Sunday, December 31, 2017

SABAH BERIKAN UDARA YANG SEGAR, KATA AKHMAD D H IRFAN






SABAH BERIKAN UDARA YANG SEGAR, KATA AKHMAD D H IRFAN


SELEPAS tiga tahun tiga bulan berkhidmat sebagai Konsul Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu, akhirnya beliau terpaksa mengucapkan selamat tinggal kerana memenuhi panggilan tugas di Jakarta, Indonesia. Alangkah beratnya perpisahan, lebih-lebih lagi kerana beliau sudah jatuh cinta dengan keindahan alam dan masyarakat di Negeri di Bawah Bayu ini. "Sabah memberikan udara yang segar, masyarakatnya ramah dan makanannya enak," katanya namun semua itu sebentar lagi hanya jadi pengalaman dan kenang-kenangan.
Akhmad  Daya Handasah Irfan atau Akhmad DH Irfan  lahir di Jakarta pada 2 Disember 1959  dan dibesarkan dengan latar budaya Betawi meskipun ayah dan ibunya  berasal dari Jawa Barat. Beliau mendapat pendidikan rendah di SD Cenderawasih sebelum melanjutkan sekolah di Sekolah Menengah Negeri Bulungan. Selepas iitu, beliau melanjutkan pengajian di Sekolah Tinggi Hukum Jakarta manakala pada sebelah petangnya mengikuti kuliah di Universitas Muhammadiyah Jakarta. Sebaik tamat kuliah, beliau sempat bekerja sebagai Pegawai Penjara sebelum berpindah ke Kementerian Luar Negeri. (KEMLU) Sepanjang kerjayanya sebagai diplomat,beliau pernah ditugaskan di Sepanyol, Korea Selatan, Negara Brunei Darussalam dan Kuala Lumpur sebelum dipindahkan ke Kota Kinabalu sebagai Ketua Perwakilan Republik Indonesia di KJRI Kota Kinabalu pada 15 Oktober 2014. Selepas tiga tahun tiga bulan di Sabah, beliau kembali bertugas di Kemlu Jakarta pada 2018.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang mewawancara Bapak Akhmad DH Irfan di pejabatnya di Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu pada satu petang sambil menikmati teh kosong. Hari hari terakhir Pak Irfan dipenuhi dengan pelbagai program dan agenda yang padat. Selain menerima kunjungan dan mengadakan pertemuan dengan pelbagai lapisan masyarakat, beliau juga mengadakan kunjungan perpisahan kepada TYT Yang di Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Dr Haji Juhar Mahiruddin,  Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman,dan pemimpin kerajaan negeri yang lain antaranya  Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin, Datuk Raymond Tan Shu Kiah,Menteri Pembangunan Infrastrukur Sabah, Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun. Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman dan lain-lain.
Sebelum sesi wawancara itu, beliau baru balik dari sebuah hospital untuk membuat pemeriksaan kesihatan. Doktor menasihatkan supaya saya jangan lari kencang atau jangan melompat-lompat. Sebabnya berat badan saya naik kira-kira 12 kilogram.
"Saya  menyalahkan Sabah," katanya . "Apa salah Sabah pak?" Sabah memberikan udara yang segar dan segala makanan yang enak sehingga berat badan saya bertambah" katanya sambil tersenyum.  Ikuti petikan wawancara terakhir sebelum beliau meninggalkan Negeri Di Bawah Bayu pada 31 Disember 2017 untuk menyahut panggilan tugas yang baru di Jakarta.
UTUSAN BORNEO:  Sepanjang tiga tahun tiga bulan berkhidmat di Sabah, tentu ada perkara yang mengesankan buat Pak Konjen . Boleh tahu apa yang paling mengesankan buat Pak Konjen?
AKHMAD DH IRFAN: Bagi saya paling mengesankan sepanjang perkhidmatan di Sabah selama tiga tahun tiga bulan  ialah bertambahnya pelayanan pendidikan untuk  anak-anak tenaga kerja Indonesia  khususnya yang berada di ladang-ladang kelapa sawit di seluruh negeri. Kalau dulu hanya terdapat 190 Pusat pembelajaran Komuniti (CLC) ,kini jumlah CLC sudah bertambah kepada 227 CLC dengan jumlah pelajar kepada lebih 25,000 pelajar.Data terakhir beberapa bulan  lalu menunjukkan jumlah pelajar ialah 24,850 orang dan kini sudah banyak pertambahan.
Saya berterima kasih kepada Kerajaan Sabah yang tidak jemu dan sentiasa memberikan kerjasama untuk membolehkan pelayanan pendidikan dapat diakses oleh anak-anak warga Indonesia.
Salah satu tugas utama kita adalah memberikan pelayanan pendidikan kepada anak-anak warga Indonesia.Harap harap di masa akan datang, kami bisa memberikan pelayanan yang lebih baik kepada anak-anak warga Indonesia termasuk juga kepada anak-anak di luar ladang.
Kami  berharap lebih banyak warga Indonesia menikmati layanan pendidikan. Kita harapkan CLC akan bertambah dari segi jumlah mahupun dari segi kualiti. Kini masih ada yang mendapat pelayanan atau akses pendidikan.
UB: Selepas sekolah di CLC, dimana mereka melanjutkan pendidikan?
KONJEN: : Pelajar-pelajar itu melanjutkan pelajaran di Sekolah Indonesia Kota Kinabalu (SIKK). Selepas itu, mereka berpeluang melanjutkan lagi ke peringkat yang lebih tinggi. Dalam waktu dekat, kita berharap bisa memenuhi peluang pekerjaan di hotel-hotel yang belum diisi seperti bell boy dan sebagainya.
Banyak di antara lulusan SIKK, melanjutkan pendidikan di Indonesia. Malah, kini sudah ada anak-anak pekerja ladang yang diterima di sekolah pilot di Serpong. Lulus jadi pilot, sudah tentu mempunyai peluang untuk merubah nasib.Sebelum ini , dia sendiri tidak pernah terfikir untuk jadi pilot.
UB: Mungkin Pak Konjen boleh beritahu mengenai jalur pengangkutan Serudong-Semanggaris yang khabarnya akan dibuka?
KONJEN: Jalur mobilitas Serudong-Semanggaris bakal dibuka mungkin tahun depan. Di Wilayah Indonesia sudah ada kemudahan CIQ,  banyak kemudahan sudah ada. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pertemuannya dengan Presiden Joko Widodo di Kuching sudah bersetuju untuk membuka jalan. InsyaAllah, ia akan memberi manfaat kepada kedua wilayah. Sebelum ini jalur pengangkutan hanya melalui laut. Sudah pasti pembukaan Serudong -Semanggaris itu kelak akan merancakkan lagi ekonomi di Sabah dan Kalimantan.
UB: Dalam banyak-banyak tempat yang bapak kunjungi di Sabah, apa tempat yang paling menarik bagi pendapat Pak Konjen?
KONJEN: Saya fikir Kudat. Pantainya Luas. Airnya Biru. Kita bisa mandi manda di sana. Kalau di Likas atau Tanjung Aru, airnya berpasir. Kudat, daerah di utara Sabah sangat berpotensi untuk membangun dari segi ekonomi. Apatahlagi, tidak lama lagi ,akan ada perkhidmatan transportasi atau pengangkutan antara Kudat dan Palawan di Filipina. Ini akan membawa rahmat kepada daerah-daerah lain di Sabah .
UB: Boleh komen sedikit mengenai Penerbangan Terus Kota Kinabalu-Jakarta yang baru saja beroperasi?
KONJEN: Saya mengucapkan terima kasih kepada pemerintah Sabah (Kerajaan Negeri) kerana memberi sokongan penuh untuk penerbangan terus laluan KK- Jakarta
Ini membuka kemungkinan kerjasama pariwisata (pelancongan)  yang besar yang akan memberi manfaat kepada kedua pihak. Investasi (pelaburan)  akan bertambah.Ruang tenaga kerja akan makin meningkat. Walaupun ada juga hal negatif kerana jika pemeriksaan longgar berakibat orang yang tidak dikehendaki menyusup masuk.  Budaya akan luntur atas nama peningkatan pelancong. Tapi secara keseluruhannya, peningkatan pelancong dan kegiatan pariwisata akan memberikan dampak positif terhadap potensi ekonomi di Sabah.
UB: Pendapat pak Konjen terhadap pekerja Indonesia yang bekerja tanpa izin di Sabah?
KONJEN: Dalam pertemuan saya dengan Tan Sri Datuk Seri Panglima Pairin Kitingan, saya saya sangat setuju dengan pandangannya agar TKI ilegal sebaiknya dihentikan. Kita sudah mengadakan pelbagai program untuk mengatasi masalah ini, tetapi peminatnya cuma sedikit. Kita berharap masalah ini akan dapat diatasi secara tuntas.
UB: Bagaimana

Kami bersedia mengeluarkan pasport kepada pekerja Indonesia yang sudah tamat tempoh pas kerja asalkan ada majikan yang menjamin untuk memperkerjakan mereka.  Bagi warga Indonesia yang tidak mempunyai dokumen, mereka harus pulang dulu ke Nunukan dan menguruskan dokumen mereka. Di sana  ada Layanan Terpadu Satu Pintu (LTSP)  yang boleh membantu mereka yang ingin keluar negara
UB: Boleh jelaskan sedikit mengenai Paspor Simkim?
KONJEN: Pasport Sistem Informasi Manajemen Keimigrasian (SIMKIM) dibuat untuk meningkatkan pelayanan dan kepuasan publik melalui pelayanan keimigrasian yang lebih transparan, akauntabel dan responsif. Selain itu, ia memberikan jaminan pelayanan yang lebih baik.
Sistem Informasi Manajemen Keimigrasian (SIMKIM)  dikembangkan oleh Direktorat Jenderal Imigrasi, Kementerian Hukum dan HAM RI seiring dengan kemajuan dalam teknologi informasi. Memang pengeluaran pasport ini memakan waktu dan biaya tetapi ia lebih selamat. Tidak akan berlaku lagi isu double identiti, kerana setiap orang hanya punya satu nombor pasport yang dibuat berdasarkan cap jari dan retina mata. Setiap pengeluaran pasport akan di `check' atau diperiksa dulu di Jakarta.
UB: Sejak beberapa tahun lepas, sering diadakan upacara istbat nikah. Bagaimana respon warga Indonesia di Sabah terhadap program ini?
KONJEN: Respon warga Indonesia terhadap program Istbat Nikah amatlah baik. Sejak program ini diadakan pada 2011, hingga kini terdaoat kira-kira 2,500 pasangan yang mengikuti program ini.
UB: Boleh jelaskan sedikit mengenai program ini?
KONJEN: banyak pernikahan yang dilaksanakan oleh warga Indonesia yang bekerja di Sabah didapati tidak mengikuti syarat dan peraturan undang-undang sehingga mencipta permasalahan baru.Antaranya, pernikahan yang dibuat tidak mengikuti peraturan setempat dan tidak mendaftarkannya kepada kerajaan Indonesia melalui konsulat.

Selain itu juga banyak terdapat pernikahan antara sesama warga Indonesia yang dilaksanakan secara siri dan tidak terdaftar mengikut undang-undang negara Indonesia sehingga anak yang lahir dari pernikahan berkenaan tidak memperoleh perlindungan atas hak-haknya termasuk antaranya hak pendidikan, hak waris, dan lain sebagainya.

Oleh itu, dalam usaha  menghadirkan negara untuk memberikan perlindungan dan kepastian hukum bagi hak-hak suami-isteri dan anak-anak yang dilahirkan dari pernikahannya, maka KJRI Kota Kinabalu bersama Pengadilan Agama Jakarta Pusat, melaksanakan program Sidang Itsbat Nikah yang diadakan setiap tahun.
Malah ada pasangan yang sudah 40 tahun nikah mengikut program istbat nikah itu agar pernikahan didaftarkan secara sah. Yang menarik, anaknya juga mengikuti program yang sama.
UB: Bagaimana hubungan antara KJRI KK dengan pemerintah setempat?
KONJEN: Hubungan kami  sangat baik.Kami saling berkunjung antara satu sama lain. Kami selalu berkunjung ke Istana untuk meraikan sambutan Hari Jadi TYT, Malah dalam acara Rumah terbuka Hari Raya Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri, Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Mahiruddin, Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman dan menteri-menteri dan pemimpin-pemimpin lain turut hadir di Wisma Indonesia. Apa yang dapat saya katakan hubungan kami sangat akrab.
UB: Mungkin Pak Konjen boleh komen sedikit mengenai Sabah sepanjang bertugas di sini?
KONJEN: Yang jelas udaranya lebih bersih, masyarakatnya ramah, lebih mudah menerima orang lain.
UB: Mengenai makanan atau kulinari?
KONJEN:Hampir semua sudah dinikmati, hampir semua enis kuih sudah dirasa, hampir semua jenis makanan, dari kopi tenom hingga pulut durian. Sangat luar biasa.
UB: Kalau lagu yang jadi kegemaran?
KONJEN: Saya sudah hafal semua lagu hari raya. Lagu Sayang Kinabalu, lagu-lagu penyanyi legendaris seperti Dato Siti Nurhaliza, Sheila Majid dan sebagainya. Saya juag minat jazz. Setiap tahun saya selalu menyempatkan diri untuk menonton Sunset Music  Festival yang diadakan di Tanjung Sampang Mengayau.
UB: Mungkin ada kenangan manis sepanjang berada di Sabah?
KONJEN:Paling saya ingat ialah ketika mendapat pingat tertinggi gerakan pengakap atau pramuka oleh Ketua Menteri Sabah sebagai pembina gerakan pramuka
Saya diberi pingat tertinggi pengakap dan itu  jadi kebanggan saya. Tidak banyak pengakap Malaysia yang diberi penghargaa setinggi itu.. Jadi kebanggaan betul bagi saya. Di Indonesia ia jadi berita nasional kerana tidak banyak prauka yang dapat penghargaan serupa.
UB: Khabarnya Pak Konjen hobi memancing. Di mana lokasi memancing yang selalu dikunjungi?
KONJEN: Di Tanjung Aru. Di parit dekat rumah saya, banyak ikan tilapia. Saya boleh mancing penuh satu ember (besen) .Isinya kira-kira 72 ekor. Saya makan sedikit saja.Selebihnya saya simpan di akuarium. Biasanya saya memancing selepas kerja atau hujung minggu.
UB: Selalu memancing di laut?
KONJEN: Sering juga tapi paling jauh hanya sejauh pulau Gaya kerana dinasihatkan pihak keselamatan supaya tidak memancing terlalu jauh padahal saya ingin memancing ke Pulau Mengalun tapi tidak kesampaian. Biasanya kami memancing lima hingga enam orang saja. paling ramai pun lapan orang.
UB: Apa jenis ikan yang disukai?
KONJEN: Ikan pisang pisang, walaupun ikan kecil itu  paling sedap kalau digoreng  di makan di atas kapal. Rasanya paling sedap di dunia, sambil makan dengan nasi panas yang dimasak di atas kapal.
UB: Masih suka bertukang? jahit?
KONJEN: Kalau saya pulang nampak jendela yang reput, saya ganti. Saya juga masih suka jahit baju sendiri, gunting rambut anak, masih suka masak sayur lodeh. Orang mungkin tidak percaya sebelum mereka merasa atau melihatnya sendiri.Orang jarang melihat tentu rasa penasaran. .
UB: Apa pesan Pak Konjen kepada masyarakat Indonesia di Sabah?
KONJEN: Saya berpesan kepada masyarakat Indonesia yang pernah berjumpa dengan saya mahupun yang belum berjumpa agar jangan melanggar peraturan walau sekecil apa pun. Saya ingin semua yang berada di Sabah cari nafkah agar tetap jaga kesihatan.  Mereka hendaklah hormati adat dan kebiasaan lokal atau setempat, bumi dipijak disitu langit dijunjung .
UB: Rasanya apa yang belum dicapai sepanjang berada di Sabah?
KONJEN: Saya belum punya keberuntungan kerana tidak sempat mempelajari bahasa Kadazan.Satu ketika saya pernah diberi hadiah Kamus Bahasa Kadazan Dusun.Ketika pertama kali saya mendengar mereka bicara, saya dengar  seperti puisi, dengan irama dan sebutannya yang puitis bagi saya.
UB: Mungkin ada hasrat atau cita-cita Pak Konjen yang mahu direalisasikan?
KONJEN: Kami ingin ciptakan batik gabungan motif Sabah Indonesia. Jika siap kelak, ia tentu suatu yang menarik kerana batik itu adalah gabungan batik Sabah dan Indonesia.
UB: Terima kasih pak kerana sudi diwawancara untuk Sembang Sabtu Utusan Borneo. Maaf jika ada kesalahan dan kesilapan.
KONJEN: Terima kasih kembali.

PERHIMPUNAN PEMANAH NUSANTARA TARIK MINAT 200 PESERTA



PERHIMPUNAN PEMANAH NUSANTARA TARIK MINAT 200 PESERTA
Oleh ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN
-yang menghadiri Perhimpunan Pemanah Nusantara di Bintulu, Sarawak

SEJAK awal pagi lagi, lebih 200 ahli sukan memanah memenuhi halaman Masjid Assyakirin Bintulu, Sarawak untuk menjayakan Perhimpunan Pemanah Nusantara yang diadakan buat pertama kalinya pada 25 dan 26 November lalu.
Apa yang menarik,kesemua pemanah yang menyertai pertandingan itu memperagakan pakaian tradisi masing-masing sambil memperlihatkan kehandalan mereka melepaskan anak panah tepat ke sasaran yang ditetapkan.
Perhimpunan Pemanah Nusantara Kali Pertama itu danjurkan oleh Seri Begawan Archery (SBA) dengan kerjasama jitu dari Assyakirin Traditional & Modern Archery (ATMA), Masjid Assyakirin Bintulu,Majlis Sukan Negeri Sarawak, Kementerian Belia dan Sukan dan Bintulu Development Authority.
Program itu mendapat sambutan yang menggalakkan dari kelab-kelab memanah dari seluruh nusantara. Ahli-ahli sukan memanah dari seluruh Malaysia, Negara Brunei Darussalam dan Indonesia tampil menyertai acara-acara yang diadakan dalam perhimpunan pemanah itu.
Antara kelab yang menyertai pertandingan ialah Kelab Memanah Al Muaqqabah Miri, Assyakirin Traditional & Modern Archery (ATMA) Bintulu,Seri Begawan Archery (SBA) Negara Brunei Darussalam, Kelab Memanah Sunnah Matu,Kelab Memanah Alam ZKD MBJB, Sibu Archery Center,Kasiba Archery Club, Simanggang Archery Legend, Thrust Community (Pontianak Kalimantan Barat Indonesia), Sebuyau Archery Club,Kesatria Archers Sabah, The Barebow Hunter Kuching,Golden Archers Team,, Dalat Archery Club (D.A.C), Pemanah Sunnah Melaka, dan banyak lagi.
Pengerusi Seri Begawan Archery (SBA), Haji Razali Hashim berkata sukan memanah kini semakin diminati di kalangan masyarakat tanpa mengira peringkat umur, sejak dari kanak-kanak hinggalah dewasa.
 “Sukan memanah melatih kita lebih sabar, tenang dan tidak gelabah,” katanya. “Ia mampu mendidik kita dari sudut emosi dan fizikal.
Belaiu memberitahu, sukan memanah juga membantu beliau untuk pulih. “Dulu saya pernah kena stroke, dengan menyertai sukan memanah membantu saya untuk pulih lebih cepat.
Katanya, aktiviti riadah atau sukan amat dituntut agar kita mempunyai fizikal yang cergas, tubuh badan yang sihat , menjadikan kita berfikiran cerdas dan menjadi mukmin yang kuat.
Bagi Ustaz Said Hawa Mohd Salleh pula, sukan memanah juga membantu membina ikatan ukhuwah di kalangan peserta.
Said Hawa iaitu antara orang yang banyak membantu memperkenalkan sukan itu di Negara Brunei Darussalam berkata sukan memanah tidak syak lagi mempunyai potensi yang cerah untuk dikembangkan  menjadi sejenis sukan popular.
Katanya, di Semenanjung Malaysia, hampir setiap minggu, ada saja kejohanan dan pertandingan sukan memanah.
Sukan ini menarik minat bukan saja dari peminat tempatan malah dari luar negara “Saya mula meminati sukan ini hanya beberapa tahun lalu. Mulanya saya hanya menjual  busar panah secara kecil-kecilan, tetapi kemudian ramai yang menghubungi saya untuk membuat tempahan.
Hasil daripada hubungan yang makin akrab dengan pemanah-pemanah , Ustaz Said Hawa akhirnya menekuni sukan memanah itu secara serius.
Sukan  memanah bukanlah satu jenis sukan yang baru. Ia mula berkembang sebagai satu aktiviti sukan apabila satu kelab memanah ditubuhkan oleh Sir Christopher Morris atas arahan Raja Hebdry VIII  pada tahun 1537 di England. Pertandingan memanah pertama  untuk lelaki diadakan di Yorkshire pada tahun 1673manakala pertandingan untuk wanita mula diadakan pada 1787.
Menurut rekod, memanah mula dimasukkan dalam acara sukan Olimpik pada tahun 1900 di Paris, kemudian di Olimpik Saint Louis 1904 dan Olimpik Belgium pada tahun 1920. Namun selepas itu, sukan memanah tidak dipertandingkan di peringkat sukan Olimpik sehinggalah The Federation International de tir al’arc (FITA) menggubal undang-undang pertandingan Memanah. Sukan memanah kemudian dimasukkan kembali dalam acara Sukan Olimpik di Munich pada 1972.
Di Malaysia, Sukan Memanah dipertandingkan buat pertama kalinya pada tahun 1996 di peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM). Sejak adanya kejohanan memanah itu, acara sukan memanah mulai mendapat minat meluas di kalangan masyarakat.
Sukan memanah adalah satu sejenis sukan yang menarik. Bahkan sukan memanah adalah sejenis sukan yang digemari oleh Rasulullah SAW sebagai aktiviti riadah. Malah memanah adalah senjata yang sering kali digunakan setiap kali baginda Rasulullah SAW setiap kali keluar berperang melawan musuh.
“Saya tertarik untuk melibatkan diri dalam sukan memanah ini bila membaca hadis Nabi SAW mengenai galakan untuk belajar memanah,” kata Pengerusi Kelab Memanah Muaqqabah Miri, Haji Erahim Abd Rahman
Banyak hadis menyebut mengenai acara sukan yang sangat popular pada zaman Rasulullah SAW seperti memanah, menunggang kuda serta berenang.
Kelab Muaqqabah menjadi juara keseluruhan Perhimpunan Memanah Nusantara kali pertama itu. Beliau sendiri mula melibatkan dalam sukan memanah seawal 2016, bermula dengan alatan yang ala kadar bersama 10 orang rakannya yang lain.
Sejak itu, beliau sering mengikuti perkembangan sukan memanah melalui laman facebook rakan-rakan pemanah di Semenanjung. Beliau mendapati minat terhadap sukan memanah semakin meningkat di kalangan masyarakat.
Bagaimana sambutan masyarakat terhadap sukan memanah di Borneo?
“Secara keseluruhannya  saya berpendapat sambutannya begitu menggalakkan terutamanya sukan memanah tradisional khususnya di tempat saya di Miri,” katanya.
Menurutnya, dalam masa dua tahun, kelabnya berjaya mengumpul seramai 40 orang pemanah yang aktif termasuk wanita dan kanak-kanak.
“Walaupun sukan memanah ini memerlukan perbelanjaan yang agak besar, kami berupaya untuk menyediakan peralatan yang sesuai untuk pemanah kami,”, kata Erahim.
Sementara itu, Pengerusi Assyakirin Tradistional @ Modern  Archery,  Bujang Ham berkata  kelab yang kebih dikenali sebagai Atma itu ditubuhkan pada 2014 dan diluluskan pendaftarannya atas nama Assyakirin Archery Club pada September 2016.
Kelab memanah yang terkenal di Bintulu itu mempunyai seramai 46 ahli berdaftar, “tetapi kami ada ahli-ahli bersekutu terdiri daripada pelajar pelajar sekolah rendah yang tidak perlu didaftar.
Katanya, mereka diberi peluang untuk menjalani latihan bersama kelab tanpa perlu membayar yuran. Ini adalah skim galakan  untuk menarik minat pelajar pelajar dalam bidang memanah. Dan ianya  berjaya kerana melahirkan beberapa pemanah yang mewakili sekolah , di bahagian Bintulu dan Negeri Sarawak.
Untuk orang awam, ATMA bergabung dengan Jabatan Agama Islam, TH dan badan-badan NGO sekiranya ada program kerajaan atau ekspo untuk kami mengadakan sesi pameran peralatan memanah dan demontrasi memanah, katanya.
Sambutan orang awam khususnya bahagian Bintulu amat menggalakkan. Buktinya setiap tahun penganjuran pertandingan akan ada peningkatan jumlah penyertaan.
Di Sabah, wakil Kesatria Archers Sabah, Pandikar Endar berkata, sukan memanah juga kini tidak asing lagi. Beliau mempelawa peminat-peminat sukan itu untuk menyertai kelab Kesatria jika mahu berkecimpung dalam sukan memanah. Menurutnya, banyak kejohanan memanah yang akan diadakan pada masa depan.
Ranking No1 Asia,Ahmad Alrafaie Ali, yang pernah mewakili Malaysia ke First Historical Traditional Archery Champion Hungary juga menyertai Perhimpunan Pemanah Nusantara ini. Beliau melakarkan namanya sebagai salah seorang juara dalam beberapa acara yang dipertandingkan di Bintulu. Di Hungary, di antara 600 peserta dari 30 buah negara, beliau berjaya menduduki tangga ke-12 dunia dan nombor satu di Asia.
Berikut adalah senarai 10 teratas beberapa kategori yang dipertandingkan di Bintulu. Untuk kategori panah tradisional dimenangi oleh Ahmad Alrafaie Ali dari Kelab Memanah Alam ZKD MBJB, Mohd Firdaus Mohamed Shah (Kelab Memanah Alam ZKD MBJB), Said Hawa bin Mohd Salleh (Seri Begawan Archery) Ahmad Zulqarnain Murat (Seri Begawan Archery),  Othman Sahari (Al Muaqqabah Miri, Kamarulzaman Daan (Al-Muaqqabah Miri), Erahim Abd Rahman Al-Muaqqabah Miri, Nazib Haziq Mohamad, Al-Muaqqabah Miri, Kamarudin Jiren  (Kelab Memanah Sunnah Matu dan Singkong dari Seri Begawan Archery.
Senarai 10 teratas  markah Static Wanita Junior ialah Normaliza Wan Idris, dari Atma,Rozana Baily (Atma) Siti Nurafifa Amy Amat (Kesatria Archers Sabah ), Nur Shamiela Dien (Al Muaqqabah Miri)Jubaidah Isoh (Atma),Maziza Mohamad ( (GPU)Zuriah Alwi (Atma) Nor Shahirah Rabaiee (persendirian), Nordalin Mohamud (Al-Muaqqabah Miri) dan Dyg Norazureeen Awang Abu Bakar  (Al-Muaqqabah Miri)

Senarai 10 teratas Dynamic Archery Barebow Mix ialah Ahmad Alrafaie Ali dari Kelab Memanah Alam ZKD MBJB, Mohamad Ali Spawi (The Barebow Hunter Kuching),Mohd Fadzli bin Samsor (Usac), Said Hawa (Sei Begawan Archery), Erahim Abdul Rahman (Al-Muaqqabah)Aidil Omar (Golden Archers Team),, Shahrul Aya (Thrust Communty)Hii Bee Chung (Sibu Archery Team) Iskandar Isahak )Dalat Archery Club  (DAC), Haji Abdul Hafiz dari Seri Begawan Archery.
Senarai 10 teratas Dynamic Archery Tradtional Mix ialah Mohd Firdaus Mohamed Shah dari Kelab Memanah Alam ZKD MBJB,Ahmad Zulqarnain Murat (Seri Begawan Archery), Othman Sahari (Al Muaqqabah)Adilintar (Kelab Memanah Alam ZKD MBJB),Najib Haziq Mohamad (Al-Muaqqabah)Saiful Rezza Mat (Sibu Archery Center), Ziyad Adam Othman (Al-Muaqqabah), Elfie Nazri Abdul Razak (Ali-Muaqqabah) Kamarudin Jiren (Kelab Memanah Sunnah Matu) dan Ahmady Busman dari Atma.
Perhimpunan Pemanah Nusantara sudahpun melabuhkan tirainya. Banyak yang boleh dipelajari dari sukan memanah itu. Ia  bukan saja boleh mengeratkan ukhuwah di kalangan ahli sukan malah mampu mendidik kita untuk lebih fokus, bersikap positif, penyabar ,tenang, rasional, selain meningkatkan kecergasan fizikal dan sebagainya.