Thursday, February 23, 2017

Berkunjung ke Makam Sunan Bonang di Lasem,Rembang




Hanya bunga melati yang tumbuh di makam itu. Tak ada nesan. Kami duduk bertafakur sambil membaca al-fatihah. Saya agak terpegun melihat kawasan sekitar makam Sunan Bonang di Desa Bonang Kecamatan Lasem, Rembang Jawa Tengah. Betapa bersahajanya.

Sunan Bonang atau Syeikh Maulana Makhdum Ibrahim, putra Sunan Ampel (Syed Ali Rahmatullah) dengan Dewi Candrawati ( Nyai Ageng Manila. Beliau adalah salah seorang wali dari sembilan wali atau wali songo  yang dianggap paling berpengaruh dalam sejarah pengembangan Islam di pulau Jawa.Selain makam Sunan Bonang  di Desa Bonang Lasem itu, ada  lagi makam Sunan Bonang di Tuban, Jawa Timur dan Pulau Bawean.

Saya sempat berziarah ke Makam Sunan Bonang di Lasem itu. Sebelumnya saya sempat juga menziarahi makam Sunan Ampel di Surabaya. Kemudian saya juga berpeluang berkunjung ke Makam Sunan Kudus di Kudus, makam  Sunan Muria di Gunung Muria dan Masjid Agung Demak.

Banyak kisah menarik yang diceritakan masyarakat mengenai kehebatan Sunan Bonang, seorang ulama yang sangat sederhana dan selalu menunjukkan sikap rendah hati sehingga menarik ramai orang untuk berguru kepadanya.

Tapi salah satu pesan Sunan Bonang yang paling banyak diingat orang sehingga sekarang ialah mengenai tamba ati atau ubat hati. Ubat hari ada lima perkara atau dalam bahasa Jawanya.Tamba ati iku lima perkarane.



Ubat Hati itu ada lima perkara,kata Sunan Bonang dalam lelagon Tamba Ati yang kini sudah berusia ratusan tahun lamanya masih terdengar merdu di telinga kita. Bagi yang pernah mendengarnya, Lelagon Tamba Ati itu sarat dengan pesan moral, mempunyai banyak nilai-nilai kearifan orang Jawa yang disampaikan dengan lembut dan bijaksan.a

“Tamba Ati iku lima perkarane Kaping pisan maca Qur’an samaknane, Kaping pindho solat wengi lakonana Kaping telu wong kang soleh kumpulana Kaping papat kudu weteng ingkang luwe Kaping lima dzikir wengi ingkang suwe Salah sawijine sapa isa anglakoni Mugi-mugi Gusti Allah ngijabahi. (Ubat hati itu ada lima perkara Pertama, membaca Al-Quran dan memahami maknanya Kedua, melakukan shalat malam, Ketiga, berkumpul dengan orang saleh, Keempat, harus melakukan puasa Kelima, dzikir malam yang lama Salah seorang yang boleh melaksanakan itu semua Maka Allah akan berkenan mengabulkannya)a.

Pesan yang disampaikannya dalam lagu Tamba Ati ini sangat baik untuk diamalkan kerana ia benar-benar mampu mengubat hati kita yang rusuh, yang risau, yang galau, yang bingung atau yang seumpamanya.

Melalui lagu ini,  kita dapat menyerap nilai-nilai kearifan yang dapat memberikan ubat bagi hati kita.

 Jika kita mahu mengubat hati kita, maka ada lima perkara yang dapat kita lakukan untuk menyembuhkannya. Pertama, kita hendaklah membaca Al-Quran dan memahami maknanya. Pemahaman akan maknanya begitu penting supaya kita dapat melaksanakan dan mengamalkan ajaran-ajaran yang tersurat atau tersirat dalam Al-Quran. Jadi pemahaman terhadap makna ayat-ayat Al-Quran amatlah diutamakan, bukan setakat membaca tanpa memahami maknanya.

Ubat hati yang kedua ialah melakukan shalat malam. Shalat malam setelah bangun tidur itu terasa lebih khusyuk. Kita dapat melakukan ibadah dengan tenang dan kita dapat menyampaikan doa dan permohonan kita dengan lebih baik kepada Allah SWT.

Ubat ketiga yang dikatakan Sonan Bonang ialah kaping telu kang soleh kumpulana atau berkumpul dengan orang saleh. Apabila kita mahu menjadi manusia yang saleh dan berhati jernih maka kita harusllah juga berkumpul dengan orang Saleh, supaya kita juga dapat menjadi orang Saleh.

 Jika kita mahu terbebas dari penyakit hati dengan pelbagai variasinya itu maka Sunan Bonang berkata, ubat hati yang keempat atau kaping papat Kudu wateng ingkang luwe yang maksudnya harus melakukan puasa. Kita dinasihatkan melakukan puasa sama ada yang wajib yang sunat.Melalui puasa kita dapat mengendalikan hawa nafsu, nafsu amarah, nafsu lawamah,,dan sebagainya, Hanya dengan itu, kita dapat mencapai kebahagian sejati. Kaping Lima Dzikir wengi ingkang suwe.

Ubat hati yang kelima ialah dzikir malam yang lama.Zikir yang diucapkan lama dan dihayati dengan hati akan dapat membuka hati kita yang tertutup dari cahaya ilahi. Itulah lima perkara yang perlu dilakukan sebagai pengubat hati kita.

Pesan Sonan Bonang yang mengandungi banyak kearifan ini hendaknya dapat kita renungkan dan laksanakan. Semoga penyakit yang melanda hati kita, dapat disembuhkan dan diubati dengan mengamalkan lima perkara yang dipesankan ini.

Itulah antara pesan Sunan Bonang,seorang wali yang sangat kehidupannya sangat bersahaja dan sederhana.Di Desa Bonang Kecamatan Lasem, Rembang Jawa Tengah itu, makam itu dikunjungi oleh ramai orang.Ketika kami berkunjung itu, suasana agak sunyi juga.Kami hanya ditemani jurukunci. Saya sempat solat di Masjid tua yang dibina oleh Sunan Bonang. Kini Masjid itu kini sudah diperbesarkan dan boleh menampung ramai jemaah yang berziarah ke makam Sunan Bonang itu. Ubat hati ada lima perkara. Amalkan lima perkara, maka hati kita dapat disembuhkan. Hari sudah petang, ketika kami meninggalkan makam sunan Bonang.

No comments: