Jumaat, 24 Februari 2017

CIKGU AWANG AKTIF MENULIS SEJAK TAHUN 1965 HINGGA SEKARANG

Tags



CIKGU AWANG AKTIF MENULIS SEJAK TAHUN 1965 HINGGA SEKARANG
Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN

Saya mula menulis pada tahun 1965, kata Cikgu Awang Abdul Hamid yang lebih dikenali sebagai Pena Ahad ketika berkunjung ke Sastera dan Budaya Utusan Borneo beberapa hari lalu. Cikgu Awang, 72, adalah seorang penulis yang prolifik, gigih dan masih berkarya hingga sekarang.

Cerpen pertamanya bertajuk Gadisku tersiar di North Borneo News and Sabah Times. Editor Melayu ketika itu ialah Allahyarham K Bali. Surat khabar yang menyiarkan cerpen, puisi dan esei saya masa itu North Borneo News and Sabah Times, Borneo Mail, Daily Express dan Utusan Kinabalu. Beberapa tahun kemudian, Borneo Mail dan Utusan Kinabalu dihentikan penerbitannya.

“Kerana usaha dan rajinnya saya berkarya, tidak hairanlah dalam seminggu tiga cerpen berlainan tajuk disiarkan di tiga buah akhbar tempatan masa itu,” katanya.

Untuk mendapatkan pengalaman dalam bidang penulisan, beliau sering menyertai banyak bengkel penulisan yang dianjurkan oleh Gapura, Bahasa, DBP Cawangan Sabah dan persatuan-persatuan lain.

Cikgu Awang menjadi Setiausaha Badan Bahasa Sabah (BAHASA) Cawangan Kota Marudu pada tahun 1970. Masa itu saya mengajar di SRK Tandek, katanya. Presiden Bahasa ketika itu ialah Allahyarham Datuk Dzulkifli Abdul Hamid.

“Bila ada program sastera, di peringkat negeri atau kebangsaan, saya mesti hadir untuk menambah pengalaman. Terutama sekali jika ada bengkel penulisan,” katanya.
Antara kejayaan cikgu Awang dalam bidang penulisan ialah mendapat anugerah Cerpenis Berjaya sepanjang tahun 1974, Menang pertandingan menulis Cerpen bertajuk Lugu anjuran MUIS sempena Mahrajan Sastera. Selain itu, cerpen-cerpen beliau juga diterbitkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Walaupun aktif dalam bidang penulisan cerpen, puisi dan esei, beliau sentiasa tidak jemu menyertai beberapa bengkel Skrip Drama Radio dan Pentas di Peringkat Negeri dan Kebangsaan. “Saya menulis skrip drama bermula tahun 1973 dan sejak itu beberapa skrip drama saya sudah diterbitkan,” kata Cikgu Awang. Setiap skrip drama itu dibayar honorarium sebanyak RM120.00.

Bercerita penglibatan Cikgu Awang dalam bidang drama dan teater, beliau memberitahu Gapura Tuaran dimana beliau menjadi pengerusinya, pernah dipilih oleh KKBS menjadi penganjur pertandingan Drama dan Tarian Peringkat Daerah pada tahun 1976. Sebanyak enam drama dipertandingkan, empat diantaranya adalah karya Cikgu Awang.

Gapura juga pernah mewakili daerah ke peringkat Pantai Barat melalui drama Daun-daun Berguguran. Pada tahun 1977 hingga 1978, Cikgu Awang dilantik sebagai Hakim Drama di peringkat daerah dan bahagian selain selalu dijemput sebagai fasilitator drama di beberapa daerah.

Beliau juga pernah memenangi pertandingan menulis skrip teater peringkat kebangsaan dan kemudiannya diantologikan bersama enam skrip drama yang lain. Cikgu Awang juga pernah mementaskan teater Penjual Pisang di kaki Lima dalam Anjung Apresiasi DBP Sabah. Karya itu adalah adaptasi puisi Sasterawan Negara Dato Dr Usman Awang  dan dilakonkan murid sekolah tahun lima dan enam.

Dalam kegiatan persatuan beliau pernah menjadi Timbalan Presiden Temasa (Majlis Teater Sabah) dan mewakili Temasa ke mesyuarat agung di Kuala Lumpur. Beliau juga dilantik Timbalan Presiden METOS yang ditubuhkan menggantikan Temasa.

“Sehingga ke hari ini kegiatan aktiviti teater sudah tenggelam,” katanya. Beliau terpaksa menanggung perbelanjaan sendiri untuk mengadakan pementasan. Tiada bantuan lain selain diberi tempat percuma setiap kumpulan yang mahu mengadakan persembahan kena tanggung sendiri,” katanya.

Menurut cikgu Awang, tidak ada mana-mana agensi, ahli-ahli korporat mahu menaja persembahan teater. “Yang penting difikirkan ialah setiap persembahan perlu ada pulangan lumayan,” katanya. Ketika ini beliau mempunyai lapan buah skrip yang siap untuk dibukukan.

“Saya dengan hati terbuka bersedia untuk dijemput memberi bimbingan khusus di bidang teater ataupun penulis cerpen,” katanya.

Pengalaman yang ada sama ada di bidang penulisan cerpen, puisi dan teater, saya gunakan pula untuk menceburi bidang penulisan novel.
Bezanya, cerpen hanya ditulis dalam beberapa keping kertas tetapi novel memerlukan kefahaman yang luas dan jalan ceritanya dikembangkan berkait rapat antara satu sama lain. “Maka itu, kita kena berhati-hati untuk menyiapkan sebuah  novel,” katanya.
“Novel pertama saya bertajuk Manisah menang tempat ketiga dalam satu pertandingan yang diadakan pada 1970-an. Pemenang tempat pertama masa itu ialah novel karya Amil Jaya. Malangnya skrip novel saya itu hilang dalam simpanan,” kata Cikgu Awang.

Pada tahun 2014, beliau sekali lagi menyertai Peraduan Menulis Novel anjuran Lembaga Kebudayaan Sabah dengan skrip bertajuk Mengharungi Badai. “Sebenarnya, Saudara Rusdi Awang dari DBP Sabah yang banyak menggalakkan saya menyertai peraduan ini. Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya.,” katanya sambil menambah, selain beliau yang turut terpilih ialah karya oleh Tan Sri Datuk RM Jasni dan Ruhaini Matdarin.

Selain menulis, Cikgu Awang juga giat melukis. Inilah antara bidang seni yang diminati sejak awal lagi. Kalau tidak menulis, beliau melukis. Sehingga kini beliau sudah mengadakan pameran solo di Hotel Promenade pada 2001, Pameran Lukisan Solo di Magellan Sutera Harbour pada 2004 dan Pameran Solo di Warisan Square pada 2010.
Beliau juga menyertai pameran berkumpulan anjuran Balai Seni Lukis dan pernah juga menang peraduan melukis anjuran Balai Seni Lukis Sabah.
“Tahun ini saya merancang untuk mengadakan pameran solo,” katanya.Banyak lukisan cikgu Awang yang sudah dimiliki oleh kalangan orang-orang ternama.Lukisannya pernah dibeli oleh Menteri-menteri dan timbalan menteri, Ketua Menteri Melaka, Menteri Besar Terengganu dan agensi-agensi kerajaan negeri dan persekutuan.