Ahad, 1 Januari 2017

DR MALEK MAZID, DOKTOR YANG BANYK JASANYA

Tags


 DR   MALEK MAZID, DOKTOR YANG BANYK JASANYA

Ketika ditugaskan di Hospital Tambunan pada 1977, bangunan itu baru didirikan di antara sawah padi dan kebun getah. Terdapat kira-kira 150 katil dalam empat wad. Wad lelaki, wad perempuan, wad kecemasan dan wad kuarantin untuk penyakit TB. Ia dirasmikan Menteri Kesihatan, Tan Sri Lee Siok Yew.Hanya terdapat seorang doktor perubatan ketika itu iaitu Dr Abdul Malek Mazid. Beliau terpaksa menangani hampir semua kes penyakit termasuklah malaria. Ketika di Tambunan beliau mempunyai hubungan yang baik dengan Datuk Anthony Gibon, mantan ADUN Tambunan dan  Tan Sri Datuk Seri Panglima Pairin Kitingan , ketika itu masih bertugas sebagai peguam muda.
Dr Abdul Malek mempunyai serangkaian pengalaman yang kaya. Peranannya terhadap pembangunan kesihatan di negeri ini tidak wajar dilupakan begitu saja. Beliau terlibat dalam banyak peristiwa bersejarah berkaitan kesihatan di Sabah. Antaranya perkhidmatan doktor udara, selain terlibat merangka pembangunan kemudahan kesihatan di kawasan luar bandar dan sebagainya.  Tetapi siapakah Dr Abdul Malek?
Dr Abdul Malek Haji Abdul Mazid dilahirkan di Bengal Teluk Benggala pada 10 November 1932. Beliau lulus ijazah perubatan dari University of Dhaka, East Pakistan (kini Bangladesh) pada tahun 1960. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran di University of Liverpool dan kemudian di University of Sheffield, United Kingdom. Selepas kembali ke negaranya, beliau bertugas sebagai doktor perubatan dengan Tentera Pakistan di Kashmir pada tahun 1965.Bagaimanapun apabila perang berlaku antara Pakistan Barat dan Pakistan Timur  yang menuntut autonomi kemudian kemerdekaan pada tahun 1971, beliau dijadikan tahanan perang. Selepas campur tangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) beliau dibebaskan setelah tiga tahun berada dalam penjara dan dipulangkan ke Dhaka. Beliau bernasib baik kerana ditugaskan ke ke Hospital Besar Kuala Lumpur pada tahun 1974. Selepas itu, beliau ditempatkan di Ipoh Perak sebelum dihantar bertugas ke Sabah. Tugasan pertamanya ialah di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu, kemudian beliau dihantar bertugas ke Beaufort, Papar, Tenom, Tambunan, Ranau, Kudat dan beberapa tempat lain di negeri ini. Beliau adalah seorang yang sangat berjasa kepada Sabah kerana beliaulah yang menyiapkan laporan kepada kementerian mengenai kemudahan penjagaan kesihatan di kawasan luar bandar sehingga terbinanya  pusat kesihatan di Sabah dalam satu projek diselia oleh Setiauasaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Hamid Egoh dan Timbalannya, Tan Sri Simon Sipaun. Selepas bersara , beliau membuka klinik swasta di Tawau.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemubual Dr Abdul Malek Haji Abd Mazid di rumah di Tawau baru-baru ini. Ikuti petikan temubual bersama tokoh perubatan yang sangat berjasa ini:






UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit mengenai latar belakang Doktor?
DR ABDUL MALEK HAJI ABD MAZID: Saya dilahirkan di Bengal Teluk Benggala pada 10 November 1932. Saya  lulus ijazah perubatan dari University of Dhaka, East Pakistan (kini Bangladesh) pada tahun 1960. Kemudian saya  melanjutkan pelajaran di University of Liverpool dan kemudian di University of Sheffield, United Kingdom. Selepas tamat universiti, saya  bertugas sebagai doktor perubatan dengan Tentera Pakistan di Kashmir pada tahun 1965. Ketika itu Pakistan dipimpin oleh Presiden Ayub Khan. Bagaimanapun apabila perang berlaku antara Pakistan Barat dan Pakistan Timur , semua yang bertugas di Pakistan Barat masa itu dihantar ke kem konsentrasi. Perang itu berlaku kerana Pakistan Timur menuntut autonomi kemudian kemerdekaan pada tahun 1970..Perang itu menyebabkan 10 juta rakyat Pakistan Timur melarikan diri ke India. Pakistan Timur meraih kemerdekaan pada 6 Disember 1971 dan menjadi negara Bangladesh.
UB: Berapa umur doktor pada masa itu?
DR MALEK: Saya berumur 35 tahun ketika itu.
UB: Bagaimana doktor dibebaskan dari tahanan?
DR MALEK: Saya dibebaskan selepas menderita tiga tahun dalam penjara selepas campur tangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Kemudian saya memulakan hidup baru lagi di Dhaka. . Dengan kuasa Allah, saya  bernasib baik kerana dihangtar bertugas ke Malaysia pada tahun 1974. Saya ditugaskan ke ke Hospital Besar Kuala Lumpur pada tahun 1974.
UB: Selepas Hospital Besar Kuala Lumpur, dimana Doktor ditugaskan?
DR MALEK: Selepas bertugas di Hospital Besar Kuala Lumpur, saya dipindahkan ke Hospital Besar Ipoh sebelum ditugaskan ke Hospital Queen Elizabeth  pada tahun yang sama. Saya ditempatkan di Unit Pembedahan Hospital Queen Elizabeth.
UB: Boleh sebutkan nama-nama doktor yang berkhidmat di Hospital Queen pada masa itu?
DR MALEK:  Dr Michel Crook., Mr Roth will, Mr Dingley,, Mr Kulkarni, Dr Kanaga lingam, Dr Tinh Mays dari Burma dibantu Mr Lo, D Pritchard, KK Khoo. Saya ditugaskan di  jabatan  pembedahan. Selain itu, saya menangani semua kes pesakit selepas waktu pejabat.
UB: Bagaimana kemudahan pada masa itu?
DR MALEK: Semua terpaksa dilakukan secara manual kerana tidak ada kemudahan atau fasiliti yang mencukupi. Dulu tiada pakar, tiada cityscan, tiada ultrasound, semua peninggalan  British lagi.
UB: Selepas bertugas di Hospital Queen pada 1974, dimana Doktor ditempatkan selepas itu?
DR MALEK: Dari Hospital Queen Elizabeth, saya ditempatkan di Hospital Papar pada tahun 1975. Kemudian dari Papar, saya dipindahkan lagi ke Hospital Tenom pada tahun 1976.
UB: Mungkin ada kenangan yang tidak boleh dilupakan ketika bertugas di Tenom?
DR MALEK: Banyak peristiwa yang saya tidak dapat lupakan ketika bertugas di Tenom. Antaranya ialah peristiwa kematian 14 orang di Rundum akibat terminum racun tuba. Kami terpaksa mengambil masa tiga empat hari dalam perjalanan pulang balik untuk mengeluarkan mayat mangsa kerana Rundum terletak di kawasan yang tinggi dan sukar dilalui.
UB: Tiada helikopter?
DR MALEK: Helikopter tidak dapat digunakan kerana cuaca yang agak buruk.
UB: Apa yang berlaku selepas itu?
DR MALEK: Peristiwa itu menarik perhatian semua pihak. Ketua Menteri Sabah ketika itu, Datuk Harris Mohd Salleh (kini Tan Sri) datang ke Tenom dan bertanya mengapa kejadian itu tidak dapat ditangani dengan segera. Masa itu, Pegawai Daerah Tenom, Abdul Rahman Lo berkata, Rundum memang sukar dihubungi kerana tidak ada jalan raya, terpaksa mendaki bukit berhari-hari untuk sampai ke sana.  Berikutan itu, Datuk Harris mengarahkan agar rumah-rumah kecil didirikan di Kuala Tomani Kemabong untuk orang-orang Murut. Tetapi bagaimanapun tidak berapa lama kemudian rumah itu ditinggalkan kerana ia tidak bersesuaian dengan cara hidup etnik Murut yang suka berpindah randah. Itulah juga permulaan pembinaan dispensari di Kuala Tomani dengan kemudahan kira-kira 15 katil. Turut ditempatkan di sana seorang pembantu perubatan, seorang jururawat,seorang bidan. Saya datang setiap bulan untuk melayani pesakit.
UB: Semua pesakit dirawat di Hospital Tenom masa itu?
DR MALEK: Ya, semua dirawat di  Hospital Tenom, kecuali untuk kes-kes pesakit yang agak serius.
UB: Mereka dihantar kemana?
DR MALEK: Satu-satuanya jalan yang ada ialah mereka dihantar dengan menaiki keretapi dari Tenom pada awal pagi dan kemudian sampai di stesen keretapi Tanjung Aru pada sebelah petang dan dari sana terus dibawa untuk menjalani rawatan di Hospital Queen Elizabeth.
UB:  Selepas Tenom, dimana Doktor ditempatkan?
DR MALEK: Saya ditempatkan di Tenom pada tahun 1977. Hospital Tenom baru dibuka. Ia terletak di tengah sawah dan kebun getah. Terdapat kira-kira 150 katil dalam empat wad. Wad lelaki, wad perempuan, wad kecemasan dan wad kuarantin untuk penyakit TB. Ia dirasmikan Menteri Kesihatan, Tan Sri Lee Siok Yew.Hanya terdapat seorang doktor perubatan ketika itu iaitu saya sendiri, Dr Abdul Malek Mazid. Saya  terpaksa menangani hampir semua kes penyakit termasuklah malaria. Ketika di Tambunan , saya berkawan baik Datuk Anthony Gibon, mantan ADUN Tambunan. Beliau seorang yang sangat baik. dan  Tan Sri Datuk Seri Panglima Pairin Kitingan , ketika itu masih bertugas sebagai peguam muda.
UB: Berapa tahun di Tambunan?
DR MALEK: Tidak lama. Kira-kira satu tahun. Selepas itu saya ditugaskan semula di Queen Elizabeth. Saya mendapat tugas yang paling mencabar dalam hidup saya.
UB: Boleh jelaskan Doktor?
DR MALEK: Saya diamanahkan dengan satu tanggungjawab besar. Tugas khas di seluruh Sabah. Saya fikir ini tugas yang paling mencabar. Saya diserahkan satu tugas untuk membuat kajian dan cadangan untuk menyediakan kemudahan penjagaan kesihatan di seluruh Sabah oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, masa itu, Tan Sri Abd Hamid Egoh. Kemudian Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri masa itu, Tan Sri Simon Sipaun menjadi ketua saya.Objektif projek adalah menyediakan kemudahan kesihatan untuk semua kampung dan kawasan luar bandar di Sabah. Saya ke jabatan perangkaan untuk mencari data statistik mengenai kemudahan kesihatan, tetapi pengarahnya masa itu, Patmanathan memberitahu tidak ada statistik kesihatan yang boleh dirujuk. Akhirnya saya sendiri yang terpaksa membuat kajian di sesuatu kawasan, komposisi kaum, jumlah penduduk, demografi dan sebagainya. Semuanya untuk menyediakan satu rangka cadangan untuk penjagaan kesihatan di Sabah.
UB: Bagaimana kajian itu dijalankan?
DR MALEK: Kami menggunakan segala cara yang mungkin. Berjalan kaki, berkereta, menggunakan bot, helikopter dan sebagainya. Kami jalankan kajian mengikut beberapa zon. Sandakan, Beluran, Kinabatangan. Dari Sandakan ke Beluran kami naik kereta. Dari Beluran ke Kinabatangan, kami naik bot. Empat hingga enam hari baru sampai ke Kinabatangan. Kudat, Kota Marudu Banggi., Kota Belud dan banyak lagi tempat terpencil atau kawasan luar bandar di negeri ini seperi Daras, kawasan antara Penampang dan Tambunan.
UB: Apa antara cadangan yang dikemukakan?
 DR MALEK: Kami mencadangkan untuk membangunkan sebanyak 29 pusat kesihatan di daerah-daerah di seluruh Sabah. Pertimbangan untuk mewujudkan sesebuah pusat kesihatan ialah bukan faktor jarak tetapi tempoh masa yang diambil untuk ke pusat kesihatan yang terdekat.
UB: Selain itu?
DR MALEK: Kami juga mencadangkan perkhidmatan klinik antara pulau yang diadakan di atas kapal atau bot. Terdapat 546 buah pulau di negeri ini, jika tidak silap.  Tetapi cadangan ini tidak dapat direalisasikan.Pusat kesihatan hanya boleh didirikan untuk jumlah penduduk kira-kira 5,000 ke atas  mengikut kriteria masa itu.
UB: Bagaimana pula mengenai perkhidmatan doktor udara?
DR MALEK:  Selain itu,  perkhidmatan doktor udara atau FDC. Perkhidmatan itu bertujuan untuk memberikan bantuan perubatan setiap bulan kepada penduduk luar bandar disamping untuk menguruskan kes-kes kecemasan seperti ibu melahirkan anak terutama penduduk yang tidak mempunyai akses kemudahan perubatan.
UB: Selepas kajian itu siap, ia diserahkan ke mana?
DR MALEK: Kami serahkan kepada Kementerian Kesihatan pada akhir 1977. Di Sabah, saya yang mengetuai projek itu dan di Sarawak ia diketuai oleh Mendiang Dr Patau Rubis. Pada tahun 1978, saya ditempatkan semula ke Hospital Queen.
UB: Kemudian dimana Doktor ditempatkan?
DR MALEK: Saya ditempatkan di Hospital Beaufort semula pada 1979. Dari Beuafort , saya ditempatkan di Hospital Ranau pada tahun 1982. Di sini banyak tempat dispensari yang saya kunjungi iaitu di Telupid, Kundasang, Paginatan,  Lohan, Bundu Tuhan. Pada awal 1986, saya ditempatkan ke Hospital Kudat yang turut meliputi Pulau Banggi. Saya menangani semua kes penyakit termasuk tb dan malaria . Selepas itu, saya ditukarkan semula ke Hospital Beaufort pada tahun 1987 hinggalah bersara.
UB: Dr bersara tahun 1987. Bagaimana Doktor boleh sampai ke Tawau?
DR MALEK: Selepas bersara pada tahun 1987, saya mempunyai pilihan sama ada balik ke UK atau ke Dhaka. Tetapi pada masa itu, permohonan saya untuk PR Permanent Resident diluluskan oleh Tun Dr Mahathir Mohammad ketika itu Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri. Permohonan saya sebelum itu sudah empat kali ditolak. Kali ini diluluskan dan ditandatangani Dr Mahathir.Jadi pilihan lain terbuka kepada saya iaitu sama ada saya buka klinik di Sabah atau balik ke UK.
Saya pilih buka klinik kerana saya sudah serasi dengan cara hidup orang-orang sabah, saya tertarik dengan budaya mereka, keramahan mereka dan sebagainya.Saya rasa seperti berada di negeri sendiri.
Kalau buka klinik, pilihan pertama Kota Kinabalu. Pilihan kedua,  Ranau. Dan pilihan ketiga Beaufort. Mendiang Datuk Mark Koding minta saya buka klinik saja di Ranau.Tiba-tiba dalam masa berfikir-fikir dimana mahu buka klinik, saya mendapat telefon dari  Dr Stephen Foo minta saya ambil alih kliniknya kerana dia mahu pulang bercuti ke Taiwan. Itulah ceritanya sampai ke Tawau.  Selepas itu, Allahyarham Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid dan Allahyarham Datuk Seri Panglima Dr Kassim Kamidin minta saya jangan balik sebaliknya buka klinik di Wisma Bumi. Beliau sendiri berikan saya tempat di tingkat bawah. Di situlah saya buka klinik dari tahun 1987 hingga sekarang. Pada tahun 1990, saya sempat ke UK untuk belajar lagi ambil diploma Veneolgy.
Di Tawau, saya beberapa kali memohon status kewarganegaraan tetapi beberapa kali ditolak. Saya memohon tahun 2004. Pada tahun 2008 saya di interview. Saya diminta memberitahu bagaimana prinsip Rukun Negara boleh menyumbang kepada kemajuan negara. Akhirnya di antara 34 orang yang memohon, saya seorang saja yang lulus.
UB: Apa prinsip hidup Doktor?
DR MALEK: Peace, Truth,honest, charity, purity. Saya suka kedamaian, kebenaran, kejujuran, kebajikan dan tidak berpura-pura dalam hidup. Untuk menjadi seorang doktor yang baik, kita terpaksa melupakan hiburan dalam hidup, kita mesti follow up keadaan pesakit, belajar dari kesilapan.
UB: Maaf Doktor. Setakat ini apa bentuk penghargaan yang diberikan oleh kerajaan?
DR MALEK: Belum ada. Tapi menjadi doktor memang menjadi tujuan hidup saya. Saya mahu berkhidmat kepada masyarakat.