Ahad, 1 Januari 2017

SEKETIKA MENGENANG TUN MUSTAPHA

Tags

SEKETIKA MENGENANG TUN MUSTAPHA
Tun Datu Mustapha Datu Harun (31 Julai 1918-2 Januari 1995) pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya kira-kira 22 tahun yang lalu. Mantan Yang di-Pertua Negeri Sabah yang pertama dan Ketua Menteri Sabah yang ketiga ini adalah seorang tokoh yang banyak berjasa kepada negeri ini.

“Tun Mustapha adalah Tun Mustapha, tiada orang lain yang menyerupainya,” kata mantan Setiausaha Agung Usno, Datuk Onn Arifin. Perjuangannya untuk melihat Sabah terbangun dengan sejahtera dengan keamanan supaya masa depan generasi lebih cerah lagi, katanya ketika kami bercakap mengenai  perjuangan Allahyarham Tun.

“Saya ingin mengajak semua sahabat, pemimpin negeri dan rakyat agar memanjatkan doa mengikut cara masing-masing untuk memperingati hari ulang tahun pemergian Tun Datu Mustapha ke negeri abadi pada 2 Januari 1995,” katanya. Beliau bercerita mengenai peranan yang pernah dimainkan Tun Mustapha ketika hidupnya.

Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai orang Sabah , dan pemimpin-pemimpin yang pernah bersama dengan Tun dalam perjalanan politiknya agar memperingati detik kematiannya. Ia satu lipatan sejarah yang tidak boleh dilupakan, kata Onn.

Beliau adalah pemimpin yang menyedarkan dan memberitahu kita  betapa nikmatnya kemerdekaan. “Tanpa Tun Mustapha  kita tidak tahu, erti kemerdekaan, katanya, Walaupun kita melihatnya dari pelbagai dimensi, jasanya dalam membangunkan kesedaran rakyat akan erti kebebasan sangat besar ertinya.
Tun adalah orang pertama yang dihubungi almarhum Tunku mengajak beliau untuk menanamkan kesedaran kepada rakyat sabah mengenai apa itu kuasa melalui politik.
“Tun Mustapha adalah Tun Mustapha, tiada orang lain yang serupa dengannya”.
Ketika beliau kembali ke rahmatullah, suasana politik di Sabah ketika itu  bercampur baur. Di satu pihak, UMNO baru saja mengambil alih tampuk kerajaan negeri, di satu pihak lagi, suasana sugul kerana kehilangan tokoh sekaliber Tun Mustapha, kata Onn menceritakan suasana masa itu.
Pemimpin-pemimpin dan rakyat berpusu-pusu menziarahi Allahyarham Tun di hari pengkebumiannya. Pemimpin dari Semenanjung yang datang hanya Tan Sri Sanusi Junid yang menjadi rakan rapatnya.

Baik perjuangan, perwatakan, gaya kepimpinan, Tun Mustapha tak ada duanya. Perjuangannya dalam mengangkat martabat dan harkat rakyat Sabah amat besar, katanya lagi. “Kalau kita tidak apungkan dalam sejarah, orang tak hormat politik Sabah,” katanya. Kita banyak terhutang  budi kepada beliau.

Ketika ditanya, apa antara stail Tun Mustapha, yang diingatinya, Onn berkata, Tun Mustapaha masuk kampung keluar kampung biasanya dengan memakai kot putih. Beliau juga seorang yang teliti dan rapi. “Kita boleh lihat cara dia menandatangani surat, cara dia menulis yang cantik boleh diumpamakan seperti lukisan, “katanya.
Allahyarham Tun juga selalu memanggil orang dengan panggilan yang sopan. Beliau selalu memanggil orang-orang bawahannya dengan panggilan Encik . Beliau selalu membacakan diri saya Encik Onn. Ini menyebabkan orang-prang yang berkhidmat di bawahnya rasa dihargai dan disayangi.
Begitu juga, beliau seorang pemimpin yang suka pada persamaan. Ketika di London, beliau suka membeli belah di Harrod, tetapi kalau ada pemimpin yang menemuinya di sana,   beliau Tun bawa juga ke Harrod. Sama juga dengan soal makanan. Apa yang dia makan, itulah juga yang diberikannya kepada orang lain.

Onn berkata Tun membuka jalan fikiran orang-orang Sabah mengenal erti kemerdekaan. Merdeka dari sebarang bentuk penjajahan. Mana-mana pembangunan dan kemajuan yang kita lihat hari ini, ia pastilah wujud kerana nikmat kemerdekaan. Kemerdekaan yang diperjuangkan oleh Tun Datu Mustapha bersama pemimpin-pemimpin terdahulu. Malah banyak yang boleh diceritakan dalam mengenang jasa dan kebaikan yang pernah dilakukan oleh Tun Mustapha.

Tun Mustapha adalah Tun Mustapha, hingga kini tiada duanya. Al fatihah.