Thursday, February 23, 2017

CIKGU PERNAH AJAK ORANG KAMPUNG PELIHARA AYAM




 CIKGU PERNAH AJAK ORANG KAMPUNG JUAL AYAM

“Saya pernah mengajak penduduk kampung untuk bergotong royong membuat kandang ayam. Kemudian saya minta setiap murid membawa 10 ekor anak ayam betina dan lima ekor ayam jantan ke sekolah untuk dipelihara.
Hasil ternakan itu dijual di Tamu Matunggong. Hasil jualannya digunakan untuk melaksanakan aktiviti sekolah,” kata Cikgu Awang atau Awang Abdul Hamid mengenai cebisan pengalamannya sebagai guru. Cara ini agak berkesan untuk mendapatkan perbelanjaan menganjur aktiviti sekolah katanya. Jika kita minta terus kepada mereka,masa  ibu bapa juga tidak mempunyai kemampuan. Namun dengan pendekatan yang kita gunakan, ibu bapa memberikan kerjasama yang luar biasa, katanya mengenang. Selain pernah bertugas sebagai guru,  Beliau juga adalah seorang pelukis dan penulis terkenal Sabah Mula menulis pada tahun 1965,Cikgu Awang atau nama penanya Pena Ahad  pernah terpilih sebagai Cerpenis Berjaya sepanjang tahun 1974.Belaiu juga pernah terpilih memenangi Pertandingan Menulis Novel anjuran Lembaga Kebudayaan Sabah pada 2014.

Awang bin Abdul Hamid atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Awang dilahirkan di Jesselton (sekarang Kota Kinabalu) pada 1 April 1945. Beliau mendapat pendidikan rendah  di GPS Sembulan pada tahun 1954 hingga 1958. Selepas itu, beliau bersekolah di Sacred Heart School pada tahun 1959. Setahun kemudian beliau bersekolah selama satu tahun  SM La Salle sebelum mendapat tawaran menjadi guru.  Beliau menjadi guru pelatih di SK Sembulan dari tahun 1961-1962. Kemudian beliau memasuki Maktab Perguruan Kent Tuaran pada 1963 hingga 1965. Pada tahun 1966, beliau dilantik menjadi guru di SK Sindumin Sipitang. Selepas itu dipindahkan ke SK Matunggong Kudat pada 1967. Cikgu Awang kemudian dilantik Guru Besar SK Pinawantai Kudat dari tahun 1967 hingga 1968.Kemuudian beliau dilantik pula ke sekolah yang lebih besar iaitu SK Tandek  . dan dilantik sebagai penolong kanan di sekolah itu dalam tahun 1969 hingga 1970. Pada tahun 1971, beliau terpilih belajar ke Maktab Perguruan Ilmu Khas CherasKL (MPIK). Sekembalinya dari sana, beliau bertugas di SMK Badin dalam tahun 1973 hingga 1980. Dalam tempoh itu juga, beliau sempat belajar dalam  diploma art & design di MPIK pada 1976. Pada tahun 1981, Cikgu Awang bertugas di Maktab Sabah.Bagaimanapun pada tahun 1982, beliau berhenti  menjadi guru selepas mendapat tawaran sebagai Pegawai Hal Ehwal Pelajar di Yayasan Sabah dan menjawat pelbagai jawatan  di YS sehinggalah beliau bersara pada tahun 2000.
Selama 36 tahun perkhidmatannya   dalam kerajaan, beliau menjadi guru selama 18 tahun dan  bertugas di Yayasan Sabah selama 18 tahun.

Dalam kegiatan persatuan, Cikgu Awang pernah menjawat jawatab Setiausaha Badan Bahasa Sabah (BAHASA) Bandau Kota Marudu pada 1970, Pengerusi Gabungan Penulis Sedar Sabah (Gapura) Tuaran pada 1978, Timbalan Pengerusi KRT Seroja Likas pada 1988, Timbalan Pengerusi Persatuan Sepak Takraw Sabah (Pestas), Ketua Cawangan UMNO Kampung Seroja Likas 1992 dan AJK Alumni Maktab Kent Tuaran hingga kini.

Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemubual Cikgu Awang di pejabat Utusan Borneo di Tingkat 5, Wisma KTS Kota Kinabalu. Dalam temubual itu, Cikgu Awang menceritakan pengalamannya ketika zaman kanak-kanaknya hinggalah  menjadi guru. Ikuti petikan temubual bersama beliau:

UTUSAN BORNEO: Bolehkah cikgu ceritakan sedikit latar belakang cikgu?. Dimana cikgu dilahirkan?
CIKGU AWANG ABDUL HAMID: Saya dilahirkan pada 1 April 1945 di Kota Kinabalu. Ketika itu namanya masih lagi Jesselton. Kalau mahu ditanya dimana kira-kira lokasi tempat kelahiran saya sekarang, saya lahir di Kampung Air iaitu di belakang Panggung Capitol iaitu di kawasan perkampungan Bajau dari Tuaran. Orang-orang Bajau dari Tuaran masa itu bermukim di KK untuk mencari penghidupan.Dulu tidak macam sekarang, dulu di sekelilingnya itu air melulu.

UB: Dimana cikgu bersekolah?
CIKGU AWANG: Saya bersekolah rendah di SRK Sembulan pada tahun 1954 hingga 1958. Masanya agak singkat kerana saya boleh dikatakan seorang pelajar pintar hingga beberapa kali lompat darjah. Pada tahun 1959, Saya belajar di Sacred Heart School dalam Primary Six. Selepas lulus peperiksaan darjah enam, saya masuk SM School pada tahun 1960 selama satu tahun. Kemudian Guru Besar SRK Sembulan, masa itu Cikgu Haji Abdul Malek Moksin (kini Allahyarham) menawarkan saya jadi guru pelatih. Saya pun jadi guru pelatih di SRK Sembulan dengan gaji $105.00 sebulan. Saya mengajar di Sembulan selama dua tahun iaitu dari tahun 1961 hingga 1962.

UB: Selepas itu, cikgu mengajar dimana?
CIKGU AWANG: Selepas dua tahun mengajar di Sembulan, saya memasuki Maktab Perguruan Kent Tuaran dari tahun 1963 hingga 1965.Antara rakan seangkatan dengan saya masa itu ialah Arwah Cikgu Abdul Aziz Ahmad , dalam penulisan dikenali dengan nama Madah Aryani, Omar Sulaiman atau Omar Sal dalam dunia penulisan, Arwah Sahiril Lakibul, penulis juga, tapi saya nama penanya. Rakan-rakan saya yang lain termasuk Cikgu Haji Taib Amat dan Haji Idrus Salam. Yang lain saya tidak berapa ingat.Masa itu, Cikgu Mastun (Haji Mastun Abas) dan Haji Adnan Ibrahim adalah senior kami di Maktab Kent, Elaun kami masa itu hanya $8.00 untuk satu bulan. Dengan duit itu, saya dapat membeli sabun mandi dan sabun untuk cuci kain. Walaupun elaunnya kecil tetapi makan minum semuanya  ditanggung.

UB: Cikgu dengan gaji sebanyak $105.00 sebulan  sebagai guru pelatih masa itu, mungkin sangat kecil dibanding sekarang. Boleh beritahu dengan duit sekecil itu, apa yang dapat dibeli?
CIKGU AWANG: Masa itu, harga barangan agak murah. Gula sekati $0.20 sen, Beras segantang baru $0.80 sen.Ikan juga murah. Satu cucuk ikan basung yang mengundi sepuluh ekor berharga $0.20 sen. Cuma harga ayam, jika tidak silap, $3.00 seekor.

UB:Selepas tamat sijil perguruan di Maktab Kent, dimana cikgu ditugaskan?
CIKGU AWANG: Sebaik keluar maktab, saya ditugaskan di SK Sindumin Sipitang pada 1966. Untuk ke SK Sindumin, saya naik keretapi dari Kota Kinabalu ke Beaufort. Dari Beaufort ke seberang sungai Padas, saya naik feri. Masa itu belum ada jambatan lagi. Kemudian saya sambung kereta, pakai land rover atau land cruiser ke Sipitang. Dari Sipitang, cari lagi kereta untuk pergi ke Sindumin.

UB: Berapa lama bertugas di Sindumin?
CIKGU AWANG: Saya bertugas di Sindumin kira-kira setahun sahaja. Pada tahun 1967, saya dipindahkan di SRK Matunggong , Kudat di utara Sabah. Masa itu perjalanan mengambil masa kira-kira tiga jam dari Kota Kinabalu. Jalan gravel, Jalan dari Tamparuli ke Kota Belud kita terpaksa melalui jalan yang bengkang bengkok mengambil masa kira-kira dua jam. Jadi tidak jam baru sampai Matunggong.

UB: Ada pengalaman menarik ketika mengajar di sana?
CIKGU AWANG: Satu peristiwa yang tidak dapat saya lupakan ialah ketika berlaku banjir besar pada tahun 1967. Sekolah itu tiangnya rendah. Hampir tenggelam, dinaiki air, tinggal bumbung sekolah saja.Bangku, kerusi, almari, tiada yang tertinggal, habis dihanyutkan oleh air. Satu bulan murid-murid sekolah terpaksa bercuti.Kemudian Jabatan Pelajaran membekalkan bangku dan meja. Saya masih ingat masa itu, Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun yang menjadi Ketua Menteri mengadakan lawatan ke Matunggong dengan menaiki helikopter. Helikopter mendarat di padang sekolah. Beliau datang melihat keadaan Matunggong yang ditimpa banjir sambil menghulurkan batuan kepada mangsa.

UB: Dari Matunggong, di daerah mana cikgu bertugas seterusnya?
CIKGU AWANG: Pada pertengahan 1967, saya dinaikkan pangkat sebagai guru besar SK Pinawantai. Gaji saya masa itu $240.00. SK Pinawantai hanya mempunyai dua bilik darjah. Pelajar-pelajarnya datang dari keluarga yang kurang berkemampuan masa itu. Keadaan ekonomi juga agak menyedihkan. Maka sebagai seorang guru, saya rasa bertanggungjawab untuk membangunkan sekolah melalui beberapa aktiviti. Satu daripadanya saya bawa penduduk kampung bertanam padi bukit. Hasil daripada tuaian padi bukit, saya gunakan untuk keperluan murid-murid sekolah. Orang kampung bergotong-royong untuk menjual padi bukit dan hasilnya diberikan untuk membeli pakaian  sekolah.Kami adakan satu majlis khas. Mulanya seorang murid lelaki kami jadikan model atau contoh. Kami gunting rambutnya, pakaikan bedak, minyak rambut dan pakaian uniform sekolah.Beberapa ketua kampung hadir pada majlis itu dapat melihat bertapa bergayanya murid yang lengkap memakain pakaian seragam sekolah. Sejak itu, murid murid datang ke sekolah dengan memakai pakaian seragam, Anak-anak itu tinggal agak jauh dari sekolah. Ada yang berjalan kaki dari rumah selama dua jam dari rumah, berangkat awal pagi. Itu sebabnya sesi pembelajaran yang sepatutnya bermula jam 7.00 pagi terpaksa ditangguhkan ke jam 8.00 pagi untuk membolehkan mereka ke sekolah.

Bila musim kemarau tiba, bekalan air tiada. Penduduk terpaksa gunakan air hujan untuk mandi. Kami terpaksa berjimat air hujan. Ada juga murid yang terpaksa mengambil air  di anak-anak sungai. Tempatnya memang jauh. Jika mereka angkat sebaldi penunn air, sampai di rumah airnya tinggal separuh kerana tumpah.

UB: Saya tertarik dengan kisah cikgu mengajar di sekolah luar bandar. Ada lagi yang menarik untuk dikongsikan?
CIKGU AWANG: Masa itu ekonomi penduduk kampung kurang baik. Jadi, ibubapa tidak boleh diharapkan untuk menghulurkan bantuan bagi  memastikan aktiviti-aktiviti sekolah dapat dijalankan dengan baik oleh PIBG dan sekolah. Jadi saya ajak penduduk kampung untuk sekali lagi gotong royong. Kali ini  gotong royong membuat kandang ayam. Kayu dan papan masa itu mudah diperolehi.Jadi mereka dapat buat kandang ayam dengan mudah. Kemudian saya minta setiap murid membawa 10 ekor anak ayam betina dan lima ekor ayam jantan ke sekolah untuk dipelihara. Masa itu, penduduk banyak menternak ayam. Mudahlah bagi kanak-kanak untuk memperolehi ayam untuk dipelihara di kandang ayam yang baru dibina.
Hasil ternakan itu dijual di Tamu Matunggong. Kami bentuk ahli jawatankuasa di kalangan ibu bapa untuk menjual ayam itu dan hasil jualannya digunakan untuk melaksanakan aktiviti sekolah. Cara ini agak berkesan untuk mendapatkan perbelanjaan menganjur aktiviti sekolah. Jika kita minta terus kepada mereka, ibu bapa juga tidak mempunyai kemampuan. Namun dengan pendekatan yang kita gunakan, ibu bapa memberikan kerjasama yang luar biasa.
Satu lagi peristiwa yang tidak boleh saya lupakan ialah ketika kami menyertai pertandingan gerai di Tamu Besar Kudat. Kami hiasi gerai kami dengan lukisan. Saya gunakan bidang lukisan untuk menjadikan gerai kami cantik.Selain itu, kami gunakan bahan kraftangan tempatan.Latarnya saya lukis gunung Kinabalu.Pegawai Daerah Kudat masa itu, masih orang putih. Ketika melawat gerai kami , beliau berdiri terpegun melihat saya melukis di sekeliling gerai. Akhirnya keputusan pertangan gerai masa itu dimenangi oleh SK Pinawantai sebagai juara. Peristiwa itu tidak dapat saya lupakan sepanjang saya mengajar di sekolah itu. Saya juga pernah membina sign board SRK Pinawantai dan diletak di tepi jalan bagi memudahkan orang ramai. Masa itu, tidak banyak sekolah yang ada signboard.

UB: Dimana cikgu bertugas selepas itu?
CIKGUAWANG: Saya dipindahkan ke SRK Tandek pada tahun 1969. Sekolah itu lebih besar berbanding SRK Pinawantai yang hanya mempunyai murid sekitar 80 orang termasuk Datuk Jelani Hamdan, ADUN Matunggong sekarang. Jumlah pelajar di SRK Tandek seramai 280 orang.Saya dilantik sebagai Penolong kanan. Guru Besar sekolah ketika itu ialah Haji Kee Abdul Jalil. Antara kenangan saya di sekolah itu ialah saya melukis mural di dinding sekolah, semua 13 logo negeri-negeri di Malaysia. Antara murid saya di Tandek ialah Datuk Jilid Kuminding, Duta Besar Malaysia ke Papua New Guinea, Datuk Dr Janatan Kandok, Pengarah Kastam Sabah, Datuk George Sangkin, mantan Ahli Parlimen Bandau, Ustaz Asmara Madcasar,Ustaz Kahar dan ramai lagi murid saya yang top. Cik
Saya juga panggil murid-murid darjah enam yang gagal untuk menduduki peperiksaan ulangan sekali lagi. Hasilnya 100 peratus lulus. Kemudian wakil rakyat masa itu, Allahyarham Haji Baudi Ungot mengadakan majlis kesyukuran dengan menumbangkan seekor lembu.


Banyak kenangan manis di Tandek. Satu ketika, ada  tamu besar di Kota Marudu. Ketika itu, ramai sudah yang mengenali saya. Sebab itu itu ramai yang datang minta tolong. Namun saya tertumpu ke gerai SK Mosolog.. Sebabnya masa itu, arwah isteri saya bertugas sebagai guru di SRK Mosolog. Ketika itu, kami belum kahwin lagi. Itulah antara detik perkenalan kami hingga membawa ke jinjang pelamin.

Pada tahun 1969 saya menduduki peperiksaan SRP sebagai calon persendirian. Saya lulus dengan mendapat A20. Selepas mengajar di SRK Tandek, saya terpilih untuk belajar Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK)  Kuala Lumpur.

UB: Siapa diantara rakan-rakan cikgu ketika itu?
CIKGU AWANG: Antara rakan-rakan pendidik yang belajar di MPIK ialah Cikgu Haji Mastun Abas, Awang Besar Marali, Arwah Zinin Anwar, Cikgu Sirun Siboh dan lain-lain lagi. Terdapat 15 guru dari Sabah yang belajar di MPIK ketika itu. Mulanya kami ditempatkan di Maktab Perguruan Bahasa Lembah Pantai. Apabila gegarann berlaku pada 1971, kami dipindahkan ke MPIK. Masa itu pengetua MPIK ialah Syed Ahmad Jamal. Guru-guru saya yang lain ialah Yeo Jin Ling,Hajah Nadira dan lain-lain. Setiap hujung minggu saya selalu ke galeri Seni Lukis,

UB: Selepas tamat MPIK, dimana cikgu di tempatkan?
CIKGU AWANG: Saya ditugaskan di SRK Buit Hill Putatan mengajar seni visual pada tahun 1972. Antara murid saya di sana ialah Dr Dolores, Gregory Mosigil, Amit Ahmad, Haji Jainudin Awang.  Selepas SRK Buit Hill, saya dipindahkan pula di SMK Badin Tuaran dari tahun 1973 hingga 1980.Saya dilantik Ketua Panitia Seni Lukis, Bahasa dan sastera. Antara murid saya ialah Datin Juliah Salag, Datuk Hajah Raya Erom, Jilid Kuminding, Abdullah Sani, Haji Gulabdin Enjih, dan ramai lagi, Kemudian pada tahun 1981, saya berpindah ke Maktab Sabah. Antara murid saya di sana ialah Hajah Nuinda Alias, Abdullah Abdul sani Khailina Mohd Tahir, Dayang Noripah Haji Bagul dan ramai lagi yang saya tak ingat nama.

UB: Kemudian?
CIKGU AWANG: Kemudian pada tahun 1982, saya berhenti menjadi guru.Selepas itu saya bertugas sebagai Pegawai Hal Ehwal Pelajar di Yayasan Sabah dari tahun 1982. Saya bersara pada usia 55 tahun pada  tahun 2000 , dan kemudian menumpukan sepenuh masa dalam bidang lukisan, yang menjadi minat saya sejak dahulu.

No comments: