Thursday, February 23, 2017

KONVENSYEN SEWADAH MEMBANGUN MINDA MEMARTABAT BANGSA DAPAT SAMBUTAN LUAR BIASA



KONVENSYEN SEWADAH MEMBANGUN MINDA MEMARTABAT BANGSA DAPAT SAMBUTAN LUAR BIASA
Oleh ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN

KEHADIRAN  anggota masyarakat Iranun dari pelbagai peringkat ke Konvensyen Sewadah Membangun Minda Memartabat Bangsa yang diadakan di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negeri baru-baru ini sesungguhnya di luar jangkaan.
Lebih 350 orang hadir dalam konvensyen itu. Sambutan luar biasa yang diberikan itu timbul dari kesedaran bahawa penyatuan dan kesatuan bangsa yang jitu boleh dicapai melalui perjuangan memartabatkan bahasa dan budaya serta meningkatkan pencapaian ekonomi mereka.
Konvensyen Sewadah Membangun Minda Memartabat Bangsa “isa sa kauyag isa ka patai” itu sebenarnya adalah anjuran Kelab Iranun Nusantara, sebuah grup whatsApp yang diwujudkan untuk membincangkan langkah-langkah penyatuan bangsa melalui bahasa, budaya dan ekonomi.
Yang Di Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Seri Panglima Pandikar Amin Haji Mulia menyampaikan ucap tama dalam konvensyen yang julung kalinya diadakan itu.
Dalam ucapannya, beliau menceritakan naratif perjuangan Iranun sejak dari zaman sebelum British, ketika mencapai kemerdekaan dan Iranun pada masa kini sesuai dengan tajuk yang diberikan kepadanya iaitu Iranun Dulu, Kini dan Masa akan datang.
Pandikar memulakan penceritaannya iaitu sejak Iranun terlibat dalam perjuangan politik, cabaran dalam perjuangan, kendala yang dihadapi dan bagaimana timbulnya kesedaran Iranun untuk meningkatkan keupayaan mereka dari segi pendidikan.
Jika dahulu kebanyakan anggota masyarakat Iranun hidup dalam keadaan miskin dan terpinggir tetapi kini suku bangsa Iranun yang minoriti itu boleh berbangga kerana berjaya melahirkan ramai graduan dalam pelbagai bidang profesional seperti peguam, jurutera, akuantan, perubatan dan sebagainya. Ramai anak-anak Iranun menjadi guru, pegawai kerajaan, peniaga dan sebagainya.
Katanya, Iranun mungkin agak sukar disatukan melalui wadah politik kepartian kerana masing-masing mempunyai pilihan mereka sendiri, tetapi beliau yakin Iranun dapat disatukan melalui wadah perjuangan bahasa, budaya dan ekonomi.
Beliau menggesa agar masyarakat Iranun menyertai dan memberikan sokongan terhadap perjuangan Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun (BKI) yang terus gigih menganjurkan pel bagai kegiatan dan program memartabatkan bahasa Iranun. Selain itu, beliau juga menggesa agar masyarakat Iranun menyertai KOBISA , sebuah koperasi untuk meningkatkan ekonomi Iranun.
“Kita harus membulatkan fikiran, tenaga dan dana untuk menjayakan empat perkara penting iaitu pertama;memelihara dan memulihara bahasa ibunda kita iaitu Iranun, Kedua;Memelihara dan Memulihara budaya ibunda kita, Ketiga; Memelihara dan memulihara nama bangsa Iranun yang kini rata-rata berbangga atas prestasinya yang disegani dan dihormati dan keempat; Memperkasakan ekonomi  secara umum,” katanya.
Perjuangan ini, kata Pandikar, dilaksanakan melalui BKI dan KOBISA.
Kenapa BKI dan bukan NGO yang lain? Beliau menjelaskan sebabnya objektif penubuhan BKI adalah fokus kepada tiga perkara saja selari dengan  namanya Badan Bahasa dan Kebudayaan Iranun.

Sejak penubuhannya  BKI berjaya mendirikan sekolah-sekolah tadika Iranun di Kampung Payas-Payas, Rampayan dan Merabau.
BKI juga berjaya menyiapkan bahan-bahan pendidikan dalam sekolah-sekolah Taska Iranun sehingga menjadi contoh kepada sekolah etnik minoriti lain. Katanya, dalam BKI tidak ada cerita politik dan pemimpin  dan penggerak BKI seperti OKK Haji Masrin Hassin, Cikgu Ismail Sidek, Abd Naddin dan Mabulmaddin dan lain-lain tidak terlibat dalam politik.
Penubuhan KOBISA pula adalah untuk memperkasakan ekonomi Iranun . Koperasi ini ditubuhkan untuk meningkatkan penyertaan dalam bidang perniagaan dan ekonomi. Kobisa kini dipimpin Haji Jamil Atan, seorang pesara kerajaan dan Sahar Unggat sebagai setiausahanya.
Selepas ucaptama, wakil KOBISA iaitu pengerusinya  Haji Jamil Atan, mantan Pengarah Biro Pengaduan Awam Negeri menyampaikan taklimat mengenai objektif dan matlamat penubuhan KOBISA. Kemudian diikuti oleh OKK Haji Masrin Hassin yang memperincikan mengenai program-program dan kejayaan BKI sejak ditubuhkan pada tahun 1996.

Konvensyen itu berlarutan hingga ke petang, apabila sesi soal jawab mendapat respon dari peserta konvensyen. Banyak persoalan disentuh dalam konvensyen itu, tetapi intinya tetap kepada perjuangan memartabat bangsa.
Antara yang hadir dalam Konvensyen itu ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datu Rosmadi Sulai, Pengarah Jabatan Akauntan Sabah, Puan Hajah Tunganai Datu Alang, Pengarah Bahagian Undang-Undang DBKK, Puan Rosnah Datu Tumai, Ketua Sektor Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Ir Datu Jamigul Datu Salin, AJK Bahagian UMNO , Ir Awang Saleh Haji Makmud dan Baghdad Haji Turugan yang memberikan banyak sumbang hingga konvensyen itu berjaya,Peguam Mohd Salleh Lamsin, pegawai-pegawai kerajaan, golonngan profesional, Ketua Admin Grup KIN, Dabalun Balau, Wakil Iranun dari seluruh Sabah termasuk wakil dari Tungku, Lahad Datu, Tawau, Kudat, Kota Kinabalu .
Konvensyen itu boleh dikatakan mendapat sambutan yang luar biasa dari masyarakat Iranun dari seluruh Sabah. Mereka tidak berganjak sehinggalah program itu selesai pada lewat petang dan kemudian dilanjutkan dengan majlis jamuan makan Malam di Kediaman Tan Sri Pandikar di Jalan Istana.


No comments: