Thursday, February 23, 2017

KUNJUNGAN BKI KE PEKAN BARU, JALIN SILATURRAHIM UNTUK SASTERA DAN BUDAYA



KUNJUNGAN BKI KE PEKAN BARU, JALIN SILATURRAHIM UNTUK SASTERA DAN BUDAYA

Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN

Meskipun kunjungan ke Pekanbaru, Riau agak singkat tetapi rombongan Badan Bahasa dan Kebudayaan Iranun (BKI) sempat mengadakan pertemuan dan dialog dengan beberapa tokoh sasterawan dan budayawan di Pekanbaru dan Tembilahan.Rombongan BKI diketuai pengerusinya Orang KayaKaya (OKK) Haji Masrin Haji Hassin, Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) Abdul Madin Sumalah dan Ketua Penerangan BKI, Abd Naddin Haji Shaiddin berada di Riau Sumatera pada 12 hingga 16 November tahun lalu.

Selepas mengadakan pertemuan dengan Bupati Inderagiri Hilir, HM Wardan, kami ditemani oleh sasterawan dan wartawan terkemuka di Riau, Mosthamir Thalib dan Ketua Yayasan Sagang Kazzaini Ks berangkat menuju Tembilahan. Kami menaiki kereta  pacuan empat roda milik Kepala Dunas Pemuda dan Olahraga, Budaya dan Pariwisita Inderagiri Hilir, Junaidi Ismail.
Di Tembilahan, kami menginap di rumah Ketua Lembaga Adat Melayu Indragiri Hilir, Datuk Haji Syamsuri Latif seorang tokoh budaya di Inderagiri Hilir.

Di Tembilahan, BKI sempat mengadakan pertemuan dengan tokoh-tokoh dan pemimpin masyarakat Melayu Timur yang mempunyai hubungan sejarah dan garis keturunan dengan masyarakat Iranun di Kota Belud.BKI berkunjung ke Pulau Kijang dan Kuala Patah Parang di Kecamatan Sungai Batang.

Selepas dua malam di Tembilahan, kami berangkat pulang ke Pekan Baru dalam perjalanan kira-kira lapan jam. Di Pekan Baru, kami sempat mengadakan pertemuan dengan Ketua Yayasan Sagang, Kazzaini KS dan salah seorang seniman dan budayawan Riau, Armawi KH di Graha Pena Riau. Selepas itu, kami juga mengadakan kunjungan silaturrahim kepada Bapak UU Hamidy, seorang tokoh sastera dan budaya terkemuka di Riau. Beliau juga seorang salah seorang pensyarah di universiti di Riau dan pernah menjadi pensyarah di Universiti Malaya.
Di Pekanbaru, kami juga menemui pensyarah universiti Riu yang banyak mengkaji mengenai sejarah dan budaya Melayu iaitu Dr Elmustian Rahman. Dalam kunjungan kali ini juga, kami berkesempatan berbincang dengan Panglima Raja Sri Bijawangsa Haryono, Ketua Orang Laut. Haryono juga adalah pensyarah di Universiti Riau.

Program kunjungan budaya BKI ke Pekanbaru Riau dan Tembilahan Inderagiri Hilir kami manfaatkan sebaik mungkin untuk mengeratkan lagi silaturrahim dan mengukuhkan budaya serumpun.

Banyak hasil yang diperolehi dalam pertemuan-pertemuan yang diadakan sempena program kunjungan budaya itu. Ia dapat menjalinkan semula hubungan antara Iranun di Kota Belud dengan Reteh yang terpisah sejak lebih 229 tahun yang lalu.Kunjungan kali ini akan dilanjutkan dengan program seminar budaya yanng akan diadakan pada tahun 2017 di Tembilahan Inderagiri Hilir.

No comments: