penampang, saya dipindahkan ke Tawau dan dilantik menjawat jawatan Penyelia Kanan Kemas Tawau.

UB:  Berapa lama kerja sebagai Penyelia Kanan Kemas Tawau?
HRR: Saya bertugas sebagai Penyelia Kanan Kemas Tawau dari Tahun 1996 hingga bersara pada tahun 2008.

UB: Saya difahamkan tuan haji juga sambung belajar masa itu? Apa sebenarnya yang mendorong tuan haji?
HRR: Sebenarnya saya mahu jayakan cita-cita yang tersemat dalam hati sejak masa kecil lagi. Cita-cita saya terbantut kerana saya nakal. Saya rasa saya pandai. Tetapi kerana nakal sekolah saya tergendala. Saya pun mahu maju juga. Sebab itu saya ambil diploma pada tahun 2005. Sebaik lulus, saya terus mengambil MBA dari American Northeastate University pada tahun 2007. Pada tahun 2009, saya lulus doktor dalam  Business Administration atau Pentadbiran Perniagaan.

UB: Sebenarnya, apa cita-cita tuan haji dar kecil?
HRR: Cita-cita asal saya memang mahu jadi polis. Saya pun sudah lulus temuduga dan sudah diterima tetapi emak saya, Kunah Suling  tidak setuju. Beliau  keberatan dan enggan melepaskan saya pergi. Saya pun tidak jadi pergi.

UB: Apa motto tuan haji dalam hidup?
HRR: Kalau kita sentiasa bagus pada orang, orang pun akan sentiasa bagus kepada kita.


KALAU TIDAK BOLEH BUAT ORANG GEMBIRA,JANGANLAH ORANG DISAKITI, KATA DRS M NAJMI YAQIN

Tags


KALAU TIDAK BOLEH BUAT ORANG GEMBIRA,JANGANLAH ORANG DISAKITI, KATA DRS M NAJMI YAQIN


“Kalau tidak boleh membuat orang gembira, janganlah orang disakiti. Jika tidak boleh menyenangkan orang lain, jangan bikin dia susah”, kata Hakim Tinggi Agama Jakarta, Indonesia, Drs M Najmi Yaqin SH MH. Ketika ditemui di Kota Kinabalu, awal minggu ini, hakim yang berpengalaman selama 41 tahun dalam bidang hukum agama itu, memberitahu mengenai falsafah hidupnya. Kalau tidak bisa bikin orang senang, jangan orang disakiti, katanya. Ketika ditanya apa nasihatnya kepada generasi muda, beliau berkata “Nasihat saya satu saja. Teruslah bekerja keras. Jangan Mudah menyerah”.

Drs M Najmi Yaqin SH MH, dilahirkan di Jambi, Sumatera  pada 31 Disember 1950. Beliau mendapat pendidikan awal di SD di Jambi sebelum melanjutkan pengajian di Madrasah Tarbiyah Islamiah Bukit Tinggi. Selepas itu, beliau melanjutkan pengajian di Universiti Islam Negeri Yogyakarta hingga mendapat ijazah S1 (Ijazah Sarjana Muda) dalam bidang syariah  sebelum melanjutkan pendidikan di Sekolah Tinggi Hukum Agama (STHA) Jakarta di peringkat S2. Sebaik tamat pengajian, beliau bergiat dalam bidang dakwah sebelum bertugas dalam pengadilan agama. Beliau mendirikan rumahtangga dengan Dra Hajah Ruhmaida, seorang guru dan dikurniakan tujuh cahaya mata.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang mewawancara beliau ketika berkunjung ke Kota Kinabalu 5-7 Disember lepas dalam rangka tugasnya sebagai Hakim Tinggi Agama untuk  menyaksikan  Sidang Itsbat Nikah kali kedua yang diadakan di Dewan Budaya Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI). Ikuti petikan wawancara bersama beliau mengenai pengalaman beliau:

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit mengenai latar belakang bapak?

DRS: Saya lahir di Jambi pada 31 Disember 1950. Anak kedua dari lima bersaudara. Ayah saya Haji M Yaqin seorang guru mengaji manakala ibu saya, Hajah Siti Fatimah, seorang petani. Saya mendapat pendidikan awal SD (sekolah rendah) di Jambi sebelum melanjutkan pendidikan di Pondok Pesantren di Bukit Tinggi iaitu Madrasah Tarbiyah Islamiah Bukit Tinggi. Selepas itu, saya melanjutkan pengajian di Universiti Islam Negeri Yogyakarta di peringkat S1 (Sarjana Muda) dan melanjutkan kuliah di Sekolah Tinggi Hukum Agama Jakarta untuk S2 (Sarjana).

UB: Selepas tamat kuliah, dimana bapak (tuan)  ditugaskan?
DRS : Selepas tamat kuliah , saya sudah berdakwah di Muara Bongo Jambi dari tahun 1961 hingga 1968. kemudian di Bukit Tinggi  pada tahun 1972 dan selepas itu Jogja tahun 1975. Dari usia 14 tahun saya sudah ikut berdakwah.

UB: Dimana bapak ditugaskan selepas bertugas di Pengadilan Agama?
DRS: Saya ditugaskan di Pulau Kangean, sebuah pulau yang boleh dihubungi kira-kira 11 jam perjalanan dengan kapal mesin dari Sumenep. Ketika itu saya baru berusia 28 tahun tetapi tidak menjadi bagi saya ditempatkan di sebuah pulau yang terpencil. Jiwa saya memang jiwa perantau. Saya nikmati saja. Bapa dan Ibu saya darah Padang. Merantau itu sudah biasa. Banyak orang stres kalau ditugaskan di tempat yang jauh. Tetapi saya nikmati saja.

UB: Apa kesan bapak terhadap pulau Kangean?
DRS: Di Kangean, orang-orangnya baik. Sopan. Penduduknya lebih banyak perempuan dari lelaki. Lelakinya berlayar atau merantau. Perempuannya cantik-cantik. Daerahnya makmur. Pada tahun 1976, ketika saya ditugaskan sebagai Hakim Agama di sana, televisi (televisyen) hampir semua rumah ada. Waktu itu di Jakartapun tidak semua mempunyai televisi (televisyen).

UB: Berapa lama bapak bertugas di sana?
DRS: Satu tahun lapan bulan. Selepas itu, saya pindah ke Bekasi pada tahun 1978 kemudian dipindah lagi kew Jatinegara Jakarta Timur. Pada tahun 1981 pindah lagi ke Bekasi, Kemudian di Cibadak jawa Barat selama tiga tahun. Selepas itu pindah ke Sukabumi selama satu tahun, kemudian dipindah lagi ke Cibinong selama tiga tahun. Selepas itu pindah lagi ke Tangerang selama satu tahun lapan bulan. Kemudian pindah ke Jakarta selama 6 tahun, kemudian pindah lagi ke Bandung selama lima tahun sebelum dipindahkan ke Jakarta. Itulah perjalanan karier saya selama 41 tahun dalam pengadilan agama.

UB: Bapak sudah banyak berkeliling Indonesia. Apa yang bapak rasai? Sesudah berkunjung dan bertugas di 26 Kabupaten seluruh Indonesia?
DRS: Saya dapat merasai nikmat bernegara. Selain itu ia dapat meningkatkan kecintaan saya kepada NKRI (Negara Kesatuan Republik Indonesia). Saya tahu bahasa dan budaya Jawa kerana saya lama di Jawa. Saya tahu budaya dan bahasa orang Sunda kerana saya lama di Sunda. Begitu juga saya tahu bahasa dan budaya Madura kerana saya lama di Madura. Inilah yang membuat pola fikir saya berbeza. Saya berkawan dengan orang tidak apriori. Kadang-kadang kita bertemu watak orang yang bengis, hanya di mulut saja. Dia berteriak-teriak begitu kerana cara ngomong (percakapan) nya begitu.


UB: Sebagai seorang yang banyak berkeliling Indonesia, menurut bapak,dimana tempat yang paling menarik untuk dikunjungi?
DRS:  Kalau yang masih asli, Sumatera Barat. Pemandangannya indah. Danau Singkarak, Danau Maninjau, Atas Bawah, Negeri Sianok. Itu masih semulajadi. Keindahannya memang asli, tidak payah bayar. Kalau di Jawa, hampir semua sudah dipoles.Banyak yang boleh dikunjungi.Jalanrayanya bagus. Misalnya di Jogja, di Jawa Tengah banyak tempat boleh dikunjungi. Borobudur, Prambanan. Infrastrukturnya bagus, Begitu juga di Jawa Barat. Banyak tempatnya sudah ditata, sudah dipoles. Di Bali juga bagus, pantainya indah. Semua asli.

UB: Selain tugas di pengadilan agama, apa kegiatan yang bapak lakukan?
DRS:  Di mana tempat saya bertugas, saya mendirikan panti asuhan. Falsafah hidup saya, kalau tidak bisa bikin orang senang, jangan bikin dia susah,saya tuangkan dalam hidup seharian saya. Saya dirikan panti asuhan. Untuk masuk panti asuhan itu, harus hafal dua juzuk.Kini saya punya 112 pelajar.Selain itu, saya mempunyai SMP Swasta, Sekolah Menengah Pertama dengan pelajar seramai 520 orang.  Walaupun sibuk dengan tugas saya tidak pernah campurkan kerja dengan sekolah, kalau jam kerja saya  bekerja. Kerja keras.Tapi apapun, konsentrasi saya Islam.


UB: Mungkin bapak boleh ceritakan sewaktu bapak masih kecil?
DRS: Saya waktu kecil nakal. Sangat nakal sekali. Saya selalu berlawan dengan orang yang di atas umur saya. Saya sering dipulas atau dipatahkan  tangan saya kerana berlawan dengan orang lebih besar. Ayah saya memasukkan saya ke pondok pesantren, supaya boleh berubah tingkahlaku saya. Dia hanya pesan, supaya saya berubah. Setelah berada di pondok, ia memberi saya pengajaran mengenai erti hidup. Ternyata saya yang dulu nakal, kemudian sudah berubah.

UB: Tentu suasana mengaji dulu dengan sekarang agak berbeza?
DRS:Saya dulu mengaji pakai kain sarung, pakai peci , mengaji kitab kuning, dengan huruf arab gundul (tidak mempunyai baris).

UB: Siapa guru yang bapak paling ingat, yang pernah mengajar?
DRS: Guru saya Sheikh Sulaiman  Ar Rasuli, Pendiri Perti tahun 1930, Tamatan dari Makkah. Beliau itu agak terkenal kerana termasuk anggota Konstituante 1955.

UB: Bagaimana pertentangan antara kaum muda dan kaum tua masa dulu di Sumatera?
DRS: Sebenarnya pertentangan antara kaum muda dan kaum tua tidak seperti yang dikhabarkan. Pertentangan itu bermula masa dulu ketika imam Bonjol yang berhadapan dengan kaum adat. Imam Bonjol disokong oleh kaum pembaharu sementara kaum adat disokong oleh Belanda hingga berlaku Perang Padri. Itulah sebabnya timbul kata-kata ungkapan Adat Bersendi Syarak, Syarak Bersendi Kitabullah pada tahun 1882. Kalau dulu adat bersendi alue jo patuik. Mufakat basandi alue jo patuik (--Mufakat bersendi alur dan patut). Namun kemudian , pada tahun 70-an , sudah tidak ada  bertentangan antara kaum agama dengan kaum adat. Adat masih kuat tapi bersendi kitabullah, Warna Islam makin kuat.

UB: Masih bercakap bahasa minang di rumah? Mungkin ada falsafah minang yang boleh dipelajari?
DRS: Bahasa di rumah masih bahasa Minang. Bagi orang minang, di mana banyak orang di situ banyak wang. Wang harus diambil. Kita mesti tahu cara mengambilnya dari dompet mereka. Misalnya Kalau orang perlu sepatu, tentu mereka juga perlu talinya. Kita jual talinya. Kita sediakan apa-apa yang orang perlukan,sudah pasti kita dpat memajukan diri dalam perniagaan.

UB: Saya difahamkan ini kali pertama bapak berkunjung ke Sabah. Apa kesan bapak terhadap Sabah?
DRS:  Kesan saya orang sini baik-baik. Baik layanannya , keramahannya.

UB: Dalam rangka tugas  apa bapak ke Sabah?
DRS: Saya mengawasi jalannnya persidangan Sidang Itsbat Nikah  yang diselenggarakan di KJRI. Jika timbul masalah, kita cari solusi untuk mengatasinya.

UB: Apa pentingnya pasangan warga Indonesia yang belum mengesahkan perkahwinan mereka secara hukum mengikuti sidang itsbat nikah?
DRS: Pertama, supaya mereka ada kepastian hukum, asas manfaat dan asas ketertiban.Dengan adanya sidang Istbast Nikah ini, dia bisa dilindungi oleh negara, ada akta kelahiran (surat lahir) boleh  di bikin, hak pewarisan bisa dijamin, kalau berlaku kematian, bisa dikuburkan, jelas kepastian hukum kalau ada wang di bank. Jika mereka tidak mendaftarkan status perkahwinan mereka, sudah tentu ia menimbulkan kekacauan dalam data kependudukan. Kalau menurut informasi yang diperolehi, terdapat hampir 50 juta penduduk di seluruh Indonesia yang belum punya buku nikah. Hal seperti ini pasti menimbulkan kecelaruan dalam statistik kependudukan.

Banyak pernikahan yang dilaksanakan di luar negeri tidak mengikuti persyaratan sesuai dengan ketentuan dan perundang-undangan yang berlaku sehingga menciptakan permasalahan baru, misalnya melaksanakan pernikahan di luar negeri mengikuti ketentuan setempat namun tidak mendaftarkannya ke Pemerintah RI dalam hal ini Perwakilan RI di luar negeri.

UB: Kalau menurut bapak, apa masalah yang dihadapi oleh warga Indonesia yang mendaftarkan perkahwinan mereka?
DRS:Masalah yang saya dapat ketahui ialah dari segi biaya perkara, biaya transportasi, biaya makan dan sebagainya. Gaji mereka dipotong satu hari , cuba di hitung.

UB: Apa saranan bapak untuk mengatasi permasalahan ini?
DRS: Saya fikir, salah satu solusi ialah kita sarankan agar biaya ditanggung negara. Negara harus ikut membantu pasangan suami isteri berkenaan. Di bantu biaya transportasi, makan atau dibebaskan biaya. Tidak perlu bayar. Di Jawa, Pemerintah Daerah yang menanggung perbelanjaan istbat nikah.

UB: Jadi negara harus membantu?
DRS: Negara harus membantu kerana ia berkaitan dengan data kependudukan, untuk mengelak kekacauan dalam kependudukan. Jumlah WNI yang bekerja di negeri Sabah tidaklah sedikit. Tenaga Kerja Indonesia yang berdiam lama di wilayah tertentu pastinya akan berinteraksi dengan masyarakat setempat maupun dengan sesama masyarakat Indonesia yang berada di wilayah berkenaan hingga berhujung kepada pernikahan.

UB: Oh ya, apa prinsip bapak dalam menjalani hidup?
NY: Kalau tidak bisa bikin orang senang, jangan orang disakiti.Jika tidak boleh menyenangkan orang lain, jangan bikin dia susah.Itu falsafah hidup saya dari dulu.

UB: Apa nasihat bapak kepada generasi muda?
NY: Nasihat saya satu saja. Teruslah bekerja keras. Jangan Mudah menyerah.