Sunday, January 1, 2017

HAJI SALIM, PERNAH BERPERAHU SEMATA-MATA MENIMBA ILMU




HAJI SALIM, PERNAH BERPERAHU SEMATA-MATA MENIMBA ILMU

BERAKIT-RAKIT ke hulu, berenang-renang ke tepian, mungkin hanya satu pepatah lama. Tetapi inilah yang menjadi pegangan mantan Juru kamera dan wartawan penyiaran RTM, Haji Mohd Salim Haji Ibrahim. Sebagai anak nelayan, beliau terpaksa bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian. Dalam perjalanan hidupnya, beliau selalu ingat pesan orang tuanya. Walaupun ayahnya bangga bekerja sebagai nelayan, tetapi beliau mahukan anak-anaknya agar  tidak mengikuti jejaknya sebaliknya mencari rezeki dengan cara lain iaitu dengan cara menggunakan pen. Sebagai seorang wartawan berpengalaman, Haji Mohd Salim sudah pasti menyaksikan dan membuat liputan pelbagai peristiwa sejarah tanahair sepanjang bertugas di Radio Televisyen Malaysia (RTM) selama 37 tahun . Beliau menjadi  juru kamera selama 20 tahun dan 17 tahun sebagai pemberita dan wartawan penyiaran sebelum bersara pada tahun 2011.

HAJI MOHD  SALIM HAJI IBRAHIM @ Mohd Salim Haji Jamilun dilahirkan  Pulau Sulug, Kota Kinabalu pada 4 Januari 1953. Beliau mendapat pendidikan awal di Native Voluntary School (NVS) Kulambai Kota Belud dari November 1963 hingga Jun 1966. Kemudian bersekolah dalam darjah lima dan enam di  Government Primary School (GPS) Sembulan dari Jun 1966 hingga Disember 1967. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran di SM La Salle pada tahun 1968 sebelum Government Secondary School Kota Kinabalu dari tahun 1969 hingga tamat Form 5 pada tahun 1973. Beliau menduduki STPM sebagai calon persendirian dan kemudian mengikuti pengajian jarak jauh di peringkat universiti. Beliau mula bertugas sebagai jurukamera RTM pada tahun 1974 dan kemudian dilantik sebagai penerbit rancangan pada tahun 1994. Selain bertugas di RTM Sabah pernah juga berkhidmat di Angkasapuri Kuala Lumpur di Bahagian Drama TV, Pegawai Pemantau Siaran di Kementerian Penerangan, Pemberita Radio dan Pemberita TV.  Sebagai ahli fotografi dan pemberita, beliau kebanyakannya bertugas di luar stesen RTM. Beliau mendapat latihan dan kursus kendali kamera (cine camera) daripada tenaga pengajar Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) Kuala Lumpur. Beliau bersara dari perkhidmatan awam pada tahun 2011.Selepas bersara, kini beliau bergiat sebagai aktiviti sosial dan kebajikan. Beliau adalah Ahli Jawatankuasa Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Timbalan Presiden Alumni SMK Likas. Beliau juga adalah  Timbalan Presiden Wadah Nur Hidayah, sebuah badan NGO dakwah. Haji Salim juga adalah Ketua Penerangan USBO dan Ketua Media (Alumni RTM Sabah). Beliau mendirikan rumahtangga dengan Hajah Lusiah Lingam,  pada 25 Disember 1977 dan dikurniakan lima cahayamata. Anak sulungnya Noor Hafizah lulusan UIA berkhidmat di Mahkamah Tinggi, Anak kedua, Mohd Hisham lulusan UMS bertugas di Kementerian Pendidikan, Anak ketiga, Nurulhanah, lulusan UTM Skudai bertugas di JPM, anak keempat Nurul Haziqah lulusan UMS bertugas di DBP KL dan anak kelima, Norhazirah, lulusan UIA, kini menyambung pengajian di peringkat sarjana di UMS.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemubual Haji Salim Haji Ibrahim di salah sebuah premis di kawasan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu kelmarin. Dalam temubual itu beliau menyingkap sedikit kisah hidupnya sebagai anak nelayan serta anak sulung dari sembilan adik beradik. Ikuti petikan temubual bersama beliau:

UTUSAN BORNEO (UB) : Terima kasih kerana sudi ditemubual untuk ruangan Sembang Sabtu Utusan Borneo. Saya tertarik dengan kisah hidup tuan haji sebagai anak nelayan tetapi bersemangat gigih untuk menimba ilmu, sanggup berpisah dengan keluarga pada usia yang relatif kecil dan sanggup berkorban demi memastikan kejayaan adik beradik dalam pendidikan. Bolehkah tuan haji melukiskan suasana pada masa itu?

HAJI SALIM HAJI IBRAHIM:   Saban waktu setiap hari bekerja sekumpulan anak anak nelayan dari Pulau Usukan Kota Belud mula bangun awal subuh sebaik ayam berkokok. Bersiap siap turun rumah ke tepi pantai untuk menaiki beberapa perahu lalu mengayuh menuju Kampung Kuala Abai yang mengambil masa lebih 30 minit dayungan untuk sampai ke destinasi dituju. Setiba di Jeti Kampung Kuala Abai perahu perahu ditambat baik baik agar tidak hanyut dibawa deras arus sungai dan ombak di kuala sungai berkenaan. Dari situ mula berjalan kaki menuju ke Native Voluntary School (NVS) Kulambai Kota Belud semata mata untuk belajar menulis, membaca dan mengira.
Itu pesanan arwah ayah dan ibu yang mahu anak mereka merintis jalan menerokai ilmu akademik secara formal di bangku sekolah. Proses memanfaatkan peluang itu bermula November 1963 tidak lama selepas Sabah turut menjayakan misi menubuhkan Malaysia. Bersekolah di sebuah bangunan papan bercat hitam peninggalan era pemerintahan British sehingga Jun 1966.

UB: Sungguh nostalgik ya? Tentu banyak cabaran. Ceritakan sedikit tuan haji?
HAJI SALIM:  Cukup nostalgik dan menyayukan jika diimbau kembali perit jerih menuntut ilmu zaman dahulu yang kekadang terpaksa bertarung dengan risiko karam di laut dan sungai dalam keadaan perut kosong. Pelbagai cabaran dan kesukaran perlu diharungi dan digagahi untuk mengatasinya. Sudahlah jauh dari ibu bapa dan adik beradik lain yang ketika itu masih menetap di Pulau Manukan Kota Kinabalu. Ini pulak dihantar jauh untuk tempoh lama menyertai anak anak kaum keluarga yang sudah dulu mendekati institusi keilmuan.

UB: Berapa usia tuan haji ketika itu?
HAJI SALIM: Sepuluh tahun. Dalam usia sepuluh tahun itu, saya sudah  mengembara di perantauan di tempat orang yang tentu sarat dengan rasa dipinggirkan, terbuang, diabaikan dan macam macam andaian. Jauh hati disulami perasaan sedih. Wal hal bukan begitu hakikatnya. Orang tua mahu anak anak berpendidikan. Di tempat sendiri belum ada sekolah terpaksalah berkelana mengejar ilmu. Pada mulanya hampir setiap hari bertemankan genangan air mata rindu kampung halaman dan hiruk pikuk adik beradik di rumah sendiri. Bagaimanapun hati terhibur apabila ke sekolah ketemu ramai kawan kawan sebaya. Teman taulan yang latar belakang kehidupan keluarga lebih kurang sama saja. Tidak banyak perbezaan. Selain itu faktor masa juga merawat emosi. Lama kelamaan perasaan ingin pulang semakin berkurangan. Bolehlah memberi tumpuan kepada aktiviti sekolah dan mentelaah ilmu sewajarnya.

UB: Bagaimana suasana persekolahan masa itu? Ada bekal ke sekolah?
HAJI SALIM: Waktu itu sesuatu yang tidak menghairankan ramai dalam kalangan murid murid ke sekolah berkaki ayam dengan berbekalkan poket kosong. Iyaaaa.. anak anak sekolah majoritinya datang dari keluarga serba kekurangan. Dulu memang sedikit keluarga hidup sederhana malah lebih ramai yang tidak berkemampuan. Hambatan kemiskinan dan keperitan hidup sinonim dengan masyarakat waktu itu. Ada yang pergi sekolah dengan hanya memakai baju dalam (singlet). Wang saku tidak menjadi kemestian.

UB: Jadi, tidak beli makanan di sekolah?
HAJI SALIM Lumrah, biasa tidak membeli makanan waktu rehat. Jika ada pun sekadar 20 sen dan 30 sen. Mujur kuih pisang besar dan kuih ubi kayu yang mengenyangkan hanya 5 sen sebiji dan 10 sen kopi '0' di kedai Iyang Ansing (arwah Derasim Sibul) teman sepersekolahan. Itu pun kekadang dikongsi dengan teman sekolah yang juga kelaparan. Seandainya tidak ada apa apa buat membeli makanan terpaksalah ikut gaya dan ajakan murid murid senior minum air telaga, baling mangga muda dan memetik buah jagus sepanjang perjalanan untuk mengalas perut.
UB: Jalan kaki dari rumah? Berapa jauhnya  rumah dari sekolah?

HAJI SALIM: Kami berjalan kaki menyusuri tepi jalan tanah merah lebih 3 batu dari Kampung Kulambai ke Kuala Abai. Perjalanan itu sangat mengesankan untuk menghargai keselesaan akibat kemudahan dan prasarana masa kini. Jauh beza dulu dengan sekarang. Bukan saja dari aspek infrastruktur malah hingga kepada bab bab jenis makanan.

UB: Anak-anak zaman dulu lebih gigih ya. Maksudnya lebih tabah berbanding anak-anak sekarang. Apa pendapat tuan haji?
HAJI SALIM: Anak anak zaman dahulu mempunyai survival skill yang cukup tinggi. Mungkin pengamatan meleset dan agak berat sebelah. Tetapi itulah hakikatnya yang dirasa dan lalui. Setiap cuti sekolah anak anak diajak orang tua untuk ikut serta menangkap ikan di lautan lepas. Pelbagai kaedah nelayan ditunjuk ajar. Menyelam, memancing, tarik pukat udang yang sungguh berat, merantau, mencandat sotong dan banyak lagi. Selok belok hidup sebagai nelayan dipahat dalam minda.

UB: Mungkin ada peristiwa yang tak dapat dilupakan?
HAJI SALIM: Ketika dalam darjah enam pada tahun 1967 ibu kami dipanggil Ilahi. Arwah meninggalkan kami sembilan adik beradik semasa masih dalam pantang selepas melahirkan adik bongsu Mohd. Saidi. Pemergiannya sangat dirasai pada waktu adik adik masih kecil belaka, saat memerlukan bimbingan dan kasih sayang daripada seorang ibu. Kakak sulung arwah Hajah Jamilah lah tempat menyandar harapan kasih sayang adik beradik. Arwah kakak saja yang berumah tangga ketika itu. Seorang lagi kakak arwah Hajah Joyah masih bujang turut membantu mengasuh, mendidik dan membesarkan adik adik yang perlu diberi perhatian. Arwah ayah perlu disokong untuk menjaga adik adik dengan semaian kemesraan, cinta sayang menyayang adik beradik.

UB: Tuan haji masih ingat kawan-kawan di NVS Kulambai. Siapa yang tuan haji masih ingat?
HAJI SALIM: Antaranya Jungki, arwah Katung, P. Ramlee maulana, Ayangan, Haji Arasad haji Ukuk, Lairin Haji Kimsik, Seruji Durasim, Maimah, arwah Kanchi Musli, Kassim, arwah Derasim Sibul, Majikan, Shawal dan lain-lain lagi.

UB: Selepas itu, tuan haji sekolah dimana?
HAJI SALIM: Saya bersekolah dalam darjah lima dan enam Government Primary School (GPS) Sembulan dari Jun 1966 hingga Disember 1967. Antara rakan saya di GPS Sembuilan  ialah Datuk Hajah Rusimah Haji Zakaria, Haris Awang Tahir, Dayangku Asmah Tun Haji Ahmad Raffae, Arwah Alias Nasip, Hajah Halimah Sirun, Roslee Sirun, Rusminah Sirun, Latiff Ahmad, Majid Manan, Arwah Dumin Haji Ahmad, Idris Zakaria, Arwah  Hajah Halimah Haji Yusuff.
Selepas itu, pada tahun 1968 , ditawarkan belajar di SM La Salle Tanjung Aru dalam kelas peralihan (Bridge Class) selepas lulus peperiksaan darjah di GPS Sembulan. Namun tidak lama di La Salle hanya setahun. Pihak sekolah berkenaan mengarahkan beberapa pelajar pindah ke sekolah lain.

UB: Dimana tuan haji berpindah?
HAJI SALIM: Mujur kami  dapat tempat di Government Secondary School Kota Kinabalu (menumpang bangunan Maktab Sabah) pada tahun 1969. Arahan itu dikuatkuasa serta merta berikutan ramai pelajar lepasan Primary Six dari Sacred Heart Sembulan ditempatkan ke SM La Salle untuk sambung ke form one. Saya bersekolah di GSS Kota Kinabalu hingga tamat Form 5 pada tahun  1973.
UB: Mungkin tuan haji masih ingat rakan sekolah. Siapa di antaranya?
HAJI SALIM: Kawan di GSS Kota Kinabalu antatanya Ibrahim Haji Naitullah, Sakmat Tajudin, Raimah Mohd Suh, Juriah Pelasin, Datuk Dahali Matsin, Haji Maddilli Yusuff, Haji Kadir Aben, Jaya Rabika, Tadius Yusuff, Flora, Rusiah Haji Naitullah, Fatmah Abd Rahman, Fatimah Haji Ali Ahmad.

UB: Selepas tamat sekolah menengah, di mana tuan haji bekerja?
HAJI SALIM: Selepas menamatkan sekolah menengah mendapat tawaran jawatan jurukamera di RTM Sabah pada 7.6.1974. Berperanan sebagai jurukamera berita, dokumentari, drama, hiburan dan lain-lain untuk tempoh lebih dua puluh tahun.

UB: Lepas itu?
HAJI SALIM:  Pada 8.12.1994, saya  mula diberi tanggungjawab lain sebagai penerbit rancangan (wartawan penyiaran) sehingga pencen 2011.

UB: Selain RTM Sabah, dimana tuan haji pernah bertugas?
HAJI SALIM: Selain bertugas di RTM Sabah pernah juga berkhidmat di Angkasapuri Kuala Lumpur di Bahagian Drama TV, Pegawai Pemantau Siaran di Kementerian Penerangan, Pemberita Radio dan Pemberita TV.

UB: Agaknya apa perasaan tuan haji ketika mula-mula dapat tawaran kerja di RTM?
HAJI SALIM: Waktu dapat surat tawaran kerja pertengahan 1974 sangatlah gembira. Biasalah orang yang memerlukan pekerjaan untuk bantu meringankan beban orang tua. Dapat pulak profesion ahli fotografi (tukang gambar) jawatan yang diidamkan sejak zaman sekolah. Hobi dalam bidang fotografi sehingga kini masih bersinar dalam kehidupan harian.
UB: Dimana tuan haji dapat latihan?
HAJI SALIM Saya mendapat latihan dan kursus kendali kamera (cine camera) daripada tenaga pengajar Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) Kuala Lumpur. Sebagai ahli fotografi dan pemberita kebanyakannya bertugas di luar stesen RTM.
UB: Apa tugas pertama tuan haji sewaktu di RTM? Dimana tuan haji buat liputan kali pertama?
HAJI SALIM: Tugas pertama di luar daerah, membuat liputan lawatan Yang Dipertua Negeri Sabah ,waktu itu Tun Mohd. Fuad Stephens yang merasmikan masjid di Sindumin Sipitang Julai 1974.
UB: Tentu banyak lagi pengalaman menarik. Tapi mungkin tuan haji boleh ingat bila bertama kali naik kapal terbang untuk bertugas?
HAJI SALIM: Kali  pertama kali, saya menaiki pesawat Fokker pada 30 Ogos 1974 untuk membuat liputan sambutan Hari Merdeka di Sandakan yang dilancarkan Menteri Kewangan Datuk Habib Abdul Rahman.
UB: Apa yang menarik dalam tugas sebagai jurukamera dan wartawan?
HAJI SALIM: Bertugas sebagai jurukamera dan wartawan ramai kenalan sama ada orang kebanyakan hinggalah kepada pembesar pembesar. Selain itu, saya berpeluang juga menaiki pelbagai jenis pengangkutan darat, laut dan udara termasuk jet jet tertentu untuk kegunaan pembesar negara. Selain membuat liputan domestik golongan berkenaan juga turut ditugaskan ke luar negara.

UB:  Ketika masih kecil, apa cita-cita tuan haji? Pernah terfikir kerja di RTM?
HAJI SALIM: Masa kecil dulu, memang suka jadi tukang gambar. Tapi saya tidak terfikir kerja di RTM.


UB: Apa negara yang pernah dilawati ?
HAJI SALIM: Antara negara luar yang pernah dikunjungi  ialah Negara Brunei Darussalam, Indonesia,Filipina, Australia, Amerika, England, Scotland, Jerman, Itali, Perancis,Thailand, Singapura, Jepun. Saya juga pernah melawat   Palestin dan Jordan, China dan Vietnam

UB: Siapa rakan-rakan seangkatan sewaktu di RTM?
HAJI SALIM: Antaranya Datuk Jumat Engson, Haji Othman Abd Hamid, Haji Jamir Haji Marman, David Foo, Lee Yen Phin, Doreen Lim, Jane Lim, Sylvester Lee, Winnie Lingam, Datuk Abdullah Hussin, Kusin Haji Diasin, Chong Ken Yin dan ramai lagi.
UB: Apa pesanan arwah ayah yang masih tuan haji ingat?
HAJI SALIM: Pesan arwah ayah, hidup sebagai nelayan banyak keistimewaannya. Membantu orang untuk dapatkan makanan.Kita cepat perolehi pulangan.Jual tangkapan dapat hasil. Tapi, katanya, biarlah anak-anak cari rezeki dengan cara lain, iaitu cara guna Pen.

UB: Kerjaya tuan haji tentu memberi inspirasi kepada keluarga. Pendapat tuan haji ?
HAJI SALIM: Bagi saya, bertugas sebagai anggota perkhidmatan awam banyak mempengaruhi sanak saudara dan adik adik untuk tekun belajar di sekolah. Ilmu akademik yang diperoleh dimanfaatkan untuk memohon jawatan yang bersesuaian dengan kelayakan. Berpegang dan menepati pepatah bersakit sakit dahulu bersenang senang kemudian.

UB: Oh ya, apa motto dalam hidup haji?
HAJI SALIM:  Usaha untuk berjaya. Dan selalu bersangka baik.





No comments: